Search This Blog

Loading...

Thursday, March 4, 2010

Rakyat Malaysia bunuh pakar bedah Australia pulang ke tanah air

SEPANG 3 Mac – Seorang rakyat Malaysia yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara 18 tahun di Melbourne kerana disabit membunuh pakar bedah jantung dari Sydney, Dr. Victor Chang, selamat tiba di tanah air, malam ini.Pesawat yang dinaiki Phillip Lim Choon Tee, 50, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.04 malam.
Beberapa penumpang yang menaiki pesawat yang sama dengan Phillip Lim ketika ditemui di sini hari ini berkata, bekas banduan itu duduk di tempat duduk paling terakhir di kelas ekonomi.
Menurut mereka, lelaki yang berbaju T biru tua itu tidak digari dan kelihatan gembira sepanjang perjalanan ke Malaysia.
Juga difahamkan dua pegawai Jabatan Imigresen Australia dan beberapa anggota polis menemaninya kerana dia tidak memiliki pasport antarabangsa.
Sejurus tiba di KLIA, beberapa pegawai polis Malaysia merakam percakapan Philip Lim di sebuah bilik tertutup kira-kira dua jam.
Puluhan wartawan dan jurugambar yang berkampung di lapangan terbang itu sejak pukul 7 malam untuk merakam gambar serta menemuramah bekas banduan itu selepas menjalani hukuman penjara selama 18 tahun bagaimanapun kecewa apabila dikatakan dia keluar melalui laluan kakitangan, kira-kira pukul 11.15 malam.
Phlllip Lim bersama seorang lagi rakannya yang juga seorang rakyat Malaysia dijatuhi hukuman penjara maksimum, masing-masing 24 dan 26 tahun atas kesalahan membunuh pakar bedah jantung itu.
Doktor pakar itu ditembak mati di kaki lima di pinggir bandar Mosman yang terletak di utara Sydney pada 4 Julai, 1991 selepas cubaan Phillip Lim dan rakannya, Liew Chew Seng untuk memeras ugutnya gagal.
Menurut laporan Australian Associated Press, Phillip Lim dijadual dibebaskan pada 11 November tahun lepas tetapi lembaga parol membatalkan keputusannya itu sembilan hari kemudian dan sejak itu dia kekal menjadi orang tahanan.

Tiga suspek anggota Jemaah Islamiyah ditahan di Filipina


04/03/2010 2:53am

MANILA 3 Mac - Tiga lelaki yang dipercayai anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) ditahan di Filipina hari ini atas dakwaan merancang serangan bom, menurut polis dan tentera.
Ketiga-tiga mereka, Abdul Racman, Asir Joher Demalon dan Mujahid Demalon, ditahan di pinggir bandar Manila selepas didakwa membunuh dan melakukan jenayah kejam di selatan Filipina, menurut Ketua jabatan siasatan, Cif Supritendan Francisco Don Montenegro.
“Kord dan botol-botol mengandungi bahan letupan dan bom tangan turut dirampas, “ kata Montenegro.
Mejar Jeneral Rey Mapagu, ketua pasukan tentera Manila berkata, barangan yang dirampas membuktikan bahawa suspek sedang merancang satu serangan bom yang disasarkan ke kawasan yang `masih belum ditentukan’.
“Tetapi, hasil maklumat yang diterima menunjukkan bahawa kumpulan Jemaah Islamiyah di luar negara merupakan dalang di sebalik komplot tersebut,” kata Mopagu namun enggan mengulas lanjut.
Menurut Mopagu, ketiga-tiga mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan pelampau yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiyah, yang telah mencetuskan puluhan kes pengeboman di negara jiran, Indonesia sejak beberapa dekad lalu. - AFP

Gempa di Chile jadikan hari lebih pendek



SEORANG askar mengawal orang ramai yang beratur untuk mendapatkan bantuan di kawasan terjejas teruk akibat gempa bumi di bandar Constitucion, Chile semalam.


WASHINGTON - Gempa bumi kuat yang berlaku di Chile pada Sabtu lalu telah menganjakkan paksi bumi sehingga menyebabkan hari menjadi lebih singkat, kata seorang saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA).
Saintis itu, Richard Gross dalam satu kenyataan memberitahu, gempa bumi kuat berukuran 8.8 pada skala Richter itu menyebabkan paksi bumi berganjak sebanyak lapan sentimeter.
Menurutnya, pada kebiasaannya, satu hari di bumi mengandungi 24 jam kerana ia adalah jumlah masa yang diperlukan planet ini untuk membuat satu putaran lengkap pada paksinya.
Justeru, anjakan pada paksi menyebabkan putaran bumi terjejas.
Jelas Gross, anjakan paksi bumi itu memendekkan hari sebanyak 1.26 mikro saat.
Bagaimanapun, perubahan tersebut tidak dirasai kerana satu mikro saat cuma melibatkan masa satu persejuta saat.
Tambahnya, gempa bumi di Chile menyebabkan paksi bumi berganjak lebih besar berbanding gempa bumi bermagnitud 9.1 yang melanda Indonesia dan mencetuskan ombak besar tsunami di Asia pada 2004.
Ia berikutan garis patahan yang menyebabkan gempa di Chile menembusi bumi pada sudut yang lebih curam berbanding garis patahan dalam gempa bumi di Sumatera pada 2004.
Sudut lebih curam itu menyebabkan jisim bumi lebih mudah bergerak ke atas sekali gus menganjakkan paksi bumi.
Kata NASA, gempa bumi di Indonesia pada 2004 menyebabkan bumi berganjak sekitar tujuh sentimeter dan hari pula menjadi lebih pendek sekitar 6.8 mikro saat.
Sementara itu, angka korban gempa yang berpusat pada kedalaman 35 kilometer di bawah bumi dekat Concepcion iaitu bandar kedua terbesar di Chile setakat ini menghampiri 800 orang.
Semalam, para petugas penyelamat Chile yang dibantu sejumlah anjing pengesan menggeledah kawasan runtuhan dengan harapan dapat mengeluarkan mangsa yang masih hidup. - Agensi

2 wanita enggan lalui mesin bogel



GAMBAR fail menunjukkan seorang kakitangan Lapangan Terbang Manchester di England menguji alat pengimbas bogel.


MANCHESTER - Seorang wanita Islam dilarang menaiki satu penerbangan ke Pakistan selepas enggan melalui mesin pengimbas baru di Lapangan Terbang Manchester yang memaparkan tubuh manusia dalam keadaan bogel, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang lagi wanita yang merupakan rakannya juga enggan menjalani imbasan mesin Rapiscan itu kerana masalah perubatan.
Dua wanita itu sedang dalam perjalanan ke Islamabad apabila mereka dipilih untuk melalui imbasan mesin Rapiscan selepas mendaftar masuk di lapangan terbang berkenaan.
Setakat ini, kira-kira 15,000 orang telah melalui alat pengimbas itu manakala pasangan tersebut merupakan penumpang pertama yang enggan berbuat demikian.
Pasangan tersebut yang sanggup kerugian dua tiket penerbangan berharga £400 (RM2,000) daripada menjalani prosedur imbasan, kemudiannya bertindak meninggalkan lapangan terbang itu.
Beberapa mesin Rapiscan yang berharga £80,000 (RM406,000) diperkenalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow dan Lapangan Terbang Manchester pada 5 Februari lepas.
Mesin sinar-X itu membolehkan kakitangan-kakitangan keselamatan melihat imej bogel penumpang untuk mengesan sama ada senjata dan bahan letupan disembunyikan pada tubuh mereka tetapi penggunaannya dikritik kerana ia memaparkan bentuk kemaluan penumpang.
Ulama-ulama di Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan fatwa yang melarang orang Islam melalui mesin itu kerana ia melanggar hu-kum agama berhubung isu bogel.
"Islam jelas melarang lelaki atau wanita dilihat dalam keadaan bogel oleh mereka yang bukan muhrim," kata fatwa itu.
Sementara itu, seorang aktivis sebuah badan bukan kerajaan di Britain, Alex Deane menyatakan pertubuhannya bersedia mewakili dua wanita itu sekiranya mereka mahu mencabar keputusan pihak berkuasa di mahkamah. - Agensi

Berkhayal baik untuk minda



TONY BUZAN (kanan) menunjukkan buku Panduan Kemahiran Belajar Buzan di Genting Highlands semalam.


GENTING HIGHLANDS - Pengasas dan guru Peta Minda terkemuka dari Britain, melancarkan buku Panduan Kemahiran Belajar Buzan dalam versi bahasa Malaysia pertama di sini semalam.
Buku Panduan Kemahiran Belajar Buzan terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) itu merupakan satu daripada siri empat buah buku yang bakal dilancarkan pada tahun ini.
Tiga buah buku yang lain ialah Buku Memori, Buku Peta Minda dan Peta Minda Untuk Bisnes.
Menurut Buzan, melalui buku berharga RM40 itu pembaca boleh mempelajari tentang teknik melakar kata kunci serta imej utama menerusi Peta Minda bagi meningkatkan memori mereka.

Tony Buzan


"Keupayaan berkhayal harus dipupuk untuk menghasilkan Peta Minda kerana melalui cara itu, orang ramai boleh memperbaiki daya konsentrasi, pemahaman serta mengaktifkan fungsi kedua-dua belah otak," katanya pada program Meneroka Minda-Minda Hebat anjuran Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, Pengarah IAB, Datuk Abd. Ghafar Mahmud dan Pengarah Urusan Buzan Malaysia, Chris Tiew.

ORANG ramai membeli buku Tony Buzan di Genting Highlands semalam.


Maklumat lanjut mengenai buku itu boleh diperoleh dengan menghubungi UP&D di talian 03-92856577 atau layari laman web www.upnd.com.my. Untuk info tentang program Peta Minda Tony Buzan di Malaysia, sila hubungi Chris Tiew di talian 03-77828008 atau 012-6681928.

Sindiket resit tol palsu




KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik menunjukkan resit tol palsu yang dirampas di Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah, George Town semalam.



GEORGE TOWN - Kegiatan licik satu sindiket yang giat memalsukan resit tol untuk digunakan oleh pelanggan mereka bagi membuat tuntutan kepada majikan sejak dua tahun lalu terbongkar apabila sebuah rumah diserbu di Bukit Tengah dekat Seberang Perai Tengah di sini kelmarin.
Difahamkan, sepanjang tempoh itu, sindiket terbabit mampu memperoleh sehingga RM360,000 manakala hasil bulanan pula boleh mencecah antara RM10,000 dan RM15,000.
Selain resit tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Shahpadu palsu yang dijual antara 50 sen dan RM5, sindiket tersebut juga menjual resit minyak dan resit Touch n Go palsu.
Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, polis menahan tiga lelaki dan dua wanita Indonesia berusia antara 22 dan 54 tahun selepas sepasukan penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial kontinjen negeri menjalankan siasatan selama 10 minggu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, kebanyakan pelanggan sindiket tersebut merupakan pemandu lori yang menggunakan resit itu untuk membuat tuntutan dengan majikan.

Kecewa pendirian isu kalimah Allah, Mohsin keluar PKR



MOHSIN FADZLI


KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima satu lagi tamparan apabila kehilangan seorang lagi wakil rakyat setelah Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar parti itu semalam.
Mohsin Fadzli, 65, yang tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu penggunaan kalimah Allah, mengumumkan pendiriannya keluar daripada parti itu dan menjadi Ahli Parlimen Bebas berkuat kuasa semalam.
"Saya telah membangkitkan perkara itu melalui saluran parti tetapi ia tidak dihiraukan oleh pucuk pimpinan parti.
"Selain itu, aktiviti yang menghalalkan pelbagai cara demi matlamat yang sempit, serangan terhadap semua institusi negara termasuk meraih sokongan negara luar menyebabkan saya tidak lagi boleh bertolak ansur," katanya pada sidang media di sini semalam.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Kuasa penentu di tangan Sultan



KARTIKA (kiri) kelihatan ceria sewaktu berjalan keluar dari Bangunan MUIP bersama ahli keluarganya di Pekan semalam.


PEKAN - Keputusan sama ada bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, akan dihukum sebat atau diampunkan kini terserah kepada budi bicara Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Kartika semalam menghadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mencari penyelesaian kepada isu penangguhan hukuman sebat ke atasnya yang telah tertangguh sejak tahun lalu.
Tengku Abdullah pada sidang akhbar baginda selepas pertemuan itu bertitah, kes Kartika itu akan dirujuk terus kepada Sultan Pahang.
"Dia (Kartika) sudah menyuarakan isi hatinya dan kita memahami, mengakui dan menerimanya.
"Saya amat simpati dan akan mempersembahkan kepada Sultan mengenai pertemuan ini dalam masa sehari dua lagi untuk keputusan,'' titah baginda selepas pertemuan itu diadakan di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini semalam.
Kartika yang ditemani ahli keluarganya telah menghadap Tengku Abdullah selama hampir satu jam sebelum mereka meninggalkan kompleks itu dengan menaiki kereta Proton Perdana V6 kira-kira pukul 12 tengah hari.

Seragam hasil jahitan Bangla



SUASANA sebuah kedai jahit yang dikendalikan oleh warga Bangladesh di pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Anda tidak perlu menjadi seorang pegawai polis atau tentera untuk menempah pakaian seragam yang segak dipakai oleh anggota kedua-dua pasukan keselamatan itu.
Apa yang anda perlu lakukan hanyalah mengunjungi sederet empat buah kedai jahit yang dikendalikan oleh warga Bangladesh di pekan Sungai Besi di sini yang sedia mengambil tempahan tanpa meminta kad kuasa polis atau kad pengenalan anggota tentera untuk pengesahan.
Wartawan Kosmo! yang membuat tinjauan di situ semalam selepas mendapat aduan pembaca berjaya membuat tempahan baju celoreng pegawai tentera berpangkat Kapten dan baju polis berpangkat Supritendan tanpa banyak soal.
Kedua-dua tempahan itu dibuat menggunakan resit yang berbeza. Setiap pasang baju berharga RM150 dengan deposit sebanyak RM50.
Sewaktu tempahan untuk baju pegawai polis itu dibuat, tukang jahit terbabit hanya meminta nombor badan (nombor anggota) tetapi bagi tempahan baju celoreng, wartawan Kosmo! cuma menunjukkan pakaian yang telah siap diperagakan sebelum lelaki Bangladesh itu mengambil ukuran badannya.
Menurut seorang tukang jahit di situ, mereka sudah biasa menjahit pakaian seragam pasukan keselamatan sejak masih berada di Bangladesh lagi.

Serbuan Israel ditangguh kerana Facebook



SEORANG anggota keselamatan Israel mengawal kerja-kerja pembinaan halangan di Beit Jala, Tebing Barat semalam.


BAITULMUQADDIS - Seorang askar Israel digantung tugas selepas didapati mendedahkan maklumat terperinci mengenai satu serbuan pasukan itu di Palestin menerusi laman rangkaian sosial Facebook, lapor sebuah stesen radio Israel semalam.
Askar tersebut dari unit artileri Israel dilaporkan mengemas kini halaman dirinya itu dengan memberitahu semua rakannya bahawa dia akan terlibat dalam satu operasi di Qatanna semalam dan dijangka kembali ke rumah pada hari ini.
Beberapa askar lain dari unit itu yang menyedari kiriman mesej tersebut segera memaklumkan perkara itu kepada pegawai mereka dengan menyebabkan operasi di perkampungan Palestin dekat Ramallah itu terpaksa dibatalkan.
Halaman Facebook milik askar itu juga didapati mengandungi banyak maklumat terperinci mengenai unit tempat dia sedang bekerja selain waktu dan lokasi tepat berhubung operasi yang dilakukan di Qatanna dalam wilayah Tebing Barat, Palestin.
Tentera Israel belum mengeluarkan sebarang ulasan manakala maklumat diri askar itu tidak dinyatakan.
Namun, sebuah stesen radio tentera Israel melaporkan, askar tersebut tidak menyukai perkhidmatannya di unit berkenaan.
Ekoran kes itu, dia digantung daripada berkhidmat di unit tersebut. - AFP

Peluang Mantik hidup tipis


SHAH ALAM 3 Mac - Peluang untuk Mantik Hani sembuh dan terus hidup memang tipis berikutan keadaan kesihatan yang teruk semasa pembantu rumah warga Indonesia itu mula dirawat pada 20 Oktober tahun lalu.
Pakar Klinikal Ortopedik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr. Chang Kok Chun berkata, Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk mengesan kecederaan tulang belakang tidak dapat dilakukan kerana keadaan Mantik yang tidak stabil.
''Keadaan kesihatan Mantik amat teruk, kecederaan yang dialami sejak beberapa hari sebelum itu telah dibiarkan tanpa sebarang rawatan.
''Dia juga mungkin tidak diberi air dan makanan. Luka pada kaki kanannya mengalami jangkitan yang teruk dan dia mengalami kekurangan cecair,'' katanya.
Kok Chun, 40, saksi pendakwa ke-49 berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini pada perbicaraan kes penjual air tebu, A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Mantik, 36.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 hingga 20 Oktober 2009.
Mantik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober tahun lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.
Menurut pakar bedah tulang itu, rawatan terbaik telah diberikan kepada Mantik apabila keadaan keseluruhan dipantau selain turut merancang untuk melakukan pembedahan sebagai rawatan awal.
Bagaimanapun, jelas beliau, Mantik semakin tenat sehingga terpaksa dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 21 Oktober 2009.
Walaupun diberi bantuan pernafasan serta rawatan yang diperlukan, Mantik semakin nazak berikutan peningkatan jumlah sel darah putih dan pembekuan darah sebelum meninggal dunia pada 26 Oktober.
Sementara itu, Pakar Patologi Forensik dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, Dr. Jessie Hiu yang turut memberi keterangan hari ini pula memaklumkan lapisan lemak pada urat saraf Mantik hancur berikutan kecederaan pada saraf tunjang.
Beliau yang menganalisis tisu saraf tunjang dan otak Mantik secara mikroskopik berkata, kecederaan itu berlaku antara beberapa hari hingga seminggu berdasarkan radang sel pada saraf tunjang.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa bersambung esok.

Permohonan Anwar batal saman Musa Hassan 11 Mei


KUALA LUMPUR 3 Mac - Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman fitnah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadapnya berhubung siasatan insiden 'mata lebam' 1998 akan didengar pada 11 Mei ini.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan Ismail Petra menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes itu di kamar beliau di sini.
Pada prosiding hari ini, Musa diwakili oleh peguam Lim Kon Keen manakala Sankara Nair mewakili Anwar.
Nair ketika dihubungi memberitahu, permohonan tersebut akan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Prasad Sandosham Abraham.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman tersebut pada bulan lalu.
Musa memfailkan saman fitnah pada 21 Julai 2008 berhubung laporan polis yang dibuat oleh Anwar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 1 Julai tahun sama yang didakwa mengandungi pernyataan berbaur fitnah.
Ketua Pembangkang itu dalam laporan polisnya mendakwa Musa dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta mengenai serangan fizikal yang dialaminya semasa menjadi tahanan polis pada 1998.
Musa dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, laporan polis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mendakwa dirinya dan Abdul Gani telah menyembunyikan fakta mengenai serangan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor terhadap Anwar.
Selain itu, perkataan-perkataan fitnah yang digunakan dalam laporan tersebut membawa maksud beliau telah melakukan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan kuasa dengan mereka-reka keterangan.
Anwar selaku defendan turut didakwa membuat dan menerbitkan laporan polis itu untuk mengalihkan pandangan dan fokus masyarakat umum daripada aduan liwat oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Oleh itu, Musa mendakwa defendan telah bertindak dengan niat jahat untuk merosakkan, memburuk dan mengaibkannya serta reputasi peribadi dan profesional beliau.
Plaintif mendakwa, beliau melalui peguam caranya telah menghantar surat tuntutan pada 11 Julai 2008 supaya defendan menarik balik perkataan fitnah dan tohmahan itu serta membuat permohonan maaf, jika tidak akan dikenakan tuntutan ganti rugi RM5 juta.
Anwar bagaimanapun tidak mengendahkan surat tuntutan tersebut dan terus menerbit atau menyebabkan fitnah itu diterbitkan di laman web dan laman blog.
Musa menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, kos, lain-lain relif dan faedah lapan peratus setahun ke atas penghakiman mulai tarikh penerbitan fitnah dan tohmahan lisan berkenaan.
Jumlah ganti rugi yang dituntut bagaimanapun tidak dinyatakan.
Ketua Polis Negara itu juga menuntut perintah injunksi menghalang Anwar, melalui ejen atau petugasnya, dalam apa cara sekalipun daripada terus menerbit atau mengakibatkan penerbitan perkataan fitnah dan tohmahan lisan itu atau yang berkaitan dengannya.
Ketua Pembangkang itu dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 24 Oktober 2008 menyatakan, laporan polis itu dibuat bagi mendapatkan pembelaan dan kewajaran.

Shariff bayar hutang RM12,500 kepada bekas isteri


PETALING JAYA 3 Mac - Anak pemilik hotel, Shah's Village Hotel, Shariff Shah memberitahu bahawa beliau telah menjelaskan tunggakan hutangnya sebanyak RM12,500 daripada jumlah keseluruhan RM108,085 yang perlu dibayar kepada bekas isterinya.
Shariff , 35, selaku defendan turut memaklumkan Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, beliau akan menjelaskan baki bayaran tersebut secara berperingkat-peringkat selewat-lewatnya September ini.
Lelaki itu yang merupakan pengurus pemasaran hotel tersebut menyatakan demikian dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie, Ghazali Ahmad.
Shariff sebelum ini diperintahkan oleh mahkamah tersebut supaya membayar wang nafkah idah, mutaah dan perbelanjaan majlis perkahwinan kepada bekas isterinya, Putri Hezlynna Hashim Ismail, 33, selaku plaintif.
Jumlah keseluruhan RM108,085 dipersetujui oleh kedua-dua pihak pada 23 Jun 2009. Bagaimanapun Shariff gagal menunaikan bayaran tersebut.
Plaintif seterusnya memfailkan saman penghutang penghakiman terhadap defendan mengikut Seksyen 176 Enakmen Tatacara Jenayah Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.
Menurut peguam syarie, Fadhlina Sidek yang mewakili Putri Hezlynna, secara purata Shariff sepatutnya menjelaskan kira-kira RM1,400 kepada plaintif setiap bulan.
Defendan yang tidak diwakili peguam syarie hadir berpakaian suit serba hitam sementara plaintif ditemani ibunya.
Pasangan tersebut bernikah pada 2004 dan bercerai pada 2008. Mereka tidak mempunyai cahaya mata.

Khalid tidak perlu bayar RM66.67 juta


PUTRAJAYA 3 Mac - Mahkamah Rayuan memutuskan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu melunaskan pinjaman berjumlah RM66.67 juta kepada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang digunakan untuk membeli saham Guthrie Berhad (Guthrie), sembilan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zainun Ali sebulat suara membenarkan rayuan beliau yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Guthrie Berhad, sekali gus mengetepikan penghakiman terus yang dibuat terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi.
Pada 21 Ogos tahun lalu, Hakim Datuk Rohana Yusuf membenarkan permohonan BIMB bagi mendapatkan penghakiman terus terhadap Abdul Khalid setelah berpuas hati bahawa isu yang dibangkitkan tidak perlu melalui perbicaraan.
Bagaimanapun, Hakim Zainun yang bersidang bersama Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad ketika membenarkan rayuan itu berpendapat, pertikaian mengenai urusan perbankan Islam yang dikemukakan dalam saman itu perlu diputuskan melalui perbicaraan penuh.
Beliau beralasan, ini kerana kesahihan sebarang transaksi dalam perbankan Islam memerlukan pandangan pakar-pakar perundangan Syariah jika wujud pertikaian yang didakwa bercanggah dengan ajaran agama.
Abdul Khalid memohon mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar pinjaman kemudahan bank sebanyak AS$$18.52 juta (RM66.67 juta) yang digunakan untuk membeli saham Guthrie miliknya pada 2001.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menetapkan 15 Mac ini bagi mendengar saman Abdul Khalid terhadap BIMB berhubung dakwaan bahawa penjualan saham Guthrie miliknya mengikut perjanjian Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) dilakukan secara salah.
Beliau memohon ganti rugi daripada BIMB dengan mendakwa bahawa bank itu telah menjual saham-sahamnya dalam Guthrie sedangkan perjanjian dengan bank itu dilakukan secara kolateral.
Menteri Besar tersebut turut memohon perintah agar kemudahan pinjaman itu diisytiharkan tidak sah dan terbatal kerana BIMB melanggar perjanjian kolateral yang ditandatangani pada 2001.
BIMB kemudian memfailkan saman balas untuk mendapatkan jumlah wang itu dengan mendakwa Abdul Khalid melanggar perjanjian BBA yang ditandatangani ekoran kegagalannya membayar semula pinjaman tersebut.
Saman Menteri Besar itu dan juga saman balas bank berkenaan akan didengar pada perbicaraan yang sama yang dijadualkan berlangsung selama empat hari sehingga 18 Mac ini.
Sementara itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Abdul Khalid berhujah, wujud keterangan secara dokumentari yang mencukupi bagi membolehkan satu perbicaraan didengar bagi menentukan wujudnya perjanjian secara kolateral di antara kedua-dua pihak.
Sebaliknya, Tommy Thomas ketika berhujah bagi pihak BIMB menyatakan, Hakim Rohana betul ketika memutuskan penghakiman terus terhadap Abdul Khalid.
Beliau menyatakan, kes yang dikemukakan itu tidak memerlukan satu perbicaraan penuh kerana ia merupakan kes yang biasa melibatkan isu perlanggaran perjanjian di antara pelanggan dan bank.

Kartika disebat atau diampun?



Kartika Sari Dewi (kiri) gembira ketika keluar dari bangunan MUIP setelah mengadakan pertemuan tertutup dengan Tengku Mahkota Pahang di Pekan, semalam. - utusan/Mahathir Ali


PEKAN 3 Mac - Teruskan hukuman sebat atau diberi pengampunan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Itu nasib yang mungkin bakal dilalui bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kerana meminum arak tahun lalu.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, walaupun telah dijatuhi hukuman, Kartika Sari Dewi masih berpeluang mengemukakan rayuan kepada Sultan Pahang selaku ketua agama Islam negeri ini untuk mendapatkan pengampunan.
Baginda bertitah, di bawah Seksyen 133, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002, Sultan Pahang, atas nasihat mufti boleh meringan atau memberi pengampunan kepada mana-mana pesalah syariah tanpa persetujuan orang yang telah dihukum.
Sehubungan itu, titah baginda, pihaknya akan menunggu terlebih dahulu keputusan Sultan Ahmad Shah dan juga Kartika Sari Dewi sendiri sama ada mahu menggunakan peluang yang ada bagi mengemukakan rayuan untuk mendapatkan pengampunan.
"Kita akan menunggu dalam masa terdekat, kalau tidak ada rayuan daripada pihak Kartika, kita akan meneruskan (pelaksanaan hukuman) dan juga saya akan persembahkan kepada Sultan minit mesyuarat (hasil pertemuan) hari ini dalam masa sehari dua ini dan daripada situ, tindakan akan diteruskan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menerima menghadap Kartika Sari Dewi yang ditemani bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib di pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini hari ini.
Dalam pertemuan selama kira-kira sejam itu, Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua MUIP bertitah, baginda telah mendengar isi hati Kartika Sari Dewi dan bersimpati dengan tekanan yang dihadapinya.
Justeru titah baginda, tindakan seterusnya akan diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.
"Kita tidak mahu berlarutan dan saya simpati dengan pihak Kartika dengan tekanan yang dihadapi. Ini adalah satu kes yang boleh kita perhalusi dari segi kelemahan yang terdapat dalam pelaksanaan hukuman ini," titah baginda.
Dalam pada itu, Tengku Abdullah bertitah, MUIP akan mengkaji semula pelaksanaan undang-undang syariah yang telah termaktub begitu lama di negeri ini berikutan masih terdapat beberapa kelemahan.
"Kita akan kaji semula supaya kita nampak juga hukuman syariah ini ada sifat-sifat perikemanusiaan, tidak semestinya (hukuman dijatuhkan) mandatori.
"Kita akan kaji tahap kesalahan supaya hukuman syariah ini lebih mulia, lebih murni bukan sekadar menangkap dan hukum.
"Kita juga ada proses, mungkin kaunseling dan pendidikan supaya kita dapat mendidik," titah baginda.
Mengenai kesan hukuman sebat itu ke atas industri pelancongan Pahang, Tengku Abdullah bertitah, baginda sememangnya memandang serius perkara tersebut.
Baginda bertitah, tetapi pada masa sama Sultan Pahang mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengambil kesempatan atas keterbukaan yang ada dengan mengadakan pesta atau aktiviti sewenang-wenangnya tanpa memahami budaya tempatan.
Baginda turut mengingatkan pegawai penguat kuasa agama tidak menyalahgunakan kuasa apabila sewenang-wenangnya menangkap orang sehingga boleh mengaibkan mereka.
"Saya bukan hendak menyokong pihak-pihak yang hendak promosikan pelancongan di sini tetapi biarlah ada batasan sedikit.
"Dalam hubungan ini, saya akan berbincang dengan pihak kerajaan dalam masa terdekat," titah baginda.
Dalam pada itu, usaha mendapatkan reaksi daripada Kartika Sari Dewi yang menginap di Inderapura Lake Resort dekat sini, gagal apabila difahamkan beliau dinasihati tidak dibenar memberi sebarang kenyataan kepada media pada masa ini.

Gani, Musa ketepi saman RM100j


KUALA LUMPUR 3 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail serta tiga akhbar tempatan hari ini berjaya membatalkan saman fitnah RM100 juta yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan.
Tiga akhbar tersebut ialah Utusan Malaysia, The Star dan New Straits Times.
Pembatalan saman itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd. Yusof selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di kamar beliau di sini.
Manoharan yang merupakan penasihat undang-undang Hindraf menyaman Musa dan Abdul Gani kerana didakwa membuat kenyataan mengaitkannya dengan pertubuhan pengganas antarabangsa yang kemudiannya diterbitkan oleh akhbar-akhbar terbabit.
Manoharan yang juga seorang peguam hadir mewakili dirinya sendiri manakala Musa dan Abdul Gani serta Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga ketiga diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh.
Utusan Melayu (M) Bhd. yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia diwakili peguam, T.K.B. Mohana Kumar manakala Star Publication (M) Sdn. Bhd. (The Star) diwakili peguam, Jamie Wong.
Peguam mewakili The New Straits Times Press (M) Bhd. tidak hadir pada prosiding hari ini.
Menurut Amarjeet yang ditemui selepas prosiding itu, hakim membenarkan permohonan defendan pertama hingga ketiga itu dengan kos atas alasan kenyataan yang dibuat oleh Musa dan Abdul Gani 'berlaku dalam keadaan perlindungan bersyarat'.
Dalam permohonan yang difailkan pada 2 November 2009, defendan pertama hingga ketiga menyatakan bahawa perkataan-perkataan yang digunakan oleh Musa dan Abdul Gani tidak berunsur fitnah serta tidak merujuk kepada Manoharan sebaliknya kepada Hindraf.
Mereka turut menyatakan Hindraf dan Manoharan adalah dua entiti yang berbeza kerana pertubuhan tersebut adalah satu pertubuhan haram.
Sementara itu, Kumara Mohan memberitahu, ekoran keputusan hakim membenarkan defendan pertama hingga ketiga mengetepikan saman itu, beliau memohon agar penghakiman yang sama diberikan kepada kesemua penerbit akhbar.
Katanya, ia adalah berdasarkan alasan bidang kuasa sedia ada mahkamah dan keputusan yang dibuat mengikat kesemua defendan dalam kes itu.
Manoharan yang ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu memfailkan saman fitnah RM100 juta pada 11 September tahun lalu dengan mendakwa Musa dan Abdul Gani secara berniat jahat menggunakan perkataan-perkataan berunsur fitnah untuk diterbitkan dalam tiga akhbar itu.
Manoharan juga mendakwa penahanannya di bawah ISA pada 13 Disember 2007 di Pusat Tahanan Kamunting di Taiping adalah menyalahi undang-undang dan bermotifkan politik.
Beliau dibebaskan pada 9 Mei tahun lalu.

UPP rampas pakaian berjenama tiruan


PADANG BESAR 3 Mac - Tindakan seorang lelaki menyeludup pakaian berjenama tiruan dari negara jiran mengundang padah apabila dia ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) negeri ini semalam.
Suspek berasal dari Melaka dan berusia 37 tahun itu ditahan di Jalan Kampung Sena di sini setelah dikesan UPP dalam keadaan mencurigakan.
Difahamkan sebelum ini, suspek mendapatkan pakaian itu melalui kurier namun kali ini berhasrat mengambil sendiri menggunakan kereta.
Komander UPP, Deputi Supritendan Zakaria Abd. Rahman berkata, ketika ditahan kira-kira pukul 6 petang, suspek memandu kereta Proton Wira bernombor pendaftaran Melaka.
"Suspek berhenti apabila diarahkan. Hasil pemeriksaan, 437 helai pakaian berjenama tiruan ditemui tersorok dalam but dan bahagian belakang tempat duduk penumpang," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata, pakaian dirampas terdiri daripada 77 helai seluar pendek jenama Adidas dan Nike, 360 helai baju T jenama Adidas, Nike, Umbro, Reebok, Kappa dan Puma yang kesemuanya bernilai RM7,424.
"Permintaan yang tinggi terhadap pakaian itu menyebabkan dia sanggup datang mendapatkan sendiri pakaian tersebut," katanya lagi.
Menurut Zakaria, kebanyakan pakaian itu yang dibeli dengan harga kira-kira RM25 akan dijual semula di negeri berkenaan dengan harga RM60.
Kata beliau, suspek yang ditahan diserahkan kepada pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, suspek ditahan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000.

Pembantu rumah ditahan, buat laporan palsu dirompak


KUALA LUMPUR 3 Mac - Seorang pembantu rumah warga Indonesia bukan sahaja mencuri barangan berharga majikannya tetapi berjaya memperdayakan mereka kononnya rumahnya dirompak.
Dalam kejadian itu, wanita tersebut dikatakan dirompak dua lelaki warga asing berkulit gelap ketika menyapu di banglo terbabit di Ukay Perdana, Melawati, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, wanita itu juga mendakwa telah diikat oleh kedua-dua suspek sebelum melarikan barangan berharga.
Selepas berjaya melepaskan diri, dia segera menghubungi isteri majikannya yang bekerja di sebuah bank dan memaklumkan kejadian rompakan itu.
Tanpa mengesyaki apa-apa, majikannya bergegas pulang ke rumah dan menghubungi polis yang akhirnya membongkar tembelang suspek tersebut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, dalam kejadian itu, mangsa kerugian barang-barang berharga bernilai kira-kira RM100,000.
"Mangsa bergegas pulang dan mendapati keadaan dalam rumahnya berselerak. 'Perompak' berjaya melarikan komputer riba, telefon bimbit, barang kemas dan jam tangan pelbagai jenama," katanya.
Beliau ditemui selepas mengiring Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini hari ini.
Menurut Abdul Jalil, siasatan polis bagaimanapun mendapati kejadian rompakan itu dilakukan sendiri oleh pembantu rumah berkenaan.
Katanya, rahsianya terbongkar apabila polis yang memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di rumah itu mendapati alat tersebut ditutup mulai pukul 11 pagi sehingga 12 tengah hari.
"Polis berasa curiga kerana CCTV di rumah tersebut ditutup semasa kejadian rompakan dilaporkan berlaku.
"Ada kemungkinan pembantu rumah terbabit membenarkan dua penyamun yang bersubahat dengannya masuk ke dalam rumah pada masa itu atau dia sendiri yang mencuri barang-barang tersebut," katanya.
Malah, katanya, keterangan pembantu rumah bahawa perompak adalah warga Pakistan juga menimbulkan curiga kerana belum ada kes pecah rumah membabitkan rakyat dari negara berkenaan.
Sehubungan itu. katanya, polis menahan reman amah berusia 36 tahun itu selama seminggu untuk siasatan lanjut.

Sembunyi di pulau semalaman elak dikesan pencuri




HARDI Mohd. Hadir menunjukkan tempat pencuri menyelam dan mahu mencuri enjin bot yang dinaikinya di Tasik Banding, kelmarin.



GERIK 3 Mac - Akibat terlalu takut dicederakan penyamun bersenjatakan parang, seorang lelaki nekad bersembunyi dalam bot di sebuah pulau di Tasik Banding, semalaman, bagi menyelamatkan diri.
Hardi Mohd. Hadir, 35, yang berasal dari Lahad Datu, Sabah, memberitahu, dalam tempoh tersebut, dia hanya mengalas perut dengan minum air tasik.
"Saya berada di dalam bot kira-kira 24 jam iaitu dari pukul 6.30 pagi Isnin (kelmarin) hingga pukul 9 pagi tadi (semalam).
"Selama bersembunyi dalam bot di Pulau Besar, saya hanya minum air tasik saja,'' katanya ketika ditemui di sini lewat petang semalam.
Menurut pekerja di sebuah calet di sini, dia menyedari sesuatu apabila mendengar bunyi air di sekitar rumah rakit.
"Waktu itu kira-kira pukul 6 pagi, saya bangun daripada tidur dan terus menyuluh di kawasan tasik (Banding) berhampiran calet dan kedai runcit.
"Tiba-tiba saya ternampak seorang lelaki di belakang tempat menyimpan beberapa bot.
"Saya menjerit dan bertanya apa yang dikehendakinya, tetapi tidak dijawab. Saya lalu menghidupkan enjin bot dan mengemudi ke arah suspek," ujarnya.
Katanya, suspek yang menghilangkan diri tiba-tiba muncul dan berpaut pada bot dipandunya sambil sebelah tangannya memegang sebilah parang.
"Bimbang mungkin suspek akan melompat naik ke dalam bot dan cuba melibas dengan parang, Hardi membuat pusingan.
"Namun usaha itu gagal... Saya terus memecut bot ke tengah Tasik Banding sehingga ke Pulau Besar," jelas Hardi lagi.
Hardi terpaksa memecut botnya ke tengah Tasik Banding dan bersembunyi di pulau berdekatan itu kerana khuatir dengan keselamatan dirinya.
Menurutnya, berdasarkan kes-kes kecurian yang berlaku sebelum ini, dia percaya suspek lebih daripada dua orang.
"Saya bersyukur kerana tidak tercedera dalam kejadian itu dan berharap polis kerap memantau kawasan di sekitar calet dan tasik," katanya.
Hardi berkata, sepanjang pengalamannya bekerja di calet terbabit sejak 1998, dia mengesyaki suspek adalah kumpulan pencuri yang sama.
Sementara itu, pemilik calet, Mohamad Shah Mohd. Isa, 60, berkata, kejadian tersebut bukan yang pertama kali berlaku.
"Sehingga kini, banyak barangan saya dicuri termasuk enam buah enjin bot yang berharga RM6,000 setiap satu selain terbaru bulan lepas, berharga RM10,000.
"Lima bulan lepas, wang sebanyak RM6,000 di kedai runcit saya di Tasik Banding turut hilang selepas kedai dipecahkan.
"Kesemua kes yang berlaku sehingga kini belum dapat ditangkap dan saya berharap polis dapat mengesan penjenayah terbabit kerana saya telah kerugian hampir RM100,000 sehingga kini," katanya.
Menurut Mohamad Shah, dia telah membuat laporan polis tentang kejadian terbaru itu di Balai Polis Bersia pada pukul 8 pagi semalam.

Lagi wanita diragut di Wangsa Melawati


KUALA LUMPUR 3 Mac - Kejadian ragut, samun dan pecah rumah di sekitar Wangsa Melawati di sini, semakin menjadi-jadi dan malam tadi, seorang lagi wanita menjadi mangsa terbaru.
Walaupun kejadian seumpama itu berkali-kali telah dilaporkan kepada polis namun ia kelihatan masih gagal ditangani.
Dalam kejadian pada pukul 10 malam, mangsa yang berusia 47 tahun dikatakan baru sampai di hadapan rumahnya sebelum disamun seorang lelaki.
Suspek turut mengacu sebilah parang panjang dan mengugut mangsa supaya mengeluarkan barangan berharga.
Suspek kemudian meminta rantai leher yang dipakai mangsa sebelum turut melarikan beg tangan miliknya.
Mangsa yang tidak dicederakan kemudian membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Beliau memberitahu, kawasan di sekitar Wangsa Maju merupakan lokasi tumpuan polis dalam mencegah jenayah.
"Kita tidak pernah terlepas pandang kawasan seperti di Wangsa Maju walaupun ia tidak disenaraikan sebagai kawasan panas.
"Malah langkah pencegahan jenayah juga turut diperhebatkan di situ sehingga kadar jenayah menurun pada Februari lalu berbanding sebelumnya," ujarnya.

Suspek bunuh Syafiah dijangka didakwa bila-bila masa


KUALA LUMPUR 3 Mac - Teman lelaki kepada ibu Syafiah Humairah Sahari yang merupakan suspek utama kes penderaan hingga membawa kematian kanak-kanak malang berusia tiga tahun itu akan didakwa dalam masa terdekat ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, polis hampir selesai merekodkan keterangan saksi-saksi termasuk ibu mangsa dan penduduk kampung.
"Maklumat yang diberikan oleh saksi-saksi terbabit telah banyak membantu dalam siasatan. Kita yakin suspek boleh didakwa pada bila-bila masa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini hari ini.
Polis telah mengambil keterangan dari ibu kanak-kanak itu, Siti Norhanim Aziz, 25, di balai polis berhampiran rumahnya di Sungai Plong, Selangor, Isnin lalu.
Syafiah Humairah meninggal dunia Khamis lalu selepas dilaporkan didera teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali.
Berikutan itu, teman lelaki Siti Norhanim yang berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pemandu teksi ditahan bagi membantu siasatan.
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok.

4 ditahan palsukan kad kredit




Muhammad Sabtu Osman menunjukkan kad kredit palsu yang ditemui di sebuah rumah di Taman Esplanad, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Mac - Sebuah rumah teres dua setengah tingkat di Taman Esplanad, Bukit Jalil di sini, dari luar mungkin tiada bezanya dengan kediaman lain di kawasan itu.
Namun kebakaran di rumah itu Jumaat lalu, berjaya membongkar kegiatan satu sindiket pengedaran kad kredit antarabangsa palsu bernilai RM12 juta.
Kebakaran berlaku pada pukul 12.30 tengah malam yang melibatkan bahagian dapur rumah tersebut.
Bagaimanapun, pihak bomba dan penyelamat yang memadamkan kebakaran itu terkejut apabila menemui sejumlah besar kad kredit di rumah terbabit.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, berikutan itu, pihak bomba telah menghubungi polis dan sepasukan anggota dihantar ke rumah tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui 3,351 keping kad kredit dipercayai palsu dari pelbagai jenis bank di luar negara.
Tambahnya, turut ditemui 144,487 keping cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak.
"Berikutan itu, polis menahan empat suspek termasuk dua beradik serta seorang wanita. Mereka berusia dalam 25 hingga 35 tahun.
"Siasatan mendapati had kredit setiap kad adalah antara RM5,000 dan RM10,000 itu. Ia disyaki untuk diedarkan ke pasaran luar negara," katanya.
Difahamkan, kad kredit tersebut untuk pasaran luar negara kerana tidak mengandungi cip. Antara negara terbabit adalah Amerika Syarikat, Jerman, Eropah dan China.
Muhammad Sabtu berkata, sehubungan itu, polis memburu seorang suspek warga Taiwan berusia 35 tahun dipercayai bertanggungjawab mengedarkan kad kredit itu ke luar negara.
"Kita percaya suspek masih berada di negara ini," katanya dan menambah, siasatan dilakukan bagi menentukan sama ada kad kredit itu dihasilkan di negara ini atau sebaliknya.
Katanya, selain itu, siasatan juga akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat sekiranya rumah tersebut yang disewa sejak empat tahun lalu dijadikan setor menyimpan kad kredit, CD dan DVD.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ibu tunggal diugut duda sebar hubungan terlarang

JOHOR BAHRU 3 Mac - Seorang ibu tunggal bukan saja diminta memberi wang malah mendakwa diugut seorang duda yang akan menghebahkan hubungan seks terlarang jika cuba memutuskan perhubungan mereka.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jamilah, 33, dari Masai, Pasir Gudang mendakwa mengenali lelaki berusia 44 tahun itu yang menetap di Kuala Lumpur pada 2008.
Jamilah berkata, dia mula berurusan dengan lelaki berkenaan yang bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah bank di ibu negara menerusi telefon apabila menghadapi masalah hutang kad kredit.
"Pada mulanya dia berjanji untuk membantu saya namun melihat caranya yang mengambil berat terhadap saya, kami mula menjalinkan hubungan.
"Bagaimanapun setelah lebih setahun berkenalan, dia pula buat cerita tak diterima keluarga selain berhutang dengan ah long RM30,000," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jamilah memberitahu, dia mula membantu lelaki berkenaan dengan meminjamkan wang berjumlah lebih daripada RM3,000, namun dia meminta untuk memutuskan hubungan mereka apabila menyedari dirinya seolah-olah dipergunakan.
Dia yang bekerja kilang dan mempunyai lima anak berusia antara enam dan 14 tahun berkata, perkenalan dengan lelaki itu juga menyebabkan rumah tangganya musnah sekali gus bercerai setahun kemudian.
"Bila saya hendak putuskan hubungan, lelaki itu mengugut memberitahu keluarga saya tentang hubungan kami termasuk saat keterlanjuran ketika saya bersamanya," ujarnya.
Berikutan ugutan itu, Jamilah membuat dua laporan polis, kali pertama di Balai Polis Taman Scientex, Pasir Gudang pada 4 September tahun lalu dan yang kedua di Balai Polis Seri Alam, Pasir Gudang semalam.
Dia juga dimaklumkan empat lagi wanita turut menjadi mangsa kepada pegawai bank tersebut.