Search This Blog

Wednesday, April 7, 2010

Badrul Muhayat ke penjara





KUALA LUMPUR 6 April - Pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani dihantar ke Penjara Sungai Buloh petang ini setelah gagal menjelaskan wang jaminan RM2,500 selepas didakwa atas dua pertuduhan memukul isterinya, dua minggu lalu.
Badrul Muhayat, 42, dikenakan ikat jamin tersebut oleh Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini setelah dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Bapa kepada dua anak yang dilihat tenang dan bersahaja itu didakwa mencederakan Julia Daud, 29, dengan menumbuk muka dan menendang perut mangsa.
Bagi tuduhan kedua, pelakon yang terkenal melalui filem Harry Boy dan Riang Tirana pada tahun 1990-an itu didakwa memukul wanita itu di punggung dan kaki menggunakan batang penyapu.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukannya di Lot 313E, Jalan 49B, Bukit E, Kampung Cheras Baru, di sini pada pukul 7 pagi, 24 Mac lalu.
Pendakwaan terhadap Badrul Muhayat dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Pegawai pendakwa, Asisten Supritendan Dr. A. Vasu mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan.
Badrul Muhayat yang tidak diwakili peguam bela merayu agar mahkamah mengurangkan jumlah tersebut atas alasan tidak berkemampuan.
''Saya bekerja secara bebas (freelance). Bila kes saya disiarkan di akhbar-akhbar, semua pembayaran saya dibekukan.
''Saya mohon jaminan dikurangkan kepada RM500,'' katanya.
Vasu sebaliknya berpendapat, jumlah yang dicadangkannya berpatutan kerana ia merangkumi dua pertuduhan.
Majistret Wan Karimah Wan Md. Ab. Ghani kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Beliau turut menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula bagi memberi peluang kepada pelakon itu melantik peguam bela.
Pada prosiding hari ini, hanya kelibat adik lelaki Badrul Muhayat dilihat di mahkamah manakala Julia yang tampil semalam bersama anak sulungnya, tidak kelihatan.
Badrul Muhayat ditahan polis ketika berada di sebuah restoran di Taman Nirwana, Ampang kira-kira pukul 11 malam, 30 Mac lalu selepas empat laporan polis terhadapnya dibuat oleh isterinya.
Difahamkan sebelum ini, terdapat tujuh laporan polis dari tahun 2007 hingga 2008 dibuat oleh Julia berkenaan kecederaan yang dialaminya akibat dipukul Badrul Muhayat.
Bagaimanapun, kesemua laporan polis itu ditarik balik oleh wanita itu dengan harapan suaminya akan berubah sikap.
Pasangan yang bernikah tiga tahun lalu itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Nor Batrisyia, 3, dan seorang lagi yang baru dilahirkan Februari lalu.

Azman Adnan menyanyi di mahkamah



KUALA LUMPUR 6 April - ''Tapi apakan daya, Tuhan penentu segalanya.''Itu merupakan sebahagian daripada lirik lagu yang dinyanyikan oleh bekas bintang bola sepak kebangsaan, Azman Adnan ketika ditemuramah oleh media hari ini.
Azman, 39, yang kelihatan gelisah tiba-tiba menyanyikan sebahagian daripada lagu Kininyanyian kumpulan Feminin ketika ditemuramah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.
Beliau hadir seorang diri di mahkamah tersebut bagi mendengar permohonan notis tunjuk sebab yang difailkan oleh bekas isterinya yang juga penyanyi dan pelakon, Haleeda pada 12 Mac lalu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Setia Kasih itu memfailkan permohonan tersebut kerana mendakwa bekas penyerang pasukan bola sepak Selangor itu gagal membayar nafkah anak sebanyak RM350 sebulan secara konsisten mulai Januari 2009 hingga Mac lalu.
Penyanyi itu juga membuat permohonan kedua untuk menambah jumlah nafkah anak tunggal mereka, Amira Amani, 15, daripada RM350 kepada RM500 sebulan.
Haleeda atau nama sebenarnya, Halida Mazlin Badaruddin, 37, dikecualikan daripada hadir pada prosiding hari ini.
Azman diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Terdahulu, peguam syarie yang mewakili penyanyi itu, Mahyuddin Md. Zahari memaklumkan mahkamah mengenai pindaan berhubung jumlah sebenar tunggakan yang tidak dinyatakan dalam afidavit sebelum ini.
Peguam syarie itu menyatakan, jumlah nafkah anak yang tertunggak adalah sebanyak RM5,250 iaitu dari Januari 2009 hingga Mac tahun ini.
''Daripada jumlah tersebut, responden (Azman) telah membayar sebahagian daripadanya iaitu tunggakan bagi Januari hingga Julai 2009 sebanyak RM2,450,'' katanya.
Tunggakan tersebut kini berjumlah RM2,800 sahaja.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad selepas berpuas hati dengan pindaan tersebut membenarkan notis tunjuk sebab itu diserahkan kepada Azman.
Wan Mahyuddin turut memberitahu, bekas peserta Sehati Berdansa musim pertama itu bahawa dia boleh memfailkan bantahan awal terhadap notis tersebut.
Sekiranya tiada sebarang bantahan, jawapan kepada notis tersebut perlu difailkan.
Kes itu akan disebut semula pada 20 Mei ini.
Azman berkahwin dengan Haleeda pada 27 Januari 1995 dan bercerai talak satu pada 9 Oktober 2003.
Dia yang kini menjalankan perniagaan sendiri kemudiannya berkahwin dengan penyanyi kumpulan Feminin, As atau nama sebenarnya Asfarina Muhamad, 35, pada 14 Disember 2004.

Didakwa nikahkan pasangan secara haram



KUANTAN 6 April - Setelah lebih 50 pasangan dinikahkan sejak lima tahun lalu, seorang warga emas hari ini dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini atas dakwaan menjalankan akad nikah tanpa kebenaran.
Abdul Rahman Ariffin, 62, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Syarie, Abdul Wahid Md. Ali.
Dia didakwa melakukan akad nikah tanpa kebenaran pendaftar atau hakim syarie negeri di Masjid Kampung Kempadang di sini pada 1 Mac 2005.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 40(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005 dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.
Abdul Wahid membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 29 Jun ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Borhan Hussin.
Memetik laporan akhbar, pada 25 Februari lalu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah menahan seorang warga emas di sebuah rumah di kampung itu yang dipercayai telah menikahkan lebih 50 pasangan beragama Islam secara haram sejak lima tahun lalu.
JAIP yang membuat intipan selama lebih sebulan berjaya menahan lelaki terbabit di rumahnya kira-kira pukul 1.40 petang.
Difahamkan suspek merupakan seorang jurunikah bertauliah namun memilih untuk melakukan aktiviti pernikahan dengan cara sedemikian.
Kegiatan warga emas itu terbongkar selepas beberapa pasangan yang dinikahkan olehnya cuba mendaftarkan perkahwinan mereka di JAIP namun pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat unsur meragukan dalam pernikahan mereka.

Hak jagaan kepada bekas isteri



SHAH ALAM 6 April - Hak penjagaan sementara dua anak ahli perniagaan yang dibunuh dengan kejam di sebuah bilik hotel di Port Dickson pada 27 Mac lalu, Ramlee Osman diserahkan sementara kepada bekas isterinya, Aida Hanim Mohamad Ali.
Sementara ibu bapa dan ahli keluarga Allahyarham pula diberi kebenaran untuk melawat Dania Sinani, 12, dan Nurin Sabrina, 8, pada masa yang sesuai dengan pengetahuan ibu mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Mohammad Khalid Shaii @ Shaee mengeluarkan perintah itu hari ini selepas mendengar keterangan kedua-dua anak tersebut di kamar beliau berhubung pilihan mereka untuk tinggal bersama Aida Hanim dan persetujuan kedua-dua pihak tentang hak lawatan.
''Jika berlaku perceraian, mahkamah akan tanya anak-anak yang mumaiyiz untuk tinggal dengan ibu atau bapa. Dalam kes ini bapa tiba-tiba meninggal dunia, jadi secara automatik hak jagaan jatuh kepada ibu.
''Mahkamah juga mendapati si ibu layak untuk mendapat hak penjagaan sementara dan kedua-dua anak turut bersetuju untuk tinggal bersama ibu mereka,'' katanya.
Mohammad Khalid bagaimanapun memaklumkan Aida Hanim atau bekas ibu bapa mertuanya boleh membuat permohonan di mahkamah sekiranya timbul sebarang masalah atau pertikaian berhubung hak penjagaan anak-anak itu.
Ramlee, 39, dan Aida Hanim, 39, berkahwin pada 1996. Selepas bercerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 12 Oktober tahun lalu, Aida Hanim memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak jagaan kedua-dua anak mereka.
Bagaimanapun, Ramlee ditemui mati akibat ditetak dengan parang di bahagian paha dan kaki di sebuah bilik hotel di Port Dickson pada 27 Mac lalu.
Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Ramlee, Akbardin Abdul Kader memaklumkan tentang kematian anak guamnya serta hasrat ibu bapa Allahyarham untuk memfailkan permohonan bagi mendapatkan hak jagaan kedua-dua cucu mereka.
Menurut beliau, kanak-kanak itu yang sebelum ini dijaga oleh Ramlee telah diambil oleh Aida Hanim dan sejak itu ibu bapa Ramlee tidak berpeluang berjumpa dengan cucu mereka.
Akbardin yang menyerahkan salinan sijil kematian anak guamnya juga memohon mahkamah menasihati Aida Hanim untuk memberi kerjasama bagi membolehkan ibu bapa Allahyarham melawat cucu mereka.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Aida Hanim selaku plaintif, Norra Syada Osman pula memberitahu, anak guamnya tidak berhasrat untuk memutuskan hubungan antara mereka.
Katanya, ahli keluarga bekas suaminya dibenarkan melawat dua anaknya pada masa yang munasabah dengan memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu.
Berikutan itu, Mohammad Khalid memerintahkan mahkamah berehat seketika untuk membolehkan pihak-pihak berbincang berhubung hak lawatan selain mendengar keterangan kedua-dua anak tersebut di kamar beliau.

Pengsan selepas tukar pengakuan



PETALING JAYA 6 April - Semua yang hadir di Mahkamah Majistret di sini hari ini tergamam seketika apabila salah seorang tertuduh tiba-tiba pengsan di kandang pesalah.
Kepalanya terhantuk kayu kandang pesalah sebelum jatuh terkulai sehingga menghasilkan bunyi dentuman yang kuat di dalam mahkamah.
Pada ketika itu, tangannya masih bergari dengan tiga lagi tertuduh yang juga kelihatan terkejut.
Majistret Ho Kwong Chin kemudian menangguhkan prosiding dan mengarahkan supaya lelaki itu dihantar ke hospital.
Shamsul Embong, 42, sebelum pengsan sempat mengubah pengakuannya kepada tidak bersalah atas tuduhan mencuri sebuah motosikal bernilai RM4,000 milik seorang pemandu lori.
Penganggur yang berasal dari Paya Jaras, Sungai Buloh dekat sini sepatutnya dijatuhkan hukuman hari ini setelah dia mengaku bersalah pada prosiding sebelum ini.
Shamsul didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 10.20 pagi, 24 Januari lalu di tepi gerai pasar tani, Pasar Paya Jaras dekat sini.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun, denda serta sebatan.
Sebaik sahaja tertuduh yang bertubuh kurus itu dibawa keluar dari kandang pesalah, mahkamah diberitahu bahawa Shamsul yang mengidap penyakit batuk kering mengadu sakit perut sejak pagi.
Kes itu akan disebut semula pada 3 Mei ini.

Keputusan kes saman RM480j 14 Mei



KUALA LUMPUR 6 April - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 Mei ini keputusan kes saman Langkawi R&D Academy Sdn. Bhd. terhadap Menteri Pertahanan dan dua lagi bagi menuntut ganti rugi RM480 juta kerana didakwa melanggar kontrak berhubung kerja-kerja menaik taraf pesawat pejuang F5.
Hakim Datuk Abdul Wahab Patail menetapkan tarikh itu setelah beliau berpendapat tiada keperluan bagi mahkamah untuk mendengar keterangan saksi-saksi yang disenaraikan oleh pihak plaintif mahupun defendan.
Mahkamah dijadualkan mendengar keterangan saksi selama tiga hari bermula hari ini.
Namun setelah meneliti fakta yang tidak dipertikaikan dalam pernyataan tuntutan dan ikatan dokumen serta mendapat persetujuan kedua-dua pihak, beliau memutuskan untuk tidak memanggil mana-mana saksi memberikan keterangan.
Hakim Abdul Wahab sepatutnya mendengar keterangan Tan Sri Hashim Meon yang ketika itu memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan selaku defendan pertama.
Hashim yang menamatkan perkhidmatan pada 2003 telah disapina sejak 1 April lalu.
Sebelum tarikh keputusan tersebut, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 16, 23 dan 30 April ini.
Dalam saman yang difailkan pada 2 September 2005, syarikat yang menjalankan perkhidmatan menaik taraf dan pengubahsuaian pesawat itu turut menamakan Menteri Pertahanan defendan kedua serta kerajaan Malaysia defendan ketiga.
Ketiga-tiga defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noramilia Mohd. Saad, Nurhafizza Azizan dan Norazlina Razali.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa telah menerima 'Surat Penerimaan' daripada Kementerian Pertahanan berhubung kerja-kerja menaik taraf pesawat pejuang F5 yang tidak boleh terbang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 12 Julai 2001.
Plaintif mendakwa telah menandatangani kontrak dengan pihak defendan untuk tujuan tersebut pada 11 Oktober 2001 dengan disaksikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ekoran perjanjian itu, plaintif telah melantik CAS Ltd. sebagai subkontraktor untuk kerja-kerja tersebut dan dalam masa sama AIDC Taiwan sentiasa bersedia memberi bantuan kepakaran teknikal.
Bagaimanapun, pada 26 Januari 2002, hubungan kerja dengan CAS Ltd. telah ditamatkan oleh plaintif setelah mendapati komitmen yang kurang memuaskan.
Plaintif kemudiannya bercadang melantik AIDC Taiwan untuk mengambil alih kerja tersebut dan perkara ini dimaklumkan kepada defendan pertama secara bertulis pada 7 Februari 2002.
Namun begitu, plaintif terkejut apabila mendapat tahu bahawa defendan telah secara terus mengadakan beberapa rundingan sulit dengan CAS Ltd. untuk meneruskan kerja-kerja menaik taraf pesawat itu tanpa pengetahuan plaintif.
Dakwa plaintif, CAS Ltd. telah meneruskan kerja-kerja menaik taraf pesawat tanpa penglibatan plaintif.
Pada 6 September 2002, plaintif mendakwa telah menerima surat penamatan kontrak daripada pihak defendan dengan alasan syarikat itu gagal mengemukakan Bon Pelaksanaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kontrak dan menghantar satu unit penunjuk teknologi boleh terbang.
Plaintif mendakwa telah menulis surat untuk menjelaskan isu yang timbul tetapi tiada sebarang jawapan diterima.
Plaintif juga mendapat tahu bahawa sebuah lagi syarikat iaitu AIROD Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan CAS Ltd. serta dua buah syarikat asing untuk membuat kerja-kerja yang sama.
Berikutan itu, plaintif menuntut ganti rugi penamatan perjanjian tersebut yang didakwa dilakukan secara unilateral (satu pihak) dan tidak sah berjumlah RM48 juta.
Di samping itu, plaintif menuntut ganti rugi RM432 juta untuk kehilangan Kontrak Masa Depan (Future Contract), ganti rugi teladan, faedah, kos dan lain-lain perintah.

Meniarap selamatkan kanak-kanak mangsa tikam



BATU PAHAT 6 April - Tindakan dua beradik tidur meniarap mungkin menjadi 'penyelamat' buat mereka daripada mengalami kecederaan serius akibat ditikam dengan gunting oleh ibu kandung yang dipercayai mengalami masalah mental, semalam.
Jika kanak-kanak itu tidur terlentang, mereka mungkin mengalami kecederaan yang lebih teruk sekiranya tikaman itu mengenai organ di bahagian depan tubuh.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, beliau dimaklumkan oleh doktor bahawa mangsa bernasib baik kerana tidur meniarap kerana tikaman itu hanya mengenai bahagian belakang badan.
"Doktor memberitahu polis, jika kanak-kanak itu tidur terlentang, mungkin tikaman akan mengenai organ hadapan sekali gus menyebabkan kecederaan yang lebih serius," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, dua beradik malang itu ditikam ibu mereka menggunakan gunting ketika sedang nyenyak tidur di rumah mereka di Bandar Putra Indah, Tongkang Pechah di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, ibu kanak-kanak tersebut dipercayai mengalami tekanan mental dikatakan menikam belakang badan Zahirul Imran, 10, dan Mohd. Hazim Irsad, 8, manakala seorang lagi anaknya yang berusia enam tahun tidak dicederakan.
Menurut Ibrahim, pihaknya masih menunggu laporan lengkap berhubung tahap kesihatan mental wanita itu daripada pihak hospital untuk membantu siasatan.

Ismail juga cuba diperdaya sindiket SMS



KUALA LUMPUR 6 April - Sindiket menipu orang ramai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan hadiah wang lumayan ternyata tidak mengenal sasaran.
Ia terbukti apabila menteri yang bertanggungjawab untuk membanteras gejala itu turut menerima SMS tersebut.
Pesanan ringkas yang dihantar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan beliau memenangi hadiah RM30,000.
Menurut Ismail, hadiah wang tunai pemberian syarikat Coca-Cola itu kononnya hanya boleh diberi dengan syarat memberi nombor akaun bank berserta kad ATM.
"Pesanan ringkas daripada 'Aslan' itu meminta saya menelefon 012-8610611 untuk mendapatkan hadiah tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Keusahawanan Koperasi Wilayah Persekutuan di Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Ugut bekas isteri, penyanyi Ameng ditahan



KUALA LUMPUR 6 April - Penyanyi kumpulan Spring, Ameng ditahan polis hari ini kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada bekas isterinya yang juga seorang pelakon drama.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 38, ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di Balai Polis Setapak di sini selepas dipanggil untuk merakamkan percakapan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, tangkapan itu dibuat susulan daripada laporan yang dibuat oleh bekas isterinya pada 30 Mac lalu yang menerima SMS berbaur ugutan daripada penyanyi itu.
Katanya, laporan itu dibuat selepas mangsa merasakan dirinya terancam dan terdedah kepada bahaya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan SMS tersebut.
"Ujian air kencing yang dijalankan ke atas penyanyi itu juga mendapati dia positif mengambil ganja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati itu pernah ditahan kerana mengambil dadah jenis methamphetamine di Besut, Terengganu lima tahun lalu.
Dalam kes itu, Ameng bagaimanapun dibebaskan ikat jamin RM2,000 oleh seorang penjamin.
Zakaria berkata, siasatan terhadap penyanyi itu dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya.
Hasil perkongsian dengan bekas isterinya itu, Ameng mempunyai dua anak.
Dia yang memakai baju hitam dan bersongkok serta tangannya bergari dilihat menaiki trak polis ke lokap Balai Polis Bukit Jalil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Pembalak haram redah lumpur paras pinggang



KUCHING 6 April - Dalam keadaan terdesak, pembalak haram di negeri ini sanggup berbuat apa sahaja termasuk meredah lumpur yang mencecah paras pinggang ketika dikejar pihak berkuasa.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Bahagian Risikan dan Operasi Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 5, Deputi Supritendan Mohd. Razlin Abdul Manaf dalam tiga serbuan di perairan Mukah dan Sarekei semalam.
Katanya, dalam serbuan itu, sebanyak 920 batang kayu balak haram pelbagai jenis dirampas di tebing sungai di perairan terbabit.
"Balak-balak itu dipercayai diletakkan di situ sementara menunggu tongkang untuk dibawa ke tempat lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan sepasukan lapan anggota terdiri daripada dua bot PGM dari Kuching dan Sibu di kawasan Sebenak dekat Sungai Batang Lassa, Mukah kira-kira pukul 9 pagi.
Katanya, sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa, lima pekerja bertempiaran melarikan diri dengan meredah lumpur setinggi paras pinggang.
"Hasil pemeriksaan, PGM berjaya menemui sebanyak 500 batang kayu balak yang ditutup dengan ranting kayu bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Kita percaya, balak berkenaan sedang menunggu masa untuk dipunggah ke dalam tongkang untuk dibawa ke tempat lain," katanya.
Mohd. Razlin memberitahu, dalam serbuan kedua, sejam selepas itu di kawasan Penasu dekat Sungai Batang Lassa, PGM berjaya merampas 350 batang balak haram pelbagai jenis.
Katanya, serbuan ketiga pula dilakukan di kawasan Loba Sereding dekat bahagian Sarikei dan berjaya menemui 70 batang balak pelbagai jenis yang diletakkan di tebing anak sungai berkenaan.
"Polis masih menyiasat nilai sebenar ketiga-tiga rampasan itu dan kes berkenaan akan dirujuk kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sorok syabu dalam batang besi bagasi





Nordin Kadir (dua dari kiri) menunjukkan batang besi bagasi yang berisi dadah jenis syabu.



SHAH ALAM 6 April - Meskipun menyedari ramai anggota mereka diberkas, sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga Iran tidak pernah serik dan sentiasa menukar taktik untuk menyeludup masuk dadah ke negara ini.
Terbaru, sindiket itu menyorokkan serbuk dadah jenis syabu di dalam batang besi penarik bagasi.
Taktik yang dipercayai baru pertama kali digunakan sindiket itu di negara ini dikesan dalam tiga operasi pemeriksaan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, masing-masing pada 29 Mac, 3 dan 4 April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dalam tiga operasi itu, lima warga Iran ditahan dan 2.55 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM625,000 dirampas.
Beliau berkata, turut dirampas, wang tunai AS$1,579 (RM5,180), 2,168,500 riyal Iran (RM727) dan RM317.
Menurut beliau, kelima-lima suspek ditahan untuk pemeriksaan selepas pihaknya mendapati mereka membawa bagasi masing-masing dengan cara yang mencurigakan.
"Pihak kami hairan kerana mereka membawa bagasi yang besar tetapi tidak menggunakan besi penarik bagasi tersebut.
"Kita semakin curiga sebaik sahaja mendapati bagasi mereka hanya mengandungi beberapa helai pakaian.
"Berikutan itu, kita siasat pula mengapa besi penarik beg mereka tidak digunakan dan akhirnya kami menemui serbuk dadah jenis syabu disorokkan di dalam batang besi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Nordin memberitahu, pemeriksaan dan tangkapan pertama pada 29 Mac lalu melibatkan dua warga Iran berusia 24 dan 26 tahun yang membawa tiga buah bagasi.
Ujar beliau, sebanyak 1.5 kilogram serbuk syabu ditemui.
"Tangkapan kedua serta ketiga pada 3 dan 4 April pula melibatkan tiga lagi warga Iran berusia antara 24 tahun hingga 32 tahun yang membawa empat buah beg.
"Hasil pemeriksaan, kami menemui sebanyak 1.05 kilogram dadah syabu dimasukkan dalam empat batang besi penarik bagasi," kata beliau.
Pihaknya percaya kesemua lelaki itu yang kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 mempunyai kaitan dengan sindiket dadah yang sama.

Perompak tembak rakan bawah pengaruh dadah?



KUALA LUMPUR 6 April - Polis sedang menyiasat kemungkinan suspek yang menembak mati rakannya sendiri selepas merompak sebuah kedai emas di Plaza OUG, Jalan Klang Lama semalam, berada di bawah pengaruh dadah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, tindakan nekad suspek menembak rakannya sendiri itu menggambarkan seolah-olah dia telah mengambil dadah sebelum melakukan rompakan.
Beliau dalam pada itu turut memuji tindakan pengawal keselamatan di kedai emas tersebut yang tidak mengejar suspek ketika mereka melarikan diri.
"Sekiranya suspek dikejar, ia mungkin mendorong penjenayah untuk melepaskan tembakan dan ini berisiko kepada pelanggan serta orang ramai yang berada dalam plaza ketika itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, seorang perompak sanggup menembak mati rakannya sendiri yang cedera ketika kedua-dua penjenayah itu melarikan lapan dulang barangan kemas dari sebuah kedai emas.
Kejadian pukul 2.40 petang berlaku di sebuah kedai emas di plaza berkenaan selepas dua penjenayah terbabit sedang meloloskan diri setelah mengaut barang kemas bernilai kira-kira RM500,000.
Ditanya mengenai laporan bedah siasat yang dilakukan ke atas penjenayah yang mati ditembak itu, Muhammad Sabtu berkata, polis masih menunggu keputusan laporan itu.

Benjy bongkar aktiviti proses dadah





Muhammad Sabtu Osman menunjukkan sebahagian kelengkapan memproses dadah yang dirampas hasil maklumat yang diperoleh daripada Benjy semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 6 April - Tindakan polis menahan semula Khairell Benjamin Ibrahim atau Benjy pada 25 Mac lalu berjaya membongkar kegiatan memproses dadah yang dipercayai dilakukan oleh pelakon itu sejak enam bulan lalu.
Malah, Benjy, 32, sendiri pada 31 Mac lalu membawa beberapa anggota polis ke sebuah kondominium di Jalan Segambut. Di sana, pelakon itu menunjukkan peralatan untuk memproses dadah jenis syabu yang disembunyikan di sebuah stor di tingkat 10 kondominium tersebut.
Difahamkan, Benjy tinggal di tingkat enam kondominium yang sama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya turut merampas satu unit pen-drive mengandungi 11 topik yang menerangkan mengenai cara-cara menghasilkan dadah jenis syabu. Kandungan itu turut dilengkapi dengan penjelasan berbentuk video.
Beliau memberitahu, pihak forensik kini dalam proses mendapatkan kesan-kesan cap jari yang terlekat pada peralatan itu bagi mengenal pasti penglibatan individu lain.
"Kita juga sedang menganalisis bahan-bahan kimia serta sisa-sisa pada beberapa peralatan itu bagi mendapat kepastian sama ada ia pernah digunakan suspek untuk memproses syabu atau sebaliknya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Benjy, anak lelaki tunggal pelakon veteran, Azean Irdawaty ditahan semula oleh beberapa anggota polis berpakaian preman, kira-kira lapan minit selepas dibebas dengan ikat jamin di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 25 Mac lalu.
Sebelum itu, pada 12 Mac lalu, pelakon itu ditahan bersama teman wanitanya di sebuah unit kondominium disewanya di Kepong.
Diminta mengulas mengenai tindakan polis menahan semula Benjy selepas pertuduhan pertama mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibenarkan ikat jamin, Muhammad Sabtu berkata;
"Hasil risikan mendapati pelakon tersebut perlu ditahan semula bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 yang membolehkan dia ditahan selama 60 hari.
"Kita yakin ada sesuatu perkara yang boleh dibongkarkan dengan penahanannya itu dan tindakan kita terbukti berhasil."
Ditanya mengenai kesahihan kandungan kimia seberat 800 gram yang dikatakan dadah sebelum ini, beliau berkata, Jabatan Kimia mengesahkan bahan tersebut kalsium karbonat.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika diajukan soalan sama ada kalsium karbonat mampu menghasilkan dadah atau sebaliknya.
Berdasarkan beberapa sampel yang diambil daripada badan Benjy, beliau berkata, Jabatan Patologi mengesahkan pelakon itu turut positif mengambil dadah.
Berikutan itu, kata beliau, polis akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya menghantar pelakon itu ke pusat pemulihan dadah.
Dengan penahanan Benjy, Muhammad Sabtu yakin polis berjaya menyekat suspek daripada terus melakukan aktiviti memproses dadah jenis syabu dan menjalankan pengedarannya di sekitar Lembah Klang.