Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 5 April - Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra (
gambar) hari ini menarik balik saman yang dikemukakan untuk mengesahkan bahawa pelantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Kelantan, Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah sebagai 'Pemangku Raja Kelantan' adalah tidak sah dan terbatal.
Permohonan menarik balik saman pemula itu dibuat oleh peguam Zainur Zakaria yang mewakili Tengku Mahkota Kelantan itu ketika kes disebut di kamar Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Aziah Ali.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili 'Setiausaha Sulit' kepada Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud ketika bercakap kepada pemberita sejurus prosiding selesai memberitahu, Zainur tidak memberikan sebarang alasan ketika menarik balik saman tersebut.
Menurut Gobind, Zainur menarik balik saman tersebut dengan kebebasan untuk memfailkannya semula.
Dalam saman yang difailkan pada 30 Mac lalu, Tengku Mahkota Kelantan itu mendakwa, tindakan Tengku Abdul Aziz dan dua lagi defendan bukan sahaja salah di sisi undang-undang bahkan menimbulkan kegelisahan dan kekeliruan di kalangan rakyat.
Tengku Muhammad Faris menamakan adindanya, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra sebagai defendan pertama, Wan Hashim defendan kedua, dan Tengku Abdul Aziz defendan ketiga.
Tengku Muhammad Fakhry diwakili peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay manakala peguam Nizam Bashir mewakili Tengku Abdul Aziz.
Selain Tengku Muhammad Faris sebagai plaintif pertama, turut disenaraikan adalah Kerajaan Negeri Kelantan plaintif kedua dan Setiausaha Kerajaan Negeri plaintif ketiga.
Melalui saman tersebut, pihak plaintif turut memohon deklarasi bahawa 'pengisytiharan' bertarikh 24 Mac lalu kononnya daripada Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang diumumkan oleh Wan Hashim dan Tengku Abdul Aziz berhubung penamatan pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja adalah tidak sah dan terbatal.
Plaintif turut memohon deklarasi untuk menyatakan bahawa pihak defendan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mewakili atau bertindak bagi pihak Sultan Kelantan dalam sebarang urusan dan pelaksanaan fungsi serta tugas-tugas Sultan berkenaan.
Dengan itu, pihak plaintif menuntut injunksi bagi menghalang Tengku Abdul Aziz daripada menjadi representasi, menyatakan atau mendakwa dirinya 'Pemangku Raja' dan mengganggu atau mencampuri segala kuasa, fungsi dan tugas Tengku Muhammad Faris selaku Pemangku Raja dalam segala urusan hal ehwal negeri tersebut.
Mereka turut menuntut injunksi menghalang pihak defendan melalui wakil mereka daripada mewakili atau bertindak bagi pihak Sultan Kelantan dalam hal ehwal negeri dan mengganggu atau mencampuri kuasa, fungsi dan tugas Tengku Muhammad Faris.
Di samping itu, plaintif menuntut injunksi menghalang pihak defendan daripada mencampuri atau mengganggu segala tugas dan fungsi plaintif kedua dan ketiga dalam pengurusan dan pentadbiran negeri tersebut.
Dalam permohonan itu, plaintif menyatakan, Tengku Muhammad Faris merupakan Pemangku Raja yang dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri melalui pemasyhuran pada 24 Mei tahun lalu berikutan Sultan Kelantan dalam keadaan gering.
Dakwa plaintif, menurut undang-undang, hanya Tengku Muhammad Faris selaku Pemangku Raja yang mempunyai kuasa untuk menjalankan segala urusan hal ehwal negeri sehingga Sultan Kelantan diisytiharkan atau disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri telah sembuh.
Menurut plaintif, Sultan Kelantan bagaimanapun sehingga kini masih gering dan tiada sebarang pengisytiharan dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri bahawa baginda telah sembuh dan boleh menyambung semula tugas.
Menurut mereka lagi, sekiranya pihak defendan tidak dihalang daripada terus melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan terus merepresentasi diri mereka sedemikian, ia akan memberi impak yang serius ke atas pentadbiran dan rakyat Kelantan.
Memetik laporan akhbar, Wan Hashim pada 25 Mac lalu telah membacakan 'pengisytiharan' Sultan Kelantan, yang mendakwa Tengku Muhammad Faris telah ditamatkan pelantikannya sebagai Pemangku Raja setelah ingkar perintah Sultan agar tidak meneruskan sebarang bentuk perayaan sempena Hari Keputeraan baginda dan digantikan dengan Tengku Abdul Aziz.