Search This Blog

Loading...

Monday, March 29, 2010

Seorang maut dalam pergaduhan dua kumpulan pekerja kebun sayur

GUA MUSANG: Satu pergaduhan besarantara dua kumpulan pekerja kebun sayur mengakibatkan seorang lelaki warga Myanmar maut, dan mayatnya dicampak ke dalam gaung di kawasan tanaman sayur di Lojing, semalam.
Mayat lelaki berumur 33 tahun itu ditemui oleh seorang penduduk Orang Asli yang sedang menjalankan kerja-kerja memasang paip air di kawasan itu, yang kemudian memaklumkan kepada majikannya, sebelum dia membuat laporan di Pondok Polis Lojing, kira-kira jam 4 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hasan berkata, polis bekejar ke tempat kejadian dan menemui mayat pekerja kebun sayur itu dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai dibunuh dalam satu pergaduhan awal paginya.

Beliau berkata, polis menemui banyak kesan luka pada pada mayat itu, yang dipercayai akibat ditetak dengan senjata tajam, di bahagian kepala, muka, badan dan paha.

Menurutnya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat dan polis sedang berusaha mengesan dua kumpulan pekerja kebun sayur berkenaan bagi membantu siasatan.

Pergaduhan itu dipercayai membabitkan pertempuran antara kumpulan pekerja warga Indonesia dan pekerja warga Myanmar.-Bernanma,

22 pendatang asing ditahan




2010/03/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GEORGETOWN: Anggapan 22 pendatang asing tanpa izin yang menyangka tapak pembinaan di kawasan Batu Feringgi sebagai tempat persembunyian selamat meleset apabila diserbu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kon Meng, berkata kumpulan warga asing terbabit dikatakan memberi kerjasama baik kepada pasukan polis dan menyerah diri sebaik melihat kereta polis memasuki kawasan berkenaan. Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan 22 warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat permit.

Bumbung tercabut



Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my
2010/03/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KANGAR: “Kami tiga beranak ketakutan dalam rumah apabila mendengar bunyi bising seperti bunyi kereta api dan berasa bahagian bumbung tercabut apabila melihat siling melentik turun ke bawah,” kata Andah @ Hamzah Lebai Awang, 62, dari Kampung Teluk, Arau, dekat sini, semalam.
“Ketika berlari keluar ke rumah anak saudara, baru saya menyedari hampir keseluruhan bumbung rumah yang baru diduduki empat bulan tercabut dalam kejadian hujan kira-kira setengah jam,” katanya di sini, kelmarin.

Menurutnya, bumbung rumahnya diterbangkan angin sejauh kira-kira 50 meter. Bagaimanapun Hamzah bersyukur kerana isteri dan anaknya selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian jam 6 petang itu.

Rumah milik Hamzah berharga RM36,000 itu disumbang percuma kerajaan menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Kerugian dianggarkan RM10,000 termasuk kos pembaikan rumah serta barangan rumah yang rosak.

Hamzah turut membuat laporan di Balai Polis Arau, malam kelmarin. Keluarga terbabit bermalam di Dewan Orang Ramai Kampung Teluk dan ditempatkan di situ sehingga rumahnya dibaik pulih.

Menurutnya, bahagian hujung bumbung rumah anak saudaranya turuk rosak akibat dihempap pokok mangga dan kelapa yang tumbang dalam kejadian hujan ribut terbabit.

Sementara itu, hujan ribut terbabit turut merosakkan kira-kira 80 rumah di beberapa kawasan di Perlis. Sebahagian besar rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis, Mansor Jusoh, berkata berdasarkan bancian dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, sehingga kini 80 rumah disahkan rosak.

Katanya, kawasan Guar Sanji mencatatkan jumlah kerosakan rumah tertinggi.

Potong bekalan elektrik





2010/03/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PADANG BESAR: Omar Atan atau Pak Omar, menghadapi dugaan pertama sebelum menyambung semula proses tahanan di Laos, apabila bekalan elektrik di rumahnya di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Padang Besar, di sini, dipotong kerana bil tertunggak.
Pegawai Khas Azmi, Khalid Bulat, berkata pihaknya meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) segera menyambung semula bekalan elektrik di rumah Omar selepas membuat bayaran jam 12 tengah hari kelmarin.

Rahsia tandas dikunci



Oleh SALMAN HAMAT
salman@hmetro.com.my
2010/03/20
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JOHOR BAHRU: Rahsia tandas berkunci ketika pemeriksaan mengejut penguat kuasa Jabatan Imigresen di sebuah restoran di Taman Anggerik, di sini, terjawab apabila seorang lelaki warga asing dipercayai pekerja premis itu ditemui bersembunyi di dalam tangki air tandas bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul, berkata selepas masuk ke tandas, pihaknya mendapati ia kosong, namun apabila tangki diketuk pihaknya mula curiga kerana ia mengeluarkan bunyi seperti ada objek besar di dalamnya.

“Kami dapati seorang lelaki warga Myanmar di dalam tangki itu dan dia terpaksa dibantu ketika dibawa turun berikutan kedudukan tangki agak tinggi dari lantai, tambahan suspek kesejukan kerana dipercayai berada lama di dalam air.

“Ini contoh tindakan nekad warga asing yang sanggup melakukan perkara hingga boleh membahayakan nyawa kerana mahu mengelak dicekup dan dihantar pulang,” katanya.

Menurutnya, turut ditahan di premis sama ialah dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta dua lelaki Bangladesh, dipercayai bekerja tanpa dokumen sah dan gagal mengemukakan dokumen kerja ketika diminta berbuat demikian.

Katanya, dalam serbuan berbeza di sebuah rumah kedai yang dijadikan asrama pekerja di kawasan berhampiran, 11 lelaki warga Kemboja berusia antara 19 hingga 39 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pekerjaan sah.

“Selain itu kami menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan NB2 2/1, Taman Nusa Bestari, kira-kira jam 8.45 malam kelmarin.

“Dalam serbuan itu 12 wanita warga Filipina ditahan selepas menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di premis terbabit.

“Ketika ditahan, semua wanita berusia 20 hingga 37 tahun itu asyik melayan pelanggan masing-masing dan tidak sedar kehadiran kami yang menjalankan serbuan.

“Kami turut menahan seorang lelaki warga tempatan, dipercayai majikan wanita terbabit, atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit sah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Serbuan dijalankan hasil aduan orang ramai kerana wanita berkenaan dikatakan turut terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

Semua yang ditahan dihantar ke pos tahanan Imigresen Pekan Nanas, dekat sini, sementara siasatan dijalankan.

Penagih dadah lemas





2010/03/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KEPALA BATAS: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah sempat mencuri kain batik di ampaian sebelum memecah masuk rumah seorang penduduk dan mencuri RM200 dengan membiarkan rakannya terkapai-kapai kelemasan di Sungai Muda dekat Pulau Mertajam, di sini, semalam.
Menurut sumber, seorang rakan mangsa berjaya ditahan ketika berada di atas motosikal manakala mangsa dan dua rakannya bertindak terjun dan berenang di Sungai Muda dalam usaha meloloskan diri.

Bagaimanapun, mangsa yang keletihan tidak sempat sampai ke darat sebelum terkapai-kapai kelemasan manakala rakannya berusia 20-an sempat menyelamatkan diri.

Penduduk, Norizan Bakar, 41, berkata ketika dia menyapu sampah terdengar orang menjerit meminta tolong lalu bergegas ke sungai.

“Saya ke tepi sungai dan nampak seorang lelaki terkapai-kapai sambil minta tolong. Saya memanggil beberapa penduduk tetapi mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana kebanyakannya sudah uzur manakala nelayan belum pulang dari laut,” katanya.

Mahu cepat sembuh

Mahu cepat sembuh


Laporan dan foto RAMLI IBRAHIM
am@hmetro.com.my
2010/03/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GUA MUSANG: “Saya hanya berdoa supaya cepat sembuh untuk memulakan kehidupan baru dan meneruskan hasrat belajar di sekolah agama,” kata remaja berusia 16 tahun yang mengalami kecacatan teruk di muka dan badannya akibat disimbah cuka getah oleh bapa tirinya pada Ogos tahun lalu.
Katanya, dia cuba bersabar menghadapi penderitaan itu dengan semangat yang diberi oleh nenek dan ibunya.

“Kejadian itu amat pedih apatah lagi memberi penderitaan seumur hidup. Saya berharap boleh pulih seperti biasa. Saya baru saja selesai pembedahan mata kanan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, bulan lalu.

“Mata sebelah kiri masih boleh melihat tetapi samar dan perlu bantuan ahli keluarga sekiranya ingin berjalan di luar rumah,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di sini.

Dalam kejadian Ogos tahun lalu, remaja itu menjadi mangsa rakus bapa tirinya sendiri apabila dibawa membonceng motosikal sebelum dirogol serta disimbah cuka getah di sebuah kebun dekat Rancangan Tanah Felda Aring Enam.

Kejadian ngeri itu menyebabkan mukanya melecur teruk serta mengalami kecacatan kedua tangan serta badan manakala bapa tirinya mati selepas membunuh diri. Kejadian itu menyebabkan dia terlantar lebih empat bulan di HUSM dan kini tinggal dengan neneknya untuk memudahkan berulang alik bagi mendapatkan rawatan tiga hari sekali di Pusat Kesihatan Bandar Ciku.

Katanya, kecederaan teruk yang dialami menyebabkan dia terpaksa melupakan persekolahan.

“Saya terpaksa menumpukan terhadap rawatan pemulihan termasuk pembedahan plastik pada hidung dan telinga kanan.

“Saya bersyukur kerana setiap hari diberi semangat dan galakan oleh ibu dan nenek yang mengajar supaya menerima hakikat bahawa saya kini cacat,” katanya.

Letupan di berek tentera, 4 cedera



Para penyokong Thaksin Shinawatra meneruskan demonstrasi di luar pangkalan rejimen tentera infantri ke-11 di bangkok, semalam. - REUTERS


BANGKOK 28 Mac - Empat askar Thailand cedera hari ini apabila bom dilepaskan ke arah berek tentera yang menjadi pusat operasi kerajaan sepanjang dua minggu demonstarasi antikerajaan berlangsung.
Letupan bom berkenaan merupakan insiden terkini dalam serangan bom sejak tunjuk perasaan bermula pada 14 Mac lalu, termasuk serangan ke atas dua stesen televisyen dan ke atas Jabatan Kastam, semalam yang menyaksikan lapan orang cedera.
Major General Prawut Thavornsiri daripada pasukan bertindak yang ditubuhkan untuk mengawasi bantahan tersebut berkata, dua bom dilepaskan ke arah pagar berek infanrti di pinggir utara bandar raya ini.
''Serangan ini mencederakan empat askar," kata Prawut sambil menambah kata bahawa insiden berkenaan berlaku pada awal pagi.
Kumpulan Baju Merah yang setia kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra menuntut perbincangan dengan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, yang berkampung di situ sepanjang demonstrasi berlangsung.
Semalam, sejumlah 80,000 pembantah berkumpul dan memaksa tentera berundur dari beberapa pusat kawaslan keselamatan di kawasan yang menjadi pusat penunjuk perasaan di sini. - AFP

Palestin tetap enggan terus rundingan dengan Israel



SIRTE 28 Mac - Presiden Palestin, Mahmud Abbas mengulangi pendiriannya menolak rundingan damai tidak langsung dengan Israel anjuran Amerika Syarikat (AS) selagi rejim Zionis itu tidak menghentikan kegiatan pembinaan perumahan haram Yahudi di wilayah Palestin.
Beliau mengulangi pendirian tersebut ketika para pemimpin Arab menghadiri sidang kemuncak mereka di bandar Mediterranean ini di Libya bagi merapatkan barisan berhubung Baitulmaqdis.
Sidang itu juga membincangkan hubungan dengan Iran, termasuk cadangan untuk mengadakan dialog dengan Teheran.
Abbas dalam ucapan pada pembukaan sidang dua hari itu melahirkan kebimbangan bahawa proses damai Asia Barat kini dalam bahaya dan beliau menggesa para pemimpin Arab yang lain supaya bertindak untuk 'menyelamatkan' Baitulmaqdis.
"Kami tidak boleh menyambung semula rundingan tidak langsung selagi Israel meneruskan dasar penempatan haramnya dan mengekalkan status quo," kata beliau selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berucap untuk meminta sokongan Arab terhadap rundingan damai.
Abbas menuduh Israel mahu melenyapkan identiti Arab di Baitulmaqdis menerusi kempen 'pembersihan etnik'.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Baitulmaqdis Timur yang majoriti penduduknya adalah Arab mesti menjadi ibu negara Palestin pada masa depan.
"Kami selama ini menganggap Baitulmaqdis sebagai permata mahkota dan pintu keamanan," katanya.
Sementara itu, Ki-moon menggesa para pemimpin Arab supaya membantu rundingan Israel-Palestin, dengan berkata, 'matlamat kita bersama adalah untuk menyelesaikan semua isu status terakhir dalam tempoh 24 bulan'.
Beliau mengulangi pendirian masyarakat antarabangsa bahawa kegiatan pembinaan penempatan Yahudi di timur Baitulmaqdis adalah 'menyalahi undang-undang' dan menegaskan Baitulmaqdis mesti muncul sebagai 'ibu negara dua buah negara (Israel dan Palestin)'. - AFP

Kerajaan Kanada sokong pengharaman purdah



MONTREAL 28 Mac - Kerajaan Persekutuan Kanada mempertahankan rang undang-undang kontroversi yang dibentangkan di wilayah Quebec mengharamkan wanita Islam memakai burka dan purdah di institusi awam. Jurucakap Perdana Menteri Stephen Harper, Dimitri Soudas memberitahu akhbar Globe and Mail semalam, rang undang-undang yang disyorkan oleh kerajaan Quebec itu adalah munasabah.
Beliau, bagaimanapun mengakui ahli politik peringkat Persekutuan 'tidak mempunyai undi di dewan perundangan wilayah'.
Rang undang-undang berkenaan, dibentangkan Rabu lalu di Dewan Perundangan Quebec oleh ahli dewan Parti Liberal, Kathleen Weil yang juga Menteri Kehakiman Quebec, bertujuan mengharamkan kakitangan kerajaan wilayah daripada memakai purdah di tempat kerja.
Jika diluluskan, rang undang-undang itu juga akan mengharamkan wanita daripada memakai burka atau purdah apabila berurusan untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan wilayah, termasuk institusi pendidikan, sekolah swasta yang menerima bantuan kerajaan, pusat asuhan dan pusat kesihatan.
Pemimpin Liberal peringkat kebangsaan, Michael Ignatieff turut melahirkan sokongan terhadap rang undang-undang itu.
"Saya fikir mereka telah mencapai keseimbangan yang sesuai," katanya mengenai cadangan yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri Quebec, Jean Charest.
Rang undang-undang tersebut ditentang oleh Parti Quebecois yang menyifatkannya sebagai tidak cukup tegas.
Pemimpin parti itu, Pauline Marois juga mahu mengharamkan tudung yang dipakai oleh kebanyakan wanita Islam bagi menutup rambut dan leher mereka. - AFP

2 lagi tapak nuklear Iran?



LOJI pengayaan uranium di Isfahan dikatakan sebagai sebahagian usaha iran untuk membangunkan senjata nuklear. – AFP


WASHINGTON 28 Mac – Pemeriksa senjata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan pakar perisikan Barat mengesyaki Iran sedang menjalankan persiapan untuk membina sekurang-kurangnya dua lagi tapak nuklear rahsia.
Teheran disyaki merancang untuk membina loji nuklear baru berikutan kenyataan yang dibuat oleh seorang pegawai tinggi Iran, baru-baru ini, lapor akhbar New York Times (NYT), lewat semalam.
Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Ali Akbar Salehi dalam wawancara dengan Agensi Berita Pelajar Iran berkata, Presiden Mahmoud Ahmadinejad sudah mengeluarkan arahan supaya kerja membina dua loji baru dimulakan dengan segera.
“Loji-loji berkenaan akan dibina di dalam gunung, bagi melindunginya daripada serangan,” kata Salehi, menurut laporan NYT.
Beliau menjangka pembinaan dua loji baru pengayaan uranium itu dimulakan pada tahun baru Iran yang bermula pada 21 Mac lalu.
September lepas, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mendedahkan bukti mengenai kewujudan sebuah tapak nuklear rahsia Iran di bandar Qum.
Pegawai AS berkata, mereka menyokong pandangan IAEA mengenai apa yang disyaki dirancang oleh Teheran itu dan sedang meneliti bukti satelit berhubung beberapa tapak di Iran.
Namun, mereka belum menemui bukti kukuh bahawa Iran merancang untuk menggunakan tapak-tapak baru bagi menghasilkan sumber tenaga nuklear, lapor NYT. – AFP

Korea Selatan terus cari mangsa



SEOUL 28 Mac - Kapal dan pesawat Korea Selatan hari ini kembali mencari 46 anak kapal yang masih hilang, selepas sebuah kapal perangnya karam dalam keadaan laut bergelora berhampiran sempadan Korea Utara, kelmarin dalam kejadian yang masih belum dapat dipastikan puncanya.
Kapal tentera laut seberat 1,200 tan dengan 104 anak kapal itu karam di Laut Kuning lewat semalam selepas terbelah dua setelah berlaku satu letupan.
Ia disifatkan sebagai salah satu keadian terburuk dalam sejarah tentera laut negara tersebut.
Hanya 58 anak kapal yang dapat diselamatkan selepas kapal Cheonan karam berhampiran Pulau Baengnyeong dan harapan baki anak kapal masih selamat semakin pudar lebih-lebih lagi suhu air hanya beberapa darjah di atas paras beku.
Insiden berkenaan terjadi berhampiran perairan yang dipertikaikan antara kedua-dua negara tersebut. Ia merupakan lokasi pertempuran berdarah pada 1999 dan 2002, namun para pegawai di Seoul berkata, tidak ada sebarang bukti menunjukkan Pyongyang terlibat.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Won Tae-Jae berkata, siasatan akan mengambil tempoh tertentu sebelum satu kesimpulan boleh dibuat berhubung punca letupan tersebut.
Kumpulan pencari dari tentera laut yang sebelum ini gagal sampai ke tempat kapal berkenaan karam kembali menjalan tugas mereka dengan mengharungi laut bergelora dan angin kencang bersama-sama kapal penyelamat seberat 3,000 tan dan bot pengesan periuk api seberat 730 tan.
''Kami merancang untuk menggerakkan segala kemungkinan untuk menyelamatkan mangsa yang masih selamat dalam keadaan laut yang sedemikian,'' kata Won.
Pejabat kaji cuaca berkata, suhu air di laut Kuning berada pada tahap 3.7 darjah Celsius dan agensi berita Yonhap melaporkan manusia tidak boleh selamat lebih daripada tiga jam pada suhu antara lapan hingga 10 darjah Celsius. - AFP

Pendedahan 321 orang awam Congo dibunuh secara kejam



DAKAR, Senegal 28 Mac - Sekurang-kurangnya 321 orang awam mati dalam satu pembunuhan kejam yang tidak dilaporkan pada akhir 2009 di Congo ketika penduduk kampung lain yang ditangkap oleh pemberontak dilepaskan dengan telinga dan bibir mereka dipotong.
Tindakan zalim itu adalah sebagai amaran tentang apa yang akan terjadi sekiranya mereka membuka mulut, menurut siasatan sebuah kumpulan hak asasi manusia.
Dalam laporan yang dikeluarkan semalam, Human Rights Group yang berpangkalan di New York berkata, sekurang-kurangnya 250 orang lagi diculik oleh tentera pemberontak Lord's Resisitance (LRA) dalam serangan di Makombo, sebuah kawasan Timur laut Congo termasuk kira-kira 80 kanak-kanak.
Pengkaji kanan Afrika Human Rights Watch Afrika, Anneke Van Woudenberg menyifatkan pembunuhan iu sebagai yang paling kejm pernah dilakukan oleh LRA dalam sejarah 23 tahun penubuhannya.
Namun, pembunuhan yang berlaku antara 14 Disember hingga 17 Disember itu di lebih 10 kampung berlalu begitu sahaja tanpa didedahkan.
Majoriti yang dibunuh merupakan lelaki yang diikat pada pokok sebelum ditetak dengan parang dan kepala mereka dihancurkan dengan kapak. Seorang kanak-kanak perempuan berusi tiga tahun dibakar hingga mati, menurut laporan tersebut.
Pemberontak kemudiannya menawan wanita dan kanak-kanak yang dipaksa berjalan ke sebuah pekan kira-kira 96 kilometer jauhnya dan mereka yang tidak larat dibunuh. Penduduk memberitahu kumpulan hak asasi tersebut mereka menemui mayat sepanjang perjalanan dari Makombo ke pekan Tapili di utara Congo. - AP

Mahkamah ketepi injunksi Amran



KOTA BHARU 28 Mac - Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini hari ini mengetepikan perintah injunksi ex-parte oleh bekas Setiausaha UMNO Tanah Merah, Amran Ab. Rahman pada 16 Februari lalu bagi melarang Ketua UMNO bahagian itu dan timbalannya membuat sebarang transaksi terhadap aset milik UMNO.
Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan tersebut di dalam kamarnya selepas mendengar hujah kedua-dua pihak iaitu Amran sebagai plaintif serta Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Baharuddin Yusoff sebagai defendan.
Ahmad Zaidi turut membenarkan kos sebanyak RM10,000 dibayar kepada kedua-dua defendan serta menolak saman pemula yang difailkan plaintif berhubung injunksi berkenaan.
Amran diwakili peguam Wan Jawahir Haron manakala kedua-dua defendan diwakili peguam bela Datuk Mohd. Hafarizam Harun serta Abu Bakar Isa Ramat dan Wan Ezrolnizan Khalil sebagai pembantu.
Terdahulu, Baharuddin tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi, manakala Amran dan Ikmal Hisham gagal hadir.
Pada 17 Februari lalu, Amran selepas mendapat perintah injunksi, mengemukakan saman pemula ke atas Ikmal Hisham dan Baharudin kerana menganggap kemenangan kedua-dua pemimpin itu bagi jawatan Ketua dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah sebagai meragukan.
Akibat tindakan itu, Amran dipecat keahliannya daripada parti berkenaan berkuat kuasa 10 Februari lalu.
Berdasarkan perintah injunksi itu, kedua-dua defendan sama ada melalui diri sendiri atau ejen atau wakil dan sebagainya dilarang serta ditegah daripada membuat sebarang transaksi berkaitan aset bahagian itu.
Ia termasuk harta berupa tanah beserta bangunan yang dikenali dengan Lot 107, HSD 10/77, Lot 134, GRN 17704, Lot 207, GRN 17699, Lot 208 GRN 17700 dan Lot 209 GRN 17701 Bandar Tanah Merah, Mukim Bandar Tanah Merah, Kelantan.
Defendan berkenaan sama ada melalui wakil atau sebagainya juga dilarang dan ditegah membuat sebarang transaksi berkaitan pengeluaran wang di akaun Maybank Tanah Merah N0:00305140063, akaun Public Bank Tanah Merah No: 3094199827.
Pada prosiding tersebut, Ahmad Zaidi membuat keputusan selepas mengambil kira faktor bahawa plaintif tidak lagi memegang jawatannya dalam UMNO seperti termaktub di bawah Fasal 20 (7).
Ketika membuat keputusan itu, Ahmad Zaidi berhujah plaintif kemungkinan tidak mendedahkan beberapa dokumen penting ketika perintah injunksi itu diperoleh.
Sementara itu, Mohd. Hafarizam ketika dihubungi berkata, keputusan tersebut memberi pengajaran kepada ahli UMNO agar tidak membawa apa-apa isu dalaman parti ke mahkamah.
"Perlembagaan UMNO jelas menyatakan bahawa isu dalaman parti tidak boleh dibawa ke mahkamah dan jika ia dilakukan juga ia hanya mencemar imej parti.
"Selain itu, mana-mana ahli yang membawa isu parti ke mahkamah secara automatik keahlian mereka akan terbatal," jelasnya.

Reman Wan Hashim dilanjutkan





Wan Hashim dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam, setelah mahkamah melanjutkan tempoh tahanan reman selama dua hari terhadapnya.


KOTA BHARU 28 Mac – Mahkamah Majistret Kota Bharu melanjutkan tempoh tahanan reman selama dua hari lagi bermula hari ini terhadap ‘Setiausaha Sulit Sultan Kelantan’, Datuk Wan Hashim Wan Daud. Majistret Norhaslinda Che Seman membuat keputusan berkenaan yang turut dihadiri peguam bela Wan Hashim, Gobind Singh Deo dan Datuk Mohd. Haaziq Pillay.
Norhaslinda turut membenarkan permohonan yang dibuat pihak peguam Wan Hashim agar beliau dibenarkan menerima rawatan berikutan tahap kesihatannya yang kurang baik.
“Mahkamah membenarkan tempoh reman dilanjutkan selama dua hari walaupun pada asalnya pihak polis memohon agar diberikan tiga hari.
“Selain itu, beliau juga akan menerima rawatan di hospital kerana demam dan mengadu sakit belakang sejak ditahan beberapa hari lalu,” kata Gobind ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, Wan Hashim tiba di mahkamah pada pukul 10.50 pagi dengan kawalan ketat anggota keselamatan sebelum dibawa keluar kira-kira 20 minit kemudian.
Turut hadir memenuhi pekarangan mahkamah ialah ahli keluarga Wan Hashim termasuk isterinya, Datin Nor Zakiah Ahmad dan beberapa rakan beliau.
Nor Zakiah kelihatan sebak dan menitiskan air mata ketika bercakap dengan peguam mengenai suaminya di pekarangan mahkamah.
Wan Hashim yang disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan ditahan sepasukan polis di rumahnya di Taman Seri Aman pada pukul 8.40 malam Khamis lalu.
Beberapa jam sebelum penahanan tersebut, beliau yang mendakwa dilantik oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra mencetuskan kontroversi apabila menyampaikan ‘titah’ tuanku iaitu pemecatan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra daripada jawatan berkenaan.
Sementara itu, Gobind berkata, polis hanya mempunyai tempoh maksimum selama tujuh hari untuk mereman Wan Hashim dan selepas itu keputusan perlu dibuat sama ada membebaskan atau mendakwa beliau.
“Buat masa ini, kita serahkan kepada polis untuk selesaikan siasatan mereka dan kita juga akan bersiap sedia jika selepas ini Wan Hashim akan didakwa.
“Kita juga tidak menolak akan menambah jumlah peguam bela bagi membela Wan Hashim jika ia berlaku,” tambahnya.

Polis cari Badrul Muhayat bantu siasatan kes pukul isteri



KUALA LUMPUR 28 Mac - Polis kini sedang mencari seorang pelakon dan model yang terkenal sekitar tahun 1990-an, Badrul Muhayat Ahmad Jailani bagi membantu siasatan kes pukul isterinya, baru-baru ini.
Pelakon berusia 41 tahun itu gagal dikesan selepas dipercayai memukul isterinya yang dikenali sebagai Julia, 28, di rumah mereka di Kampung Cheras Baru pada pagi Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pukul 7 pagi apabila Badrul Muhayat pulang ke rumahnya selepas beberapa bulan tidak pulang.
Katanya, berdasarkan keterangan isteri pelakon itu, mangsa ditumbuk di muka, pipinya dicengkam selain beberapa bahagian badan lebam akibat dipukul dengan penyapu.
"Mangsa bekerja sebagai penari di Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan dan mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya dengan Badrul Muhayat.
"Wanita itu dibawa oleh jirannya ke Balai Polis Ampang untuk membuat laporan selepas kejadian itu sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi pemeriksaan lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis Ke-203 kepada Koperal Khalid Che Ros, 48, yang dilanggar lari ketika bertugas tahun lalu.
Menurut Abdul Jalil, ini merupakan kali keempat polis menerima laporan daripada mangsa sejak tahun lalu.
Tiga laporan sebelum ini adalah dua kes ugutan jenayah yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan satu kes mendatangkan kecederaan yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, ketika kejadian, Julia masih dalam pantang selepas melahirkan anak kedua mereka.
Abdul Jalil memberitahu, dalam kejadian terbaru, mangsa dikatakan bergaduh dengan suaminya selepas mengesyaki pelakon itu mengadakan hubungan sulit dengan perempuan lain.
"Suaminya dikatakan berang dengan dakwaan mangsa dan dipercayai bertindak memukulnya sebelum keluar dari rumah pada hari kejadian.
"Beberapa orang jiran yang mendengar pergaduhan pasangan suami isteri itu datang memberi bantuan sebelum membawa mangsa ke balai polis.
"Kita juga telah mengambil keterangan daripada beberapa orang jiran mangsa bagi membantu siasatan," katanya.
Menurut Abdul Jalil, polis telah mengeluarkan waran tangkap ke atas pelakon itu.
Badrul Muhayat yang kini membintangi drama Awan Dania musim kedua pernah memegang watak utama dalam beberapa filem tahun 1990-an antaranya Harry Boy, Riang Tirana, Azizah The Legend dan Kad Cinta.

Sindiket loteri haram tumpas





KOTA BHARU 28 Mac - Polis berjaya mematahkan sindiket perjudian loteri haram yang terbesar di negeri ini dengan membabitkan pertaruhan mencecah sehingga RM4.8 juta sebulan selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Batu Dua di sini petang semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 6.15 petang itu, polis menahan dua lelaki yang dipercayai menyewa rumah tersebut bagi menguruskan pertaruhan dari seluruh negeri ini.
Pegawai Pencegahan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat D7 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad berkata, siasatan pihaknya mendapati, rumah itu disewa sejak tiga tahun lalu bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata, rumah itu hanya dijadikan sebagai pusat operasi yang mengumpul keseluruhan pertaruhan yang dibuat melalui ejen di seluruh negeri ini.
"Serbuan dilakukan selepas kita mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai kewujudan satu rumah yang dijadikan sebagai pusat operasi perjudian.
"Polis tanpa membuang masa terus menyerbu pusat judi berkenaan dan mendapati aktiviti perjudian tersebut memang ada," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Berikutan serbuan itu, dua lelaki berusia 43 dan 44 tahun ditahan kerana dipercayai mendalangi kegiatan perjudian berkenaan.
Ujarnya, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai ejen kepada pusat perjudian itu yang mengutip wang berjumlah antara RM20,000 hingga RM30,000 sehari dan mampu mencecah sehingga RM4.8 juta sebulan.
Katanya, turut dirampas, beberapa peralatan untuk menerima pertaruhan daripada pelanggan termasuk mesin faks, komputer riba dan telefon bimbit.
Kedua-dua suspek, kata Maszely, kini ditahan mengikut Seksyen 4A (a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM200,000 atau lima tahun penjara.
Sementara itu, dalam serbuan di Gua Musang, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan atas kesalahan yang sama.
"Turut dirampas tiga helai kertas pertaruhan dan wang tunai RM2,000," ujarnya.

Anak pegawai polis mati ditikam



KUALA LUMPUR 28 Mac - Seorang anak pegawai polis berpangkat cif inspektor dari Kuantan, Pahang hanya sempat menghirup udara ibu kota beberapa jam sahaja apabila maut ditikam oleh sekumpulan empat lelaki awal pagi ini.
Mangsa yang tiba di Hentian Puduraya dengan menaiki bas telah diserang ketika sedang minum di sebuah restoran di hadapan stesen bas tersebut pada pukul 3 pagi.
Mangsa, K. Daniel Deenesh, 25, mati akibat ditikam berkali-kali oleh penyerang yang menggunakan senjata pisau.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria berkata, suspek kemudian melarikan diri selepas mendapati mangsa tidak bernyawa lagi.
Katanya, mangsa merupakan anak kepada Cif Inspektor Kutty Krishnan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.
Menurutnya, ketika berada di restoran itu, mangsa secara tiba-tiba dihampiri empat suspek yang kemudian menyerangnya menggunakan pisau dan menikam bertubi-tubi.
"Lebih malang lagi, salah seorang daripada suspek telah merodok perut mangsa berkali-kali menyebabkan mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Beberapa pengunjung yang berada di restoran itu dikatakan tidak berani melawan kumpulan lelaki tersebut kerana mereka menggunakan senjata tajam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Aziz berkata, polis kini sedang menyiasat punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan dendam.
Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat berhubung kejadian itu dan polis sedang memburu keempat-empat suspek terlibat.
Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.