Search This Blog

Tuesday, March 2, 2010

Dibuang ibu, ditinggal bapa


Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/03/02
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Enggan bertanggungjawab ke atas anak hasil hubungan sulit dengan perempuan simpanan, seorang lelaki tergamak meninggalkan dua cahaya matanya itu terkontang-kanting di sebuah rumah kebajikan di Taman Melur, Ampang di sini, sejak empat tahun lalu.
MALANG...Bee Law (kanan) dan Beng Leng merayu bapa mereka tampil membantu menyelesaikan masalah dokumen pengenalan diri mereka.
MALANG...Bee Law (kanan) dan Beng Leng merayu bapa mereka tampil membantu menyelesaikan masalah dokumen pengenalan diri mereka.
Lebih malang, kehidupan kedua-dua anak perempuannya berumur 10 dan 15 tahun itu cukup memeritkan kerana gagal bersekolah serta terkurung kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri termasuk sijil kelahiran mereka.
Ketika ditemui semalam, anak sulungnya Joey Ooi Bee Law, 15, kelihatan bingung kerana bukan saja tidak mengenali bapanya, malah identiti sebenar ibu kandungnya itu juga tidak diketahui.


Menurutnya, dia dan adiknya Jody Ooi Beng Leng, 10, hanya mengetahui yang ibunya seorang wanita Serani dari Melaka walaupun menetap dengan ibunya itu selama lapan tahun.


“Kemudian, saya dibawa bapa tinggal bersama keluarganya, namun kehadiran kami berdua tidak diterima sepenuhnya memandangkan kami anak tidak sah taraf.


“Walaupun ibu tiri boleh menerima kami, kami tertekan dengan sikap adik-beradik tiri yang membenci kami menyebabkan bapa mengambil keputusan menghantar kami ke rumah kebajikan Yayasan Sunbeams Home pada 2007,” katanya.


Menurutnya, sepanjang bersama ibu tirinya itu mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah seperti kanak-kanak lain kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Menyifatkan bapanya sebagai seorang kaki joli dan berfoya-foya, dia terpaksa menerima untuk menetap di rumah kebajikan memandangkan hanya ibu tirinya saja yang bekerja menampung kehidupan keluarganya.


Sementara itu, Pengurus Besar yayasan terbabit, Pastor Victor Maniam, berkata dia mengenali bapa kanak-kanak itu sebagai Peter Ooi Peng Soon, 53, ketika datang menyerahkan kanak-kanak itu pada Mac 2007.


“Lelaki terbabit datang bersama isterinya dan mengaku kedua-dua kanak-kanak ini anak perempuan simpanannya dari Melaka. Dia mendakwa tidak dapat menanggung beban membesarkan mereka kerana bekerja sebagai buruh.


“Keadaan kedua-dua beradik masing-masing berumur enam dan 11 tahun yang kurus kering serta terbiar menyebabkan tanpa usul periksa saya menerima kehadiran mereka,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA semalam.


Pastor berkata, lelaki terbabit berjanji datang menjenguk dua anaknya itu, namun tidak muncul sehingga sekarang.


Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, dia meminta bapa kanak-kanak itu berjumpanya bagi menyelesaikan kes dokumentasi anak-anaknya.

Dalang tertinggal telefon bimbit

KUALA KUBU BHARU: Polis menahan reman seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai suspek utama kejadian menyamun dan membunuh warga emas, Nen Ariffin, 72, di Jalan Kembojasari 2, Bandar Baru Sungai Buaya, Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Bakhtiar Abdul Rashid (gambar), berkata suspek yang dipercayai mendalangi kegiatan menyamun itu diberkas di sebuah rumah di Kalumpang, Hulu Selangor pada jam 3 pagi Ahad lalu.
Katanya, suspek ditahan berdasarkan siasatan bahan bukti sebuah telefon bimbit milik suspek yang terjatuh ketika pergelutan dengan mangsa dalam kejadian itu. “Polis bertindak kurang 12 jam selepas kejadian itu dengan membuat serbuan ke rumah mangsa bagi memberkas suspek. “Siasatan awal mendapati suspek menggunakan taktik sama iaitu menyamar sebagai orang yang mencari rumah sewa sekitar Bandar Baru Sungai Buaya beberapa minggu lalu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa ditikam dengan pisau Rambo selepas dua penyamun lelaki dan wanita cuba melepaskan diri selepas menyamun barang kemas dan komputer riba milik keluarga itu. Bakhtiar berkata, polis akan membuat tangkapan lain termasuk kawan lelaki itu yang dipercayai terbabit dengan kegiatan jenayah yang sama. Katanya, suspek direman sehingga 5 Mac ini bagi membantu menyelesaikan kes ini. “Polis berharap penduduk dan orang awam yang mempunyai maklumat dan menjadi mangsa kepada kes jenayah seperti ini tampil membuat laporan segera membantu siasatan ini. “Saya yakin kes ini dapat diselesaikan segera apabila beberapa penahanan suspek lain dilakukan dalam masa terdekat,” katanya. Beliau berkata, polis menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Kesiksaan.

Dua lelaki baling bom petrol ke pusat hiburan


KUALA LUMPUR: Tindakan liar masih menjadi tanda tanya berikutan dua lelaki bermotosikal membaling bom petrol ke sebuah pusat hiburan terkemuka di ibu kota sebelum memecut melarikan diri dari tempat kejadian.
Difahamkan, tindakan dua lelaki terbabit menyebabkan bom terbabit mengenai bahagian hadapan pintu masuk pusat hiburan terbabit sebelum terbakar. Sumber polis berkata, kejadian berlaku jam 2.45 pagi semalam, apabila seorang lelaki yang juga pengurus pusat hiburan terbabit melihat kelibat dua lelaki bermotosikal ketika dia sedang berdiri di hadapan premis berkenaan. Menurutnya, suspek membaling objek menyerupai bom petrol ke arah pusat hiburan terbabit dari jarak lebih 10 meter. “Tindakan lelaki terbabit menyebabkan botol berisi minyak petrol berkenaan jatuh ke lantai premis sebelum pecah dan terbakar.
“Bagaimanapun, beberapa kakitangan segera memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam kebakaran yang diletakkan di dalam premis,” katanya. Menurutnya, tiada kecederaan atau menyebabkan kerosakan serius pada premis hiburan berkenaan. “Pengurus pub berusia awal 30-an terbabit yang mengingati nombor pendaftaran motosikal suspek membuat laporan di balai polis berhampiran sejurus selepas kejadian,” katanya. Susulan kejadian itu polis menjalankan siasatan terhadap lokasi kejadian selain mengambil keterangan daripada beberapa pekerja pusat hiburan berkenaan bagi memastikan punca kejadian yang berkemungkinan akibat balas dendam atau salah faham.

Jatuh tingkat 5 masih hidup


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
am@hmetro.com.my
2010/03/02
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GEORGETOWN: “Anak saya bernasib baik kerana kakinya tersangkut di bumbung zink di tingkat satu,” kata bapa Nor Farah Atrina Mohd Ridzuan , 5, yang terjatuh dari tingkat lima Flet Medan Tunku, Jelutong, di sini, semalam.
Bapa mangsa, Mohd Ridzuan Anuar, 31, berkata sebelum kejadian kira-kira jam 4 petang itu, anaknya yang aktif leka bermain dengan rakannya di sebuah kawasan lapang berdekatan lif sama paras dengan rumahnya di tingkat lima.
Bagaimanapun, tiba-tiba, beliau terdengar bunyi dentuman kuat dari kawasan anaknya bermain dan pada masa sama, kakak Farah, meluru ke dalam rumah dan memaklumkan adiknya terjatuh ke bawah.


“Saya berasa dunia gelap seketika selepas dimaklumkan berita buruk itu dan apabila menjenguk ke bawah, saya terlihat Farah tersangkut di bumbung zink sebuah rumah jiran di tingkat satu,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang, di sini, semalam.


Mohd Ridzuan berkata, anaknya hanya mampu menangis kesakitan ketika beliau dan jirannya mengangkatnya turun dari atas bumbung zink, walaupun ketika itu, badan, tangan dan kakinya lemah.


“Sepanjang perjalanan ke hospital, saya banyak berdoa kepada Allah supaya anak saya dipanjangkan umur dan doa saya dimakbulkan.



“Keadaan Farah kini stabil tetapi kedua-dua belah tangannya patah akibat kejadian itu dan perlu menjalani pembedahan segera,” katanya.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat sikap sambil lewa pengurusan Flet Medan Tunku dalam aspek keselamatan di flet yang berusia lebih 20 tahun itu.


Menurutnya, penghadang besi di setiap tingkat flet berkenaan sudah reput dan ada di antaranya patah serta membahayakan keselamatan penduduk di situ, namun tiada sebarang tindakan diambil pihak pengurusan meskipun aduan dibuat sejak bertahun lamanya.


Katanya, ini insiden kedua di flet terbabit selepas dua tahun lalu, seorang kanak-kanak jatuh dari tingkat satu kerana bersandar di penghadang besi seperti Farah, bagaimanapun pengurusan hanya meletakkan kayu di celah penghadang besi yang hilang atau patah.


“Saya cukup kecewa dengan pengurusan kerana Farah sudah tentu meninggal dunia sekiranya tidak tersangkut di bumbung zink itu, tetapi pengurusan pula menganggap remeh isu ini.


“Mereka mungkin hanya akan mengambil tindakan selepas kematian berlaku di flet ini,” katanya.


Mohd Ridzuan berkata, akan membuat laporan polis terhadap pengurusan flet itu.


berkenaan dan kemungkinan akan menyaman mereka kerana mengabaikan aspek keselamatan penduduk di flet 13 tingkat itu.

Tragedi tukul besi di Sydney



MOHD. SHAH SAEMIN


SEMUANYA berpunca daripada perasaan cemburu tetapi adegan kemalangan yang diada-adakan akhirnya meragut nyawa Mohd. Shah Saemin, 43, di Sydney, Australia pada 21 Februari lalu.
Mohd. Shah yang bertugas sebagai pemandu di pejabat Konsulat Malaysia Sydney diserang pemandu teksi, Hazairin Iskandar, 55, dan anaknya, Andrew Harizan menggunakan tukul besi sebelum ditikam di luar kediamannya di Marion Street, Leichardt.
Isteri suspek, Nita Eriza Iskandar, 46, merupakan rakan sepejabat Mohd. Shah yang dipercayai ‘berkawan baik’, lapor akhbar Sydney Morning Herald.
Cerita tragis duda tanpa anak itu tidak berakhir di situ.
Mohd. Shah baru sahaja menefon ibunya, Misnah Kasri, 61, dua hari sebelum kejadian.
“Saya tidak sangka kejadian ini boleh berlaku. Kami sekeluarga rindu menatap wajahnya selepas tiga tahun dia tidak balik ke Malaysia,” luah adik bongsu Allahyarham, Mohd. Fairuz, 32.
Menurut Fairuz, terlalu banyak memori indah ditinggalkan Mohd. Shah kerana Allahyarham sangat penyayang pada keluarganya.
Meskipun Mohd. Shah menetap di Australia sejak 20 tahun lalu, anak kedua daripada lima beradik tidak mudah lupa diri.
“Dia seorang lelaki yang cukup kuat semangat, tidak mudah putus asa dan dia mahu setiap perasaan gembiranya dikongsi ahli keluarga terutama ibu dan bapa saya.
“Segala kemewahan yang dimiliki tidak pernah melunturkan ingatan Abang Shah pada keluarganya,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui Jurnal di Air Molek, Jasin baru-baru ini.

ALLAHYARHAM Mohd. Shah (kiri) sentiasa berkongsi rasa gembira bersama keluarganya.


Masakan ibu
Mohd. Shah dibesarkan di Kampung Tambak Paya dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Paya sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Tun Perak.
Selepas tamat pendidikan menengah, Allahyarham melanjutkan pelajaran di Akademi Laut Malaysia (Alam) di Kuala Sungai Baru.
Misi perantauan Mohd. Shah ke Tasmania menemukannya dengan seorang wanita negara itu yang dikenali dengan nama Islamnya, Jamalina Abdullah, 58.
Selepas mendirikan rumah tangga pada 1990, Allahyarham mengambil keputusan untuk menetap di Sydney dan ketika itu dia bekerja di Rumah Orang-Orang Tua di negara itu.
Perkahwinan Allahyarham dan Jamalina bagaimanapun berakhir pada 2007 tanpa dikurniakan cahaya mata.
Selepas 17 tahun bekerja di rumah kebajikan masyarakat tersebut, Allahyarham mengambil keputusan untuk berhenti lalu bekerja sebagai pemandu Konsulat Malaysia di Sydney pada 2007 sehingga akhir hayatnya.
“Semangat Melayu Allahyarham tidak pernah luntur. Malah dia berusaha sedaya upaya mengajar Jamalina bahasa Melayu,” kata fairuz.
Mengimbas kembali kenangan dengan Allahyarham ujar Fairuz, memori terindah yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila apabila mereka berdua mengecat rumah pusaka milik datuk mereka pada 2006.
Menurut Fairuz, Allahyarham penggemar fanatik ikan terutama daripada masakan ibunya.
Bekas isteri
“Jika tidak suka sesuatu dia akan diam, namun tidak sesekali ‘tarik muka’.
“Saya percaya tidak semua orang mampu mengawal perasaan seperti Abang Shah. Tetapi dia boleh dan sebab itu semua sayang dengan dia,’’ kata Fairuz.
Fairuz berkata, keluarganya tersentuh kerana Jamalina meluangkan masa singgah ke rumah keluarganya untuk menyampaikan ucapan takziah.
“Saya percaya Abang Shah merupakan lelaki dan suami yang baik, sebab itu walaupun sudah berpisah, Kak Ina tetap datang ke rumah untuk melawat keluarga kami selepas mengetahui Abang Shah mati dibunuh,” katanya lagi.
Sementara itu bapanya, Saemin Mongjin berkata, dia tidak sesekali akan memaafkan pembunuh itu sampai bila-bila.

SEKUMPULAN pakar forensik Australia melakukan simulasi pembunuhan Mohd. Shah di Marion Street, Leichardt baru-baru ini.


Katanya, dia percaya anaknya merupakan seorang lelaki yang baik dan menghormati orang lain malah jauh sekali untuk membuatkan orang marah padanya.
“Saya reda dengan apa yang berlaku, cuma dalam hati ini sukar untuk saya memaafkan penjenayah yang membunuh Mohd. Shah tanpa belas kasihan,” katanya.
Tambah Saemin, Allahyarham dalam perbualan terkakhirnya sempat memberi tahu dia akan berhari raya di Melaka pada September ini.
Saemin, 71, yang juga bilal Masjid Kampung Tambak Paya berkata, dia tetap bersyukur apabila penjenayah yang melakukan pembunuhan kejam itu berjaya diberkas polis Australia.
“Saya harap si pembunuh itu menerima balasan yang setimpal seperti apa yang dilakukannya terhadap anak saya,’’ katanya Saemin.
Mayat Allahyarham yang tiba di tanah air lewat Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Tambak Paya.

Ahli Parlimen Nibong Tebal keluar PKR



TAN TEE BENG


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng semalam secara rasmi mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas kecewa dengan kepimpinan parti itu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah beliau mendapati kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat (PR) sendiri menjadi penentang kepada slogan perubahan yang dilaungkan sebelum ini.
"Mereka kembali kepada cara politik kuno dan memimpin parti seperti kisah dongeng purbakala. Melihat kepada keadaan ini, saya sangat sedih dan keliru," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini yang turut disertai bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.
Sehubungan itu, Tee Beng mengumumkan dirinya wakil rakyat bebas dan tidak menyokong mana-mana parti.

Polis Israel tingkat kawalan di Al-Aqsa

BAITULMUQADDIS - Polis Israel meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis semalam selepas beberapa orang cedera dalam insiden ketegangan yang berlaku di sekitar tapak suci yang menjadi rebutan antara penduduk Islam dan Yahudi.
"Kami telah meningkatkan penguatkuasaan di Bandar Lama dan akan terus menghadkan kemasukan ke Masjid Al-Aqsa kepada lelaki Islam berusia lebih 50 tahun ke atas termasuk wanita.
"Kawasan itu juga akan dibuka kepada pelancong seperti hari-hari biasa," jelas jurucakap polis Baitulmuqaddis, Shmulik Ben Rubi.
Kekecohan pada Ahad lalu timbul apabila penganut Islam membaling batu ke arah sekumpulan pelawat yang didakwa sebagai pelampau Yahudi sekali gus mengakibatkan ketegangan berkaitan hak di tapak masjid tersebut.
Seramai 17 orang termasuk dua anggota polis cedera dalam kejadian berkenaan.
Semalam, seorang paderi Yahudi, Shmuel Rabinovitch, cuba untuk meredakan ketegangan dengan mengingatkan golongan Yahudi bahawa mereka dilarang daripada memasuki tapak tersebut atas alasan keagamaan.
"Halacha (undang-undang agama Yahudi) melarang penganut Yahudi daripada memasuki Masjid Al-Aqsa.
"Oleh itu tidak ada sebab untuk berasa takut bahawa kami akan masuk," katanya kepada sebuah stesen radio tentera. - AFP

Penganggur didakwa merogol gadis bawah umur


KUANTAN 1 Mac - ''Dia yang kacau saya, minta nombor telefon bimbit saya. Saya tak kenal dia pun,'' dakwa seorang penganggur ketika ditanya oleh seorang hakim mengapa dia tergamak memperkosa seorang remaja bawah umur, 10 bulan lalu.
Shahrin Zulkifli, 24, mendakwa, dia juga bertindak melarikan diri apabila melihat gadis itu dalam keadaan tidak berseluar di dalam sebuah kereta ketika diminta mangsa untuk menemuinya bagi memulangkan semula wang bayaran tambah nilai prabayar telefon bimbit mangsa.
Lelaki itu menyatakan demikian kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd. Fadhir Harun selepas dia mengaku tidak bersalah hari ini atas tuduhan merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun lapan bulan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam kawasan semak di Pantai Tanjung Batu Nenasi, Pekan, di sini kira-kira pukul 7.30 pagi, 8 April tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Mohd. Fadhir menetapkan 1 April ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam bela.
Beliau juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat.

Berjudi: 16 lelaki didenda RM500 setiap orang


KUANTAN 1 Mac - Keseronokan bermain judi sempena Tahun Baru Cina pertengahan bulan lalu menyebabkan 16 lelaki masing-masing mengalami 'kerugian' apabila didenda RM500 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Iriane Isabelo menjatuhkan hukuman tersebut setelah semua tertuduh yang berusia antara 37 dan 58 tahun mengaku melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 1990).
Kesemua mereka didakwa bersama-sama bermain judi jenis 'pai kaw' menggunakan 31 biji batu putih dan dua biji dadu di Bangunan Pertubuhan Penganut Ugama Taoisma Young Shaou Gong, Jalan Air Putih di sini kira-kira pukul 1.45 pagi, 15 Februari lalu.
Mereka yang tertuduh ialah Owl Tee Boon, 43; Tan Kian Lay, 39; Kuak Gee Pong, 45; Lai Ka Keong, 49; Phua Yu Keong, 52; Sum Kong Leong, 40; Kong Min Huat 48; dan Goh Kay Huat, 51.
Turut mengaku bersalah ialah Yap Choon Kaw, 43; Tan Chor Kee, 57; Siew Kok Voon, 39; Wong Kang Lok, 49; Phua Kia Yee, 47; Erick Lim Chu Choy, 37; Chee Hian, 58; dan Yeoh Poh An, 49.
Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 1990) memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, kesemua tertuduh melalui peguam mereka, Che Ariffin Mohd. Ali merayu mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum atas alasan mereka telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.
Che Ariffin turut memberi alasan bahawa pengakuan bersalah kesemua tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dan wang kerajaan.
Selain itu, katanya, kesalahan tersebut adalah kesalahan pertama kesemua tertuduh dan mereka berjudi hanya untuk suka-suka bagi mengisi masa terluang sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin.

Ahmad Rusli tarik balik permohonan cabar keputusan Pemangku Raja


KUALA LUMPUR 1 Mac - Ahli Dewan Negara, Senator Ahmad Rusli Iberahim hari ini menarik balik permohonan beliau untuk mencabar keputusan Pemangku Raja Kelantan yang telah melucutkan gelaran Datuk dan beberapa darjah kebesaran yang disandang olehnya, tahun lalu.
Dengan tindakannya itu, Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Aziah Ali membatalkan permohonan beliau untuk semakan kehakiman keputusan Tengku Muhammad Faris Petra.
Hakim tersebut sepatutnya mendengar permohonan itu petang ini.
Peguam K. Shanmuga yang mewakili Ahmad Rusli, 50, memberitahu, permohonan itu ditarik balik setelah pihaknya tidak menyerahkan dokumen berkaitan kepada ketiga-tiga responden yang dinamakan dalam tindakan itu dan juga Pejabat Peguam Negara.
Dalam permohonan yang difailkan pada 30 November tahun lalu, pemohon yang juga ahli Pas menamakan Tengku Muhammad Faris Petra; Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias; dan Kerajaan Negeri Kelantan selaku responden pertama hingga ketiga.
Ahmad Rusli mendakwa, pada 29 September 2009 beliau telah menerima warta kerajaan daripada responden kedua.
Ia memaklumkan bahawa responden pertama memperkenankan untuk menarik balik Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K), Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (A.S.K) dan Jaksa Pendamai yang dikurniakan kepadanya oleh Sultan Kelantan.
Pemohon menyatakan responden pertama telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan berdasarkan Perkara 22A Perlembagaan Negeri Kelantan berkuat kuasa 24 Mei tahun lalu sehingga ayahandanya sembuh.
Ahmad Rusli mendakwa pelucutan gelarannya adalah tidak sah dan tidak mengikuti prosedur kerana selain tidak diberikan sebarang notis, pihak responden juga tidak mengemukakan alasan berbuat demikian.
Pemohon yang dilantik sebagai anggota Dewan Negara berkuat kuasa 7 Julai 2008 hingga 6 Julai 2011 turut mendakwa, beliau tidak diberikan peluang untuk memberikan penjelasan.

Laporan bedah siasat kedua lebih terperinci

SHAH ALAM 1 Mac - Pakar Forensik Patologi, Dr. Shahidan Md. Noor yang mengendalikan bedah siasat kedua terhadap Teoh Beng Hock mengakui laporan yang disediakan oleh beliau lebih terperinci berbanding laporan bedah siasat pertama.
Beliau yang merupakan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh berkata, hasil pemeriksaan ke atas kesan kecederaan terutama pada bahagian leher lebih terperinci kerana beliau dibantu oleh maklumat awal daripada pegawai penyiasat.
Selain berpeluang meneliti laporan bedah siasat pertama, katanya, hasil pemeriksaan beliau lebih jelas berikutan kehadiran dua pakar yang menjalankan bedah siasat pertama, Dr. Khairul Azman Ibrahim dan Dr. Prashant Naresh Samberkar.
Meskipun bersetuju bahawa laporan pertama kekurangan beberapa butiran dalam penelitian terhadap kesan kecederaan di bahagian leher Beng Hock serta kecederaan otot akibat dipukul, beliau menolak cadangan peguam Gobind Singh Deo bahawa ia tidak lengkap.
Sebaliknya Shahidan berpendapat, kedua-dua pakar tersebut telah mengambil kira semua fakta yang mungkin menjadi penyebab kepada kematian setiausaha politik exco Selangor itu sebelum membuat pemeriksaan dan kesimpulan.
"Dua rakan saya yang buat pemeriksaan terhadap Beng Hock buat pertama kali fikir apa yang saya fikirkan, tetapi kecederaan yang dialami mencadangkan bahawa dia masih hidup semasa dia jatuh.
"Mereka juga lihat pada fakta kemungkinan dia ditolak, terjun sendiri, dicederakan atau berlaku kemalangan. Tetapi setelah semua fakta diambil kira, kecederaan pada leher tidak nampak. Ia biasa dalam forensik kerana kecederaan pada bahagian itu akan lebih jelas dalam masa 24 jam,'' katanya.
Bagi kes kematian dalam tahanan, Shahidan mengakui bahawa fokus bedah siasat adalah untuk mencari kecederaan yang membawa kepada kematian seperti kesan pukulan, tekanan pada leher dan kecederaan dalaman yang tidak konsisten dengan maklumat.
Semasa memeriksa mayat Beng Hock, beliau mengesahkan menemui kesan kemerahan di bahagian leher seakan-akan satu jalur pada kulit yang tidak dapat dipastikan secara terperinci.
Sehubungan itu, Shahidan berpendapat kemungkinan kesan tersebut lebih jelas pada bedah siasat kedua kerana kedudukannya yang kadang-kadang sukar untuk dilihat semasa bedah siasat pertama.
Bagaimanapun setelah disoal bertubi-tubi oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Shahidan bersetuju bahawa kecederaan di bahagian leher Beng Hock mungkin akibat dicekik.
Bagaimanapun beliau menolak ia mengakibatkan kematian kerana tiada tanda-tanda lemas ditemui selain kesan pendarahan dalaman di bahagian leher sama dengan kesan di bahagian lain.
Sebaliknya, beliau tetap bersetuju dengan pandangan Khairul Azman dan Prashant bahawa kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi sebagai punca kematian.
Beliau juga berpendapat Beng Hock terjatuh dalam keadaan kaki kanan mencecah lantai dahulu sebelum badan bahagian kanan terhempas dan terbaring dalam keadaan mengiring berdasarkan kecederaan yang dialami.
"Saya juga melakukan simulasi ke atas mayat Beng Hock dengan imbasan CT dengan bantuan pakar radiologi untuk mengesan tulang-tulang yang patah,'' jelasnya.
Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung 10 Mac ini.

Anak bekas mufti didakwa




Fathul Bari Mat Jahya (kiri) ketika berada di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.



KUALA PILAH 1 Mac – Anak bekas Mufti Perlis, Fathul Bari Mat Jahya mengaku tidak bersalah ketika didakwa dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan mengajar tanpa tauliah di negeri ini.
Tiga pengikut kanannya, Abdullah Sanusi Othman, 40; Nik Amirul Faiz Nik Md. Yusof, 25; dan Khairudin Daud, 55, masing-masing turut membuat pengakuan yang sama atas kesalahan bersubahat dengan pendakwah bebas itu.
Fathul Bari, 30, didakwa mengajar tanpa tauliah di Maahad Ittiba Sunnah, Kilometer 1.5, Jalan Lama Seremban-Kuala Pilah, semalam.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Pendakwa Syarie, Mohd. Al Hafid Ismail mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004).
Ketiga-tiga pengikutnya pula didakwa bersubahat dengan Fathul Bari pada tarikh dan tempat yang sama mengikut Seksyen 34 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004) yang dibaca bersama Seksyen 37 enakmen sama.
Bagi kesemua pertuduhan tersebut, setiap tertuduh boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun.
Hakim Syarie, Zainal Abidin Kusemin membenarkan Fathul Bari dibebaskan dengan jaminan RM2,200 bersama dua penjamin di kalangan penjawat awam.
Beliau juga memerintahkan ketiga-tiga pengikut penceramah itu masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM2,000 berserta seorang penjamin di kalangan penjawat awam.
Zainal menetapkan 5 April ini untuk perbicaraan kes tersebut.
Terdahulu, Fathul Bari memohon jaminan dikurangkan di antara RM50 dan RM100 dengan alasan dia masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Fathul Bari yang beralamat di Utan Kandis, Arau, Perlis merupakan lulusan Universiti Madinah dan memperoleh Ijazah Sarjana di Jordan. Dia kini mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah di UIAM.
Semalam Fathul Bari bersama tiga pengikut kanannya ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika sedang mengajar di hadapan hampir 50 orang awam di Maahad Ittiba Sunnah.
Kesemua mereka ditahan pada pukul 11.30 pagi sebelum dibawa ke Balai Polis Kuala Pilah untuk siasatan. Beberapa buku dan peralatan yang digunakan turut dirampas dalam serbuan itu.

Lelaki Bangladesh diculik rakan




Dua suspek yang sedang diburu polis berhubung kes culik seorang lelaki Bangladesh di Klang, semalam.



KLANG 1 Mac - Hasrat seorang lelaki Bangladesh untuk bertemu rakannya di sini, Jumaat lalu, berakhir dengan mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa culik dua rakan senegaranya sendiri.
Segala-galanya bermula apabila mangsa yang bekerja di Senai, Johor, tiba di sini dan menerima pelawaan dua suspek terbabit untuk menaiki motosikal mereka.
Ketika kejadian kira-kira pukul 8 malam, mangsa yang dikenali sebagai Kadarmiah, 23, sedang berjalan di Jalan Dendang 1, Taman Rasnah, untuk ke rumah rakannya di Taman Intan di sini.
Bagaimanapun, mangsa dibawa ke sebuah rumah teres dua tingkat di taman tersebut sebelum dikurung selama dua hari.
Lebih kejam, kaki dan tangan mangsa turut dirantai selain tidak diberi makan.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, kedua-dua suspek meminta mangsa membayar RM20,000 jika mahu dilepaskan.
"Polis menerima maklumat daripada orang awam yang mendengar jeritan meminta tolong dalam rumah tersebut.
"Sepasukan anggota yang menyiasat menemui mangsa di bilik utama di aras atas rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada mangsa dan memperolehi lakaran wajah suspek.
Katanya, polis sedang memburu suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran.
Ujar beliau, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 342, Seksyen 385 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
"Mangsa telah dihantar ke di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kerana cedera ringan dan lemah kerana tidak diberi makan," katanya.

Jurujual wanita ditahan disyaki buang bayi


SEGAMAT 1 Mac - Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di sini baru-baru ini.
Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu ditahan di rumahnya di Taman Segamat Baru pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Majid Md. Ali berkata, wanita itu ditahan kurang 24 jam selepas polis mendapat maklumat mengenai penemuan mayat bayi tersebut.
Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
"Jika didapati bersalah, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Rabu lalu, seorang kakitangan di sebuah pusat latihan memandu gempar apabila menemui bungkusan berbau busuk yang ditinggalkan di dalam tandas wanita.
Bungkusan plastik yang ditemui dalam sebuah tangki air tandas itu kemudian diperiksa oleh pihak polis sebelum disahkan sebagai mayat seorang bayi.
Pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital mengesahkan jantina bayi itu adalah lelaki, dipercayai dilahirkan kira-kira dua hingga lima hari sebelum mayatnya ditemui.

Polis minta media berhenti siar kisah Syafiah


KUALA LUMPUR 1 Mac - Polis meminta media berhenti menyiarkan laporan mengenai Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia, Khamis lalu, kerana bimbang menjejaskan perbicaraan kes itu di mahkamah.
Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin (gambar) berkata, pihaknya mendapati banyak cerita dan spekulasi disiarkan yang bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi memberi implikasi kepada proses perbicaraan.
"Bila banyak bercakap (berita disiarkan), semua fakta berkenaan akan pergi ke mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas perkembangan siasatan kes Syafiah yang mati disyaki didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.
Sebelum itu, mangsa dihantar oleh suspek ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu, kononnya kanak-kanak tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Namun, pihak hospital yang curiga kemungkinan mangsa telah didera, menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam.
Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid ketika dihubungi memaklumkan menerima arahan supaya tidak memberi kenyataan lagi berhubung kes tersebut.
"Saya telah dihubungi Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Omar Manah hari ini meminta supaya tidak lagi memberi kenyataan media berhubung kes berkenaan atas arahan Bukit Aman," ujarnya.