Search This Blog

Tuesday, March 30, 2010

Perancah besi bangunan UMT runtuh, 1 maut



Khairul Azlam   
KUALA TERENGGANU, 29 Mac: Perancah besi bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang masih dalam pembinaan runtuh pada jam 5.15 petang tadi menyebabkan seorang pekerja maut dan empat cedera.
Ketika kejadian, lapan pekerja asing yang dipercayai warga Bangladesh sedang melakukan kerja di tingkat empat bangunan itu di mana penghubung besi dan perancah runtuh mengakibatkan seorang pekerja tertimbus dalam konkrit manakala seorang lagi tersepit di celah penahan besi.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira sejam 20 minit untuk mengeluarkan pekerja yang tersepit itu dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Mengulas kejadian itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ia berlaku kerana kecuain pekerja.

Maut kutip bom dalam tong sampah

2010/03/30

ATHENS: Sebutir bom meletup di hadapan sebuah institut latihan pegawai awam di barat Athens kelmarin, mengorbankan seorang remaja lelaki Afghanistan berusia 15 tahun dan mencederakan adik perempuan serta ibunya.

Polis berkata, budak lelaki itu mati ditempat kejadian sementara adiknya berusia 10 tahun cedera parah dan ibu mereka hanya cedera ringan.

Budak perempuan itu dikejarkan ke hospital berhampiran selepas bom yang diletakkan dalam sebuah beg meletup di daerah Patissia jam 10.50 malam waktu tempatan.

Satu kenyataan polis berkata, keluarga itu pergi ke daerah berkenaan setiap malam untuk menyelongkar tong sampah.

“Kemungkinan budak lelaki terbabit menemui dan membuka beg yang mengandungi bom itu,” katanya.

Polis anti-pengganas Greek mengepung kawasan itu selama beberapa jam.
Menteri Perlindungan Awam, Michali Chryssohoides, menyelar tindakan berkenaan dan berjanji akan membawa pihak yang bersalah ke muka pengadilan.
“Seorang lelaki muda terbunuh dalam perangkap maut yang dilakukan pengganas. Pembunuh menganggap kita semua sebagai musuh, sama ada dia anggota polis, pendatang atau hanya warga negara,” katanya.

Serangan ke atas bangunan awam dan perniagaan sering berlaku di sini dan bandar utara Salonika, namun jarang mencederakan sesiapa kerana amaran mengenainya akan diterima bagi membolehkan polis melakukan pembersihan di kawasan itu.

Greece digegarkan oleh beberapa siri serangan ke atas kepentingan ekonomi dan pejabat ahli politik sejak seorang remaja dibunuh pegawai polis pada Disember 2008. – AFP

Macam-Macam: Syarikat bas rotan pemandu, konduktor

2010/03/30

YANGON: Sebuah syarikat bas di Myanmar diminta menghentikan hukuman merotan yang dilaksanakan terhadap pemandu dan konduktor yang didapati bersalah membawa terlalu ramai penumpang dalam bas.

Myanmar Times melaporkan Bandoola Transport mengenakan hukuman terbabit membabitkan dua laluan di kawasan komersial Yangon Februari lalu, bagi mendenda pemandu dan konduktor tidak berkesan untuk meningkatkan disiplin.

Bagaimanapun syarikat itu minggu lalu diminta menghentikan hukuman rotan itu, arahan dari Komander bahagian Yangon, Brigadier Jeneral Win Myint. – AFP

8 maut letupan di Moscow





2010/03/30



sebelum  -  selepas

<strong>KEADAAN stesen   di Park Kultury yang terbabit letupan kedua selepas 15 minit letupan pertama di stesen Lubyanka, Moscow, semalam.</strong>

KEADAAN stesen di Park Kultury yang terbabit letupan kedua selepas 15 minit letupan pertama di stesen Lubyanka, Moscow, semalam.
Dua wanita letupkan bom di stesen kereta api bawah tanah Russia

MOSCOW: Dua pengebom bunuh diri wanita meletupkan bom dipasang pada badan mereka di dalam kereta api bawah tanah dalam serangan berkembar pada waktu puncak di Moscow pagi semalam.

Serangan berasingan itu yang berlaku selang 45 minit melumpuhkan pergerakan di tengah Moscow ketika berjuta penduduknya bersesak untuk pergi ke tempat kerja.

Saksi di tempat kejadian berkata suasana panik menyusul di dua stesen yang terbabit sebaik saja letupan berlaku dengan penumpang bergegas keluar kereta api dan stesen yang diselubungi asap dan debu.

Pihak berkuasa Russia segera mengarahkan peningkatan tahap kawalan di lapangan terbang kerana bimbang lebih banyak serangan akan menyusul.

Setakat ini tidak ada kumpulan mengaku bertanggung jawab terhadap serangan terburuk sejak enam tahun lalu di ibu negara Russia itu.
Jurucakap Kementerian Kecemasan, Svetlana Chumikova berkata seramai 24 orang terbunuh dalam letupan di stesen Lubyanka di tengah Moscow yang berlaku sejurus sebelum 8 pagi waktu tempatan.

Stesen itu terletak di bawah bangunan yang menempatkan pejabat utama Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan atau FSB, yang sebelum ini digelar KGB.
Manakala letupan kedua membabitkan stesen Park Kultury kira-kira 45 minit selepas itu. Chumikova berkata sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh di stesen kedua terbabit.

Datuk Bandar Moscow, Yuri Luzhov berkata kedua-dua letupan dipercayai dilakukan dua pengebom bunuh diri wanita ketika kereta api mula memasuki stesen. Dalam serangan pertama, pihak berkuasa berkata letupan berlaku di atas kereta api ketika ia sampai di stesen Lubyanka, tetapi belum ada maklumat lanjut mengenai letupan kedua.

“Data awal yang diberikan FSB menunjukkan dua pengebom bunuh diri wanita terbabit,” kata Luzhkov kepada pemberita di Park Kultury.

Badan penyiasat Russia mengesyaki serangan itu dilakukan oleh pengganas.
Serangan ganas terakhir di Moscow adalah pada Ogos 2004 apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan bom di luar sebuah stesen bawah tanah, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang.

Pemberontak Chechen dipertanggungjawabkan dalam letupan terbabit dan dalam kejadian semalam ia turut memfokuskan kepada kumpulan yang sama dan juga kumpulan pemisah lain di wilayah Caucasus Utara.

Sistem kereta api bawah tanah Moscow adalah antara paling sibuk di dunia, membawa kira-kira 7 juta penumpang secara purata pada hari bekerja.

Letupan melumpuhkan pergerakan di pusat bandar raya utama menyukarkan kenderaan kecemasan ke stesen terbabit. Helikopter turut dilihat berlegar di kawasan stesen Park Kultury berhampiran Gorky Park. – AP

Tiga pelajar kita cedera serangan bom di Russia



Oleh Mohd Iskandar 
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/03/29

sebelum  -  selepas
<strong>MANGSA serangan bom di dua stesen kereta api  bawah tanah Metro di Lubvanka dan  Park Kultury dekat Moscow, Russia pagi semalam diberi rawatan kecemasan.</strong>

MANGSA serangan bom di dua stesen kereta api bawah tanah Metro di Lubvanka dan Park Kultury dekat Moscow, Russia pagi semalam diberi rawatan kecemasan.
KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Malaysia cedera dalam dua serangan bom bunuh diri yang mengorbankan 38 nyawa di dua stesen kereta api bawah tanah Metro di Lubvanka dan Park Kultury dekat Moscow, Russia pagi semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi waktu tempatan itu, pelajar terbabit dalam perjalanan ke kolej sebelum terperangkap di salah satu lokasi kejadian.
Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata tiga pelajar perubatan berusia 20-an itu disahkan cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Berita kejadian mengejutkan, namun pihak Konsulat Malaysia di sana sedang berusaha memastikan tiada rakyat kita yang terbabit,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Beliau berkata, ibu bapa pelajar diharap bertenang dan menghubungi Wisma Putra di talian 03-88874570 untuk mendapatkan perkembangan mengenai kejadian itu.
Sementara itu, seorang pelajar Malaysia, Amy Fareena Ahmad Farid, 23, berkata beliau bernasib baik kerana dihalang orang awam daripada memasuki stesen Park Kultury.
Beliau bersama seorang rakan rakyat Malaysia dalam perjalanan ke stesen Baravidskaya untuk ke kolej bagi menghadiri kuliah di Moscow Medical Academy.
“Kami baru saja keluar dari asrama kediaman kira-kira jam 8.30 pagi (waktu tempatan) yang terletak tidak jauh dari stesen berkenaan.

Ketika itu saya menyedari orang ramai bertempiaran lari seperti berlaku sesuatu yang dasyat.
“Kemudian kami dimaklumkan stesen ditutup atas sebab tidak diketahui.

Seorang pengawal memberitahu supaya kami ke stesen Cultural Park yang terletak tidak jauh dari stesen Baravidskaya,” katanya ketika dihubungi di Moscow semalam.
Bagaimanapun, katanya, sejurus tiba, mereka dihalang memasuki stesen berkenaan dan melihat orang ramai berpusu-pusu keluar.
“Hanya selepas itu, saya dimaklumkan stesen itu diserang pengebom berani mati.

Saya mula panik dan takut, tetapi bersyukur tidak menjadi mangsa serangan itu,” katanya.
Amy Fareena berkata, beliau dan rakannya kemudian dihubungi pihak konsulat yang bertanya keadaan mereka dan meminta supaya berada di tempat selamat.

Ahli politik khalwat gadis bawah umur

TANAH MERAH: Seorang pemimpin politik bahagian Tanah Merah berusia 54 tahun ditangkap khalwat bersama gadis bawah umur di sebuah hotel di jajahan ini, kelmarin.left: 0px; padding-right: 0px; Lelaki itu ditahan bersama gadis berusia 16 tahun ketika serbuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEIK) Tanah Merah bersama lapan penguat kuasa diketuai Imam Masjid Bandar, Roslee Ismail dan ahli Rukun Tetangga jam 1.30 pagi.
Difahamkan lelaki itu keluar dari bilik selepas penguat kuasa JHEIK mengetuk bilik berhampiran sehingga menimbulkan curiga.
Berikutan itu, penguat kuasa memeriksa bilik lelaki terbabit dan terkejut apabila mendapati seorang gadis belasan tahun dalam keadaan berkemban./>Pihak berkuasa turut menahan pasangan lelaki dan wanita yang bukan muhrim dalam bilik hotel berkenaan.

Dua warga Indonesia ditahan kerana rompak bersenjata pistol

JOHOR BAHARU: Polis berjaya menahan dua daripada empat lelaki warga Indonesia yang merompak sebuah kedai runcit dengan bersenjatakan sepucuk pistol dan dua bilah parang di Benut, Pontian empat hari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata suspek pertama berusia 53 tahun ditahan pada 11.30 pagi, kira-kira sejam selepas melakukan rompakan itu.
Katanya, lelaki itu ditahan selepas kereta yang mereka naiki untuk melarikan diri terbabas berhampiran kawasan lapangan terbang lama Tanjung Laboh, Senggarang di Batu Pahat semasa dikejar oleh sebuah kereta peronda polis.

Bagaimanapun tiga lagi rakannya sempat melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit berhampiran, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Hasil dari penangkapan itu, kita berjaya menemui pasport milik suspek, wang tunai pelbagai negara berjumlah RM523, cermin mata, jam tangan dan gelang tangan berwarna putih," katanya.

Hasil siasatan polis, katanya seorang lagi suspek berusia 47 tahun berjaya ditangkap pada 7.30 pagi keesokkannya dengan polis menemui sepucuk revolver, seutas rantai, jam tangan, sebentuk loket berbatu putih, dua buah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM451.


"Pemeriksaan polis juga mendapati kereta yang dinaiki suspek disamun di Sungai Mati, Ledang," katanya.

Mokhtar berkata, polis sedang memburu dua lagi suspek dan mereka dipercayai terbabit dengan 11 kes samun di daerah Batu Pahat, Ledang, Pontian dan Kota Tinggi.

Sementara itu, katanya dua lelaki berusia 32 dan 34 ditangkap pada 10 malam Khamis lalu di Permas Jaya ketika menaiki sebuah kereta Toyota Alphard yang menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dilaporkan dicuri di Kelana Jaya, Selangor.

Beliau berkata, siasatan terhadap lelaki berkenaan membawa kepada penemuan dua buah Toyota Alphard, sebuah Honda dan sebuah Toyota Hilux yang dilaporkan dicuri sekitar Lembah Klang. Kesemua kereta dianggarkan bernilai RM1.3 juta.

Katanya, kedua-dua suspek akan diserahkan kepada Polis Kontinjen Selangor untuk siasatan lanjut.-Bernama

'Kurung' suri rumah: Polis tahan 11 penarik kereta


ALOR SETAR 29 Mac - Tidak sampai seminggu selepas kejadian seorang suri rumah dan tiga ahli keluarganya 'ditahan' dalam stor oleh dua penarik kereta, polis menahan 11 orang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden itu.
Hasil pemeriksaan di stor yang menjadi tempat kurungan wanita itu di Jalan Lencongan Barat di sini, polis turut menemui sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Jitra pada 9 Februari tahun lalu.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Deputi Supritendan Fiesal Libertus Abdullah berkata, susulan daripada kejadian itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 33 dan 34 tahun yang terlibat menahan dan menarik kereta keluarga tersebut.
"Kedua-dua mereka ditahan dalam serbuan berasingan di sini dan Jitra pada Sabtu lalu. Mereka kini ditahan reman selama tiga hari mulai semalam bagi membantu siasatan.
"Hari ini, seramai sembilan lelaki, lapan daripadanya ditahan ketika datang ke IPD Kota Setar untuk menafikan dakwaan suri rumah tersebut.
"Seorang lagi ditahan ketika datang menyerah diri pukul 3 petang ini. Kesemua mereka berusia antara 25 hingga 40 tahun," katanya di sini hari ini.
Difahamkan, lelaki yang menyerah diri itu sepatutnya menarik kereta suri rumah berkenaan tetapi menyerahkan tugas itu kepada individu lain.
Dalam kejadian pada Rabu lalu, Mardiana Mohamad, 31, dari Kangar, Perlis mendakwa dia bersama tiga lagi ahli keluarganya 'ditahan' dalam sebuah stor selama dua jam ketika keretanya ditarik oleh dua lelaki.
Mardiana bersama anaknya, Afif Al-Iqram, 2, yang menghidap penyakit asma kronik; anak saudaranya, Armarsya, 3, dan ibunya, Aminah Ismail, 51, ditahan tanpa belas kasihan dan di tengah panas matahari.
Mereka hanya dilepaskan setelah pihak bank menghantar salinan pembayaran kepada kerani di stor berkenaan.
Menurut Fiesal Libertus, dua lelaki yang ditahan Sabtu lalu kini disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu mengurung secara salah. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap kaedah yang digunakan oleh segelintir penarik kereta iaitu tidak bertimbang rasa dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Wanita China seludup 1.8kg heroin ditahan


PULAU PINANG 29 Mac - Curiga dengan penampilan seorang wanita yang memakai pakaian lebih besar daripada saiznya, anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) telah bertindak menahannya.
Tindakan itu ternyata tidak sia-sia apabila pemeriksaan ke atas wanita warga China itu menemui dadah jenis heroin No.4, seberat 1.8 kilogram yang diikat pada lengan dan kakinya.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kesemua dadah itu dianggarkan berharga RM250,000 mengikut harga pasaran.
Beliau berkata, suspek berusia 40-an ditahan pada pukul 6.35 pagi ketika hendak berlepas ke Hong Kong.
"Dia ditahan setelah berada dalam keadaan mencurigakan kerana mengenakan pakaian bersaiz besar dan cara berjalan yang kekok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah komputer riba milik suspek dan pelbagai jenis mata wang asing berjumlah RM4,700.
Menurut Tun Hisan, suspek kini direman sehingga 4 April ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek telah datang beberapa kali ke negara ini khususnya di Pulau Pinang.
"Kebiasaannya, suspek berada di negara ini antara tiga dan empat hari untuk setiap lawatan serta menginap di beberapa buah hotel," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, katanya, pemeriksaan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan sindiket pengedaran dadah mula mencari pintu keluar masuk yang baru termasuk LTABL.
Jelasnya, berikutan senario terkini itu, polis mula meningkatkan pemantauan dan kawalan di LTABL.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di lapangan terbang jika curiga dengan perwatakan atau gaya seseorang.
"Kalau orang kurus berpakaian hingga jadi gemuk, jalan pun kekok, tentu ada yang tidak kena pada orang itu.
"Lapor segera kepada polis supaya kita boleh buat pemeriksaan bagi membendung negara ini menjadi transit pengedaran dadah," ujarnya.

Hanya seorang suspek terlibat - Polis


TELUK KEMANG 29 Mac - Seorang wanita yang terselamat dalam kes bunuh seorang ahli perniagaan di sebuah resort di Port Dickson kelmarin memberitahu polis, hanya seorang suspek terlibat dalam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan K. Baljeet Singh berkata, wanita berusia 26 tahun itu bagaimanapun memberitahu polis, dia tidak dapat mengecam suspek kerana kejadian berlaku begitu pantas selain keadaan bilik yang gelap.
"Wanita berkenaan juga tidak pasti bagaimana penjenayah itu boleh memasuki bilik hotel di mana dia menginap bersama mangsa.
"Dia juga tidak dapat mengingati keseluruhan kejadian itu kerana masih trauma dan buat masa ini wanita itu masih dirawat," katanya ketika ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi kelmarin, seorang ahli perniagaan, Ramli Osman, 40, maut akibat ditetak beberapa kali pada paha dan kaki di sebuah bilik resort di Lukut, Port Dickson.
Teman wanita mangsa cedera parah kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.
Mangsa bersama teman wanitanya mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada pukul 3 petang Jumaat lalu dan menginap di sebuah bilik hotel yang menghadap laut.
Suspek dipercayai melakukan serangan tersebut mengikut jalan laut memandangkan tiada unsur pecah masuk dikesan dan polis juga menolak unsur-unsur rompakan.
Sementara itu, kata Baljeet, ketika ini pihaknya masih mengesan identiti suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
Menurutnya, wanita berkenaan yang turut ditetak di kaki dan tangan kanannya juga masih lemah selepas dia menjalani pembedahan kelmarin.
"Kita akan tunggu sehingga wanita itu pulih sebelum menjalankan soal siasat berhubung kejadian berkenaan," ujarnya.

Luahan isteri Badrul Muhayat


KUALA LUMPUR 29 Mac - Tempoh berpantang bagi wanita yang baru melahirkan anak cukup mencabar dan ketika itulah mereka mengharapkan belaian kasih sayang daripada suami.
Namun, apa yang dirasai oleh Julia Daud selepas beberapa hari melahirkan anak keduanya cukup perit - wanita berusia 28 tahun itu bukan setakat ditumbuk dan disepak terajang, malah dipukul dengan batang penyapu.
Dalam keadaan yang masih lemah, dia tidak berdaya untuk melawan kudrat suami.
"Saya begitu lemah ketika itu, mujurlah jiran datang membantu. Ini bukan kali pertama saya dipukul, malah sebelum ini saya pernah dipukul dan diugut, tetapi kali ini paling teruk," katanya.
Dia yang dihubungi di rumah ibunya di Felda Gunung Besout 3 di Sungkai, Perak, hanya mampu menahan sakit ketika 'dibelasah' menyebabkan muka dan hidungnya berdarah, manakala kaki dan badannya lebam.
Penderitaan yang dialami oleh Julia sejak bersuamikan pelakon dan model terkenal sekitar 1990-an, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 41, hanya terbongkar semalam, apabila polis mendedahkan sedang mencari suaminya bagi membantu siasatan kes pukul isteri.
Sepanjang tiga tahun usia perkahwinan mereka, Julia mengakui makan hati berulam jantung memikirkan kesudahan rumahtangga yang dibina atas dasar cinta itu.
Kehadiran dua cahaya mata yang sepatutnya mengikat kasih mereka, sebaliknya kata bekas penari di Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan itu, menambah lagi sengsara.
"Kecewa dengan sikapnya, saya pernah mahu menuntut cerai tetapi saya ketepikan hasrat itu demi anak sambil mengharapkan agar abang Bad berubah.
"Sayangnya dia masih tidak berubah sehinggalah saya dipukul kali terakhir pada Rabu lalu," katanya.
Badrul Muhayat, yang pernah menerajui watak utama filem Harry Boy dan Riang Tirana itu sehingga kini gagal dikesan.
Julia yang masih berpantang 38 hari selepas melahirkan anak kedua mereka berkata, dia masih sayangkan suaminya tetapi tersepit dengan keadaan yang dilaluinya ketika ini.
"Bayangkan, saya sudah berhenti kerja sebelum berkahwin dan bergantung harap kepada dia, tapi kami sering kesempitan wang.
"Bayaran sewa rumah pun sudah lama tidak dijelaskan," ujarnya sebak.
Julia kini bertekad mencari pekerjaan yang sesuai selepas berpantang kelak, demi mencari nafkah untuk menyara anak-anaknya.
Menurutnya lagi, dia bukan ingin mencari publisiti, tetapi apa yang dialaminya pada Rabu lalu adalah mimpi ngeri yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat.
Dia berharap ada pihak yang prihatin termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudi membantu memberikannya peluang untuk memulakan kehidupan baru.

Ops PATI: Imigresen tunggu lampu hijau


SEPANG 29 Mac - Jabatan Imigresen sudah melakukan segala persediaan dan cuma menunggu lampu hijau daripada kerajaan untuk memulakan operasi besar-besaran ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, walaupun operasi besar-besaran ke atas PATI ditangguhkan kerajaan namun pihaknya tetap bersemangat tinggi dan tidak sabar-sabar untuk memulakan operasi itu pada bila-bila masa.
Tegas beliau, operasi besar-besaran itu wajar dijalankan untuk mengajar PATI supaya mereka tidak menjadi terlalu 'selesa' dengan duduk dan bekerja di negara ini secara haram.
''Operasi besar-besaran ini perlu diadakan dan kita perlu ingatkan PATI bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat.
''Kita juga perlu ingatkan mereka (PATI) bahawa kita mempunyai undang-undang yang perlu dihormati oleh mana-mana orang yang masuk ke negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas status operasi besar-besaran ke atas PATI yang pada mulanya dijadual diadakan pada Februari lalu tetapi ditangguhkan.
Kementerian Dalam Negeri dilaporkan menangguhkan operasi itu selepas mendapat komitmen daripada para majikan untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa membersihkan pekerja asing terbabit sebelum penguatkuasaan dijalankan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, penangguhan operasi itu tidak bermakna Imigresen akan menghentikan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan yang mengambil pekerja asing.
Beliau menjelaskan, tanggapan sesetengah peniaga bahawa pemeriksaan Imigresen akan berhenti selari dengan penangguhan operasi besar-besaran banteras PATI adalah tidak betul.
''Proses pemeriksaan akan diteruskan dan Imigresen sememangnya berhak untuk memeriksa semua premis ini.
''Kalau kita jumpa pekerja yang berada di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan, kita juga akan tahan mereka, adalah tidak logik kita periksa dan lepaskan pesalah begitu sahaja," katanya.
Tegas beliau, orang ramai tidak perlu takut dengan operasi ke atas PATI selagi mereka mematuhi undang-undang negara.
''Hanya orang yang bersalah yang patut takut dengan operasi penguatkuasaan undang-undang," katanya.

Geng Botak Perdana tumpas



Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (kanan) bersama para pegawainya menunjukkan antara barang rampasan daripada tiga lelaki yang dikenali sebagai Geng Botak Perdana pada sidang media di IPK Johor, semalam. - BERNAMA


JOHOR BAHRU 29 Mac - 'Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.'
Begitulah nasib sekumpulan lelaki yang begitu licik melakukan perbuatan jenayah mereka dengan menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun mangsa.
Khamis lalu, aktiviti kumpulan di sekitar bandar raya ini yang dikenali sebagai Geng Botak Perdana itu berjaya dilumpuhkan oleh polis berikutan tertangkapnya tiga lelaki.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, tiga lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam satu serbuan pukul 11.30 pagi.
Menurutnya, dengan tumpasnya kumpulan tersebut, polis yakin berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes samun.
"Modus operandi kumpulan ini ketika menyamun adalah memperkenalkan diri sebagai polis dan menggari mangsa sebelum mengarahkan mereka memasuki kereta yang dinaiki.
"Selepas itu, mereka akan merampas barangan berharga mangsa dan meninggalkannya di tempat lain seperti stesen minyak," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, salah seorang suspek adalah bekas anggota polis bantuan yang sebelum ini berkhidmat di salah sebuah jabatan kerajaan di negeri ini, manakala dua lagi merupakan adik-beradik.
Dalam serbuan itu, turut dirampas, sekeping pas polis bantuan, dua keping kad keahlian sebuah persatuan bukan kerajaan, enam unit telefon bimbit, seutas rantai emas, dua tali pinggang hitam dengan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepasang gari, dua gugus kunci gari dan sebuah buku catatan polis.
Barangan lain yang dirampas termasuk sepasang sarung tangan putih, sehelai ves dengan logo PDRM, sepasang baju uniform polis berpangkat konstabel, dua helai jaket hitam PDRM, dua pasang sarung tangan hitam, sebuah topi bertulis 'CID' dan 'POLIS' serta dua buah lampu suluh,
Beliau berkata, kesemua suspek kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkumpulan dan menyamar sebagai polis.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.
Mohd. Mokhtar menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan penjenayah yang bertindak menyamar sebagai polis kerana ia bukan sahaja satu kesalahan tetapi memberikan imej negatif kepada PDRM.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, orang ramai berhak untuk meminta anggota polis menunjukkan kad kuasa mereka sekiranya timbul keraguan semasa ditahan.
"Kalau cara anggota polis itu menahan anda mencurigakan, anda mempunyai hak untuk melihat kad kuasa mereka. Gunakan hak tersebut dengan sebaik mungkin," katanya.

.Imigresen mula siasatan dalaman


SEPANG 29 Mac - Imigresen telah memulakan siasatan dalaman untuk mengenal pasti sama ada terdapat pegawainya yang turut terlibat dalam kejadian 16 mangsa pemerdagangan manusia melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, jawatankuasa dalaman yang ditubuhkan turut berperanan menyiasat prosedur kerja di depot berkenaan untuk mengenal pasti siapa yang patut bertanggungjawab atas kehilangan 16 mangsa itu.
''Kita sedang mengambil kenyataan daripada pegawai-pegawai di depot untuk kenal pasti sama ada terdapat pegawai Imigresen yang turut terlibat dalam kes ini.
''Kita mahu tahu siapa yang perlu bertanggungjawab dalam kes ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seramai 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar yang diberi perlindungan di Depot Tahanan Imigresen KLIA di sini melarikan diri Sabtu lalu.
Kejadian itu berlaku antara pukul 5 pagi dan 7 pagi membabitkan 12 lelaki Afghanistan dan empat lelaki Myanmar yang melarikan diri dengan memotong gril dan memanjat pagar.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, beliau yakin 16 orang mangsa pemerdagangan manusia yang melarikan diri itu telah diberi perlindungan oleh pihak tertentu.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kesemua 12 rakyat Afghanistan dan empat rakyat Myanmar itu gagal dikesan oleh pihak berkuasa walaupun operasi mencari dimulakan sebaik kehilangan mereka diketahui pada pukul 7 pagi Sabtu lalu.
''Selalunya kita boleh mengesan orang yang melarikan diri dalam lingkungan satu hingga dua kilometer, ini kali pertama 16 orang lari dan terus hilang dengan misteri.
''Kita percaya mesti ada orang yang memberi bantuan kepada mereka dan ia merupakan satu kesalahan untuk melindungi mangsa pemerdagangan orang," katanya.
Beliau berkata, kemungkinan 16 mangsa pemerdagangan manusia itu bersembunyi di ladang kelapa sawit di kawasan Sepang adalah tidak tepat kerana kekurangan sumber makanan di situ.
''Mereka memang boleh duduk di dalam ladang selama tiga hari tetapi mereka nak makan apa, takkan mereka nak makan kelapa sawit," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai 16 mangsa itu boleh menghubungi Pengarah Imigresen Selangor, Johari Yusof di talian 019-2649061 atau Zainol Azalan Daud di talian 013-9811767.