Search This Blog

Loading...

Thursday, March 18, 2010

Siemens, Nokia dituduh bantu Iran



PARIS 17 Mac - Pemenang Nobel Keamanan, Shirin Ebadi semalam menuduh gergasi kejuruteraan Jerman, Siemens dan syarikat telekomunikasi Finland, Nokia membekalkan Iran teknologi membantu kerajaan negara itu menumpaskan penentang tempatan.
Bercakap kepada radio Kebudayaan Perancis, pejuang hak asasi wanita Iran yang hidup dalam buangan dan pemenang Nobel Keamanan 2003 ini berkata, syarikat Barat melemahkan pembangkang dengan akur kepada peraturan rejim Teheran dan mengesa supaya sekatan ekonomi antarabangsa dikenakan.
"Malangnya, banyak syarikat menyokong kerajaan Iran dalam penindasan dan penapisan media yang dilakukan negara itu.
"Siemens dan Nokia jelas dilihat membantu Iran apabila menghantar perisian dan teknologi yang boleh digunakan untuk memantau panggilan telefon bimbit dan penghantaran mesej," katanya.
Awal bulan ini, syarikat rangkaian bersama, Nokia Siemens Networks (NSN) bertegas bahawa sistem yang dijual kepada Teheran pada 2008 tidak berupaya untuk mengganggu atau melakukan risikan dalam Internet.
Nokia semasa menjawab tuduhan terbaru Shirin bertegas bahawa, sokongan rangkaian dari teknologinya adalah berlandaskan tujuan menggalakkan kebebasan bersuara.
"Kami sebagai syarikat sama sekali tidak membenarkan penyalahgunaan peralatan komunikasi," kata jurucakap Nokia Siemens Network, Riitta Maard kepada AFP.
"Kami percaya teknologi telefon bimbit dan komunikasi memainkan peranan penting dalam membangunkan masyarakat dan majukan demokrasi," katanya.
Shirin yang menjadikan kontrak itu sebagai bukti turut hairan mengapa kerajaan Barat tidak serius tentang ancaman mereka mengenakan sekatan ekonomi baru ke atas Iran.
Bulan lalu, Parlimen Eropah turut membincangkan berhubung resolusi NSN dengan Iran dan dengan tegas mengutuk syarikat antarabangsa terutamanya Nokia Siemens kerana memberi pihak berkuasa negara itu perisian yang diperlukan untuk penapisan dan pengawasan. - AFP

Haiti perlukan dana AS$11.5b



PORT-AU-PRINCE 17 Mac - Haiti semalam membentangkan pelan pembinaan semula besar-besaran dan menyatakan sebanyak AS$11.5 bilion (RM40.25 bilion) akan diperlukan untuk membantu membina semula negara itu yang musnah akibat gempa bumi Januari lalu.
Disediakan oleh kerajaan Haiti dengan bantuan masyarakat antarabangsa, pelan Penilaian Awal Kemusnahan dan Keperluan (PDNA) itu akan merangkumi rangka perbincangan di persidangan penderma besar-besaran di New York pada 31 Mac ini.
Pelan itu yang disiarkan di Internet, adalah melangkaui keutamaan segera pembinaan semula akibat bencana gempa berdasarkan cabaran ekonomi dan kerajaan yang dihadapi Haiti sekiranya ia mahu menjadi sebuah negara yang berfungsi sepenuhnya.
"Ini adalah sebuah proses dan ia bukan merupakan dokumen akhir. Ia mewakili sebuah visi yang akan sentiasa dibangunkan untuk tiba di versi terakhir," kata Menteri Pelancongan, Patrick Delatour kepada AFP.
Ia dibuat lebih dua bulan selepas gempa bumi melanda pada 12 Januari lalu, yang memusnahkan sebahagian besar Port-Au-Prince dan bandar-bandar sekitarnya termasuk perkampungan selain meragut lebih 220,000 nyawa.
Sebuah versi PDNA, yang diberikan semalam kepada 28 delegasi daripada negara-negara dan organisasi yang berkumpul di ibu negara Republik Dominica, Santo Domingo untuk persediaan persidangan kemuncak yang akan diadakan di New York bagaimanapun menyebut jumlah kematian adalah seramai 222,570.
"Gempa bumi itu telah mengakibatkan satu keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dikukuhkan dengan fakta bahawa ia melanda wilayah yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai termasuk pusat pentadbiran dan ekonomi negara itu," kata penilaian itu.
Disusun dengan bantuan seramai 250 penduduk Haiti dan pakar antarabangsa, kajian itu meletakkan jumlah keseluruhan kerugian akibat gempa yang mencatat 7.0 skala richter itu sebanyak AS7.9 bilion (RM27.6 bilion) atau 120 peratus daripada perolehan produk domestik Haiti.
Lebih daripada 70 peratus jumlah kerugian itu dikekalkan oleh sektor swasta dan kemusnahan bernilai AS$4.4 bilion (RM14.5 bilion) adalah di sekolah-sekolah, hospital, jalan raya, jambatan, bangunan, pelabuhan dan lapangan terbang.
"Jumlah keseluruhan wang yang diperlukan ialah AS$11.5 bilion (RM40.25 bilion) dan dipecahkan kepada: 50 peratus untuk sektor sosial, 17 peratus untuk infrastruktur termasuk perumahan dan 15 peratus untuk pengurusan alam sekitar dan risiko bencana," menurut dokumen itu.
Delatour menegaskan bahawa AS$11.5 bilion (RM40.25 bilion) iaitu jumlah yang dibuat oleh pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia merupakan statistik anggaran untuk kos keseluruhan pembinaan semula antara AS$8 bilion (RM26.4 bilion) dan AS$14 bilion (RM46.2 bilion). - AFP

Pendakwa raya mahu konco Noordin Mat Top dipenjara 10 tahun



JAKARTA 17 Mac - Pihak pendakwaan Indonesia hari ini mencadangkan hukuman penjara 10 tahun untuk seorang lelaki yang dituduh melindungi perancang pengganas, Noordin Mat Top.
Syaifudin Zuhri , 39, dibicarakan berikutan penglibatannya yang melindungi dan bersubahat dengan Noordin ketika anggota militan itu merancang dua serangan nekad di hotel-hotel mewah Jakarta tahun lalu yang mengorbankan tujuh nyawa.
"Kami mencadangkan hukuman penjara 10 tahun untuk Syaifudin. Dia telah dibuktikan daripada segi undang-undang dan didapati bersalah melindungi serta membantu Noordin," kata pendakwa Totok Bambang kepada mahkamah daerah Jakarta Selatan.
Noordin yang dilahirkan di Malaysia, mengetuai satu serpihan jaringan Jemaah Islamiah (JI) Asia tenggara dan merupakan individu paling dikehendaki di rantau tersebut sehingga dia dibunuh oleh polis Indonesia September tahun lalu.
Totok berkata, Syaifudin merupakan kawan baik serta rakan subahat Noordin, malah dia turut menjadi saksi bagi perkahwinan ketiga Noordin pada 2006.
Dia ditahan di Jawa Tengah sebulan sebelum serangan hotel tersebut.
Perbicaraan terhadapnya akan disambung Rabu depan. - AFP

Wartawan hiburan sepakat buat laporan polis



WARTAWAN-wartawan hiburan dan jurugambar membuat laporan polis berikutan sebuah laman facebook yang mengutuk dan menghina pihak media bertajuk, All Entertainment Reporters In Malaysia Sucks di IPD Brickfields, semalam.


KUALA LUMPUR 17 Mac - Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham) serta 11 wartawan hiburan daripada pelbagai media hari ini membuat dua laporan polis terhadap satu akaun laman sosial, Facebook, yang dianggap menghina golongan itu.
Presidennya, Fauziah Raof (gambar)berkata, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Travers pada pukul 2 petang manakala wartawan dan jurugambar itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, pada pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, tindakan tersebut dibuat bagi meminta pihak berkuasa menyiasat akaun laman sosial berkenaan yang bertajuk 'Semua Wartawan Hiburan Malaysia Teruk'.
Tambahnya, pihak persatuan juga tidak akan teragak-agak untuk mengheret ke mahkamah jika individu tersebut meneruskan aktivitinya.
"Persatuan tidak menolak kemungkinan akaun tersebut diwujudkan oleh artis sendiri yang tidak berpuas hati dengan wartawan hiburan tempatan.
"Ini kerana kita berpendapat hanya artis sahaja mengenali wartawan hiburan tempatan," katanya pada sidang akhbar di sebuah restoran di Bangsar, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan tindakan itu bukanlah bermakna wartawan hiburan cepat melenting tetapi perbuatan tersebut dianggap melampau.
"Selama ini pun perbuatan menghina wartawan pernah berlaku tetapi kami mengambil keputusan untuk mendiamkan diri.
"Tetapi komen-komen yang dilontarkan dalam laman itu bersifat peribadi dan boleh menjatuhkan maruah wartawan," jelasnya.
Dalam akaun laman sosial itu, beberapa wartawan hiburan tanah air telah dihina dan dicerca secara teruk dengan menggunakan perkataan yang kesat.
Wartawan Melodi yang turut disiarkan gambarnya, Zamzuri Ayau Zaini berkata, gambar mereka dicuri oleh pengendali laman tersebut dan dijadikan sebagai bahan gurauan untuk peminat laman sosial itu.
"Apabila kami mendapat tahu perkara tersebut Isnin lalu, beberapa wartawan yang dihina di dalam laman itu sepakat untuk membuat laporan polis.
"Kami amat kecewa dan malu sekali apabila gambar kami dijadikan bahan gurauan dan ejekan oleh pengendali laman tidak bertanggungjawab itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfileds di sini hari ini.
Sementara itu, wartawan hiburan Diva@1, Siti Nor Hafiza Kamarudin berkata, sebanyak 15 keping gambarnya dicuri oleh pengendali laman tersebut untuk tujuan tidak bermoral tersebut.
"Saya mengharapkan polis boleh mengeluarkan arahan agar laman tersebut disekat secepat mungkin.
"Saya rasa pengendali tersebut berbuat demikian semata-mata untuk menjatuhkan nama, maruah dan reputasi wartawan hiburan," katanya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi hari ini mengesahkan telah menerima laporan tersebut.

Kegiatan gay: Polis bidas pihak tertentu



PULAU PINANG 17 Mac - Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob hari ini membidas sikap pihak tertentu yang gagal bertindak sehingga wujudnya kegiatan penawaran khidmat seks bagi golongan gay di negeri ini.
Beliau yang kesal dengan perkara itu berkata, seharusnya pihak terbabit memeriksa semua premis secara berkala dan bukannya bertindak hanya selepas sesuatu operasi polis.
"Polis sudah memainkan peranan mereka, maka pihak lain juga harus berbuat demikian," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai beberapa premis di negeri ini yang didakwa menawarkan perkhidmatan seks bagi golongan gay dengan berselindung di sebalik operasi pusat kesihatan dan kecergasan.
Ayub menegaskan, pihaknya akan terus melakukan pemantauan ke atas lima premis yang didakwa menawarkan perkhidmatan seumpama itu bagi membendung gejala negatif daripada terus berlaku.
Katanya, serbuan yang dilakukan polis di pusat-pusat terbabit mendapat maklum balas baik daripada orang ramai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat memberikan lesen mengikut keperluan sahaja kerana sudah terlalu banyak pusat seumpama itu, malah yang beroperasi tanpa lesen pun ada.
"Dan bagi tujuan jangka panjang pula, cuba wujudkan zon-zon tertentu bagi menempatkan premis-premis begitu di kawasan sama supaya kerja penguatkuasaan dan pemantauan dapat dijalankan dengan lancar," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Rafiah Mohd. Radzi meminta pihak polis menyalurkan maklumat terperinci berhubung masalah itu.
"Kami harap pihak polis dapat memberi cadangan kepada MPPP premis yang mana perlu diambil tindakan, tidak perlu diperbaharui lesen dan sebagainya, kami sentiasa akan memberi kerjasama kepada semua pihak termasuk polis," katanya.

Polis tahan lelaki Myanmar, rampas heroin RM125,000



SUNGAI PETANI 17 Mac - Seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di negeri ini berjaya ditahan dekat Bandar Laguna Merbok di sini malam tadi.
Turut dirampas daripada suspek adalah beberapa peket dadah jenis heroin seberat 3,150 gram dengan nilai pasaran RM125,000 dan 1,200 biji pil khayal.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam selepas sepasukan polis terserempak dengan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua lelaki di Plaza Tol Sungai Lalang di sini.
Ketika menghampiri dua suspek berusia 26 dan 30-an itu, mereka memecut laju.
"Kereta peronda polis mengejarnya sehingga kereta Proton Waja tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik di tepi jalan," katanya di sini hari ini.
Menurut Hashim, dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang daripada suspek berkenaan melarikan diri ke dalam belukar.
Bagaimanapun, katanya, polis dengan bantuan orang awam berjaya menahan seorang lagi suspek.
"Suspek yang mengalami kecederaan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sementara gerakan mencari rakannya dengan bantuan Unit Anjing Pengesan gagal," katanya.
Beliau memberitahu, pemeriksaan di dalam kereta itu menemui beberapa peket heroin dan pil dipercayai untuk diproses sebelum diedar ke pasaran.
"Dadah dijumpai itu merupakan heroin mentah yang belum diproses. Kita percaya ia dibawa untuk menjalani proses pembungkusan di lokasi lain sebelum diagihkan kepada pembeli," katanya.
Tambah Hashim, polis menyiasat kemungkinan terdapat dalang dalam kegiatan kedua-dua suspek.
"Kita juga akan memanggil pemilik kenderaan yang digunakan oleh suspek untuk siasatan lanjut," katanya.
Katanya, suspek berusia 26 tahun itu kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Bapa ayam tua ditahan





KUANTAN 17 Mac - Kegiatan seorang peniaga berusia 74 tahun yang menjadikan kedai runcitnya sebagai pusat pelacuran terbongkar apabila polis menyerbu premis itu di Jalan Wang Ah Jang di sini malam tadi.
Dalam serbuan pukul 10 malam itu, polis menahan 'bapa ayam' terbabit bersama dua wanita dipercayai pelacur berusia 23 dan 36 tahun bersama pelanggan masing-masing yang merupakan warga Nepal dan Myanmar berumur 30-an.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, pihaknya juga merampas 400 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM2,000 kerana pemilik kedai terbabit menjualnya tanpa lesen.
"Ketika serbuan, kita dapati warga emas itu juga tidak mempunyai lesen yang sah menjual minuman keras dan kesemua hasil rampasan itu akan diserahkan kepada pihak Kastam," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Menurut Kamaruzzaman, ketika pemeriksaan dilakukan di tingkat atas premis itu, pihaknya mendapati dua wanita terbabit sedang berasmara bersama pelanggan masing-masing dalam bilik berasingan.
"Kita percaya tingkat atas premis itu dijadikan pusat menjalankan aktiviti pelacuran.
"Kesemua mereka yang ditahan, disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, kata Kamaruzzaman, polis sedang memburu empat lelaki berusia 20-an yang dipercayai terlibat dalam aktiviti menyamun dengan menyamar sebagai anggota polis di sekitar bandar ini.
Dalam kes terbaru semalam, kata beliau, seorang lelaki berusia 22 tahun disamun oleh empat lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di Jalan Mat Kilau di sini.
Katanya, kejadian pada pukul 8.40 pagi itu berlaku ketika mangsa sedang meletakkan motosikalnya di kawasan tersebut.
"Tiba-tiba dia didatangi empat lelaki dengan menaiki dua motosikal sambil menunjukkan kad kuasa polis sebelum menendang mangsa sehingga jatuh ke atas tanah.
"Selepas merampas kunci motosikal mangsa, kesemua suspek itu turut merampas gelang, cincin dan sebuah telefon bimbit bernilai RM1,300 sebelum melarikan diri," ujarnya.

Lagi episod 'cinta Lombok' berjaya diselesaikan



KULIM 17 Mac - Episod 'cinta Lombok' sekali lagi diselesaikan oleh Biro Pengaduan Pemuda UMNO yang membawa pulang Rosnah Abu Bakar ke pangkuan keluarganya di sini setelah lebih tiga tahun mengikuti kekasihnya ke sebuah daerah timur Indonesia itu.
Rosnah, 20, tiba bersama anak perempuan berusia 14 bulan petang semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan disambut oleh ayahnya, Abu Bakar Aziz.
Rosnah yang diiringi bapanya kemudian menaiki bas dari Shah Alam untuk pulang ke rumah mereka di Taman Sungai Dingin di sini pada 5 pagi tadi dan kepulangannya disambut dengan linangan air mata oleh ibunya, Sombi Md Isa, 41, dan lima adiknya.
Anak sulung dari enam beradik itu melarikan diri setelah dihalang oleh keluarganya berkahwin dengan kekasihnya, seorang pemuda Lombok pada 2007.
Ketika ditemui hari ini, Rosnah yang kelihatan dalam keadaan 'ingat-ingat lupa', enggan menceritakan kisahnya mengikuti pemuda Lombok bernama Salihin @ Suherman, 25, sehingga mereka berkahwin.
Bagaimanapun katanya, keluarga Suherman melayan beliau dengan baik pada mulanya walaupun makanan seharian mereka hanya nasi dan ulam-ulaman dan sekali-sekala ikan yang dipancing bapa mertuanya.
Katanya, dia dan Suherman dinikahkan di Batam, Kepulauan Riau, selepas pihak berkuasa di Lombok enggan menikahkan mereka.
Selepas berkahwin, mereka menetap di kampung suaminya di Desa Tembeng Putih, Lombok.
Abu Bakar pula berkata, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Mahang, Kulim dan di Balai Polis Sepang, Selangor selepas Rosnah didapati hilang pada Jun 2007.
"Kami ahli keluarga termasuk teman-teman Rosnah berusaha menjejakinya di Perak, Selangor, Melaka dan Johor tetapi tidak berhasil sehingga anak saya menelefon saya pada 2008 dan meminta bantuan kewangan kerana suaminya masih menganggur dan keluarga mertuanya miskin, katanya.
Abu Bakar berkata, juru nikah di Batam menelefon beliau untuk mendapat keizinan menikahkan Rosnah dan pasangannya itu.
"Atas rasa tanggungjawab dan kasih sayang, saya memberi keizinan dan turut mengirim wang antara RM300 dan RM500 setiap dua bulan sehingga tahun lepas," katanya.
Abu Bakar, mandur sebuah ladang kelapa sawit di sini, berterima kasih kepada UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu terutama ketuanya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Ketua Pemuda bahagian itu, Mustafa Kamal Shaikh Ismail kerana mengambil inisiatif membawa pulang Rosnah.
- Bernama

30 anak kapal ditahan di perairan Pengerang





KEGIATAN dua buah kapal yang mencurigakan anggota Unit Udara APMM di perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, semalam.


JOHOR BAHRU 17 Mac - Kecekapan Unit Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malayia (APMM) berjaya menggagalkan kegiatan pemindahan minyak secara haram melibatkan dua buah kapal tangki di perairan Pengerang, Kota Tinggi, semalam.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abd. Wahad berkata, kedua-dua kapal tangki, MT Sakthi dan MT Napa 1 itu dikesan berhimpit antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, kesalahan memindahkan minyak itu dilakukan di kedudukan 2.5 batu nautika Tenggara Tanjung Stapa, pada pukul 11.40 pagi.
"Helikopter Dauphin kemudian menghubungi bot Kilat APMM yang berada berhampiran lokasi bagi melakukan pemeriksaan ke atas kedua-dua kapal tersebut.
"Didapati hos minyak kedua-dua kapal itu bersambung antara satu sama lain, yang disyaki sedang melakukan pemindahan minyak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Hadib berkata, pemeriksaan mendapati MT Sakthi telah memindahkan 30,000 liter minyak jenis Marin Fuel Oil (MFO) ke MT Napa 1 tanpa kebenaran.
Beliau berkata, MT Sakthi berdaftar di Basseterre, Saint Kitts and Nevis sementara MT Napa 1 berdaftar Panama dan kedua-dua kapal itu dimiliki syarikat sama, yang berpangkalan di Singapura.
"Turut ditahan termasuk 30 anak kapal terdiri daripada 18 warga Indonesia, Myanmar (7), India (3), seorang warga Bangladesh dan seorang warga Filipina.
"Kapten serta jurutera kapal tangki berkenaan dibawa ke ibu pejabat APMM untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Siasat kes kahwin bawah umur





KUALA LUMPUR 17 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah mengarahkan Polis Kelantan untuk menjalankan siasatan terhadap kes perkahwinan membabitkan dua kanak-kanak bawah umur di negeri itu, baru-baru ini.
Katanya, pihaknya akan melakukan 'siasatan terus' berdasarkan laporan media ekoran tiada laporan polis dibuat berhubung perkahwinan tersebut setakat ini.
Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian adalah sekiranya wujud elemen paksaan atau penipuan di dalam perkahwinan tersebut.
"Saya telah mengarahkan Datuk Abdul Rahim Hanafi (Ketua Polis Kelantan) untuk mengambil keterangan individu yang terlibat.
"Ini termasuk ibu bapa Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, saudara-maranya serta isteri-isteri lelaki itu (Shamsuddin Ajaib) untuk dirakam percakapan.
"Kita juga akan mendapatkan Siti Nur Zubaidah. Jika wujud elemen paksaan atau penipuan (dalam perkahwinan), polis akan buka kertas siasatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menggesa pejabat Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menyiasat kes perkahwinan tersebut.
Siti Nur Zubaidah sebelum ini dikatakan telah dikahwinkan secara paksa dengan seorang lelaki, Shamsuddin Che Derahman, 41, atau dikenali sebagai Shamsudin Ajaib.
Shamsudin Ajaib juga dikatakan telah mengatur perkahwinan anak perempuannya yang berusia 10 tahun dengan rakannya dikenali sebagai Azhar pada 19 Februari lalu.
Jelas Musa, sebaliknya sekiranya perkahwinan tersebut dilakukan secara sukarela, kes itu akan dirujuk ke Mahkamah Syariah.
"Pihak polis perlu meneliti terlebih punca sebenar perkahwinan itu sebelum tindakan selanjutnya boleh diambil," katanya.