Search This Blog

Loading...

Saturday, March 6, 2010

Maut bergaduh selepas solat Jumaat


KOTA BHARU 5 Mac - Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam pergaduhan di hadapan Masjid Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa selepas selesai menunaikan solat Jumaat di masjid itu.
Sebelum itu, mangsa, Ruslim Ab. Rahman, 52, sempat bersalaman dan memohon maaf kepada ibunya di rumah mereka pada pagi sebelum kejadian.
Ibunya, Kamariah Ismail, 68, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak sulungnya itu kira-kira pukul 4 petang selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya, Ruzana, 47, yang berada di Kuala Lumpur.
"Pukul 10 pagi tadi, arwah datang jumpa saya sambil memakai baju Melayu dan meminta maaf.
"Saya tidak mengesyaki apa-apa ketika itu, tapi terkejut selepas diberitahu dia terlibat dalam pergaduhan sehingga mati," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.45 petang ini, Ruslim meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas mengalami kecederaan parah di leher akibat terkena senjata tajam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim memberitahu, mangsa bersama dua rakannya dipercayai menemui salah seorang penduduk selepas selesai solat Jumaat sebelum tercetus pergaduhan.
"Selepas cedera, mangsa dikejarkan ke hospital dengan bantuan rakan-rakannya namun disahkan meninggal dunia sejurus selepas dimasukkan ke hospital.
"Susulan kejadian itu, polis menahan seorang pekerja hotel berusia 46 tahun untuk siasatan lanjut," katanya.
Suspek, kata Amir Hamzah, ditahan selepas menerima rawatan di hospital yang sama berikutan kecederaan di kepala. Kata beliau lagi, motif kejadian masih disiasat.

Warga British mati leher dikelar


PETALING JAYA 5 Mac - Seorang bekas tentera British, ditemui mati dalam keadaan ngeri dengan lehernya dikelar di bilik tidur rumah sewanya di SS2/2, di sini hari ini.
Mangsa, Andrew Micheal Murchie, 46, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan berbogel di atas lantai oleh teman wanitanya kira-kira pukul 9.30 pagi.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan awal polis menolak kemungkinan mangsa disamun kerana keadaan rumah yang tidak berselerak.
"Rumahnya juga tiada kesan pecah masuk, justeru polis percaya kejadian itu dilakukan orang yang dikenali.
"Polis juga menemui sebilah pisau berukuran 15 sentimeter di sebelahnya, dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Menurut Arjunaidi, motif pembunuhan masih disiasat dan setakat ini pihaknya telah menahan teman wanita mangsa berusia 34 tahun.
Beliau menambah, mangsa yang memasuki negara ini dua tahun lalu, dipercayai dibunuh beberapa jam sebelum mayatnya ditemui.
"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.

Taktik baru samun kenderaan


KUALA LUMPUR 5 Mac - Sindiket pecah kenderaan yang kini aktif di kawasan Flat Sri Pahang di sini dikesan menggunakan taktik baru bagi memperdayakan orang ramai.
Selepas salah seorang daripada ahli kumpulan itu memecahkan cermin kenderaan penduduk, dia akan menarik perhatian orang ramai supaya dikejar, dan ketika itulah rakannya yang lain akan mencuri barangan berharga dari dalam kenderaan itu.
Bagaimanapun, taktik itu yang didalangi empat lelaki berusia lingkungan 20-an terbongkar apabila salah seorang daripada mereka ditahan di tempat letak kereta flat berkenaan, awal pagi ini.
Suspek diberkas kira-kira pukul 2.30 pagi ketika cuba mencuri barangan berharga di dalam sebuah kereta yang dipecahkan sebelum itu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid berkata, suspek mengaku melakukan jenayah terbabit dengan dibantu tiga lari rakannya.
"Modus operandi kumpulan itu ialah seorang daripada mereka akan memecahkan cermin kenderaan sehingga didengari mangsa atau orang ramai yang kemudiannya akan mengejar suspek.
"Kesempatan itu kemudian digunakan oleh seorang lagi suspek untuk mencuri barangan berharga di dalam kenderaan tersebut.
"Dua lagi suspek akan berada tidak jauh dari lokasi kejadian untuk memantau keadaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini hari ini.
Menurut Wan Abdul Bari, ketika ditahan, suspek dipercayai belum sempat mencuri barang di dalam kenderaan tersebut bagaimanapun tiga lagi rakannya dapat meloloskan diri.
Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam 10 kes pecah kereta di sekitar Bangsar.
Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan usaha mengesan tiga lagi rakannya yang masih bebas sedang giat dijalankan.
Dalam perkembangan lain, polis berjaya memberkas 10 lelaki yang dipercayai sedang berjudi selain merampas 53 unit komputer bernilai RM106,000 yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Brickfields baru-baru ini.

Polis cari sembilan lelaki bantu siasatan kes rogol pelajar


TAPAH 5 Mac - Polis kini sedang mengesan sembilan lelaki bagi membantu siasatan kes rogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang berlaku di Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) Felda Sungai Klah dekat Sungkai pada Ahad lalu.
Mereka yang dikehendaki itu termasuk dua pasangan adik beradik iaitu Mohd. Sahabudin Hashim, 23, dan Shahrul Hisham, 21, serta Mohd. Rosli Mustafa, 26, dan Mohd. Roslan, 18.
Lima lagi yang dicari ialah Azizul Sabli, 22; Mohd. Athika Mohd. Hanapi, 19; Mohd. Shabil Rosdi, 17; Ahmad Nursufian Alias, 23, dan Mohamad Shafiq Mohd. Shahimi, 20.
Ketua Polis daerah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, kesemua mereka diminta tampil bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian itu.
"Kesemua yang disenaraikan ini amat dikehendaki bagi membantu menyelesaikan kes rogol tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.
Dalam kejadian Ahad lalu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh 14 lelaki di Felda Sungai Klah.
Mangsa dari Felda Trolak Utara itu diajak menaiki motosikal oleh seorang lelaki dikenali sebagai 'Wan' setelah terserempak dengan lelaki itu semasa berjalan-jalan bersama rakannya di kawasan kampung pada pukul 6.15 petang.
Mangsa kemudian dibawa ke sebuah kawasan tertutup di TRAP Sungai Klah sebelum dirogol oleh Wan dan tiga lagi rakannya yang sudah menunggu di situ.
Wan kemudian menyuruh seorang rakannya menghantar remaja itu balik ke rumah tetapi sebaliknya mangsa telah dibawa ke sebuah rumah kosong di Felda Sungai Klah sebelum dirogol lagi secara bergilir-gilir oleh lebih 10 lelaki di rumah itu.
Roslan Bek berkata, susulan laporan yang dibuat oleh mangsa, polis menahan lima suspek lelaki berusia antara 15 hingga 29 tahun di sekitar Sungkai semalam.
Katanya, kelima-lima mereka ditahan reman sehingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Supritendan Md. Nasri Fadzir atau Pegawai Penyiasat Inspektor Yusuraya Yusoff di talian 012-6655357 atau Balai Polis Tapah 05-4015222.

Mangsa diperhati tiga bulan



KUALA LUMPUR 5 Mac - Suspek utama kes pembunuhan K. Hareswarral, dipercayai telah 'memerhatikan' mangsa sejak tiga bulan lalu sebelum kanak-kanak malang itu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati semalam.
Kelindan lori yang pernah menjadi pengasuh kepada kanak-kanak malang itu selama dua minggu sebelum ini, juga berkelakuan pelik terhadap mangsa.
Malah suspek pernah mencari mendiang di rumah nenek kanak-kanak itu di Seksyen 17, Damansara di sini selain memantau pergerakan mangsa dari luar rumahnya.
Menurut ibunya, K. Thilagawathy, 23, dia menyedari kelakuan mencurigakan suspek dan pernah memberi amaran terhadapnya beberapa kali.
Katanya, keadaan itu mengakibatkan anaknya sentiasa dalam ketakutan dan akan menyorok di belakangnya apabila terserempak dengan suspek.
"Bagaimanapun kadang-kadang, dia (suspek) dapat juga membawa lari Hareswarral tanpa pengetahuan saya.
"Setiap kali lelaki itu membawanya (Hareswarral) keluar, akan ada kesan-kesan lebam atau calar di badannya.
"Pun begitu, kami tidak berbuat sesuatu kerana menyangka Hareswarral hanya terjatuh," katanya ketika ditemui di Pangsapuri Damansara Bestari di sini hari ini.
Hareswarral yang berusia setahun enam bulan mati dipercayai akibat didera oleh suami pengasuhnya di rumah mereka di Pangsapuri Seri Ara awal pagi semalam.
Kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan parah akibat didera dengan begitu kejam. Enam tulang rusuknya patah, hatinya hancur, selain cedera parah di kepala dan kemaluan, dipercayai akibat dicekak dengan kuat berdasarkan kesan kuku yang ditemui.
Berikutan itu, polis menahan suami penjaga kanak-kanak tersebut yang bekerja sebagai kelindan lori, tengah hari semalam selepas selesai proses bedah siasat.
Menurut Thilagawathy, walaupun anaknya itu masih tidak pandai bercakap, tetapi dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena pada suspek.
Katanya, di atas faktor tersebut , dia tidak lagi menghantar Hareswarral dan adiknya ke rumah suspek selepas dua minggu mereka di sana.
Menceritakan insiden menimpa Hareswarral, Thilagawathy berkata, pada hari kejadian dia meninggalkan anaknya di rumah rakannya di tingkat 15 di pangsapuri sama kerana terpaksa keluar untuk mencari kerja pada pukul 8.50 malam.
Bagaimanapun Thilagawathy berkata, memandangkan itu kali pertama anaknya ditinggalkan di rumah rakannya itu, dia menelefon isteri suspek supaya turut melihat Hareswarral.
"Apabila menyedari saya tiada di sisi, lelaki itu mengambil kesempatan untuk melarikan anak saya secara paksaan dari rumah Kavitha (rakannya), kononnya untuk membelikan coklat.
"Pada pukul 9.45 malam, apabila saya menelefon isteri suspek untuk menanya khabar Hareswarral, ketika itulah saya dimaklumkan yang anak saya tidak sedarkan diri dan wanita itu mendakwa anak saya sakit," jelasnya.
Lelaki itu pula katanya, berpura-pura menghantar mangsa ke klinik berhampiran seperti tidak mengetahui apa yang berlaku.
"Sampai sekarang saya pun tak tahu apa dendam lelaki ini terhadap anak saya. Apa kesalahan dilakukan anak saya sehingga diperlakukan seperti binatang," katanya sambil mengesat air mata.
Dia juga beberapa kali menegaskan tidak akan memaafkan suspek dan isterinya yang berkelakuan seperti syaitan.
Dalam pada itu, katanya, anak bongsunya berusia empat bulan yang pernah diasuh pasangan terbabit juga akan dibawa ke klinik dalam masa terdekat untuk menjalani pemeriksaan.
Difahamkan suspek yang telah enam tahun mendirikan rumah tangga belum mempunyai cahaya mata.

Dera kanak-kanak: Kelindan lori, isteri direman


Sepasang suami isteri dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam untuk ditahan reman selama tujuh hari berhubung dakwaan mendera sehingga mati seorang kanak-kanak berusia 18 bulan.


PETALING JAYA 5 Mac - Seorang kelindan lori dan isterinya ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes penderaan yang mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan di Pangsapuri Seri Ara, Damansara.
Majistret Aishah Hijriah Arshad membenarkan permohonan polis untuk menahan reman pasangan itu mulai hari ini sehingga 11 Mac mengikut peruntukan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh majistret tersebut pada pukul 12 tengah hari iaitu kira-kira setengah jam selepas kedua-dua suspek itu tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Siasatan bagi kes penderaan, K. Hareswarral dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat.
Suspek wanita berusia 23 tahun itu merupakan bekas pengasuh kanak-kanak malang itu.
Ketika tiba di mahkamah, kelindan lori berusia 33 tahun dan isterinya seorang suri rumah masing-masing memakai pakaian lokap berwarna ungu serta bergari, dilihat tidak bermaya.
Turut kelihatan di mahkamah ialah beberapa ahli keluarga suspek yang ternyata tidak senang dengan kehadiran pihak media yang menunggu sejak awal pagi.
Sebahagian mereka juga cuba menghalang wajah kelindan lori itu dan isterinya daripada dirakam media sewaktu dibawa masuk dan keluar mahkamah.
Difahamkan, beberapa individu yang mempunyai pertalian dengan keluarga mangsa juga hadir di mahkamah pagi ini.
Hareswarral merupakan anak tunggal kepada pasangan A. Karigalan, 42, seorang penerbit filem bebas dan K. Thilagawathy, 23.
Dia disahkan mati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira pukul 12 tengah malam Rabu lalu dan pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan yang serius di seluruh badan.
Kanak-kanak malang itu patah enam tulang rusuk, cedera parah di bahagian kepala akibat dipukul, kemaluan dicekak dengan kuat berdasarkan penemuan kesan kuku dan hatinya pecah.
Menurut laporan, kejadian berlaku di Pangsapuri Seri Ara, Damansara di antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam, 3 Mac lalu selepas mangsa ditinggalkan ibunya kepada bekas pengasuh bayi itu yang juga jiran mereka.
Kanak-kanak itu ditinggalkan untuk sementara waktu sebelum ibu mangsa menyelesaikan urusan peribadi.
Sebelum itu, mangsa ditinggalkan bersama neneknya yang uzur, namun bimbang berlaku sesuatu yang buruk, ibu mangsa kemudian menghantar mangsa ke rumah suspek.
Suspek lelaki dipercayai telah menghantar kanak-kanak tersebut ke sebuah klinik sebelum membawa mangsa ke PPUM dengan mendakwa mangsa mati akibat tercekik gula-gula.
Kejadian itu juga berlaku genap seminggu selepas kematian Syafiah Humairah Sahari, 3.
Syafiah Humairah meninggal dunia selepas dipercayai didera teman lelaki ibunya pada 25 Februari lalu.
Menurut seorang saksi, suspek yang kini sedang ditahan reman dilihat menyepak, mencampak dan memijak Syafiah Humairah di sebuah padang bola.
Kanak-kanak perempuan itu meninggal dunia di Hospital Kuala Kubu Bharu akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek.