Search This Blog

Thursday, April 1, 2010

Syarikat IT saman UiTM RM32.4 juta


01/04/2010 6:40pm

SHAH ALAM 1 April - Sebuah syarikat yang mendakwa menanggung kerugian kira-kira RM32.4 juta kerana perlanggaran kontrak oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung perkhidmatan sistem permohonan kemasukan penuntut secara dalam talian, hari ini memfailkan saman terhadap universiti itu.
Trius Computers Sdn. Bhd. selaku plaintif memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Tetuan Hazura Yusoff & Partners.
Dalam pernyataan tuntutannya, Trius Computer mendakwa pihaknya telah dilantik oleh UiTM bagi membangunkan satu sistem perisian komputer yang dikenali sebagai Aplikasi Elektronik UiTM melalui satu perjanjian bertarikh 15 Jan 2004.
Plaintif mendakwa sistem itu bertujuan memproses sistem permohonan kemasukan penuntut di peringkat Sijil, Pra Diploma, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ph.D serta kursus-kursus profesional yang ditawarkan oleh defendan.
Trius Computer mendakwa rentetan daripada perjanjian itu pihaknya telah bersetuju untuk menjadi perunding dan membangun serta mengendalikan sistem permohonan kemasukan secara dalam talian itu bagi pihak UiTM selama 15 tahun bermula 21 Ogos 2001 sehingga 20 Ogos 2016.
Bagaimanapun plaintif mendakwa, pada 7 Mac lepas, UiTM didapati telah mengiklankan dalam akhbar Mingguan Malaysia berkaitan Permohonan Kemasukan Pelajar Baru Sesi Julai 2010 melalui alamat laman web http://www.online.uitm.edu.my dan tindakan universiti itu didakwa telah melanggar perjanjian mereka kerana alamat laman web yang diiklankan bukanlah seperti yang dikendalikan oleh plaintif iaitu www.uitmonline.edu.my.
Trius Computer mendakwa tindakan UiTM mengiklankan alamat laman web yang lain selain daripada apa yang dijalankan oleh plaintif telah secara tersiratnya menunjukkan bahawa universiti itu telah menamatkan perjanjian mereka. - Bernama

Penasihat punca Woods gila seks



WOODS


NEW YORK - Bintang golf dunia, Tiger Woods menjadi seorang yang suka mengikut nafsu dan 'gila' seks kerana dia bergaul dengan dua orang 'penasihatnya' iaitu legenda bola keranjang profesional, Micheal Jordan dan Charles Barkley yang terkenal dengan kehidupan suka berfoya-foya, lapor sebuah akhbar semalam.
Pendedahan itu dibuat oleh bekas penasihatnya yang merupakan seorang peguam, John Merchant dalam satu temu ramah dengan majalah Vanity Fair baru-baru ini.
"Saya memberitahu Woods, jauhkan diri daripada Jordan kerana dia tidak memberi apa-apa selain bermain bola keranjang," kata Merchant.
Menurutnya, jika Woods mempunyai penasihat yang lebih baik, nasibnya tidak buruk seperti sekarang.
Pada tahun lalu, media mendedahkan satu siri kecurangan Woods yang menjalin hubungan seks dengan sejumlah wanita sehingga hampir menjejaskan rumah tangga dengan isterinya, Elin Nordegren.
"Saya menyayangi budak itu (Woods). Saya melihatnya membesar sejak bertahun-tahun lamanya. Saya menyaksikan semua kemusnahannya. Ia sepatutnya tidak berlaku," kata Merchant.
Menurutnya, dia dipecat kerana bergaduh dengan Woods berhubung isu kewangan.
Pada 1996, semasa Woods berumur 21 tahun, dia mendapat satu kontrak urus niaga bernilai AS$40 juta (RM130.40 juta) dengan syarikat Nike.
Merchant berkata, dia mengkritik mendiang bapa Woods kerana mengambil sebanyak AS$1 juta (RM3.2 juta) daripada wang tersebut.
Peguam itu berkata, dia kemudian dipecat dan Woods dikelilingi oleh sekumpulan penasihat 'pak angguk.'
Jordan pernah keluar bersama dengan seorang wanita simpanan Woods, Loredana Jolie Ferriolo semasa dia dihantar oleh seorang ibu ayam, Michelle Braun ke sebuah kasino di Bahamas.
Woods tidak kedekut apabila mendapatkan khidmat seks apabila dia membayar sebanyak AS$15,000 (RM48,937) pada perjumpaan pertamanya dengan Ferriolo.
Seorang lagi wanita simpanan Woods, Jamie Jungers memberitahu bahawa bintang golf itu pernah menghantar khidmat pesanan ringkas dengan menyatakan dia sedang berjudi dengan Barkley.
Menurutnya, dia pernah melihat penasihat Woods itu bermain judi bersama bintang golf tersebut dengan wang taruhan mungkin AS$25,000 (RM81,562).
Majalah itu turut menyiarkan gambar Ferriolo yang berbaring tanpa seurat benang.
Antara pendedahan lain dalam majalah itu termasuk nafsu seks Woods yang tidak pernah puas. - Agensi

Lagi serangan berani mati



ANGGOTA-ANGGOTA forensik memeriksa lokasi letupan bom dua penyerang berani mati di Kizlyar, Rusia semalam.


MOSCOW - Dua pengebom berani mati membunuh 12 orang semalam dalam dua serangan terhadap pihak polis di Caucasus Utara, sebuah kawasan yang didiami ramai penduduk Islam di Rusia.
Keganasan terbaru itu berlaku hanya dua hari setelah 39 orang mati dalam dua serangan bom berani mati berasingan di sini.
Sembilan anggota polis termasuk seorang ketua polis tempatan maut dalam serangan terbaru di Caucasus Utara, melibatkan wilayah Dagestan yang kucar-kacir akibat penentangan penduduk Islam terhadap pemerintahan anti-Moscow.
Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau tidak menolak serangan terbaru itu berkait rapat dengan serangan berani mati di Moscow oleh dua pengebom wanita pada Isnin lalu yang dilakukan bagi membalas dendam ekoran tindakan pemerintah Rusia membanteras keganasan militan.
Pada satu kejadian, seorang pengebom berani mati dalam sebuah kereta meletupkan dirinya apabila polis cuba memintasnya di bandar Kizalyar dekat Dagestan.
Semasa penyiasat dan penduduk berhimpun di tempat kejadian, seorang lagi pengebom berani mati yang memakai pakaian seragam polis meletupkan dirinya dengan membunuh seorang ketua polis tempatan. - Agensi

Rokok ada sel darah babi



ROKOK bukan sahaja berbahaya tetapi kini timbul isu kandungan darah babi di dalamnya.


KUALA LUMPUR - Seorang pakar akademik dari Australia semalam mendedahkan satu hasil kajian di Belanda baru-baru ini yang mendakwa menemui sel darah merah babi sebagai kandungan penyekat bahan kimia dalam puntung rokok.
Profesor Simon Chapman dari Universiti Sydney dilaporkan berkata, kajian itu mendapati babi digunakan dalam 185 jenis industri termasuk penemuan sel darah merah haiwan itu dalam penapis (filter) rokok.
Kenyataan beliau yang disiarkan oleh akhbar Daily Telegraph kelmarin menjelaskan, hasil kajian tersebut pastinya mengejutkan perokok yang beragama Islam serta Yahudi yang diharamkan memakan babi.
Menurutnya, setakat ini satu jenama rokok yang dijual di Greece telah didapati mengandungi darah babi.

Wanita Thai dalang sindiket edar dadah diberkas



KUALA TERENGGANU 31 Mac - Seorang wanita warga Thailand yang diburu sekian lama kerana menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di negeri ini, akhirnya berjaya diberkas ketika ingin menghadiri kenduri kahwin saudaranya di Rantau Panjang, Jumaat lalu.
Suspek yang berusia 32 tahun dan berasal dari Nakonsitamrat, Thailand, itu ditahan berhampiran terminal Imigresen di Rantau Panjang, Kelantan, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, suspek adalah dalang satu sindiket pengedaran beberapa jenis dadah yang berjaya ditumpaskan polis tahun lalu.
Katanya, siasatan turut mendapati, suspek memiliki dua kerakyatan iaitu negara ini dan Thailand, bagi mengabui mata pihak berkuasa.
Tambah beliau, suspek juga merupakan isteri kedua kepada seorang pengedar dadah yang diberkas tahun lalu.
"Suspek yang mempunyai empat anak itu sangat licik dan pergerakannya sukar dikesan. Dia disyaki menyembunyikan diri di Thailand sejak tahun lalu.
"Wanita itu juga menggunakan ejen tertentu untuk membawa dadah bagi mengelakkan diri dikesan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika ditahan, suspek berpura-pura tidak faham bahasa Melayu tetapi identitinya terbongkar apabila dirujuk ke pejabat pendaftaran di sini.
"Pemeriksaan di pejabat pendaftaran mendapati suspek sebenarnya memiliki dua kerakyatan," ujarnya.
Katanya, selain dalang sindiket pengedaran dadah dari Thailand, suspek turut terlibat menyeludup minyak di Rantau Panjang.
Dalam kejayaan lain, kata Roslan, seorang petani berusia 37 tahun yang dikehendaki kerana gagal hadir perbicaraan satu kes dadah melibatkannya selepas dibebaskan dengan jaminan berjaya diberkas polis, Jumaat lalu.
"Siasatan mendapati, dia bersembunyi di kebun pisang di Tepoh, sepanjang tempoh itu, dan dipercayai masih menjalankan kegiatan pengedaran dadah.
"Sebelum ini, 10 pekerjanya juga terdiri daripada penagih-penagih dadah. Suspek turut dipercayai menggunakan isterinya yang merupakan warga Thailand untuk mendapatkan bekalan dadah," ujarnya.
Katanya, suspek berjaya diberkas ketika cuba melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya di persimpangan tasik Kenyir.
"Kereta Mitsubishi Storm yang mereka naiki terbabas ke dalam longkang. Suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
"Suspek dipercayai ada kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah dengan pengusaha besi buruk yang ditangkap di Kampung Banggol Air Lilih, Batu Enam di sini pada 10 Februari lalu," katanya.

Tidak tahan dibuli, adik tikam abang



KOTA KINABALU 31 Mac - Akibat tidak tahan kerana sering dibuli, seorang adik menikam abangnya dengan pisau sehingga mati di rumah mereka di Taman Reservoir, Luyang, di sini semalam.
Mangsa yang berusia 26 tahu, penuntut tahun akhir jurusan pemasaran Universiti Malaysia Sabah (UMS) meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam kejadian pada pukul 5.10 petang.
Menurut Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, mangsa ditikam di bahagian dada, kedua-dua belah bahu dan di lengannya.
Katanya, ketika ditemui, mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah sementara suspek berada di sisinya.
"Suspek yang menuntut di sebuah kolej telah direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, menurut bapa mereka yang enggan dikenali, mangsa tidak menyukai suspek dan sering membulinya sejak berusia tiga tahun.
"Sejak kecil lagi mereka selalu bergaduh dan yang terbaru abangnya menumbuk mata adiknya, Disember lalu," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu

Badrul Muhayat direman empat hari



Badrul Muhayat dibawa ke mahkamah majistret, Ampang, semalam, untuk mendapat perintah tahanan reman kerana didakwa memukul isterinya.


KUALA LUMPUR 31 Mac - Pelakon dan model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani yang ditahan polis malam tadi, direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan mencederakan isterinya pada 24 Mac lalu.
Artis berusia 41 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Ampang Jaya di sini pukul 9.25 pagi bersama beberapa tahanan lain. Dia dilihat memakai kemeja dan berseluar pendek dengan tangan bergari.
Badrul Muhayat kemudian dilihat memaki hamun wartawan dan jurugambar yang menghampirinya sebaik sahaja dia turun dari kenderaan polis.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Karimah Wan Abd. Ghani.
Pelakon yang terkenal melalui filemHarry Boy dan Riang Tirana pada tahun 1990-an itu gagal dikesan selepas didakwa memukul isterinya di rumah mereka di Kampung Cheras Baru minggu lalu.
Isterinya, Julia Daud, 28, kelmarin menceritakan kejadian yang menimpa dirinya dan dianggap mimpi ngeri dalam perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, Badrul Muhayat ditahan polis ketika berada di sebuah restoran di Taman Nirwana, Ampang kira-kira pukul 11 malam tadi.
Pelakon yang dikurniakan dua orang anak itu kini disiasat kerana dua kes ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan satu kes mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Lapan tentera terbunuh bertempur pemberontak Muslim



01/04/2010 3:16am

SRINAGAR, India 1 April - Lapan anggota tentera terbunuh dalam satu pertempuran sengit antara pemberontak Muslim dengan pasukan keselamatan India dalam wilayah Kashmir yang ditadbir India semalam, kata polis.
Dalam satu pertempuran yang berasingan, seorang turut tentera terbunuh.
Tentera dan polis tempatan kelmarin telah bergabung melancarkan serangan selepas mendapat maklumat bahawa pemberontak bersembunyi dalam hutan di sebuah kampung di Budhal, kira-kira 160 kilometer ke barat daya Srimagar, bandar utama Kashmir yang di perintah India, kata pegawai polis Ramesh Kumar.
Masing-masing empat orang pemberontak dan tentera India serta seorang polis terbunuh dalam pertempuran yang telah berakhir semalam, beritahu Kumar kepada The Assosciated Press.
Katanya, seorang lagi tentera India turut terbunuh ketika dipercayai menghadapi puak militan dalam satu serangan yang berlaku dekat Tryath.
Bagaimanapun tidak ada mana-mana pihak mengesahkannya.Kashmir menjadi rebutan antara India dan Pakistan yang membawa kepada dua peperangan. - AP

36 GRO ditahan dalam Ops Noda



SEREMBAN 31 Mac - Meskipun sering menjadi sasaran polis, pengusaha premis hiburan di sekitar Taman AST di sini seolah-olah cuba mencabar pihak berkuasa apabila terus membawa masuk pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dari negara asing untuk bekerja di premis mereka.
Buktinya, seramai 36 GRO warga asing ditahan dalam operasi 'Ops Noda' yang dijalankan oleh Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini malam tadi.
Pegawai Turus D7, Asisten Supritendan Habibi Majinji memberitahu, serbuan bermula pukul 9 malam itu disertai enam pegawai dan 28 anggota membabitkan tiga operasi berasingan.
Katanya, operasi itu diadakan setelah pihaknya menerima aduan pusat-pusat hiburan di kawasan ini mengambil GRO asing.
"Dalam serbuan itu, kami menahan seramai 34 warga China serta dua warga Vietnam.
"Ketika diserbu, terdapat GRO yang cuba melarikan diri namun kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an itu berjaya ditahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Habibi turut mendedahkan, salah seorang daripada wanita warga China yang ditahan menyalahgunakan visa pelajar untuk bekerja di premis hiburan terbabit.
Turut ditahan, tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai menjadi 'penjaga' kepada GRO asing ini.

Militan Chechen mengaku lakukan serangan bom Moscow


Militan Chechen mengaku lakukan serangan bom Moscow

01/04/2010 3:16am

MOSCOW 1 April - Seorang pemimpin militan Chechen mendakwa bertanggungjawab dalam dua serangan pengebom berani mati di stesen keretapi bawah tanah Moscow yang telah membunuh 39 orang serta mencederakan yang lain.
Doku Umarov yang mengetuai militan Islam di Chechnya dan wilayah berjiran, Caucasus di utara Rusia dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web pro-pemberontak berkata, serangan itu adalah untuk membalas dendam di atas pembunuhan orang awam oleh pasukan keselamatan Rusia.
Kenyataan Doku yang disiarkan semalam itu berkata, serangan ke atas bandar-bandar Rusia akan diteruskan.
Pihak berkuasa Rusia berkata, serangan bom pengganas pertama di Moscow enam tahun lalu telah dilakukan oleh puak militan dari utara Caucasus. - AP

Peluru berpandu AS bunuh 36 militan, 6 tentera Pakistan



01/04/2010 3:16am

PESHAWAR, Pakistan 1 April - Serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat di kawasan pergunungan bersempadan dengan Afghanistan semalam telah membunuh 36 orang militan dan enam orang tentera Pakistan.
Pakistan dan Amerika Syarikat telah menumpukan serangan ke atas para pemimpin Taliban dan Al-Qaeda yang berpusat di kawasan pergunungan sempadan daerah barat laut Pakistan, yang disifatkan oleh Washington sebagai wilayah paling bahaya.
Menurut tentera Pakistan, 80 hingga 100 orang militan yang lengkap bersenjata serta roket dan kenderaan di daerah suku Khyber yang berada di bawah kawalan NATO telah melakukan serangan berani mati ke atas sebuah kem tentera yang menyebabkan enam orang askar maut.
Kira-kira 100 orang militan turut melancarkan serangan ke atas kem di Jansi dekat bandar Bara sekitar pukul 2 pagi, kata ketua pentadbir tempatan, Shafirullah Wazir.
“Pasukan keselamatan membalas serangan dan berbalas tembakan yang nuh 20 orang pengganas serta mencederakan lebih 30 yang lain,” kata pihak tentera. - AFP

Din Beramboi kritikal




Keluarga terdekat dan rakan-rakan artis melawat Din Beramboi di Hospital Selayang semalam.



KUALA LUMPUR - Deejay radio popular yang juga personaliti televisyen, Din Beramboi (gambar), kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang di sini sejak petang semalam kerana dipercayai dijangkiti virus kencing tikus.
Anak sulung beliau yang hanya mahu dikenali sebagai "Kakak" berkata, bapanya mungkin mengalami jangkitan haiwan tersebut selepas menjalani penggambaran rancangan kanak- kanak di Zoo Negara beberapa hari lalu.
"Saya terkejut dan sedih sebab ayah sebelum ini sihat dan tiada tanda-tanda sakit. Mulanya kami sekeluarga ingat ayah kena denggi.
"Mungkin ayah kena jangkitan virus haiwan itu ketika di Zoo Negara.
"Sepatutnya setiap krew yang terlibat disuntik dengan vaksin khas untuk menghindari sebarang jangkitan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Selayang semalam.

Wahid didakwa terima RM50,000


KUALA LUMPUR 30 Mac - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don menerima RM50,000 setelah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh pada 2008.
Saksi pendakwa ke-29, Datuk Seri Low Chang Hian berkata, wang itu diserahkan ketika berkunjung ke rumah Wahid bersama-sama dengan rakannya 'Mr Sim', iaitu orang yang turut terlibat dalam mendapatkan pekerja asing.
Katanya, pembayaran itu adalah susulan daripada pembayaran pertama yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan, Datuk Zulkafli Maulud sebanyak RM350,000 setelah memperoleh kelulusan visa tersebut.
''Sim menghubungi saya untuk berjumpa di rumah Datuk Wahid. Perbincangan turut berkisar mengenai perkara lain, bukan mengenai pekerja Bangladesh sahaja kerana Sim asalnya mahu mendapatkan nasihat dan panduan daripada Datuk Wahid kerana Sim diberikan kelulusan oleh kementerian untuk menubuhkan pejabat perwakilan di China.
''Selepas itu Sim berikan satu sampul surat kepada saya dan berkata ia mengandungi RM50,000 dan beritahu saya wang dalam sampul surat itu untuk dikongsi antara Datuk Wahid dan saya. Saya tidak buka sampul surat itu, saya hanya serahkan kepada Datuk Wahid,'' katanya.
Chang Hian, 66, memberi keterangan pada perbicaraan kes Wahid, 57, yang didakwa menerima rasuah sebanyak RM60,000 daripadanya, juga seorang ahli perniagaan pada 19 Ogos tahun lalu sebagai upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.
Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang off Jalan Duta, pada 10.15 malam, 10 Julai 2008.
Terdahulu Chang Hian memberitahu, beliau berjumpa dengan Wahid ketika bermain golf pada 2006 dan dalam pertemuan itu Zulkafli turut ada bersama.
Katanya, Zulkafli pernah beberapa kali menghantar maklumat kepadanya untuk mendapatkan kelulusan visa.
Sepanjang urusan itu, katanya, Zulkafli telah menghantar maklumat sebanyak 16 kali mengenai pekerja dan syarikat pemohon, bermula 24 Jun hingga 28 Julai 2008 menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) melibatkan 3,773 pekerja.
Chang Hian berkata, Sim menetapkan bayaran sebanyak RM280 setiap seorang dan terdapat beberapa pembahagian di kalangan mereka yang terlibat dengan jumlah keseluruhannya RM1,056,440 untuk 3,773 pekerja.
''Bayaran RM280 itu, menurut Sim adalah RM180 adalah untuk diberikan kepada menteri, RM20 untuk rakan Sim yang juga seorang peguam yang menjadi perantara kepada menteri, Sim ambil RM40 untuk diri sendiri, RM20 untuk Wahid dan RM20 bagi belanja saya,'' katanya.
Saksi itu berkata, pada 9 Julai 2008, beliau telah ditangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Hotel PJ Hilton setelah selesai berurusan dengan Zulkafli.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin bersambung 10 Mei.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Azrin Zairin Nik Abdullah dan Ahmad Kamal Ariffin Ismail manakala Wahid diwakili peguam Datuk V. Sithambaram. - BERNAMA

Nafkah: Haleeda mohon notis tunjuk sebab ke atas Azman Adnan


KUALA LUMPUR 30 Mac - Penyanyi dan pelakon, Haleeda mengemukakan permohonan supaya notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap bekas suaminya, Azman Adnan yang didakwa gagal membayar tunggakan nafkah anak tunggal mereka.
Azman, 39, yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan didakwa gagal membayar secara konsisten nafkah bulanan anak mereka, Amira Amani, 15, antara Jun 2008 dan Mac lalu yang kini jumlahnya mencecah ribuan ringgit.
Mengikut persetujuan bersama antara pasangan tersebut, Azman sepatutnya membayar nafkah anak sebanyak RM350 sebulan mulai Jun 2008.
Ketika kes itu disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini, peguam syarie, Mahyuddin Md. Zahari yang mewakili Haleeda memaklumkan, permohonan itu difailkan pada 12 Mac lalu.
Berikutan terdapat kekeliruan pada jumlah tunggakan nafkah yang dikemukakan, Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad mengarahkan pihak peguam memfailkan afidavit pindaan yang mencatatkan jumlah tunggakan sebenarnya.
Hakim berkenaan kemudian menetapkan kes itu disebut semula pada 6 April ini.

Kes sah, bubar pernikahan Raisuddin serentak


SHAH ALAM 30 Mac - Permohonan pengesahan nikah penyanyi tahun 1980-an, Raisuddin Hamzah dan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi serta permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu akan didengar bersama di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Hakim Syarie, Abu Zaky Mohamad memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan bapa mertua Raisuddin, Suberi Abdullah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rendah Syariah yang menolak permohonannya untuk membubarkan perkahwinan pasangan itu secara faraq.
Beliau menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan atau tuntutan yang berkaitan sebelum kedua-dua kes itu didengar dan diputuskan.
Abu Zaky memutuskan demikian setelah beliau berpuas hati bahawa sebarang perkara berbangkit berhubung pernikahan poligami termasuk permohonan faraq adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Menurutnya, hakim Mahkamah Rendah terkhilaf semasa memerintahkan permohonan itu ditolak sedangkan hakim berkenaan sepatutnya memindahkannya ke Mahkamah Tinggi.
Abu Zaky kemudiannya mengarahkan Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan Raisuddin dan Siti Fatimah secara faraq di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Beliau turut mengarahkan permohonan Raisuddin untuk mengesahkan nikahnya di Mahkamah Tinggi berasingan didengar bersama bagi mengelakkan timbul ketidakseragaman dan pertindihan antara kedua-dua kes tersebut.
Pernikahan Raisuddin, 54, dengan Siti Fatimah, 23, di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq.
Permohonan itu dibuat dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.
Permohonan itu bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini dengan alasan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut.
Suberi kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan itu selain memohon untuk mendapatkan perintah injunksi sementara bagi menghalang pasangan itu daripada tinggal serumah dan menjalankan kehidupan sebagai suami isteri sehingga rayuan itu selesai.
Sementara itu, Raisuddin pula memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan poligami di Mahkamah Tinggi Syariah di sini dan perbicaraan kes itu akan bersambung pada 25 Ogos ini.
Pada prosiding hari ini, hanya Suberi yang hadir, manakala Raisuddin tidak dapat berbuat demikian kerana sedang dirawat di Hospital Tanjung Karang berikutan masalah jantung.
Bapa kepada penyanyi popular, Siti Sarah dan isteri keduanya diwakili peguam syarie Norazmi Mohd. Arif sementara peguam syarie Salwila Abdullah pula mewakili Suberi.