Search This Blog

Wednesday, March 10, 2010

Tuah Tahun Harimau


KUALA LUMPUR 9 Mac – Tahun Harimau kali ini benar-benar membawa tuah kepada seorang penasihat perniagaan. Ini kerana Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan menipu seorang remisier membabitkan cek berjumlah RM1.22 juta, enam tahun lalu.
Hakim Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian di akhir kes pembelaan selepas meneliti keterangan saksi-saksi termasuk daripada isteri, ibu dan ibu mertua Tan Ew Chew, 53.
Hakim itu ketika menyampaikan keputusannya menyatakan, ‘kerugian’ yang didakwa dialami oleh pengadu berpunca daripada kecuaian sendiri.
“Salah seorang saksi pembelaan yang juga seorang remisier telah memberi keterangan secara terperinci mengenai prosedur yang perlu dipatuhi oleh mana-mana remisier ketika menjalankan transaksi.
“Melalui keterangan pengadu, saya dapati tindakan yang diambil olehnya iaitu menjalankan transaksi tanpa arahan pemegang akaun saham adalah satu kecuaian.
“Apabila mengalami kerugian, pengadu cuba meletakkan kesalahan ke atas tertuduh,” katanya.
Oleh yang demikian, Rozana menyatakan, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah dalam kes tersebut.
Sebelum ini, Ew Chew didakwa menipu remisier Am Securities Sdn. Bhd., Goh Bian Beng, 40, untuk mempercayai dua keping cek berjumlah RM1.22 juta adalah sah untuk pembayaran bagi pembelian lebih 10 juta unit saham sedangkan kedua-dua cek itu tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk transaksi tersebut.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi, 1 April 2004 di Am Securities Sdn. Bhd., Tingkat 16, Bangunan AmBank Group, Jalan Raja Chulan di sini.
Perbuatan itu didakwa diulangi pada keesokan harinya kira-kira pukul 3.20 petang di tempat yang sama.
Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan atau denda jika sabit kesalahan.

Ketua Pemuda saman Karangkraf RM5 juta


SHAH ALAM 9 Mac - Seorang Ketua Pemuda UMNO cawangan menyaman Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. dan tujuh lagi bagi menuntut ganti rugi RM5 juta kerana didakwa memfitnahnya dalam satu artikel yang diterbitkan oleh akhbar Sinar Harian pada November tahun lalu.
Ketua Pemuda UMNO Cawangan Parit 4, Sekinchan, Mohd. Yazid Bai mendakwa, artikel bertajuk 'UMNO Prihatin Nasib Rakyat Daif' yang disiarkan pada 20 November 2009 adalah berniat jahat terhadapnya.
Mohd. Yazid, 40, yang juga pengusaha kedai makan memfailkan saman tersebut melalui firma guaman Tetuan Azmi Talib & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Beliau sebagai plaintif menamakan Kumpulan Karangkraf; penerbit akhbar Sinar Harian, Akhbar Cabaran Sdn. Bhd.; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pengarang Kumpulan, Abd. Jalil Ali dan Editor Kumpulan, Sri Diah sebagai defendan pertama hingga kelima.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Editor Berita, Azmi Tarmizi; Editor Biro Selangor, Lailatun Khalilah Nasir dan wartawan Nurul Huda Saiyuti.
Dalam pernyataan tuntutan, Mohd. Yazid mendakwa, artikel itu menyebut bahawa Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Karang telah mengadakan gotong-royong di rumahnya yang dikatakan hidup dalam keadaan daif.
Jelas Mohd. Yazid, beliau bukan sahaja tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebagaimana yang terdapat dalam artikel tersebut, malah berasa malu kerana digambarkan seorang yang daif serta tidak berkemampuan sehingga perlukan bantuan UMNO.
Plaintif mendakwa, artikel itu telah menyebabkan beliau dan keluarganya mengalami kesengsaraan, penderitaan serta hidup dalam keadaan tertekan.
Sehubungan itu, Mohd. Yazid menuntut agar pihak defendan memohon maaf secara terbuka melalui siaran separuh muka hadapan atau satu halaman dalam Sinar Harian.
Beliau turut menuntut RM5 juta sebagai ganti rugi khas, kadar faedah lapan peratus setahun, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kes balu saman Pusrawi ditangguh 27 April


KUALA LUMPUR 9 Mac - Perbicaraan kes saman seorang suri rumah terhadap Hospital Pusrawi Sdn. Bhd. ekoran kematian suaminya selepas satu pembedahan kecil, ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini sehingga 27 April ini.
Hakim Sabariah Othman membenarkan prosiding ditangguhkan buat kali ketiga setelah peguam Rohaine Mohd. Shim memaklumkan, beliau baru semalam dilantik mewakili plaintif, Norhayati Ayob.
Sehubungan itu, Rohaine memohon diberikan masa untuk meneliti dokumen-dokumen berkaitan sebelum perbicaraan bermula.
Norhayati, 51, merupakan balu kepada Ketua Operator Telefon Utusan Melayu (M) Berhad, Allahyarham Abdul Latif Othman, 49.
Pada 6 Mac tahun lalu, Norhayati menyaman Hospital Pusrawi; pakar bius, Dr. Ainy Md. Aris; dan pakar bedah ortopedik dan trauma, Dr. Didi Indra Tjahya sebagai defendan pertama hingga ketiga kerana didakwa cuai.
Pihak defendan diwakili oleh peguam R. Harikannan.
Dalam saman itu, Norhayati turut menamakan empat anaknya iaitu Siti Maisarah, 22; Siti Hasanah, 21; Muhammad Hatim, 18; dan Siti Mahirah, 14, sebagai plaintif.
Plaintif dalam pernyataan tuntutan mendakwa, Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Pusrawi pada 3 Mac 2006 untuk pembedahan bisul di bawah lutut kanannya.
Pada keesokan harinya dakwa plaintif, Abdul Latif telah dibius keseluruhan badan oleh defendan kedua sebelum defendan ketiga menjalankan pembedahan itu.
Allahyarham dikatakan mengalami pernafasan kardio terhenti atau jantungnya berhenti berdenyut dan berada dalam keadaan koma akibat kekurangan oksigen pada bahagian otak selepas dibedah.
Pada 5 Mac 2006, plaintif menyatakan, Abdul Latif telah mengalami pendarahan gastrousus dan kedua-dua buah pinggang gagal berfungsi sehingga terpaksa dihantar ke Hospital Tawakal untuk rawatan dialisis.
Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mengesahkan otak Allahyarham bengkak dan mengalami kekurangan oksigen sehingga menyebabkan dia meninggal dunia pada 9 Mac tahun yang sama.
Berdasarkan laporan perubatan dan dokumen diterima, pihak plaintif mendakwa proses membius keseluruhan badan mangsa adalah salah dan menyebabkan degupan jantung serta pernafasan Allahyarham terhenti sehingga mengakibatkan kekurangan oksigen pada bahagian otak.
Ekoran kecuaian defendan, menurut pihak plaintif, mereka telah hilang tempat bergantung, sokongan dan segala kemudahan yang diterima sepanjang hayat Abdul Latif termasuk bayaran perubatan oleh Utusan Melayu.
Meskipun notis tuntutan bagi menuntut sejumlah ganti rugi telah dihantar kepada kesemua defendan, pihak plaintif mendakwa tiada sebarang balasan positif diterima.
Sehubungan itu, mereka menuntut ganti rugi sebanyak RM19,913 bagi kos perjalanan, laporan bedah siasat, sijil kematian, laporan pakar perubatan, pengebumian dan kos perubatan yang ditanggung pihak plaintif.
Plaintif juga menuntut ganti rugi am dan khas yang tidak dinyatakan jumlahnya dengan kadar faedah masing-masing lapan dan empat peratus setahun, kos dan sebarang relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Permohonan benarkan Anwar merayu pada 14 April


PUTRAJAYA 9 Mac - Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diberi kebenaran merayu berhubung saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ditolak, akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 14 April ini.
Salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair berkata, beliau dimaklumkan mengenai tarikh itu oleh pendaftar Mahkamah Persekutuan melalui faksimile hari ini.
Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan berikutan permohonan Anwar agar dua hakim daripada panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, menarik diri.
Anwar mengemukakan permohonan itu dengan alasan dua hakim tersebut sebelum ini telah mendengar saman sivilnya terhadap Dr. Mahathir mengenai penyingkiran beliau daripada jawatan kabinet yang membabitkan pihak yang sama.
Anwar memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Oktober tahun lepas yang menolak rayuan beliau kerana sebab teknikal.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa memorandum rayuan yang difailkan oleh Anwar dalam bahasa Inggeris silap dan tidak sah serta dokumen itu mestilah difailkan dalam Bahasa Malaysia.
Anwar menyaman Dr. Mahathir pada Januari 2006 kerana mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap beliau pada Persidangan Hak Asasi Manusia pada 9 September 2005.
Pada 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Dr. Mahathir untuk membatalkan saman itu.
Anwar tidak berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan. - BERNAMA

Suhaili mengaku salah tak isytihar muflis


KOTA KINABALU 9 Mac - Bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd. Rahman hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan gagal memaklumkan kepada bank bahawa dia seorang muflis ketika bertindak sebagai penjamin kepada sebuah syarikat yang ingin membuat pinjaman 14 tahun lalu.
Suhaili, 49, mengaku gagal memaklumkan kepada pegawai Malayan Banking Berhad mengenai status muflisnya ketika menjadi penjamin kepada syarikat Saraequity Sdn. Bhd. pada 3 April 1996.
Pada tarikh tersebut, Saraequity mengemukakan permohonan pinjaman berjumlah RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000.
Suhaili didakwa di bawah Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Kebankrapan 1967 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fariza Hamzah memberitahu, Suhaili telah diisytiharkan muflis menerusi perintah mahkamah bertarikh 19 Februari 1993 dan perintah tersebut hanya ditarik balik pada 9 Mei 1997.
Selepas pertuduhan dibaca, Suhaili menerusi peguamnya, Rakhbir Singh memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mengaku bersalah atas tuduhan pilihan itu bagi menjimatkan masa mahkamah.
Hakim Duncan Sikodol kemudian menetapkan esok untuk mendengar fakta kes dan rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.
Terdahulu Sikodol melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Labuan itu daripada dua pertuduhan asal selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka tidak akan menyerahkan sebarang bukti bagi kedua-dua kes berkenaan.
Pada April tahun lalu, Suhaili mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu Malayan Banking Bhd. cawangan Kota Kinabalu sebanyak RM160,000 untuk membeli sebuah apartmen di sini pada 1996.
Suhaili yang bertindak sebagai penjamin didakwa menggunakan nama dan kad pengenalan dipercayai palsu untuk proses pinjaman tersebut.
Dia didakwa memperdaya pengurus bank tersebut, Ismail Jantan dengan menggunakan nama Ahmad Suhaily Abd. Rahman yang memegang kad pengenalan bernombor H 0552182.
Sehari selepas itu, Suhaili turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memberi maklumat palsu dalam satu akuan bersumpah pada 1995.
Suhaili dituduh membuat kenyataan palsu tersebut dalam akuan berkanun di hadapan Jaksa Pendamai, Mohd. Naser Mohd. Noor menggunakan nama Ahmad Suhaily Abdul Rahman dengan kad pengenalan bernombor H 0552182.

Tindakan mengehad waktu siasatan SPRM tidak masuk akal


PUTRAJAYA 9 Mac - Hak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat saksi tidak wajar dihadkan pada waktu pejabat semata-mata kerana ia bercanggah dengan penubuhan aktanya untuk menangani gejala rasuah sehingga ke akar umbi.
Tindakan menghadkan siasatan pada waktu pejabat bukan saja tidak masuk akal malah menjejaskan tujuan asal penubuhan badan itu bagi memerangi perbuatan rasuah yang berlaku tanpa mengira masa.
Ini bermakna, SPRM tertakluk menyegerakan siasatan sebaik sahaja menerima laporan tidak kira jika ia dibuat pada waktu malam, ketika cuti hujung minggu atau pada hari kelepasan am.
Sehubungan itu, tugas SPRM menyoal siasat saksi harus diperluaskan melepasi waktu pejabat selaras dengan penggubalan Seksyen 9 Akta SPRM 2009 yang menghendaki pegawai-pegawainya sentiasa berada dalam tugas.
Demikian keputusan penghakiman penuh Mahkamah Rayuan ketika memutuskan SPRM berhak menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat setelah membenarkan rayuan badan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan sebaliknya.
Ia diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hasan Lah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad pada 17 Disember tahun lalu.
Hakim Ahmad dalam penghakiman bertulisnya yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, Seksyen 30(3)(a) akta tersebut jika diteliti tiada memperuntukkan tempoh masa untuk pegawai SPRM menjalankan soal siasat.
Menurut beliau, akta itu tiada langsung menyebut SPRM hendaklah melakukan siasatan antara pukul 8.30 pagi dan 5.30 petang setiap hari dan bukan selepas tempoh yang ditetapkan.
Dalam menguatkan alasan penghakimannya, Hakim Ahmad menggambarkan situasi yang akan berlaku jika laporan rasuah diterima oleh SPRM pada cuti hujung minggu.
Jelasnya, dengan mengandaikan interpretasi Mahkamah Tinggi itu munasabah bahawa siasatan hanya boleh dijalankan dalam lingkungan waktu pejabat, ini bermakna SPRM hanya boleh merekodkan keterangan pada pagi Isnin.
"Keadaan sama berlaku jika laporan dibuat pada cuti Tahun Baru Cina yang jatuh selama dua hari berturut-turut (Isnin dan Selasa). Bermakna, SPRM hanya boleh memulakan siasatan pada pagi Rabu. Ini tidak masuk akal," ujar beliau dalam penghakiman setebal 42 muka surat.
Pada 19 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) memutuskan bahawa SPRM hanya boleh menyoal siasat saksi pada waktu pejabat setelah membenarkan saman pemula Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah.
Dia menamakan suruhanjaya berkenaan melalui Ketua Pesuruhjaya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohammad Hassan Zulkifli serta SPRM selaku responden.
Pada tarikh itu, Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof memutuskan, SPRM tidak boleh lagi menyoal siasat saksi hingga ke malam kerana Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 tidak memberi kuasa untuk berbuat demikian.
Beliau berpendapat, frasa 'hari ke hari' dalam seksyen berkenaan bukan bermaksud 24 jam tetapi merujuk kepada waktu bekerja biasa.
Bagaimanapun, Hakim Ahmad tidak bersetuju dengan interpretasi Mahkamah Tinggi kerana frasa 'hari ke hari' seperti yang diterjemahkan oleh kamus Oxford dalam konteks itu bermaksud: 'berterusan tanpa gangguan untuk tempoh 24 jam sehingga hari berikutnya.'

Bekas peguam dipenjara, sebat


KUALA LUMPUR 9 Mac – Seorang bekas peguam yang pernah memiliki firma guamannya sendiri hari ini menerima hukuman penjara dua tahun dan sebatan empat kali atas kesalahan pecah amanah.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozana Ali Yusoff menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Noor Hadi Sallehon, 48, mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan yang dikemukakan oleh pendakwaan.
Beliau turut menolak permohonan tertuduh agar pelaksanaan hukuman penjara tersebut ditangguhkan berikutan alasan yang dikemukakan tidak kukuh.
Mengikut pertuduhan, Noor Hadi didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang sebanyak RM97,350 milik Romli Husin.
Wang itu merupakan sebahagian daripada tiga keping cek bernilai RM169,959 yang diterima daripada Tetuan Kumar Jaspal Quah & Aishah yang sepatutnya diserahkan kepada mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di firma guamannya, Tetuan Hadi & Co. di Suite 41-1, Jalan 2/27F, Pusat Bandar Wangsa Maju (KLSC), Wangsa Maju di sini pada 29 Oktober 2004.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan serta denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Hamidi Mohd. Noh dan C. Vignesh Kumar manakala tertuduh diwakili peguam bela Shamsul Sulaiman.
Ketika mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Shamsul menyatakan, tindakan anak guamnya melakukan kesalahan tersebut adalah ‘tanpa niat jahat’.
Sebaliknya ia berlaku ekoran tertuduh sedang mengalami kesempitan wang dalam perniagaan.
Peguam itu turut menyatakan lesen peguam tertuduh juga telah dibatalkan dan kini bekerja sebagai penasihat kanan undang-undang di sebuah syarikat telekomunikasi.
Beliau turut memohon agar anak guamnya hanya dikenakan bon berkelakuan baik.
Rayuan tersebut bagaimanapun dibantah oleh Hamidi dengan menyatakan, perbuatan Noor Hadi adalah serius dan mahkamah perlu menghantar mesej yang jelas kepada peguam-peguam lain.
Menurut beliau, kejadian pecah amanah di kalangan pengamal undang-undang semakin serius dan ramai telah didakwa di mahkamah.
Hakim sebelum menjatuhkan hukuman menyatakan, bon kelakuan baik tidak wajar dikenakan ke atas tertuduh kerana kes tersebut adalah satu kesalahan berat.
‘‘Saya juga berharap, awak (tertuduh) insaf dengan perbuatan awak, terus ubah diri menjadi seorang manusia yang lebih baik,’’ katanya.

Rumah peniaga buah disimbah cat


TEMERLOH 9 Mac - Seorang peniaga buah menerima ugutan apabila rumahnya disimbah cat merah dipercayai dilakukan oleh ah long yang tidak berpuas hati apabila mangsa cuba bekerjasama dengan polis untuk membanteras golongan itu.
Kejadian berlaku pada pukul 2.30 pagi semalam, ketika mangsa, Che Rameli Ibrahim, 46, sedang berehat bersama seorang anak lelakinya di ruang tamu rumahnya di Taman Temerloh Jaya di sini.
Beliau berkata, tiba-tiba mereka terdengar bunyi kuat pada tingkap kaca rumahnya lalu pergi ke luar untuk memeriksa.
Katanya, namun sebaik sahaja membuka pintu, dia terpijak tong cat dan pada masa sama melihat seorang lelaki melarikan diri dengan sebuah kereta.
"Apabila memeriksa hadapan rumah, saya dapati pintu dan tingkap telah disimbah cat berwarna merah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Che Rameli percaya perbuatan itu merupakan amaran ah long yang menuduhnya bekerjasama dengan polis bagi membanteras aktiviti pinjaman wang haram di sekitar Temerloh dan Mentakab.
Menurutnya, berikutan itu, polis dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) mengadakan operasi membersihkan kawasan tersebut daripada iklan dan nombor telefon ah long.
"Ah long itu tidak berpuas hati selepas mengesyaki saya membuat laporan polis berhubung kegiatan mereka," katanya.
Dia bagaimanapun mengaku pernah membuat pinjaman wang RM1,000 daripada ah long yang belum dilangsaikan.
"Saya hanya sempat membayar balik pinjaman itu selama empat bulan dan tertunggak apabila ah long terbabit enggan menerima pembayaran tersebut.
"Bayaran tertangguh bukan kerana tiada wang membayar balik hutang tetapi mereka enggan apabila mengesyaki saya membuat laporan mengenai aktiviti mereka selama ini," ujarnya.
Bimbang dengan keselamatan keluarganya terancam, Che Rameli membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Mekanisme baru bagi PDRM akses CCTV di seluruh negara


PUTRAJAYA 9 Mac - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan mekanisme baru dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakses semua kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negara.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, berikutan itu, satu kajian akan dilakukan bagi mengenal pasti masalah dan cara terbaik menghubungkan CCTV yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta sektor swasta dengan PDRM bertujuan untuk membanteras jenayah.
"CCTV sedia ada ini mempunyai tujuan berlainan seperti pemantauan trafik, memeriksa pembayaran tol atau memeriksa premis.
"Kita akan menggunakan perkhidmatan kepakaran pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) untuk melihat dan mengkaji bagaimana untuk menghubungkan CCTV ini bagi tujuan pembanterasan jenayah," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai penyelarasan CCTV bersama kementerian dan agensi berkaitan serta sektor swasta di sini hari ini.
Sebanyak 3,235 CCTV sedia ada termasuk yang akan dipasang di seluruh negara bakal diselaraskan untuk tujuan membanteras jenayah.
Mahmood berkata, penyelarasan CCTV itu bakal mengurangkan masa bertindak oleh pihak polis sekiranya berlaku kejadian jenayah sekali gus sebagai salah satu bahan bukti kes di mahkamah.
"Dengan adanya penyelarasan CCTV ini, polis memberi jaminan akan bertindak lebih cepat jika berlaku jenayah dalam masa lima hingga 10 minit berbanding 15 minit sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun, Mahmood berkata, kajian mengenai penyelarasan CCTV itu turut mengambil kira hak privasi umum agar ia tidak mendapat bantahan daripada orang ramai.
"Kita juga akan mengkaji aspek undang-undang adakah ia akan menyentuh tentang privasi orang ramai sekiranya ada bantahan atau bagaimana untuk mendapatkan kebenaran mereka," katanya.

Syabu dalam buku cerita


KUCHING 9 Mac - Seorang ketua sindiket dadah mungkin tidak dapat memaafkan perbuatan seorang anak buahnya yang 'membuka mulut' kepada polis sehingga membawa kepada penangkapan lelaki itu di sini pagi semalam.
Lelaki berusia 21 tahun yang takut ketika disoal siasat polis terus mendedahkan kedudukan ketuanya yang berusia 49 tahun sehingga dia ditangkap di Taman BDC, sejam selepas suspek diberkas.
Ketua Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Moses Agat berkata, dalam kejadian pada pukul 11.10 pagi itu, sepasukan polis menyerbu kediaman suspek pertama yang juga penganggur di sebuah rumah di kawasan Tabuan Heights.
Katanya, hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui 28 peket plastik lut sinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 110 gram yang bernilai RM49,500 di dalam sebuah buku cerita yang telah diubah suai.
"Suspek yang ketakutan kemudian secara tidak sengaja terus mendedahkan kedudukan ketuanya yang berada tidak jauh dari kediaman suspek.
"Atas maklumat itu, polis bertindak menyerbu kediaman ketua sindiket itu di Taman BDC pada pukul 12 tengah hari lalu menahan suspek yang bekerja sendiri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Moses memberitahu, hasil serbuan itu juga, polis menyita dua buah kenderaan iaitu Toyota Ipsum dan Honda Accord yang dianggarkan bernilai RM140,000.
Beliau berkata, dadah itu dipercayai dibawa dari Semenanjung menggunakan perkhidmatan kurier untuk dipasarkan di negeri ini.
Beliau menambah, kedua-dua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis cari 12 individu bantu siasatan





PULAU PINANG 9 Mac – Polis sedang mengesan 12 individu yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan kira-kira 30 kes jenayah yang dilaporkan berlaku di empat negeri.
Jenayah terbabit antaranya adalah pecah rumah, rompakan, samun, ragut dan curi.
Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kesemua individu ini boleh membantu siasatan kes-kes yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Menurutnya, mereka yang dicari ini merupakan rakyat tempatan berusia 20 hingga 40 tahun dan dipercayai mempunyai rangkaian dalam beberapa kes dilaporkan itu.
“Kesemua mereka kini sedang dikesan dan polis minta supaya mereka ini hadir ke balai polis berdekatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Mereka yang dicari ialah M. Nathan, 31; Ngai Fook Seng, 28; S. Elangeswaran, 33; B. Aruvendran, 28; Hiew Ming Yeong, 33; Ramlee Seman, 34.
Turut dicari, M. Gerbagaran, 29; Tan Chin Keong, 27; Shahrul Nizam Azmi, 33; A. Patchamutu, 21; Mohmad Rizuwan Ramli, 34, dan S. Suresvaran, 28.
Justeru, beliau turut meminta orang ramai yang mengenali individu berkenaan atau mempunyai maklumat mengenai mereka agar melaporkan kepada mana-mana balai polis berhampiran.
Mengulas perkembangan lain, Mohd. Bakri berkata, polis giat melaksanakan pelbagai operasi bagi memastikan sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu penurunan indeks jenayah sebanyak 20 peratus tercapai.
Jelasnya, bagi memastikan jenayah terkawal, pada Januari polis menjalankan ‘Ops Lejang’ iaitu pelbagai jenayah dilakukan berkaitan dengan motosikal antaranya, curi motor, rompak, pecah rumah dan merempit.
“Sepanjang Januari lalu, polis menjalankan pemeriksaan ke atas 6,923 tempat, 264,500 orang diperiksa, 895 orang ditangkap dan 183,953 kenderaan diperiksa.
“Dalam operasi itu, 832 kenderaan berjaya dirampas iaitu 659 motosikal, 44 kereta dan 129 lain-lain kenderaan,” ujarnya.

APMM tahan dua kapal pindah sisa minyak haram


LUMUT 9 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua kapal tangki bersama anak-anak kapalnya kerana disyaki melakukan pemindahan sisa minyak secara haram di kawasan perairan Pulau Pangkor malam tadi.
Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3, Ang Cheng Hwa berkata, kegiatan itu dikesan pada kira-kira pukul 11.15 malam di satu kawasan tiga batu nautika dari Pulau Pangkor.
Menurut beliau, kapal-kapal berkenaan berdaftar di Klang, Selangor dan Medan, Indonesia.
"Kes ini telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar bagi siasatan dan tindakan selanjutnya," katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama katanya, APMM akan memperhebatkan lagi rondaan di sepanjang perairan negeri ini bagi memastikan ia bebas daripada aktiviti pemindahan sisa minyak haram.
Aktiviti pemindahan sisa minyak secara haram berkenaan mungkin menjadikan perairan di sini sebagai lokasi baru berikutan tindakan tegas pihak berkuasa yang sering menumpaskan kegiatan berkenaan di perairan Selangor dan Johor.
"Tanggapan mereka itu kurang tepat berikutan kejayaan penahanan dua buah kapal dagang di kawasan perairan Pulau Pangkor di sini, malam semalam," katanya.
Menurut beliau, kedua-dua kapal dagang berkenaan ditahan ketika anggota Bot Kilat 52 diketuai Bintara Muda Maritim, Badarudin Ahmad Busu dengan kekuatan lima anggota, sedang melakukan rondaan di kawasan berhampiran.
"Ketika melakukan rondaan operasi di kawasan berkenaan, anggota mengesan kehadiran dua buah kapal dagang dalam keadaan mencurigakan di tempat kejadian.
"Anggota APMM kemudiannya melakukan pemeriksaan dan mendapati sebuah kapal dagang yang berdaftar di Klang iaitu MT Nautica Muar dengan berat 24,248 tan metrik sedang melakukan pemindahan sisa minyak ke sebuah kapal lain iaitu kapal MT United X yang didaftarkan di Medan, Indonesia.
"Siasatan awal mendapati kapal MT United X tidak mempunyai permit untuk memindahkan sisa minyak di kawasan perairan Perak dan ditahan kerana disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram tanpa kebenaran," katanya.
Menurut beliau lagi, terdapat 12 anak kapal warga Indonesia dalam kapal MT United X seberat 953 tan matrik itu.

Ah long kes rantai peminjam diberkas


KUALA LUMPUR 9 Mac - Setelah menjadi buruan polis sejak 11 bulan lalu, seorang ah long yang dikehendaki kerana merantai dan mengurung tiga peminjam di sebuah rumah kedai di Perindustrian Bukit Serdang di sini, Mei tahun lalu, akhirnya diberkas semalam.
Suspek berusia 22 tahun itu ditahan pihak imigresen ketika cuba melarikan diri ke Singapura melalui pintu pemeriksaan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru pada pukul 2 petang.
Menurut sumber, suspek cuba menyusup keluar ke negara jiran itu dengan memandu kereta Proton Wira.
"Pegawai imigresen yang bertugas di situ berasa curiga dengan suspek lalu menyiasat secara terperinci maklumat pada pasport dan nombor pendaftaran kenderaannya.
"Semakan mendapati, suspek adalah penjenayah yang dikehendaki polis berhubung kes mengurung kejam beberapa lelaki yang gagal melunaskan hutang kepada sindiket ceti haram Mei tahun lalu," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian ditahan dan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk tindakan lanjut.
Katanya, polis daerah Gombak yang dimaklumkan mengenai penahanan itu telah mengambil suspek dan dibawa ke Balai Polis Rawang pada pukul 2.30 pagi ini.
Tambahnya, pada pukul 11 pagi, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Gombak untuk mendapat perintah tahanan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
"Polis masih menyiasat peranan suspek dalam kumpulan ah long terbabit. Ada kemungkinan suspek menyangka kes berkenaan sudah dilupakan polis menyebabkan dia yang selama ini bersembunyi akhirnya keluar," katanya.
Beliau berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.
Pada Mei tahun lalu, tiga lelaki yang gagal membayar pinjaman ah long dirantai dan dikurung dalam dua bilik seperti lokap di tingkat bawah sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan PBS 14/2, Pusat Perindustrian Bukit Serdang sebelum diselamatkan polis.
Seorang daripada mangsa dikurung selama dua bulan, seorang sebulan dan seorang lagi kira-kira 10 hari.
Mangsa diikat dengan rantai besi pada leher, tangan dan kaki di sebatang tiang dalam bilik kurungan tersebut.
Berikutan itu, tujuh lelaki anggota kumpulan Ah Long K9 (Kristal 9) itu berjaya ditahan dan dikenakan tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) di Kelantan dan Johor.

Jus guna sijil halal Jakim palsu dikesan


PETALING JAYA 9 Mac - Pembungkusan produk minuman ini memang menarik, ditambah pula ia mempunyai pengesahan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Justeru, tidak hairanlah jika minuman jus buah-buahan keluaran syarikat tempatan ini mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
Namun, selama ini pembeli rupa-rupanya tertipu apabila hasil pemeriksaan Jakim ke atas produk terbabit mendapati 'sijil halal' itu sebenarnya dokumen palsu yang sudah diubah suai menyerupai sijil asli.
Sepasukan pegawai penguat kuasa dari Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya bertindak memeriksa syarikat terbabit selepas menerima aduan daripada orang ramai yang curiga dengan logo halal dipamerkan pada botol minuman tersebut.
Pemeriksaan yang dibuat di syarikat itu yang terletak di Damansara pukul 1 tengah hari ini diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah.
Jurucakap KPDNKK memberitahu, ketika pemeriksaan dilakukan, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an muncul dan mendakwa mereka pemilik syarikat berkenaan.
"Mereka mendakwa sebelum ini pernah membayar sejumlah wang kepada syarikat perunding khas untuk mendaftarkan perniagaan dan memperolehi sijil halal Jakim bagi produk jus buah-buahan yang dipasarkan di seluruh negara.
"Bagi membuktikan dakwaan itu, mereka menunjukkan salinan sijil halal Jakim yang didakwa dikeluarkan oleh syarikat perunding terbabit," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Namun, katanya, selepas disemak dan diteliti, pegawai Jakim berasa ragu dengan maklumat tertera pada logo halal tersebut.
Antara perkara yang meragukan katanya, ialah individu yang menurunkan tanda tangan pengesahan pada sijil terbabit dan tempoh ia diperakui.
Jelasnya, pada sijil halal terbabit dinyatakan tempoh ia diperakui ialah untuk setahun sahaja sedangkan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim sah digunakan bagi tempoh dua tahun.
"Apa yang pasti, sijil halal ditunjukkan itu sudah diubah suai maklumatnya tanpa kebenaran dan ia jelas satu penipuan terancang yang sukar dikenal pasti oleh agensi penguat kuasa lain jika tidak dilihat secara teliti," ujarnya.
Beliau berkata, pemilik syarikat terbabit mendakwa tidak tahu menahu berhubung sijil halal Jakim palsu itu dan meletakkan kesalahan kepada syarikat perunding.
Malah, katanya, seorang daripada pemilik syarikat terbabit mendakwa sedang membuat permohonan berasingan sijil halal Jakim melalui laman web e-halal yang disediakan jabatan itu bagi memudahkan urusan permohonan melalui laman web.
Tambahnya, KPDNKK kemudian merampas ratusan kotak produk minuman keluaran syarikat terbabit kerana kesalahan menggunakan sijil halal Jakim tanpa kebenaran.
"Pemilik syarikat ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Rakyat Malaysia diekstradisi ke AS


KUALA LUMPUR 9 Mac - Seorang rakyat Malaysia yang amat dikehendaki oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) kerana disyaki terlibat dalam pemalsuan kad kredit berjumlah AS$153 juta (RM525 juta) akan diserahkan oleh kerajaan Thailand kepada AS bagi tujuan ekstradisi.
Penjenayah yang mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil daripada kegiatan tersebut disifatkan sebagai licik malah pernah menggunakan identiti sebagai 'Delpiero'.
Suspek, Gooi Kok Seng, 44, bagaimanapun berjaya diberkas pihak berkuasa Thailand pada 30 Januari tahun lalu.
Laman web Bangkok Post dipetik berkata, suspek dikehendaki oleh Polis Antarabangsa (Interpol) dan FBI kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan kad kredit sejak beberapa tahun lalu sebelum melarikan diri ke Thailand.
Suspek dikatakan terlibat dalam ratusan kes penipuan kad kredit dengan mencuri maklumat daripada pengguna kad kredit warga AS di Asia Tenggara.
Arahan mengekstradisi suspek diluluskan oleh Mahkamah Jenayah Thailand selepas menerima permohonan rasmi wakil Jeneral Bahagian Hubungan Luar Negara AS.
Namun, suspek akan direman terlebih dahulu selama 30 hari di Thailand sebelum diekstradisi ke AS.
Kok Seng sebelum ini mengaku dia dikehendaki oleh pihak berkuasa AS berhubung kes penipuan tetapi menukar pengakuan mengatakan dia tidak pernah memasuki negara berkenaan.
Semasa dalam pelarian, dia bersembunyi di daerah terpencil Pak Kret, Nonthaburi dan sempat mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita dari negara jiran itu.
Suspek turut dikesan mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah AS kerana memiliki data akses peranti secara tidak sah, menggodam sistem komputer dan mencuri data sulit.
Siasatan mendapati, suspek juga merupakan anggota sebuah kumpulan penipuan kad kredit yang beroperasi di AS sejak tiga tahun lalu dan melarikan diri ke Thailand untuk mengelak daripada ditangkap.
Sindiket terbabit dipercayai mencuri data transaksi kad kredit daripada orang ramai yang berbelanja di restoran utama dan premis perniagaan seperti TJX, Wal-Mart dan Office Depot dan menjual maklumat itu kepada kumpulan lain untuk membuat kad palsu.
Mereka berupaya mencuri 16 digit nombor sulit pada kad kredit mangsa sebelum memindahkan maklumat itu ke dalam kad kredit klon yang digunakan untuk melakukan transaksi haram.
Dalam beberapa kes sebelum ini, suspek juga menggunakan kemahirannya untuk menghasilkan kad kredit palsu bagi membolehkannya berbelanja dan membuat pembelian di Thailand.
Mengikut rekod pihak berkuasa Thailand, setakat ini, sebahagian besar daripada 500 rakyat Malaysia yang ditahan di 18 penjara di negara itu didapati terlibat dalam jenayah pemalsuan kad kredit.
Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Husni Zai Yaacob dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, terdapat 246 rakyat negara ini menjalani hukuman di 10 penjara di Bangkok manakala 251 lagi di lapan penjara di selatan negara itu.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika dihubungi hari ini berkata, beliau belum menerima apa-apa maklumat mengenai rakyat Malaysia yang akan diekstradisi itu.
"Tiada pihak berkuasa dari Thailand atau AS menghubungi saya memaklumkan mengenai kes terbabit," katanya.