Search This Blog

Monday, March 15, 2010

Siti Nur Zubaidah mahu tinggal dengan saudara



KUALA LUMPUR 14 Mac - Dalam kegembiraan bertemu kembali dengan anak tersayang, Siti Sarnan Mat Ail, 42, mungkin terpaksa merelakan seketika anaknya itu berjauhan daripadanya.
Ini kerana anak kesayangannya itu, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang masih keliru dan trauma dengan apa yang berlaku ke atasnya sejak dua minggu lalu memilih untuk tidak pulang ke rumah.
Sebaliknya, kanak-kanak itu yang dinikahkan secara paksa dengan Shamsuddin Che Derahman, 41, atau dikenali sebagai Shamsudin Ajaib memilih untuk tinggal di rumah saudara terdekatnya.
"Kami sekeluarga memberi peluang kepada Siti Nur Zubaidah memilih sendiri untuk tinggal di mana dan dengan siapa.
"Dia mahu seorang saudara terdekat kami di daerah berdekatan di Kelantan menjaganya," kata Siti Sarnan ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Hospital Sungai Buloh hari ini.
Ibu malang itu terpaksa reda dengan pilihan kanak-kanak itu kerana tidak sanggup lagi melihat anaknya terus dibelenggu mimpi ngeri selepas dikahwinkan dan dilarikan lelaki tabligh itu.
Ketika menceritakan kejadian itu, Siti Sarnan mengakui lelaki tabligh itu mampu mempengaruhi mereka sekeluarga sehingga dia mempercayai kata-kata yang diucapkan sementara suaminya, Hussin Mat Salleh, 54, sukar membantah permintaan Shamsuddin.
"Kami bagai tak tahu apa yang berlaku, macam mimpi. Begitu pantas ia berlaku.
"Saya tidak menyangka lelaki itu akan melarikan anak kami dengan alasan ingin membawanya mendaftar ke sekolah tahfiz. Dengan mudah saya percaya bila suami turut serta," jelasnya.
Siti Nur Zubaidah yang masih menerima rawatan dan kaunseling di Hospital Sungai Buloh dijangka memulakan persekolahan di sekolah agama yang baru berdekatan rumah saudaranya apabila dibenarkan keluar dari hospital itu.

Kubur mangsa Nazi ditemui di Austria



SEORANG lelaki memegang sebuah gambar satelit yang menunjukkan wujudnya kubur besar di bawah padang bola kem tentera di Graz, Austria. - AP


VIENNA 14 Mac - Sekurang-kurangnya dua kubur beramai-ramai menempatkan mangsa pembunuhan Nazi ditemui di tanah yang digunakan tentera Austria, kata sumber rasmi kerajaan, kelmarin.
Kenyataan tentera mengatakan, antara mayat yang dikuburkan di situ, mungkin termasuk juruterbang-juruterbang Amerika Syarikat yang ditembak jatuh dan dipenjarakan ketika Perang Dunia Kedua.
Kolonel Polis yang juga jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Rudolf Gollia berkata, pihaknya bercadang mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah itu untuk melakukan penggalian mayat dan masih tidak mengetahui secara jelas sama ada ia kepunyaan tentera atau disewa.
Kubur beramai-ramai itu kini menjadi padang sukan tentera di Graz dan sumber menyatakan ia mengandungi 70 mayat mangsa yang dibunuh SS bagi menghapuskan bukti kekejaman Nazi beberapa hari sebelum ketibaan tentera Soviet.
Kubur itu dikenal pasti daripada gambar-gambar ketika perang diambil pengebom Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan kubur dan mayat berkenaan.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan laman web tentera Austria kelmarin, ia menyebut, seramai 219 mangsa ditanam beramai-ramai di lokasi itu ketika Perang Dunia Kedua bagi cubaan menyembunyikan kekejaman di situ.
Penyiasatan dijalankan bagi mencari lebih banyak mayat dan lokasi mangsa pembunuhan ditempatkan pada hari-hari terakhir Perang Dunia Kedua," lapor kenyataan itu.
"Keganasan sistematik dilaku kan Gestapo bukan sahaja memfokuskan pejuang penentang, tahanan perang, penghuni kem dan buruk paksa, tetapi juga ia menembak jatuh juruterbang AS," katanya.
Ketika mayat yang ditempatkan semula itu sudah ditemui dan dikebumikan secara sempurna, kira-kira 70 mayat masih tidak dapat dikesan sehingga siasatan yang dibuat menentukan kedudukan mereka.
Penyiasatan yang dijalankan itu juga membongkar identiti dua orang pesalah yang disyaki dan dipercayai lari ke Jerman dan masih hidup.

Pengarah filem seks sertai politik



BIRMINGHAM 14 Mac – Seorang wanita yang telah mengarah 300 filem seks ‘mesra wanita’ bakal menguji tahap pemikiran liberal pengundi Britain apabila beliau bertanding untuk kerusi Parlimen pada pilihan raya yang dijadual berlangsung beberapa minggu lagi.
Anna Arrowsmith (gambar), 38, yang menggunakan nama Anna Span sebagai pengarah filem akan bertanding atas tiket parti pembangkang, Demokrat Liberal di kawasan Parlimen Gravesham, Kent, di tenggara England.
Pemilihan beliau pada saat-saat akhir untuk merebut kerusi tersebut selepas calon sebelumnya menarik diri menjadi tajuk berita di seluruh Britain semalam, ketika anggota Demokrat Liberal (Lib Dems) bermesyuarat di bandar raya Birmingham bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan pada Mei ini.
Akhbar terkemuka, Times turut menyiarkan gambar Arrowsmith di muka depan dengan keterangan: “Wanita yang menjadikan Lib Dems lebih menarik”.
Pemimpin parti, Nick Clegg berkata, beliau tidak meminati filem Arrowsmith tetapi wanita itu sekurang-kurangnya tidak melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.
Clegg berkata demikian sebagai sindiran terhadap ahli-ahli politik lawan yang didapati terlibat dengan skandal tuntutan perbelanjaan melampau yang dikemukakan oleh ahli Parlimen.
Arrowsmith, Pengarah Urusan Easy on the Eye Productions, berkata, beliau melangkah ke arena politik sebagai alternatif yang sewajarnya selepas bertahun-tahun berkempen untuk memperbaiki hak wanita dalam industri filem seks.
“Saya berharap untuk membawa kemahiran yang saya pelajari sebagai seorang pejuang wanita ke pentas politik peringkat nasional di Westminster,” katanya.
Walaupun Arrowsmith mengambil sikap bersahaja terhadap bidang perfileman yang diceburinya, beliau tidak pernah beraksi di hadapan kamera.
“Anda perlu menjadi seorang yang memang suka mendedahkan tubuh di khalayak ramai.
“Bintang filem pornografi sanggup berjalan di jalan raya dalam keadaan bogel, itu yang mereka suka, tetapi saya tidak begitu,” kata beliau. – Reuters.

India tahan dua disyaki militan



MUMBAI 14 Mac - Polis India menahan dua lelaki yang didakwa membuat persiapan menyerang beberapa sasaran di pusat kewangan India, termasuk pejabat firma tenaga, Oil and Natural Gas Corporation.
Polis berkata, ia percaya lelaki-lelaki itu yang dikenali sebagai Abdul Lateef dan Riyaz Ali menerima arahan dari Pakistan.
Sebelum ini, kerajaan India mengatakan, kumpulan militan berpengkalan di Pakistan bertanggungjawab melakukan serangan pada November 2008 di Mumbai yang mengorbankan 166 orang.
"Kita percaya kedua-dua lelaki ini mendapatkan arahan daripada negara lain bagi menyerang tiga atau empat sasaran di Mumbai.
"Mereka kini disoal siasat," kata Inspektor skuad anti-keganasan Mumbai, Vinesh Agarwal.
Keselamatan di Mumbai diperketatkan sejak kejadian pengeboman di Pune bulan lalu yang mengakibatkan 16 orang terkorban, yang mana ia adalah serangan besar-besaran pertama dilancarkan militan selepas serangan di Mumbai pada 2008.
Mumbai adalah tuan rumah beberapa perlawanan kriket bagi Liga Utama India (IPL) yang menampilkan pemain India dan antarabangsa. - Reuters

35 maut serangan bom nekad



SEORANG anggota tentera menjadi perhatian orang ramai di kawasan serangan bom nekad dekat penjara Kandahar, semalam. – REUTERS


KANDAHAR 14 Mac – Sekumpulan pengebom nekad meletupkan bom di sebuah penjara yang kubunya baru dibina, ibu pejabat polis dan dua lokasi lain, mengorbankan 35 nyawa termasuk 13 pegawai polis di bandar terbesar dekat kawasan tengah Taliban tersebut.
Menurut anggota majlis wilayah Kandahar, Ahmed Wali Karzai, penjara itu merupakan sasaran utama dalam serangan semalam, namun tiada banduan dilapor berjaya meloloskan diri.
Ahmed Wali yang juga adik kepada Presiden Hamid Karzai berkata, dua daripada letupan itu berlaku berhampiran rumahnya, namun tidak mengakibatkan kerosakan.
Beliau memberitahu The Associated Press, tentera Kanada telah memperteguh penjara tersebut dengan blok-blok simen selepas satu serangan nekad pada 2008 meletupkan pintu masuk penjara dan membebaskan beratus-ratus penjenayah serta banduan yang disyaki anggota pemberontak.
“Mereka mahu terus membuatkan orang ramai sibuk di bandar dan menghancurkan penjara, tetapi tentera Kanada telah melakukan tugas yang baik.
“Mereka menjalankan banyak pembinaan semula, jadi pihak pemberontak tidak dapat memusnahkan penjara kali ini,” katanya.
Tambah Ahmed Wali, satu serangan nekad berlaku di depan pintu pagar ibu pejabat polis Kandahar yang turut mengakibatkan kecederaan dan kematian di kalangan orang awam.
“Rumah-rumah serta premis perniagaan di situ runtuh, menyebabkan orang ramai masih terperangkap di bawah runtuhan.
“Terdapat sebuah dewan perkahwinan berhampiran ibu pejabat polis tersebut, di mana satu majlis perkahwinan sedang berlangsung. Banyak kecederaan dan kematian dilapor daripada letupan-letupan tersebut.” ujar beliau.
Beliau berkata, seramai 35 termasuk 22 orang awam dilapor terbunuh sementara 57 yang lain mengalami kecederaan. – AP

Georgia panik gara-gara berita palsu televisyen



TBILISI 14 Mac - Suasana panik melanda Georgia semalam apabila sebuah stesen televisyen pro-kerajaan menyiarkan laporan palsu kononnya kereta-kereta kebal Rusia telah memasuki ibu negara tersebut dan Presiden, Mikheil Saakashvili telah dibunuh.
Imedi TV memulakan laporan tersebut dengan menyatakan ia adalah 'contoh pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku' namun amaran tersebut tidak didengari oleh banyak penonton yang seterusnya menyaksikan rangkaian telefon mudah alih menjadi sesak dan warga kota ini bergegas ke jalan-jalan raya.
Laporan itu mengimbas kejadian yang membabitkan dua negara berjiran bekas Soviet itu pada Ogos 2008 apabila Rusia menyerang sekutu Amerika Syarikat (AS), Georgia yang sebelum itu menyerang wilayah memberontak, South Ossetia dalam perang yang menyaksikan kereta-kereta kebal Rusia mara hingga 45 kilometer dari sini.
Kementerian Dalam Negeri Georgia berkata, laporan berkenaan tidak disertakan pernyataan yang menyatakan ia adalah satu 'imbasan' menyebabkan berlakunya suasana panik melampau.
Seorang peminat filem dalam keadaan gelabah berkata, sebuah panggung wayang turut dikosongkan di sini apabila ibu bapa memanggil anak-anak mereka pulang ke rumah.
Agensi berita Rusia, Interfax melaporkan 'dakwaan' Imedi TV itu tetapi tidak mengesahkan pencerobohan oleh kereta-kereta kebal Rusia mahupun kematian Saakashvili.
Siaran radio Echo Moskvy di Moscow turut menyelitkan 'berita' berkenaan ketika program biasa sedang ke udara.
Dengan menggunakan gambar arkib perang pada 2008 itu, Imedi TV menunjukkan kereta-kereta kebal Rusia sedang mara memasuki Georgia.
Beralih kepada siaran langsung satu rancangan bual bicara, pengacara terlibat memohon maaf bagi sebarang suasana panik yang berpunca daripada laporan tersebut dengan berkata: ''Kami hanya mahu menunjukkan tentang bagaimana agaknya keadaan hari terburuk dalam sejarah Georgia akan kelihatan.''
Laporan berkenaan ditujukan kepada pembangkang Georgia yang baru-baru ini menemui Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin dan menyeru kedua-dua negara menjalin semula hubungan.
Ketua Georgia Media Production Holding, Georgy Arveladze yang memiliki Imedi TV berkata, tujuan rancangan tersebut ialah untuk menunjukkan 'ancaman sebenar' tentang apa yang mungkin berlaku.
Puluhan warga Georgia yang berang dengan laporan itu menyerbu Imedi TV di mana ahli politik pembangkang, Nino Burjanadze memberitahu pemberita, ia adalah sesuatu yang amat memalukan. - Reuters

Suspek tikam rakan direman seminggu



ALOR SETAR 14 Mac - Seorang wanita berusia 33 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh rakannya yang ditemui mati ditikam di Taman Kristal Mergong, di sini pada 4 Mac lalu.
Perintah tahanan reman ke atas wanita itu yang juga merupakan suspek utama kes berkenaan dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10.30 pagi ini.
Suspek ditahan polis semalam sejurus selepas dia dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setelah dia dirawat di hospital itu sejak hari kejadian.
Dia ditahan reman di bawah Seksyen 117, Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan kes itu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, perintah reman itu untuk membolehkan siasatan dijalankan dalam pelbagai aspek.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
"Sebelum ini polis telah memanggil beberapa orang saksi berhubung kes ini. Penahanan suspek dipercayai akan membantu melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam di Taman Kristal itu, seorang gadis, Suhana Mohd. Shariff, 26, meninggal dunia akibat ditikam bertubi-tubi di beberapa bahagian badan termasuk perut dan dada dipercayai oleh rakan wanitanya.
Selepas kejadian itu, suspek dipercayai turut mengelar tangan kiri dan menikam dadanya sendiri.
Dua rakan karib yang bekerja di sebuah kedai alat tulis itu dipercayai bergaduh dalam kereta milik mangsa kerana terdapat kesan darah ditemui di tempat duduk pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan.

UPP rampas 76 guni benih kerang seludup



RANTAU PANJANG 14 Mac - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 76 guni benih kerang bernilai RM52,000 yang dipercayai cuba diseludup di Kampung Banggol, Setol, dekat sini, petang semalam.
Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, pihaknya juga menahan seorang lelaki dipercayai pemandu lori yang membawa benih kerang itu.
Menurutnya, kejayaan itu hasil serbuan yang dilakukan sepasukan enam anggota unitnya dari Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur, Tumpat, setelah mendapat maklumat daripada orang ramai kira-kira pukul 7 malam.
"Kita percaya, kerang itu cuba diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di negeri ini," katanya kepada pemberita di Pejabat UPP Pengkalan Kubur, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati lori terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu berdasarkan lesen cukai jalan yang dipamerkan.
Menurutnya, semua barang kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kelantan untuk diambil tindakan lanjut.
Katanya, tangkapan barang kes tersebut mengikut Akta Perikanan 1983 di bawah Peraturan Perikanan Pemuliharaan (Kultur Kerang) dan jika sabit kesalahan boleh didenda di mahkamah sehingga RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
— BERNAMA

KDN perlu tegas terhadap China Press



KUALA LUMPUR 14 Mac - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap akhbar China Presskerana telah mempengaruhi rakyat negara ini dengan laporan tidak benar.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya berharap supaya tiada amaran pertama, kedua atau terakhir diberikan kepada China Press berhubung perkara itu.
Menurutnya, KDN juga tidak seharusnya membenarkan akhbar itu memperbaiki kelemahan mereka dengan membuat laporan semula.
Kata beliau, China Press tidak seharusnya diberi peluang berkenaan kerana akhbar itu langsung tidak bertanggungjawab dalam menjadi medium perantara yang baik untuk rakyat.
''Saya sedikit pun tidak terkejut dengan laporan China Press itu kerana sudah jelas bahawa akhbar itu sering mengapi-apikan isu Melayu di kalangan kaum Cina,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menafikan pihaknya menerima surat peletakan jawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan seperti yang dilaporkan dalam China Press.
Menurut Hishammuddin, laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan pihak pengurusan akhbar itu akan dipanggil untuk memberikan penjelasan.
Ibrahim seterusnya berkata, beliau tidak mahu kejadian seperti 1999 berulang yang mana, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina pernah menimbulkan kekecohan dengan membuat pelbagai tuntutan sehingga menimbulkan kemarahan orang Melayu.
Bagaimanapun, katanya, ketika itu orang Melayu masih berdiam diri dan nasib NGO itu masih terbela.
''Perkasa tidak akan berdiam diri, justeru mahu KDN lebih tegas dan berani mengadili kesalahan China Press itu,'' ujarnya.

Polis tumpas Geng Botak



KUALA LUMPUR 14 Mac - Jika kebiasaannya penjenayah tidak menetapkan masa tertentu untuk melakukan kegiatan pecah rumah, tetapi berlainan pula bagi kumpulan ini yang dikenali sebagai 'Geng Botak'.
Ini kerana kumpulan itu hanya memilih masa tertentu iaitu daripada pukul 9 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat, untuk melakukan kegiatan pecah rumah.
Kegiatan mereka bagaimanapun terbongkar apabila diberkas polis dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Pasar Baru, di sini Jumaat lalu.
Ketika serbuan pada pukul 6.15 petang itu, ketiga-tiga suspek yang berusia 38 hingga 55 tahun itu baru sahaja pulang dari menyamun tiga buah rumah di Kajang, Cheras dan Ampang.
Difahamkan, kumpulan tersebut akan melakukan jenayah itu sekurang-kurangnya tiga hingga empat buah rumah dalam sehari.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, serbuan dilakukan selepas menerima satu maklumat oleh seorang mangsa yang merupakan kakitangan kerajaan.
Beliau berkata, wanita yang berusia 30-an itu melihat suspek menggunakan walkie talkiesebelum melarikan sebuah kereta Toyota Vios milik mangsa.
"Dia kemudian menghubungi pihak polis berhubung kejadian itu," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Abdul Jalil, bertindak atas maklumat tersebut, pihaknya berjaya memberkas suspek di pangsapuri Pasar Baru, Pudu di sini.
Katanya, modus operandi kumpulan berkenaan adalah melakukan jenayah itu pada hari bekerja.
Beliau memberitahu, kumpulan itu juga hanya memilih rumah teres tidak berpenghuni dan menggunakan pemutar skru, pemotong jeriji serta kunci allen untuk memecah masuk.
"Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas pelbagai barang curi yang terdiri daripada telefon bimbit, kamera, permainan video termasuk dua buah kereta Toyota Vios dan Proton Waja yang dilaporkan hilang di Kajang dan Ampang.
"Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun dan akta senjata api," katanya.
Selain itu, tambah Abdul Jalil, pihaknya kini memburu sepasang suami isteri berusia 30 dan 40-an yang dipercayai juga ahli kumpulan terbabit.
Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Polis rekod keterangan editor





KUALA LUMPUR 14 Mac – Polis akan merekodkan keterangan seorang editor kanan akhbar China Press yang dikaitkan dengan laporan berhubung peletakan jawatan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhamad Sabtu Osman berkata, satu laporan telah dibuat oleh pihaknya di Ibu Pejabat Polis Brickfields terhadap individu berkenaan petang semalam.
“Kita akan memanggil editor itu dalam masa terdekat berhubung artikel disiarkan semalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar berbahasa Cina itu berikutan penyiaran laporan terbabit.
Akhbar tersebut diminta mengemukakan penjelasan secara bertulis kepada KDN dalam tempoh tujuh hari.
Tindakan itu diambil berdasarkan peruntukan Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Akhbar itu, dalam laporannya menyebut Musa akan bersara sebelum Hari Polis pada 25 Mac ini dan tempat beliau akan diganti oleh timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.
Sumber akhbar terbabit menyatakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menerima surat itu.
Muhamad Sabtu berkata, pada masa yang sama pihaknya sedang menyiasat sama ada artikel itu ditulis atas kehendak sendiri atau dihasut oleh mana-mana pihak.
Katanya, selain itu, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat daripada mana sumber tersebut diperoleh.

Siasat guna undang-undang syariah, sivil




Siti Sarnan Mat Ail menceritakan detik cemas anaknya, Siti Nur Zubaidah Hussin yang menjadi mangsa kahwin paksa bawah umur kepada Shahrizat Abdul Jalil dan pihak akhbar di Hospital Sungai Buloh, Selangor, semalam.



KUALA LUMPUR 14 Mac - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap seorang lelaki tabligh yang mengahwini kanak-kanak bawah umur mengikut undang-undang syariah dan Kanun Keseksaan.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pada masa sama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan juga perlu menyiasat kumpulan jemaah tabligh di negeri itu yang dikatakan menggalakkan perkahwinan dengan kanak-kanak dan menjanjikan balasan syurga kepada ibu bapa.
"Perbuatan berkahwin dengan kanak-kanak ini perlu disiasat kerana mungkin telah melanggar Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002 yang memerlukan kebenaran Mahkamah Syariah bagi mengahwinkan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.
"Saya juga mohon pihak polis dan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap lelaki tersebut mengikut Kanun Keseksaan seperti Seksyen 354, iaitu jika terbukti mencabuli kanak-kanak di bawah umur," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang ditemani ibunya Siti Sarnan Mat Ail, 42, di Hospital Sungai Buloh, dekat sini hari ini.
Kanak-kanak itu sebelum ini dikatakan telah dikahwinkan secara paksa dengan seorang lelaki tabligh, Shamsuddin Che Derahman, 41, atau lebih dikenali sebagai Shamsudin Ajaib.
Kelmarin, Siti Nur Zubaidah ditemui di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera, Kepong selepas dua minggu menghilang bersama 'suaminya' itu.
Sementara itu, Shahrizat turut memohon bantuan media dan masyarakat umum dalam mencari seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dikatakan turut dikahwinkan dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua.
"Seorang kita sudah jumpa, seorang lagi belum. Siti Nur Zubaidah yang baru ditemui ini masih trauma dan perlu menjalani kaunseling, bantu kami mencari yang seorang lagi itu.
"Saya juga berharap semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif dalam melaksanakan polisi perlindungan kanak-kanak.
"Kerajaan telah menyediakan undang-undang seadanya. Oleh itu, semua pihak perlu bergerak secara proaktif tanpa perlu menunggu kerajaan mengepalai usaha melindungi kanak-kanak di negara ini," ujarnya.

Rasuah: Yen Yen buat laporan polis hari ini



PULAU PINANG 14 Mac - Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen akan membuat laporan polis esok mengenai dakwaan sebuah blog bahawa beliau dan anaknya terbabit dalam rasuah dengan menubuhkan sebuah syarikat bagi mempromosi produk pelancongan negara.
Beliau yang berang dengan perkara itu menegaskan, peguamnya juga akan mengesan penulis blog tersebut untuk tindakan lanjut.
Menurut Yen Yen, beliau bertindak demikian bagi membersihkan nama dan keluarganya.
"Ini adalah satu pembohongan yang melampau serta berniat jahat dan merupakan pencabulan ke atas peribadi saya.
"Saya ingin jelaskan di sini bahawa semua urusan kontrak dibuat secara terus dan tiada pihak ketiga terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat mengenai projek naik taraf Bukit Bendera di sini hari ini.
Artikel di laman blog 'New Kid On Blog' itu mendakwa Yen Yen menggunakan kedudukan sebagai Menteri Pelancongan memberikan kontrak untuk mempromosi produk pelancongan kepada sebuah syarikat milik rakan baik anaknya.
Selain itu, artikel tersebut turut mendakwa beliau mahu program kempen media pelancongan disegerakan untuk menggunakan wang terbabit bagi tujuan peribadi iaitu pemilihan baru MCA pada 28 Mac ini.
Yen Yen yang juga bekas Naib Presiden MCA memberitahu, beliau percaya dakwaan dalam blog tersebut tiada kena mengena dengan pemilihan parti.
"Saya tidak percaya orang dalam MCA sendiri akan berbuat sebegini.
"Namun, saya tidak nafikan mungkin ada pihak yang sengaja mahu menjatuhkan imej MCA," katanya.