Search This Blog

Loading...

Monday, March 22, 2010

Jalan Maut


pix_topright

Tak puas minta maaf


GUA MUSANG: “Sebelum bertolak kira-kira 4 pagi semalam, arwah berulang kali bersalaman dengan pak cik dan meminta maaf kepada ibunya akan kesilapan lampau dilakukan sepanjang hidupnya.
REMUK...kereta mangsa yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK...kereta mangsa yang terbabit kemalangan, semalam.
“Keganjilan perangainya begitu ketara dan tidak sangka ia menjadi petanda akan kehilangannya selama-lamanya,” kata Hussein Awang, 73, bapa Mohd Amli Hussein, 43, yang maut dalam kemalangan kira-kira 6.15 pagi semalam.Dalam kemalangan itu, tiga beranak maut manakala empat lagi parah selepas Honda Civic dinaiki mereka bertembung sebuah lori dari arah bertentangan.
Kejadian di Kilometer 51 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar, Paloh, dekat sini, berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Salor, Kota Bharu ke Kajang, Selangor.
Tragedi memilukan itu berlaku sebaik lori berkenaan mengelak sebuah kereta yang memotong di hadapannya menyebabkan kenderaan terbabit terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Situasi mencemaskan itu menyebabkan Honda Civic yang dipandu Mohd Amli dari Kuala Krai ke Gua Musang bertembung lori dari arah bertentangan membuatkan tiga penumpangnya maut.
Pertembungan itu menyebabkan lori berkenaan terjunam ke cerun manakala kereta terbabit terbabas dalam longkang di kawasan itu.
Kemalangan itu menyebabkan tiga beranak, Mohd Amli, isterinya, Noora Mohd Zawi, 40, dan seorang anak mereka, Hakimi Akhmal, 12, yang menetap di Taman Jasmi, Kajang, Selangor, maut di tempat kejadian.
Penumpang yang cedera ialah dua anak mangsa, Sofi Mohd Amli, 7, dan Safiq, 5, manakala dua lagi anak saudaranya, Nurul Fazira Mohamad, 16, dan adiknya, Amrul Akhmal, 14, turut dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk menerima rawatan.
Hussein berkata, tiada sebarang perubahan sikap ditunjukkan arwah anaknya itu ketika pulang ke kampungnya di Salor sejak cuti sekolah minggu lalu.
“Lebih menghairankan pak cik, arwah sanggup berpatah balik untuk bersalaman semula kerana mendakwa tidak puas bersalaman pada kali pertama sebelum itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang (HGM), semalam.

Katanya, Mohd Amli turut dilihat meluru ke ibunya, Zainab Hassan, 64, untuk memohon maaf berulang kali kerana memeliharanya sejak kecil hingga dewasa dalam keadaan sebak.

Hussein sekeluarga menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 9.30 pagi dari rakan mangsa sebelum menghubungi polis bagi mendapatkan pengesahan lanjut berhubung kemalangan membabitkan anaknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, berkata ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan sebelum mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat.

Katanya, semua jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Salor, Kota Bharu.

Perlakuan memalukan



Oleh Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/03/19
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SHAH ALAM: Melepak di pusat beli-belah, beriadah di taman tasik, menghabiskan masa melihat orang bermain go-kart dan banyak lagi aktiviti dilakukan pelajar beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta di sini pada setiap hujung minggu.
Namun, aktiviti segelintir remaja terbabit dikhuatiri boleh mengundang gejala maksiat yang semakin menular dalam kalangan remaja sekarang ini.
Tinjauan Metroplus ke beberapa kawasan tumpuan ramai di sekitar bandar raya ini, mendapati pelajar mengisi masa lapang pada hujung minggu melakukan aktiviti bersama pasangan kekasih.

Kawasan seperti Taman Tasik Shah Alam, litar go-kart di stadium dan Dataran Shah Alam dipenuhi pasangan kekasih dipercayai dari kalangan pelajar setiap hujung minggu dari pagi hingga lewat petang menghabiskan masa memadu kasih tanpa menghiraukan segelintir keluarga yang turut berkunjung ke tempat berkenaan.

Berpelukan di bangku taman, duduk berdua-duaan di kawasan sunyi, berpelukan di atas motosikal, berjalan mengelilingi tasik sambil berpegangan tangan dan banyak lagi perlakuan menjolok mata dilakukan mereka mungkin kerana asyik dilamun cinta.

Beberapa warga setempat yang ditemui ketika membawa keluarga bersiar-siar di kawasan riadah di situ, berkata pemandangan sedemikian boleh dilihat pada setiap hujung minggu dan boleh dikatakan sebagai aktiviti rutin mereka.


“Setiap bangku dan sudut di taman tasik ini dipenuhi pasangan kekasih. Sekali tengok pun kita boleh tahu mereka itu pelajar kerana rupa mereka terlalu muda.
“Kadangkala mereka tidak peduli langsung dengan kami yang datang bersama keluarga dan anak-anak. Lebih mengecewakan, kebanyakannya remaja Islam dan ada juga remaja perempuan bertudung,” kata seorang penduduk setempat yang tidak mahu dikenali.

Sementara itu, tinjauan Metroplus ke beberapa kawasan kediaman berhampiran turut mendapati aktiviti dan tingkah laku pelajar yang menginap di kawasan berkenaan membawa kerisauan penghuni lain.

Puluhan kera liar ceroboh rumah


P

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/03/19
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MASJID TANAH: Kehadiran kera dalam jumlah agak banyak menimbulkan kebimbangan penduduk di Jalan Seberang Prai, Kampung Ayer Limau, dekat sini, apabila mendakwa menerima ancaman haiwan liar berkenaan termasuk ada antaranya bertindak ganas sejak lima tahun lalu.
Tinjauan Metroplus di kawasan berkenaan mendapati puluhan kera berkeliaran di kawasan berhampiran rumah penduduk sambil merosakkan beberapa tanaman.
Difahamkan, haiwan liar itu dianggarkan melebihi 100 ekor pada satu-satu masa menjadikan semak-samun bersebelahan rumah penduduk sebagai ‘markas’ mereka berhimpun selepas seharian berkeliaran di kampung berdekatan.

Penduduk, Asmah Rahmat, 47, mendakwa haiwan liar itu akan keluar dari semak samun berdekatan rumahnya sebelum matahari terbit dan mereka berpecah beberapa kumpulan kecil untuk mencari makanan dan berpeleseran sebelum pulang semula ke tempat persembunyian selepas matahari terbenam.

Menurutnya, dia yang kehilangan kedua-dua kaki akibat penyakit kencing manis sejak setahun lalu hanya mampu memerhatikan kera liar itu menghampiri rumahnya dan membiarkannya memakan apa saja terutama buah kedondong.

Katanya, kebanyakan kera itu mula bertindak liar dengan mencerobohi kawasan rumah penduduk berdekatan hingga terpaksa membiarkan mereka memenuhi halaman rumah dengan bunyi sangat bising tanpa mengira pagi atau petang.


“Saya sudah cuba bermacam-macam kaedah untuk menghalaunya, tetapi ia tidak takut dan mengacah kita semula. “Kebiasaannya saya akan mengetuk besen dan penyapu, namun hasilnya tetap sama, malah suami saya pernah menggunakan lastik, tetapi ia datang semula.
“Haiwan liar ini jika tidak mengganggu kehidupan penduduk mungkin buat satu masalah, tetapi ia masuk hingga dalam rumah untuk menyelongkar barang keperluan hingga bersepah makanan atas meja.

“Malah, saya pernah terserempak seekor kera tidur nyenyak di atas katil anak, hinggakan pada mulanya saya sangkakan anak balik awal dari sekolah,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, kehidupan keluarganya ditimpa keresahan dan berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mahupun Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dapat melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

“Pihak berkenaan perlu mencari formula bersesuaian bagi mengatasi keadaan ini kerana jumlah kera terbabit banyak hingga menakutkan penduduk terutama kanak-kanak, jika ia masih berterusan,” katanya.

Sementara itu, penduduk lain, Norkiah Tamby, 80, berkata sebelum ini dia pernah mengalami pengalaman menakutkan apabila dikejar kera terbabit dalam jumlah agak banyak ketika pulang dari surau berdekatan rumahnya.

Menurutnya, setibanya di satu kawasan pokok buluh tiba-tiba dia dikejutkan dengan kehadiran beberapa ekor kera menyebabkannya yang berjalan dengan seorang teman terkejut dan takut kerana bimbang dicederakan.

“Saya pun tidak perasan ia (kera) datang kerana tiba-tiba cuba terkam saya dari belakang lalu saya pusing ke belakang untuk mengambil kayu (buluh) untuk memukulnya, namun kera itu tidak berganjak, malah semakin galak sampai saya sesak nafas.

“Kera lain semua sudah lari, tetapi tiga kera paling besar datang semula ke arah saya sambil menunjukkan kemarahan dengan menayangkan giginya yang besar dan bertaring itu. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan gentar saya ketika itu,” katanya.

Remaja mati diserang ular sawa tujuh meter





2010/03/22
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MEDAN: Seorang remaja meninggal dunia di Deli Serdang, Sumatera Utara selepas diserang seekor ular sawa ketika berenang di sungai bersama rakan-rakannya.
Penduduk kampung memukul ular gergasi itu dengan buluh untuk melepaskan M Zakaria daripada mulut haiawan itu. Akibat kecederaan dialami, ular sepanjang tujuh meter itu melepaskan Zakaria.
Bagaimanapun, Zakaria disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Mitra Husada.

Kawan Zakaria mendakwa ular itu keluar dari sebuah gua di tebing sungai. “Zakaria terlalu letih dan beliau tidak mampu lari,” katanya. - Agensi

Bunuh famili sebab hutang





2010/03/22
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MOSCOW: Seorang lelaki menembak mati isteri dan dua anak perempuan di apartmen mereka kerana tidak mahu keluarganya menanggung beban hutangnya.
Yuri Merkind kemudian menaiki kereta api dan kemudian menyerah diri dan juga pistolnya kepada polis di Vladimir, kira-kira 190 kilometer di timur Moscow.
“Beliau tidak mahu keluarganya menjadi tebusan masalah kewangan dan hutang dihadapinya.

“Merkind pada mulanya merancang membunuh diri selepas menembak mati keluarganya tapi kemudian merubah rancangan dan melarikan diri,” kata sumber polis.

Penyiasat menemui nota, kemungkinan besar ditulis Merkind: “Kami tinggalkan dunia ini dengan sukarela.” Mayat isteri dan dua anaknya berusia 6 dan 16 tahun ditemui anak lelakinya yang pulang bercuti daripada kem latihan tentera. “Ini satu jenayah kejam dan kami cuba mencari punca sebenar pembunuhan ini,” kata Ketua Detektif, Anatoly Bagmet. - AFP

Tukar jantina kerana hutang





2010/03/22
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
WEST MIDLANDS (England): Gara-gara terdesak kerana dibebani hutang sehingga lebih RM248,000, seorang lelaki menjalani pembedahan menukar jantina untuk mengelak diburu pemiutang.
Tindakan nekad lelaki tidak didedahkan identiti itu didedahkan aktres Britain, Sarah Thom, selepas dia berbual dengan pekerja Kesatuan Kredit Wolverhampton dalam usahanya mendalami watak sebagai pencuci yang dibelenggu hutang.
Sarah dijadual muncul dalam drama Forever in Your Debt.

Kata Sarah, dia mendapat beberapa maklumat daripada agensi penasihat kewangan dan pinjaman itu.

Kata Sarah, lelaki terbabit dipercayai selesai menjalani pembedahan menukar jantinanya dan dalam proses membayar semula hutangnya beransur-ansur.

“Lelaki itu papa kerana terikat dengan pinjaman dan bayaran kad kredit selepas menganggur,” katanya. - Agensi

Kepala lelaki dipenggal, dibakar untuk merahkan batu bata





2010/03/22
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DHAKA: Empat buruh ditahan kerana disyaki membunuh seorang lelaki sebelum memenggal kepala mangsa untuk dicampak ke dalam relau dengan harapan ia mampu menjadikan batu bata tanah liat diusahakan mereka lebih merah, kata polis semalam.
Ketua polis tempatan, Golam Sarwar Bhuiyan, berkata mangsa adalah penduduk tempatan dan berusia 26 tahun.
Katanya, kejadian berlaku di kawasan terpencil di utara Bangladesh.

“Pembunuhan itu diarah pemilik kilang batu bata berkenaan yang tidak puas hati dengan produknya kerana kurang merah walaupun suhu membakarnya mencukupi,” katanya.

Golam Sarwar berkata, pemilik kilang itu mengunjungi seorang bomoh bagi mendapatkan nasihat mengenai masalahnya.

Kata Golam Sarwar, bomoh itu kemudian mencadangkan dia membakar kepala manusia.


“Bomoh terbabit mendakwa relau itu perlukan korban manusia untuk dipulihkan,” katanya.
Sehingga semalam, kata Golam Sarwar, polis masih cuba mengesan bomoh dan pemilik kilang berkenaan.

Batu bata tanah liat mendapat permintaan amat tinggi di kawasan luar bandar Bangladesh.

Ciri warna merah selalu menjadi pilihan dan menentukan harganya kerana dianggap menjadi bukti ia dibakar dengan baik dan tahan lama. - AFP

Rela isteri mati



Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/03/22
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JOHOR BAHRU: “Saya rela sekiranya isteri meninggal dunia daripada melihat dia merana setiap hari kerana terpaksa meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan ini,” kata seorang mualaf, Abdul Aziz Abdullah, 43, semalam.
Aziz berkata, setiap hari dia gelisah memikirkan cara mendapatkan sesuap nasi untuk isteri kurang upayanya, Salmah Bee Yaccob, 49, berikutan gagal mendapatkan bantuan pelbagai agensi kerajaan.
Menurutnya, demi memastikan isterinya tidak kelaparan, dia bukan saja terpaksa mengikat perut, malah sanggup berhutang dengan beberapa rakan. “Kami mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu dan pada awalnya menjalani kehidupan bahagia apabila saya dan isteri bekerja sebagai pekerja pembersihan sebuah syarikat swasta di Singapura.

“Namun, kami tidak menyangka kehidupan kami berubah apabila isteri disahkan menghidap kencing manis dan lebih malang apabila kaki kanannya terpaksa dipotong beberapa tahun lalu akibat jangkitan kuman.

“Keadaan bertambah buruk apabila isteri mengalami kegagalan buah pinggang pada pertengahan tahun lalu hingga terpaksa bergantung pada rawatan haemodialisis bagi meneruskan kehidupan,” katanya yang menambah dia dan isteri memeluk Islam sejak 17 tahun lalu.

Abdul Aziz berkata, bagi membiayai kos rawatan haemodialisis isterinya di sebuah pusat perubatan swasta, dia terpaksa mengeluarkan semua wang simpanannya dan isteri daripada akaun bank.


Menurutnya, malang bertimpa apabila dia hilang punca pendapatan selepas dibuang kerja di Singapura, akhir tahun lalu.
“Kami yang tiada pilihan pada mulanya memajak rantai emas milik isteri untuk membiayai kos rawatan dialisisnya.

“Malah, disebabkan tiada wang, isteri pernah tidak mendapatkan rawatan itu selama lebih dua minggu hingga kesihatannya terjejas teruk termasuk bengkak kaki akibat toksin berlebihan dalam badan,” katanya yang belum dikurniakan cahaya mata.

Menurutnya, melihat penderitaan dan kesusahan yang dialami mereka, seorang doktor dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang prihatin dengan masalah mereka menghulurkan bantuan dan memberi surat sokongan supaya permohonan menjalani rawatan dialisis secara percuma di hospital awam diluluskan.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan pusat dialisis di HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI) sudah dipenuhi pesakit, isteri diminta menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Hospital Kulaijaya.

“Apa yang menjadi masalah, kami terpaksa naik teksi ke hospital berkenaan kira-kira 60 kilometer dari rumah kami di Bukit Mutiara, Tebrau.

“Bagaimana kami mahu membiayai tambang teksi yang mencecah RM200 seminggu, sedangkan tunggakan sewa rumah, bil elektrik mahupun bil air mencecah RM400 gagal dijelaskan,” katanya.

Menurutnya, dia yang sentiasa menemani isterinya setiap kali mendapatkan rawatan juga kecewa apabila permohonan bantuan dan kaki palsu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak menerima maklum balas.

Katanya, usaha bagi mendapatkan bantuan Baitulmal mahupun melakukan permohonan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tiada perkembangan.

“Saya dah serik turun naik pejabat minta bantuan kerana jawapan diberi sering mengecewakan menyebabkan saya hilang harapan dan kini hanya berserah pada takdir,” katanya.

Mati lemas ditelan ombak


Guru ditelan ombak

Oleh Ahmad Othman
am@hmetro.com.my
2010/03/22
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KOTA TINGGI: Kegembiraan lima sekawan membabitkan guru dan bekas pelajar dari Johor Bahru menghabiskan cuti hujung minggu bermandi- manda di pantai Desaru, di sini, bertukar tragedi apabila salah seorang mereka ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang, petang kelmarin.
Mayat Zahari Ibrahim, 29, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya 1, Johor Bahru, dekat sini sejak lima tahun lalu ditemui manakala Mohd Ramzi Mohamed Jasmin, 18, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang juga bekas murid sekolah sama, masih hilang.
Seorang rakan mangsa, Syed Ahmad Syed Sahardin, 23, berkata mereka ke pantai peranginan itu menaiki dua kereta berasingan dari Johor Bahru.

“Walaupun ketika itu hujan renyai dan ombak agak kuat, kami tetap menukar pakaian dan berenang sebaik tiba di pantai itu pada kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

“Selepas dua jam berenang, saya bersama dua rakan lain naik ke darat dan bersiap-siap pulang tetapi Allahyarham Zahari dan Mohd Ramzi enggan naik kerana belum puas berenang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota TInggi (HKT), semalam.

Menurutnya, melihat dua rakannya masih ingin berenang dia bersama dua rakan lain mengambil keputusan bersiar-siar di pantai berhampiran resort di situ, sebelum kembali setengah jam kemudian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi dia melihat Allahyarham Zahari terkapai-kapai meminta tolong manakala Mohd Ramzi tidak kelihatan.

“Melihat rakan dalam cemas, saya berlari mendapatkan pertolongan daripada orang ramai dan petugas penyelamat pantai yang berada tidak jauh dari situ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian lemas di pantai awam Desaru pada kira-kira jam 3 petang.

Sebaik menerima panggilan kecemasan, katanya, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan membabitkan pasukan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar.

“Mayat Zahari ditemui kira-kira jam 3.30 petang, manakala usaha mencari Mohd Ramzi dikhuatiri lemas diteruskan sehingga jam 7 petang semalam (kelmarin) dan hari ini,” katanya.

Difahamkan Allahyarham Zahari masih bujang serta anak ketiga daripada lima beradik berasal dari Kampung Paku Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan.

Mohd Ramzi pula bekas pelajar di sekolah sama dan mereka dipercayai rapat sejak di bangku sekolah lagi.

Dua pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi (PPDKT), Zulkifli Mohamed dan Ishak Ismail, turut berada Unit Forensik Hospital Kota TInggi (HKT) bagi membantu pihak Jabatan Agama Islam mengurus tuntutan jenazah dan pengangkutan.

Jenazah Zahari dituntut keluarganya lewat malam kelmarin.