Search This Blog

Loading...

Saturday, March 27, 2010

Mangsa nahas tanya arwah ibu

KOTA BHARU: “Mana mama dan baba...Afiq sayang mama!,” demikian rintihan, Amirul Afiq, 5, anak bongsu pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 51, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Ahad lalu.
Situasi syahdu dan menyentuh perasaan itu menyebabkan neneknya, Saripah Kamaruddin, 65, terpaksa memujuk jiwa cucu bongsunya selepas terasa kehilangan kedua ibu bapa dalam sekelip mata.

Doa yang tidak putus termasuk solat hajat dan majlis bacaan Yasin serta tahlil ahli keluarga membolehkan anak sulung pasangan terbabit, Nurul Fazira Mohd Amli, 16, yang masih koma sejak kemalangan itu kini mula menunjukkan perkembangan positif apabila mampu menggerakkan kaki dan mengalirkan air mata ketika disebut namanya.

Ibu saudaranya, Norliza Mohd Zawi, 39, berkata dia sebak melihat keadaan empat anak saudaranya yang kehilangan kedua-dua ibu bapa, serta adik-beradik ketiga mereka, Amirul Hakimi Mohd Amli, 12.

“Sejak arwah kakak, Noora Mohd Zawi, 40, dan arwah abang ipar, Mohd Amli Hussein, 43, meninggal dunia, tanggungjawab menjaga anak-anak terletak di tangan datuk dan nenek mereka.

“Saya bersyukur kerana berkat doa yang tidak putus-putus dan majlis bacaan Yasin membolehkan anak sulung kakak, sedar daripada koma dan menunjukkan perkembangan positif,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.


Menurutnya, hanya Nurul Fazira saja setakat ini masih dirawat di Wad Delima Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, manakala tiga adik-beradiknya termasuk Amirul Akhmal, 14; Amirul Sufi, 7, dan Amirul Afiq, 5, sudah pulang ke rumah.

“Ketika pertama kali dirawat, doktor memberitahu harapan Nurul Fazira kurang, tetapi doa keluarga membolehkan dia menunjukkan respon positif. Saya bersyukur dengan perkembangan itu.

“Adik bongsu mereka, Amirul Afiq baru selesai menjalani satu pembedahan kerana mengalami luka di bahagian kepala dan perlu menjalani rawatan susulan pada 1 April ini di HUSM,” katanya.

Sehubungan itu, dia turut meminta individu prihatin membantu empat anak saudaranya yang kehilangan kedua orang tua untuk menjalani kehidupan seperti biasa termasuk menampung perbelanjaan sekolah.

Akhbar sebelum ini melaporkan kejadian menyayat hati membabitkan tiga beranak maut, manakala empat penumpangnya cedera parah selepas kereta Honda Civic dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Kejadian di Kilometer 51 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar, Paloh, dekat sini, berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Salor Kota Bharu ke Kajang, Selangor.

Tragedi memilukan itu berlaku, sebaik lori berkenaan mengelak sebuah kereta yang memotong di hadapannya, menyebabkan kenderaan terbabit terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Situasi mencemaskan itu menyebabkan Honda Civic yang dipandu Mohd Amli Hussein, 43, dari arah Kuala Krai ke Gua Musang bertembung dengan lori terbabit dari arah bertentangan menyebabkan tiga penumpangnya maut.

Pertembungan itu menyebabkan lori berkenaan terjunam ke bawah cerun, manakala kereta terbabit terbabas ke dalam longkang kawasan itu.

Kemalangan itu menyebabkan tiga beranak termasuk pemandu kenderaan Mohd Amli, isterinya, Noora Mohd Zawi, 40, dan seorang anak mereka, Amirul Hakimi, 12, yang tinggal di Taman Jasmi, Kajang, Selangor, maut di tempat kejadian. Mereka yang cedera termasuk empat anak mangsa, Amirul Akhmal, 14; Amirul Sufi, 7, dan Amirul Afiq, 5, dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk menerima rawatan.

Hambat bapa dengan lori

KUALA TERENGGANU: Busuknya hati seorang lelaki apabila tergamak memukul bapa kandungnya sendiri dengan sebatang kayu hanya kerana tidak puas hati gara-gara namanya tidak disenaraikan dalam pembahagian tanah keluarga itu sejak dua tahun lalu.
Selain itu, anak sulung berhati binatang yang bekerja sebagai pemandu lori itu sanggup mengejar bapanya dengan kenderaan itu sehingga warga emas berkenaan nyaris pengsan akibat keletihan melarikan diri dua minggu lalu.
Cucu mangsa, Nuur Nadia Farahana Azmi, 17, mendakwa kekejaman bapa saudaranya itu semakin menjadi-jadi selepas tindakan kurang warasnya mendapat sokongan seorang daripada sembilan adik beradiknya. “Saya sedih datuk sering dizalimi Pak Long. Kelmarin dia menyiram pokok duku datuk dengan diesel malah apabila dimarahi, orang tua itu dipukul dengan kayu sehingga dagunya cedera dan terpaksa dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, datuknya ada memberitahu, dia tidak menyenaraikan bapa saudaranya itu sebagai pewaris harta kerana bimbang tindakan itu akan membuatkan hidup datuknya merempat.

“Datuk bimbang Pak Long akan menjual semua tanah yang ada jika meletakkan namanya (bapa saudara) dalam senarai pembahagian harta.

“Malah, Pak Long yang tinggal berhampiran rumah datuk beberapa kali menghantar SMS memaki hamun dan ugutan mengenai datuk kepada ibu saudara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Jela, Manir, di sini, semalam.


Sementara itu, mangsa, Muda Mat Zin, 72, yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kelmarin berkata, dia tidak menduga anak sulungnya yang tamak harta itu akan berkelakuan seperti binatang selepas dia meletakkan nama anak lain dalam senarai pembahagian tanahnya.

Muda yang menghadapi masalah pendengaran kurang jelas berkata, dia dan isterinya kini hidup dalam ketakutan apabila anak lelakinya itu pernah mencederakan mereka beberapa bulan lalu.

Menurutnya, meskipun pernah dua kali membuat laporan polis, anak sulungnya pandai bermain kata-kata dan berjanji kepada polis untuk berubah sikap serta memberitahu pihak berkuasa akan menyelesaikan masalah keluarganya secepat mungkin secara harmoni.

“Dia (anak sulung) pandai mempengaruhi adik-beradik lain dan orang kampung dengan menyebarkan fitnah saya sering memarahi dan berat sebelah dalam mendidik anak, walhal sebagai bapa naluri saya tidak sebegitu kejam,” katanya.

Diseksa kekasih garang

KUALA LUMPUR: Awek ganas! Hanya kerana dinasihati kekasihnya supaya menjadi perempuan baik, seorang gadis sanggup membelasah teman lelakinya selepas dia dikatakan tiba-tiba naik angin dan mengamuk dengan memaki serta memukul mangsa di depan khalayak.
Dalam kejadian jam 7 malam Rabu lalu, mangsa, seorang penghantar surat berusia 20-an bertemu teman wanitanya itu di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ketika itu, berlaku sedikit perselisihan faham apabila mangsa menegur kelakuan teman wanitanya dan meminta dia berubah sikap kerana didakwa agak garang dan sering memarahinya.

Bagaimanapun, segala nasihat mangsa itu dibalas maki- hamun serta kata-kata kesat oleh teman wanitanya selain dia dimarahi di depan orang ramai.

Malah, wanita terbabit yang berang dan tidak dapat mengawal perasaan mengamuk dan memukul mangsa membuatkan lelaki berkenaan menanggung aib kerana kejadian itu diperhatikan orang ramai.

Menurut sumber, menyedari insiden memalukan itu diperhatikan orang ramai, mangsa segera membawa teman wanitanya itu keluar dari pusat beli-belah berkenaan dan menghantar kekasihnya pulang.


“Mangsa menganggap kejadian itu menjatuhkan air muka kerana teman wanitanya langsung tidak menghormatinya, malah sanggup memperlakukan dia sedemikian di depan orang ramai.

“Tidak tahan kelakuan wanita itu, lelaki berkenaan segera membawa wanita terbabit keluar dari kompleks berkenaan lalu menuju parkir untuk mengambil motosikal,” katanya.

Sumber itu berkata, ketika dalam perjalanan mengambil motosikal, teman wanita lelaki itu masih tidak puas hati dan mengungkit kata-kata nasihat yang diberikan mangsa.

“Akibatnya berlaku pertengkaran sekali lagi dan kali ini mangsa diperlakukan lebih kejam apabila teman wanitanya mencakar muka selain menghentak kepalanya dengan topi keledar.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa turut diketuk dengan komputer riba miliki wanita berkenaan,” katanya.

Menurutnya, selepas puas membelasah teman lelakinya, wanita terbabit sekali lagi berang apabila mendapati komputer ribanya rosak dan dia meminta mangsa membayar ganti rugi.

“Teman wanita lelaki itu mendakwa mangsa punca komputer riba miliknya rosak dan meminta dia membayar kos atas segala kerosakan.

“Namun, mangsa mempersoalkan tindakan teman wanitanya itu dan mendakwa kerosakan berkenaan bukan berpunca daripadanya,” katanya.

Sumber itu berkata, mendengar kata-kata itu, wanita terbabit sekali lagi naik angin dan kali ini dia bertindak lebih biadab apabila mengugut mengupah rakan-rakannya supaya merogol ibu dan adik perempuan mangsa.

“Selain itu, wanita terbabit merampas kunci motosikal mangsa dan lelaki berkenaan yang takut ugutan dan kejadian yang menimpa dirinya membuat laporan polis,” katanya.

Berdasarkan aduan itu, polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian terbabit.

Arwah kerap termenung

KOTA BHARU: “Sebelum kejadian itu, saya lihat arwah selalu termenung seolah-olah seperti ada sesuatu tidak kena sehingga saya dikejutkan dengan kejadian menyedihkan ini,” kata Wizana Abdul Ghani, 38, balu kepada juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, 40, yang maut apabila pesawat Pilatus PC-7 dipandunya terhempas di kawasan hutan dekat Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, jam 10.15 pagi kelmarin.
Menurut Wizana, mereka bersama tiga anak sempat pulang bercuti dari Kampung Pasir Kasar Sering, Ahad lalu.
Katanya, dia menyedari terdapat beberapa perubahan terhadap perlakuan arwah suaminya itu, terutama lebih pendiam dan suka termenung.

“Sikap arwah itu menimbulkan keraguan di hati saya, tetapi tidak menyangka sikapnya itu memberi petanda dia akan meninggalkan saya dan tiga anak yang masih kecil buat selama-lamanya.

“Ketika saya dan anak bongsu, Nor Hidayah yang berusia sembilan bulan menghantar arwah ke kereta iaitu pagi sebelum kejadian, dia berat hati meninggalkan kami dan termenung jauh seakan-akan tidak mahu melepaskan kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Kasar Sering, semalam.

Wizana berkata, selama ini arwah sentiasa berpesan supaya dia tabah mengharungi kehidupan bersama tiga anak, Nor Atirah, 11, Mohd Amirul, 7, dan Nor Hidayah jika berlaku apa-apa perkara tida diingini ke atas dirinya. “Arwah selalu berpesan supaya saya dan anak-anak bersedia menghadapi segala ujian dan tidak menangisi pemergiannya sekiranya berlaku kejadian buruk,” katanya.


Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Petani, kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Wanita dirogol rakan suami mabuk

KUALA LUMPUR: Padah sikap suami gemar mabuk sehingga tidak sedarkan diri, isterinya pula terpaksa menanggung azab apabila wanita malang terbabit mendakwa dia dirogol rakan suaminya itu dalam kejadian berlaku di rumah pasangan itu di sebuah pangsapuri di Taman Sri Batu, di sini.
Malah, rakan suaminya itu juga dikatakan mengambil kesempatan setiap kali mangsa tidur dan lelaki hidung belang itu yang juga dalam keadaan mabuk, menceroboh bilik wanita terbabit.
Difahamkan, dalam laporan dibuat mangsa, kejadian malang itu berlaku empat kali dan kali terakhir minggu lalu dan setiap kali dirogol, wanita terbabit dikatakan dalam keadaan separuh sedar berikutan dia mengambil beberapa jenis ubat.

Menurut sumber, mangsa bekerja sebagai operator pengeluaran dan berusia lingkungan 30-an mendakwa menjadi mangsa rogol rakan suaminya itu setiap kali mereka mabuk.

“Wanita terbabit mendakwa suaminya kerap membawa pulang rakannya dalam keadaan mabuk.

“Apabila mabuk, dia mendakwa suaminya pasti tidak sedarkan diri dan kesempatan itu diambil rakan suaminya apabila dia merogol mangsa,” katanya.


Sumber itu berkata, bagaimanapun wanita berkenaan dikatakan takut untuk menceritakan kejadian itu kepada suaminya kerana bimbang dimarahi lelaki terbabit.

“Namun, selepas tidak tahan dengan kelakuan rakan suaminya itu, mangsa akhirnya mengambil keputusan membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit,” katanya.

“Dia membuat laporan itu Rabu lalu dan turut memberitahu ketika kejadian, suaminya ada di rumah namun tidur kerana terlalu mabuk,” katanya. Menurut sumber itu, wanita terbabit mendakwa kejadian terakhir berlaku minggu lalu ketika dia tidur dalam bilik sebelum didatangi rakan suaminya yang ketika itu juga dalam keadaan mabuk.

“Wanita itu mendakwa dia tidak dapat melakukan apa-apa kerana terlalu letih disebabkan ubat diambilnya sebelum tidur dan hanya menyedari dirinya dirogol sejurus terjaga daripada tidur,” katanya.

“Mangsa pada mulanya menyangkakan lelaki terbabit adalah suaminya terkejut apabila mendapati lelaki yang tidur bersamanya adalah rakan suaminya,” katanya.

Pelajar cemerlang hilang

SUNGAI PETANI: Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang pernah terpilih pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Kedah dengan keputusan 5A pada 2007, dipercayai dilarikan orang tidak dikenali di rumahnya di Bandar Puteri Jaya di sini, sejak lima hari lalu.
Halimaton Abd Rashid, kini menuntut di tingkatan tiga Sekolah Menengah Parit Panjang (SMKPP), dekat Baling, disedari hilang kira-kira 6.45 petang, Isnin lalu.
Kakaknya, Hamiza Abd Rashid, 23, berkata adiknya yang tinggal bersamanya tidak mempunyai sebarang masalah dan hubungan mereka sangat baik.

“Sebelum meninggalkan rumah untuk kerja pagi Isnin lalu, saya membeli dua bungkus nasi lemak untuk sarapan pagi Halimaton. Pada hari itu, dia lewat ke sekolah dan hanya memakai pakaian sukan.

“Apabila pulang ke rumah, saya terkejut melihat pintu biliknya terbuka dan dia tiada manakala biliknya berselerak, malah nasi lemak yang saya beli juga berterabur,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Menurutnya, selepas puas mencari dia menghubungi emaknya di kampung dekat Kupang.

Dia turut mencari di rumah saudara-mara terdekat, namun tidak menemuinya di samping menghubungi rakan Halimaton dan mereka memaklumkan tidak berjumpanya.


“Saya bimbang adik dilarikan orang tidak dikenali berdasarkan biliknya yang berselerak seperti diselongkar. “Saya juga hairan, jika dia hendak melarikan diri mengapa telefon bimbitnya ditinggalkan dan hanya membawa kad pengenalan serta buku bank. “Malah, semua pakaiannya juga berada dalam bilik. Dia tidak mempunyai ramai rakan lelaki dan seorang pelajar yang cerdik termasuk menjadi pengawas sekolah,” katanya.

Hamiza berkata, lebih membimbangkannya Halimaton menghidap lelah dan sentiasa memerlukan ubat selain menghadapi masalah rabun. Sehubungan itu, Hamiza membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani pada 23 Mac lalu.

Hamiza meminta orang ramai yang mengetahui di mana Halimaton berada diminta menghubunginya di 012-5147071 atau Fizah di 017-4094315 atau ibunya, 017-5497737.

Sementara itu, jurucakap polis Balai Polis Sungai Petani mengesahkan menerima laporan kehilangan Halimaton dan berkata siasatan masih dijalankan.

Serbu mak nyah sibuk cari pelanggan

KUALA LUMPUR: Sekumpulan mak nyah yang sibuk mencari pelanggan berhampiran stesen minyak di Jalan Ipoh di sini, bertempiaran menyelamatkan diri sejurus menyedari kehadiran polis yang menyerbu kawasan berkenaan.
Difahamkan, rata-rata lelaki yang berpakaian wanita dan menjolok mata berusia 18 hingga 30-an terbabit menjadikan kawasan stesen minyak itu sebagai lubuk mencari pendapatan dengan menjaja tubuh sejak dua bulan lalu.
Modus operandi yang digunakan ialah dengan menggamit dan merayu pelanggan yang melalui kawasan itu dan mengenakan mekap tebal untuk memikat pelanggan dan melakukan seks.

Kegiatan tidak bermoral itu, bagaimanapun terbongkar apabila sepasukan dua pegawai dan 11 anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKL) menyerbu premis berkenaan, awal pagi semalam. Dalam operasi ‘Ops Noda’ jam 1.30 pagi itu, enam lelaki tempatan berusia 18 dan 30 tahun ditahan sebelum diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk tindakan lanjut.

Pegawai Turus D7 IPKKL, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata selepas risikan dilakukan, pihaknya menyerbu kawasan berkenaan.

Beliau berkata, ketika serbuan, semua lelaki itu asyik mencari pelanggan dan melakukan urus niaga dalam premis terbabit.


“Berdasarkan siasatan awal, kami percaya mereka melacurkan diri untuk memperoleh pendapatan lebih,” katanya di sini, semalam.

Kapal tentera Korea Selatan karam




SEORANG wanita di Seoul melihat siaran berita mengenai kapal tentera Korea Selatan karam dibedil torpedo di Laut Kuning semalam.


SEOUL - Sebuah kapal tentera laut Korea Selatan yang membawa lebih 100 krew tenggelam semalam selepas disyaki terkena tembakan torpedo jirannya, Korea Utara.
Seorang pegawai tentera Korea Selatan berkata, operasi menyelamat telah dilakukan tetapi ramai kelasi dikhuatiri terbunuh.
Pihak berkuasa memberitahu, kapal peronda itu mula karam sekitar pukul 10.45 pagi waktu tempatan di Laut Kuning.
Ketika kejadian, kapal berkenaan membalas tembakan ke arah sebuah kapal yang tidak dikenal pasti ke arah Korea Utara.
Susulan insiden itu, pemeritah Korea Selatan mengadakan satu mesyuarat tergempar melibatkan menteri pertahanan dan keselamatan bagi membincangkan tindakan lanjut. - Agensi

AC belum tentu disaman atau tidak Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR






KHABAR angin pernah menyatakan Hans Isaac dan AC Mizal tidak bersatu hati semasa menjayakan pementasan Cuci The Musical tahun lalu. Hans ketika itu bagaimanapun menafikan gosip tersebut.
Namun, apabila juara Raja Lawak musim kedua, Nabil Ahmad diumumkan menggantikan tempat AC dalam pementasan musim kedua teater terbitan syarikat milik Hans, Tall Order Production Sdn. Bhd. itu, ramai dapat menebak bahawa ada pergeseran yang sedang berlaku antara dua insan yang selama ini dilihat umum sebagai sahabat baik.
Ironinya, Hans dan AC serta Afdlin Shauki dan Awie sudah seperti satu jenama. Apabila seorang daripada mereka tiada, maka pincang jenama empat sahabat tersebut. Filem Baik Punya Cilok dan Cuciserta teater Cuci The Musical adalah buktinya.
Malah akui Hans, masalah mula timbul sejak pembikinan produksiCuci The Musical musim pertama lagi. AC difahamkan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kontrak.
"Kalau diikutkan dalam kontrak, AC perlu menghadiri sesi latihan sepenuhnya. Namun, AC hanya datang 40 peratus daripada tempoh sebulan latihan.
"Ini bermaksud dia melanggar kontrak. Jadi, AC sebenarnya sudah dipecat oleh syarikat selepas tamatnya pementasan Cuci the Musical. Maka, Nabil hanya dipilih selepas itu," jelas Hans pada sidang media mengumumkan tentang Cuci The Musical musim kedua.
INTIM. Gabungan Hans dan AC serta Awie dan Afdlin sudah seperti satu jenama.


Mengikat kontrak selama tiga tahun, pemegang watak C'Tan itu bagaimanapun sudah 'dimaafkan' oleh Hans. Sambung Hans, dia tidak menyimpan sebarang niat untuk memburukkan keadaan atau menyaman AC.
"Isu saman menyaman itu tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Namun, harus diingatkan bahawa produksi saya tidak bergerak sendiri.
"Saya juga ada pelabur yang melaburkan wang mereka. Jadi, saya tidak tahu apa tindakan mereka selanjutnya. Setakat ini saya masih belum diberitahu apa-apa," tambahnya.
Sementara itu, AC yang dihubungi Kosmo! bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen balas terhadap kenyataan Hans itu. "Saya tiada sebarang komen. Cuma apabila sudah dipecat daripada teater Cuci The Musical, ini bermakna saya sudah tiada apa-apa ikatan dengan teater itu dan kini ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada bisnes saya," ujarnya.
Nabil bimbang
Menawarkan kelainan tetapi masih memaparkan polar cerita sama, ada sebabnya mengapa Nabil dipilih sebagai salah seorang tunjang muzikal komedi itu.
Tidak perlu melalui sesi uji bakat seperti yang biasa dilakukan oleh pelakon lain, Nabil menerima tiket mudah apabila bakatnya diakui oleh Hans dan pengarahnya, Harith Iskander.

TANPA AC dan Adibah. Nabil dan Jac merupakan tenaga lakonan baru yang menyertai barisan karyawan Cuci The Musical sedia ada untuk pementasan musim kedua.


"Rasanya Nabil boleh menawarkan lebih banyak kepelbagaian berbanding AC. Saya dan Harith merasakan Nabil mempunyai potensi tinggi dalam bidang (teater) ini," ujar Hans.
Memasukkan pelakon baru dalam kelompok tiga sekawan - Awie, Hans dan Afdlin menimbulkan persoalan sama ada Nabil mampu menawarkan keserasian seperti yang dipertontonkan oleh AC sebelumnya.
"Saya percaya keserasian akan datang sendiri semasa latihan nanti. Lagipun Nabil seorang pelakon profesional. Dia pasti dapat menyesuaikan diri dengan cepat."
Bagi Nabil yang menonton pementasan Cuci The Musical pertama sebanyak tiga kali dia merasakan rezeki untuk memegang watak utama itu peluang yang tidak mungkin dilepaskan.
Malah, jejaka kelahiran Negeri Sembilan itu menyatakan dia pernah berangan untuk memegang watak dalam pementasan itu akhirnya menjadi kenyataan.
"Semasa menonton edisi pertamanya, ada terbayangkan juga kalau dapat turut serta dalam pementasan ini. Tidak kisahlah kalau dapat jadi pelakon tambahan sahaja. Namun, siapa sangka saya ditawarkan peranan utama," katanya.
Mengakui dirinya dilanda kebimbangan, Nabil juga sebenarnya sudah tidak sabar untuk berdiri di atas pentas Istana Budaya pada 27 Julai nanti.
"Saya tidak risau sebenarnya untuk berlakon teater tetapi apa yang membimbangkan adalah untuk menyanyi. Saya tidak seperti pelakon lain yang sudah biasa menyanyi. Nasib baik pihak produksi akan menyediakan guru vokal untuk saya," ujar Nabil.
Tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan, Nabil yang berasa bangga dengan pemilihan kali ini berjanji untuk memberikan yang terbaik kepada peminat Cuci The Musical.
"Perasaannya lebih ghairah berbanding debaran semasa menyertai pertandingan Raja Lawak dulu. Lebih-lebih lagi dapat bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Hans, Awie dan Afdlin," akuinya.
Hans dan AC serta Awie dan Afdlin sudah seperti satu jenama.


Jac bukan Adibah
Jika dalam pementasan Cuci The Musical musim pertama watak Farah yang juga kekasih kepada Jojo (Awie) ialah Adibah Nor tetapi untuk musim ini telah digantikan oleh Jaclyn Victor.
Jaclyn sebelum ini pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Persembahan Vokal Wanita Terbaik dalam Album ketika Anugerah Industri Muzik 2006 teruja untuk menggantikan Adibah.
Bagi Jaclyn, dia rasa tidak sabar untuk membuat persembahan itu nanti.
"Saya tak nafikan ada timbul perasaan takut tetapi ini merupakan peluang yang jatuh ke riba dan perlu saya ambil serta tidak mungkin saya sia-siakan.
"Saya harap dapat buat persembahan yang bagus dan tidak mahu mengecawakan sesiapa pun," jelasnya.
Pihak produksi juga, kata Jaclyn, tidak mahukan dia mengikut karakter Adibah dalam pementasan musim kedua ini.
"Bagi mereka Adibah ialah Adibah, Jaclyn adalah lain daripada Adibah.
"Pelakon lain dalam muzikal itu juga banyak memberi semangat dan dorongan kepada saya. Saya sebagai orang baru dalam bidang ini akan mengambil segala tunjuk ajar yang mereka berikan," katanya.

Anjing gonggong mayat bayi lelaki




IMEJ video menunjukkan cebisan mayat bayi lelaki yang ditemui di Jalan Padang Tembak, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Menyayat hati apabila mayat bayi lelaki yang dibuang ibu bapanya digonggong seekor anjing sebelum disedari orang awam di Jalan Padang Tembak, Subang di sini semalam.
Lebih menyedihkan, ketika ditemui pukul 4.05 petang, salah satu tangan bayi telah terputus dan terjatuh atas jalan manakala badannya digonggong anjing berkenaan.
Ketika itu, tangan bayi itu dibungkus dengan plastik manakala badannya pula tidak berbalut.

Kes Benjy babitkan dadah jenis sintetik



PUTRAJAYA - Kes membabitkan pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy (gambar), 31, yang ditahan semula untuk siasatan lanjut, membabitkan dadah jenis sintetik, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, kerajaan memberi tumpuan serius dalam menangani dadah jenis itu kerana pengambilannya, walaupun sekali, boleh menyebabkan seseorang itu akan ketagih.
Katanya, begitu juga kes yang membabitkan seorang bekas pemain sepak takraw wanita kebangsaan di Kuala Terengganu Ahad lalu.

Pilatus baru 2 tahun digunakan








MELAKA - Pesawat Pilatus yang terhempas di kawasan hutan simpan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah sehingga mengorbankan juruterbangnya kelmarin baru digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dua tahun lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, pesawat yang terhempas itu adalah versi terbaru iaitu PC7 MKII dan bukannya MKI yang digunakan TUDM sejak 25 tahun lalu.


KERATAN Kosmo! semalam.



"Pesawat ini adalah versi terbaru buatan Switzerland dan mula dimiliki oleh TUDM pada 2008.
"Ia digunakan di kebanyakan sekolah memandu pesawat dan diselenggara dengan baik," kata beliau.

Duda, amah ditahan bersekududukan




SEORANG duda (kiri) memberi keterangan kepada pihak berkuasa manakala pembantu rumahnya menidurkan anaknya ketika diserbu di sebuah kebun ubi di Alor Gajah semalam.


ALOR GAJAH - Tindakan seorang duda yang membawa pembantu rumahnya bersembunyi di sebuah kebun ubi di belakang rumah mereka nyata sia-sia apabila kedua-duanya dapat ditahan sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam satu serbuan di Paya Rumput, Masjid Tanah di sini semalam.
Ketika ditahan pukul 12.30 pagi itu, duda berusia 49 tahun tersebut didapati memasang ubat nyamuk bagi mengelakkan anak wanita Indonesia berusia enam bulan yang dibawa bersama ke kebun tersebut menjadi mangsa gigitan serangga berkenaan.
Sebelum itu, pasangan tersebut telah melarikan diri dari rumah mereka selepas menyedari kehadiran JAIM.
Lebih jelik apabila lelaki itu sanggup meninggalkan dua anak lelakinya berusia enam dan lapan tahun yang sedang tidur di rumah bersendirian.
Dua beradik itu kemudian terpinga-pinga apabila mendapati rumah mereka diserbu anggota JAIM dan bapa mereka pula lesap.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIM, Rahimin Bani memberitahu, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai yang curiga mengenai status seorang wanita berkenaan yang tinggal di situ sejak setahun lalu.

Musa sahkan polis tahan Wan Hashim



KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam mengesahkan penahanan Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan di kediamannya di Taman Sri Aman, Kota Bharu malam kelmarin.
Menurut beliau, penahanan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri itu dibuat bagi membantu siasatan terhadap pengumuman yang dibuat Wan Hashim berhubung pemecatan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.
Penahanan itu dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan cara menyamar dan mengikut seksyen tersebut mereka yang disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Tengku Abdul Aziz dilucut jawatan





AISERI mengumumkan pelucutan jawatan Tengku Abdul Aziz sebagai YDP MPN di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra semalam, mengumumkan pelucutan jawatan Tengku Sri Utama Diraja, Tengku Abdul Aziz Mohd. Hamzah sebagai Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) berkuat kuasa kelmarin.
Pengisytiharan itu dibacakan oleh Setiausaha MPN, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan turut mengumumkan pelantikan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Yang Dipertua MPN yang baru.
"Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Mohd. Hamzah (Tengku Sri Utama Raja) dibatalkan pelantikan dan dilepaskan daripada menjadi Yang Dipertua MPN berkuat kuasa 25 Mac 2010.

4 sekeluarga dikurung 2 jam




Mardiana ditemani suaminya Mahadzir Mohd. Saad menunjukkan salinan laporan polis selepas mendakwa dia dan tiga ahli keluarganya dikurung oleh penarik kereta di Alor Setar, Kedah Rabu lalu.


KANGAR - Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak trauma selepas mendakwa menjadi tahanan selama dua jam oleh empat penarik kereta yang bertindak ala ah long apabila mengurung mangsa-mangsanya di dalam sebuah stor kenderaan di Alor Setar pada Rabu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, kumpulan penarik kereta itu telah melarikan kereta jenis Hyundai milik Mardiana Mohamad, 31, di tempat letak kereta di Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar.
Tiga yang lain turut berada dalam kereta tersebut ialah anak Mardiana, Afif Al-Iqram, 2, anak saudaranya, Armarsya, 3, dan ibu kanak-kanak itu, Aminah Ismail, 51.
Mardiana dari Jalan Sultan telah ke Alor Setar kerana menghantar anaknya yang menghidap penyakit asma kronik.
Cerita Mardiana, selepas mengambil ubat, Afif dan mereka yang mahu masuk ke kereta, tiba-tiba dihampiri dua lelaki.
"Kedua-dua lelaki itu tanpa apa-apa dokumen memberitahu, mereka mahu tarik kereta saya kerana mendakwa saya tidak membayar ansuran kereta itu," katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo!, di sini semalam.

Liga Arab kumpul dana bantu Palestin



SIRTE, Libya 26 Mac - Menteri-Menteri Luar Liga Arab semalam bersetuju untuk memungut dana bagi membantu penduduk Palestin di Baitulmaqdis yang kini terhimpit akibat kempen Israel membina kawasan perumahan haram Yahudi di kota suci itu.
Keputusan tersebut akan dikemukakan kepada para pemimpin Arab untuk kelulusan terakhir apabila mereka menghadiri sidang kemuncak tahunan mereka di bandar ini pada esok dan lusa.
"Benar, mereka sudah bersetuju," kata ketua Liga Arab, Amr Mussa kepada wartawan apabila ditanya sama ada dana tersebut telah dipersetujui oleh para menteri.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) memohon bantuan Arab berjumlah AS$500 juta (RM1.7 bilion) untuk membantu penduduk Palestin di Baitulmaqdis mengatasi kesulitan hidup akibat kegiatan pembinaan perumahan Yahudi.
Proses damai Asia Barat dijadual menjadi agenda utama sidang kemuncak itu selepas Israel membangkitkan kemarahan para pemimpin Palestin dan Arab pada awal bulan ini dengan mengumumkan rancangan untuk membina 1,600 rumah baru bagi pendatang haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur, bahagian kota suci yang majoriti penduduknya Arab.
"Kami memohon setengah bilion dolar, jumlah yang kecil berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Israel dan masyarakat Yahudi di seluruh dunia untuk membina kawasan perumahan di Baitulmaqdis Timur, yang jumlahnya setakat ini sudah melebihi AS$17.4 bilion (RM59.16 bilion)," kata Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki awal semalam.
Seorang pegawai kanan Palestin berkata, dana tersebut akan dibelanjakan untuk memperbaiki infrastruktur di Baitulmaqdis Timur, termasuk membina hospital, sekolah, telaga air dan memberi bantuan kewangan kepada penduduk yang rumah mereka dirobohkan oleh Israel.
"Kami bukan meminta terlalu banyak wang atau jumlah yang mustahil dipungut oleh saudara-saudara kami dari negara Arab lain," kata Maliki.
Beliau menyifatkan dana itu sebagai bantuan yang sangat diperlukan 'jika kita mahu mengukuhkan kehadiran penduduk Palestin di Baitulmaqdis'.
Rancangan Israel untuk membina lebih banyak unit perumahan Yahudi mendapat kutukan seluruh dunia.
Amerika Syarikat (AS) dan rakan-rakannya dalam Kuartet Asia Barat iaitu Rusia, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), minggu lepas menggesa Israel menghentikan semua kegiatan pembinaan perumahan dan mencapai perjanjian damai dengan Palestin menjelang 2012. - AFP

Kes khalwat Norman, Memey tangguh 9 April ini



KUALA LUMPUR 26 Mac - Kegagalan abang kandung pelakon Norman Hakim hadir sebagai saksi menyebabkan perbicaraan kes khalwat pelakon lelaki itu bersama pasangannya juga pelakon Memey Suhaiza terpaksa ditangguhkan sehingga 9 April ini.
Hakim Syarie, Salehan Yatim membenarkan penangguhan selepas pendakwa syarie Muhamad Nazri Basrawi memaklumkan demikian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini hari ini.
Salehan turut mengarahkan sapina diserahkan semula kepada saksi keempat itu, Muhamad Saufi Zaidon supaya dia hadir pada tarikh akan datang.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, masing-masing yang diwakili oleh peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan tiba bersama-sama pada pukul 2.50 petang.
Norman dan Memey dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di antara pukul 1.45 pagi dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.
Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pada prosiding sebelum ini, kesemua pihak yang terlibat dalam kes itu telah melawat pejabat di Taman Ukay Perdana iaitu tempat yang didakwa berlakunya kejadian khalwat antara kedua-dua pelakon tersebut.

Seks oral: Hafizul dipenjara 15 tahun



SHAH ALAM 26 Mac - Selepas tidak berpuas hati dengan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali yang dihadapinya bagi kesalahan melakukan seks luar tabii terhadap kenalan Internet, seorang penganggur mengemukakan rayuan.
Tetapi, Mahkamah Tinggi di sini hari ini bukan sahaja menolak permohonan Hafizul Amir Mat Sah, 28, untuk mengetepikan sabitan itu, malah hukuman penjara yang sedia ada ditambah kepada 15 tahun.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki semasa membacakan keputusannya berkata, fakta kes menunjukkan Hafizul Amir selaku perayu adalah perancang utama apabila bertindak memanggil rakan-rakan untuk merogol mangsa.
Kata beliau, perayu bukan sahaja menyuruh mangsa melakukan seks oral terhadapnya apabila gagal mencapai ereksi, malah telefon bimbit dan wang gadis itu turut dirampas.
"Ini jelas menunjukkan sifat perayu yang amat bahaya kepada masyarakat.
"Dengan menggunakan kuasa semakan, saya semak semula hukuman. Dengan itu, saya tolak hukuman yang sedia ada, diganti dengan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali berkuat kuasa hari ini,'' katanya.
Mengikut pertuduhan, Hafizul Amir didakwa melakukan seks oral terhadap seorang jurujual yang ketika itu berusia 21 tahun di rumah No.34, Jalan SC5/B, Pusat Perindustrian Sungai Chua, Kajang dekat sini antara pukul 12 dan 1 pagi, 19 Mei 2001.
Dia dibicara mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 377C akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Noradidah Ahmad sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali pada 28 Mei tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan.
Mengikut fakta kes, Hafizul Amir mengenali mangsa melalui Internet dan kedua-duanya menjadi rakan sembang sejak tiga tahun lalu.
Pada hari kejadian, mangsa yang tinggal di Melaka datang ke Kuala Lumpur selepas diajak berjumpa oleh Hafizul Amir dan kemudiannya dirogol oleh rakan-rakan perayu.

Wanita mati dipukul suami dengan tukul besi



MUKAH 26 Mac - Entah apa yang merasuk seorang suami sehingga sanggup menghentak kepala isterinya dengan tukul besi, hanya kerana berselisih faham.
Akibatnya, si isteri, Adzalizan Helen, 24, mati selepas cedera parah dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi tadi di sebuah rumah kongsi di Jalan Orang Setia Raja di sini.
Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Supritendan Jamil Othman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5 pagi.
Katanya, berikutan itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan menemui mangsa, Adzalizan terlentang di biliknya dalam keadaan berlumuran darah.
Tambahnya, polis juga menemui suami mangsa, berusia 22 tahun yang bekerja sebagai buruh kira-kira 150 meter dari tempat kejadian.
"Siasatan awal percaya berlaku perselisihan faham di antara mangsa dan suaminya sebelum suspek bertindak memukul wanita itu dengan tukul besi.

Polis cari lelaki Algeria, bantu kes pembunuhan



Adam Brahim Djaghalouli


BENTONG 26 Mac - Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Algeria, dipercayai orang terakhir bertemu pengurus kewangan, Choong Khuat Hock, 49, sebelum mangsa ditemui mati di dalam longkang di Kilometer 54, Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, 13 Mac lalu.
Ketua Polis daerah, Supritendan Rosli Abdul Rahman berkata, sehingga kini, polis sudah menyoal siasat kakitangan syarikat, pembantu peribadi, pembantu rumah dan ahli keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pembantu peribadi Khuat Hock, mangsa ingin bertemu dengan seorang lelaki selepas selesai urusan di pejabatnya, sehari sebelum mangsa dilaporkan hilang.
"Lelaki terbabit dikenali sebagai Adam Brahim Djaghalouli berusia 34 tahun dan sudah setahun berada di negara ini dengan menggunakan pasport dari Algeria.
"Berdasarkan siasatan, Adam pada 2008 pernah menggunakan pasport Jordan untuk memasuki negara ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.
Pada 17 Mac lalu, sebuah akhbar melaporkan mayat yang ditemui di dalam longkang di tepi Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, empat hari sebelum itu adalah Khuat Hock, 49, iaitu anak saudara kepada Datuk Eddy Choong, legenda badminton negara. Ia disahkan oleh keluarganya melalui gigi dan pakaian yang dipakainya.
Menurut Rosli, mangsa dipercayai berkenalan dengan Adam kira-kira setahun lalu dan polis percaya lelaki tersebut boleh membantu siasatan.
Menurutnya, polis juga menemui semula kereta Mercedes-Benz berwarna hitam bernombor pendaftaran WHK 9119 milik mangsa di hadapan sebuah pasar raya di Taman Desa, Brickfields, Kuala Lumpur malam tadi.
Tambah beliau, kereta mangsa dipercayai ditinggalkan di kawasan itu sejak empat hari lalu dan polis sedang menjalankan ujian forensik serta memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang pernah ternampak kereta terbabit dan pemandunya dikehendaki melaporkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada polis dengan menghubungi talian 09-222 2222 atau pegawai penyiasat kes itu di talian 019-276 4346. Menurutnya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Warga emas simpan dadah dalam dubur dipenjara



KUALA LUMPUR 26 Mac - ''Saya merayu agar mahkamah memberi hukuman ringan kerana saya perlu menjaga seorang cucu saya yang sudah kematian ibu.''
Itulah rayuan seorang warga emas bergelar nenek yang memohon agar tidak dikenakan hukuman berat selepas dia membuat pengakuan bersalah atas tuduhan memiliki dua peket dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines seberat 0.28 gram, Januari lalu.
Jamaliah Saad, 64, yang memakai seluar jeans dan kemeja bercorak petak membuat pengakuan tersebut di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Selepas mempertimbangkan rayuan itu, Majistret Aizatul Akmal Maharani memerintahkan hukuman penjara selama empat bulan dikenakan ke atas tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, ketika tangkapan dibuat, dadah yang diikat dengan gelang getah itu ditemui di celah dubur tertuduh di bilik No. 6, Hotel Bee Seng, Jalan Raja Laut di sini pada pukul 5 petang, 19 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Shahrul Ekhsan yang memohon hukuman setimpal dikenakan turut mengesahkan tertuduh tidak mempunyai rekod sabitan lampau.

Israel tidak peduli desakan Amerika



BAITULMAQDIS 26 Mac – Israel tidak akan mengubah polisi tentang Baitulmaqdis, demikian menurut Perdana Menteri Benjamin Netanyahu hari ini selepas mengadakan persidangan dengan Kabinet Keselamatannya, memburukkan lagi pertelingkahan negara Yahudi itu dengan Washington yang mahu rundingan damai dengan Palestin dimulakan dengan segera.
Netanyahu yang kembali dari lawatan ke Washington semalam yang dilihat memburukkan lagi ketegangan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, berhubung penempatan haram Yahudi termasuk di timur Baitulmaqdis yang merupakan kawasan Arab yang dijajah.
“Pendirian Perdana Menteri tidak berubah ke atas polisi terhadap Baitulmaqdis seperti yang dipegang oleh kesemua kerajaan Israel sejak 42 tahun lalu,” menurut pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
AS dilaporkan mendesak Netanyahu mengambil beberapa langkah yang membantu menghidupkan semula rundingan damai dengan Palestin.
Perdana Menteri yang bongkak ini akan mengadakan perbincangan berhubung tuntutan AS ini dalam forum dalaman dengan tujuh menteri kanannya lewat hari ini.
Setiausaha Kabinet, Zvi Hauser berkata, adalah tidak mungkin persetujuan dicapai dengan segera dalam forum tersebut dan beliau turut menafikan laporan media yang menyatakan AS meletakkan waktu akhir memberi jawapan pada malam esok.
“Saya mencadangkan anda menunggu dengan sabar. Forum tujuh menteri sedang diadakan petang ini untuk membincangkan isu ini. Jika terdapat keperluan, rundingan selanjutnya mungkin akan diadakan.
“Semua aspek berhubung isu tersebut akan dinilai dan mereka akan merumuskan kedudukan Israel berdasarkan kepentingan negara ini dan ia memerlukan masa,” kata Hauser kepada radio awam.
Hauser bagaimanapun menolak untuk membincangkan tuntutan Washington dengan terperinci, sejajar dengan pendirian kedua-dua pihak.
Media Israel melaporkan, Kabinet Keselamatan yang dianggotai oleh beberapa ahli politik yang mempunyai pendirian keras, tidak mungkin bersetuju tentang perkara yang dituntut AS. – AFP

Chile dilanda gempa lagi selepas sebulan



27/03/2010 3:12am

SANTIAGO 27 Mac - Gempa bumi pada skala 6.2 Ritcher melanda utara Chile semalam, sebulan selepas gempa yang menyaksikan kehancuran besar di selatan negara tersebut.
Bagaimana pun para pegawai melaporkan tiada mangsa mahupun kerosakan ekoran kejadian tersebut.
Gempa tersebut berlaku pada pukul 10.52 waktu tempatan di 605 KM ke utara Santiago dan 80 KM ke barat daya bandar Copiapo, lapor agensi tinjauan geologi Amerika Syarikat (AS).
Ratusan penduduk di kawasan berkenaan bertempiaran keluar dari pejabat dan sekolah, lapor media tempatan sambil menambah kekuatan gempa berkenaan cukup untuk menjadikan penggera kenderaan berbunyi.
Penduduk sekitar Pelabuhan Caldera dipindahkan kerana bimbang berlaku tsunami, lapor Radio Cooperative walaupun tiada amaran tsunami dikeluarkan. - AFP

Hamas, tentera Israel bertempur di sempadan Gaza



27/03/2010 3:13am

GAZA 27 Mac - Kumpulan bersenjata Hamas bertempur dengan tentera Israel berhampiran sempadan Gaza semalam setelah tentera rejim berkenaan menceroboh masuk ke wilayah tersebut.
Saksi kejadian berkata, seorang askar Israel cedera dalam pertempuran tersebut. Laporan lain menyebut dua askar Israel terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Jurucakap Hamas, Abu Obeida berkata, tindakan pihaknya merupakan langkah mempertahankan diri ekoran pencerobohan tentera Israel.
"Tentera Israel masuk 500 meter ke wilayah Palestin dan ini menyebabkan pasukan bersenjata kami bertindak mempertahankan diri,“ katanya di sini. - Agensi

Kapal asing ditembak tentera laut Korea Selatan



27/03/2010 3:13am

SEOUL 27 Mac - Tentera laut Korea Selatan hari ini melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal yang tidak dikenali berhampiran sempadan Korea Utara di Laut Kuning selepas sebuah kapal tentera milik Korea Selatan sendiri karam di laut berkenaan, lapor agensi berita Yonhap.
Tentera Korea Selatan berkata, sebuah kapalnya karam tetapi tidak dapat disahkan sama ada ia berpunca daripada tembakan.
Kerajaan negara itu mengadakan mesyuarat kecemasan keselamatan selepas kapal dengan 104 anak kapal itu karam berhampiran Pulau Baengnyeong yang dikuasai Seoul.
Kapal seberat 1,500 tan itu karam di antara pukul 9 hingga 10 malam berhampiran pulau tersebut namun punca kejadian tidak diketahui.
Stesen televisyen MBC melaporkan, hampir separuh anak kapal telah diselamatkan.
Kawasan sempadan Laut Kuning merupakan lokasi pertempuran berdarah pada 1999 dan 2002 melibatkan kedua-dua negara tersebut. - AFP

Ops Noda: Pelacur bawah umur ditahan



PULAU PINANG 26 Mac - Polis menahan enam wanita rakyat China termasuk seorang remaja bawah umur dipercayai terlibat dalam sindiket pelacuran dalam Ops Noda di sebuah hotel di Jalan Baru, Perai dekat sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, seorang lelaki yang dipercayai 'bapa ayam' turut ditahan dalam operasi pada pukul 11.30 malam itu.
Katanya, semasa ditahan, lelaki berusia 39 tahun tersebut sedang berurusan dengan pelanggan yang hendak mendapatkan perkhidmatan seks.
"Ketika ditahan, keenam-enam wanita yang berusia 16 tahun hingga 28 tahun itu berada dalam keadaan berbogel bersama pelanggan masing-masing yang merupakan rakyat tempatan dalam bilik berasingan.
"Hasil siasatan awal mendapati setiap wanita itu dibayar RM200 bagi setiap kali perkhidmatan dan dianggarkan setiap bulan, sindiket pelacuran ini memperoleh sehingga RM93,000," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, turut dirampas dalam serbuan itu adalah sejumlah kondom, gel pelincir, tuala, tisu, buku catatan mengenai hasil pelacuran, kad bilik hotel, resit sewa dan daftar bilik hotel serta wang tunai berjumlah RM3,512.
Tambah Wan Abdullah, lelaki yang ditahan itu kini direman mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana menjalankan sindiket pelacuran dan Seksyen 14 Akta Perlindungan Kanak-Kanak kerana memperdagangkan kanak-kanak sebagai pelacur.

Empat ditahan cuba rempuh polis



KUALA LUMPUR 26 Mac - Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan sebelum berjaya menahan empat individu termasuk dua wanita di Taman Bidara, Gombak dekat sini malam tadi.
Kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 25 tahun itu ditahan selepas melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, kereta yang dipandu salah seorang suspek turut cuba merempuh kenderaan polis yang mengejar mereka.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, sebelum itu, tujuh anggota polis cuba menahan kereta terbabit untuk pemeriksaan selepas mendapati pemandu dan penumpangnya berkeadaan mencurigakan.
"Ketika tiba di lampu isyarat Jalan Pintas Selayang, dua anggota polis yang mengekori di belakang keluar dari kenderaan untuk memperkenalkan diri bagi tujuan pemeriksaan.
"Tiba-tiba suspek memecut dan nyaris melanggar seorang anggota polis terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, polis cuba memotong kereta suspek berhampiran Taman Bidara bagi memaksa mereka berhenti tetapi gagal, sebaliknya kereta suspek cuba melanggar dan menggesel kenderaan polis.
Katanya, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan termasuk satu das ke arah tayar kereta suspek.
"Suspek tetap enggan mematuhi arahan dan terus memecut kereta hingga ke simpang lampu isyarat di Taman Bidara sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang lampu isyarat," katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui empat peket kecil dan satu tiub disyaki dadah jenis syabu serta satu ketulan mampat ganja di bawah tempat duduk pemandu.
Katanya, keempat-empat suspek tidak mengalami kecederaan dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.