Search This Blog

Loading...

Saturday, March 20, 2010

Pemilik ladang sawit rugi besar



Oleh Kalam Hadi
am@hmetro.com.my
2010/03/20
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KLUANG: Ancaman gajah menyebabkan tujuh daripada 17 pemilik ladang sawit sekitar Gugusan Kahang mendakwa kerugian mencecah RM400,000 apabila haiwan liar itu menceroboh dan merosakkan benih serta pokok sawit di ladang masing-masing sejak tiga bulan lalu.
Ladang terbabit termasuk Ladang IOI kerugian sekitar RM100,000, Ladang Padang (RM100,000), Ladang Zamrud (RM20,000) dan Ladang Bukit Cantik mengalami kerugian teruk, RM200,000.
Keadaan itu mengundang kebimbangan pengurusan ladang terbabit terutama berhubung aspek keselamatan pekerja dan ahli keluarga mereka kerana haiwan liar itu bukan saja merosakkan tanaman, malah memasuki kawasan perumahan sejak beberapa hari lalu.

Berikutan itu, pekerja ladang terbabit mengadakan rondaan secara bergilir setiap malam bagi memastikan gajah liar tidak memasuki kawasan perumahan mereka terletak kira-kira satu kilometer dari Hutan Simpan Getah yang kini menjadi habitat haiwan berkenaan.

Penolong Pengurus Ladang Zamrud, Abd Wahab Mustafa, 43, berkata gajah liar semakin berani dan sering menceroboh kawasan kediaman pekerja ladang sekali gus membuatkan mereka kini ketakutan.

Katanya, pengurusan 17 ladang kelapa sawit di Gugusan Kahang mengadakan perjumpaan tergempar bagi membincangkan langkah yang perlu diambil bagi mengekang ancaman itu.

Dakwaan Zahrain tak betul





2010/03/20
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau didampingi pembangkang untuk keluar Barisan Nasional (BN) dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membolehkan Pakatan Rakyat (PR) membentuk Kerajaan Persekutuan menjelang September 2008.
Penjelasan itu sekali gus menafikan Ketua Umno Gua Musang itu seorang daripada lapan Ahli Parlimen BN yang disebut-sebut sepatutnya menyertai PKR menjayakan rancangan pembangkang mengambil alih Putrajaya dalam tempoh kira-kira tujuh bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.
“Itu tidak betul,” katanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim di Dewan Rakyat kelmarin, yang mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen kerajaan yang disebut-sebut akan melompat ke PKR bagi menjayakan rancangan PR untuk mengambil alih Kerajaan Pusat ketika itu.

“Kalau saya nak masuk mana-mana parti, tak tunggu dia isytiharlah, saya ini orang jantan,” katanya pada sidang media selepas majlis Dialog Perdana Isu Royalti dan Solat Hajat di sini, malam kelmarin. Bekas Pengerusi Petronas itu juga berkata, beliau tidak pasti sama ada Zahrain, bekas pengerusi PKR Pulau Pinang, berbohong ataupun tidak dengan kenyataannya itu, tetapi menjelaskan yang pastinya beliau tidak terbabit dalam perkara itu.

“Ya, ini baru saya dengar,” katanya dan apabila ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahrain, Tengku Razaleigh berkata: “Buat apa?” sambil mengakui beliau terkejut dalam kenyataan Zahrain itu. Selain Tengku Razaleigh, nama yang turut disebut Zahrain ialah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar) serta seorang Timbalan Speaker yang juga dikatakan akan menyertai PKR.

Tiga lelaki samun kedai makan sebelah balai polis





2010/03/20

KUALA LUMPUR: Sekumpulan tiga lelaki bertindak berani apabila menyamun sebuah restoran yang terletak bersebelahan Balai Polis Rawang, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tiga lelaki berusia 30-an memasuki restoran berkenaan sebelum mengeluarkan parang dan meluru ke arah juruwang serta pelanggan yang leka menjamu selera.
Jurucakap polis berkata, mereka mengarahkan semua mangsa menyerahkan barangan berharga jika tidak mahu dicederakan.

“Selain mengancam mencederakan mana-mana individu yang ingkar arahan mereka, suspek turut mengarahkan pelanggan dalam restoran berkenaan menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit.

“Malah, seorang daripada suspek turut mengacukan parang ke leher juruwang restoran dan cuba mengambil wang dari dalam laci kaunter, namun gagal,” katanya.

Suspek yang bimbang identiti mereka dikenal pasti bergegas meninggalkan restoran itu menaiki sebuah kereta Perodua Viva berwarna hijau.

Lelaki sanggup makan otak budak



SEORANG anggota polis memeriksa lokasi mayat Xuetang yang ditanam di sebuah ladang kacang pis di Yunan pada 23 Januari lalu.


QIXIAN - Seorang lelaki China didakwa membunuh seorang budak lelaki berumur 11 tahun dan memakan otaknya bagi mengubati penyakit sawan yang dihidapinya di Yunan, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada Rabu lalu, akhbar Shenghuo Xinbao melaporkan Chaoxu, 29, telah ditangkap selepas dia dilihat oleh seorang saksi memegang leher budak itu.
Saksi itu menyatakan budak lelaki itu, Li Xuetang kelihatan seperti tidak sedarkan diri dan terdapat darah pada mulutnya semasa Chaoxu memegang lehernya.
Polis kemudian menemui mayat budak itu ditanam di sebuah ladang kacang pis selepas dia dilaporkan hilang oleh ibu bapanya pada 23 Januari lalu.
Seorang ketua kampung, Wang Wenzhong menemui dua tompokan darah pada batu di ladang itu dan beberapa tulang sebelum mayat budak tersebut ditemui ditanam di kawasan berhampiran.
Bahagian atas kepala budak itu dikopek manakala otaknya telah dikeluarkan semasa mayatnya ditemui pada hari yang sama dia dilaporkan hilang.
Selepas ditangkap, lelaki itu memberitahu polis bahawa dia memakan otak bersama cacing tanah dan semut kerana dia mempercayai cerita rakyat bahawa penyakitnya dapat disembuhkan melalui cara tersebut.
Chaoxu menyatakan kepada polis dia telah berkahwin dengan seorang jururawat tetapi isterinya meninggalkannya kerana penyakit sawan itu menyebabkan dia tidak mampu untuk bekerja.
Polis kini sedang melakukan siasatan sama ada seorang budak perempuan berumur tiga tahun yang didapati hilang turut mempunyai kaitan dengan kes itu. - Agensi

Masalah 'bom jangka' selesai




SEMALAM... Rozita menunjukkan isyarat bagus setelah tong-tong gas di tempat letak kereta berhampiran rumahnya di Perumahan Awam Setapak Jaya, Kuala Lumpur dialihkan.


KUALA LUMPUR - Tidak sampai 24 jam selepas pendedahanKosmo!, masalah longgokan tong gas umpama 'bom jangka' di kawasan letak kenderaan Perumahan Awam Setapak Jaya 1A di sini berjaya diselesaikan.
Setelah bertahun lamanya penduduk di kawasan itu hidup dalam ketakutan, isu berkenaan akhirnya mendapat perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Semalam, sepasukan penguat kuasa DBKL serta wakil daripada Petronas mengarahkan pemilik tong-tong gas berkenaan memindahkannya ke tempat yang lebih selamat.
Pengadu, Rozita Osman, 38, ketika ditemui memberitahu, dia bukan berniat memburukkan sesiapa tetapi sudah tidak tahu di mana lagi hendak mengadu masalah yang sudah lama berlarutan itu.
"Saya harap pihak yang terlibat menerima teguran dan aduan saya kepada Kosmo! ini sebagai sesuatu yang positif," katanya.

Restoran hidang pelacur diserbu




SEBAHAGIAN daripada 21 pelacur menutup muka ketika ditahan di sebuah restoran di Jalan Inai berdekatan Bukit Bintang kelmarin.


KUALA LUMPUR - Seramai 21 pelacur yang bekerja sebagai pelayan ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah restoran di Jalan Inai berhampiran Bukit Bintang malam kelmarin.
Pegawai Turus Anti Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 10 malam itu, pihak polis turut menahan seorang wanita yang disyaki 'ibu ayam' dan seorang lelaki penjaga premis.

Guru diugut gambar bogel




MANGSA dan suspek berjumpa di pasar raya ini sebelum gambar bogelnya dirakam di rumah adiknya di kawasan Selayang.


KUALA LUMPUR - Teknologi Internet semakin digemari ramai sama ada untuk mencari maklumat atau berkenalan.
Bagaimanapun, ia boleh mendatangkan kesan buruk hingga menyebabkan pengguna Internet menjadi trauma dan ketakutan jika disalahgunakan di samping kebaikan yang dibawa.
Kejadian yang menimpa seorang guru wanita berusia 45 tahun Selasa lalu harus dijadikan iktibar agar kejadian yang sama tidak berulang walaupun kes-kes seumpama itu telah banyak disiarkan di akhbar.

Pemuda Masjid saman Sis Isnin ini



KUALA LUMPUR 19 Mac - Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) akan memfailkan saman terhadap Sisters In Islam (Sis) bagi mendapatkan perintah mahkamah melarang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menggunakan nama tersebut.
Saman pemula tersebut akan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Jalan Duta di sini pada pukul 9.15 pagi, Isnin ini.
Pemuda Masjid mengemukakan saman tersebut kerana mendakwa pertubuhan berkenaan menggunakan nama 'Sisters In Islam' secara salah dan melanggar undang-undang.
Turut dijangka hadir di mahkamah ialah Ketua Umum Pemuda Masjid, Dr. Mohammad Nawar Ariffin dan ahli jawatankuasanya.

Mahkamah arah pengarah penjara jelas dakwaan tahanan dipukul



PETALING JAYA 19 Mac - ''Anak guam saya bukan sahaja dipukul oleh anggota polis malahan oleh tahanan lain juga semasa dia ditahan di Penjara Sungai Buloh sejak 5 Mac lalu.''
Begitu dakwaan peguam bela, Amer Hamzah Arshad yang mewakili kelindan lori, M. Rajamorgan, 33, yang didakwa membunuh kanak-kanak berusia 18 bulan, K. Haresvarra.
Amer Hamzah menyatakan demikian kepada Majistret Ho Kwong Chin di Mahkamah Majistret di sini hari ini ketika prosiding sebutan kes tersebut.
Seorang lagi peguam bela tertuduh, N. Surendran pula memohon agar mahkamah mengeluarkan arahan kepada Pengarah Penjara Sungai Buloh, Timbalan Komisioner Narander Singh untuk memastikan keselamatan anak guamnya terjamin pada masa akan datang.
Kata beliau, perkara tersebut perlu dipandang serius oleh mahkamah kerana ia tidak seharusnya berlaku kepada mana-mana tahanan sekalipun.
Kwong Chin kemudian mengeluarkan arahan supaya pengarah berkenaan hadir ke mahkamah pada 6 April ini untuk menjelaskan perkara tersebut.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah memberitahu, pihaknya masih belum menerima laporan bedah siasat dan kimia dalam kes tersebut.
Kwong Chin kemudian menetapkan satu lagi tarikh sebutan iaitu pada 16 April ini berhubung permohonan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi sementara menunggu surat izin.
Rajamorgan didakwa membunuh Haresvarra di taman permainan kanak-kanak di Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara di sini antara pukul 9.40 malam dan 10.10 malam, 3 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mangsa merupakan anak tunggal kepada jiran tertuduh iaitu A. Karigalan dan K. Thilagawathy.
Kanak-kanak itu disahkan mati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira pukul 12 tengah malam, 4 Mac lalu akibat kecederaan serius di seluruh badan.
Antara kecederaan yang dialami mangsa ialah patah enam tulang rusuk, cedera parah di bahagian kepala, luka di kemaluan akibat dicekak dengan kuat dan pecah hati.

Bekas polis tidak mengaku bunuh budak lelaki, pengasuh



SHAH ALAM 19 Mac - Seorang bekas anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak lelaki bekas Setiausaha UMNO Bahagian Klang, Shohimi Shafie dan pengasuhnya, tujuh tahun lalu.
Mohd. Nahar Abu Bakar, 34, didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi yang berusia dua setengah tahun dan Siti Rohana Baharom, 34, di rumah No. 19, Tingkat 5, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang, dekat sini pada pukul 1 petang, 30 Disember 2003.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Erwani Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa menetapkan perbicaraan selama dua minggu bermula 24 Mei ini.
Mohd. Nahar pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang dekat sini pada 30 Oktober tahun lalu atas tuduhan membunuh kedua-dua mangsa setelah enam tahun diburu polis.
Tertuduh yang pernah bekerja sebagai anggota polis berpangkat konstabel di Balai Polis Kampung Baru, Manjung, Perak pada 1997 berjaya diberkas pada 16 Oktober tahun lalu.
Dalam kejadian pada 30 Disember 2003 itu, Muhammad Nurosama dan pengasuhnya, Siti Rohana dibunuh dengan kejam di kediaman pengasuh terbabit di Bandar Baru Klang.
Muhammad Nurosama ditikam dua kali di belakang badan manakala Siti Rohana yang ditikam sekali pada dada dengan menggunakan pisau berukuran 23 sentimeter mati di tempat kejadian.
Bagaimanapun, anak perempuan Siti Rohana, Siti Aishah yang berusia lapan tahun ketika kejadian yang turut berada di rumah tersebut sempat melarikan diri selepas melihat ibunya dicekik oleh tertuduh.
Tertuduh yang memegang kad pengenalan bernombor 760602-01-5181 dan nombor polis, RF 130953 pernah dikenakan tindakan buang kerja pada 21 Mei 1999 kerana terlibat dalam kes pecah rumah di Manjung dan dipenjarakan selama enam bulan di Penjara Kajang pada 200

Projek lebuh raya: Datuk didakwa tipu Datuk



PUTRAJAYA 19 Mac - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang pengarah urusan sebanyak RM40,000 bagi mendapatkan projek pembinaan lebuh raya di Johor, dua tahun lalu.
Datuk Azraie Jamaluddin, 33, dituduh menipu Datuk Shahroldin Ali, 60, bagi mendapatkan projek Lebuh Raya Bertol Pasir Gudang-Johor Bahru di antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 13 Ogos 2008 di Hotel Marriott di sini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu mangsa yang ketika itu merupakan Pengarah Urusan Master Prestige Sdn. Bhd. sehingga lelaki itu mempercayai bahawa wang berkenaan boleh digunakan untuk mendapatkan projek tersebut daripada Menteri Kerja Raya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda serta sebatan jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin dan menetapkan kes itu disebut pada 19 April ini.
Azraie diwakili oleh peguam Azman Zakaria manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kevin Morais.

Permohonan Khairy ketepi penghakiman ingkar Anwar ditentukan 14 Mei



KUALA LUMPUR 19 Mac - Permohonan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes saman fitnah RM100 juta, akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Mei ini.
Peguam Sankara Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, Penolong Kanan Pendaftar, A. Kaveetha menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes itu di kamar beliau hari ini.
Peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili Khairy pula menyatakan, pihaknya belum memfailkan pernyataan pembelaan kerana mahkamah perlu terlebih dahulu mendengar permohonan defendan untuk mengetepikan penghakiman ingkar tersebut.
Menurut Badrul, mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak menyerahkan ikatan nas undang-undang berhubung kes itu pada 14 April ini sebelum membuat keputusan.
Anwar telah memperoleh penghakiman ingkar pada 4 Disember 2008 ekoran kegagalan Khairy memasukkan kehadiran dalam kes itu selepas writ saman diserahkan kepadanya.
Permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar tersebut dikemukakan oleh Khairy pada 20 Februari tahun lalu.
Saman fitnah itu difailkan oleh Anwar pada 7 Mac 2008 kerana mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah memfitnahnya.
Plaintif dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, pada 20 Februari 2008, defendan telah mengucapkan dan menyebabkan penerbitan satu rakaman klip video dalam beberapa laman sesawang termasuk Malaysiakini.com.
Dalam Malaysiakini.com, rakaman klip video tersebut telah diterbitkan bersama-sama sebuah artikel bertajuk 'Anwar and kin no threat' yang didakwa mengandungi kata-kata fitnah.
Plaintif mendakwa, kata-kata yang merujuk kepadanya diucapkan oleh defendan dalam ceramah di Lembah Pantai di sini pada 20 Februari 2008.
Dakwa plaintif, kata-kata menyinggung tersebut merupakan fitnah dengan niat memperkecilkan dirinya sebagai bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri.
Kata-kata tersebut juga menurut plaintif, telah diterbitkan semula dan disebarkan secara meluas serta diedarkan dalam negara dan ke seluruh dunia.
Plaintif mendakwa, beliau telah mengalami kerugian yang amat teruk dan menyebabkan reputasinya terjejas di dalam dan luar negara serta telah menjadi skandal umum, kebencian ramai, penghinaan selain perasaan malu ekoran penerbitan kata-kata tersebut.
Justeru itu plaintif memohon ganti rugi pampasan RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan injunksi selain faedah lapan peratus, kos serta relif-relif lain.

300,000 disekat keluar negara



KUALA LUMPUR 19 Mac – Jabatan Imigresen sedang memantau sejumlah 300,000 rakyat tempatan yang disenarai hitam oleh pelbagai agensi dan badan penguat kuasa di negara ini kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, individu-individu berkenaan didapati gagal menjelaskan cukai pendapatan, pinjaman pengajian tinggi, cukai akses kastam, diisytiharkan muflis serta dikehendaki kerana kes jenayah.
Katanya, berikutan kesalahan itu, kesemua individu terbabit tidak dibenarkan keluar dari sempadan negara sehingga disahkan bersih daripada senarai hitam.
“Senarai hitam terbabit kami perolehi hasil kerjasama daripada agensi-agensi yang terlibat seperti Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam Diraja Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara dan Jabatan Insolvensi Malaysia.
“Jika mana-mana individu yang telah disenaraihitamkan itu merancang untuk keluar dari negara ini, mereka perlu membuat rayuan kepada agensi-agensi terlibat yang kemudiannya akan mempertimbangkan rayuan terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rahman memberitahu, pihaknya hanya akan meluluskan kebenaran keluar negara hanya selepas mendapat pengesahan daripada agensi-agensi terlibat.
Katanya, individu yang dikehendaki kerana terlibat dengan jenayah pula akan diserahkan kepada pihak polis sekiranya mereka berjaya dikesan di semua pintu masuk negara.
“Pihak kami turut menerima senarai hitam individu yang dikehendaki di luar negara biasanya berkaitan dengan jenayah berat dan kesemua mereka ini disekat daripada masuk ke dalam negara.
“Bagaimanapun, kita menghadapi kesukaran mengesan warga asing yang dikehendaki ini sekiranya kebanyakan mereka menggunakan ‘laluan tikus’,” jelasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, setakat hari ini tiada keperluan bagi Jabatan Imigresen untuk memantau pergerakan keluar masuk Shamsuddin Che Derahman, 41, atau Shamsudin Ajaib.
Menurut Abdul Rahman, ini berikutan tiada laporan polis dibuat terhadap individu berkenaan.

Bayaran untuk dana politik



KUALA LUMPUR 19 Mac - Seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa pembayaran ke atas kelulusan 'calling visa' pekerja Bangladesh adalah untuk dana politik.
Ahli perniagaan, Datuk Zulkafli Maulud, 53, berkata, beliau mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan oleh Datuk Seri Low Chang Hian dan apa yang difahaminya, wang itu untuk seorang menteri.
Sebelum menyatakan wang itu untuk dana politik beliau juga menyebut ia sebagai sumbangan politik kepada orang yang sama.
Ditanya oleh peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Wahid dalam pemeriksaan balas sama ada beliau pernah berhubungan dengan adik ipar menteri terbabit yang dikenali sebagai Syed Abdullah, Zulkafli berkata: "Tidak pernah."
Pada perbicaraan lepas, seorang broker Burugabudeen Mohamed Ismail, 50, memberitahu bahawa Syed Abdullah pernah menerima wang daripadanya sebagai upah mempercepatkan permohonan 'calling visa' untuk pekerja asing pada 2008 dan ia adalah untuk dana politik.
Mengikut pertuduhan, Wahid, 57, didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada Chang Hian sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang off Jalan Duta pada pukul 10.15 malam, 10 Julai 2008.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama iaitu penjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.
Di awal prosiding, Zulkafli yang terlibat dalam perniagaan menyediakan pekerja, perkapalan dan senjata api memberitahu bahawa beliau telah direman selama lima hari bersama-sama Chang Hian dan seorang broker Abdul Jabbar Abdullah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin bersambung 29 dan 30 Mac. - BERNAMA

3 dikhuatiri lemas dalam dua kejadian



BESUT 19 Mac - Tiga remaja lelaki hari ini dikhuatiri lemas dalam kejadian berasingan di sini.
Ketua Polis Daerah Besut Supt. Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, polis menerima laporan mengenai dua kejadian tersebut masing-masing pada pukul 4.30 dan 5.15 petang tadi.
Beliau berkata, dalam kejadian pertama di pantai Beting Lintang, dekat sini, seorang remaja lelaki, Muhammad Ilyas Razali, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dipercayai lemas selepas dilaporkan dipukul ombak ketika sedang mencari remis bersama ibu dan sepupunya di pesisiran pantai itu.
"Akibat dipukul oleh ombak yang kuat, mangsa (Muhammad Ilyas) kemudiannya terjatuh dan seterusnya diheret ke tengah laut ekoran arus yang deras dan kemudiannya hilang," katanya ketika dihubungi di sini.
Kamaruddin berkata, ibu dan sepupu mangsa bagaimanapun sempat menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan.
Sementara itu, dalam kejadian kedua di pantai Bukit Keluang, kegembiraan tujuh sekawan dari Kelantan untuk menghabiskan cuti hujung minggu dengan bermandi-manda di pantai bertukar tragedi apabila dua daripadanya lemas.
Kamaruddin berkata, salah seorang daripada mangsa yang lemas telah ditemui iaitu Norhisham Mohd. Yaakub, 15, dari Pasir Puteh manakala seorang lagi mangsa yang masih belum diketahui identitinya belum dijumpai sehingga operasi mencari berakhir kira-kira 7 malam tadi berikutan cuaca gelap.
"Mereka datang dengan menaiki dua buah van untuk mandi-manda di pantai itu. Namun kesemua mereka telah dihanyutkan oleh ombak kuat ketika sedang mandi di pantai itu," katanya. - BERNAMA

Polis beri amaran jangan sertai perhimpunan di LTSM



KUALA TERENGGANU 19 Mac - Polis Terengganu hari ini memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini esok.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang permit untuk perhimpunan berkenaan yang dipercayai bertujuan menyampaikan memorandum bantahan berhubung isu royalti minyak membabitkan negeri-negeri di Pantai Timur.
Katanya, jika perhimpunan itu tetap berlangsung, ia dibuat secara haram dan bercanggah dengan Akta Polis 1967.
''Justeru, saya mengingatkan semua pihak bahawa polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menganjur atau mengambil bahagian dalam perhimpunan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini terdapat khabar angin yang mengatakan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat (Mampat) bercadang menghimpunkan seramai 10,000 orang bagi menyambut keberangkatan tiba Tuanku Mizan.
Ia bertujuan menyerahkan memorandum bantahan isu royalti minyak kepada baginda.

Sindiket pasport palsu Indonesia tumpas






Sakaruddin Che Mood (dua dari kanan) menunjukkan pasport palsu Indonesia yang dirampas pada sidang akhbar di Kajang, Selangor, semalam.



KAJANG 19 Mac - Polis melumpuhkan satu sindiket memproses dan menjual pasport Indonesia palsu yang dipercayai bergiat aktif di sekitar daerah ini dengan penahanan salah seorang anggotanya di Taming Jaya di sini semalam.
Dalam tangkapan kira-kira pukul 2.30 petang itu, suspek lelaki warga Indonesia yang berusia 35 tahun sebelum itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis peronda.
Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak mencampak sebuah beg dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, pemeriksaan ke atas beg suspek menemui 19 buku pasport Indonesia palsu.
"Suspek kemudian dibawa sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat yang tidak berpenghuni di kawasan yang sama dan menemui sebahagian peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit.
"Turut ditemui, enam buku pasport Indonesia palsu, 53 keping gambar saiz pasport individu, cop mohor Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen serta cop beberapa negeri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.
Menurut Sakaruddin, soal siasat terhadap suspek yang bertindak sebagai runner kepada sindiket itu mendapati pelanggan akan dikenakan bayaran sebanyak RM150 untuk membuat pasport palsu itu.
Beliau berkata, polis percaya rata-rata pelanggannya adalah pekerja warga Indonesia yang dipercayai memasuki negara kita secara haram.
"Mereka ingin memiliki pasport palsu ini untuk melepaskan diri sekiranya berdepan pemeriksaan rambang oleh pihak berkuasa. Pasport ini mereka tidak dapat gunakan untuk melepasi sempadan," jelas beliau.
Sakaruddin menambah, suspek kini ditahan reman selama 14 hari bagi disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1996.
"Polis sedang giat berusaha mengenal pasti dalang di sebalik sindiket terbabit," ujarnya.

Kanak-kanak 3 tahun mati dilanggar bapa saudara



KUANTAN 19 Mac - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Storm yang dipandu oleh bapa saudaranya di Kampung Perawas, Ulu Dong dekat Raub semalam.
Noraina Fazilah Mohd. Sabri meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Ulu Dong akibat mengalami cedera parah di kepala dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.10 petang.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian, bapa saudara mangsa, Shamzah Bahri Abdul Malik, 40, dikatakan ingin pulang selepas melihat orang memancing di kolam berdekatan kawasan itu.
"Shamzah dipercayai masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda itu tanpa menyedari mangsa yang juga anak saudaranya berada di hadapan kenderaan.
"Sebaik sahaja dia menghidupkan enjin kenderaan dan mula bergerak, orang ramai yang berada berhampiran ternampak kanak-kanak itu menjerit ke arahnya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Menyedari sesuatu buruk telah berlaku, Mohamed Fauzi berkata, Shamzah segera keluar dan melihat bahagian hadapan kenderaannya.
"Dia kemudian terkejut apabila mendapati secara tidak sengaja telah terlanggar anak saudaranya.
"Mangsa yang parah segera dibawa ke Klinik Kesihatan Ulu Dong untuk menerima rawatan. Namun, dia disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sana," katanya.
Berikutan kemalangan itu, kata beliau, polis kini sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Anak anggota polis terbunuh





BUTTERWORTH 19 Mac - Lagi kemalangan maut gara-gara lori rosak yang diletakkan di tepi jalan. Kali ini membabitkan seorang anak anggota polis yang terbunuh selepas motosikal yang dinaikinya dirempuh dari belakang ketika cuba mengelak lori rosak di Kilometer 127, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Bertam arah selatan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, Dzul Mohamad, 27, maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dilanggar sebuah kereta.
Pemandu kereta itu bagaimanapun melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah untuk ke tempat kerjanya di Perai.
Katanya, mangsa merupakan anak kepada seorang anggota polis yang bertugas di Sungai Petani.
"Siasatan awal mendapati, mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh ketika cuba mengelak lori berkenaan sebelum dirempuh kereta dari arah belakang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, pemandu kereta yang melanggar mangsa melarikan diri dan polis sedang mengesannya bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Zulkifli memberitahu, lori treler tersebut yang dalam perjalanan dari Alor Setar ke Pulau Pinang mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan lebuh raya itu.
Polis, kata beliau, sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sehubungan itu, kita meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan laporan khas mengenai siri kejadian lori rosak yang menjadi 'perangkap maut' sehingga mengorbankan ramai nyawa terutamanya di lebuh raya.
Bulan lalu sahaja, sembilan orang menemui maut di Lebuh Raya Utara Selatan gara-gara terlanggar lori-lori yang diletakkan di tepi lebuh raya.

Menti didakwa bersubahat bunuh bayi



Menti Buda


KUCHING 19 Mac - Seorang pelayan restoran didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan bersubahat membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya pada awal bulan ini. Menti Buda,(gambar) 23, berasal dari Simunjan dekat sini yang bergari tangannya kelihatan tenang sewaktu mendengar pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Menti didakwa bersubahat dengan teman lelakinya yang masih bebas untuk membunuh bayi perempuan tersebut dengan membuangnya ke dalam longkang depan sebuah restoran di Stutong, di sini.
Kejadian itu didakwa dilakukan antara pukul 12.30 tengah malam dan 2.30 pagi, 3 Mac lalu.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Majistret Portia Tham Ong menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Tham Ong turut mengarahkan Menti yang tidak diwakili peguam bela dihantar ke Hospital Sentosa di sini untuk pemerhatian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azizah Hassan.
Dalam kejadian pada 3 Mac lalu, dua kanak-kanak berusia 13 tahun terkejut apabila menemui mayat seorang bayi di dalam longkang.
Mayat berkenaan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui ekoran terdapat kesan darah baru pada pusat bayi malang itu.
Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

Tel Aviv didesak henti bina penempatan haram



Remaja Palestin lari mencari perlindungan setelah askar Israel melemparkan gas pemedih mata dalam pertempuran dekat khemah pelarian Qalandia di tebing barat, semalam. Penduduk Palestin terus mengadakan bantahan berikutan tindakan rejim zionis meneruskan pembinaan penempatan haram di wilayah palestin. – AFP


MOSCOW 19 Mac – Kuartet Asia Barat hari ini mendesak Israel menghentikan pembinaan penempatan haram dan meletakkan sasaran dalam perjanjian akhir dengan penduduk Palestin dalam masa dua tahun.
Pengumuman Israel berhubung pembinaan 1,600 kediaman pendatang haram Yahudi menyebabkan pihak Palestin menangguhkan rundingan damai dan mencetuskan krisis hubungan Amerika Syarikat (AS)-Israel terburuk sejak sekian lama.
“Kuartet mendesak kerajaan Israel menghentikan semua aktiviti penempatan haram,” tegas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon selepas pertemuan dengan anggota Kuartet iaitu AS, PBB, Kesatuan Eropah dan Rusia.
Kata beliau, mesyuarat yang dipengerusikan Moscow itu sebulat suara menuntut Israel menghentikan perkembangan semula jadi, merobohkan semua pos kawalan yang didirikan sejak Mac 2001 dan menghentikan pemusnahan dan pengusiran di timur Baitulmaqdis.
Timur Baitulmaqdis adalah kawasan Arab di kota suci itu yang dijajah Israel selepas perang 1967.
“Kuartet menegaskan bahawa tindakan unilateral oleh kedua-dua pihak tidak boleh memberi kesan kepada hasil rundingan dan tidak akan diiktiraf masyarakat antarabangsa,” ujar Ki-moon.
Dengan proses damai yang terbantut, Kuartet menuntut Israel dan Palestin menyambung semula rundingan berhubung isu-isu akhir dengan sasaran mencapai persetujuan dalam masa 24 bulan.
Ki-moon menegaskan bahawa persetujuan itu akan menamatkan ‘penjajahan sejak 1967 dan menghasilkan negara Palestin yang bebas, demokrasi dan berdaya maju yang wujud seiring dengan damai dan selamat di sebelah Israel dan jiran-jirannya yang lain.
Pemilihan masa pengumuman penempatan itu menyebabkan Washington yang merupakan sekutu kuat Israel sendiri, berang kerana ia dibuat ketika Naib Presiden, Joe Biden mealwat negara itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menghubungi Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton lewat semalam berikutan panggilan telefon minggu lalu yang mana Hillary meminta Netanyahu menghentikan rancangan pembinaan tersebut.
Clinton hari ini menyifatkan hubungan AS-Israel sebagai ‘mendalam dan luas, kuat dan tahan lasak’.
Beliau bagaimanapun menyatakan AS menyokong seruan Kuartet agar aktiviti penempatan dihentikan.
Ketua perunding Palestin, Saeb Erakat menyambut baik tindakan Kuartet, namun meminta diadakan mekanisme ‘agar Israel benar-benar menghentikan semua aktiviti penempatan di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis’. – AFP

Israel serang Genting Gaza



Penduduk palestin memeriksa kediaman mereka yang rosak akibat serangan udara israel di bandar rafah, selatan Gaza, semalam. - AFP


BAITULMAQDIS 19 Mac - Serangan udara yang dilancarkan tentera Israel ke atas Genting Gaza bagi membalas serangan roket pejuang Palestin menimbulkan keadaan cemas pada perbincangan antarabangsa mengenai Asia Barat di Moscow, hari ini.
Ketegangan juga dilihat memuncak di Baitulmaqdis, di mana beribu-ribu anggota polis Israel bersiap-sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya pertempuran baru di kawasan itu serta di sekitar Old City.
Pihak berkuasa mengenakan sekatan ke atas penduduk Islam Palestin ketika solat Jumaat hari ini di kawasan Masjid al-Aqsa.
Di Gaza, pesawat Israel melancarkan serangan awal pagi dengan sasaran ke atas enam 'tempat pengacau' termasuk tempat kemudahan pembuatan senjata dan dua terowong yang dibina Israel untuk tenteranya menyusup ketika serangan.
Namun, tiada kecederaan dilaporkan.
Seorang pekerja buruh Thailand di perkampungan Israel berhampiran sempadan terbunuh semalam dalam serangan roket yang dilancar dari Gaza.
Pasukan Ansar al-Sunna yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda, didakwa bertanggungjawab ke atas serangan roket ke wilayah Israel, dikatakan turut terlibat menimbulkan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis Israel di Baitulmaqdis awal minggu ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, yang dijadualkan melawat kawasan itu termasuk Gaza minggu ini, mengutuk serangan berkenaan dan berkata tindakan itu tidak boleh diterima serta bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Selain itu, Ketua Hal Ehwal Luar, Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton memberitahu wartawan, beliau 'amat terkejut' dengan serangan roket berkenaan yang dilancarkan ketika dia sedang melawat kawasan miskin Genting Gaza.
Usaha diplomatik terus dijalankan di tengah-tengah ketegangan agama dan politik yang menyaksikan beratus-ratus orang cedera dalam pertempuran antara penduduk Palestin dan polis di timur baitulmaqdis pada Selasa lalu.
Jurucakap polis Israel berkata, beribu-ribu anggota diletakkan di kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga dan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50 tahun dihalang memasuki kawasan Masjid al-Aqsa. - AFP

Laporan polis terhadap Wan Hashim



Abdul Halim Hamad (tengah) bersama Mohamed Safarudin Ismail (kiri) dan Tuan Shahrizam Tuan Hamzah menunjukkan laporan polis di balai polis Kota Bharu, Kota Bharu, semalam. - utusan/Azran Fitri Rahim


KOTA BHARU 19 Mac - Krisis Istana Kelantan menjadi semakin rumit, apabila tiga laporan polis dibuat di Balai Polis Kota Bharu, di sini, hari ini.
Dua daripada laporan itu berkaitan kenyataan media yang diedarkan semalam oleh Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, manakala satu lagi membabitkan penulis blogKickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz.
Pegawai-pegawai yang membuat laporan polis tersebut ialah Pegawai Tadbir Perhubungan Awam dan Media Istana Kelantan, Tuan Shahrizam Tuan Hamzah dan Pegawai Tadbir Khidmat Pengurusan Istana Kelantan, Mohamed Safarudin Ismail.
Mereka diketuai oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad. Mengenai laporan pertama, Abdul Halim berkata, ia berkaitan Wan Hashim yang mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Sulit Sultan.
Katanya, mengikut perjawatan di Pejabat Sultan, jawatan itu harus diisi oleh pegawai tadbir negeri dengan gred N48 melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).
"Saya mendapati tidak ada dokumen yang menyatakan pelantikan telah dibuat oleh SPN atau mana-mana pihak berautoriti, oleh itu tindakan mengaku sebagai Setiausaha Sulit Sultan boleh dianggap sebagai menyamar dan tidak sepatutnya dilakukan," katanya.
Beliau berkata, jawatan Setiausaha Sulit Sultan kosong sejak Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra gering apabila penyandang sebelum ini Engku Rajhan Engku Ismail ditukarkan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Semalam, Wan Hashim mengedarkan kenyataan mengenai titah Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang membatalkan kesemua perayaan dan penganugerahan sempena Hari Keputeraan Baginda yang Ke-60 pada 30 Mac ini.
Kenyataan empat perenggan yang ditandatangani Wan Hashim itu diedarkan kepada media pada sidang akhbar di pekarangan Istana Mahkota petang semalam. Beliau adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri.
Abdul Halim berkata, beliau hanya menyedari dakwaan Wan Hashim itu selepas menerima kenyataan akhbar yang diletakkan di kenderaan rasminya ketika tiba di pejabat hari ini.
Beliau berkata, laporan polis kedua pula berkaitan penggunaan kepala surat Pejabat Istana Kelantan pada kenyataan akhbar tersebut.
"Sebagai ketua dan pegawai pengawal Pejabat Sultan, saya berasa bertanggungjawab untuk menjaga kepala surat rasmi itu supaya tidak digunakan oleh mana-mana pihak tanpa mendapat kebenaran saya atau Pemangku Raja.
"Disebabkan itu, saya sendiri membuat laporan polis kedua supaya pihak polis menjalankan siasatan terhadap penyalahgunaan kepala surat berkenaan," katanya.
Sementara itu, katanya, Tuan Shahrizam telah membuat laporan polis terhadap penulisKickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz kerana tulisannya bertajuk Usaha menabalkan Sultan Kelantan yang baru dalam proses dalam entri terbarunya.
Abdul Halim berkata, tulisan berkenaan boleh mengelirukan rakyat, oleh itu ia perlu disiasat dan diperbetulkan demi menjaga nama baik institusi kesultanan Melayu Kelantan.