Search This Blog

Friday, March 19, 2010

Skandal seks gereja cabaran Jerman



Gambar fail bertarikh 13 Sept., 2006 merakamkan Pope Benedict XVI (kanan) diiringi adiknya Paderi Georg Ratzinger semasa lawatan ke Regensburg, selatan Jerman. - AP


BERLIN 18 Mac - Canselor Jerman, Angela Merkel menyifatkan skandal penderaan seks yang menyelubungi gereja Katolik di wilayah pentadbiran Pope Benedict XVI, sebagai suatu cabaran utama kepada masyarakat negara ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa satu-satunya cara supaya masyarakat boleh menerimanya adalah dengan 'mengetahui segala yang berlaku'.
Merkel membuat kenyataan itu di Parlimen, semalam ekoran peningkatan kemarahan gereja Roman Katolik Jerman yang mengesa supaya Pope Benedict mengulas skandal tersebut, yang melibatkan lebih 300 pelajar Katolik mendakwa telah didera secara seksual.
Beliau menegaskan bahawa adalah penting untuk tidak menyalahkan sesiapa, walaupun gereja Katolik dilihat sebagai punca utama dalam skandal ini.
"Saya rasa kita semua bersetuju bahawa penderaan seksual terhadap kanak-kanak tidak boleh diterima dan satu-satunya cara supaya masyarakat boleh menerimanya ialah dengan mengetahui kebenaran dan segala yang berlaku.
"Penderitaan yang dialami oleh mangsa tidak mungkin dapat dipulihkan," kata Merkel.
Sejak beberapa minggu lalu, mangsa-mangsa dari Bavarian Alps hingga ke utara Rhineland setiap hari muncul seorang demi seorang membuat aduan telah didera secara seksual oleh paderi, termasuk di sekolah lelaki Regensburger Domspatzen yang dipimpin oleh adik Pope, Rev. Georg Ratzinger.
"Jangan mengambil mudah masalah ini. Kami perlu berbincang tentang isu sensitif ini dan boleh menawarkan pemberian pampasan kepada mangsa, tetapi masalah utamanya, ia adalah cabaran utama kepada masyarakat Jerman," tambahnya. - AP

Peminat kecewa Sofia bergambar dengan anjing



GAMBAR Sofia bermain dengan anjing yang tersebar di Internet telah menimbulkan kemarahan peminatnya.


KUALA LUMPUR - Gambar pelakon drama terkenal, Sharifah Sofia Syed Hussein yang lebih dikenali sebagai Sofia bersama dua ekor anjing di laman sosial Internet baru-baru ini menimbulkan rasa kurang senang peminat-peminatnya.
Gambar yang dimuat turun oleh Sofia sendiri dalam laman blog miliknya sejak Mei tahun lalu mendapat pelbagai reaksi negatif daripada khalayak khususnya masyarakat Islam.
Salah seorang peminatnya, Siti Nazariah Isa, 20, berkata, sebagai selebriti Sofia tidak sepatutnya mendedahkan gambar tersebut untuk tatapan umum kerana ia boleh menimbulkan perasaan marah terhadapnya.

Saksi kira wang sepanjang bicara


KUALA LUMPUR 18 Mac – Prosiding kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don di Mahkamah Sesyen di sini hari ini melibatkan pengiraan wang tunai hampir RM200,000 secara manual oleh seorang saksi pendakwaan.
Ahli perniagaan, Datuk Zulkafli Maulud, 53, memulakan pengiraan seawal pukul 9 pagi hingga pukul 4.40 petang dan selain mengira, beliau juga perlu membuat perbandingan nombor siri setiap wang itu dengan beberapa dokumen bagi mengesahkan bahawa wang tersebut adalah milik Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Zulkafli, saksi pendakwa ke-21 bagaimanapun dibenarkan berehat seketika sepanjang proses pengiraan itu.
Wang tunai yang dikira itu merupakan sebahagian daripada wang tunai berjumlah RM256,400 yang digunakan oleh Zulkafli untuk diserahkan kepada Datuk Seri Low Chang Hian sebagai upah meluluskan calling visa berjumlah 4,337 pekerja.
Mengikut pertuduhan Wahid, 57, didakwa menerima rasuah sebanyak RM60,000 daripada Chang Hian, juga seorang ahli perniagaan, pada 19 Ogos tahun lepas, sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.
Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang off Jalan Duta, di sini pada pukul 10.15 malam, 10 Julai 2008.
Kes yang dibicarakan di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin ini bersambung esok dan Zulkafli akan meneruskan pengiraan. – BERNAMA

Keputusan bebaskan Ramli kekal


KOTA KINABALU 18 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan yang melepas dan membebaskan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff (gambar) daripada tuduhan salah guna kuasa tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian semasa menolak rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah meneliti semua hujah yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen.
''Selepas meneliti hujah-hujah dalam keputusan sebelum ini saya dapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak salah, oleh itu rayuan ditolak,'' katanya dalam penghakimannya.
Pada 27 Julai tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini telah melepas dan membebaskan Ramli setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Ramli, 57, yang memakai suit hitam kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum di luar mahkamah, diwakili peguam James Tsai manakala SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Bache.
Sebelum ini, dia dituduh menyalahguna kuasanya sebagai Pengarah JSJK Bukit Aman untuk perolehan kewangan dengan mengeluarkan arahan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ Polis Diraja Malaysia untuk membawanya meninjau tanah di Ulu Tungku, Lahad Datu.
Ramli didakwa memiliki kepentingan dalam syarikat Kinsajaya Sdn. Bhd. yang dikatakan mempunyai pelaburan di tanah berkenaan.
Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 7.50 pagi, 15 Jun 2007 di Pangkalan Unit Udara Polis Tanjung Aru, di sini.
Tuduhan itu adalah yang keempat terhadapnya dengan tiga tuduhan sebelum ini ialah gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai lebih RM1 juta dan pemilikan saham.
Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskannya pada Jumaat lalu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang kes prima facie.

Bekas Pengarah Perhutanan Kedah didakwa lagi tuduhan rasuah


KUALA LUMPUR 18 Mac - Selepas menghadapi dakwaan rasuah RM5,000 di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah dua minggu lalu, bekas Pengarah Perhutanan Negeri Kedah sekali lagi didakwa atas tuduhan menerima rasuah RM20,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kasim Osman, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah.
Lelaki itu didakwa bersetuju menerima suapan RM20,000 daripada Yee Gan Sing sebagai dorongan untuk membantu dan meluluskan permohonan syarikat pembalakan, AK Millenium Enterprise untuk menarik balik tender pembalakan di Kompartmen 71-A Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik yang disertai syarikat itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik No. 1810 Hotel Grand Seasons di No. 72, Jalan Pahang di sini antara pukul 12 tengah hari dan 12.45 tengah hari, 16 Julai tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Fadhilah Awang menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 memandangkan jumlah suapan yang terlibat adalah besar.
Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili tertuduh, Mohd. Firuz Jaffril membantah dan memohon jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar diambil kira.
Menurut beliau, pada 2 Mac lalu, Hakim Khairul Anuar Abd. Halim membenarkan anak guamnya diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dibicarakan bersama kes terdahulu pada 10 dan 11 Mei ini.
Komathy tidak menetapkan sebarang jaminan dan membenarkan kes tersebut dipindahkan seperti yang dipohon oleh peguam itu.
Di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kasim didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada individu yang sama dan untuk tujuan yang serupa di pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Bangunan Sultan Abdul Halim, Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar, Kedah.

Warga Republik Chech didakwa cuba tipu peniaga


KLANG 18 Mac - Seorang warganegara Republik Chech dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba menipu peniaga minyak dengan menjual cek bernilai RM480 juta pada harga RM336 juta pada bulan lalu.
Antonin Posposil, 68, mengaku tidak bersalah cuba menipu V. Mahendren, 31, untuk mempercayai bahawa cek bernilai RM480 juta dijual dengan harga RM336 juta.
Posposil didakwa melakukan perbuatan itu di No. 19, Jalan Mata Kucing, Telok Gadong, dekat sini pada pukul 11.30 petang, 22 Februari lalu.
Hakim Datuk Anita Harun menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula bagi membolehkan tertuduh melantik peguam serta penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, warga emas itu boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.
Nurul Maisarah menawarkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin rakyat tempatan serta memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Anita membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.
Beliau turut menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula bagi membolehkan tertuduh melantik peguam serta penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Wanita hamil dituduh bunuh ibu saudara

ZURIANA Ismail yang mengandung tujuh bulan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Tumpat, semalam, selepas menghadapi tuduhan membunuh ibu saudaranya.

TUMPAT 18 Mac - "Sampaikan salam dan minta dia (suami) tunggu saya. Itu pesan seorang wanita hamil tujuh bulan kepada sepupunya selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu saudaranya awal bulan ini.

Pesanan itu disampaikan oleh Zuriana Ismail, 26, ketika dalam van polis sebelum dibawa ke penjara selepas mendapati suami dan dua anaknya yang berusia lapan serta empat tahun tidak kelihatan di mahkamah di saat-saat dia menghadapi pertuduhan tersebut.

Hanya sepupu tertuduh yang enggan dikenali itu hadir untuk mendengar sebutan kes berkenaan.

Ibu muda itu yang dijangka melahirkan anak ketiganya pada 30 April ini kelihatan tenang ketika dihadapkan ke mahkamah.

Dia yang memakai tudung coklat dan pakaian penjara berwarna oren dilihat mengangguk tanda faham bila tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

Mengikut kertas pertuduhan, Zuriana dituduh membunuh Siti Bidah Ismail, 56, antara kira-kira pukul 12.01 tengah malam dan 5.30 pagi, 4 Mac lalu di Taman Harmoni, Kampung Berangan di sini.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azimah Yaacob memohon tarikh sebutan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia daripada pihak hospital.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada 5 Mac lepas, Utusan Malaysia melaporkan seorang wanita yang merupakan ibu tunggal ditemui mati dipercayai dibunuh dengan menggunakan senjata tumpul selepas disamun di rumahnya di Taman Harmoni, Kampung Berangan dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim dilaporkan berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di belakang kepala setelah dipukul dengan senjata tumpul.

Isteri suspek buat dua laporan polis


PETALING JAYA 18 Mac - Isteri kepada suspek yang kini ditahan polis kerana dipercayai mendera sehingga mati seorang kanak-kanak, K. Hareswarral hari ini membuat dua laporan polis membabitkan ibu kanak-kanak itu.
S. Kaliyammal, 28, membuat laporan itu di Balai Polis Damansara di sini kira-kira pukul 2 petang ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh suri rumah terbabit.

Rumah terbakar, budak maut


PADANG BESAR 18 Mac - Jeritannya dapat didengar ahli keluarganya yang lain. Namun ketika pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkannya, kanak-kanak malang yang baru berusia tiga tahun itu menemui ajal setelah terperangkap dalam bilik yang terbakar.
Dalam kejadian di Kampung Bukit Keteri, Jalan Stesen Keretapi itu, Nor Shamimi Mohd. Shahril Ani (gambar), maut dan mayatnya ditemui tidak lama selepas api berjaya dipadamkan.
Nor Shamimi tidak dapat diselamatkan oleh ahli keluarganya kerana api marak terlalu cepat dalam kebakaran kira-kira pukul 11.15 malam tadi yang puncanya masih belum diketahui.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros memberitahu, datuk mangsa, Ghazali Ismail, 49, dan neneknya, Saripah Kassim, 53, cedera ringan ketika cuba menyelamatkan cucu sulung mereka itu.
"Ketika kejadian, bapa kanak-kanak tersebut, Mohd. Shahril Ani Amin, 30, yang baru pulang dari tempat kerja berada di dapur untuk makan malam bersama isterinya, Suzana Ghazali, 27.
"Mereka kemudian dikejutkan dengan bunyi bising. Api marak terlalu cepat sehingga kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan. Mayat Nor Shamimi dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk bedah siasat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kebakaran itu hanya melibatkan bilik tidur mangsa.
Ditanya mengenai punca kebakaran, beliau berkata, ia masih dalam siasatan dan pihaknya percaya ia tidak mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat.