Search This Blog

Loading...

Tuesday, March 16, 2010

Hina Nabi: Umat Islam digesa boikot barangan Sweden





2010/03/16

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan menyarankan umat Islam di negara ini memboikot barangan keluaran Sweden sebagai bantahan terhadap tindakan tiga akhbar negara itu menyiarkan lakaran karikatur menghina Nabi Muhammad S.A.W.  

Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) berkata kerajaan Sweden perlu memohon maaf kepada umat Islam di seluruh dunia kerana kejahilan warganya iaitu pelukis Lars Vilks yang jelas tidak menghormati agama Islam.  "Mereka seharusnya memahami perasaan penganut agama lain dalam memastikan keseimbangan berterusan dalam setiap perkara," katanya ketika membahas usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini.
   Lakaran karikatur berkenaan yang pada mulanya dikemukakan kepada sebuah pusat warisan budaya Sweden untuk pameran, ditolak atas sebab-sebab keselamatan, tetapi sebuah akhbar Sweden kemudian menyiarkannya. Ini membawa kepada bantahan negara-negara Islam dan Vilks menerima beberapa ancaman bunuh.   Pada 10 Mac lalu, tiga akhbar Sweden lain menyiarkan semula karikatur itu.  "Tidakkah mereka terfikir disebabkan kejahilan tersebut boleh memberi kesan yang tidak baik seperti yang berlaku pada tahun 2008, apabila akhbar Denmark, Politiken yang menyiarkan perkara sama dan kemudiannya mendapat kecaman masyarakat Islam seluruh dunia," katanya. - Bernama 

Coca Cola lancar kilang pembotolan RM1 bilion di Nilai




2010/03/16

NILAI: The Coca Cola Company dari Amerika Syarikat hari ini secara rasminya melancarkan kilang pembotolan terbarunya yang bernilai RM1 bilion di Nilai, Negeri Sembilan. 
Majlis pecah tanah kilang baru itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sengsara 11 hari

KUALA LUMPUR: Malang berganda bagi seorang suri rumah ketika menempuh 11 hari paling menyeksakan apabila dia diculik, dipaksa mengambil dadah dan diperkosa berulang kali sepanjang dikurung dalam sebuah bilik hotel di ibu kota, baru-baru ini.
Pakej lengkap ‘penderitaan’ terpaksa ditanggung wanita berusia awal 20-an itu bermula kira-kira jam 5.30 petang, 1 Mac lalu ketika dia dikatakan keluar dari rumahnya di Jalan Ipoh di sini, ke Selayang untuk bertemu suspek bagi membincangkan tawaran pekerjaan.
Difahamkan, pertemuan itu diketahui suami mangsa.

Menurut sumber, lelaki itu ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan dipercayai menggunakan perangkap itu untuk merekrut keldai dadah.

“Selepas selesai berbincang kira-kira 20 minit, mangsa pulang ke rumah menaiki bas.

“Namun, suspek yang ditemuinya sebelum ini turut menaiki bas sama.


“Menyedari wanita itu curiga, suspek mendakwa kenderaannya rosak selain ada beberapa perkara perlu dibincangkan dengan mangsa,” katanya.
Sebaik tiba di kawasan perumahan wanita itu, lelaki terbabit memaksa mangsa mengikutnya ke Chow Kit.

Difahamkan, mangsa yang ketakutan selepas diugut dengan pisau hanya mengikut arahan itu.

Sumber berkata, sebaik tiba di Chow Kit, lelaki terbabit mengurung mangsa di sebuah bilik hotel.

“Di situlah bermula penderitaan mangsa apabila dia dibelasah lelaki terbabit sebelum dipaksa mengambil dadah.

“Ketika mangsa khayal, suspek mengambil kesempatan merogolnya berulang kali.

“Mangsa dijadikan pemuas nafsu lelaki itu sepanjang 11 hari dikurung dalam bilik hotel berkenaan,” katanya.

Bertambah malang apabila mangsa dipukul tanpa belas kasihan jika enggan menghisap dadah. Difahamkan, semua wang dan telefon bimbit miliknya dirampas suspek untuk mengelakkan suri rumah terbabit melarikan diri.

Sumber itu berkata, lelaki itu juga akan memastikan mangsa berada dalam keadaan khayal 24 jam bagi memudahkan dia mengawalnya.

“Namun, penderitaannya berakhir apabila lelaki terbabit membawa suri rumah itu ke kawasan Segambut di sini, pada 12 Mac lalu atas urusan tidak diketahui.

“Di situ mangsa terserempak seorang remaja yang juga kenalan suaminya. Remaja itu yang mengetahui kehilangan wanita terbabit membantu mangsa melarikan diri.

“Lelaki itu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran remaja terbabit, namun berjaya diberkas dengan bantuan orang ramai,” katanya.

Sumber berkata, remaja itu menghubungi suami mangsa sebelum membawanya ke Balai Polis Jinjang di sini, untuk membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Tak sedar beg bawah meja ditukar ketika makan

KESAL...Ashraf menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Ashraf menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya.

KUALA LUMPUR: Kumpulan peragut kini dikesan menggunakan taktik menukar beg mangsa dengan beg lain ketika mangsa leka berbual atau makan bersama rakan-rakan.
Tindakan licik mereka walaupun dilakukan di kawasan terbuka menimbulkan tanda tanya kerana beg mangsa hilang begitu sahaja.
Dalam kejadian terbaru kelmarin, seorang jurufoto yang juga ahli perniagaan kerugian kira-kira RM12,000 berikutan beg mengandungi barangan seperti kamera, lensa dan beberapa alatan lain bagi tujuan fotografi hilang tanpa disedarinya.

Mangsa, Ashraf Saharudin, 24, berkata sebelum kejadian, dia mengadakan sesi tutorial fotografi bersama beberapa pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Dataran Merdeka, kira-kira jam 5 petang.

“Selepas selesai program berkenaan kira-kira jam 7 malam, kami menunaikan solat Maghrib di Masjid Jamek.

“Selesai solat, saya memeriksa beg itu dan barangan berkenaan masih ada tersimpan,” katanya. Ashraf berkata, dia dan sebahagian daripada pelajar berkenaan singgah di sebuah restoran makanan segera berhampiran untuk menjamu selera.


Kumpulan mereka memilih untuk makan secara berkumpulan di meja berhampiran sebelum mangsa meletakkan begnya di bawah meja.
Bagaimanapun, sejurus selesai menjamu selera, mangsa sangsi dengan kewujudan beg lain yang mirip beg asal kepunyaannya, namun selepas diperiksa beg itu kosong manakala begnya tiada.

Bingung dengan kejadian itu, mangsa bertanyakan kepada pengurus restoran berkenaan, namun maklum balas yang diterima mengecewakan sedangkan dia boleh memeriksa menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Mangsa yang kesal dengan kejadian itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Dang Wangi.

Bekas isteri Hattan tuntut nafkah

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, menangguhkan sehingga 17 Mei ini bagi kes permohonan nafkah edah dan mutaah bekas isteri penyanyi terkenal, Hattan.
Ia bagi membolehkan Arianie Mohd Abidin, 39, menyelesaikan perjanjian dan syarat yang ditetapkan Jabatan Insolvensi sebelum wanita itu dibenarkan melantik peguam mewakili dirinya dalam permohonan itu.

Sebelum ini, Arianie, 39, perlu mendapatkan kebenaran jabatan berkenaan sebelum meneruskan kes berikutan namanya sudah disenarai hitam.

Terdahulu, dalam prosiding semalam, peguam syarie Mohd Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 46, memaklumkan bahawa anak guamnya tidak dapat hadir.

Mohd Roshdan berkata, pihaknya sudah menerima salinan surat Jabatan Insolvensi menyatakan Arianie perlu melaksanakan beberapa syarat sebelum melantik peguam.

“Oleh itu, kami meminta tarikh sebutan baru bagi membolehkan Arianie melaksanakan syarat itu dan pihak kami juga akan memfailkan penyata pembelaan jika perlu,” katanya.

Arianie hadir bersama bapanya manakala peguam tidak hadir berikutan sedang sarat hamil dan menghantar waki

Treler terbabas, jambatan Pulau Pinang tersekat

BUTTERWORTH: Ribuan pengguna Jambatan Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selepas sebuah treler terbabas di susur keluar Seberang Jaya di sini hari ini.
Kesesakan bermula selepas pertengahan jambatan ketika kebanyakan orang ramai yang dalam perjalanan pulang dari kerja kira-kira pukul 6 petang ini.

Jurucakap polis berkata kesesakan teruk itu berikutan sebuah treler yang membawa kontena terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika hendak memasuki susur Seberang Jaya.

"Bahagian belakang lori melintang di sebahagian jalan manakala bahagian kepala lori terbabas ke dalam pembahagi jalan.

"Keadaan itu menyebabkan hanya satu lorong boleh digunakan dan berlaku kesesakan yang teruk dari jambatan," kata jurucakap polis di sini hari ini. - Bernama

22 kubur askar kaum Iban dipindah





2010/03/16
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 kubur anggot tentera berketurunan Iban yang berada di Semenanjung dan dua di Singapura yang terkorban semasa menentang komunis akan dipindahkan ke kampung halaman masing-masing di Sarawak dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan sudah mengenal pasti identiti mereka dan waris anggota tentera terbabit juga sudah memberi persetujuan untuk pemindahan itu.

"Kita akan cuba pindahkan kubur mereka secepat yang boleh. Kerajaan lakukan perkara ini berdasarkan kepada sumbangan mereka yang pernah bersama kerajaan menentang komunis suatu ketika dahulu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Hishammuddin berkata isu pemindahan kubur itu ditimbulkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh waris mereka ketika kunjungan beliau ke Sarawak baru-baru ini.

Katanya Perdana Menteri sudah bertemu dengan pemimpin kaum terbabit dan sudah berjanji untuk mencari jalan bagi membawa balik tinggalan mayat tentera itu untuk ditanam semula di sana. - Bernama

Tikam isteri sebelum bunuh diri

MASJID TANAH: Akibat tekanan perasaan dan perasaan cemburu buta si suami sanggup menikam isterinya bertubi-tubi tanpa belas kasihan sebelum mengambil keputusan menggantung dirinya sendiri menggunakan tali berhampiran mayat isterinya dibunuh.
Kejadian berlaku sekitar jam 10.00 malam ke 6.30 pagi di Taman Seri Redan, Lubok Redan, dekat sini, lewat malam tadi yang mana pasangan itu memiliki empat orang anak yang masih bersekolah. Mereka ditemui mati oleh anak bongsu selepas bangun dari tidur.

Mangsa dikenali sebagai Ilangathil a/l Annamalai, 41, bekas pemandu lori manakala isterinya N Jayaletchumy a/p Nallapan, 38, seorang suri rumah didapati terbunuh dalam keadaan mengerikan.

Mayat Jayaletchumy ditemui tertangkup dengan beberapa kesan tikaman.

Selepas membunuh isterinya, si suami yang dikatakan amat cemburu dengan tingkah laku isteri mengambil keputusan mudah menggantung dirinya menggunakan tali kambing bersebelahan bilik air berhadapan dengan bilik mayat isterinya ditemui tadi.

Pasangan itu meninggalkan empat orang anak iaitu Nanthini a/p Ilanganthil, 16, Logenthiran a/l Ilanganthil, 15, Thanesh a/l Ilanganthil, 13 dan Sheshashini a/p Ilanganthil, 11. Semasa kejadian anaknya sulung mereka di rumah dipercayai ke rumah makciknya di Seremban.

Penyamun Geng Gondol tumpas



16/03/2010 1:39pm

SHAH ALAM - Tiga penyamun lelaki dari Indonesia yang menggelarkan diri mereka Geng Gondol ditembak mati oleh sepasukan polis dalam satu kejadian di Kota Puteri, Ijok, Kuala Selangor kira-kira pukul 3 pagi ini.
Polis berkata, mereka bersenjatakan pistol serta parang ketika tersempak dengan polis dan kejayaan itu juga bermakna dapat menyelesaikan 17 kes samun bersenjata di sekitar Lembah Klang. - Utusan

Kontraktor bebas tuduhan rasuah



16/03/2010 2:02pm

KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang kontraktor warga Bangladesh daripada tuduhan memberi rasuah kepada seorang anggota polis tujuh tahun lalu.
Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membukikan kes prima facie terhadap Jahangir Kabir Habibur Rahman, 38.
Dalam penghakimannya beliau berkata wang berjumlah RM4,600 yang dijumpai gagal dibuktikan adalah milik tertuduh kerana beliau ketika itu berada dalam tahanan polis.
Jahangir didakwa memberi rasuah kepada Penolong Penguasa Polis, Noraini Saad yang bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur sebanyak RM4,600 sebagai dorongan bagi tidak menahan Jahangir yang disyaki melakukan kesalahan menyimpan pasport dan pelekat pas lawatan kerja sementara bagi tujuan pemalsuan, pada pukul 11.30 malam, 4 September 2003. - Bernama

Kes tembak di Langkap: 5 ditahan



16/03/2010 3:01pm

TELUK INTAN – Polis menahan lima remaja berusia 16 hingga 20 tahun untuk membantu siasatan kes Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong Pas Perak, P. Sivapandian ditembak mati di Langkap, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang semalam, mangsa ditembak mati oleh dua lelaki dari jarak dekat di kedai mencuci keretanya di Jalan Chui Chak, Langkap, di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang mengesahkan penahanan tersebut. - Utusan

Dua remaja lemas di tasik



16/03/2010 3:07pm

JASIN – Satu lagi kes mati lemas semasa musim cuti sekolah berlaku yang kali ini membabitkan seorang pelajar dan rakannya ketika mereka terjun ke dalam sebuah tasik di Chincin dekat sini semalam.
Mangsa dikenali sebagai M. Suria Thevan, 15, pelajar Sekolah Menengah Sri Ledang, Tangkak, Johor dan rakannya K. Sharvin, 15, yang tidak lagi bersekolah dan berasal dari Seremban.
"Kedua-dua mereka meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jasin kira-kira 6 petang setelah tidak sedarkan diri ketika dibawa keluar dari tasik,” kata Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Che Suza Che Hitam di sini hari ini.
Mangsa menyertai rombongan seramai 46 orang dari Pekan Tangkak yang datang dengan sebuah bas untuk berkelah di kawasan rekreasi milik persendirian itu.
Kawasan tersebut berupa bekas lombong yang turut mengadakan aktiviti berkayak.
Che Suza berkata, mayat kedua-duanya telah dituntut oleh keluarga masing-masing. – Bernama

JHEAIK minta “Sudin Ajaib” serah diri 16/03/2010 3:32pm




KOTA BHARU — Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) meminta Shamsudin Che Derahman,41, menyerahkan diri bagi menyelesaikan beberapa kes termasuk isu perkahwinannya dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Undang-undang Syariah JHEAIK, Mohd Ab Aziz Mohd Noor berkata, lelaki yang juga digelar “Sudin Ajaib” itu masih belum dapat dikesan oleh pihak berkuasa sejak enghilangkan diri.
Menurut beliau, JHEAIK kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di seluruh negara untuk menjejaki lelaki itu.
Dalam kejadian baru-baru ini, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan Shamsudin ditemui pada pukul 6.30 petang di Madrasah Al-Ikhwan, Taman Samudera Jaya, Batu Caves, Selangor selepas 23 hari mereka berkahwin.
Sebelum ini Shamsudin sempat menikahkan anaknya sendiri, Nur Hadhirah, 10, dengan seorang lagi rakan jemaahnya yang dikenali sebagai “Azhar” dalam sebuah kereta. - Bernama

500 ditangkap kerana rasuah pada 2009



16/03/2010 3:35pm

KUANTAN — Seramai 500 orang, 38.2 peratus daripadanya penjawat awam, ditangkap tahun lepas berhubung pelbagai kes rasuah.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zakaria Jaafar berkata, daripada 191 penjawat awam yang diberkas, dua merupakan kumpulan pengurusan tertinggi dan 29 kumpulan profesional.
Selain itu, beliau berkata, 107 tangkapan melibatkan orang awam, 180 daripada swasta dan 22 ahli politik. - Bernama

Tipu majikan: amah didenda RM1,000



16/03/2010 4:41pm

KUALA LUMPUR - Gara-gara menipu majikan dengan menggunakan kad pengenalan Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan, seorang wanita Indonesia didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mokiah Kasan, 31, mengaku bersalah menipu Ahmad Shahnon Abu Mansor, 40, untuk mempercayai bahawa dia adalah seorang warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan dengan nama Elly Sumiati Mariana Endang Mulyadi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai Bunga Willows, Bangsar Shopping Centre di sini dari 1 hingga 31 Disember 2008.
Mokiah dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Peguamnya Mohd Shamril Afzan Mohamed Hasim merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana Mokiah perlu menyara dua anaknya yang masih bersekolah dan ibu bapa yang tua.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohamad Hanifa. - Bernama

Kanak-kanak hilang ditemui selamat



16/03/2010 8:09pm

KUALA LUMPUR – Budak lelaki berumur enam tahun yang dilaporkan hilang Sabtu lepas di taman permainan Perumahan Awam di Pangsapuri Sri Kota, Cheras, dekat sini selamat kembali ke pangkuan keluarganya hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, Muhammad Adam Haikal dipertemukan dengan kedua-dua ibu bapanya oleh jiran mereka yang menjaga kanak-kanak itu selepas menemuinya di sebuah masjid berhampiran pada hari kejadian.
"Pada hari kejadian, mangsa keluar bermain dan ingin pulang ke rumahnya namun sesat. Mangsa kemudian ditemui seorang lelaki dan perempuan yang kemudian cuba membantu, tetapi mangsa lupa jalan ke rumahnya,” kata Chin Wah kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, pasangan itu kemudian meninggalkan Haikal di sebuah masjid sebelum ditemui seorang lelaki yang juga jiran kepada ibu bapanya.
Haikal kemudian dihantar ke rumahnya, namun ibu bapa kanak-kanak itu tidak ada di rumah menyebabkan jiran tersebut memutuskan untuk membawa Haikal pulang ke rumahnya yang berada di tingkat lain di pangsapuri berkenaan, katanya.
Ibu kanak-kanak itu, Normayanti Abdul Manan, 30, membuat laporan polis berkenaan kehilangan Haikal semalam. – Bernama

Kes Balasubramaniam masih disiasat



16/03/2010 5:40pm

KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyiasat persendirian P. Balasubramaniam masih berjalan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Katanya, SPRM bersedia untuk menemui Balasubramaniam bagi merekodkan pernyataannya di mana-mana lokasi yang difikirkan sesuai oleh penyiasat persendirian itu.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) sama ada SPRM sanggup pergi ke England untuk mengambil keterangan dan merakam sesi soal siasat Balasubramiam di hadapan peguamnya.
Pada satu sidang akhbar pada 3 Julai 2008, penyiasat persendirian itu mengedar satu akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tetapi keesokannya menarik balik akuan bersumpah itu dan mengemukakan satu akuan bersumpah lain.
Dia kemudian menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarga. – Bernama

2 wanita Malaysia di dalam penjara Itali



16/03/2010 8:05pm

KUALA LUMPUR – Kerana inginkan kehidupan lebih baik, dua orang wanita tempatan kini meringkuk dalam penjara di Itali setelah diperalat oleh satu sindiket dadah antarabangsa untuk menyeludup dadah masuk ke negara itu.
Rasundiri a/p Ganapathi, 50, terbang ke negara itu pada Mei tahun lepas ditemani rakan baiknya Darina Ibrahim, 43, selepas termakan pujukan dua lelaki warga asing yang menjanjikan perniagaan jahitan beliau akan berkembang lebih maju, kata suaminya, Mahinder Singh.
"Pada mulanya, isteri saya memaklumkan beliau dan Darina akan terbang ke Bangkok kerana dua orang lelaki berkenaan memberitahu tekstil di Bangkok lebih berkualiti.
"Alangkah terkejutnya saya apabila menerima panggilan daripada pihak berkuasa Itali berhubung penangkapan isteri saya akibat didakwa menyeludup dadah dua minggu selepas dia meninggalkan rumah,” kata Mahinder Singh pada sidang akhbar yang diatur Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO di sini hari ini.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, dua orang peguam dari Itali akan dilantik oleh biro itu bagi proses pembelaan dua wanita Malaysia berkenaan.
"Peguam-peguam ini dilantik sebagai persediaan sebutan kes berkenaan oleh mahkamah Itali nanti dan kita mahukan pembelaan yang terbaik bagi membuktikan mereka tidak bersalah,” katanya. – Bernama

Kelindan lori didakwa dera budak




KERATAN Kosmo! 5 Mac.


PETALING JAYA - Beberapa hari selepas seorang pemandu teksi didakwa membunuh kanak-kanak Syafiah Humairah Sahari, semalam seorang kelindan lori pula didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mendera sehingga mati kanak-kanak berusia 18 bulan, K. Harresvaran.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada M. Rajamorgan, 33, yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terhadap bayi malang itu di taman permainan kanak-kanak Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya antara pukul 9.40 malam hingga pukul 10.10 malam pada 4 Mac lalu.

Ketua penyokong Pas Perak mati ditembak



Oleh Ravale Savarinathan
bhnews@bharian.com.my
2010/03/16

P Panthiyan @ Siva
P Panthiyan @ Siva
TELUK INTAN: Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong Pas Perak, P Panthiyan @ Siva, mati ditembak dari jarak dekat oleh seorang suspek tidak dikenali dalam kedai mencuci kereta miliknya, di Jalan Chui Chak, Langkap, dekat sini, petang semalam.

Mangsa berusia 34 tahun yang sedang duduk atas sofa di premis itu, ditembak pada kepala disaksikan isterinya, K Kala, serta dua anak mereka yang baru tiba di premis berkenaan bersama mangsa dari bandar Teluk Intan.

Kejadian jam 3 petang itu menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. Kala, 42, berkata tidak sampai beberapa minit mereka tiba di premis itu, beliau ternampak seorang pembonceng motosikal berpakaian gelap dan bertopi keledar penuh masuk, lalu terus ke arah suaminya, manakala rakan suspek menunggu atas motosikal di luar premis.

“Pada mulanya saya tidak syak apa-apa kerana mangsa sering dikunjungi rakannya untuk pelbagai urusan, termasuk mengenai kebajikan masyarakat.

“Namun, dalam sekelip mata saya terdengar bunyi seperti mercun dan apabila menoleh, saya nampak suami sudah terbujur atas sofa berlumuran darah. Pada masa sama, suspek berlari keluar dan membonceng motosikal yang sedia menunggu dan memecut ke arah Langkap,” katanya ketika ditemui semalam.

Kala berkata, beliau masih trauma dan terkejut dengan kejadian itu kerana suaminya seorang yang peramah dan suka membantu orang lain serta tiada musuh perniagaan atau politik. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata mangsa ditembak dari jarak dekat.

Katanya, penyerang dan seorang rakannya menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam dan oren dengan nombor pendaftaran dipercayai palsu.

"Pembonceng motosikal melepaskan dua das tembakan. Satu tembakan tersasar, manakala satu lagi mengenai kepala mangsa menyebabkannya mati di tempat kejadian," katanya.

Goh berkata, polis melancarkan gerakan memburu suspek namun setakat jam 8 malam tadi tiada sebarang tangkapan dibuat.

Katanya, polis menyiasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk bedah siasat.

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Salman Saleh dalam kenyataannya kepada media mengutuk keras pembunuhan itu dan meminta polis membuat siasatan menyeluruh bagi memberkas suspek.

Sepasang suami isteri ditemui mati




2010/03/16

ALOR GAJAH: Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh manakala suaminya ditemui mati tergantung di sebuah rumah di Taman Seri Redan, Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata wanita berkenaan N Gayaletchumy, 38, ditemui terbaring mati berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman di badannya dalam bilik tidurnya.

Mayat suaminya, A Ilangathil, 41, seorang pemandu lori, ditemui tergantung di ruang tamu rumah berkenaan, katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.

Mohd Adnan berkata seorang saudara lelaki kepada mangsa telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Kuala Sungai Baru dekat sini, kira-kira 7.40 pagi.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku antara 10 malam tadi dan 6.30 pagi hari ini dan hanya disedari oleh seorang daripada dua anak mangsa selepas dia bangun dari tidur pagi tadi.
"Hasil siasatan awal, kita percaya ini adalah kes dimana motifnya suami cemburu kepada isterinya dan kemudian berlaku pergaduhan dan kita percaya telah berlaku tikam di sana kemudiannya si suami mengambil keputusan untuk mengantung diri dia," katanya.
Beliau berkata polis menemui dua bilah pisau dan tali di tempat kejadian yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya mayat suami isteri itu dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Pasangan itu meninggalkan empat orang anak berusia antara 11 dan 16 tahun.

Kejadian itu turut menggemparkan penduduk taman berkenaan sehingga ramai yang datang untuk mengetahui kejadian sebenar.

Anak mangsa, Thanesh, 13, yang ketika kejadian berada di rumah seorang bapa saudaranya di Kampung Jeram dekat sini, berkata kejadian itu amat mengejutkan beliau dan saudaranya.

"Ibu dan bapa saya tidak bergaduh, saya tengok mereka biasa saja," katanya yang kelihatan trauma dengan kejadian berkenaan. - Bernama

Budak lelaki 6 tahun hilang dipercayai diculik





KUALA LUMPUR 15 Mac - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilaporkan hilang dipercayai diculik di rumah neneknya di Perumahan Awam Sri Kota, Cheras, di sini malam Sabtu lalu.
Mangsa, Muhammad Adam Haikal kali terakhir dilihat ibu saudaranya pukul 4.30 petang pada hari kejadian.
Pada ketika itu, mangsa sedang bermain gasing di tingkat tiga pangsapuri berkenaan sebelum turun ke taman permainan perumahan tersebut.
Bagaimanapun kanak-kanak itu tidak muncul di rumah neneknya sehinggalah disedari oleh ibu bapanya pada sebelah malam.
Menurut ibu mangsa, Normayanti Abdul Manan, 30, Muhammad Adam Haikal sudah biasa dengan kawasan perumahan tersebut memandangkan setiap hari dia ditinggalkan bersama neneknya ketika dirinya dan suami keluar bekerja.
Katanya, biasanya, pada pukul 7 petang anaknya itu akan pulang ke rumah neneknya setelah penat bermain.
''Kebetulan pula pada hari Sabtu itu, semua ahli keluarga sedang sibuk dengan persiapan majlis perkahwinan bapa saudara Muhammad Adam.
''Jadi (apabila) sehingga pukul 10 malam Haikal tidak ditemui, kami telah membuat satu laporan di Balai Polis Sungai Besi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Adam Haikal supaya menghubungi keluarga kanak-kanak itu melalui talian 012-2608660 atau 012-2791044.
Kes tersebut telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan polis sedang berusaha mencari kanak-kanak itu.

Dua lelaki ditahan dipercayai palsu kad kredit



KOTA KINABALU 15 Mac - Polis menahan dua lelaki tempatan, masing-masing berasal dari Perak dan Pulau Pinang kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan kad kredit tempatan dan antarabangsa.
Kedua-dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 pagi di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, ketika hendak menaiki pesawat ke Hong Kong, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Supritendan Soh Hock Sing berkata, hasil tangkapan itu pihaknya menjumpai 37 kad kredit palsu daripada kedua-dua lelaki berkenaan.
"Salah seorang daripada suspek menyimpan sebanyak 19 kad kredit palsu di dalam poket seluar.
"Siasatan awal mendapati semua kad kredit itu mempunyai had penggunaan antara RM13,000 dan RM15,000.
"Kita percaya kad-kad itu untuk digunakan di dalam dan luar negara kerana ada yang tidak dilengkapi cip," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, tangkapan tersebut merupakan kes pertama di negeri ini dan ia dilakukan selepas pemantauan rapi polis hasil maklumat orang awam.
Hock Sing memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kedua-dua suspek bagi mengenal pasti kemungkinan ada pihak lain yang terlibat dalam sindiket itu.
"Kedua-dua suspek kini direman selama lima hari dan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Polis juga tidak menolak kemungkinan ada pihak lain yang terlibat dalam kes tersebut," katanya

Pengusaha cuci kereta mati ditembak



TELUK INTAN 15 Mac - Seorang pengusaha kedai mencuci kereta mati ditembak oleh dua lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh di pekan Langkap, Teluk Intan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, P. Siva Pandian, 34, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, siasatan mendapati suspek melepaskan dua das tembakan yang mengenai kepala mangsa.
Beliau berkata, ketika kejadian terdapat tiga ahli keluarga mangsa berada di situ tetapi mereka tidak dicederakan.
"Kedua-dua suspek dipercayai melarikan diri ke arah Kampar dengan menaiki sebuah motosikal dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, polis masih menyiasat punca kejadian itu tetapi tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan dendam.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Hilir Perak di sini untuk bedah siasat.
Sehubungan itu, polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian tersebut supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di talian 05-6212222 bagi membantu siasatan.

Warga Iran sorok syabu dalam bengkung



Nordin Kadir (dua dari kiri) menunjukkan bengkong kain berisi dadah jenis syabu yang dipakai oleh seorang lelaki warga Iran ketika ditahan di KLIA pada sidang akhbar di Shah Alam, semalam. - utusan/Saharuddin Abdullah


SHAH ALAM 15 Mac - Setelah taktik menyorok di dalam bagasi atau menelan dadah berjaya dikesan pihak berkuasa negara ini, pengedar dari Iran kini menukar taktik dengan memakai bengkung yang di dalamnya mengandungi syabu untuk menyeludup dadah.
Taktik terbaru itu bagaimanapun berjaya dihidu apabila seorang lelaki Iran berusia 41 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah tiba dari Dubai pada pukul 10.30 malam, 11 Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, suspek ditahan setelah dalam keadaan mencurigakan terutama di bahagian perutnya yang buncit walaupun bertubuh kecil.
Tambahnya, setelah diperiksa, polis menemui kain yang dibalut pada perutnya dengan di dalamnya mengandungi sebungkus peket plastik lutsinar berisi syabu seberat 2.2 kilogram (kg).
"Nilai dadah itu dianggarkan RM550,000 dan suspek ditahan reman seminggu sejak tarikh ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Nordi memberitahu, dalam kejayaan lain, pihaknya turut menahan seorang lagi rakyat Iran dalam serbuan di sebuah unit apartmen di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, pada hari sama.
Katanya, dalam serbuan itu, polis menemui lapan botol lutsinar berisi syabu seberat 170 gram yang bernilai RM51,000.
"Suspek telah tinggal di negara ini sejak lima tahun lalu dan bekerja dengan menjual permaidani," ujar beliau.
Beliau berkata, dalam kejayaan terbaru, dua suspek tempatan ditahan dan polis berjaya merampas sejumlah Eramin 5 dan ketamin bernilai RM400,000, dalam serbuan di Petaling Jaya, semalam.
Katanya, dalam serbuan pertama pada pukul 11.10 pagi, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 35 tahun dan merampas 72 peket lutsinar berisi ketamin seberat RM1.2 kg.
Katanya lagi, selain itu, 7,000 biji pil Eramin 5 dengan berat 1.8 kg dan wang tunai RM67,000 juga dirampas, dipercayai hasil daripada penjualan dadah.
"Dadah ketamin itu bernilai RM12,500, manakala kesemua pil Eramin 5 berkenaan berharga RM140,000," katanya.
Nordin berkata, susulan itu, polis merampas 10,000 biji pil Eramin 5 dan ketamin seberat 2 kg. di rumah seorang lagi lelaki berusia 40 tahun di Taman Muda pada pukul 3 petang, juga pada hari sama.
Kesemua pil Eramin 5 itu, tambahnya, bernilai RM200,000 serta ketamin pula bernilai 24,000 dan kedua-dua suspek ditahan seminggu untuk membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kita percaya kedua-dua suspek yang positif dadah itu ada hubung kait antara satu sama lain," katanya.
Add to Google   

Siti Nur Zubaidah semakin pulih



KUALA LUMPUR 15 Mac - Kanak-kanak berusia 11 tahun yang dikahwinkan dan dilarikan seorang lelaki dikenali sebagai 'Shamsuddin Ajaib' dua minggu lepas kini semakin pulih dan telah mula bercakap dengan ahli keluarganya.
Siti Nur Zubaidah Hussin bagaimanapun masih dirawat di Hospital Sungai Buloh dan diletakkan di bawah pengawasan doktor.
Ibunya, Siti Sarnan Mat Ali, melahirkan rasa syukur ekoran perubahan anaknya itu berbanding pada hari ketika kanak-kanak tersebut ditemui Khamis lalu.
"Alhamdulillah, syukur anak saya sudah mula menunjukkan tanda-tanda yang baik dan mula berborak dengan keluarganya.
"Cuma kadang-kadang itu, saya lihat Zubaidah masih keliru dan terkejut dengan keadaannya. Apa yang saya harapkan agar dia cepat pulih," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Siti Sarnan memberitahu, Siti Nur Zubaidah juga telah mula bertanyakan tentang persekolahannya serta tidak sabar-sabar untuk bertemu rakan-rakannya.
Katanya, dia akan menghantar anaknya itu ke sekolah sebaik sahaja pulih, supaya dapat memberi tumpuan terhadap Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun depan.
Sementara itu, Siti Sarnan berkata, suaminya Hussin Salleh, 54, telah berbincang dengan peguam mereka untuk mendapatkan kebenaran 'mufaraqah' dengan lelaki terbabit.
"Saya dan suami telah berbincang dengan peguam mengenai kes anak kami yang akan di bawa ke mahkamah tidak lama lagi," katanya.

JHEAIK tunggu keputusan mahkamah



KOTA BHARU 15 Mac - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung permohonan keluarga Siti Nur Zubaidah, 11, untuk mendapatkan kebenaran 'mufaraqah' dengan 'suaminya', Shamsudin Che Deraman, 41, atau lebih dikenali dengan Shamsudin Ajaib sebelum mengambil tindakan lanjut.
Pengarahnya, Datuk Azamli Jamaluddin berkata, ia disebabkan isu utama dalam kes itu adalah status perkahwinan mereka sama ada sah atau sebaliknya.
Beliau bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya masih belum dapat menghubungi Shamsudin Ajaib bagi membantu siasatan kes terbabit.
"Siasatan sedang dijalankan. Bagaimanapun kita sedang menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung permohonan mufaraqah (berpisah sementara) itu.
"Kita perlu melihat sama ada perkahwinan ini sah atau tidak. Kes ini sama dengan kes perkahwinan di Thailand, selepas itu baru tindakan susulan boleh diambil tetapi Shamsudin sehingga kini menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes Siti Nur Zubaidah yang dipaksa berkahwin seorang lelaki tabligh, Shamsudin Ajaib dan dilarikan sebelum ditemui di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera, Kepong, Kuala Lumpur petang kelmarin.
Shamsudin juga dikatakan menjadi punca kepada satu lagi pernikahan kanak-kanak apabila menikahkan anaknya sendiri berusia 10 tahun dengan seorang rakan yang dikenali sebagai Azhar ketika memandu kereta 19 Februari lalu.
Shamsudin dipercayai mempengaruhi seorang lagi rakannya, Hussin Mat Salleh untuk memberikan anaknya, Siti Nur Zubaidah untuk dikahwini.
Azamli berkata, kes tersebut disiasat di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.
Bagaimanapun di bawah enakmen itu, katanya, mereka yang tidak mendapat kebenaran hanya boleh dihukum denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Hussin tidak pulang sejak tiga hari lalu



KUALA KRAI 15 Mac – Selepas Siti Nur Zubaidah, 11, kanak-kanak yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh ditemui, kini bapanya, Hussin Mat Salleh, 54, pula menghilangkan diri.
Hussin dikatakan tidak pulang ke rumah sejak tiga hari lalu, selepas menghantar lima lagi anaknya ke rumah mentua di Kampung Bukit Mas, Tanah Merah kerana isterinya, Siti Sarnan Mat Ail, 42, ke Kuala Lumpur untuk menguruskan Siti Nur Zubaidah.
Kehilangan tersebut dikatakan berpunca daripada perselisihan faham antara penoreh getah itu dengan keluarga mertuanya yang kesal dengan perlakuan Hussin merelakan anaknya dinikahkan.
Bagaimanapun, Siti Sarnan memberitahu, dia tidak mengetahui cerita tentang perselisihan faham itu tetapi mengesahkan kesemua anaknya kecuali Siti Nur Zubaidah berada di rumah ibu bapanya.
Siti Sarnan yang kini masih di Kuala Lumpur juga tidak mengetahui di mana suaminya berada pada masa ini kerana Hussin tidak mempunyai telefon bimbit untuk dihubungi.
“Jumaat lalu suami saya telah membawa anak-anak kami ke rumah ibu bapa saya untuk ditinggalkan buat sementara waktu.
“Selepas itu saya tidak tahu di mana dia berada, dia tidak menggunakan telefon bimbit dan dia juga tidak menghubungi saya sejak tiga hari lalu.
“Dia juga tidak memberitahu ke mana dia pergi dan saya mendoakan semoga dia selamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di rumah mereka di Dabong, Kuala Krai mendapati kosong dan berkunci.
Jirannya, Mohd. Noor Ibrahim, 56, berkata, “Sejak tiga hari lalu saya tak nampak dia (Hussin) di surau dan rumahnya juga berkunci. Selalunya setiap kali waktu solat dia mesti datang ke surau ini.
“Apa yang saya tahu Hussin mengikut kumpulan tabligh sejak dulu lagi dan dia seorang yang pendiam serta tidak bergaul dengan orang kampung, hanya sekadar bertegur sapa,” katanya.
Katanya, Hussin pernah memberitahunya sebelum ini untuk membawa Siti Nur Zubaidah ke sebuah pondok tahfiz di Wakaf Baru, Tumpat dengan bayaran yuran sebanyak RM130.
“Saya juga pernah sekali menemui ‘Shamsudin Ajaib’ ketika dia datang berdakwah ke kampung ini.
“Dia (Shamsudin Ajaib) juga pernah membawa beberapa remaja lelaki dari kampung ini keluar berdakwah bersamanya,” ujarnya.
Tambahnya, penduduk kampung tidak menjangkakan Shamsuddin sanggup bertindak mempengaruhi Hussin untuk memberikan anaknya untuk dinikahi

Warga emas 'lacur' isteri untuk kepuasan



KUALA LUMPUR 15 Mac - Hanya kerana ingin memuaskan nafsunya, seorang lelaki warga emas sanggup 'melacurkan' isterinya sendiri kepada warga asing. Lebih jijik, lelaki berusia 66 tahun itu, turut merakam aksi ranjang isterinya bersama warga asing tersebut sebagai koleksi peribadi.
Sejak empat tahun lalu, isterinya yang berusia 61 tahun telah melakukan lebih 30 kali hubungan seks dengan lelaki warga asing berbeza.
Mangsa yang berasal dari Sarawak dan hanya ingin dikenali sebagai Chia berkata, suaminya melakukan perbuatan terkutuk itu sejak tidak dapat melakukan hubungan seks kerana mati pucuk.
"Sejak itu, suami saya mula mencari mana-mana lelaki terutamanya warga asing. Dia kemudian membiarkan lelaki itu melakukan hubungan seks dengan saya sambil dilihatnya.
"Jika enggan, saya akan dipukul oleh suami," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di Ampang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong.
Menurut Chia, lelaki-lelaki yang 'bersamanya' tidak diberikan bayaran sebaliknya hanya akan diberikan upah seperti minuman keras.
Katanya, akibat tidak tahan dengan kelakuan suaminya, dia telah melarikan diri dari rumahnya sebelum membuat aduan di Wisma MCA.
Sementara itu, Michael berkata, mangsa dan rakannya datang ke biro tersebut untuk mengatasi masalahnya tetapi enggan membuat laporan polis.
"Oleh itu MCA akan melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah ini dengan berjumpa dan berbincang dengan suami mangsa terlebih dahulu," katanya.
Sementara itu, Chia yang sudah 12 tahun mendirikan rumah tangga dengan suaminya, mempunyai tiga anak hasil daripada perkahwinan suaminya bersama isteri pertama.
  

Mayat bayi ditemui berhampiran surau


















Seorang anggota polis melihat mayat bayi lelaki yang ditemui berhampiran surau di sebuah stesen minyak di Bandar Bukit Tinggi, Klang, semalam. - Bernama
KLANG 15 Mac - Satu lagi kes buang bayi dilaporkan, kali ini berlaku berhampiran surau sebuah stesen minyak di Bandar Bukit Tinggi, di sini. Mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan itu ditemui di dalam plastik sampah yang ditinggalkan di atas rumput di situ kira-kira 6.30 pagi.
"Bayi yang berkulit cerah itu ditemui dibalut dengan tuala dan dimasukkan ke dalam beg plastik sampah. Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan tali pusatnya yang masih berdarah.
"Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sebelum dibuang kerana badan mangsa telah dibersihkan. Tiada kesan kecederaan ditemui pada mangsa," kata Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop.
Beliau berkata, mayat bayi berkenaan ditemui oleh seorang pekerja stesen minyak tersebut sebelum memaklumkannya kepada polis.
Mayat bayi itu kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah. - Bernama

Sindiket jual bayi terbongkar





KUALA LUMPUR 15 Mac - Setelah membongkar sindiket menjual bayi di Banting, Klang dan Kajang, Selangor, Disember lalu, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kini mengesan dua buah sindiket lagi yang melakukan aktiviti jenayah sama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin ketika mendedahkan perkara itu berkata, kedua-duanya yang didalangi warga asing dikesan aktif sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti identiti dalang bagi kedua-dua sindiket tersebut dan hanya menunggu masa untuk bertindak.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan bayi yang telah dijual oleh kedua-dua sindiket terbabit serta negara asal mereka terlibat.
"Kita telah memasang umpan dan hanya sedang menunggu masa untuk menahan mereka," katanya di sini hari ini.
Mohd. Bakri berkata, pihaknya memerlu masa untuk meneliti maklumat dengan lebih terperinci aktiviti kedua-dua sindiket tersebut serta mengesan rangkaiannya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut dibantu oleh kakitangan dari sebuah jabatan kerajaan untuk mengeluarkan sijil lahir kepada 'anak segera' itu.
Disember lalu, polis membongkar kegiatan sindiket penjualan bayi berusia antara enam dan 18 bulan di Banting, Klang dan Kajang, Selangor, yang didalangi oleh seorang ibu dan dua anaknya.
Kesemua bayi terbabit dijual dengan harga antara RM5,000 dan RM18,000.
Ketiga-tiga mereka kemudian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang kerana memperdagangkan tiga bayi perempuan berumur sehari yang dilahirkan tiga warga asing bagi tujuan dieksploitasi.
Mohd. Bakri berkata, polis sedang meneliti sama ada kedua-dua sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan kumpulan-kumpulan penjualan bayi yang ditahan sebelum ini.
Ditanya sama ada modus operandi sindiket itu bertumpu di hospital kerajaan atau sebaliknya, beliau juga enggan mendedahkan.