Search This Blog

Loading...

Sunday, March 7, 2010

Pemimpin Belanda hina al-Quran

PENUNJUK perasaan antifasis memberi reaksi bertentangan terhadap Liga Pertahanan England di seberang jalan bertentangan yang menyokong lawatan kontroversi Wilders di London, kelmarin. – AP

LONDON 6 Mac – Pemimpin anti-Islam Belanda, Geert Wilders mengutuk kitab suci al-Quran di dalam Dewan Tinggi Britain, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat di dalam bangunan pentadbiran itu serta mencetuskan protes di luar Dewan bagi melahirkan tanda kemarahan.

Sebelum ini Wilders pernah menghina Nabi Muhammad dengan menyifatkan baginda sebagai ‘orang gasar dan fidofilia’.

Wilders menayangkan filem 15 minit Fitna kepada kira-kira 60 orang semalam, termasuk beberapa orang bangsawan dalam bilik jawatankuasa Parlimen. Filem tersebut mengaitkan al-Quran dengan keganasan, tentangan terhadap homoseksual dan penindasan wanita.

Di luar Dewan, kira-kira 200 penunjuk perasaan mengejek dan melaungkan ‘Samseng fasis keluar dari jalan-jalan raya kami’. Polis juga bergelut dengan penunjuk perasaan yang cuba menyekat jalan raya bagi menghalang demonstrasi aktivis penyokong Wilders, Liga Pertahanan England daripada menghampiri Parlimen.

Ahli politik berambut perang itu kemudian berucap kepada media Britain dengan memetik kata-kata Thomas Jefferson, George Orwell dan merujuk kepada Pindaan Pertama dalam Perlembagaan Amerika Syarikat (AS).

“Saya percaya Islam adalah agama yang ganas dan bahaya, namun saya tidak memushi penganutnya,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Wilders mahu seluruh Eropah mengharamkan pendatang beragama Islam kerana didakwanya membawa ideologi fasis.

Lawatan itu dan kontroversi yang menyelubunginya, melonjakkan imej Wilders menjelang kempen pilihan raya umum yang akan dihadapi Parti Kebebasan pimpinannya.

Parti itu menunjukkan prestasi baik pada pilihan raya kecil minggu ini dengan memenangi sebuah bandar dan berada di tempat kedua di sebuah bandar lain.

Wilders berkata, dia mungkin menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya pada 9 Jun ini dan akan menutup semua sekolah orang Islam, menghentikan pembinaan masjid baru malah mengharamkan al-Quran. – AP

Tiga ahli kumpulan 'Sawit United' mati ditembak

SEREMBAN 6 Mac - Selepas hampir setahun bermaharajalela melakukan jenayah pecah rumah, samun dan rogol di beberapa buah negeri di selatan tanah air, tiga lelaki dipercayai ahli kumpulan "Sawit United' yang amat dikehendaki, mati ditembak ketika cuba menyerang anggota polis, malam tadi.

Ketiga-tiga penjenayah itu yang berusia dalam lingkungan 30-an dan belum dikenal pasti identiti mereka ditembak berhampiran sebuah tangki air dalam ladang kelapa sawit di Serting Hilir, Bandar Sri Jempol kira-kira pukul 8.30 malam.

Kumpulan ini dikatakan mendapat nama 'Sawit United' berikutan modus operandi mereka yang akan menjadikan kawasan ladang sawit sebagai tempat pertemuan setiap kali sebelum melakukan jenayah.

Malah, dalam kejadian malam tadi, salah seorang daripada suspek yang ditembak, dipercayai ketua kumpulan penjenayah tersebut.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh memberitahu, polis kini sedang melancarkan usaha untuk memburu saki baki ahli kumpulan ini yang masih bebas.

"Polis mendapat maklumat bahawa kumpulan itu yang diburu sejak setahun lalu berada di sebuah ladang sawit di Bandar Sri Jempol.

"Seramai 20 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri diarah untuk melakukan rondaan di kawasan Serting dan terserempak dengan tiga lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah tangki air.

"Ketika cuba diperiksa, tiga lelaki itu tiba-tiba cuba menyerang sepasukan enam anggota polis yang menahan mereka dengan pisau dan sabit. Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan tembakan itu mengenai kesemua suspek," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Osman, polis kemudian menemui sebilah pisau, sabit, pemutar skru dan pemotong besi, tiga butir peluru 9 milimeter dalam bakul tiga buah motosikal yang digunakan oleh suspek.

Hasil siasatan awal, salah sebuah daripada motosikal yang digunakan oleh suspek dan didaftarkan dari negeri Perak, pernah dilaporkan hilang di Bahau.

"Kita percaya kumpulan ini terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 kes pecah rumah di negeri ini sejak setahun lalu, selain 30 jenayah harta benda lain.

"Pada masa yang sama, kita percaya kumpulan ini turut terlibat dalam beberapa kes jenayah samun, pecah rumah, rogol dan liwat di Melaka, Pahang dan Johor.

"Berikutan itu, polis sedang memburu saki baki ahli kumpulan ini yang dipercayai masih bebas," kata beliau.

Menurut Osman, mayat kesemua suspek dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat manakala kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Perselisihan faham mungkin punca bekas tentera dibunuh

PETALING JAYA 6 Mac - Polis tidak menolak kemungkinan faktor perselisihan faham menjadi motif utama seorang bekas tentera British ditemui mati dengan kesan kelar di leher di rumahnya di SS2 di sini, semalam.

Sehubungan itu, teman wanita mangsa yang berkerja sebagai guru piano ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Wanita yang berusia 34 tahun itu kini ditahan reman selama lima hari, bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan kini menjurus kepada wanita itu yang dianggap sebagai suspek utama kes ini.

"Berdasarkan beberapa bukti dan penemuan, kita kini sedang menyiasat teman wanita mangsa yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan kes pembunuhan warga British ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, mayat Andrew Micheal Murchie, 46, ditemui berbogel di atas lantai dan pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang pecah masuk di rumah mangsa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, teman wanita mangsa dikatakan menghubungi polis kononnya dia menemui mayat dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar di leher.

Polis turut menemui sebilah pisau sepanjang 15 sentimeter berhampiran mangsa.

Teman wanitanya dikatakan tinggal serumah dengan mangsa sejak dua tahun lalu.

Mengulas lanjut beliau berkata, mayat lelaki itu belum dituntut oleh ahli keluarga, namun pihaknya telah menghubungi mereka sejurus selepas kejadian.

Pembunuh Hareswarral tidak bertamadun - KPN

PETALING JAYA 6 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan mereka yang terlibat membunuh seorang kanak- kanak berusia setahun enam bulan, K. Hareswarral pada Khamis lalu sebagai tidak bertamadun dan zalim.

Tegas beliau, tindakan suspek mendera kanak-kanak lelaki itu sehingga mengakibatkan enam tulang rusuknya patah, hatinya hancur, selain cedera parah di kepala dan kemaluan adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima akal.

"Kekejaman ini langsung tidak menggambarkan sifat ketamadunan manusia di negara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis bertemu masyarakat di dataran pusat beli-belah Amcorp Mall di sini hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Tan Sri Ismail Omar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin; Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin dan Pengarah Jabatan Siasatan Komersial, Datuk Koh Hong Sun.

Musa mengulas kes kematian Hareswarral yang maut selepas mengalami penderaan fizikal secara serius baru-baru ini.

Seminggu sebelum itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun, Syafiah Humairah Sahari mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di Hulu Selangor.

Mengulas lanjut, Musa kecewa dengan sikap penduduk sekitar yang enggan menyalurkan maklumat kepada polis berhubung kejadian itu.

"Saya yakin dalam kes ini (kita) ada banyak saksi, cuma mereka takut untuk tampil. Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu dibawa tidak jauh dari kawasan perumahan.

"Kalau benar ada saksi yang tengok kejadian itu dan menghubungi polis, mungkin kanak-kanak itu dapat diselamatkan. Jangan hanya menyesal selepas berlaku.

"Kalau takut sangat, tak perlu dedahkan identiti... cuma bagi maklumat. Itu pun kira dah cukup," jelasnya.

Mayat bayi ditemui dalam longkang

KUCHING 6 Mac - Selepas isu pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak menghiasi dada-dada akhbar dan kaca televisyen baru-baru ini, kini muncul lagi kes yang sama.
Mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebatang longkang dalam keadaan menyedihkan kerana masih mempunyai tali pusat serta kesan darah pada badannya.
Bayi malang itu ditemui pada pukul 2.45 petang di kawasan berdekatan Pasar Stutong di sini oleh dua kanak-kanak berusia 13 tahun yang kebetulan bermain di situ.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu bergegas ke tempat kejadian.
"Siasatan awal mendapati, bayi terbabit dipercayai dibuang dan meninggal dunia pagi ini.
"Ketika ditemui, keadaan bayi itu masih mempunyai tali pusat serta ada kesan darah. Ia dibalut dengan sehelai kain tuala," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kock Keong berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Malaysia jadi mangsa transit dadah



Musa Hassan beramah mesra bersama penduduk sekitar Damansara dan Petaling Jaya selepas mengadakan sesi dialog di Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 6 Mac - Bekalan bahan mentah untuk menghasilkan dadah yang berlebihan di negara-negara Segi Tiga Emas mendorong kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai hab atau transit penyeludupan dadah.
Malah, peningkatan harga pasaran yang tinggi iaitu lima kali ganda berbanding harga asal sebelum ini juga menyebabkan sindiket penyeludupan perlu segera menjual dadah, walaupun terpaksa melalui negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, berikutan perkembangan itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan Malaysia turut dijadikan mangsa sebagai hab atau transit sindiket penyeludupan dadah.
Bagi memastikan usaha menangani kegiatan itu dapat dikawal, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses untuk meletakkan seorang pegawainya di tujuh buah negara yang dikategorikan sebagai 'panas' dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.
Beliau berkata, antara tujuh negara tersebut adalah Vietnam, Iran dan Afghanistan.
"Langkah menempatkan pegawai- pegawai PDRM ke negara-negara tersebut dilihat amat tepat untuk mengekang kegiatan penyeludupan dadah masuk ke Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis bertemu masyarakat di dataran pusat beli-belah Amcorp Mall di sini hari ini.
Polis baru-baru ini mendedahkan bahawa kumpulan mafia yang terkenal dengan organisasi jenayah pengedaran dadah antarabangsa dikesan melebarkan sayapnya ke negara ini.
Perkara berkenaan terbongkar apabila tiga warga Iran ditahan di ibu negara. Bagi tahun 2010, sehingga kini seramai 41 warga Iran ditahan di negara ini kerana menyeludup dadah.
Sementara itu beliau berkata, tindakan seorang anggota polis menembak tunangnya sebelum cuba membunuh diri dengan meminum racun pada Selasa lalu akan diadili mengikut undang-undang, biarpun pelaku jenayah itu seorang anggota keselamatan.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan bersekongkol dengan mana-mana penjenayah, walaupun ia berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal, Musa memberi amaran kepada anggota dan pegawai PDRM agar tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka.