Search This Blog

Loading...

Tuesday, March 9, 2010

Aksesori seks dijual terbuka



SEORANG pelajar sekolah yang masih berpakaian seragam turut mengunjungi kedai seks.


KUALA LUMPUR - Lambakan ubat-ubatan dan peralatan seks yang sebelum ini dijual secara terbuka di negara-negara luar seperti Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom atau Belanda kini mula menular di negara ini.
Jika dahulu, aktiviti jualan aksesori seks itu hanya boleh didapati di tepi-tepi jalan tetapi kini pengusaha produk tersebut lebih berani dengan membuka francais di kompleks membeli-belah terkenal secara terbuka di ibu negara.
Antara pusat membeli-belah itu ialah di Jalan Imbi, Jalan Bukit Bintang, Bangsar, Subang Jaya, Cheras dan Damansara.
Paling menarik, untuk mengenali premis-premis yang menjual peralatan seks itu sangat mudah kerana pintu-pintu masuk kedai itu diletak dengan objek berbentuk alat sulit lelaki.

Angkat kaki selepas ambil wang




KEADAAN dewan yang kosong selepas sebilangan pengerusi dan setiausaha JKKK Parlimen Baling meninggalkan dewan selepas menerima elaun masing-masing di Baling, Kedah kelmarin.



BALING - Dewan kosong walaupun majlis masih berlangsung.
Demikianlah sikap memalukan yang ditunjukkan oleh sebilangan pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parlimen Baling pada majlis Penyerahan Sijil Lantikan dan Elaun di Dewan Tun Abdul Razak, di sini petang kelmarin.
Sebaik menerima wang elaun masing-masing, kira-kira 95 peratus daripada 230 pengerusi dan setiausaha JKKK itu bertindak meninggalkan majlis menyebabkan dewan itu lengang.
Majlis yang berlangsung kira-kira pukul 2.30 petang itu bagaimanapun berjalan lancar sehingga tamat pada pukul 5 petang mengikut jadual.

Penjual nasi, rakan ditahan miliki pistol tiruan



SYED ISMAIL (tengah) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas daripada seorang penjual nasi dan dua rakannya di Alor Setar, Kedah semalam.


ALOR SETAR - Seorang penjual nasi dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama dua rakannya ditahan kerana memiliki tujuh pucuk pistol tiruan yang lengkap dengan kelopak peluru di Changlon dekat sini, kelmarin.
Kesemua mereka berumur di antara 27 hingga 39 tahun.
Mereka yang membeli pistol itu bersama bunga api dan senjata lain di Pekan Danok, berhampiran pintu sempadan negara ditahan di persimpangan lampu isyarat Changloon pada pukul 7 petang.

Penjual nasi, rakan ditahan miliki pistol tiruan



SYED ISMAIL (tengah) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas daripada seorang penjual nasi dan dua rakannya di Alor Setar, Kedah semalam.


ALOR SETAR - Seorang penjual nasi dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama dua rakannya ditahan kerana memiliki tujuh pucuk pistol tiruan yang lengkap dengan kelopak peluru di Changlon dekat sini, kelmarin.
Kesemua mereka berumur di antara 27 hingga 39 tahun.
Mereka yang membeli pistol itu bersama bunga api dan senjata lain di Pekan Danok, berhampiran pintu sempadan negara ditahan di persimpangan lampu isyarat Changloon pada pukul 7 petang.

57 maut gempa di Turki



BEBERAPA orang berjalan di beberapa buah rumah yang musnah akibat gempa bumi di Kampung Okcular di Elazig, Turki semalam.


OKCULAR, Turki-Gempa bumi kuat yang berlaku sebelum subuh semalam dengan magnitud 6.0 melanda Turki semalam dengan menyebabkan 57 orang terbunuh.
Banyak rumah dan menara yang diperbuat daripada batu serta lumpur di sekurang-kurangnya enam buah kampung ranap dalam kejadian itu.
Menurut sebuah pusat krisis di Turki, seramai 100 lagi cedera dalam insiden tersebut yang berlaku di wilayah Elazig, kira-kira 550 kilometer dari Ankara.
Gempa itu berpusat di kampung Basyurt dan diikuti dengan gegaran susulan sebanyak 50 kali.
Gegaran paling kuat dicatatkan ialah sekitar 5.5 dan 5.3 pada skala Richter.
Kawasan yang paling terjejas ialah kampung Okcular dengan mengakibatkan 17 kematian dan rumah-rumah musnah seakan-akan menjadi debu.
Pihak berkuasa menyekat laluan masuk ke Okcular bagi membolehkan ambulans dan pasukan-pasukan penyelamat bergerak di laluan-laluan kampung yang sempit.
“Kampung ini benar-benar sudah musnah,” kata ketua kampung, Hasan Demirdag kepada stesen televisyen swasta, NTV. Seorang penduduk kampung Okcular, Ali Riza Ferhat memberitahu dia terjaga daripada tidur kerana terkejut.
“Saya cuba keluar dari pintu tetapi ia tidak boleh dibuka. Oleh itu, saya keluar dari tingkap dan mula membantu jiran-jiran yang lain.
“Kami berjaya mengeluarkan enam mayat,” katanya.
Gempa itu turut dirasai di wilayah-wilayah berdekatan seperti Tunceli, Bingol dan Diyarbakir. Ia membuatkan penduduk berlari ke jalan raya dalam keadaan panik dan terus berada di luar rumah.
Sekolah-sekolah di kawasan terbabit juga ditutup selama dua hari.
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dan pengarah di sebuah balai cerap Kandili, Mustafa Erdik menggesa para penduduk supaya tidak tinggal rumah yang telah rosak kerana ia mungkin runtuh akibat susulan gegaran yang boleh berlanjutan selama beberapa hari. – AP

Warga Vietnam dipenjara


SHAH ALAM 8 Mac - Dua tahun lalu, seorang pekerja stesen minyak warga Vietnam yang melakukan rompakan sanggup memukul pengawal keselamatan sehingga pengsan sebelum memecah masuk ke asrama pekerja kilang wanita.
Tidak cukup dengan perbuatan itu, Pham Anh Dung, 24, mengheret dan menghumban Taib Kassim, 54, ke dalam longkang di hadapan asrama tersebut sehingga mangsa yang tidak berdosa itu menemui ajal kerana lemas.
Lelaki itu kemudiannya bukan sahaja bertindak ganas dengan mengikat empat wanita dan merompak mereka malah membakar asrama tersebut apabila dikepung oleh pihak polis.
Meskipun terlepas daripada hukuman mati, Anh Dung hari ini menerima balasan atas perbuatan tersebut apabila dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian Taib.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan merompak empat pekerja kilang wanita yang merupakan rakan senegaranya.
Kedua-dua hukuman itu bagaimanapun diperintahkan berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh Anh Dung ditangkap pada 18 Januari 2008 iaitu pada hari kejadian.
Beliau dalam penghakimannya berkata, hukuman tersebut setimpal dengan perbuatan tertuduh kerana menyebabkan nyawa mangsa, seorang lelaki yang mempunyai keluarga serta sedang berkerja mencari rezeki halal telah melayang.
Katanya, tertuduh bukan sahaja menyebabkan kematian dan merompak, malah bertindak agresif dengan membakar asrama semasa cuba melarikan diri daripada pihak polis.
''Kalau hendak mencuri, mengapa perlu humbankan mangsa ke dalam longkang yang ada lumpur bertakung sehingga menyebabkan mangsa lemas dan meninggal dunia. Semua itu berpunca daripada pukulan yang menyebabkan mangsa pengsan.
''Tertuduh datang ke Malaysia untuk bekerja dan mempunyai fizikal yang sihat, mengapa perlu melakukan kerja-kerja yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan kematian.
''Berdasarkan fakta, sejak kebelakangan ini juga warga asing didapati sering melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang apabila berlaku sedikit provokasi seolah-olah negara kita tidak ada undang-undang,'' katanya.
Anh Dung mengaku menyebabkan kematian Taib di No. 53A, Jalan Dendang 9, Taman Telok, Teluk Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini antara pukul 1 dan 1.30 pagi, 18 Januari 2008.
Dia yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagaimanapun ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh juga mengaku merompak empat wanita Vietnam itu dengan melarikan wang tunai dan telefon bimbit milik mereka pada masa serta tempat yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Erwani Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Ghazali Taib.
Mengikut fakta kes, selepas memukul Taib dan menghumban mangsa ke dalam parit, tertuduh telah mengambil sebilah pisau di dapur asrama untuk merompak dan mengancam beberapa wanita Vietnam yang menginap di situ.
Dalam kejadian tersebut, dua wanita berjaya melarikan diri dengan terjun melalui tingkap manakala empat lagi telah diikat dan dirompak oleh tertuduh.
Apabila menyedari kehadiran pihak polis, Anh Dung telah mengacukan pisau ke leher seorang wanita dan meminta agar disediakan sebuah motosikal dan sepucuk pistol.
Setelah permintaannya tidak dilayan, dia mengarahkan wanita tersebut membuka lima tong gas dan menyalakan api dengan menggunakan wang kertas serta dokumen-dokumen lain sehingga memaksa pihak polis mendapatkan bantuan pasukan bomba.
Bagaimanapun, kebakaran berjaya dipadamkan dan tertuduh telah ditahan.
habis

Perbicaraan Gobalakrishnan bermula


BUKIT MERTAJAM 8 Mac - Mahkamah Majistret di sini menangguhkan sehingga esok perbicaraan kes Ahli Parlimen Bagan Serai, N. Gobalakrishnan yang didakwa menghalang tugas seorang anggota polis semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir tahun lalu.
Majistret Mohd. Azhar Hamzah membenarkan penangguhan hari ini selepas pihak pembelaan memaklumkan bahawa seluar dan tali pinggang milik tertuduh masih dalam simpanan polis walaupun arahan memulangkannya sudah dikeluarkan.
Mohd. Azhar kemudian mengeluarkan arahan kali kedua supaya pihak pendakwaan menyerahkan semula seluar dan tali pinggang milik pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebelum perbicaraan bermula.
Terdahulu, peguam J.M. Martin yang mewakili tertuduh memohon supaya tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap pihak pendakwaan kerana tidak mematuhi arahan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim pula memberitahu, pihak polis sudah bersetuju menyerahkan kedua-dua barang tersebut kepada tertuduh seperti yang diperintahkan.
Jelas beliau, pihaknya mengeluarkan surat kepada pihak pembelaan supaya mengambil barangan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dalam tempoh tersebut tetapi tiada pihak yang menuntutnya.
Mohd. Azhar menetapkan esok untuk mahkamah membuat keputusan berhubung permohonan menghina mahkamah itu sebelum perbicaraan dimulakan.
Gobalakrishnan dihadapkan ke mahkamah pada 18 Ogos tahun lalu atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah ke atas Sub Inspektor M. Karunamuthi bagi tujuan menghalangnya daripada menjalankan tugas.
Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut pada hari penamaan calon Pilihan Raya DUN Permatang Pasir kira-kira pukul 11 pagi, 17 Ogos tahun lalu di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.
Dakwaan terhadapnya mengikut seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah

Penyelesaian gagal, bicara kes mutaah RM5 juta Mei ini


KUALA LUMPUR 8 Mac - Perbicaraan tuntutan mutaah RM5 juta oleh bekas isteri Datuk Kadar Shah Sulaiman di Mahkamah Tinggi Syariah di sini ditetapkan pada 6 Mei ini selepas usaha penyelesaian di luar mahkamah gagal dicapai.
Hakim Syarie, Mohd. Shukor Sabudin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima dan membalas jawapan tuntutan terma-terma perjanjian oleh Kadar Shah selaku defendan.
Menurutnya, dalam perjanjian tersebut, terdapat beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Katanya, Fauziah Haron selaku plaintif menyatakan beliau mendapat respons yang negatif daripada Kadar Shah berkenaan terma perjanjian tersebut.
Sementara itu, peguam syarie, Sulaiman Abdullah yang mewakili Kadar Shah memberitahu, dia dan anak guamnya masih berbincang dan akan mempertimbangkan hal tersebut.
Mohd. Shukor kemudian mengarahkan perbicaraan diteruskan terhadap terma-terma yang tidak dipersetujui sahaja memandangkan tempoh perbincangan secara baik yang diberikan sudah terlalu lama.
Kedua-dua pihak tidak membantah.
Menurut Sulaiman, Kadar Shah, 63, yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Muar tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana berada di Indonesia atas urusan perniagaan.
Fauziah, 54, dalam permohonannya menuntut mutaah, wang idah RM1.8 juta serta nafkah tertunggak dari November 2002 hingga November 2007 berjumlah RM600,000.
Antara tuntutan lain termasuk hutang defendan dengannya sebanyak RM250,000 iaitu bayaran kereta yang dijanjikan mahu diselesaikan oleh bekas suaminya itu dan unit saham bernilai RM1.5 juta.
Fauziah yang merupakan bekas pemenang pertandingan ratu cantik Miss Malaysia pada 1975 juga menuntut harta sepencarian mereka termasuk kondominium di Genting Highlands, kediaman di Bukit Jelutong, apartmen di Hawaii dan Los Angeles selain tiga kereta mewah.
Pasangan yang berkahwin pada 20 Januari 1980 di Jakarta Timur, Indonesia itu dikurniakan tiga cahaya mata.

Bunuh: Mahkamah tolak pengakuan Rasidi


SEREMBAN 8 Mac - Penganggur, Rasidi Ismail hari ini mengejutkan semua pihak apabila membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan membunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh awal tahun ini.
Pengakuan lelaki berusia 32 tahun itu bagaimanapun ditolak Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin bagi memberi peluang kepadanya melantik peguam bela.
Ahmad Nasfy menjelaskan, mahkamah perlu berhati-hati sebelum boleh menerima pengakuannya kerana tertuduh berhadapan dengan empat pertuduhan membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
"Mahkamah ini tidak boleh menerima pengakuan yang dibuat kerana tertuduh tidak mendapat nasihat guaman yang sah.
"Mahkamah akan melantik peguam untuk beri nasihat dan melihat sama ada wujud keperluan menghantar tertuduh menjalani pemeriksaan mental sebelum sebarang keputusan dibuat," ujarnya.
Ahmad Nasfy kemudian menetapkan 22 Mac ini sebagai sebutan semula kes berkenaan.
Rasidi didakwa membunuh datuknya, Atan Daud, 87; neneknya, Sufiah Katas, 80; bapanya, Ismail Awang, 76; dan adik perempuannya, Siti Khadijah Ismail, 22, di dua buah rumah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara pukul 7 dan 11 pagi, 5 Januari lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Rasidi mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan itu dibacakan kepadanya oleh jurubahasa.
Dia yang kelihatan tenang juga mengangguk tanda faham tentang hukuman yang akan diterima akibat daripada pengakuannya itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu, Rasidi perlu diberi peluang melantik peguam bela atau mendapatkan nasihat guaman sebelum mahkamah boleh menerima pengakuannya.
"Malahan bapa saudaranya yang hadir pada hari ini juga meminta supaya dibenarkan anak buahnya itu mendapatkan khidmat guaman.
"Dia juga telah meminta mahkamah ini melantik peguam bagi pihak diri tertuduh," kata Wan Shaharuddin.
Hadir sama di mahkamah hari ini ialah ibu Rasidi, Zaharah Atan, 59, dan ahli keluarga terdekat.
Zaharah yang ditemui pemberita berkata, dia amat berharap kes yang membabitkan anaknya itu diselesaikan segera.
"Saya gembira permohonan kami agar mahkamah melantik peguam bela mewakili anak saya telah diterima," katanya.
Dalam kejadian tersebut, Atan, Sufiah, Ismail dan Siti Khadijah ditemui mati dalam keadaan mengerikan di dua buah rumah berasingan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh.
Mayat Atan ditemui putus tangan kanan manakala isterinya, Sufiah putus tangan kiri. Ismail pula putus kepala dan Siti Khadijah ditemui dengan sebilah senjata tajam terpacak pada dadanya.
Rasidi ditahan di atas jejambat berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur.
Kepala Ismail yang dibawa lari oleh Rasidi pula telah ditemui tertanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

Tengku Temenggong tuntut kereta Bentley


KUALA LUMPUR 8 Mac - Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ibni Sultan Ismail Petra telah mengemukakan saman pemula untuk menuntut perisytiharan bahawa sebuah kereta mewah buatan Bentley dengan harga belian S$706,880 (RM1.7 juta) adalah miliknya secara mutlak.
Dalam saman yang difailkan melalui peguam, Mohd. Haaziq Pillay di Mahkamah Tinggi di sini pada 8 September 2009, Tengku Muhammad Fakhry menamakan kekandanya, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail selaku defendan.
Bersama saman tersebut, plaintif turut mengikrarkan afidavit untuk menyokong saman pemula itu dengan menyatakan, kenderaan berwarna biru nombor pendaftaran DBG 1 adalah miliknya.
Sehubungan itu defendan dihalang daripada menuntut hak milik atau mengambil kenderaan itu tanpa izin plaintif.
Tengku Muhammad Faris Petra bagaimanapun telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula adindanya itu.
Hari ini kes berkenaan disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Suzarika Sahak.
Beliau menetapkan 8 April ini untuk pengurusan kes bagi permohonan defendan membatalkan saman pemula plaintif.
Prosiding itu dihadiri oleh peguam P. Vadivu yang menyebut bagi pihak Mohd. Haaziq manakala defendan diwakili peguam Farah Syuhadah Razali.
Suami kepada Manohara Odelia Pinot itu mendakwa, melalui perjanjian pesanan kenderaan bertarikh 23 April 2008, Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra telah memesan kenderaan berkenaan daripada Malayan Motors.
Dakwa plaintif, beliau telah menguruskan semua urusan rasmi berhubung kenderaan tersebut termasuk jenis tayar, speaker, brek, Bluetooth telefon dan radiator dengan penjual.
Menurutnya lagi, meskipun kenderaan itu didaftarkan atas nama ayahandanya namun keseluruhan wang pembelian S$706,880 dibayar oleh beliau.
Sebaik sahaja bayaran diterima, penjual telah mengeluarkan resit rasmi sebelum menghantar kenderaan itu dari London ke Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.
Dakwa Tengku Muhammad Fakhry, kenderaan itu pada setiap masa berada dalam posisi eksklusif sama ada di istana mahupun kediaman beliau di Jalan Tun Razak, di sini.
Namun pada 18 Julai tahun lalu, plaintif mendakwa, defendan melalui ejen atau pekerja mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran beliau telah mengambil kenderaan itu ketika beliau berada di luar negara.
Kenderaan tersebut dibawa balik ke Istana Mahkota di Kubang Kerian.
Tengku Muhammad Fakhry mendakwa, pada pukul 5.45 petang, 30 Julai tahun lalu, beliau telah pergi ke istana untuk mengambil kenderaan tersebut tetapi dihalang oleh polis atas arahan defendan.
Dalam permohonan yang dikemukakan, plaintif turut memohon perisytiharan bahawa kenderaan itu yang telah dibeli untuk kegunaan dirinya dan ayahanda, adalah milik beliau.
Perisytiharan lain yang dimohon adalah defendan tidak berhak kepada kereta Bentley itu dan penahanannya oleh defendan adalah tidak sah.
Justeru itu plaintif menyatakan, beliau berhak mengambil semula kereta mewah tersebut.

Pecah rumah: Warga Sepanyol, Argentina diberkas


KUALA LUMPUR 8 Mac - Jika kejadian pecah rumah yang dilakukan oleh warga asing dari negara jiran, ia mungkin suatu perkara biasa bagi penduduk di negara ini.
Tetapi kes pecah rumah terbaru yang berjaya diselesaikan polis hari ini membabitkan empat warga asing dari negara Barat iaitu Sepanyol, Guatemala dan Argentina.
Warga Barat termasuk wanita mengandung, 42, dari Sepanyol itu ditahan tidak sampai lima minit selepas mereka merompak sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, dekat sini hari ini.
Penjenayah warga asing berkenaan menyasarkan kawasan-kawasan perumahan mewah dan bertindak pada waktu siang ketika penghuni keluar untuk bekerja.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, dalam kejadian hari ini, kesemua suspek yang bersenjatakan pisau bertindak memecah masuk rumah itu pada pukul 12.40 tengah hari.
Bagaimanapun, katanya, insiden itu disedari oleh jiran mangsa lalu menghubungi pemilik rumah tersebut.
"Pemiliknya, seorang pegawai pemasaran berusia 30 tahun, bergegas ke rumahnya dan menemui empat suspek di ruang tamu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya di sini hari ini.
Menyedari kehadiran suspek di rumah itu, kata Abdul Jalil, mangsa menjerit sambil meminta suspek keluar dari rumahnya.
Bagaimanapun, katanya, salah seorang suspek bertindak mengacukan pisau ke arah mangsa dan memintanya supaya tidak membuat kecoh.
"Mereka kemudian melarikan diri menaiki kereta Toyota Avanza yang disewa mereka. Mangsa lalu menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu," jelasnya.
"Tindakan pantas mangsa menyebabkan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan berjaya memintas kenderaan suspek kira-kira 100 meter dari rumah mangsa," jelasnya.
Ketika polis memintas kenderaan itu, katanya, salah seorang suspek pula cuba melarikan diri dan terjun ke dalam longkang berhampiran.
"Bagaimanapun kita berjaya menahan kesemua mereka," ujarnya.
Kesemua barangan yang dilarikan bernilai kira-kira RM25,000 berjaya dirampas semula dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 kanun yang sama.
Kesemua suspek yang berusia 25 hingga 45 tahun itu kini dalam tahanan reman.
Dalam pada itu, Abdul Jalil meminta orang ramai supaya mencontohi sikap kejiranan ditunjukkan oleh jiran mangsa yang memaklumkan kejadian itu sejurus menyedari kehadiran orang asing.

Dua anggota Rela ditahan, heroin RM200,000 dirampas


KUALA TERENGGANU 8 Mac - Tugas Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sepatutnya membanteras jenayah, namun lain pula berlaku di sini, apabila dua anggota pasukan itu terlibat dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini.
Kedua-dua mereka yang juga sepupu berusia 36 dan 40 tahun ditahan pada pukul 12.30 tengah malam dalam serbuan di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai di sini, Khamis lalu, hasil maklumat risikan.
Turut ditahan bersama mereka ialah isteri salah seorang suspek berasal dari Narathiwat, Thailand berusia 28 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata, ketika ditahan, seorang suspek berada di luar kereta jenis Proton Gen.2 manakala yang lain di dalam kenderaan tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menemui sebanyak 612 gram heroin No. 4 dengan nilai pasaran RM200,000 yang dipercayai untuk pasaran negeri ini dan Kelantan.
"Dadah itu diisi di dalam 136 botol plastik lut sinar yang diletakkan di dalam beg hitam di tempat kaki penumpang belakang.
"Rampasan itu adalah yang terbesar di negeri ini sejak 10 tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua anggota Rela dan wanita terbabit kini ditahan reman selama 10 hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan pula diserahkan kepada keluarga mereka semalam.
Roslan berkata, serbuan dilakukan oleh tujuh pegawai dan 16 anggota dari JSJN negeri diketuai oleh Deputi Supritendan Amran Ramli.
"Selain heroin, polis turut merampas wang tunai RM9,800 dan 6,000 baht (RM600)," ujar beliau.
Beliau memberitahu, dua suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh dan pemandu lori berasal dari Pasir Mas, Kelantan seta wanita itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dihukum gantung mandatori.
Dalam kejayaan lain, Roslan berkata, polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dan merampas sebanyak 246 gram dadah jenis syabu bernilai RM100,000.
Katanya, suspek berusia 28 tahun berasal dari Kampung Banggol Pauh di sini, ditahan di Jalan Sultan Omar kira-kira pukul 6 petang semalam.
"Suspek dipercayai ketua satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini yang berjaya dilumpuhkan pada Oktober lalu," katanya.

Siasatan kes kanak-kanak mati didera selesai


KUALA LUMPUR 8 Mac - Siasatan polis berhubung kematian kanak-kanak malang, Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, 3, yang menjadi mangsa penderaan kejam pada penghujung bulan lalu sudah selesai dijalankan.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, kertas siasatan kes itu telah lengkap dan akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut esok.
"Kita akan serah (kertas siasatan) itu kepada DPP esok untuk ditentukan sama ada untuk mendakwa suspek atau tidak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Berikutan itu, suspek utama iaitu teman lelaki kepada ibu Syafiah, mungkin akan didakwa bila-bila masa mulai esok.
Suspek yang berusia 28 tahun sebelum ini direman sejak 26 Februari lalu bagi membantu siasatan kes.
Dia yang bekerja sebagai pemandu teksi itu merupakan satu-satunya suspek dalam kes ini setelah tiada tangkapan lain dibuat.
Sebelum ini, polis juga telah mengambil keterangan saksi-saksi termasuk ibu mangsa, Siti Norhanim Aziz, 25, serta penduduk kampung.
Pada 27 Februari lalu, media menyiarkan kisah menyayat hati Syafiah Humairah yang menjadi mangsa dera, meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat.
Kejadian berlaku di padang bola Taman Batu 30, Batang Kali kira-kira pukul 6 petang pada 25 Februari lalu.
Pada mulanya, suspek yang menghantar Syafiah Humairah ke hospital, memaklumkan kononnya mangsa terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera. Suspek ditahan beberapa jam selepas itu.
Mangsa juga dipercayai mengalami penderaan berterusan selama ini, berdasarkan hasil bedah siasat yang menunjukkan terdapat kesan kecederaan lampau pada tubuhnya.

Pekerja MPS ditembak depan rumah


KUALA LUMPUR 8 Mac - Seorang pekerja di Unit Perancang Setinggan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) maut ditembak oleh dua lelaki di hadapan rumahnya di Jalan 40, Selayang Baru dekat sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi ketika mangsa, K. Celladuran, 50, baru keluar dari rumahnya untuk ke pejabat.
Mangsa ketika itu dikatakan sedang menutup pintu pagar rumahnya untuk menaiki motosikal ke tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, dua lelaki bermotosikal tiba-tiba muncul lalu melepaskan tiga das tembakan ke arahnya.
"Tembakan jarak dekat itu menyebabkan dua daripada peluru mengenai rusuk kiri dan dada mangsa.
"Mangsa yang cedera parah berikutan kejadian itu dibawa ke Hospital Selayang oleh jiran dan anaknya sebelum disahkan mati sejurus tiba di sana," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, ketika kedua-dua suspek cuba melarikan diri, mereka dihalang oleh seorang penduduk lelaki.
Bagaimanapun, katanya, penduduk itu terpaksa melepaskan salah seorang suspek setelah dia diacu dengan pistol.
Menurut beliau lagi, motif pembunuhan itu masih disiasat dan polis kini memburu kedua-dua suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, anak bongsu mangsa, C. Ranjitha, 16, memberitahu, ketika kejadian, dia dan beberapa ahli keluarganya berada dalam rumah dan terkejut setelah mendengar beberapa das tembakan.
"Sebaik sahaja saya keluar rumah, saya nampak ayah terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Abang saya, Surenthiren yang berada di tingkat atas rumah melompat dari anjung untuk segera mendapatkan ayah.
"Dia kemudian mengangkat ayah dan membawanya ke hospital dengan bantuan jiran," ujarnya.
Mendiang Celladuran meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak berusia antara 16 hingga 21 tahun.

Geli buat laporan polis minta siasat video Anwar


BANGI 8 Mac - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Gerakan Antiliwat (Geli) hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran cakera padat video (VCD) rakaman aktiviti Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berada di Penjara Sungai Buloh pada 2001.
Laporan dibuat oleh pengasas pertubuhan itu, Mohd. Arshad Ishak di Balai Polis Bandar Baru Bangi di sini pada pukul 1.55 petang.
Mohd. Arshad ketika ditemui pemberita memberitahu, beliau menemui VCD bertajuk Sandiwara Anwar - Sebab-sebab MP PKR keluar parti tengok habis dalam peti surat di rumahnya di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi di sini, Sabtu lalu.
Beliau berkata, rakaman menunjukkan aktiviti Anwar semasa dalam penjara itu bukanlah pertama kali ditonton kerana ia telah disebarkan melalui laman web dan YouTube sebelum ini.
"Apabila video itu dimainkan, ia menunjukkan Anwar tidak mampu berjalan sendiri dan kelihatan amat lemah dan tidak berdaya di sebuah kawasan perkuburan.
"Rakaman dalam penjara pula menunjukkan beliau amat sihat, bertenaga dan boleh berjalan tanpa kerusi roda dan penyokong leher," katanya di sini hari ini.
Mohd. Arshad berkata, beliau hairan bagaimana rakaman dalam penjara boleh tersebar kerana ia merupakan tempat dilindungi keselamatannya, malah sebarang rakaman selain untuk tujuan pemantauan jabatan itu adalah satu kesalahan.
Berdasarkan pemerhatian, katanya, rakaman aktiviti Anwar itu kemungkinan dibuat oleh individu tertentu atau diambil dari kamera litar tertutup (CCTV) di penjara.
Meskipun tidak pasti motif di sebalik penyebaran VCD terbabit, Mohd. Arshad berkata, individu yang bertanggungjawab menyebarkannya telah melakukan pecah amanah semasa ditugaskan menjaga keselamatan aset kerajaan.
"Sebab itu, kita minta polis siasat siapakah dalang yang mengeluarkan rakaman terbabit dari Penjara Sungai Buloh.
"Sebagai seorang warganegara yang mendaulatkan undang-undang, saya juga mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat video ini," ujarnya.
Mohd. Arshad berkata, perkara yang perlu disiasat oleh suruhanjaya terbabit adalah bagaimana rakaman aktiviti Anwar dalam penjara boleh disebarkan melalui Internet dan VCD.
"Siasat juga siapa pegawai penjara yang membuat rakaman terbabit dan menyebarkannya," katanya.
Selain itu, tambahnya, rakaman yang menunjukkan Anwar berkeadaan sihat dan sebaliknya ketika berada di khalayak ramai perlu disiasat ketulenannya.
"Dalam masa sama, kita mahu Anwar memberi penjelasan mengenai video ini kerana kegagalan berbuat demikian membuktikan memang benar beliau bersandiwara selama ini.
"Geli akan mengumpul sokongan rakyat melalui 'Facebook fan page' untuk mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat perkara terbabit seperti dilakukan terhadap kes rakaman video VK Linggam, dua tahun lepas," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan merujuk kepada Penjara Sungai Buloh untuk siasatan lanjut.

SPRM siasat harta bekas setiausaha politik



Mohd. Shukri Abdul (kiri) bertukar-tukar nota serah tugas dengan Mustafar Ali di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 8 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan kemungkinan setiausaha politik seorang menteri kanan yang disiasat berhubung kes rasuah mempunyai harta dan akaun di luar negara.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan kes tersebut memandangkan ia melibatkan penggunaan akaun dan harta untuk disiasat.
"Beri kami sedikit masa lagi," katanya kepada pemberita hari ini di sini.
Beliau sebelum itu mengadakan sidang akhbar berhubung pelantikan Pesuruhjaya Mustafar Ali sebagai Pengarah Siasatan SPRM berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Mustafar mula bertugas dalam perkhidmatan kerajaan di Badan Pencegah Rasuah (BPR) sejak 1985 sebelum dipinjamkan sebagai Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 16 Jun 2004 hingga 28 Februari 2010.
Mohd. Shukri mengulas penahanan seorang setiausaha politik menteri kanan oleh SPRM di Pulau Pinang pada 11 Februari lalu yang kemudian dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000.
Dia yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, dibebaskan setelah keterangannya diambil.
Ditanya mengenai siasatan skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan Datuk Dr. Wee Ka Siong, Mohd Shukri berkata, kes tersebut masih dalam siasatan.
Katanya, Ka Siong sendiri telah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung perkara itu.
"Selain itu terdapat beberapa saksi lain yang turut dipanggil untuk memberikan keterangan," katanya.