Search This Blog

Loading...

Monday, March 8, 2010

Samseng cilik

Oleh Sarah Zulkifli dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/03/08
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel


KUALA LUMPUR: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun layak digelar ‘gengster cilik’ apabila dia bukan saja nekad menyamun warga emas yang juga nenek kepada rakannya, malah sanggup membelasah mangsa sehingga patah kaki.
Difahamkan, suspek melakukan perbuatan kejam itu bersama seorang lagi rakannya berusia awal 20-an di rumah mangsa di Bandar Tun Razak, di sini.




Malah, kedua-dua suspek terbabit berulang kali memijak dan menendang mangsa berusia 57 tahun itu ketika cuba meloloskan diri.




Semuanya bermula jam 11 malam pada Jumaat lalu, apabila kedua-dua suspek pergi ke kediaman seorang lagi rakan mereka, sebelum bertemu dengan warga emas terbabit yang berseorangan di rumah.




Kedua-dua suspek cuba merampas barang kemas dan wang tunai milik warga emas berkenaan menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.




Menurut sumber, disebabkan terdesak untuk melarikan barangan berkenaan selain mengelak perbuatan itu disedari penduduk, kedua-dua suspek membelasah warga emas berkenaan.


“Mereka berulang kali memijak dan menendang tubuh mangsa sehingga merampas barang kemas berkenaan.




“Biarpun warga emas itu berulang kali merayu dikasihani, kedua-dua suspek tidak mengendahkannya,” katanya.




Sumber itu berkata, jeritan mangsa didengari penduduk setempat sebelum mereka tampil menghulurkan bantuan.




Tersentak dengan kehadiran penduduk, kedua-dua suspek cuba melarikan diri, namun remaja lelaki itu ditangkap.




Penduduk juga merampas semula barang kemas dan wang tunai milik warga emas berkenaan, namun seorang lagi suspek dapat meloloskan diri.




Sehubungan itu, penduduk setempat menghubungi pihak berkuasa sebelum menyerahkan suspek untuk siasatan dan tindakan lanjut.




‘Gengster cilik’ itu dibawa ke Balai Polis Cheras di sini, untuk tindakan susulan manakala warga emas terbabit dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan kecemasan.




Difahamkan, warga emas itu patah kaki akibat dibelasah kedua-dua suspek selain lebam seluruh tubuh dipercayai akibat dipijak dan ditendang.




Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kanak-kanak terbabit akan direman sehingga esok bermula kelmarin, bagi membantu siasatan.




“Manakala rakan suspek masih diburu dan pihak polis percaya akan dapat memberkasnya dalam masa terdekat. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 395 samun berkumpulan tanpa senjata,” katanya.

Kereta melambung

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/03/08
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARAN: “Mangsa yang maut duduk di sebelah pemandu sebelum tercampak keluar dari kereta, manakala seorang kanak-kanak lelaki parah dengan tangan dan kaki kanan patah selain luka di tengkuk,” kata Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin mengenai kemalangan ngeri membabit empat kenderaan, di Kilometer 157.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini, malam kelmarin.
REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 8.15 malam itu, sebuah kereta dari lorong perlahan cuba ke lorong kanan, tetapi terlanggar bucu belakang sebuah kereta kancil menyebabkannya terbabas melanggar sebuah kereta Proton Wira yang berhenti di lorong kecemasan, sebelum melambung dan menghempap sebuah kereta Proton Waja yang berhenti di hadapan Proton Wira itu.


Mangsa, Hana Natasya Salehin, 21, menaiki kereta Toyota Vios dipandu ibunya Nor Khairol Awang Taram, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala, patah kaki serta tulang rusuk.


Manakala, ibu, kakaknya Hizieyana, 23, dan adik, Haizal Hakimi, 8, turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, untuk rawatan lanjut.


Ahmad Johari berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu ibu mangsa yang berada di lorong perlahan cuba bertukar lorong sebelum terlanggar bucu belakang Perodua Kancil di hadapannya.


“Akibat perlanggaran itu, Perodua Kancil itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.

“Manakala, kereta yang dinaiki mangsa terbabas serta merempuh sebuah Proton Wira yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak,” katanya.


Menurutnya, rempuhan kuat itu turut menyebabkan kereta mangsa melambung tinggi sebelum menghempap sebuah lagi kereta Proton Waja yang berhenti di hadapan Proton Wira berkenaan.


“Seorang lagi mangsa yang parah, Mashasmila Mohd Ali, 30, yang juga penumpang Proton Wira terbabit tidak sempat keluar daripada kenderaan,” katanya.


Sementara itu, kakak mangsa, Herryanie, 26, berkata dia dihubungi ibunya memaklumkan mengenai berita buruk itu kira-kira 15 minit selepas kejadian dan bergegas ke Hoshas bersama bapa.


“Ibu menghubungi saya menangis teresak-esak dan percakapannya kurang jelas selain hanya terdengar perkataan ‘accident’ sebelum saya meminta ibu menghubungi semula.


“Bagaimanapun, saya terkejut selepas dimaklumkan mereka terbabit kemalangan menyebabkan seorang daripada adik saya maut,” katanya ketika ditemui.


Katanya, ketika kejadian ibu dan tiga adiknya itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Indera Mahkota, Kuantan, selepas bercuti di kota keriangan itu sejak Jumaat lalu.


“Arwah yang mengusahakan pusat mencuci kereta berhampiran rumah kami adalah adik perempuan yang paling rapat dengan saya. Malah, sebelum kejadian dia juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang pelik,” katanya.

Disula guna batang mop

Oleh Sarah Zulkifli, Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/03/06
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Dua anggota tentera bukan saja dibelasah beramai-ramai lebih sejam, malah diseksa ‘hidup-hidup’ sebelum disula menggunakan batang mop oleh sekumpulan lima askar senior ketika menjalani hukuman tatatertib di sebuah kem tentera di sini.
Malah, kumpulan senior terbabit yang juga tahanan di tempat sama layak digelar ‘geng samseng’ kerana membuli mangsa tanpa perikemanusiaan dengan memukul dan menendang mereka sesuka hati. Difahamkan, perbuatan itu dilakukan senior terbabit sejak 23 Februari lalu apabila mangsa dan rakannya dimasukkan ke bilik tahanan berkenaan kerana melakukan kesalahan disiplin.


Tindakan itu dilakukan kumpulan senior terbabit selepas mangsa, Hasrul Nizam Husin, 29, dan rakannya yang dikenali sebagai Firdaus, 20-an, enggan memenuhi permintaan mereka supaya membeli makanan dan rokok.


Namun, kekejaman itu terbongkar apabila mangsa terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kira-kira jam 6 petang, Rabu lalu untuk rawatan kecemasan selepas pengsan dipercayai akibat dibelasah.


Difahamkan, isteri dan keluarga Hasrul tidak mengetahui mangsa didera sehingga doktor di hospital berkenaan memberitahu mereka ketika cuba mendapat persetujuan untuk melakukan pembedahan terhadap anggota tentera itu. Hasrul yang berpangkat lans koperal dan tujuh tahun berkhidmat dalam angkatan tentera berkata, dia dibelasah sekiranya tidak patuh arahan kumpulan senior terbabit yang mengarahkan mereka mendapatkan makanan dan rokok.


“Jika sekali dua bolehlah, ini tidak, mereka suruh saya membekalkan makanan dan rokok kepada mereka setiap hari.

“Siapa sanggup dipergunakan sebegitu. Jika saya tidak patuh arahan, mereka akan membelasah saya dan rakan tanpa perikemanusiaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Hasrul berkata, kumpulan terbabit mengetahui dia mudah untuk mendapatkan bekalan makanan dan rokok kerana isterinya tinggal di kem sama.


“Sebab itu saya dan rakan teruk dibelasah kumpulan terbabit. Saya berharap pihak berwajib akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.


Difahamkan, mangsa bukan saja lebam di seluruh badan akibat perbuatan senior terbabit, malah ususnya dikatakan turut pecah.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.


“Polis menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca dan suspek kejadian terbabit.


“Kami (polis) menahan tujuh anggota tentera untuk membantu siasatan jam 1.30 petang tadi (semalam) dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Amah bakar rumah majikan diawasi kedutaan

KUALA TERENGGANU 7 Mac - Amah remaja warga Indonesia yang mencuri dan membakar rumah majikannya di Seberang Takir dekat sini Januari lalu akan diletakkan di bawah penjagaan dan pengawasan Kedutaan Indonesia selama tiga tahun.

Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Majistret dalam prosiding tertutup berhubung kes itu hari ini.

Peguam bela tertuduh, Raftfizi Zainal Abidin berkata, Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh membuat keputusan menempatkan Fiona Maya Paksi, 14, di rumah perlindungan Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur.

Katanya, mahkamah turut menetapkan Fiona perlu dibawa ke balai polis berdekatan sebulan sekali dalam tahun pertama.

''Dia perlu berada selama setahun di tempat penjagaan tersebut sebelum kedudukannya dikaji semula oleh Kedutaan Indonesia iaitu dihantar pulang atau kekal di sana," katanya kepada media di luar mahkamah di sini, petang ini.

Menurut Raftfizi, Fiona kesal dengan apa yang berlaku dan ingin pulang ke kampung halamannya.

Pada 13 Januari lalu, Fiona mengaku bersalah di atas tuduhan mencuri daripada rumah majikannya.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa mencuri dua buah komputer riba, sebuah modem jalur lebar, tetikus dan sebuah beg milik majikannya, Mazli Mohamad.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lot 103, Taman Murni Indah, Telaga Indah, Seberang Takir, di sini di antara pukul 10 pagi dan 10.30 pagi, 6 Januari lalu.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh.

Anggota polis dituduh terima rasuah

KOTA BHARU 7 Mac - Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan menerima dan meminta rasuah daripada dua penternak lembu di negeri ini.

Lans Koperal Mohd. Farham Ahmad Sahudin, 27, yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Farham dituduh meminta suapan wang tunai RM200 pada 29 Disember 2008 daripada Mohammad Shahril Mohd. Nor sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh lelaki berkenaan.

Mohammad Shahril ketika itu disyaki melakukan pemindahan ternakan lembu di negeri ini tanpa mempunyai permit yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Farham didakwa menerima wang berjumlah RM180 ketika bertemu di atas Jambatan Sultan Ismail Petra, Pasir Mas di sini, sehari selepas meminta suapan berkenaan.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh pada 2 Februari tahun lalu didakwa meminta suapan sebanyak RM200 daripada Sufian Mohd. Nor sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan selepas lelaki berkenaan disyaki melakukan kesalahan yang sama dengan Mohammad Shahril.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa bersetuju untuk menerima suapan sebanyak RM200 daripada lelaki itu di Kampung Tok Buak, Pasir Mas pada 8 Februari tahun lalu.

Wan Fadhilah kemudiannya bersetuju menetapkan bayaran RM2,000 sebagai ikat jamin dengan seorang penjamin manakala 7 April ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

"Saya harap tertuduh dapat melantik peguam untuk perbicaraan itu kelak," katanya.

Ibu tunggal ditemui mati di rumah

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kebiasaannya, setiap pagi wanita ini akan berkunjung ke gerai makan berhampiran rumahnya di Lorong Ikan Emas 3, Cheras di sini untuk bersarapan.

Namun, ketiadaan ibu tunggal itu sejak semalam menimbulkan tanda tanya kepada pengusaha gerai tersebut.

Perasaan sama juga dirasai jiran tetangga yang juga hairan dengan kehilangan M. Tamiselvi, 49.

Persoalan itu terjawab hari ini apabila salah seorang jirannya yang berusia 50 tahun menemui mayat Tamiselvi dalam keadaan terlentang dan berbogel di ruang tamu rumahnya pada pukul 11.30 pagi.

Ketika ditemui, keadaan rumah itu didapati berselerak dan pintu besi pula berkunci dengan rantai besi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, siasatan awal polis mendapati tengkuk mangsa patah dipercayai dihentak menggunakan objek keras.

"Pemeriksaan ke atas rumah mangsa mendapati tiada kesan pecah masuk... mungkin pembunuh adalah orang yang dikenali mangsa.

"Polis juga menolak motif samun kerana barangan berharga seperti dompet dan barangan kemas tidak hilang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Tambah Abdul Rahim, pihaknya turut menemui beberapa tompok darah pada pintu dan kerusi ruang tamu.

"Kami masih menyiasat punca kematian mangsa termasuk menunggu laporan bedah siasat," katanya.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.

Dua kereta pemimpin Hindu Sangam rosak dibakar

PETALING JAYA 7 Mac - Dua buah kereta milik Presiden dan Naib Presiden Hindu Sangam Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diletakkan di hadapan pejabat itu rosak apabila dibakar dengan menggunakan bahan api oleh dua lelaki yang tidak dikenali.

Kejadian berlaku pada pukul 1.20 pagi di pejabat pertubuhan itu yang terletak di sebuah bangunan rumah kedai di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama 7 di sini.

Turut menjadi sasaran adalah papan nama pertubuhan berkenaan yang dilempar bom api.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa, S. Mohan, 45, dan V. Kundasamy, 55, serta seorang lagi naib presiden pertubuhan itu, sedang bermesyuarat di tingkat tiga bangunan tersebut.

Mohan memiliki kereta Hyundai Trajet manakala Kundasamy merupakan pemilik kereta Mercedes-Benz E230.

Menurut Mohan, mereka menyedari kejadian tersebut apabila mendengar bunyi bising di luar bangunan.

"Saya menjenguk ke luar menerusi tingkap dan mendapati pengawal keselamatan dari sebelah bangunan bertentangan menjerit ada kereta terbakar.

"Kami terus meluru ke bawah dan mendapati kereta kami sedang terbakar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohan menambah, pengawal keselamatan terbabit mendakwa ia dilakukan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha.

Beliau percaya kejadian itu, mempunyai kaitan dengan satu kes penipuan diterima Hindu Sangam Malaysia melibatkan seorang individu yang didakwa menggunakan agama untuk mengaut keuntungan.

"Kami mengadakan pertemuan dengan kira-kira 80 mangsa serta 30 NGO untuk kes tersebut (penipuan) semalam. Pada sebelah malam, kita kena lontar bom, mungkin ada kaitan," jelasnya.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa yang bimbang dengan keselamatan masing-masing telah membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini mengesahkan insiden tersebut.

Saki-baki kumpulan Sawit United diburu

SEREMBAN 7 Mac – Polis mempergiatkan usaha memburu saki-baki ahli Kumpulan Sawit United selepas ketua dan dua pengikutnya mati ditembak di Serting Hilir, Bandar Sri Jempol, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zaki Masroh berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan polis dari negeri lain seperti Melaka, Johor dan Pahang.

“Kami akan memburu saki-baki ahli kumpulan itu yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes jenayah di negeri ini dan negeri berdekatan.

“Dengan kematian ketua kumpulan itu, polis yakin dapat menyelesaikan 20 hingga 30 kes jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, tiga penjenayah terbabit yang amat dikehendaki kerana melakukan jenayah pecah rumah, samun dan rogol di beberapa buah negeri di selatan tanah air, mati ditembak.

Ketiga-tiga penjenayah berusia 30-an ditembak setelah cuba menyerang polis.

Buang bayi : Polis tahan wanita

KUCHING 7 Mac - Polis menahan seorang wanita yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes penemuan mayat seorang bayi perempuan dalam sebatang longkang berhampiran Pasar Stutong, semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong yang mengesahkan penahanan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut latar belakang wanita berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan, suspek berusia 22 tahun itu ditahan di sebuah kedai minuman di kawasan Stutong pada pukul 1 petang ini.

Dalam kejadian itu, dua kanak-kanak berusia 13 tahun terkejut apabila menemui mayat berkenaan di dalam longkang.

Mayat berkenaan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui ekoran terdapat kesan darah baru pada pusat bayi malang itu.

Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

7 suspek kes rogol serah diri

Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 7 Mac – Tidak sampai 24 jam nama mereka disiarkan akhbar, tujuh daripada sembilan suspek kes rogol seorang pelajar di Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) Felda Sungai Klah dekat Sungkai, datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, ketujuh-tujuh lelaki tersebut tampil menyerah diri di IPD Tapah pada pukul 11.30 malam tadi.

Ujarnya, polis akan mendapatkan tahanan reman terhadap ketujuh-tujuh suspek hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

“Saya sangat berterima kasih kepada Utusan Malaysia kerana menyiarkan nama dan gambar mereka yang banyak membantu pihak polis menyelesaikan kes ini.

“Lima suspek berusia antara 15 hingga 29 tahun itu ditahan di sekitar Sungkai, Khamis lalu. Dengan penahanan tujuh mereka, kita mendapat 12 suspek untuk kes ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dirogol secara bergilir-gilir oleh 14 lelaki di Felda Sungai Klah, dekat Sungkai.

Mangsa dari Felda Trolak Utara itu pada mulanya diajak menaiki motosikal oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘Wan’ semasa berjalan-jalan bersama rakannya di satu kawasan pada pukul 6.15 petang.

Malangnya, mangsa telah dibawa ke sebuah kawasan tertutup di TRAP Sungai Klah sebelum dirogol oleh Wan dan tiga lagi rakannya yang menunggu di situ.

Wan kemudian menyuruh seorang rakannya menghantar mangsa pulang ke rumah tetapi sebaliknya dibawa ke sebuah rumah kosong di Felda Sungai Klah sebelum gadis itu sekali lagi dirogol bergilir-gilir lebih 10 lelaki.

Sementara itu ujar Roslan, polis akan meneruskan usaha mencari dua lagi suspek kes tersebut bagi membantu siasatan.

“Polis percaya kedua-duanya akan dapat dikesan dalam tempoh terdekat. Kita syak kedua-dua suspek berada di Kuala Lumpur sekarang.

“Mereka tidak akan dapat lari ke mana-mana kerana polis tahu nombor kad pengenalan dan alamat rumah mereka,” katanya.