Search This Blog

Sunday, March 28, 2010

Guna anak halau hantu

KUALA LUMPUR: Sudahlah rumah tangganya porak peranda dan dia terpisah dengan anak perempuannya yang baru berusia dua tahun, lebih menyedihkan dia dimaklumkan anak tunggalnya itu kini direkrut atau dilatih sebagai penghalau hantu.
Lokman berkata, selepas berkahwin pada 2007 dia mendapati isteri dan keluarga mentuanya amat rapat dengan ‘Wanita Suci’ itu dan khidmatnya digunakan untuk mengubati seorang anggota keluarga yang sakit.

“Ketika itulah saya mula mengenalinya. Pada pandangan saya, dia dan seorang lelaki dari Timur Tengah yang dipanggil Tok Sheikh bagaikan pemimpin ajaran sesat. Namun, pengikut mereka tidak ramai, hanya terhad kepada beberapa keluarga, termasuk keluarga mentua saya.

“Tok Sheikh yang memberi gelaran kepada wanita itu sebagai ‘Wanita Suci’ dan semua pengikutnya juga memanggilnya dengan dengan gelaran itu,” kata Lokman dalam pertemuan dengan Metro Ahad, di sini, baru-baru ini.

Mengimbau detik bermula petaka dalam perkahwinannya, Lokman berkata ia berlaku selepas dia enggan mengikuti permintaan isteri serta mentuanya supaya percaya pada segala yang dikatakan oleh ‘Wanita Suci’ dan Tok Sheikh.

“Mereka kata Tok Sheikh mampu meramal masa depan dan ‘Wanita Suci’ pula ada kelebihan menghalau hantu. Bagaimanapun, saya enggan menuruti kehendak mereka dan tidak percaya langsung dengan perkara khurafat seperti itu,” katanya.

Lokman berkata, disebabkan enggan memberi kerjasama, ‘Wanita Suci’ serta Tok Sheikh mempengaruhi isteri serta keluarga mentua untuk menghalaunya daripada kehidupan mereka.

Pada hujung 2008, beberapa bulan selepas dianugerahkan anak perempuan, Lokman mengambil keputusan menceraikan isteri kerana tidak tahan lagi dengan kepercayaan khurafat mereka.

Sejak itu, Lokman dihujani lebih 1,000 khidmat pesanan ringkas (SMS) cacian dan maki hamun daripada bekas isterinya.

“Antara perkara buruk berlaku terhadap saya selepas berpisah ialah dibelasah dua lelaki di depan bekas isteri serta seorang lelaki didakwa teman barunya hanya kerana saya mahu menyerahkan surat mahkamah kepada ‘Wanita Suci’ terbabit yang tinggal dengan mereka.

“Saya berjaya melarikan diri sebelum membuat laporan polis. Saya turut diberikan hak penjagaan anak oleh mahkamah tetapi hingga kini gagal menuntutnya kerana dilarikan bekas isteri serta ‘Wanita Suci’ itu,” katanya.

Dalam masa sama, ‘Wanita Suci’ itu serta bekas isterinya juga pernah melarikan anak Lokman ke Timur Tengah untuk bersama-sama dengan Tok Sheikh dan mereka gagal dikesan hingga kini.

Dalam usaha menjejak anak kesayangannya, Lokman berkata dia secara kebetulan berjumpa dengan seorang perempuan yang mendakwa dirinya juga menjadi mangsa kegiatan ‘Wanita Suci’ dan Tok Sheikh.

Lokman berkata, perempuan itu memberitahu dia dan suaminya juga bercerai angkara ‘Wanita Suci’ dan lebih menyedihkan ‘Wanita Suci’ turut merampas suaminya.

“Perempuan itu turut memaklumkan berita mengejutkan mengenai anak saya. Katanya, anak saya digunakan oleh ‘Wanita Suci’ untuk mengesan dan menghalau hantu di rumahnya.

“Kata perempuan itu, anak saya dibawa oleh ‘Wanita Suci’ ke rumahnya dan dia melihat anak saya merangkak seperti kucing mengelilingi rumah sebelum menuding jari ke beberapa bahagian rumah sambil menyebut hantu.

“Apabila selesai, ‘Wanita Suci’ mula menjalankan upacara menghalau hantu sebelum keluar dari sana dan mengatakan kediaman itu sudah bebas daripada hantu yang berkeliaran,” katanya.

Lokman bagaimanapun tidak tahu bagaimana anaknya direkrut hingga mampu melakukan tugasan tidak masuk akal itu.

Menurut eksekutif sebuah syarikat swasta di Sabah itu, dia sudah melakukan pelbagai cara untuk berhubung dengan anak kesayangannya tetapi gagal. “Bagaimanapun, menjelang Aidilfitri tahun lalu, bekas mentua menghubungi saya untuk bertemu serta menunjukkan gambar terbaru anak yang dihantar bekas isteri.

“Bekas mentua turut berpesan supaya saya memujuk kembali bekas isteri supaya kembali ke pangkal jalan serta mendapatkan anak dan jika masih berpeluang, bersatu kembali sebagai suami isteri,” katanya yang memberitahu sudah membuat tujuh laporan polis di Sabah mengenai salah laku ‘Wanita Suci’ dan kehilangan anaknya.

Mahu cepat sembuh

GUA MUSANG: “Saya hanya berdoa supaya cepat sembuh untuk memulakan kehidupan baru dan meneruskan hasrat belajar di sekolah agama,” kata remaja berusia 16 tahun yang mengalami kecacatan teruk di muka dan badannya akibat disimbah cuka getah oleh bapa tirinya pada Ogos tahun lalu.
Katanya, dia cuba bersabar menghadapi penderitaan itu dengan semangat yang diberi oleh nenek dan ibunya.

“Kejadian itu amat pedih apatah lagi memberi penderitaan seumur hidup. Saya berharap boleh pulih seperti biasa. Saya baru saja selesai pembedahan mata kanan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, bulan lalu.

“Mata sebelah kiri masih boleh melihat tetapi samar dan perlu bantuan ahli keluarga sekiranya ingin berjalan di luar rumah,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di sini.

Dalam kejadian Ogos tahun lalu, remaja itu menjadi mangsa rakus bapa tirinya sendiri apabila dibawa membonceng motosikal sebelum dirogol serta disimbah cuka getah di sebuah kebun dekat Rancangan Tanah Felda Aring Enam.

Kejadian ngeri itu menyebabkan mukanya melecur teruk serta mengalami kecacatan kedua tangan serta badan manakala bapa tirinya mati selepas membunuh diri. Kejadian itu menyebabkan dia terlantar lebih empat bulan di HUSM dan kini tinggal dengan neneknya untuk memudahkan berulang alik bagi mendapatkan rawatan tiga hari sekali di Pusat Kesihatan Bandar Ciku.

Katanya, kecederaan teruk yang dialami menyebabkan dia terpaksa melupakan persekolahan.

“Saya terpaksa menumpukan terhadap rawatan pemulihan termasuk pembedahan plastik pada hidung dan telinga kanan.

“Saya bersyukur kerana setiap hari diberi semangat dan galakan oleh ibu dan nenek yang mengajar supaya menerima hakikat bahawa saya kini cacat,” katanya.

Kereta dipandu wanita tersangkut

SEREMBAN: Seorang wanita berdepan saat cemas apabila kereta Proton Waja yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Taman Cempaka Senawang, pagi semalam.
TERSANGKUT...kereta dipandu seorang wanita yang gagal dikawal ketika mengundur tersangkut pada tiang elektrik di Taman Cempaka Senawang semalam.
TERSANGKUT...kereta dipandu seorang wanita yang gagal dikawal ketika mengundur tersangkut pada tiang elektrik di Taman Cempaka Senawang semalam.
Seorang saksi, Soupi Ahmad, 40-an, berkata ketika mengundurkan kereta itu dia tidak menyedari kenderaan itu sudah menghampiri kawasan tiang elektrik di tepi jalan itu.

Menurutnya, sebaik menghampiri tiang elektrik itu, mangsa dikatakan tidak dapat mengawal kenderaan dan tertekan minyak menyebabkan kereta itu tersangkut pada wayar sokongan tiang letrik.

“Bahagian belakang kereta itu kemudiannya tersangkut pada tiang letrik terbabit, bagaimanapun wanita berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya dan beberapa orang penduduk setempat kemudian membantu wanita itu keluar daripada berkenaan,” katanya.

Ahli perniagaan dibunuh kejam





ANGGOTA polis mengangkat mayat Ramli Osman yang mati dipercayai ditetak di sebuah hotel di Port Dickson, semalam.


TELUK KEMANG 27 Mac – Seorang ahli perniagaan mati manakala seorang wanita yang bersamanya parah akibat ditetak dengan parang di sebuah bilik hotel di Port Dickson dekat sini, awal pagi ini. Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi, mangsa, Ramli Osman, 40, dari Shah Alam, Selangor, meninggal dunia di bilik itu setelah kehilangan banyak darah akibat ditetak di paha dan kaki.
Wanita yang berusia 26 tahun itu dan berasal dari Kuala Lumpur, pula cedera parah akibat ditetak di kaki dan tangan.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kejadian disedari pengurusan hotel selepas wanita itu menghubungi penyambut tetamu untuk meminta pertolongan.
Katanya, beberapa pengawal keselamatan hotel lalu bergegas ke bilik tersebut dan menemui wanita itu dalam keadaan berlumuran darah.
“Wanita itu yang membuka pintu kemudian rebah dan tidak sedarkan diri. Polis juga menemui seorang lelaki yang berlumuran darah atas katil,” katanya ketika ditemui di hotel tersebut dekat sini hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu yang merupakan seorang duda mati di tempat kejadian manakala wanita tersebut masih hidup.
“Wanita itu dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja‘afar (HTJ), Rasah dan berada dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Osman berkata, berdasarkan maklumat setakat ini, polis percaya serangan itu dilakukan oleh seorang suspek namun siasatan masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif pembunuhan.
Beliau turut memaklumkan, berdasarkan rekod kemasukan pengunjung hotel, lelaki itu telah mendaftar masuk pada pukul 3 petang semalam.
“Kita masih menjalankan siasatan hubungan mangsa dengan wanita itu serta tujuan mereka berada di hotel berkenaan,” tambahnya.
Buat masa ini, pihak polis katanya, akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk hotel itu bagi mengesan individu yang disyaki.
Mayat lelaki berkenaan telah dibawa ke bilik mayat HTJ untuk bedah siasat dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Warga Algeria ditahan bantu siasatan kes Khuat Hock



KUANTAN 27 Mac - Polis menahan seorang lelaki warga Algeria bagi membantu siasatan kes bunuh anak saudara legenda badminton negara, Datuk Eddy Choong.
Adam Brahim Djaghalouli, 34, disyaki individu terakhir yang berjumpa dengan mangsa, Choong Khuat Hock, 49, sebelum ditemui mati, ditahan di sebuah apartmen yang disewanya di Taman UOG, Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur semalam.
Difahamkan, semasa tangkapan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, Adam berada berseorangan di apartmen tersebut.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Rosli Abdul Rahman berkata, sebelum penahanan, lelaki terbabit terlebih dahulu menghubungi polis selepas mendapat tahu dirinya dicari pihak berkuasa itu.
"Selepas mendapat maklumat, polis Brickfields dengan kerjasama polis Bentong pergi ke rumah Adam di Taman OUG di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
"Ketika tangkapan dilakukan, dia yang berada seorang diri di apartmen memberi kerjasama baik kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Rosli, lelaki tersebut kini telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk direman dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Ditanya sama ada lelaki warga asing terbabit terlibat dengan pembunuhan Khuat Hock, beliau menyatakan segalanya masih dalam siasatan polis.
Semalam, akhbar melaporkan polis sedang mengesan Adam, yang dipercayai orang terakhir berjumpa Khuat Hock sebelum mangsa ditemui mati di dalam longkang di Kilometer 54, Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur pada 13 Mac lalu.
Mangsa yang juga anak saudara kepada Eddy Choong dikatakan telah berkenalan dengan Adam kira-kira setahun lalu dan polis percaya lelaki berkenaan boleh membantu siasatan.
Terdahulu, akhbar melaporkan pada 17 Mac lalu bahawa ahli keluarga mangsa telah mengesahkan bahawa mayat yang ditemui itu adalah Khuat Hock dengan mengecam gigi dan pakaian yang dipakainya.
Selain itu, polis turut menemui sebuah kereta Mercedez-Benz berwarna hitam bernombor pendaftaran WHK 9119 milik mangsa di depan sebuah pasar raya di Taman Desa Brickfields, Kuala Lumpur malam semalam.

'Saya pernah jadi mangsa konspirasi'



KUALA LUMPUR 27 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya licik merancang konspirasi termasuk dengan menggunakan akuan bersumpah.
Oleh itu, katanya, beliau tidak terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung konspirasi mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan Altantuya Shaaribu.
Menurut Dr. Mahathir, beliau sendiri turut menjadi mangsa Anwar yang bijak bermuka-muka di hadapannya tetapi secara diam-diam merancang konspirasi menjatuhkan beliau.
"Dia pernah membuat konspirasi untuk menjatuhkan saya, semua orang tahu dia arah orang serang saya, kata saya ada kroni tetapi Anwar sendiri berpura-pura baik (sebagai) orang nombor dua dalam Kabinet.
"Belakang saya dia lakukan tetapi di depan saya kami boleh duduk semeja, itulah dia, jadi saya tidak pelik dengan tuduhan bahawa dia ada konspirasi untuk menjatuhkan Najib," katanya.
Dr. Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang pertama, di sini hari ini.
Pada Rabu lalu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat, Zulkifli mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan warga Mongolia tersebut.
Tanpa mendedahkan pihak terlibat, Zulkifli berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Dr. Mahathir pada sidang media itu juga turut membidas Anwar kerana mempersoalkan salah seorang anaknya yang tersenarai sebagai antara orang terkaya di negara ini sedangkan ia berlaku selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.
Beliau turut menempelak Anwar kerana telah mengkayakan kawan-kawannya sewaktu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada pertengahan tahun 90-an.
"Ada seorang kawan dia memiliki kekayaan RM239 juta, kalau jadi Perdana Menteri macam itulah (lagi teruk) sebab baru jadi Timbalan Perdana Menteri kawan-kawan dia semua jadi kaya, banyak duit juga tapi tidak tahulah dari mana," katanya.
Dalam isu berasingan, Dr. Mahathir menyifatkan Pas telah bersubahat dengan Anwar dalam budaya fitnah dan pembohongan apabila Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar perbuatan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kerana mendedahkan rahsia impian 16 September.
"Nik Aziz kata Zahrain tak patut dedah perbuatan jahat yang dilakukan, jika kita tahu benda itu salah tapi kita tak ambil tindakan untuk mendedahkan kesalahan, itu semacam bersubahat.
"Nik Aziz sokong Zahrain jangan dedah, jadi dia bersubahat dengan Anwar," tegasnya.

Buang bayi: Polis tubuh pasukan khas



KUALA LUMPUR 27 Mac - Polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk mengesan individu yang membuang bayi lelaki di tepi jalan berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya juga sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Sungai Buloh untuk mengenal pasti beberapa maklumat termasuk keturunan bayi itu.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan individu yang membuang bayi malang tersebut tinggal di kawasan berhampiran.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengumpul maklumat dan saya meminta orang ramai yang mengetahui kejadian itu supaya menghubungi polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, mayat seorang bayi lelaki ditemui dicampak di tepi jalan di Jalan Padang Tembak sebelum salah satu tangan bayi berkenaan bercerai dari badan akibat digigit anjing liar.
Seorang lelaki yang prihatin terkejut apabila melihat seekor anjing menggonggong tangan bayi tersebut manakala sekumpulan anjing liar lain mengerumuni bayi malang itu.
Bayi lelaki itu dipercayai berusia sehari dan baru sahaja dilahirkan kelmarin kerana masih bertali pusat.
Tambah Arjunaidi, mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Fitnah dan diktator



PENDEDAHAN seorang lagi Ahli Parlimen bebas, Zulkifli Noordin di Dewan Rakyat, baru-baru ini membuka lagi banyak persoalan tentang kewibawaan Anwar Ibrahim. Bekas wakil rakyat PKR itu mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Walaupun Zulkifli tidak menamakan sesiapa, desas-desus berlegar bahawa orang yang dikaitkan ialah Anwar. Bekas pemimpin muda PKR, Ezam Mohd. Noor dalam reaksinya mendakwa, beliau juga pernah diminta memfitnah Najib dan Rosmah dalam kes Altantuya. Ezam tidak berselindung. Beliau menamakan Anwar sebagai orangnya. Menurut Ezam, beliau bertanyakan Anwar apa buktinya mengaitkan Najib tetapi pemimpin utama PKR itu berkata tiada dan sebaliknya meminta beliau ‘bedal’ (lempar tuduhan) sahaja terlebih dahulu. Tergamam Awang, sampai begitu sekali fitnah dijadikan senjata politik.
Pendedahan terbaru ini merupakan satu lagi tamparan kepada Anwar dan PKR. Belum pun reda, isu pembohongan beliau yang didakwa mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia dalam cubaan rampasan kuasa 16 September, terdedah satu lagi tembelang besar. Kalau di kebanyakan negara, pemimpin yang melakukan pembohongan besar, dengan sendirinya melepaskan jawatan. Dengan imej sebagai pembohong, beliau tidak layak menjadi Ketua Pembangkang. Memalukan. Ia suatu penghinaan kepada pembangkang, rakyat dan negara. Pemimpin harus kelihatan bersih.
Setakat ini, penjelasan Anwar berkaitan pendedahan di Dewan Rakyat, tidak meyakinkan. Seperti biasa, beliau marah dan melenting apabila diajukan pertanyaan yang beliau tidak suka. Walaupun kononnya memperjuangkan demokrasi dan kebebasan media, Anwar bersandiwara. Beliau selalu emosional, meninggi suara dan memperlekehkan wartawan. Anwar menggambarkan beliau pemimpin hebat tetapi selalu gagal menangani soalan media. Bukan itu sahaja Anwar bersama pemimpin DAP memboikot media yang tidak selari dengan aspirasi pembangkang. Bayangkan jika Anwar yang menghadapi krisis moral, integriti dan hipokrit dalam soal demokrasi, menjadi Perdana Menteri, Awang boleh gambarkan beliau akan menjadi seorang diktator dan zalim. Bibit- bibit itu semakin jelas sekarang.
Pada Awang, Anwar bukan setakat liabiliti kepada pembangkang malah kepada agama, bangsa dan negara. Makin banyak senario yang tidak memihak kepada beliau. Tetapi waspadalah, orang terdesak akan melakukan tindakan terdesak dan di luar jangkaan. Ketika ini, beliau memperhebatkan lagi kempen ke seluruh negara atas nama menyelamatkan Malaysia tetapi sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan diri. Bukti pendakwaan kes liwat terhadap Saiful Azlan Bukhari cukup kukuh dan terus meresahkan Anwar. Beliau juga dikatakan khuatir jika Saiful ditemukan dengan ulama ternama Islam, Dr. Yusuf Qaradhawi. Selama ini, beliau dilihat memanipulasi ulama berkenaan tanpa Saiful diberi keadilan. Jika pertemuan itu berlaku Saiful boleh memberikan versi cerita beliau, yang boleh dinilai oleh ulama tersebut.
Keyakinan Saiful untuk melakukan sumpah muhabalah di masjid berbanding dengan keengganan Anwar, sudah boleh menjadi petunjuk. Melihat air muka Anwar yang kian keruh dan merenung wajah Saiful yang sentiasa tenang, dapat memberikan sedikit cahaya akal siapa sebenarnya yang menjadi mangsa.

Letupan ketiga gegar Bangkok



28/03/2010 2:46am

BANGKOK 28 Mac - Letupan terbaru dan yang ketiga selepas tunjuk perasaan antikerajaan dilancarkan lebih seminggu lalu, menggegar ibu negara Thailand semalam menjadikan jumlah keseluruhan yang cedera kepada lapan termasuk lima askar.
Menurut polis dan pihak berkuasa perubatan, letupan tersebut berlaku di stesen televisyen Perkhidmatan Penyiar Kebangsaan kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia), mencederakan tiga askar dan seorang pengawal keselamatan.
Dalam kejadian letupan lain yang berlaku sebelum itu, dua askar dan dua orang awam cedera apabila sebutir bom tangan yang dilempar di sebuah stesen televisyen Saluran 5 yang dikendalikan tentera, meletup.
Kedua-dua kejadian berlaku sejurus lebih kurang 80,000 penunjuk perasaan melancarkan bantahan secara aman di jalan-jalan. - AFP

Pesawat terhempas, Pengarah Urusan ADIA hilang



28/03/2010 2:46am

DUBAI 28 Mac - Pengarah Urusan dana pelaburan terbesar dunia, Lembaga Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Ahmed bin Zayed Al Nahyan, hilang selepas pesawat ringan yang dinaikinya terhempas di sebuah tasik dekat Maghribi, semalam.
Agensi berita rasmi Maghribi, MAP bagaimanapun melaporkan, juruterbang yang memandu pesawat tersebut selamat dan berada dalam keadaan baik.
Menurut agensi berita itu, operasi mencari dan menyelamat kini giat dijalankan di tasik buatan tersebut bagi mengesan Ahmed yang juga adik kepada pemimpin Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheik Khalifa bin Zayed Al Nahyan.
ADIA bagaimanapun masih belum dapat dihubungi bagi mendapat maklumat lanjut.
Pesawat berkenaan terhempas berhampiran Empangan Sidi Mohammed Ben Abdallah yang membentuk tasik tersebut.
Ia terletak kira-kira 35 kilometer di selatan ibu negara Maghribi, Rabat dan tapak satu daripada istana diraja Maghribi.
Operasi mencari dan menyelamat dijangka agak sukar berikutan hujan lebat yang menaikkan lagi paras air. - AP

Berlusconi terima surat ugut bunuh beserta peluru



28/03/2010 2:46am

ROME 28 Mac - Perkhidmatan pos Itali berjaya mengesan sepucuk surat ugutan bersama sebutir peluru yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Silvio Berlusconi, sementara sepucuk surat lain yang ditujukan kepada seorang menteri, terbakar setelah dipercayai mengandungi bom kecil.
Polis berkata, satu sampul surat besar yang mengandungi sepucuk surat ditujukan kepada Berlusconi dengan ugutan ‘kamu akan mati seperti tikus’, ditemui hari ini di sebuah pejabat pos dekat pinggir bandar Libate, utara Milan.
Menurut polis, surat tersebut yang turut ditujukan kepada pemimpin-pemimpin lain dari Parti Kebebasan Rakyat (PDL) pimpinan Berlusconi, dialamatkan ke kediaman peribadi Perdana Menteri itu di Milan.
Beliau berada di Libya bagi menghadiri sidang kemuncak Liga Arab.
Agensi berita ANSA melaporkan, surat yang tidak diketahui pengirimnya itu memaparkan lukisan individu-individu disertai nama empat pemimpin PDL di bawahnya termasuk Menteri Pertahanan Ingazio La Russa.
Sementara itu, di sebuah pejabat pos lain dekat Milan, sepucuk surat ugutan berisi bom kecil yang ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri Roberto Maroni terbakar, mengakibatkan kecederaan ringan kepada seorang posmen. - AFP