Search This Blog

Wednesday, March 17, 2010

Bapa budak kahwin paksa kini 'tertekan'



KOTA BHARU 16 Mac - Hussin Mat Salleh (gambar), 54, bapa kepada kanak-kanak malang Siti Nur Zubaidah, 11, yang dikatakan menghilangkan diri sejak tiga hari lalu telah menghubungi isterinya petang semalam.
Siti Sarnan Mat Ali, 42, berkata, suaminya itu menjelaskan dia berada dalam keadaan tertekan dan telah pergi ke rumah peguam mereka, Mohd. Zaki Zainal Abidin di sini untuk mendapatkan perlindungan.
Katanya, Hussin menjelaskan dia amat tertekan dengan kejadian yang menimpa anak mereka itu dan berjanji akan pulang ke rumah ibu bapanya di Kok Lanas malam tadi dalam perbualan telefon selama 10 minit itu.
"Pada perbualan itu, saya memujuk Hussin supaya pulang ke rumah ibu bapanya untuk menenangkan fikiran dan pagi ini, saya dimaklumkan dia tidur di sana malam tadi.
"Dia ada beritahu saya, dia kini dalam keadaan tertekan dan serba salah di atas kejadian yang menimpa Situ Nur Zubaidah tetapi saya mintanya supaya lebih tenang dan banyak-banyak ingatkan Allah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, akhbar melaporkan mengenai perkahwinan Siti Nur Zubaidah dengan Shamsudin Che Deraman, 41, atau lebih dikenali dengan 'Shamsudin Ajaib' yang juga pemimpin kumpulan tabligh pada 20 Februari lalu.
Pernikahan itu dikatakan berlaku selepas Shamsudin mempengaruhi Hussin yang juga jemaah tabligh untuk menikahkannya.
Selepas perkahwinan tersebut, Shamsudin telah menghilangkan diri bersama Siti Nur Zubaidah dan kereta Proton Iswara milik Hussin.
Bagaimanapun kanak-kanak malang itu ditemui di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera, Batu Caves, Kuala Lumpur petang Sabtu lalu.
Siti Sarnan berkata, dia kini bimbang jika suaminya melakukan perkara yang bukan-bukan kerana terlalu tertekan.
Katanya, Hussin turut berpesan supaya menjaga Siti Nur Zubaidah dengan baik selain turut mendoakan keselamatannya.
"Dia minta supaya saya jaga Zubaidah baik-baik dan buat masa sekarang biarlah dia (Hussin) tidak diganggu dan tenang bersama keluarganya.
"Saya tahu sekarang ini ramai yang menuding jari menyalahkannya. Walau apa pun, dia tetap suami saya dan bapa kepada anak-anak saya dan kami memerlukannya," kata Siti Sarnan.

Shamsudin 'Ajaib' diberi kata dua



KOTA BHARU 16 Mac - 'Shamsudin Ajaib' atau nama sebenarnya, Shamsudin Che Deraman, 41, yang dikatakan menjadi punca kepada dua kes pernikahan kanak-kanak bawah umur diperintah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu 24 Mac ini.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan Undang-undang Syariah) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Mohd Ab. Aziz Mohd Noor berkata, ia disebabkan lelaki terbabit dituduh melakukan pernikahan tanpa kebenaran di antara anaknya yang masih di bawah umur, Nur Hadhirah, 10, dengan rakannya yang dikenali sebagai Azhar.
Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya cuba mengesan Shamsudin di beberapa lokasi di sini dan di rumahnya di Pasir Mas tetapi gagal.
"Sekiranya dia tidak datang pada perbicaraan tersebut, mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan kita akan meminta kerjasama polis untuk mencari Shamsudin.
"Untuk kes ini, dia dituduh mengikut Seksyen 39 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002 kerana akad nikah perkahwinan yang tidak dibenarkan," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia mendedahkan mengenai seorang lelaki yang dikatakan pemimpin sebuah kumpulan tabligh, Shamsudin Ajaib menjadi punca kepada dua perkahwinan kanak-kanak bawah umur di negeri ini.
Shamsudin dikatakan menjadi wali dan menikahkan sendiri Nur Hadhirah dengan rakannya yang dikenali sebagai Azhar tanpa kehadiran kanak-kanak tersebut pada 19 Februari lalu.
Dia kemudiannya berkahwin dengan Siti Nur Zubaidah, 11, di sebuah madrasah di Machang selepas mempengaruhi bapa kanak-kanak itu, Hussin Mat Salleh, 54.
Hussin sendiri melakukan pernikahan itu, juga tanpa kehadiran pengantin perempuan.
Mohd. Ab Aziz berkata, pihaknya berharap Shamsudin tampil ke pejabat jabatan itu secepat mungkin bagi membantu siasatan.
"Selain daripada pertuduhan itu, kita juga telah membuka tiga lagi kertas siasatan mengikut Seksyen 8 kerana berkahwin di bawah umur, Seksyen 37 (memaksa perkahwinan) dan Seksyen 40 (kesalahan-kesalahan berhubung akad nikah) enakmen yang sama.
"Kesemua kesalahan ini melibatkan kedua-dua pernikahan tersebut dan kita amat berharap dia tampil untuk membantu menyelesaikan masalah ini," katanya.
Katanya, Hussin turut memfailkan permohonan untuk membatalkan perkahwinan Siti Nur Zubaidah dengan Shamsudin di mahkamah baru-baru ini.
Ujarnya, kebanyakan masyarakat keliru dengan kedua-dua kes terbabit kerana daripada hukum syarak, perkahwinan tersebut mungkin sah kerana ia dihadiri oleh walinya sendiri tetapi pada masa yang sama mereka terikat dengan undang-undang.
"Kita juga sedang memantau kegiatan yang dilakukan oleh kumpulan tabligh tetapi sehingga kini kita dapati mereka tidak membawa ajaran sesat cuma sikap individu itu sendiri," katanya.

Kedai jual ubat seks diserbu



JOHOR BAHRU 16 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri menyerbu sebuah kedai menjual ubat perangsang dan gajet seks di Jalan Wong Ah Fook di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Zainal Baharom berkata, serbuan pukul 4 petang bersama itu dijalankan bersama Jabatan Kesihatan dan Farmasi negeri selepas pihaknya menerima aduan orang awam.
Menurutnya, turut dirampas adalah ratusan pil perangsang seks disyaki tiruan yang membabitkan jumlah rampasan keseluruhan bernilai hampir RM100,000.
"Gajet seks yang dirampas itu akan dirujuk kepada pihak KPDNKK bagi tindakan selanjutnya sama ada ia boleh dijual ataupun tidak.
"Sementara pil-pil perangsang seks tiruan yang dirampas akan dibawa ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zainal berkata, tiga lelaki berusia 20-an yang dipercayai pekerja kedai terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, pihaknya menyiasat kes berkaitan pil-pil perangsang seks di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Akta Racun 1952.
Menurutnya, antara barangan yang dijual adalah alat getar, kondom bergerigi, cincin berbulu ayam dan cecair pelincir aroma lemon dipercayai diseludup dari Taiwan, China dan Indonesia.

Cucu bekas Juara Bakat RTM mati lemas



TELUK INTAN 16 Mac - Cucu kepada bekas juara Bakat TV RTM 1979, Shaharuddin Sulaiman ditemui mati lemas di Sungai Perak dekat Kampung Terengganu, di sini hari ini.
Mayat Musazros Mohd. Yusof, 17, ditemui terapung di muara sungai itu pada pukul 12.30 tengah hari ini.
Musazros mandi di sungai itu petang semalam bersama rakannya, Mohd. Shamil Ridzuan, 18.
Menurut Mohd. Shamil, dia bersama Musazros seperti biasa mandi di sungai tersebut namun dia berasa hairan apabila rakannya itu langsung tidak timbul di permukaan.
"Ekoran itu saya terus memaklumkan kehilangan mangsa kepada keluarganya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut ibu mangsa, Nur Zainab Shaharuddin, 40, dia tidak tahu ke mana anaknya itu pergi selepas kali terakhir melihat Musazros pada sebelah pagi.
"Saya mulai resah anak saya tidak muncul-muncul sehingga mayatnya ditemui terapung (hari ini)," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mayat mangsa ditemui terapung pada pukul 12.30 tengahari ini.
Katanya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya.

Raja Petra guna e-mel untuk berhubung - Anuar



KUALA LUMPUR 16 Mac - Maklumat penting yang telah disalurkan kepada pihak polis bagi mengesan kedudukan Raja Petra Raja Kamaruddin lebih sebulan lalu adalah berkaitan akaun Gmail milik bekas editor laman web Malaysia Today itu.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, Gmail tersebut telah didaftar atas nama avenger malaysia (avenger.malaysia@gmail.com) dan ia digunakan oleh Raja Petra untuk berhubung dengan pihak lain atau sebaliknya.
Beliau mempunyai bukti bagaimana Raja Petra menggunakan e-mel berkenaan untuk tujuan tersebut.
"Saya mempunyai dua bukti. Pertama Raja Petra telah menghubungi seseorang pada 23 Ogos tahun lalu dan pada 3 September tahun yang sama Raja Petra pula dihubungi oleh individu paling rapat dengannya.
''Maklumat ini telah pun saya salurkan kepada pihak polis dan amat berharap hasilnya dapat didedahkan dengan segera kerana rakyat tertanya-tanya mengenai status terkini kes itu,'' katanya.
Ditanya mengenai strategis media rakyat Pakistan, Aasil Kazi Ahmad beliau percaya, individu terbabit masih berhubung dengan Raja Petra.

Perhilitan rampas 29,196 hempedu ular



KUALA LUMPUR 16 Mac - Seekor ular sawa hanya memiliki satu hempedu. Ini bermakna untuk mendapatkan sebanyak 29,196 hempedu ular, maka itulah bilangan reptilia itu yang perlu diburu dan dikorbankan.
Jumlah itu ternyata mengejutkan tetapi hakikatnya ia benar-benar berlaku.
Kegiatan memburu ular sawa untuk mendapatkan hempedunya terbongkar berikutan kejayaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas kepingan hempedu yang sudah diawet itu dari sebuah kedai menjual binatang di Kulim, Kedah pada 9 Mac lalu.
Ia merupakan rampasan terbesar hempedu ular yang dibuat oleh Perhilitan setakat ini.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaannya, Saharudin Anan berkata, dalam serbuan itu, peniaga tersebut turut didapati memiliki secara haram 31,596 kepingan besar kulit ular sawa serta 4,058 kepingan kecil kulit reptilia sama di premis perniagaannya.
"Walaupun premis perniagaan itu berlesen, kami percaya pemiliknya iaitu seorang lelaki berusia 40-an menjalankan kegiatan jual beli organ haiwan tersebut secara haram.
"Lelaki itu tidak ditahan namun kesemua barangan itu dirampas untuk siasatan lanjut. Dia akan dihadapkan ke mahkamah sekiranya kami ada bukti kukuh untuk mendakwanya," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Perhilitan di Cheras di sini hari ini.
Saharudin menambah, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan barang yang dirampas itu adalah untuk dieksport berdasarkan jumlahnya yang banyak.
Dalam satu lagi serbuan pada 10 Mac lalu, Perhilitan menahan tiga sekeluarga di sebuah rumah di Teluk Intan, Perak kerana disyaki menyimpan tiga ekor tenggiling betina serta memiliki sekeping sisik haiwan itu.
Menurut Saharudin, kesemua tenggiling itu ditemui dan disimpan dalam stor dan bilik tidur rumah suspek.
Keempat-empat suspek dalam kedua-dua serbuan bakal berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, Akta 76 jika sabit kesalahan.

6 penyamun termasuk wanita ditahan



KUANTAN 16 Mac - Polis menahan enam orang termasuk seorang wanita selepas mereka menyamun seorang pengawal keselamatan dan melarikan sebuah kereta di Jalan Tun Ismail di sini malam tadi.
Difahamkan, kereta jenis Proton Saga terbabit adalah milik pengawal keselamatan itu dan di dalamnya terdapat selaras senapang beserta empat butir peluru hidup.
Pegawai Turus Urus Setia, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian pukul 9.45 malam itu berlaku apabila pengawal keselamatan berusia 57 tahun tersebut didatangi seorang wanita berusia 20-an yang berpura-pura bertanya arah jalan.
"Ketika sedang berbual dengan wanita terbabit, tiba-tiba datang tiga lelaki berumur antara 18 dan 27 tahun mengamuk sambil menuduh kononnya pengawal keselamatan tersebut cuba mengurat teman wanita mereka.
"Apabila kekecohan berlaku, tiga lelaki terbabit bertindak menyamun mangsa manakala wanita itu bertindak melarikan kereta mangsa sebelum berpatah balik mengambil mereka bertiga," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Menurut beliau, polis yang menerima laporan kira-kira 10.50 malam berhubung kejadian itu membuat rondaan dan terserempak dengan kereta curi tersebut di Jalan Sungai Lembing-Kuantan kira-kira pukul 4.30 pagi.
"Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian cuba melarikan diri dengan kereta itu. Bagaimanapun, polis berjaya memintas kereta terbabit dan menahan mereka," katanya.
Melalui soal siasat yang dijalankan kata beliau, polis kemudiannya menahan dua lagi lelaki bersama senapang angin berserta peluru di sebuah bilik sewa di Jalan Datuk Wong Ah Jang di sini.
Tambahnya, polis turut menemui cota besi dan keris di dalam bilik berkenaan.

Pemuda Iran cuba terjun bangunan



KUALA LUMPUR 16 Mac - Keadaan sekitar pusat membeli belah The Mall di sini cemas apabila seorang pemuda warganegara Iran bertindak 'berehat' di anjung luar tingkap rumahnya di tingkat 25 Kondominium Villa Puteri di sini pagi ini.
Pemuda yang dikenali sebagai Reza, 25, dan baru tiba di negara ini sejak seminggu lalu dilaporkan ingin mencari ketenangan di anjung tingkap kondominium berkenaan yang terletak di belakang The Mall.
Dia yang dipercayai mengalami tekanan jiwa dikatakan bertindak demikian selepas bapanya meninggal dunia sebelum dia ke negara ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria berkata, pemuda yang tinggal bersama rakannya di rumah tersebut dilihat berada di anjung itu sejak pukul 8 pagi, sebelum ia dilaporkan kepada polis.
"Sebaik tiba di kondominium itu kita terpaksa meminta bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat untuk mengambil langkah keselamatan dengan memasang tilam angin selain membuat persediaan menyelamat pemuda itu.
"Kerja-kerja rundingan atau memujuk menjadi agak sukar apabila pemuda itu tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Aziz menambah, berikutan itu pihaknya terpaksa memanggil Duta Iran untuk melakukan rundingan.
Menurutnya, dalam proses rundingan yang berlaku selama hampir tiga jam itu, pemuda berkenaan hanya meminta air dan rokok untuk terus 'berehat'.
"Pemuda itu berjaya diselamatkan pada pukul 12.15 tengah hari selepas dia akur dengan pujukan yang dibuat," ujarnya.

Geng Gondol mati ditembak





Anggota polis menutup mayat anggota Geng Gondol yang ditembak mati di Tasik Kota Puteri, Ijok, semalam. - utusan/Saharuddin Abdullah


KUALA SELANGOR 16 Mac - Setelah lebih sebulan diburu, tiga penjenayah warga Indonesia yang dikenali sebagai Geng Gondol mati ditembak oleh sepasukan polis dalam satu kejadian di Tasik Kota Puteri dekat sini awal pagi ini.
Kejayaan menumpaskan penjenayah berusia 26 hingga 32 tahun itu turut menyelesaikan beberapa kes termasuk kejadian pecah rumah kediaman Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee di Taman TAR, Ampang Jaya, 28 Februari lalu yang melibatkan kerugian lebih RM400,000.
Kumpulan tersebut yang sebelum ini semuanya berkepala botak juga merompak sebuah rumah di Saujana Golf Resort Subang, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu mereka termasuk perancang kumpulan ditembak kerana cuba menyerang polis dengan bersenjatakan pump gun buatan sendiri dan dua bilah parang.
"Gerakan mereka dijejaki setelah polis melihat mereka berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kundang di sini tetapi enggan memberhentikan kereta Proton Waja yang dinaiki apabila diarahkan berbuat demikian.
"Sebaliknya mereka melarikan diri ke arah kawasan Tasik Kota Puteri sejauh empat kilometer sebelum kereta itu terbabas.
"Mereka kemudiannya keluar dari kenderaan dan menyerang polis dengan senjata-senjata tersebut. Bagi mempertahankan diri anggota polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai keempat-empat suspek.
"Polis turut merampas sebuah komputer riba, topeng muka dan alat-alat merompak dari kereta berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khalid memberitahu, mengikut rekod Geng Gondol itu sering melakukan jenayah pecah rumah dan samun di sekitar Lembah Klang seperti Ampang Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Kuala Selangor yang kesemuanya 19 kes.
"Mereka baru sahaja mengganas di kawasan Kuang baru-baru ini. Mereka gemar menyamun tiga buah rumah secara serentak dalam satu malam dan kereta Waja yang digunakan dilaporkan hilang di Cheras," ujarnya.
Katanya, modus operandi geng itu ialah melakukan jenayah pada awal pagi dengan bertindak memecah pintu pagar, mengumpil pintu, masuk rumah dan mengikat mangsa, jika ada melawan akan dipukul atau dicederakan.
Beliau berkata, gerakan telah dilancarkan untuk memburu saki baki ahli kumpulan tersebut yang dipercayai masih bebas dan berada di sekitar Lembah Klang.

Pemuda Pagoh lapor polis pengguna Facebook Agong hina Islam



MUAR 16 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh hari ini membuat laporan polis terhadap seorang pengguna Facebook kerana membuat komen menghina kesucian al-Quran dan Islam di laman Facebook peminat Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Komen yang bersifat penghinaan itu dilakukan oleh 'Faiza Alih' di ruangan komen bahagian nota laman sosial itu yang bertajuk Keep the peace-King.
'Faiza Alih' itu menulis komennya di laman nota tersebut sebanyak beberapa kali dengan tarikh yang terbaru adalah pada pukul 5.50 pagi, kelmarin.
Laman Facebook peminat Yang di-Pertuan Agong itu sehingga kini menghimpunkan 34,323 ahli dan ia memaparkan 10 petikan berita berhubung kenyataan baginda dari Mac hingga April 2008.
Menurut Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pagoh, Mohd. Razali Ab. Rahman, dia mula menyedari mengenai komen yang berbentuk penghinaan itu pada petang semalam selepas dimaklumkan rakannya.
"Saya telah terbaca beberapa komen yang ditulis Faiza Alih ini dan nyata sekali komennya begitu keterlaluan sehingga menghina kesucian al-Quran dan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia.
"Saya membuat laporan polis ini supaya pihak polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dapat mengambil tindakan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelasnya, dia membuat laporan hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar bersama Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Pagoh, Helmi Afendy Ismail.
Menurut Mohd. Razali, kenyataan yang dikeluarkan Faiza Alih itu dibuat menggunakan dua akaun yang berbeza dan salah satu daripadanya memaparkan kad pengenalan negara Filipina sebagai gambar profail.
"Individu ini mendakwa dirinya sebagai orang Filipina namun dia menggunakan bahasa Malaysia dalam ruangan komen tersebut," katanya.