Search This Blog

Loading...

Thursday, March 25, 2010

Sah kerja haram - MPAJ

Oleh IKHWAN IDERIS
berita@kosmo.com.my

KERATAN muka depan Kosmo! semalam. JALAN masuk ke kawasan bukit berhampiran Taman Ukay Perdana, Hulu Klang telah ditutup oleh MPAJ semalam.

KUALA LUMPUR - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesahkan aktiviti penebangan pokok getah di kawasan bukit berdekatan Taman Ukay Perdana, Hulu Klang dilakukan secara haram.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad menegaskan, pihaknya tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk sebarang aktiviti penebangan pokok dan pengeluaran kayu di kawasan berkenaan.

"Sebarang aktiviti melibatkan penebangan pokok dan kerja-kerja tanah di kawasan Ampang mesti mendapatkan kebenaran MPAJ dan Jabatan Perhutanan terlebih dahulu," tegasnya ketika dihubungi di sini semalam.



Norhayati berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai kerosakan hutan akibat kerja-kerja penerokaan tanah oleh pihak yang menebang dan mengambil kayu getah di sebuah kawasan seluas 12 hektar berdekatan Taman Ukay Perdana di sini sehingga membimbangkan lebih 3,000 penduduk di situ

Mayat ibu, anak ditemui selepas empat hari terlibat kemalangan

LOKASI mayat salah seorang mangsa ditemui selepas empat hari mereka terlibat dalam kemalangan di Hulu Selangor semalam.

HULU SELANGOR - Misteri kehilangan dua beranak selepas keluar dari rumah mereka di Cheras Sabtu lalu terjawab apabila kedua-duanya ditemui mati selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 417, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan di sini semalam.

Mayat M. Margaret, 34, dan anaknya yang berusia setahun, J.R. Ezekiel Shammah ditemui di dalam gaung sedalam 30 meter.

Teman lelaki Margaret, T. Silvakumar, 23, yang memandu kereta jenis Myvi itu bagaimanapun terselamat dan dirawat di Hospital Ipoh, Perak.

Malangnya, ketika ditemui oleh peronda lebuh raya pada hari kejadian di atas jalan selepas dapat merangkak dari gaung itu, Silvakumar yang cedera parah di kepala tidak mengingati apa-apa menyebabkan mayat dua beranak itu gagal ditemui lebih awal.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

Rayuan tangguh bicara mutaah, idah RM5 juta 5 Mei

KUALA LUMPUR 24 Mac - Permohonan Datuk Kadar Shah Sulaiman untuk menangguhkan perbicaraan kes tuntutan mutaah dan idah berjumlah lebih RM5 juta oleh bekas isterinya akan didengar di Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada 5 Mei ini.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Syarie, Datuk Mohd. Asri Abdullah menetapkan tarikh tersebut selepas peguam syarie, Sulaiman Abdullah yang mewakili Kadar Shah hari ini memohon satu perintah penangguhan sementara perbicaraan tersebut.

Perbicaraan tuntutan mutaah dan idah oleh Datin Fauziah Haron, 54, dijadualkan bermula pada 6 Mei ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd. Shukor Sabudin.

Permohonan tersebut bagaimanapun dibantah oleh peguam syarie, Dorina Abdullah yang mewakili Fauziah dengan menyatakan perbicaraan tersebut telah tertangguh sebanyak tiga kali.

''Sekiranya ditangguhkan lagi, ia akan menjadi prejudis terhadap anak guam saya. Saya pohon, sebelum sebarang perintah dikeluarkan, pohon mahkamah mendengar dulu hujah kedua-dua pihak berhubung perkara ini,'' ujarnya.

Terdahulu, sebelum prosiding bermula, kedua-dua pihak telah diarahkan untuk memfailkan hujahan bertulis berhubung satu lagi rayuan yang difailkan oleh Kadar Shah.

Rayuan tersebut adalah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak bantahan awal Ahli Jawatankuasa UMNO Muar itu untuk membatalkan tuntutan bekas isterinya atas alasan perkahwinan mereka itu merupakan 'perkahwinan fasik.'

Fauziah dalam permohonan induknya menuntut mutaah, wang idah RM1.8 juta serta nafkah tertunggak dari November 2002 hingga November 2007 berjumlah RM600,000.

Antara tuntutan lain termasuk hutang defendan dengannya sebanyak RM250,000 iaitu bayaran kereta yang dijanjikan mahu diselesaikan oleh bekas suaminya itu dan unit saham bernilai RM1.5 juta.

Fauziah yang merupakan bekas pemenang pertandingan ratu cantik Miss Malaysia pada 1975 juga menuntut harta sepencarian mereka termasuk kondominium di Genting Highlands, kediaman di Bukit Jelutong, apartmen di Hawaii dan Los Angeles selain tiga kereta mewah.

Pasangan yang berkahwin pada 20 Januari 1980 di Jakarta Timur, Indonesia itu dikurniakan tiga cahaya mata.

Rebut anak: Mahkamah Syariah tolak rayuan juruterbang

Nornisamsila Osman

KUALA LUMPUR 24 Mac - Bekas suami kepada Nornisamsila Osman gagal dalam usaha untuk mendapatkan perintah menghina mahkamah dan memenjarakan pembaca berita Bernama itu kerana didakwa tidak mematuhi perintah sementara hak penjagaan anak.

Usaha itu gagal selepas Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini menolak dengan kos rayuan juruterbang MAS, Muzzalman Shah Ismail Muzani, 36, selaku pemohon.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Syarie Tan Sri Ibrahim Lembut dengan sebulat suara memutuskan demikian dengan alasan rayuan tersebut telah difailkan lewat lima hari dari tempoh yang dibenarkan.

Dalam penghakimannya, Ibrahim menyatakan, tempoh 14 hari memfailkan rayuan adalah mencukupi memandangkan alasan rayuan merupakan satu perkara yang ringkas.

Alasan salah kira hari juga tidak boleh diterima memandangkan peguam pemohon merupakan seorang yang berpengalaman dan kegagalan berbuat demikian turut menunjukkan pemohon tidak serius dalam permohonannya, ujarnya.

"Seorang peguam syarie memikul tanggungjawab yang besar dan perlu menjalankan tugas dengan baik kerana itu adalah apa yang diinginkan oleh setiap anak guam sebagaimana dalam kes ini," ujar Ibrahim.

Pada prosiding hari ini, Nornisamsila diwakili peguam syarie, Mohd. Ridhwan Husin dan Mawaddah Ramli sementara Muzzalman Shah diwakili peguam syarie, Dorina Abdullah.

Muzzalman Shah memfailkan rayuan berhubung permohonannya mendapatkan perintah menghina mahkamah dan memenjarakan bekas isterinya itu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini bertarikh 15 April tahun lalu.

Pada tarikh itu, Hakim Syarie, Mohd. Syakir Abd. Hamid menolak permohonan juruterbang itu agar Nornisamsila dikenakan tindakan tersebut kerana didakwa tidak mematuhi perintah hak penjagaan sementara anak mereka, Muzzal Alnaqin Shah, 9, selepas mendapati pembaca berita itu berjaya memberikan alasan-alasan yang munasabah.

Rayuan itu bagaimanapun difailkan lewat lima hari menyebabkan juruterbang tersebut memfailkan satu lagi rayuan untuk membenarkan pihaknya memasukkan rayuan di luar had masa.

Pasangan itu bercerai dengan talak satu pada 17 Ogos 2007 dan pada 17 September 2008, Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara anak mereka kepada Nornisamsila.

Lima sahabat dituduh membunuh Wai Seng

MELAKA 24 Mac - Selepas 12 hari seorang remaja lelaki ditemui mati dan mayatnya disumbat ke dalam but sebuah kereta, lima bersahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh.

Lima tertuduh terbabit ialah penjual sayur, Chua Kim Hock, 20; penganggur, Lim Chin Aun, 18; tukang masak, Choo Cheng Chye, 24; peniaga nasi ayam, Yeo Chee Teong, 22; dan seorang juvenil berusia 17 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai barangan logam.

Mereka dituduh secara bersama membunuh Yap Wai Seng, 18, di alamat 149A, Jalan Johor, Semabok di sini kira-kira pukul 11.45 malam, 11 Mac lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori.

Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Fairuz Johari.

Mohd. Fairuz menetapkan 25 Mei ini sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia serta memberi peluang kepada tertuduh-tertuduh untuk melantik peguam.

Di bawah Seksyen 302 kanun tersebut, setiap tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Mhd Asrar. Kim Hock diwakili peguam A. Rengganathan manakala empat lagi tidak diwakili peguam.

Memetik laporan akhbar bertarikh 12 Mac lalu, empat sekawan itu cuba menyembunyikan kematian remaja dari Taman Seri Krubong itu dengan menyumbat mayatnya di dalam but sebuah kereta yang mereka naiki.

Namun usaha untuk memindahkan mayat itu ke tempat lain gagal apabila diperiksa unit peronda pada pukul 1.15 pagi selepas mereka memberhentikan kereta tersebut di Jalan Tun Razak, Ayer Keroh, kira-kira 150 meter dari sekatan polis.

Pada hari sama, polis berjaya menahan dua lagi suspek iaitu teman wanita mangsa yang berusia 18 tahun dan seorang rakannya berusia 25 tahun bagi membantu siasatan.

Teman wanita mangsa bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Perintah mufarakah Nur Hadhirah, 'suami' kekal

KOTA BHARU 24 Mac - Mahkamah Rendah Syariah di sini mengekalkan perintah mufarakah terhadap Nur Hadhirah Shamsuddin, 10, dan lelaki dikatakan suaminya yang dikenali sebagai Azhar sementara menunggu perbicaraan pada 5 Mei ini.

Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan memutuskan demikian semasa prosiding yang berlangsung selama 10 minit di kamar beliau hari ini.

Pada prosiding hari ini, kedua-dua pihak tidak hadir termasuk Shamsuddin Che Deraman, 41, atau dikenali sebagai Shamsuddin Ajaib iaitu ayah kepada Nur Hadhirah walaupun perintah telah dikeluarkan.

Pada 2 Mac lalu, Nik Najib mengeluarkan perintah mufarakah iaitu tidak boleh tinggal bersama sebagai suami isteri kerana perkahwinan mereka diragui kesahihannya mengikut hukum syarak.

Perintah mufarakah dan tegahan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 107 Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002 dan Seksyen 9 Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah.

Lelaki dikenali sebagai Azhar dan kanak-kanak di bawah umur itu dipercayai dinikahkan Shamsuddin pada Februari lalu. Shamsuddin pula telah bernikah dengan Siti Nur Zubaidah Hussin, 11.

Media baru-baru ini melaporkan seorang bapa dari Kuala Krai telah mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan Sudin Ajaib, selepas dipercayai perbuatannya itu mengikut sunnah nabi.

Ia disusuli laporan yang mendedahkan bahawa Shamsuddin telah menikahkan anak perempuannya iaitu Nik Hadhirah dengan seorang sahabatnya yang dikenali sebagai Azhar di dalam sebuah kereta.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Undang-Undang Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Mohd. Ab. Aziz Mohd. Noor, pihaknya belum dapat mengesan Shamsudin yang menghilangkan diri.

Kata beliau, pihaknya kini bekerjasama dengan pihak berkuasa di seluruh negara untuk menjejaknya.

Siti Nur Zubaidah bagaimanapun ditemui bersendirian di Madrasah Al-Ikhwan, Taman Samudera Jaya, Batu Caves, Selangor pada pukul 6.30 petang, 12 Mac lalu iaitu selepas 23 hari mereka berkahwin.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Syariah telah mengeluarkan perintah mufarakah terhadap Shamsuddin dan Siti Nur Zubaidah selepas membenarkan permohonan keluarga budak perempuan itu.

Perbicaraan kes tersebut dijadualkan pada 21 April ini.

Ustazah dakwa keinginan seks suami cukup tinggi

KANGAR 24 Mac - Seorang ustazah mendakwa suaminya, bekas Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Abdul Rashid Rahman lebih mengutamakan kepuasan seks sendiri tanpa mempedulikan kesihatan dirinya yang ketika itu menderita kesakitan akibat bisul di punggung.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Siti Rosmala Mohamed, 38, ketika memberikan keterangannya selaku pemohon yang memfailkan permohonan cerai secara fasakh pada 15 Februari 2008 terhadap Abdul Rashid, 60.

Siti Rosmala memberikan keterangan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Zaidi Abdullah di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Ibu kepada tiga anak itu turut mendakwa, walaupun mereka sering bergaduh sehingga tidak bertegur sapa lebih seminggu, namun suami sering kali memaksanya melakukan hubungan seks.

"Walaupun seminggu tidak bercakap, selepas saya dimarahi atau dipukul namun dalam soal nafkah batin (hubungan seks), saya mesti berikan biarpun terpaksa," dakwa Siti Rosmala.

Katanya, dia terpaksa akur memuaskan nafsu suami meskipun ketika mereka 'perang besar' antara 30 Disember 2007 dan 4 April 2008.

Guru dari Kedah itu mendedahkan perkara tersebut ketika menjawab soalan peguam syarie, Shazril Khairy Mustafa yang mewakilinya.

"Dia (Abdul Rashid) tergamak mengheret saya dari ruang tamu untuk mendapatkan nafkah batin sedangkan ketika itu kami tidak bertegur sapa.

"Ketika bisul ada di punggung, saya terpaksa tidur meniarap kerana teramat sakit namun dia tetap mahukannya. Dengan nada marah dia mengatakan bahawa sakit itu sekejap sahaja. Ketika dia melakukannya, saya bukan sahaja sakit bisul malahan hati juga cukup sakit," tegasnya.

Selesai sahaja bersetubuh, dakwa Siti Rosmala, suami mengarahkannya keluar dari bilik dan pergi tidur bersama anak-anak.

Siti Rosmala juga mendakwa, keinginan seks Abdul Rashid cukup tinggi sejak mereka mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu.

Dia mendakwa, defendan sering bertindak kejam termasuk memukulnya di kepala dengan rotan dan kitab ekoran kesalahan kecil.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak, Abdul Qayyum, 10, Hannan, 5, dan Bazlina, 3 tahun.

Sambil menangis, Siti Rosmala mendakwa, disebabkan mahu menjadi isteri yang solehah maka dia terpaksa mengikut sahaja kemahuan suaminya itu.

Abdul Rashid diwakili peguam syarie, Zulmi Sabri.

Perbicaraan bersambung 27 Mei ini.

Guna SMS tawar khidmat seks

KUALA LUMPUR 24 Mac - Polis membongkar aktiviti pelacuran warga asing yang menawarkan seks melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan penahanan enam wanita rakyat China, semalam.

Kesemua mereka berusia antara 25 dan 36 tahun itu ditahan pada pukul 8.30 malam ketika sedang melayan dua pelanggan lelaki di sebuah rumah sewa di Wisma Indah di sini.

Siasatan mendapati modus operandi yang digunakan adalah menyebarkan sendiri nombor telefon kepada pelanggan tanpa khidmat orang tengah atau ibu ayam.

Pelanggan yang berminat akan menghubungi pelacur terbabit secara terus dan menggunakan rumah sewa pelacur terbabit sebagai pusat maksiat.

Pegawai Turus Cawangan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai penjaga mereka turut ditahan.

"Polis menemui 120 kondom yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tidak bermoral tersebut.

"Kami telah mengambil keterangan daripada kedua-dua pelanggan tersebut bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Razali, siasatan awal mendapati kesemua wanita tersebut memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

"Mereka datang ke negara ini untuk tempoh tertentu antara satu dan dua bulan serta bergerak sendiri untuk mencari pelanggan," katanya lagi.

Jelas Razali, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Lapor kereta hilang, rupanya diseludup

KUALA LUMPUR 24 Mac - Silap perhitungan. Dua anggota sindiket curi kereta mewah mungkin beranggapan mereka boleh memperdayakan polis dengan membuat laporan palsu mengatakan kenderaan mewah yang mereka sewa telah hilang.

Namun sebenarnya, laporan polis itu bagi 'menghalalkan' jenayah mereka menjual kenderaan berharga ratusan ribu ringgit itu ke Bangkok, Thailand.

Tembelang sindiket itu memakan diri apabila polis berjaya menghidu kegiatan mereka hasil maklumat daripada syarikat sewa kenderaan yang sangsi dengan laporan mereka itu.

Bertindak atas maklumat itu, polis segera menjalankan siasatan dan berjaya menahan seorang daripada suspek, 24 jam sebelum kenderaan mewah terbabit dijual.

Difahamkan, suspek berpura-pura menyewa kenderaan mewah berkenaan sebelum melarikannya untuk dijual kepada sindiket di Thailand.

Bagi melindungi jenayah terancang yang dilakukan, suspek sanggup membuat laporan palsu mendakwa kononnya kereta yang disewa itu hilang.

Sumber polis ketika dihubungi memberitahu, seorang suspek warga tempatan berusia 40-an sebelum ini menyewa kereta Toyota Alphard bernilai RM230,000 daripada sebuah syarikat menyewa kenderaan di Lembah Klang awal bulan ini.

Menurutnya, suspek kemudian menyerahkan kenderaan sewa itu kepada rakannya yang juga berusia 40-an sebelum misi membawa keluar kenderaan itu menerusi sempadan di utara tanah air dilakukan.

"Suspek sanggup memandu kereta berkenaan ke Bangkok untuk diserahkan kepada pihak sindiket di sana yang menawarkan bayaran RM40,000 bagi membeli kenderaan tersebut.

"Dia kemudian pulang ke tanah air menaiki kapal terbang. Difahamkan, rakan suspek turut menerima upah RM5,000 jika berjaya menjalankan misi khas mereka tanpa dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, semasa rakannya melarikan kenderaan itu ke Bangkok, rakan subahatnya membuat laporan palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

"Namun, syarikat sewa kereta yang dimaklumkan mengenai kehilangan kenderaan mewah itu telah melakukan siasatan sendiri.

"Usaha syarikat terbabit mencari kenderaan yang hilang itu tidak sukar kerana ia dipasang dengan alat pengesan sistem kedudukan global (GPS)," katanya.

Arab Saudi kutuk keangkuhan Israel

RIYADH 24 Mac – Arab Saudi hari ini mengutuk ‘keangkuhan dan kedegilan’ Israel dan menganggap seluruh proses damai kini diragui berikutan keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di timur Baitulmaqdis.

Seorang pegawai Saudi dalam kenyataan kepada agensi berita SPA berkata, Riyadh telah meminta maklumat lanjut daripada Kuartet Asia Barat mengenai pendirian terbaru Israel berhubung kawasan penempatan.

“Kerajaan Saudi menantikan penjelasan daripada Kuartet mengenai dasar Israel yang memperlihatkan keangkuhan dan kedegilan dengan mengingkari kehendak masyarakat antarabangsa,” kata pegawai yang tidak dikenali itu.

Netanyahu menyifatkan tuntutan supaya kegiatan pembinaan perumahan Yahudi di timur Baitulmaqdis dibekukan, iaitu syarat Palestin untuk menyambung semula rundingan damai, sebagai ‘tidak munasabah’.

Beliau mempertahankan hak Israel untuk membina rumah di kawasan majoriti Arab di bahagian timur Baitulmaqdis.

“Baitulmaqdis bukan kawasan penempatan Yahudi tetapi merupakan ibu negara kami,” kata Netanyahu dalam ucapan kepada pertubuhan pelobi pro-Israel, AIPAC di Washington, kelmarin.

Pegawai Saudi itu berkata, kenyataan Netanyahu ‘menimbulkan keraguan mengenai seluruh proses damai dan kesungguhan usaha masyarakat antarabangsa untuk menyambung semula rundingan’.

“Kenyataan tersebut terang-terangan menandakan rampasan hak-hak penduduk Palestin, Arab dan Islam di Baitulmaqdis tanpa menghiraukan hak Palestin serta usaha intensif masyarakat antarabangsa untuk melancarkan proses damai,” katanya.

Israel menawan timur Baitulmaqdis semasa perang Asia Barat 1967 dan sejurus selepas itu menjadikannya sebagai sebahagian wilayahnya dalam tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat dunia.

Rakyat Palestin mahu menjadikan timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka suatu hari nanti.

Kuartet Asia Barat yang terdiri daripada Amerika Syarikat (AS), Rusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) bermesyuarat di Moscow pada Jumaat lalu dan menggesa Israel membekukan aktiviti pembinaan di kawasan penempatan Yahudi di wilayah Palestin. – AFP

Rejim Zionis bina apartmen haram pula

BAITULMAQDIS 24 Mac - Pihak berkuasa tempatan telah memberikan kelulusan bagi membina 20 apartmen penempatan haram Yahudi di atas tapak yang suatu ketika menempatkan sebuah hotel Palestin di timur Baitulmaqdis yang dijajah Israel.

Media Israel hari ini berkata, laporan itu muncul semasa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan perbincangan di White House dengan Presiden Barack Obama ketika kedua-dua pemimpin berkenaan berusaha menyelesaikan pertikaian selama dua minggu berhubung pengumuman Israel, baru-baru ini untuk membina penempatan haram di wilayah yang dipertikaikan itu.

Pihak berkuasa Baitulmaqdis sudah meluluskan projek yang diusahakan oleh jutawan Amerika Syarikat (AS), Irving Moskowitz bagi membina apartmen di atas tapak bekas Hotel Shepherd di kawasan Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis, lapor radio awam Israel dan laman web berita Ynet.

Menurut laporan itu, pihak berkuasa Baitulmaqdis telah memberikan kelulusan awal kepada projek Moskowitz itu pada Julai lalu dan memberikan kelulusan akhir minggu lalu untukmeruntuhkan Hotel Shepherd dan memulakan pembinaan apartmen berkenaan.

Aktivis Peace Now, sebuah pergerakan anti-penempatan haram mengutuk kelulusan tersebut.

''Pihak berkuasa Baitulmaqdis melaksanakan satu dasar yang mempunyai implikasi amat buruk terhadap peluang mencapai perjanjian dengan Palestin.

''Netanyahu tidak berupaya mengawal tindakan pihak berkuasa tempatan,'' kata Pengarah Peace Now, Hagit Ofran.

Bagaimanapun, seorang jurucakap pihak berkuasa tempatan Baitulmaqdis menyifatkan pengumuman tersebut sebagai cubaan membuat provokasi untuk menjejaskan lawatan Netanyahu ke AS.

Netanyahu tidak menunjukkan sebarang tanda akan tunduk kepada permintaan AS untuk menghentikan pembinaan penempatan haram baru Yahudi di timur Baitulmaqdis.

Hubungan antara dua sekutu rapat itu berada dalam keadaan krisis terburuk ketika ini berpunca daripada pengumuman Israel pada 9 Mac lalu untuk membina 1,600 penempatan haram baru di timur Baitulmaqdis ketika Naib Presiden AS, Joe Biden melawat negara ini. -

'Menantu' Shamsuddin Ajaib ditahan

'suami' Nur Hadhirah Shamsuddin ketika hadir di Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 24 Mac - Polis semalam menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pernikahan dengan seorang kanak-kanak bawah umur di negeri ini baru-baru ini.

Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai 'suami' kepada Nur Hadhirah, 10, iaitu anak seorang ketua jemaah tabligh, Shamsuddin Che Deraman, 41, atau lebih dikenali sebagai Shamsuddin Ajaib yang kini masih diburu.

Suspek ditahan ketika berseorangan di Stesen Kereta Api Pasir Mas, pukul 6.50 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, pihaknya mendapat perintah tahanan reman tiga hari bagi membolehkan lelaki itu disiasat.

"Mahkamah Majistret membenarkan suspek direman bagi membolehkan polis menyiasat lebih lanjut pembabitannya dalam kes ini.

"Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 kerana dipercayai berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur.

"Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, suspek ketika dibawa keluar dari mahkamah kelihatan bersahaja namun apabila melihat kelibat jurufoto, dia bertanya dengan anggota polis sama ada boleh menendang mereka.

Nur Hadhirah yang berasal dari Pasir Mas merupakan anak kepada Shamsuddin Ajaib yang dipercayai turut mengahwini seorang budak perempuan.

Shamsuddin dipercayai menikahkan suspek dengan anaknya pada 19 Februari lalu.

Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu pada 2 Mac lalu mengeluarkan perintah interim mufarakah terhadap pasangan ini kerana meragui status perkahwinan mereka.

Dalam pada itu, polis kini masih memburu Shamsuddin yang dikatakan berkahwin dengan seorang kanak-kanak perempuan bawah umur, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, secara paksa.

"Seperti saya katakan, dua kertas siasatan telah dibuka iaitu pertama membabitkan Siti Nur Zubaidah, manakala kedua terhadap Nur Hadhirah.

"Dengan penangkapan lelaki ini, kita harap ada perkembangan terbaru dalam usaha polis memburu Shamsuddin," tambahnya.

Bangunan lama terbakar, 24 maut

Asap tebal menjulang ke udara akibat kebakaran bangunan lama di Calcutta, kelmarin. - AP

CALCUTTA 24 Mac - Sebuah bangunan lama tujuh tingkat berusia 100 tahun, di sini terbakar semalam mengakibatkan 24 orang terbunuh, termasuk dua orang yang terjun dari bangunan berkenaan ketika orang ramai berkumpul menyaksikan kejadian itu.

Komisioner Polis, Gautam Mohan Chakraborty berkata, pada asalnya angka kematian ialah enam orang, namun pihak bomba menjumpai 18 lagi mayat kemudiannya.

Kira-kira 20 orang lagi cedera dalam kebakaran di kota yang sibuk di timur India ini.

''Polis masih menjalankan siasatan tentang punca kebakaran yang dipercayai bermula di sebuah tangga bergerak,'' kata seorang pegawai polis, Javed Shamim.

Setiausaha Dalam Negeri, Ardhendu Sen berkata, lima daripada 20 orang yang dirawat di hospital berada dalam keadaan kritikal.

Ribuan orang berkumpul menyaksikan bomba menggunakan tangga untuk menyelamatkan berpuluh-puluh orang yang terperangkap di dalam bangunan pejabat dan apartmen itu ketika kepulan asap dan api marak dari tingkat empat ke atas.

Hampir 100 anggota bomba mengambil masa beberapa jam untuk mengawal kebakaran di bangunan itu. - AP

11 ditahan polis dalam serbuan ke atas 'mini kasino'

KUALA SELANGOR 24 Mac - Sembilan orang petani adalah antara 11 yang ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah yang dijadikan 'kasino mini' di sini malam tadi.

Dalam serbuan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 8 malam itu, polis turut menahan pasangan suami isteri yang dipercayai pemilik rumah tersebut.

Pegawai Pencegahan D7, Supritendan Maszely Minhad berkata, kesemua mereka yang berusia antara 38 hingga 63 tahun itu ditahan ketika cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.

Menurut beliau, pemilik 'kasino mini' itu juga bertindak licik dengan memasang dua buah kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kehadiran pihak berkuasa.

Berdasarkan siasatan awal, tambah beliau, premis itu aktif menjalankan kegiatan perjudian sejak tiga minggu lalu.

"Kumpulan judi itu juga dipercayai bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain dalam satu tempoh singkat bagi mengaburi mata polis," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Maszely memberitahu, berdasarkan pemeriksaan awal, polis mendapati beberapa petani itu pernah ditahan sebelum ini kerana melakukan kesalahan yang sama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat beberapa bilik khas yang disediakan kepada petani-petani khususnya untuk melepaskan penat lelah selepas berkerja sambil berjudi.

Ketika serbuan dilakukan, dianggarkan tiga hingga empat lelaki berjaya meloloskan diri melalui jalan sawah di belakang rumah tersebut.

Turut dirampas, katanya, wang tunai kira-kira RM8,000 dipercayai digunakan sebagai wang taruhan.

Mereka yang ditahan kerana terlibat dalam perjudian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 manakala pemilik rumah itu pula akan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Perjudian Rumah Terbuka 1953.

"Polis sedang mengenal pasti pihak yang menganjur kegiatan perjudian itu," katanya.

Penganjur aktiviti itu, ujarnya, boleh dikenakan tindakan mengikut Ordinan Darurat.

Mohon disebat banyak kali

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 24 Mac – Seorang pembuat roti nampaknya benar-benar menyesal apabila merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman sebatan lebih banyak daripada penjara atas kesalahan tiga rompakan bersenjata yang dilakukannya, dua tahun lalu.

‘‘Kamu boleh terima sebatan lebih? Sakit, tahu?’’ soal Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Zainal Abidin Kamarudin sewaktu meminta kepastian daripada tertuduh, Liew Young Koung, 24.

‘‘Saya boleh terima sakit. Saya mahu hukuman penjara kurang, sebat lebih,’’ jawabnya yang ditahan di Penjara Sungai Buloh sejak setahun lalu.

Dia yang menukar pengakuan kepada bersalah juga pernah menulis surat kepada hakim untuk menyatakan rasa insaf dan bersalah kerana terpengaruh dengan kawan-kawan sehingga terlibat dalam rompakan berjumlah hampir setengah juta ringgit.

Surat yang ditulisnya dalam bahasa Inggeris itu dibacakan semula oleh Zainal di mahkamah hari ini sebelum hukuman dijatuhkan.

Young Koung antara lain mengatakan dia terpaksa merompak kerana kesempitan wang kerana perlu menanggung seorang isteri, anak berusia dua tahun dan nenek yang sudah tua.

Bagi tuduhan pertama, dia mengaku bersama tiga lagi yang masih bebas merompak sebuah kereta Mini Cooper, wang tunai RM5,000, barang kemas bernilai RM50,000, dua telefon bimbit Blackberry bernilai RM5,000 dan beberapa dokumen penting milik pereka, Mariyanti Muhamad Hassan, 32.

Kesemua barang tersebut dianggarkan bernilai RM290,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di No.1, Lorong Limau Manis 3, Bangsar, di sini kira-kira pukul 5.40 petang, 5 Oktober 2008 semasa mangsa dan pembantu rumahnya sedang memunggah barang dari kereta di hadapan rumahnya.

Bagi tuduhan kedua, dia bersama dua yang masih bebas didakwa merompak pengurus jualan Alliance Financial Group, Tan Chung Keong, 30, di rumah mangsa di No. 1033, Jalan Selesa 3, Taman Gembira, di sini kira-kira pukul 4 pagi, 3 September 2008.

Antara barang yang dirompak, sebuah kereta Honda Civic, buku cek, diari dan penyata bank milik mangsa yang semuanya bernilai RM110,000.

Pada hari sama, pada pukul 12.01 tengah malam, dia mengaku bersama tiga lagi yang masih bebas merompak wang tunai milik ejen pemasaran, Heen Sai Hoe, 32, di hadapan rumah mangsa di No. 38, Jalan Limau Manis, Bangsar yang melibatkan kerugian RM8,000.

Jumlah kerugian yang terlibat dalam ketiga-tiga rompakan bersenjatakan parang itu adalah RM468,000.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Charanjit Singh mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Zainal kemudian memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam bela itu dihukum penjara tujuh tahun dan sebatan sembilan kali bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Beliau turut menetapkan hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Kesemua hukuman diarahkan berjalan serentak dari tarikh tangkapan, 21 Oktober 2008.

Maut nahas lampu isyarat rosak

2010/03/24

MUAR: Akibat lampu isyarat tidak berfungsi, seorang guru lelaki maut apabila kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kampung Parit Buaya di sini, semalam.


ANGKAT...anggota bomba mengangkat mangsa yang terbabit kemalangan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, kereta Proton Wira yang ditumpangi mangsa turut terbabas kira-kira 200 meter dan terjunam dalam parit kecil akibat rempuhan dari sebelah kiri oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menghala bandar Muar.

Mangsa, Mohd Hussein Masot, 41, yang berada di tempat duduk penumpang depan meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, dua jam selepas kejadian.


Manakala pemandu kereta Proton Wira itu, juga seorang guru yang belum diperoleh identitinya, parah dan mengalami keretakan pada tulang pinggul.


Penumpang ketiga kenderaan itu, Syaidahnafishah Mohamed Yassin, 27, luka pada tangan dan kepala kini ditempatkan di sebuah wad hospital berkenaan.


Pemandu MPV, Ler Poh Choo, 44 dan penumpangnya, Tok Welon, 23, tidak cedera serius.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasri Ramli, ketika dihubungi berkata lampu isyarat di situ tidak berfungsi sejak beberapa hari lalu.


Menurutnya, kereta dinaiki mangsa menghala Pagoh sebelum dirempuh sebuah kenderaan lain yang menghala bandar Muar.


Ketiga-tiga mangsa dikeluarkan sepasukan anggota bomba sebelum mereka dihantar ke HPSF.

Pencen servis kuda, telan pula pil kuda

Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my
2010/03/24

KUALA TERENGGANU: Sukan sepak takraw popular dengan servis kuda, namun lain pula yang cuba dipopularkan bekas pemain sepak takraw skuad wanita kebangsaan berusia 20 tahun apabila dia diberkas bersama tiga rakannya selepas didapati miliki 34 biji pil kuda bernilai RM1,190 dipercayai untuk diedarkan di pasaran gelap di negeri ini.


RAMPAS...Roslan menunjukkan pil kuda yang dirampas.
Lebih mengaibkan, wanita itu turut didapati positif methapethamine dan dipercayai turut melepaskan gian bersama tiga rakannya itu yang juga positif dadah jenis sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata pembabitan wanita itu dalam penyalahgunaan dadah terbongkar selepas sepasukan anggota polis menyerbu bilik sebuah hotel di Cerong Lanjut di sini, Ahad lalu.


Menurutnya, serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu dilakukan sepasukan polis membabitkan seorang pegawai dan lima anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, sebaik menerima maklumat daripada orang awam.


“Sebaik tiba di lokasi, pasukan berkenaan mengetuk pintu dan memperkenalkan diri sebelum menemui empat individu dalam bilik berkenaan membabitkan dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun serta dua wanita berusia 20 dan 23 tahun.


“Selepas diperiksa, polis menemui sejumlah pil khayal menyebabkan mereka dibawa ke balai dan diarah menjalani ujian air kencing,” katanya.


Menurutnya, siasatan turut mendapati seorang daripada wanita berkenaan bekas pemain sepak takraw kebangsaan, namun siasatan lanjut dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mendapati dia tidak lagi mewakili negara.


“Semakan juga dibuat dengan pengurus Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu yang mengesahkan wanita itu tidak lagi menyertai Majlis Sukan Terengganu selepas temasya Sukma 2008,” katanya.


Menurutnya, semua yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan 10 kali sebatan jika sabit kesalahan. Sementara itu, dalam serbuan berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun serta dua wanita berusia 18 dan 20 tahun selepas didapati memiliki dua botol plastik disyaki mengandungi heroin bernilai RM2,800.


Serbuan dilakukan dalam bilik sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail di sini, Ahad lalu kira-kira jam 11.30 malam hasil maklumat orang ramai dan semua yang ditahan kemudian diarahkan menjalani ujian air kencing sebelum disahkan positif dadah jenis morfin dan methamphemine.


Roslan berkata, berdasarkan tangkapan terbaru itu, polis kini memantau pergerakan sindiket yang cenderung menjadikan bilik hotel sebagai lokasi membungkus dadah sebelum diedarkan ke pasaran gelap.


“Kita dapati golongan itu cenderung menjadikan bilik hotel sebagai transit untuk melakukan aktiviti pembungkusan dadah,” katanya.

4 remaja 1 juvana dituduh membunuh

2010/03/24

MELAKA: Lima pemuda termasuk seorang juvana berusia antara 17 hingga 24 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana dituduh membunuh seorang remaja berusia 17 tahun di Semabok, dekat sini pada 11 Mac lalu.

Chua Kim Hock, 20, dari Semabok; Lim Chin Aun, 18, dari Chemor, Perak; Choo Cheng Chye, 24, dari Bukit Katil; Yeo Chee Teong, 22, dari Semabok dan seorang juvana, 17, dari Sungai Rambai, didakwa atas niat bersama menyebabkan kematian Yap Wai Seng di alamat 149A, Jalan Johor, Semabok.

Yap yang beralamat Taman Seri Kerubong, di sini, tidak lagi bersekolah dan bekerja sambilan sebagai mekanik motosikal.

Mayat Yap ditemui di dalam but kereta yang dinaiki empat lelaki pada satu pemeriksaan oleh anggota polis, yang mengadakan sekatan jalan raya di Ayer Keroh di sini, kira-kira 1.15 pagi pada 12 Mac lalu.


Kelima-lima tertuduh yang memakai baju lokap polis mengganguk tanda faham selepas pertuduhan dalam Bahasa Mandarin dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Namun, tiada pengakuan direkodkan. - Bernama

4 penyamun diburu

2010/03/24

KUANTAN: Polis memburu empat lelaki yang disyaki terbabit dalam dua kejadian samun di Rompin, kira-kira 140km dari sini, dalam tempoh hanya sejam, awal pagi semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Insp Nurzulaikha Isha berkata dalam kejadian pertama pada kira-kira pukul 3 pagi, empat lelaki itu menyamun seorang lelaki berusia 35 tahun bersama isteri dan bapa mentuanya di sebuah rumah di Kampung Alai, Kota Bahagia.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata keempat-empat lelaki yang dipercayai warga Indonesia itu melarikan wang tunai serta telefon bimbit.

Katanya kumpulan yang sama kemudiannya dipercayai menyamun sebuah rumah di Kampung Pinang, Muadzam Shah dekat Rompin, dan melarikan sebuah kereta Naza Sutera, sebelum meninggalkannya kira-kira 12 kilometer tempat kejadian.


Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu, suspek yang masuk ke dalam rumah melalui tingkap dapur, mengacukan parang sebelum mengikat tangan semua penghuni rumah itu di dalam sebuah bilik dan menggeledah rumah.

Nurzulaikha berkata suspek kemudiannya melarikan beberapa barangan berharga serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM11,000, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tengkorak manusia ditemui di hutan terpencil

IPOH: Tengkorak manusia bersama-sama lapan ketul serpihan tulang dalam keadaan berselerakan ditemui di hutan terpencil berhampiran rumah pangsa Panorama Lapangan Perdana di sini hari ini.
Jurucakap polis berkata sepasukan polis bersama-sama Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun bergegas ke tempat kejadian selepas polis menerima laporan daripada orang awam kira-kira 4.30 petang.

"Kita menemui serpihan tulang dan tengkorak itu dalam keadaan bersepah di sekitar hutan berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurutnya, lokasi itu adalah antara kawasan yang dikenali sebagai 'kawasan panas’ yang sering digunakan untuk membuang rangka motosikal curi yang sudah dileraikan.


"Tempat ini agak terpencil dan kawasan kediaman hanya terletak dalam
lingkungan dua kilometer dari sini," katanya.