Search This Blog

Friday, March 12, 2010

'Shamsudin Ajaib' punca nikah budak?

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
KOTA BHARU 11 Mac - Seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Shamsudin Ajaib' dikatakan menjadi punca kepada dua kes perkahwinan dua budak perempuan di negeri ini.

Dia yang dikatakan mengetuai sebuah kumpulan tabligh menggunakan kepandaian memujuk untuk mempengaruhi anggota jemaahnya menyerahkan anak-anak perempuan untuk dinikahi sesama mereka walaupun berusia di bawah umur.

Perkara tersebut didedahkan oleh salah seorang ahli kumpulan itu, Hussin Mat Salleh, 54, ketika ditemui Utusan Malaysia di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Hussin bersama isterinya, Siti Sarnan Mat Ail, 42, dari Dabong Kuala Krai hadir di mahkamah untuk memfailkan permohonan mufaraqah (berpisah sementara) di atas perkahwinan anaknya, Siti Nur Zubaidah, 10, dengan Shamsudin pada 20 Februari lalu.

Shamsudin dipercayai diberi gelaran 'ajaib' kerana kepandaiannya dalam perubatan alternatif dan pernah mempunyai empat isteri sebelum ini.

Katanya, perkahwinan yang dikatakan mengikut sunah berlangsung dalam keadaan yang amat 'mudah' - di atas sebuah madrasah di Machang sambil disaksikan dengan ahli jemaah yang lain.

"Saya sebenarnya terkeliru dengan kata-kata Shamsudin Ajaib. Dia menggunakan kepandaian bercakap dan 'ilmu' untuk mempengaruhi saya bagi menikahkannya dengan Siti Zubaidah.

"Dia mempengaruhi saya semasa dalam perjalanan dari Jelawang, Dabong ke Kota Bharu untuk berdakwah malah dalam perjalanan itu juga dia menikahkan anak perempuannya berusia 10 tahun dengan rakannya yang dikenali sebagai Azhar," katanya.

Hussin, seorang penoreh getah berkata, ketika itu mereka dalam perjalanan ke Kota Bharu bersama dengan ahli-ahli jemaah yang lain.

Menurutnya, pada keesokan hari dalam perjalanan pulang ke Dabong, mereka singgah di sebuah madrasah di Machang dan melangsungkan pernikahan dengan disaksikan ahli jemaah lain.

"Keesokan paginya, kami pulang ke rumah saya untuk mengambil Siti Zubaidah sambil memberi alasan kepada isteri untuk membawanya belajar di sebuah sekolah tahfiz di Wakaf Bharu bersama dengan anaknya yang dinikah dengan Azhar itu.

"Bagaimanapun ketika tiba di sekolah itu, kami hanya mengambil anaknya yang dikenali sebagai Aisyah dan kemudiannya bermalam di sebuah hotel di Kota Bharu, mungkin dipukau saya membenarkan Shamsudin tidur sebilik dengan Siti Nur Zubaidah.

''Turut bersama kami Azhar dan 'isteri' barunya itu tetapi di bilik berasingan.

"Ketika itu anak saya menangis teresak-esak tidak mahu bersama Shamsudin tetapi saya membiarkan Siti Nur Zubaidah bersama 'suaminya' itu," katanya.

Katanya lagi, selepas semalaman di hotel, dia bersama anak dan 'menantunya' ke rumah isteri kedua Shamsudin di Kubang Bemban, Pasir Mas sambil meninggalkan Azhar dan Aishah untuk menginap di hotel.

"Keesokan harinya (23 Februari lalu), saya ditinggalkan Shamsudin di markas kami di Dusun Raja, di sini dan membawa anak kedua saya itu.

"Ketika itu, saya seperti terkeliru dan membiarkan mereka pergi bersama kereta Proton Iswara milik saya. Sejak dari hari itu sampai sekarang saya tidak pernah bertemu dengan mereka," katanya.

Kata Hussin, isterinya hanya mengetahui tentang perkahwinan tersebut selepas dia pulang ke rumah dan semasa pernikahan itu berlangsung Siti Nur Zubaidah tiada bersama.

Ekoran itu, Siti Sarnan membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Mas pada 24 Februari lalu tentang kehilangan Siti Zubaidah dan keretanya.

Dia berharap orang ramai yang mengenali Siti Zubaidah atau Shamsudin supaya menghubunginya di talian 013-2272755 atau mana-mana balai polis berhampiran