Search This Blog

Wednesday, March 3, 2010

Alasan Mohsin keluar parti tidak kukuh: Nizar

IPOH: Kepemimpinan Pakatan Rakyat Perak berpendapat alasan yang diberikan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tidak kukuh dan cuba menyembunyikan fakta sebenar.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata alasan bahawa rungutan mengenai penggunaan kalimah Allah kepada saluran dalaman parti yang tidak diendahkan
oleh kepemimpinan PKR tidak harus dijadikan sebab untuk Mohsin keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.
"Jika beliau berpendapat kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam, isu ini perlu dibincangkan semula kerana ada nas yang menunjukkan Allah boleh digunakan oleh bukan Islam," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Selain isu kalimah Allah, Mohsin juga mengatakan beliau bosan dengan Pakatan Rakyat di Perak yang bertindak seperti merendah-rendahkan institusi kehakiman dan Raja-raja Melayu.
Sementara itu, Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata pemimpin Pakatan Rakyat hanya menyatakan pendapat masing-masing berikutan beberapa keputusan mahkamah yang tidak mengikut duluan.
"Kami tidak pernah menghina institusi beraja kerana hak dan kuasa Raja-raja Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Pakatan Rakyat bersetuju dengan institusi kesultanan yang kukuh.
"Mohsin sepatutnya berbincang dan membuat keputusan secara bersama, bukan bertindak keluar parti selepas pendapat peribadinya tidak dipenuhi," katanya.
Ahli Parlimen Taiping yang juga Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, pula berkata Mohsin sebenarnya sudah dinilai oleh kepemimpinan PKR yang menunjukkan beliau tidak berkhidmat secara berkesan sebagai wakil rakyat.
Katanya, Mohsin sedar beliau akan digugurkan daripada dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dan bertindak keluar parti.
"Pakatan Rakyat bersyukur Ahli Parlimen 'opportunist' seperti ini keluar sekarang kerana Pakatan Rakyat akan bersih dan menjadi lebih kukuh selepas ini.
"DAP masih menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen dan bakal Perdana Menteri," katanya.

Pesawat terhempas ketika pertunjukan udara India

NEW DELHI: Sebuah pesawat tentera laut yang mengambil bahagian pada hari pertama pertunjukan udara aerobatik di ibu kota Hyderabad, India, terhempas, hari ini.
Siaran NDTV menunjukkan imej pesawat terbabit sejurus sebelum terhempas di kawasan kediaman yang bersebelahan dengan tapak pertunjukan udara itu. Asap yang dihasilkan susulan kejadian itu boleh kelihatan.
“Berlaku kemalangan. Ia membabitkan pesawat tentera laut. Ada laporan juruterbang itu berjaya menyelamatkan diri tetapi ia tidak dapat disahkan,” kata jurucakap Kementerian Penerbangan Sivil India, Moushmi Chakravarty, daripada Hyderabad.
Jurucakap Tentera Laut di New Delhi, Komander P V Satish, berkata pesawat terbabit terhempas di atas sebuah rumah, tetapi mangsa yang terbunuh tidak dapat disahkan.
Pertunjukan Udara India 2010, pameran penerbangan sivil dibuka hari ini sehingga 7 Mac. - AFP

13 suspek militan ditahan di Aceh, Indonesia

JAKARTA: Polis Indonesia menangkap 13 suspek militan Islam bagi membanteras kemungkinan wujudnya rangkaian pengganas Asia Tenggara, Jemaah Islamiah (JI) di wilayah Aceh.
Jurucakap polis, Mejar Jeneral Edward Aritonang, berkata kesemua lelaki terbabit ditahan dalam serbuan berlainan sejak 22 Februari lalu, di mana empat suspek pertama ditahan polis selepas satu pertempuran di kem latihan yang dipercayai digunakan militan di kawasan pergunungan Aceh.
Beliau berkata, semua mereka dipercayai dilatih di kem terbabit.
Katanya, polis turut merampas tiga senapang, lebih daripada 9,000 peluru, buku berkaitan jihad dan DVD mengenai pengeboman kepulauan Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa dan JI dipersalahkan melaksanakan serangan terbabit.
Bagaimanapun, pihak polis tidak dapat mengesahkan laporan media di mana sekurang-kurang beberapa suspek sudah didakwa dengan kesalahan berkaitan keganasan.
"Kami masih menyiasat kumpulan itu dan ia mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas JI," katanya. - AP

Sheila, Azlina gagal capai persetujuan


KUALA LUMPUR 2 Mac – Selepas dua kali berbincang di hadapan hakim yang berbeza, pelakon Sheila Rusly dan bekas rakan kongsinya, Datuk Azlina Che Abdullah akhirnya akur bahawa mereka gagal menyelesaikan di luar mahkamah kes saman berhubung perniagaan restoran Nasi Dagang House.
Usaha mereka menemui jalan buntu hari ini apabila kedua-duanya gagal mencapai persetujuan agar kes tersebut diselesaikan secara baik.
Berikutan itu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 hingga 16 Julai ini sebagai tarikh menyambung semula perbicaraan kes tersebut.
Pada 22 Februari lalu, Sheila yang juga pengacara rancangan tv dan Azlina telah diarahkan menemui Hakim Datuk Lim Yee Lan untuk menjalani proses mediasi (pengantara) bagi penyelesaian kes di luar mahkamah.
Semasa kes ini yang pada asalnya didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Badariah Sahamid, usaha dilakukan agar ia dapat diselesaikan secara baik tetapi turut berkesudahan dengan kegagalan pada 24 Jun 2008.
Pada prosiding hari ini, Sheila dan Azlina yang juga ahli perniagaan tanpa ditemani oleh peguam masing-masing telah menemui Hakim Yee Lan di kamar beliau selama kira-kira 10 minit.
Sejurus selepas mereka keluar, peguam A. Krishnakumar yang mewakili Sheila dan Azahir Nasir yang mewakili Azlina pula diarahkan menemui hakim.
Sheila ketika ditemui pihak media di luar mahkamah berkata:
‘‘Malangnya, (kami) tidak dapat capai apa-apa penyelesaian. Mahkamah telah tetapkan tarikh perbicaraan.’’
Enggan mendedahkan terma-terma penyelesaian yang tidak dipersetujui, Sheila berkata, pihaknya akan memanggil seorang lagi saksi sebelum tiba giliran Azlina selaku defendan memberi keterangan.
Azlina yang ditemui secara berasingan sebelum itu juga menyatakan, kes akan diteruskan dengan perbicaraan setelah tiada penyelesaian dibuat pada hari ini.
Sheila, 39, menyaman Azlina pada 16 Disember 2005 kerana didakwa telah memungkiri perjanjian lisan antara mereka berdua berhubung perniagaan restoran Nasi Dagang House.
Dalam saman tersebut, Sheila selaku plaintif antara lain menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya, modal RM55,000 dikembalikan dan perjanjian perkongsian lisan itu dibatalkan.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, dia dan Azlina bersetuju membuka restoran Nasi Dagang House dengan perkongsian sama rata di No.45-G, Jalan Melati Utama 3, Melati Utama, Setapak di sini yang mula beroperasi pada 11 Julai 2005.
Azlina, 43, dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balasnya pula mendakwa Sheila yang telah melanggar persetujuan dan tanggungjawab untuk menjayakan restoran itu.
Dengan itu, ahli perniagaan tersebut menuntut semula modal dan modal tambahan berjumlah RM69,200 serta wang modal RM200,000 atas perbelanjaan membuka restoran baru itu.
Dalam keterangan di mahkamah pada 21 April 2008, Sheila memberitahu, dia mengambil tindakan menyaman Azlina setelah mengalami tekanan emosi, malu dan kerugian ekoran kegagalan dan penutupan restoran Nasi Dagang House pada 2005.

Dipaksa ‘beraksi’ depan webcam


KUALA LUMPUR 2 Mac – Isteri rakyat Lebanon, Dr. Elie Yousef Najem mendakwa dia pernah dipaksa ‘beraksi’ melakukan hubungan kelamin di hadapan kamera web bersama suaminya untuk dipertontonkan kepada rakan Internet lelaki itu.
Farinnie Mohd. Farid, 24, turut memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, dia diliwat oleh Elie, 50, sebanyak dua atau tiga kali dalam seminggu selama mereka tinggal bersama dari Mei 2005 hingga Julai 2007.
Wanita itu selaku plaintif hadir memberi keterangan pada perbicaraan hari pertama kes tuntutan cerai fasakh yang difailkan olehnya pada September tahun lalu terhadap Elie yang dinamakan sebagai defendan.
Dia yang kini bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah kolej mendakwa, dimaki hamun hampir setiap hari dengan pelbagai kata-kata kesat oleh suaminya selain menuduh kedua-dua anak mereka bukan anaknya.
Menurut Farinnie, Elie juga pernah bertindak kasar dengan menarik rambutnya di khalayak ramai selepas kalah judi di Genting Highlands pada awal 2007.
Suaminya juga didakwa pernah menolak meja ke perut Farinnie ketika dia sedang hamil enam bulan anak sulung mereka.
Ditanya mengenai penganiayaan lain, Farinnie mendakwa didera secara seksual termasuk dipaksa melakukan hubungan kelamin dan diliwat ketika datang haid serta selepas pantang bersalin.
Menjawab soalan peguam syarie yang mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan mengenai tindakan yang diambil selepas berlaku kejadian tersebut, Farinnie memberitahu dia tidak pernah membuat sebarang laporan polis.
Alasannya, kata Farinnie, ketika tinggal bersama Elie di sebuah apartmen di Jalan Yap Kwan Seng, dia langsung tidak dibenarkan keluar dari rumah mereka kerana hanya lelaki itu yang memegang kunci rumah tersebut.
Bagaimanapun, ibu beranak dua itu berkata, dia pernah melaporkan perkara tersebut kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) namun tiada sebarang tindakan diambil.
Ditanya mengenai perasaannya terhadap suami, Farinnie berkata, dia sangat takut dan tidak pernah tenteram apabila berhadapan dengan Elie.
Menurutnya, dia nekad melarikan diri dari rumah tersebut pada 30 Ogos 2007 ketika Elie sedang tidur dan tertinggal kunci di atas meja.
‘‘Sebenarnya saya dah banyak kali lari dari rumah kerana tidak tahan dengan sikapnya, tetapi saya kembali kepadanya apabila dia pujuk dan janji akan berubah sikap.
‘‘Sebelum ini, saya menganggap perceraian adalah perkara terakhir yang akan saya pilih. Saya sentiasa berharap dia akan berubah,’’ katanya.
Ditanya mengenai sikap lelaki itu sebagai seorang Muslim, Farinnie mendakwa Elie bukan sahaja tidak pernah solat dan berpuasa malah turut menghalangnya mengerjakan ibadat berkenaan.
Katanya, Elie yang gemar berjudi dan minum arak pernah memanggil seorang Pastor Kristian ke rumah mereka untuk menjalankan upacara sembahyang sempena Hari Easter.
Farinnie juga mendakwa, Elie secara terbuka pernah memberitahunya bahawa dia kini bukan seorang Muslim tetapi beragama Kristian.
Elie yang sebelum ini disiasat kerana didakwa memiliki wang palsu RM220.6 juta (AS$66.02 juta) tidak hadir di mahkamah. Dia tidak diwakili peguam syarie.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mamat Haizan Salleh bersambung 7 dan 19 April ini.

Anak Raja Petra dibebas dengan ikat jamin


SHAH ALAM 2 Mac - Anak pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin yang yang sedang dibicara atas tuduhan mencuri motosikal dan beberapa barangan berharga yang lain hari ini dibebaskan selepas dijamin oleh seorang kenalan bapanya.
Raja Azman, 34, dibebaskan selepas wang jaminan sebanyak RM10,500 dikemukakan oleh penulis blog Khoo Teng Seng.
Sebelum mahkamah bersidang, Raja Azman yang berbaju kotak-kotak dan berseluar jeans dilihat berbincang dengan dua peguamnya, J. Chandra dan Amarjeet Singh.
Sebaik sahaja prosiding bermula, Chandra memaklumkan Raja Azman akan dijamin hari ini kerana keluarganya berasa bimbang selepas anak guamnya mendakwa dipukul sehingga meninggalkan kesan pada tangan kiri.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Shakimah Ibrahim pula memohon agar tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.
Majistret Norkamilah Aziz menolak permohonan itu dan membenarkan Raja Azman dibebaskan dengan ikat jamin RM10,500 dengan seorang penjamin sebagaimana yang ditetapkan sebelum ini.
Raja Azman yang tidak bekerja dihadapkan ke mahkamah pada 19 Mei tahun lalu atas empat tuduhan mencuri dan memiliki harta curi termasuk sebuah motosikal serta memecah masuk rumah seorang pekerja kilang.
Walaupun Raja Azman ketika itu dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,500, tertuduh terpaksa ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas tiada sesiapa yang tampil mengemukakan wang jaminan.
Raja Azman baru-baru ini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kerana mencederakan pergelangan tangannya dan menelan bilah pisau cukur kononnya tidak tahan lagi dengan penyeksaan mental dan fizikal.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk N. Siva Subramaniam yang melawat Raja Azman di penjara itu baru-baru ini bagaimanapun memberitahu, lelaki itu memaklumkan bahawa dia bertindak mencederakan dirinya sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Bekas CEO Nascom dipenjara 4 tahun, 3 sebatan


SHAH ALAM 2 Mac – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Komputer Nasional Bhd. (Nascom), Zulkifli Amin Mamat dihukum penjara empat tahun dan sebatan tiga kali selepas didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM1.61 juta, lapan tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Hasbi Hasan memutuskan demikian hari ini selepas mendapati keterangan Zulkifli, 48, hanya penafian semata-mata serta gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di peringkat pembelaan.
Beliau dalam keputusannya berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius selain ia melibatkan jumlah wang yang besar.
Jelas beliau, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Nascom, tertuduh juga tidak sepatutnya menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
‘‘Sekarang ini jenayah kolar putih menunjukkan peningkatan ketara dan hukuman yang dijatuhkan perlu mencerminkan bahawa mahkamah memandang berat terhadap kesalahan seperti itu untuk memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama,’’ katanya.
Hasbi bagaimanapun membenarkan permohonan Zulkifli agar pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai dengan menambah jumlah jaminan daripada RM100,000 kepada RM200,000.
Zulkifli didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM1.61 juta di Wisma Nascom, Jalan Delima 1/1, Subang Hi-Tech Industrial Park di sini antara 25 November dan 31 Disember 2002.
Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.
Sebanyak sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada Februari 2007 sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Devanandan manakala Zulkifli diwakili peguam Adenan Ismail.

Kilang proses CD, DVD cetakrompak RM8 juta dibongkar




MOHD. Roslan Mahayuddin (kanan) melihat DVD serta mesin memproses DVD semasa operasi pencegahan pusat memproses cakera padat cetak rompak di sebuah kilang di Kampung Baru Sungai Buloh, semalam.



KUALA LUMPUR 2 Mac - Berselindung dengan nama syarikat pengeluaran baja, sebuah kilang di Sungai Buloh dekat sini mengaut keuntungan lumayan menghasilkan jutaan keping cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak.
Malah kegiatan mereka berjaya mengabui mata pihak berkuasa sehinggakan kegiatan mereka gagal 'dihidu' meskipun telah beroperasi sejak Januari tahun lalu.
Namun hasil maklumat awam dan intipan, kilang yang mampu menghasilkan 12,000 keping DVD sejam itu, diserbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, lima pekerja warga Myanmar dan Bangladesh berusia 20 hingga 30 tahun turut ditahan ketika sedang leka menjalankan kerja-kerja menghasilkan CD dan DVD cetak rompak.
Ketua Pengarah (Bahagian Penguatkuasaan) kementerian itu, Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, dua mesin pengeluar cakera optik dan sebuah mesin pencetak bernilai RM8 juta dirampas.
Katanya, rampasan tersebut adalah yang terbesar sejak tahun lalu.
Menurutnya, turut dirampas kira-kira 10,000 keping CD dan DVD yang telah dan belum siap diproses.
"Selain berselindung di sebalik kilang baja itu, sindiket terbabit menggunakan bekas telur diletakkan di dinding dan siling, berfungsi sebagai penyerap bunyi dan bau.
"Sebaik sahaja memecahkan pintu belakang kilang terbabit, kesemua suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata, seorang daripada pegawainya turut cedera di tangan kiri ketika cuba menghalang suspek melarikan diri.
Tambah Mohd. Roslan, terdapat empat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di luar bangunan premis itu dengan dikawal seorang pengawal keselamatan.
"Bagaimanapun ketika serbuan yang dianggotai oleh 11 pegawai penguat kuasa kementerian, pengawal terbabit dikatakan sedang tidur hingga tidak menyedari kehadiran kami," ujarnya.
Menurut beliau, kebanyakan CD dan DVD yang telah diproses terdiri daripada filem-filem Inggeris baru serta belum ditayangkan di pawagam dan dipercayai untuk pasaran tempatan.
Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan pemilik sebenar kilang terbabit dan kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4 Akta Cakera Optik 2000.

Ibu Syafiah Humairah dipanggil bagi keterangan


KUALA LUMPUR 2 Mac – Ibu Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, Siti Norhanim Aziz yang meninggal dunia akibat didera Khamis lalu telah dipanggil polis untuk diambil keterangannya petang semalam.
Keterangan wanita berusia 25 tahun itu diambil di balai polis berhampiran rumahnya di Sungai Plong, Selangor kira-kira pukul 5 petang.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah yang mengesahkan perkara itu berkata, polis tidak boleh mendedahkan fakta kes tersebut kerana dikhuatiri boleh menganggu siasatan.
Ditanya sama ada polis sudah berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung dakwaan wanita itu bersekedudukan dengan teman lelakinya, beliau berkata:
“Saya tak boleh komen apa-apa. Setakat hari ini kita sedang mengambil keterangan daripada suspek utama.
“Apa yang saya boleh sahkan setakat petang ini, polis belum menahan wanita terbabit.”
Beliau bercakap demikian ketika ditemui pada program Pemantapan Menangani Jenayah di Kota Damansara di sini hari ini.
Khamis lalu, Allahyarham Syafiah Humairah meninggal dunia selepas didera teman lelaki Siti Norhanim di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama di Batang Kali.
Berikutan kejadian itu, teman lelaki Siti Norhanim yang berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pemandu teksi, ditahan bagi membantu siasatan.

Hina Ketua Puteri: UMNO buat laporan polis


ISMAIL Kijo menunjukkan laporan polis yang dibuat oleh UMNO Bahagian Ampang di Ibu Pejabat Polis Ampang, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Mac - Satu laporan polis dibuat hari ini berhubung kenyataan seorang pengguna laman Facebook yang menghina Ketua Puteri UMNO Bahagian Ampang yang meninggal dunia baru-baru ini.
Laporan yang dibuat oleh UMNO bahagian itu mendakwa kenyataan lelaki itu yang menghina Allahyarham Haslinda Mohd. Zerain sebagai satu perbuatan yang biadab.
Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, tindakan lelaki itu yang mendakwa dirinya berasal dari Kelantan dan merupakan penyokong salah sebuah parti politik boleh dianggap tidak bertamadun.
Katanya, kenyataan itu juga dilihat sebagai menghina bekas Ketua Puteri berkenaan yang selama ini banyak berjuang untuk kesejahteraan rakyat.
"Kami menyifatkan tindakan itu sangat biadab dan menghina seorang Ketua Puteri UMNO yang banyak berjuang dalam parti yang telah kembali ke rahmatullah," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.
Allahyarham Haslinda yang berusia 36 tahun meninggal dunia akibat sakit jantung di kediamannya di Ampang pada Rabu lalu.
Haslinda yang merupakan bekas Exco Puteri UMNO pernah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008.
Penghinaan dalam laman sosial itu turut mendapat reaksi Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mengecam tindakan biadab penulis tersebut
Beliau yang mewakili semua ahli Puteri UMNO kesal kerana kenyataan yang merupakan penghinaan yang amat keterlaluan dan memalukan bangsa Melayu serta umat Islam.
Sementara itu, pemangku Ketua Puteri bahagian itu, Salwa Yunus berkata, beliau mengetahui mengenai perkara itu apabila dimaklumkan oleh seorang teman pada Sabtu lalu.
Beliau yang ragu-ragu kemudian membuka sendiri laman sosial itu dan terkejut apabila melihat kenyataan penghinaan lelaki terbabit.
Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit dipercayai telah memadamkan komennya dalam laman sosial itu pada keesokan hari iaitu Ahad lepas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan polis tersebut.
Di Shah Alam, Ketua Puteri UMNO Selangor, Suhaila M. Zin turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhubung kenyataan tersebut.
"Penulis itu perlu tampil dan bertanggungjawab ke atas komen yang dibuat seterusnya memohon maaf secara terbuka," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.
Menurut Suhaila, tindakan lelaki itu jelas tidak menghormati keadaan keluarga Allahyarham Haslinda yang masih bersedih serta cuba mengaibkan orang yang telah meninggal dunia.

Wanita Uzbekistan ditahan


KUALA LUMPUR 2 Mac - Seorang pekerja salon kecantikan warga Uzbekistan ditahan kerana memiliki kira-kira 2.3 kilogram dadah disyaki heroin bernilai RM228,000 dalam serbuan di Jalan Bukit Bintang di sini Sabtu lalu.
Dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari itu, suspek yang merupakan ibu tunggal berusia 27 tahun dipercayai turut menjadikan salon tersebut sebagai pusat penyimpanan dan pengedaran dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, hasil pemeriksaan, kesemua dadah dalam bentuk serbuk dan ketulan itu ditemui di bilik salon terbabit.
Katanya, kesemua dadah tersebut dipercayai mampu menghasilkan sebanyak 22,800 straw heroin.
"Siasatan awal mendapati suspek bekerja di salon kecantikan terbabit sejak lima bulan lalu berdasar rekod kemasukan ke negara ini pada 24 November lalu.
"Ini kali kedua dia memasuki Malaysia selepas September lalu dan keluar semula sebulan selepas itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Katanya, pada kemasukan kali kedua ini yang dikenal pasti dari negara Thailand, suspek didapati telah melanggar Akta Imigresen kerana tinggal melebihi masa.
Katanya lagi, suspek juga dalam perhatian Imigresen untuk diusir pada 16 Februari lalu.
Chez Chiang memberitahu, modus operandi digunakan adalah mengedar dadah kepada pelanggan dari negara Asia Barat yang dikenalinya ketika memasuki negara ini kali pertama.
"Polis masih menyiasat pengedaran serta dari mana dia memperoleh bekalan dadah itu selain kemungkinan penglibatan rakyat tempatan dalam kegiatan tersebut.
"Ketika serbuan, suspek bersendirian di premisnya dan polis kini sedang mengesan pemilik salon kecantikan itu yang juga berasal dari negara Asia Barat untuk membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, beliau kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa Uzbekistan untuk mendapatkan rekod jenayah lampau suspek.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula pada 28 Februari hingga 6 Mac ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan," katanya.

Pelajar tingkatan 3 dirogol 15 lelaki


IPOH 2 Mac – Seorang pelajar perempuan yang masih menuntut dalam tingkatan tiga mendakwa dirogol bergilir-gilir oleh sekumpulan 15 lelaki di Felda Sungai Klah dekat Sungkai, kelmarin.
Mimpi ngeri remaja berusia 15 tahun itu dari Felda Trolak Utara, bermula apabila dia dipaksa mengikut seorang lelaki ketika sedang bersiar-siar bersama rakan di kawasan kampung pada pukul 6.15 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa kemudian dibawa ke Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah sebelum dirogol oleh lelaki terbabit dan empat lagi rakannya yang sudah menunggu di situ.
“Selepas itu, suspek meminta seorang rakannya menghantar mangsa balik ke rumah tetapi rakannya itu membawa remaja itu ke sebuah rumah kosong di Felda Sungai Klah sebelum dia sekali lagi dirogol bergilir-gilir oleh lebih kurang 10 lelaki yang berada di rumah itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Roslan Bek, mangsa hanya dihantar pulang oleh salah seorang suspek ke sebuah perhentian bas semalam sebelum dihantar balik ke rumah oleh abang angkatnya.