Search This Blog

Loading...

Tuesday, March 23, 2010

Teksi terbabas pemandu diserang sakit jantung

IPOH: Orang ramai yang berada di persimpangan Jalan Sultan Iskandar/Jalan Raja Muda Aziz di sini hari ini gempar apabila sebuah teksi tiba-tiba terbabas melanggar tiga kereta dan terperosok ke dalam sebuah kedai.
Pemandu teksi berkenaan, seorang warga emas, Kok Ah Kow, 67, dipercayai diserang sakit jantung dan gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas.

Kok meninggal dunia sejurus selepas kejadian kira-kira jam 3 petang.

Jurucakap polis berkata tiada penumpang menaiki teksi berkenaan dan tiga kereta yang dilanggar Kok hanya mengalami kerosakan kecil dan pemilik sudah membuat aduan polis.

Seorang pekedai berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata pemandu teksi berkenaan sempat keluar dari keretanya selepas terbabas tapi terus rebah. - Bernama




8 keluarga tinggal sehelai sepinggang

KUCHING: Lapan keluarga dari Kampung Rantau Panjang Batu Kawa di sini tinggal sehelai sepinggang apabila tiga rumah separuh konkrit musnah dalam satu kebakaran kira-kira jam 3 petang ini.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Abang Yusof Abang Shabeli berkata dua jentera bomba dan tiga unit bomba bermotosikal masing-masing dari Balai Bomba Batu Lintang dan Padungan dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran selepas menerima laporan 3.24 petang ini.

"Ttiada mangsa yang terkorban kecuali seorang lelaki iaitu pemilik kepada salah sebuah rumah terbabit yang melecur di belakang badan ketika cuba memadamkan kebakaran," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Isteri mangsa Suhana Mos, 33 tahun berkata ketika kejadian suaminya, Mohamad Nazri Brahim, 29, cuba memadamkan api yang sedang marak di tingkat atas namun gagal apabila bahagian belakang badannya melecur dan telahpun dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapat rawatan lanjut.

Katanya, segala barang dalam rumah mereka musnah terbakar termasuk dokumen penting, duit simpanan dan barang kemas hasil titik peluh dia dan suami berniaga satey.

"Api bermula dengan cepat dari tingkat atas rumah saya yang terletak di tengah sebelum merebak ke rumah saudara saya di sebelah kanan dan kiri," katanya.

Seorang lagi mangsa yang juga Ketua Kaum Kampung Rantau Panjang Omar Lamu, 76, berkata ketika kejadian dia berada di rumah jiran dan hanya isterinya yang berada di rumah.

Katanya rumah peninggalan bapanya itu musnah dalam kejadian yang tidak sampai setengah jam kerana api merebak dengan pantas.

Safuan Amit, 58, yang turut kehilangan rumahnya berkata ketika kejadian dia juga tidak berada di rumah hanya isteri dan tiga anaknya berada di rumah.

Safuan yang juga tukang membuat rumah berkata kerugian untuk ketiga-tiga rumah terbabit dianggarkan RM150,000. - Bernama

Penyanyi era 70-an kekal penjara 19 tahun rogol anak




2010/03/23

PUTRAJAYA: Seorang bekas penyanyi, yang pernah popular dengan lagu berirama Hindustan pada tahun 1970-an kekal menjalani hukuman penjara 19 tahun bagi kesalahan merogol anak perempuannya sembilan tahun lalu. 

Ia berikutan kegagalannya dalam rayuan akhir di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 2005.

Hakim tiga panel terdiri daripada Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop membuat keputusan itu selepas tidak bersetuju dengan hujah yang dikemukakan peguamnya, T Suresh mengenai pencanggahan keterangan mangsa di mahkamah dan keterangannya kepada pakar psikiatrik. Hakim Suriyadi berkata, adalah normal bagi seseorang kanak-kanak untuk memberikan keterangan berbeza kerana perbezaan keterangan, kadang-kadang bukan melemahkan tetapi menunjukkan bahawa kanak-kanak itu memberi keterangan yang betul. 

Beliau berkata, sekiranya kanak-kanak bercakap sesuatu perkara yang sama daripada A sehingga Z, ia ada yang tidak kena, kerana kanak-kanak itu mungkin telah dilatih untuk menyatakan sedemikian.

Penghibur 59 tahun itu, yang menguruskan gerai makanan, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada April 29 2005 terhadap tuduhan merogol anak perempuannya yang ketika itu berumur 11 tahun dan 10 bulan, di rumah penyanyi itu di Sentul, Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang, 26 September 2001. 

Dia juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara pada 25 Ogos 2008. 
Menurut keterangan kes, mangsa tinggal bersama neneknya di Shah Alam dan kembali ke rumah ibu bapanya di Sentul ketika cuti persekolahan. 

Pada hari kejadian, bapa mangsa sepatutnya menghantar mangsa balik ke rumah neneknya di Shah Alam untuk memulakan penggal persekolahan pada keesokan hari tetapi kereta bapanya rosak di pertengahan jalan menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpatah balik ke Sentul. 

Mangsa dirogol pada petang berkenaan. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kwan Li Sa. - Bernama

Guru maut, dua lagi parah dalam nahas




2010/03/23

MUAR: Seorang guru maut, manakala dua lagi rakan setugasnya di Sekolah Kebangsaan Panjang Sari, dekat Bukit Pasir, parah apabila Proton Wira yang mereka naiki bertembung dengan Toyota Innova di persimpangan lampu isyarat yang tidak berfungsi di Jalan Pintas Muar-Jalan Parit Buaya, di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang tadi, Mohd Hussein Mas'ot, 41, dari Taman Pertama Indah, Sungai Abong, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Tanah runtuh di Afghanistan ragut 35 nyawa



2010/03/23

KUNDUZ (Afghanistan): Kejadian tanah runtuh yang melanda wilayah timur laut Badakhshan, Afghanistan meragut 35 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan lima rumah kediaman. 

Jurucakap gabenor wilayah itu, Abdul Maroof Rasekh, berkata bencana berkenaan berlaku semalaman di daerah Argho Panjkhwa di kawasan pedalaman dan wilayah banjaran gunung, di mana bersempadan dengan China, Pakistan dan Tajikistan.

Dalam keadaan cuaca ketika ini, runtuhan adalah perkara biasa bagi tempoh ini setiap tahun yang membabitkan wilayah berkenaan, yang mana adalah salah satu kawasan termiskin di Afghanistan. - Reuters

Pemandu teksi maut, 3 penumpang cedera nahas

Tiga penumpang teksi yang cedera ialah Jamilah Yusoff, 42, Sharifah Ismail, 35, dan Saadah Ab Rahman, 34. Kesemua mereka dihantar ke Pusat Kesihatan Besar Bandar Ciku. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah, berkata ketika kejadian 7.30 pagi itu, teksi berkenaan dalam perjalanan menghantar penumpang yang bekerja di kilang papan di kawasan perindustrian Gua Musang.

"Treler yang datang dari Gua Musang ke Kuala Krai dikatakan cuba memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan teksi itu," katanya.

Pemandu treler berkenaan, Zamani Ibrahim, 53, tidak cedera.

Saiful Bahri berkata, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. - Bernama

Radhi OAG mamai makan pil tidur


Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/03/23
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PETALING JAYA: “Saya berada dalam keadaan tidak waras dan separuh sedar akibat di bawah pengaruh pil tidur,” dakwa pelakon dan bekas vokalis kumpulan OAG, Radhi Razali yang mengakui ada menghantar SMS kepada isterinya, Shazlin Sharif.
BINCANG...Radhi (kiri) bersama peguambelanya Musa Awang  di Mahkamah Syariah Petaling Jaya.
BINCANG...Radhi (kiri) bersama peguambelanya Musa Awang di Mahkamah Syariah Petaling Jaya.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Syarie Ghazali Ahmad di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, berhubung penyata pembelaan yang tercatat dia mengaku ada menghantar SMS kepada Shazlin pada 27 Julai 2008.
GHAZALI: Kamu mengaku ada menghantar SMS, kamu sedar atau tidak ketika itu?
RADHI: Maksud sedar?
GHAZALI: Kamu waras atau tidak ketika menghantar SMS itu?
RADHI: Mungkin separuh sedar mungkin tidak.

GHAZALI: Kenapa?
RADHI: Ketika itu mungkin saya dipengaruhi ubat tidur.

GHAZALI: SMS yang kamu hantar ini panjang?
RADHI: Saya banyak hantar SMS kepada dia (Shazlin).

GHAZALI: Kamu faham atau tidak maksud SMS yang kamu hantar ini?
RADHI: Saya pun tidak faham, banyak sangat saya hantar, saya pun tidak ingat.

Menjawab soalan peguam syarie Musa Awang yang mewakili dirinya, Radhi berkata sekitar Februari 2009 dia tidak ingat ada menceraikan isterinya melalui panggilan telefon dan tidak mempunyai niat untuk menceraikan Shazlin.

Bagaimanapun menjawab soalan berhubung SMS yang dihantar kepada isterinya, Radhi berkata, ‘terus terang saya kata tidak tahu apa yang saya hantar. Saya sampai sekarang tidak faham dengan diri saya sendiri’.

Sementara itu, Radhi kelihatan tidak selesa apabila diasak bertalu-talu oleh peguam syarie Rubiah Jaffar berhubung kejadian dia ada melafazkan cerai talak tiga melalui telefon yang didakwa Shazlin berlaku pada Februari 2009.

RUBIAH: Pada Februari 2009, kamu ada terima SMS atau panggilan daripada defendan?
RADHI: Tidak ada.

RUBIAH: Saya katakan kamu bukan tidak ingat, tetapi pura-pura tidak ingat?
RADHI: Tidak setuju.
Prosiding bersambung 19 April ini.

Pasangan itu sebelum ini sudah bersetuju untuk bercerai secara baik namun mereka perlu membuat pengesahan lafaz cerai talak tiga melalui telefon yang didakwa dilakukan pada hujung Februari 2009.
Shazlin mendakwa Radhi ada melakukan lafaz talak kali kedua sekitar Februari 2009, yang berbunyi ‘aku ceraikan kau (Shazlin) dengan talak tiga terus’ menerusi telefon pada jam 11.40 pagi.

Pemandu rentung dalam kereta terbabas

SEREMBAN: Seorang lelaki rentung selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang sebelum terbakar di Kilometer 279 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di Nilai, malam kelmarin.
MUSNAH...keadaan Toyota Harrier yang dipandu mangsa selepas nahas.
MUSNAH...keadaan Toyota Harrier yang dipandu mangsa selepas nahas.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa Ang Kok Seng, 32, cuba keluar dari Toyota Harriernya yang terbakar.
Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, Ang yang memandu seorang diri dari arah ibu kota menghala ke Selatan dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar sebuah Proton Wira.

“Selepas melanggar Proton Wira berkenaan, kenderaannya itu terbabas ke kiri lalu melanggar besi penghadang jalan dan terjatuh ke dalam longkang lalu terbakar,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat.

Menurutnya, pemandu Proton Wira iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an membuat laporan polis mengenai kejadian itu.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah yang dihubungi, berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta saksi yang melihat kemalangan itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

Mereka boleh menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 06-6033394 atau balai polis berhampiran.

Bayi kritikal

PORT DICKSON: Seorang bayi lelaki berusia sebulan kini dalam keadaan kritikal akibat pendarahan dalam otak selepas dipercayai didera.
BUKTI...enam kanak-kanak yang dijaga pasangan terbabit.
BUKTI...enam kanak-kanak yang dijaga pasangan terbabit.
Bayi itu dipercayai mengalami kesan goncangan yang kuat menyebabkan berlaku pendarahan pada bahagian dalaman kepalanya, sekali gus menyebabkan mangsa ketika ini bertarung maut.
Kisah malang menimpa bayi berkenaan terbongkar apabila dia dibawa seorang lelaki yang mendakwa pengasuhnya ke Hospital Port Dickson di sini pada 11 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan K Baljeet Singh, berkata bayi itu dibawa seorang lelaki yang mengaku pengasuh dan mendakwa mangsa demam.

“Mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, doktor mendapati wujud unsur penderaan berikutan berlaku pendarahan dalam otak mangsa disyaki akibat goncangan kuat.


Doktor itu juga memaklumkan usia bayi itu bukan empat bulan seperti dilaporkan lelaki yang membawanya ke Hospital Port Dickson.

“Polis yang mendapat maklumat itu bergegas ke rumah lelaki terbabit yang berusia 28 tahun di Taman PD Utama di sini dan menahannya.

“Turut ditahan, seorang wanita yang juga isteri lelaki terbabit untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati bayi itu hasil hubungan lelaki terbabit dengan seorang warga Indonesia, tetapi wanita itu sudah pulang ke negara asalnya.

Katanya, polis turut menemui enam lagi kanak-kanak berusia satu hingga 13 tahun dalam rumah suspek dan mereka kini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan sementara selepas pasangan suami isteri terbabit ditahan untuk siasatan.

Sementara itu jiran mangsa yang ditemui berkata, lelaki terbabit kurang bergaul dengan jiran berdekatan.
“Saya pun tidak tahu kejadian yang berlaku sehingga kedatangan sepasukan polis ke rumah berkenaan pada satu malam, baru-baru ini.
“Mereka tinggal di sini sejak kira-kira tiga tahun lalu,” katanya yang enggan dikenali ketika ditemui di sini, malam tadi.
Jiran itu berkata, dia juga tidak pernah terdengar pasangan suami isteri itu bertengkar sepanjang mereka tinggal di situ.
Tinjauan Harian Metro di rumah berkenaan mendapati ada enam kanak-kanak dipercayai berusia setahun hingga 11 tahun di rumah berkenaan yang dijaga oleh seorang lelaki.

Mereka terdiri lima kanak- kanak perempuan dan seorang lelaki yang didakwa anak angkat pasangan berkenaan.
Seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 13 tahun memberitahu, dia dan lima lagi kanak-kanak adalah anak angkat kepada pasangan suami isteri berkenaan.
Menurutnya, adiknya dijaga seorang wanita ketika dia ke sekolah pada sebelah pagi dan pada sebelah malam, mereka dijaga seorang lelaki.
“Saya sayang bapa dan ibu kerana kami semua dijaga dengan baik sejak kecil dan saya tidak tahu macam mana kejadian itu berlaku.
“Bapa seorang yang penyayang dan kami semua sayangkannya kerana dialah yang menjaga kami semua sejak kecil,” katanya.

Syarikat ganti lembu


Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/03/23
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PUTRAJAYA: “Setiap lembu yang mati atau hasil susunya kurang dari 10 liter akan diganti baru dan mengikut prosedur. Pelanggan perlu menanti sehingga tempoh tiga bulan bagi memastikan lembu yang dibawa dari Australia benar-benar boleh menyesuaikan keadaan dengan iklim di negara ini.
“Kami tidak akan menyerahkan haiwan yang tidak boleh mengeluarkan hasil dan ada masalah kepada pelanggan,” kata Pengarah Bahagian Jualan Prestige Dairy Farm (M) Bhd, Khairul Hisham Sulong, semalam.
Khairul Hisham berkata, seboleh-bolehnya syarikat mahu memastikan lembu yang dibeli pelanggan boleh mengeluarkan hasil melebihi 10 liter bagi membolehkan pelanggan dan syarikat saling menikmati imbuhan hasil susu yang dihasilkan.

Bagaimanapun, katanya, jika lembu terbabit mengeluarkan hasil di bawah paras berkenaan selepas pemantauan dilakukan, peserta akan diberikan lembu ganti seperti yang tertera dalam perjanjian.

Sebagai sebuah syarikat yang mengusahakan ladang penternakan lembu tenusu menggunakan konsep ‘Rakan Perniagaan’ pertama di negara ini, Khairul Hisham berkata, setiap lembu dijual dengan harga RM26,786 dan ia termasuk pelbagai kos termasuk pengangkutan kapal terbang bagi membawa haiwan itu ke Malaysia.

Malah, katanya, lembu yang dibawa masuk juga berusia kira-kira dua tahun dan berpotensi memberikan hasil susu yang baik.

Peragut malang masuk lokap lepas samun RM50

NIBONG TEBAL: Nasib malang bagi seorang peragut apabila dia bukan hanya memperoleh RM50 dan lima keping surat pajak gadai, malah dia sendiri ditangkap polis kira-kira 30 minit selepas melakukan kerja jahatnya.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang Jumaat lalu di Sungai Bakap dekat sini, antara kawasan ‘panas’ dalam daerah Seberang Prai Selatan (SPS) membabitkan mangsa berusia 57 tahun.

Ketika kejadian, mangsa berada di depan Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap sebelum beg tangannya diragut suspek berusia 19 tahun yang menunggang motosikal Honda EX5.

Ditipu gadis ‘Liberia’


KUALA TERENGGANU – Sikap tamak seorang pesara untuk mendapat sebahagian wang AS$5.7 juta (RM18.9 juta) yang ditawarkan seorang kenalan di Internet menyebabkan dia kehilangan wang persaraan sebanyak RM124,340.
Kejadian bermula selepas pesara berusia 55 tahun dari Simpang Tok Ku dekat sini itu menerima e-mel dari seorang gadis bernama Catherine Khalifa pada Disember lalu yang memberitahu kononnya dia sedang dipenjarakan di Senegal.

Broker batal saman Utusan RM6 juta


KUALA LUMPUR 22 Mac - Seorang broker hari ini menarik balik saman fitnah RM6 juta terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. dan bekas Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Khalid Mohd. berhubung penyiaran artikel yang menggambarkan dirinya sebagai suspek utama kes bunuh Noritta Samsuddin, kira-kira enam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Patail merekodkan penyelesaian kes saman itu setelah Shahfrul Azrin Azman, 39, selaku plaintif bersetuju menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
Perkara itu disahkan oleh peguam Rohanidah Shafie yang mewakili Utusan.
Peguam Sankara Nair yang mewakili Shahfrul Azrin ketika ditanya oleh pemberita di luar mahkamah mengenai persetujuan penyelesaian bagaimanapun memberitahu, pihaknya tidak dapat mendedahkan butiran tersebut.
Dalam pada itu, Hakim Abdul Wahab menetapkan 27 April ini keputusan kes saman Shahfrul Azrin terhadap akhbar dan editor di The New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP) dan enam yang lain termasuk New Straits Times dan Berita Harian.

Penjaga stor ke tali gantung


SHAH ALAM 22 Mac - Seorang penjaga stor cuba menutup perbuatan jenayah dengan berpura-pura dipaksa minum racun selepas teman wanitanya dikatakan melakukan perkara yang sama seminggu selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dua tahun lalu.
Shahrul Nizam Mohd. Shah, 38, bagaimanapun 'terselamat' sementara Nurul Hazira Bharum, 26, yang juga penjaga stor meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Kisah merpati dua sejoli cuba membunuh diri bak kisah Romeo dan Juliet itu bagaimanapun terbongkar apabila hasil bedah siasat mendapati sebenarnya Nurul Hazira mati kerana lemas akibat dicekik menggunakan sehelai tudung.
Perbuatan Shahrul Nizam itu yang dilakukan kerana cemburu apabila mengetahui mangsa akan berkahwin dengan orang lain akhirnya membawa padah apabila dia hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan hukuman itu selepas mendapati pembelaan tertuduh hanya keterangan tokok tambah serta gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes tersebut.
Katanya, selain tiada kesan racun dijumpai dalam tubuh mangsa, tekanan kuat yang digunakan untuk mencekik adalah konsisten dengan penemuan rantai emas putus di dalam baju mangsa.
''Tiada keterangan yang menunjukkan mangsa sebelum kejadian hendak membunuh diri dan semua saksi seperti ibu bapa, rakan sekerja dan tunang mangsa tidak menyatakan sedemikian. Kedudukan mangsa yang baring tidak konsisten dengan perbuatan minum racun sendiri.
''Keterangan jiran tertuduh bahawa tertuduh datang ke rumahnya dan minta bantuan dengan memberitahu bahawa 'orang rumahnya' (mangsa) sudah minum racun tidak konsisten dengan dakwaan tertuduh mengenai rancangan dia dan teman wanitanya ingin membunuh diri,'' katanya.
Shahrul Nizam disabitkan atas tuduhan membunuh Nurul Hazira di rumahnya di Lot 2584-1, Batu 19, Kampung Gombak, Kuang, Rawang antara pukul 9 dan 10 pagi, 7 Oktober 2008.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menampilkan 15 saksi manakala hanya tertuduh memberi keterangan di peringkat pembelaan.