Search This Blog

Monday, March 1, 2010

Seorang pemandu jengkaut terbunuh


01/03/2010 1:15pm

IPOH 1 Mac – Seorang pemandu jengkaut terbunuh apabila kenderaan berat dipandunya itu tercampak ke dalam sebuah lombong di Taman Temara, Pasir Putih, dekat sini hari ini.
Kejadian pada pukul 9.30 pagi itu berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja meratakan tanah di tepi lombong berkenaan. – Utusan

Gempa bumi sederhana gegar Mindanao


01/03/2010 2:31pm

KUALA LUMPUR — Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Mindanao, Filipina pada pukul 11.15 pagi hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), pusat gempa bumi itu berlaku di 67km timur laut Davao, Filipina dan 926km timur laut Lahad Datu, Sabah.
Tiada ancaman tsunami akibat gegaran itu. — Bernama

Enam sekeluarga trauma dibaling bom botol


01/03/2010 3:25pm

PULAU PINANG 1 Mac - Enam sekeluarga trauma selepas rumah sewa mereka di Weldquay di sini dibaling bom molotov cocktail dalam kejadian kira-kira pukul 3.22 pagi ini, dipercayai bermotifkan ugutan.
S.Murali, 37, berkata, semasa kejadian mereka sekeluarga sedang tidur dan tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bising enjin motorsikal sebelum terdengar bunyi kuat menghentam dinding rumah.
"Isteri dan empat anak saya terkejut dengan bunyi kuat berkenaan lalu saya keluar dari rumah dan melihat satu botol berisi sejenis cecair berserta sumbu dengan kesan terbakar yang dipercayai bom molotov cocktail di tepi dinding rumah.
"Nasib baik bom itu terpadam, kalau tidak mesti rumah yang kami sewa sejak empat tahun lepas terbakar atau mengalami kerosakan,” katanya di sini hari ini.
Ekoran kejadian itu, beliau yang merupakan pesara bank membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan keluarganya dan takut kejadian sama berulang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Setakat ini kita telah tahan empat lelaki berusia 20 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan menurut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api,” katanya. - Bernama

”Wira” tragedi Kuala Dipang dihargai


01/03/2010 3:50pm

KUALA LUMPUR - Keberanian seorang pengawal keselamatan mempertaruh nyawa menyelamatkan sembilan kanak-kanak dalam tragedi jambatan runtuh Oktober tahun lalu hari ini dihargai.
Ismail Ahmad, 63, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Perak, bersama-sama tiga guru dan seorang rakan sekerja dikurniakan Anugerah Atasi Segala-galanya oleh F&N Holdings Bhd di sini hari ini.
Ismail berkata, peristiwa pada 26 Ok di Kuala Dipang itu tidak akan luput daripada ingatannya sama sekali walaupun sudah lebih empat bulan berlalu.
"Setiap kali saya lalu di jambatan itu saya pasti akan terkenangkan semula peristiwa itu di mana saya seperti terdengar suara kanak-kanak menjerit meminta tolong,” katanya. - Bernama

2 maut, 1 parah nahas 4WD, lori


01/03/2010 4:54pm

KUANTAN - Dua rakan maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki melanggar sebuah lori treler bermuatan jerami padi di Kilometer 135 Jalan Kuantan-Seremban dekat Rompin, di sini awal pagi ini.
Yap Hok Hing, 20, dan rakannya, Sahri Ishar, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu kereta, Yap Bun Beng, 20-an, turut mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri Pahang, Supritenden Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5 pagi semasa kesemua mereka dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Rompin.
"Kejadian berlaku apabila pemandu pacuan empat roda itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya menyebabkan ia terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar belakang sebuah lori treler di hadapannya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Hock Hing dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan manakala mayat dua rakannya itu juga dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat.
Mohamed Fauzi berkata, pemandu treler yang berumur dalam lingkungan 30-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes kemalangan maut itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Ashura Ahmad di talian 09-4145222. - Bernama

Kemalangan ulang alik ke kerja naik


01/03/2010 5:08pm

KUCHING 1 Mac – Sikap buruk rakyat Malaysia ketika memandu bukan hanya berlaku semasa musim cuti dan perayaan, tetapi juga ketika dalam perjalanan ulang alik ke tempat kerja.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pada tahun lepas, sebanyak 34,394 kes sedemikian dilaporkan berlaku berbanding hanya 18,187 pada 2008, dan kebanyakannya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
"Kes kemalangan industri menurun secara drastik daripada 35,947 kes pada 2008 kepada 20,814 kes tahun lepas berikutan peningkatan kesedaran keselamatan, tetapi kemalangan semasa pergi dan balik kerja semakin membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sehari berkenaan pencegahan dan laporan siasatan kemalangan, di sini hari ini.
Lam Thye berkata, kemalangan semasa ulang alik ke tempat kerja telah didefinisikan sebagai kemalangan yang berlaku ketika pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja dan pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.
"Antara faktor yang dikenal pasti sebagai sumber peningkatan kes kemalangan kategori itu adalah kesilapan manusia seperti tidak menumpukan perhatian kepada aspek keselamatan semasa menunggang atau memandu atau keadaan jalan raya,” katanya. – Bernama

Mayat bapa ditemui anak sendiri

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang keluar memancing dua hari lepas ditemui mati oleh anaknya di tebing Sungai Klang di Hulu Klang di sini hari ini.
Mayat Bujang Idris, 64, dari Keramat ditemui pada kira-kira pukul 12 tengah hari oleh anaknya Ahmad Nazahari.
Pemangku Pegawai Bomba Kanan Dua (PBK) Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Mohd. Daud Mohd. Noor berkata, Bujang dikatakan ke sungai itu untuk memancing dua hari lepas dan tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.
"Mayatnya dijumpai oleh anaknya yang keluar mencari bapanya yang tidak pulang,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Mayat Bujang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. – Bernam

Komander Hamas didapati diberi dadah



GAMBAR fail menunjukkan jenazah Mahmoud sebelum dia dikebumikan pada 29 Januari lalu.DUBAI


Seorang komander Hamas, Mahmoud al-Mabhuh yang ditemui mati di dalam bilik hotelnya di sebuah hotel mewah di Dubai pada Januari lalu didapati telah diberi dadah sebelum dia mengalami sesak nafas dan meninggal dunia, kata polis semalam.
Pendedahan polis Dubai itu sekali gus memperkukuhkan dakwaan bahawa pembunuhan tersebut dilakukan mengikut gaya agensi perisikan Mossad semasa era Perang Dingin.
"Pembunuh-pembunuh tersebut mengguna dadah jenis succinylcholine sebagai sedatif untuk Mahmoud sebelum mereka melemaskannya sehingga mati," kata Timbalan Ketua Polis Dubai, Mejar Jeneral Khamis Mattar al-Mazeina.
"Pembunuh-pembunuh itu menggunakan cara tersebut agar kematian Mahmoud kelihatan seperti kematian biasa.
"Tiada tanda-tanda bahawa mangsa melakukan tentangan," katanya.
Khamis berkata, hasil ujian bedah siasat yang dilakukan itu menunjukkan dadah tersebut digunakan.
Menurutnya, hasil ujian bedah siasat itu tidak dapat mengesan jumlah sebenar dadah tersebut disuntik kerana ia sukar untuk dikesan.
Dadah succinylcholine atau turut dikenali sebagai suxamethonium pada kebiasaannya digunakan untuk menenangkan otot dan sangat digemari oleh pakar bius dan doktor kecemasan kerana ia memberi kesan dengan cepat.
Mahmoud yang merupakan salah seorang pengasas sayap ketenteraan kumpulan Hamas ditemui mati di dalam bilik hotelnya pada 20 Januari lalu.
Secara umumnya, Mossad didakwa melakukan pembunuhan tersebut.
Mahmoud dianggap oleh Israel sebagai orang yang mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan senjata api ke Genting Gaza.
Ketua Polis Dubai, Dahi Khalfan telah meminta Ketua Agensi Perisikan Mossad, Meir Dagan untuk datang ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi memberi penjelasan.
"Ketua Mossad, Meir Dagan sepatutnya mengaku telah melakukan jenayah itu atau bangkit untuk menafikan kejadian berkenaan," kata Dahi menerusi satu kenyataan kepada akhbar Emarat Al-Youm kelmarin.
"Namun Dagan ketika ini menunjukkan sikap penakut. Dia sepatutnya berani seperti lelaki dan nyatakan hal sebenar," katanya. - AFP

Lakonan semula kematian Jacko



IMEJ menunjukkan seorang lelaki mirip Jacko terbaring di meja bedah siasat.


LOS ANGELES - Satu lakonan semula yang menunjukkan Raja Pop, Michael Jackson meninggal dunia telah disiarkan di sebuah stesen televisyen Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Program selama 30 minit itu menyiarkan beberapa adegan yang menunjukkan seorang lelaki yang memiliki wajah mirip Michael pada malam Jumaat lalu.
Antara adegan yang dipaparkan ialah Michael yang popular dengan panggilan Jacko dan meninggal dunia pada 25 Jun lalu akibat jantung terhenti berdenyut di rumah sewanya di sini sedang diberikan bantuan pernafasan.
Adegan paling mengejutkan ialah paparan imej mayat Jacko terbaring dengan memakai tuala di atas meja bedah siasat.
Program itu menunjukkan temu ramah dengan anggota-anggota jabatan Bomba Los Angeles yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Peguam keluarga Michael, Brian Oxman turut ditemu bual.
Koroner Daerah Los Angeles memutuskan bahawa kematian Jacko disebabkan oleh pembunuhan.
Namun, doktor peribadi Jacko, Conrad Murray menafikan melakukan pembunuhan dengan menyuntik ubat-ubatan pada tubuhnya. - Agensi

Polis Israel masuki Al-Aqsa

BEBERAPA remaja membaling batu ke arah anggota polis dan tentera dekat pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis semalam.


BAITULMUQADDIS - Polis Israel memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di sini semalam selepas beberapa penduduk Palestin membaling batu ke arah pengunjung-pengunjung di kawasan yang paling sensitif melibatkan penganut Islam dengan agama Yahudi.
Konfrontasi yang berlaku itu meningkatkan lagi ketegangan selepas pemerintah Israel mengumumkan satu pelan untuk menjadikan kawasan suci agama Yahudi di Tebing Barat sebagai kawasan warisan kaum Yahudi.
Beberapa saksi berkata, keganasan bermula selepas penduduk Palestin membaling batu ke arah pengunjung yang melawat kawasan tersebut.
Pegawai-pegawai Palestin berkata, berita telah tersebar bahawa pemerintah Israel akan memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa yang turut menempatkan masjid Kubah Emas.
Jurucakap pasukan keselamatan Israel, Micky Rosenfeld berkata, polis Israel menangkap tujuh penduduk Palestin dan empat anggota polis Israel cedera dibaling batu.
Sumber perubatan Palestin berkata, seramai tiga orang penduduk Palestin cedera ditembak dengan peluru getah telah dihantar ke hospital.
Sejumlah lagi dirawat kerana terkena gas pemedih mata.
Ketua Perunding Palestin Saeb Erekat mendakwa rejim Zionis itu memburukkan lagi ketegangan yang berlaku dengan tujuan untuk melemahkan usaha-usaha Amerika Syarikat (AS) bagi menganjurkan satu rundingan damai.
"Mesej yang hendak disampaikan sangat jelas. Israel cuba mensabotaj semua usaha-usaha untuk memulihkan keamanan," katanya kepada pemberita.
Israel dan AS telah menghubungi Presiden Palestin Mahmoud Abbas untuk memulakan rundingan dengan segera.
Namun, Mahmoud menyatakan Israel mesti menghentikan terlebih dahulu semua usaha-usaha untuk membina penempatan semula penduduk Yahudi di Tebing Barat sebelum memulakan rundingan. - Reuters

Ditahan berceramah tanpa tauliah - Pendakwah bebas bersama tiga pengikut didakwa hari ini



Seorang pendakwah (duduk belakang bersongkok) bersama dua daripada tiga pengikutnya yang ditahan di Kuala Pilah semalam.


KUALA PILAH - Seorang pendakwah bebas dari Perlis termasuk tiga orang pengikut kanannya ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berikutan memberi ceramah tanpa tauliah di sebuah pusat agama Maahad Ittiba Sunnah di sini semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Husaini Musatafa berkata, bertindak atas maklumat diterima, JHEAINS telah menahan pendakwah dan pengikutnya itu di pusat agama tersebut pada pukul 11.30 pagi.
"Pendakwah berusia 31 tahun dari Perlis ditahan selepas siasatan mendapati dia memberi ceramah tanpa tauliah dari JHEAINS.
"Tiga orang lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun turut ditahan ekoran dipercayai bersubahat dengan pendakwah terbabit," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.

Jepun dilanda tsunami ekoran gempa


TOKYO 28 Feb. - Jepun hari ini dilanda ombak tsunami setinggi 1.45 meter setelah mengarahkan beratus-ratus ribu penduduknya berpindah dari kawasan pantai berikutan gempa bumi kuat di Chile awal pagi semalam.
Ombak membanjiri bangunan di beberapa pelabuhan. Pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk di kawasan tepi laut supaya terus berjaga-jaga dan menjauhi pantai kerana gelombang tsunami yang lebih besar mungkin menyusul.
Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
'Amaran tsunami besar' bagi menghadapi ancaman ombak raksasa setinggi tiga meter, adalah yang pertama dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jepun dalam tempoh lebih 15 tahun.
Arahan berpindah itu memaksa sekurang-kurangnya 320,000 penduduk meninggalkan kawasan di pantai timur Jepun sementara ombak setinggi 1.2 hingga 1.45 meter melanda kawasan pantai.
Ombak pertama, cuma setinggi 30 sentimeter, melanda pelabuhan terpencil Nemuro di pulau Hokkaido, utara Jepun, sehari selepas gempa bumi di Chile mencetuskan gelombang yang merentasi Lautan Pasifik.
Paras air di Nemuro segera meningkat ke paras melebihi satu meter sehingga membanjiri gudang-gudang dan menghanyutkan kenderaan.
Tsunami setinggi 1.45 meter membanjiri pelabuhan perikanan Otsuchi di pantai utara Jepun, manakala gelombang lebih kecil turut mengenai pulau Minamitori, 1,950 kilometer ke selatan Tokyo.
"Jangan menghampiri kawasan pantai dalam apa jua keadaan pun," kata Perdana Menteri, Yukio Hatoyama dalam amaran yang disiarkan di televisyen ke seluruh negara.
Penduduk berlindung di tempat tinggi sementara pintu pagar air di pelabuhan ditutup rapi dan bot-bot nelayan diarah pulang ke pantai.
Bagaimanapun kebimbangan mengenai ombak raksasa berpunca daripada gegaran besar di Chile reda di bahagian lain kawasan 'Lingkaran Api' di Lautan Pasifik.
Rusia menarik balik amaran tsunami selepas hanya ombak kecil melanda semenanjung Kamchatka, sementara perenang dan peluncur di Australia membanjiri kawasan pantai tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa.
Siren amaran dibunyikan di 50 negara dan wilayah di kawasan dari New Zealand hingga ke Jepun, sebagai tanda berjaga-jaga terhadap ombak besar itu, lima tahun selepas bencana tsunami Lautan Hindi meragut lebih 220,000 nyawa pada 26 Disember 2004. - AFP

Pakistan, Afghan dilanda gempa


PESHAWAR 28 Feb. - Satu gempa bumi sederhana, jauh di banjaran gunung Hindu Kush menggegarkan beberapa bahagian di Pakistan dan Afghanistan awal hari ini, tetapi tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.
Pegawai Pakistan melaporkan gempa berukuran 6.2 pada Skala Richter, sementara Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa adalah berukuran 5.7 pada skala Richter.
Pusat gempa terletak di banjaran gunung Hindu Kush, bahagian Afghanistan dan ketua meteorologi Pakistan, Riaz Khan memberitahu lokasi gempa yang terletak di kawasan pedalaman menyelamatkan kedua-dua negara daripada mengalami kemusnahan besar.
Gegaran berlaku pada pukul 4.21 pagi (7.21 pagi waktu Malaysia) di barat laut Pakistan menyebabkan orang ramai di wilayah ibu negeri Peshawar melarikan diri ke kawasan tinggi dan ke jalan raya.
"Ia adalah satu gempa bumi kuat yang mencetuskan gegaran selama beberapa saat. Kesan gempa berlaku di kawasan yang tidak dihuni dan nasib baik tiada laporan kerosakan," kata Riaz Khan.
Menurut Riaz Khan, USSG melaporkan, gempa berlaku 175 kilometer ke timur laut ibu negara Afghanistan, Kabul. Pusat gempa terletak kira-kira 144 kilometer ke barat daerah Chitral, Pakistan.
Pada 8 Oktober 2005, satu gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda Kashmir, wilayah Pakistan dan beberapa bahagian North West Frontier Province menyebabkan lebih 73,000 orang terbunuh serta 3.5 juta orang kehilangan tempat tinggal. - AFP

Ribut kencang menuju Perancis


PARIS 28 Feb. – Ribut kuat dengan angin kencang beralih ke utara hingga ke pantai barat Perancis semalam selepas melanda Sepanyol dan Portugal yang mengorbankan kira-kira tiga orang dan menyebabkan masalah pengangkutan.
Lima daripada 95 jabatan di Perancis diletakkan di bawah amaran merah bagi kali kedua sejak sistem kecemasan itu diperkenalkan pada 2001 dan 69 yang lain diberi amaran jingga.
Angin dijangka mencecah 150 kilometer sejam (kms) berdasarkan perkhidmatan cuaca Meteo France tetapi belum mencecah rekod kelajuan sehingga 200 kms dalam kejadian pada 1999 yang menyebabkan kerosakan teruk di negara ini.
Seorang budak lelaki berusia 10 tahun terbunuh akibat dihempap pokok ketika bermain bola sepak di utara Portugal, lapor perkhidmatan perlindungan awam melalui laman Web.
Ribut itu menyebabkan seorang lelaki terkorban selepas dihempap dahan pokok yang jatuh di Pyrenees, kata polis.
Selain itu, di Sepanyol, seorang wanita berusia 82 tahun terbunuh apabila tembok runtuh menghempapnya di Galicia, lapor pihak berkuasa tempatan.
Menurut pihak berkuasa tempatan, ribut yang digelar Xynthia itu membawa kelajuan angin sehingga 150 kms di kawasan jabatan zon merah di pantai barat Perancis.
Sejumlah 800,000 kediaman terputus bekalan elektrik di barat Perancis ekoran ribut yang melanda awal pagi semalam tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan, kebanyakannya melibatkan kawasan yang mengalami runtuhan.
Angin kencang dan hujan lebat yang melanda kepulauan Pulau Canary Sepanyol memaksa 20 penerbangan dibatalkan, 10,000 rumah terputus bekalan elektrik tetapi tidak menyebabkan kerosakan besar.
Meteo France berkata, ribut itu akan bergerak pantas bermula dari selatan dan melanda banyak kawasan sebelum menuju ke arah Denmark Ahad ini. – AFP

Kawalan keselamatan di Bangkok diperketat


BANGKOK 28 Feb. - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva hari ini mengarahkan kawalan keselamatan diperketatkan di Bangkok selepas dua butir bom tangan meletup di luar dua cawangan bank terbesar di negara ini, menyebabkan kerosakan kecil tetapi tiada kecederaan.
Empat bom tangan dilontar ke empat cawangan Bangkok Bank Pcl malam tadi.
Dua daripadanya meletup menyebabkan pondok telefon dan tingkap bank rosak, manakala dua lagi berjaya dimatikan, kata Abhisit pada rancangan wawancara di televisyen pagi ini.
Letupan itu berlaku sehari selepas Mahkamah Agung Thai memutuskan, bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra telah memperkayakan dirinya dengan mengambil wang rakyat semasa lima tahun beliau memegang kuasa.
Mahkamah memutuskan untuk merampas AS$1.4 bilion (RM4.76 bilion) daripada aset milik keluarganya yang dibekukan berjumlah AS$2.3 bilion (RM7.82 bilion).
Bangkok Bank menjadi sasaran protes, baru-baru ini oleh penunjuk perasaan antikerajaan dan penyokong Thaksin.
Kira-kira 1,000 aktivis pro-Thaksin yang berbaju merah daripada Barisan Bersatu bagi Demokrasi Menentang Pemerintahan Diktator (UDD) berhimpun di luar ibu pejabat bank tersebut pada 19 Februari lalu, sehingga memaksanya ditutup.
Mereka menuduh bank itu mengamalkan kapitalisme kroni kerana hubungannya dengan Prem Tinsulanonda, seorang bekas Perdana Menteri dan ketua penasihat kepada Raja Thai, Bhumibol Adulyadej.
Prem yang juga bekas penasihat Bangkok Bank turut dituduh memainkan peranan utama dalam rampasan kuasa tentera yang menggulingkan Thaksin.
Seorang pemimpin UDD, Jatuporn Prompan menafikan pembabitan aktivis 'baju merah' dengan letupan-letupan malam tadi.
"Kami tidak mendapat apa-apa faedah daripada perbuatan seperti itu," katanya. - Reuters

Pengakuan ibu Syafiah



SITI Norhanim Aziz memegang erat buku mewarna yang terakhir digunakan oleh Allahyarham Syafiah Humairah Sahari sambil dipeluk erat anak sulungnya yang juga abang kepada mangsa, Mohd. Syafiq di rumah keluarga mereka di Sungai Plong, Selangor, semalam. – utusan/Mohd. Naim Aziz


HULU SELANGOR 28 Feb. – Mungkin ramai yang tidak pernah merasai pengalaman kehilangan anak tersayang. Dan jika boleh, sesiapapun tidak sanggup untuk melalui pengalaman itu.
Tetapi, jika ditakdirkan berlaku, adakah kita sebagai ibu bapa bersedia dan reda menerima hakikat kehilangan anak tersebut.
Sudah pasti, hanya tangisan yang mampu mengiringi pemergian kanak-kanak itu, seperti yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia pada Khamis lalu.
Ibu kandungnya, Siti Norhanim Aziz, sudah tidak mampu lagi mengeluarkan air mata mengenangkan kehilangan anak perempuan kesayangannya.
Sebak, pilu dan berlinangan air mata – itulah yang dilalui oleh Siti Norhanim selepas insiden itu dan setiap kali nama Syafiah Humairah disebut.
Teman lelakinya ditahan untuk membantu siasatan, namun wanita itu masih belum ‘dilepaskan’ oleh suaminya yang kini ditahan dalam penjara, menambah lagi derita yang ditanggung.
Siti Norhanim mendakwa, dia pernah memohon untuk bercerai dengan suaminya yang kini ditahan dalam penjara namun tidak dilepaskan.
Akibatnya, wanita berusia 25 tahun itu mengaku dia telah melakukan kesilapan kerana begitu percaya kepada teman lelakinya yang kini menjadi suspek utama kematian anak keduanya itu.
“Suami saya tidak mahu lepaskan saya...Saya mengaku telah lakukan banyak silap. Untuk itu, saya berharap supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat membantu saya,” ujarnya sebak.
Siti Norhanim ditemui pemberita selepas lawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di rumah ibu bapanya di Sungai Plong di sini hari ini.
Khamis lalu, Allahyarham Syafiah Humairah meninggal dunia selepas didera teman lelaki Siti Norhanim di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama di Batang Kali.
Berikutan kejadian itu, teman lelaki Siti Norhanim yang bekerja sebagai pemandu teksi dan berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Siti Norhanim yang masih sebak dengan kejadian menimpa anaknya itu mendakwa, dia tidak menyangka teman lelakinya yang dilihat begitu penyayang dan baik terhadap Syafiah Humairah sanggup bertindak sedemikian.
“Sepanjang saya kenal dia (teman lelakinya), dia seorang yang agak kelakar. Depan saya, dia begitu menyayangi anak saya, sebab itu saya tak pernah curiga dengan dia.
“Dia melayan Syafiah seperti anaknya sendiri, memanjakan dia, belikan dia baju. Anak saya pula memang tak pernah mengadu kena pukul,” katanya.
Masih trauma dengan kejadian itu, Siti Norhanim yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual turut menafikan laporan bahawa dia sedang mengandung empat bulan hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya itu.

Penduduk marah, dakwa ditipu


HULU SELANGOR 28 Feb. – Beberapa hari selepas insiden yang meragut nyawa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, penduduk di Taman Batu 30 di sini melahirkan rasa marah dan kecewa kerana ditipu oleh ibu dan teman lelaki kanak-kanak malang tersebut.
Rata-rata penduduk yang tinggal di kawasan perumahan itu mendakwa, mereka selama ini ditipu pasangan tersebut yang mengatakan kononnya mereka suami-isteri.
Namun, insiden yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah pada Khamis lalu akhirnya membongkar rahsia pasangan itu apabila mereka sebenarnya masih belum mempunyai ikatan.
Berikutan rasa marah terhadap pasangan tersebut, beberapa individu bertindak menconteng dinding hadapan rumah suspek menggunakan cat hitam dengan perkataan ‘pembunuh’.
Menurut penduduk, dalam ‘sandiwara’ itu, teman lelaki wanita tersebut yang merupakan pemandu teksi tidak berasa segan untuk memperkenalkan anak lelaki berusia setahun enam bulan sebagai anak mereka.
Ahli jawatankuasa surau taman itu, Khalid Abdul Hamid, 43, berkata, sejak mengenali pasangan tersebut awal tahun lalu, penduduk pernah bertanya kepada bapa suspek mengenai status hubungan mereka.
“Ketika ditanya, bapa suspek yang tinggal sekali di rumah itu berkata, dia mengaku telah menikahkan mereka.
“Selepas itu, kami cuba meminta bukti hubungan mereka, namun keluarga terbabit tidak memberi kerjasama dan hanya cuba meyakinkan penduduk melalui percakapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Allahyarham Syafiah Humairah mati akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali pada Khamis lalu.
Kanak-kanak malang terbabit sebelum itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu oleh suspek yang mendakwa mangsa terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.
Berikutan itu, suspek yang berusia 28 tahun kemudian ditahan bagi membantu siasatan.
Khalid menambah, berikutan tiada gangguan daripada penduduk, pasangan tersebut tinggal seperti suamiisteri meskipun pada hari-hari tertentu.
Seorang lagi penduduk, Muhd. Halilur Rahman, 32, memberitahu, sebagai penduduk, mereka berasa terkilan dengan penipuan itu dan berasa bersalah terhadap insiden yang menimpa mangsa.
“Akibat mempercayai penipuan itu, nyawa seorang kanak-kanak telah melayang dan tragedi itu tidak akan kami lupakan.
“Kami juga meminta maaf kepada orang ramai dan keluarga mangsa kerana tidak membantu Syafiah Humairah ketika dia dipukul oleh konon bapanya di tepi padang pada hari kejadian,” ujarnya.
Jiran suspek, Rafani Osman, 56, pula memberitahu, dia tinggal berjiran dengan keluarga terbabit yang berpindah dari Melaka kira-kira 15 tahun lalu namun tidak pernah melihat Syafiah Humairah menangis.
“Saya hanya melihat ibu mangsa sahaja yang selalu memandu teksi Mat (suspek) meronda di kawasan taman bersama anak mereka berusia setahun enam bulan.
“Walaupun tidak rapat dengan keluarga mereka tetapi saya dan semua orang tahu Mat adalah seorang yang bermasalah,” ujarnya yang tinggal selang empat buah rumah dengan keluarga suspek.
Tambahnya, penduduk taman itu bagaimanapun ternyata terkejut apabila mengetahui kanak-kanak malang itu mati selepas didera suspek dan pasangan terbabit juga tidak pernah bernikah sebelum ini.

JAIS ambil tindakan jika bersekedudukan


SHAH ALAM 28 Feb. - Teman lelaki serta ibu kanak-kanak berusia tiga tahun yang meninggal dunia akibat didera, Syafiah Humairah Sahari akan dihukum mengikut undang-undang syariah sekiranya terbukti bersekedudukan dan mengadakan persetubuhan haram.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, tindakan itu akan dikenakan berdasarkan peruntukan undang-undang syariah negeri itu yang termaktub di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Katanya, berdasarkan enakmen tersebut, sekiranya ibu kanak-kanak berkenaan, Siti Norhanim Aziz, 25, serta teman lelakinya itu didapati bersalah, mereka boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebat tidak melebihi enam kali atau mana-mana kombinasi yang berkenaan.
Menurut Muhammed Khusrin, beliau telah mengarahkan Bahagian Pendakwaan JAIS untuk menyiasat perkara tersebut termasuk keadaan Siti Norhanim yang dikatakan kini hamil empat bulan.
"Saya telah arahkan Bahagian Pendakwaan JAIS melakukan siasatan dan mengambil keterangan daripada pasangan terbabit.
"Sebaik selesai siasatan dan apabila mendapat bukti-bukti yang kukuh, kita akan kemukakan untuk pendakwaan di Mahkamah Syariah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammed Khusrin diminta mengulas sama ada JAIS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Siti Norhanim serta teman lelakinya. yang dikatakan mengadakan perhubungan haram sejak enam tahun lalu.
Rahsia perhubungan pasangan terbabit yang didakwa menyamar sebagai suami-isteri itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati Siti Norhanim dan teman lelakinya berusia 28 tahun itu tidak boleh berkahwin kerana wanita itu masih mempunyai suami.
Difahamkan, suami Siti Norhanim yang dikenali sebagai Sahari ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana didakwa terbabit dalam kes bunuh sejak 2006.

Chile bergegar lagi 115 kali


WASHINGTON 28 Feb. - Beberapa gegaran baru yang kuat melanda Chile awal hari ini, gegaran susulan selepas gempa kuat yang melanda negara Amerika Latin itu, semalam.
Setakat ini jumlah korban dilaporkan meningkat kepada 300 orang dan jumlah yang terbunuh dalam bencana itu dijangka terus meningkat.
Jabatan Geologi Amerika Syarikat menyatakan sebanyak 115 gegaran susulan dilaporkan di negara itu berukuran antara 4.9 hingga 6.9 pada skala Richter awal hari ini.
Kejadian itu menyebabkan penduduk di wilayah tengah Chile yang teruk dilanda bencana itu terpaksa bermalam dalam khemah bagi mengelakkan kemalangan.
Jabatan itu melaporkan gegaran paling kuat berukuran 6.1 pada skala Richter dikesan pada pukul 8.25 pagi waktu tempatan (pukul 11.25 malam waktu Malaysia), pada kedalaman 35 kilometer kira-kira 63 kilometer ke utara bandar Talca.
Chile terletak dalam kawasan lingkaran api di Pasifik dan sering mengalami gegaran seismik.
Pusat gempa bumi yang berlaku semalam berada beberapa ratus kilometer ke utara kejadian gempa besar yang melanda Chile pada Mei, 1960 berukuran 9.5 pada skala Richter yang mengorbankan antara 2,200 hingga 5,700 penduduk.
Pegawai Chile berkata, kejadian gempa semalam menyebabkan 1.5 juta rumah dan bangunan rosak atau ranap, selain menyebabkan kemudahan pengangkutan di bandar Concepcion yang terletak berhampiran pusat gempa itu mengalami kerosakan teruk.
Gempa yang melanda Chile semalam itu juga merupakan antara 10 gempa paling kuat pernah dilaporkan dalam sejarah.
Gegarannya dapat dirasakan sehingga sejauh Jepun dan turut menyebabkan tsunami di Lautan Pasifik.
Amaran tsunami telah dikeluarkan di 55 negara sehingga ke New Zealand dan gempa itu telah mencetuskan tsunami di utara Jepun, menyebabkan ratusan ribu penduduk dipindahkan. – AFP

Korban gempa di Chile meningkat 300




Runtuhan bangunan di bandar Concepcion, 500 kilometer ke selatan Santiago selepas gempa bumi kuat melanda Chile, kelmarin. – AFP



SANTIAGO 28 Feb. – Gempa bumi di Chile semalam, yang dianggap antara yang paling kuat dalam sejarah, setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 300 orang, di samping mencetuskan ombak tsunami yang meredah Lautan Pasifik dan melanda Jepun sehari kemudian.
Presiden Chile, Michelle Bachelet dalam ucapan ke seluruh negara semalam berkata, dua juta rakyat Chile menjadi mangsa mala petaka itu tetapi selepas meninjau kawasan paling teruk terjejas, beliau mendapati sukar untuk menyatakan skop sebenar bencana tersebut.
“Kekuatan alam sekali lagi membawa kemusnahan di negara kita,” kata Bachelet yang mengisytiharkan enam daripada 15 wilayah Chile sebagai ‘zon bencana’ berikutan gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter yang berlaku pada pukul 3.34 pagi semalam (2.43 petang semalam waktu Malaysia).
Lebuh-lebuh raya dan jambatan di negara yang mempunyai 16 juta orang penduduk di Amerika Selatan ini musnah dan bangunan runtuh apabila gempa bumi itu melanda kawasan kira-kira 325 kilometer ke barat daya ibu negara, Santiago.
“Dalam mala petaka sebesar ini, sangat sukar untuk menyatakan angka kemalangan jiwa yang tepat,” kata Menteri Dalam Negeri, Edmundo Perez Yoma.
Pegawai kemudian berkata, sekurang-kurangnya 300 orang disahkan maut setakat ini.
Ombak setinggi lebih dua meter menghempas pantai Chile selepas gempa bumi kuat itu dan kemudian bergerak meredah Lautan Pasifik, menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh di kepulauan terpencil Robinson Crusoe.
Di pelabuhan Talcahuano, Chile, kapal pukat tunda dibawa ombak sehingga ke pusat bandar dan terdampar bersebelahan kereta-kereta yang ditinggalkan.
Kira-kira 50 negara dan wilayah di kawasan sepanjang dari New Zealand hingga ke Jepun mengeluarkan amaran tsunami bagi menghadapi ombak raksasa itu, lima tahun selepas tragedi tsunami di Lautan Hindi pada 26 Disember 2004 yang meragut lebih 220,000 nyawa.
Gempa bumi itu menjerumuskan sebahagian besar daripada Santiago ke dalam kegelapan, talian elektrik dan sistem komunikasi terputus.
Lapangan terbang antarabangsa ditutup selepas terminalnya mengalami kerosakan teruk.
Ramai penduduk Chile masih berhibur di kelab-kelab malam pada permulaan hujung minggu apabila gempa bumi itu melanda sebelum subuh semalam. – AFP

Buruh bebas tuduhan rogol jiran


KOTA BHARU 28 Feb. - Seorang buruh, Mat Jais Mat Jusoff, 43, terlepas daripada hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini hari ini menerima rayuannya berhubung tuduhan merogol seorang jirannya pada tahun 2002.
Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan tersebut selepas mendapati perayu melalui peguamnya, Datuk Sukri Mohamed berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 26 Julai 2007 yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan terhadapnya
Mengikut fakta pertuduhan pada tahun 2002, Mat Jais didakwa merogol Fatimah Mahmood yang berusia 57 tahun ketika itu di rumah mangsa di Tok Uban, Pasir Mas di sini.
Tertuduh yang berjiran dengan mangsa didakwa memasuki rumah warga emas berkenaan melalui bahagian dapur sebelum mengheret dan merogol mangsa.
Akibat perbuatan tersebut, Fatimah mengalami kecederaan teruk di bahagian rahim dan terpaksa dijahit oleh pegawai perubatan untuk menghentikan pendarahan.
Bagaimanapun ketika prosiding, Ahmad Zaidi berkata, timbul keraguan terhadap keputusan yang dibuat sebelum ini memandangkan mangsa sebenarnya merupakan kekasih kepada tertuduh ketika kejadian itu.
Menurut beliau, daripada fakta perbicaraan sebelum ini juga mendapati mangsa mengaku telah melakukan hubungan seks tiga kali sebelum berlaku pendarahan tersebut.
"Persoalannya sekarang, sekiranya tidak berlaku pendarahan, adakah mangsa akan buat laporan seperti itu kerana sebelum ini mereka sudah melakukannya beberapa kali tanpa paksaan.
"Inilah yang perlu difikirkan, oleh itu saya percaya wujud syak yang munasabah daripada pihak pembelaan terhadap dakwaan itu," tegas beliau.
Sebaik keputusan dibuat, Mat Jais yang berada di kandang tertuduh dan memakai kemeja biru segera mengucapkan kesyukuran dan kelihatan tersenyum.
Mat Jais yang datang bersama beberapa ahli keluarga bagaimanapun enggan memberikan sebarang reaksi ketika ditemui wartawan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaakob.

Samun warga emas: 6 ditahan bantu siasatan


JOHOR BAHRU 28 Feb. - Polis hari ini menahan tiga lagi lelaki berhubung kes samun yang menyebabkan kematian seorang wanita warga emas di rumah kedainya di Jalan Mersing-Jemaluang, dekat Mersing pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan Mohd. Noor Rashid berkata, jumlah itu menjadikan enam lelaki telah ditahan sehingga kini bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, beliau ketika dihubungi tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai penahanan suspek-suspek berkenaan.
Khamis lalu, sekumpulan lelaki dipercayai memasuki rumah kedai berkenaan dan mengikat kaki, tangan serta mulut Wong Gan Song @ Wan Gan Song, 73.
Suspek berjaya melarikan sebuah peti besi yang mengandungi wang tunai dan barangan kemas dalam kejadian berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga pukul 1.15 pagi.
Polis menerima laporan mengenai kejadian samun ke atas wanita yang tinggal berseorangan itu pada kira-kira pukul 2.45 pagi.
Mangsa yang merupakan ibu kepada seorang editor akhbar berbahasa Cina di sini, dihantar ke Hospital Mersing oleh menantunya namun meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Pasukan khas polis berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 19 dan 45 tahun yang disyaki terbabit di sekitar kawasan itu beberapa jam selepas kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 396 Kanun Keseksaan kerana samun menyebabkan kematian.

Lucut tauliah jika salah


Oleh AINAL MARHATON ABD GHANI
am@hmetro.com.my
2010/02/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUANTAN: Seorang jurunikah bertauliah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akan dilucutkan tauliah jika didapati terbabit dalam sindiket nikah palsu di daerah ini selepas siasatan terperinci dijalankan terhadapnya.
Sehubungan itu Jaip memberi tempoh 14 hari kepadanya untuk memberi surat tunjuk sebab mengapa dia terbabit dalam kegiatan melanggar hukum syarak itu berdasarkan bidang tugas keagamaan yang dijalankan sepanjang tempoh bertugas sebagai kakitangan jabatan agama itu.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz, berkata ketika ini pihaknya mengumpul maklumat mengenai latar belakang jurunikah itu yang dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak lima tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya perlu menjalankan siasatan terperinci sebelum mengambil keputusan melucutkan tauliah terhadap jurunikah yang dipercayai menikahkan lebih 50 pasangan, termasuk warga asing dan bakal pengantin yang tidak mendapat izin wali atau untuk berpoligami.

“Saya perlu mendapat maklumat lengkap mengenai perkara ini kerana jika pernikahan ini didapati tidak sah, kita kena faraqkan pasangan terbabit dan keadaan akan menjadi lebih rumit jika mereka mempunyai anak.
“Untuk menyatakan sama ada pernikahan ini sah atau tidak, kita kena menghantar laporan kepada mufti dan Mahkamah Syariah.

“Banyak perkara perlu diberi perhatian kerana dia adalah jurunikah bertauliah dan diberi elaun untuk tugasnya,” katanya, semalam.

Mohd Sahfri mengulas isu sindiket nikah palsu yang dipercayai dijalankan seorang jurunikah bertauliah Jaip di rumahnya di Kampung Kempadang, dekat sini, sejak lima tahun lalu.

Sebelum ditahan anggota Jaip kira-kira jam 1.40 petang Khamis lalu, jurunikah itu dipercayai menikahkan lebih 50 pasangan, terutama warga asing., berdasarkan beberapa sijil pasangan yang dinikahkan sejak 2005.

Dalam serbuan itu, Jaip merampas sejumlah dokumen, termasuk sijil nikah dari Thailand yang masih kosong tetapi mempunyai cop mohor Majlis Agama Islam Wilayah Pattani dan Narathiwat.

Ahli perniagaan maut nahas




2010/02/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
IPOH: Seorang ahli perniagaan maut selepas kereta dipandunya gagal dikawal dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah van dalam kemalangan, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam di Jalan Ipoh — Lumut berdekatan Jalan Kledang Utara itu, kereta jenis Honda Accord yang dipandu mangsa tiba-tiba memasuki laluan van berkenaan sebelum bertembung. Mangsa yang maut dikenali Chow Yat Meng, 41, ahli perniagaan berasal dari Kampung Pisang, Pusing, Taiping. Pemandu van yang juga anak saudara mangsa, Chow Hon Wing, 19, cedera parah manakala penumpangnya, Fong Wai Heng, 22, cedera ringan.

Rempuhan secara berdepan itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing, manakala pemandu kereta maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Ipoh ke Batu Gajah manakala van dipandu anak saudara mangsa pula dalam perjalanan membawa barangan dari Ipoh menghala ke Batu Gajah.

Nenek malang


Laporan dan foto MARY VICTORIA DASS
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/02/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JOHOR BAHRU: “Hanya si Manja menjadi teman setia saya di rumah yang kerap diancam banjir kilat,” kata seorang nenek, Satinah Wahab, 62, yang hidup sebatang kara dan hanya bertemankan kucing sejak tiga tahun lalu di Kampung Tok Siak, Bakar Baru, di sini.
“Saya bimbang tinggal bersendirian sejak jiran sebelah rumah pindah, tambah pula kawasan ini kerap mengalami banjir kilat. Kali terakhir banjir seminggu lalu, air naik sampai ke lutut.

“Sudah empat kali permohonan saya untuk mendapat rumah PPR di Stulang ditolak, lebih mengecewakan seorang pegawai jawatankuasa pemindahan berkata ‘Jangan mimpilah nek... rumah tiada’,” katanya yang bekerja sebagai kakitangan pembersihan dan turut menghidap penyakit tekanan darah tinggi serta masalah saraf kaki.

Sementara itu, penduduk asal perkampungan setinggan berkenaan, Mustapha Mohd Yusof, 53, berkata kerajaan negeri harus memberi keutamaan kepada penduduk asal perkampungan itu dan golongan kurang bernasib baik untuk berpindah ke rumah PPR.

“Saya kasihan melihat keadaan dia (Satinah) yang tinggal sendirian dan terpaksa bekerja walaupun sudah tua kerana hingga kini tiada pihak sudi menghulur bantuan kepadanya. Hidupnya akan lebih selesa dan selamat jika dia dapat berpindah ke rumah PPR.
“Kami berharap kerajaan negeri mempertimbangkan rayuan kami dan prihatin dengan nasib penduduk yang masih tidak dapat rumah kerana kami difahamkan kawasan ini akan diambil pemaju dalam tempoh masa terdekat,” katanya.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata permasalahan dialami penduduk perkampungan berkenaan sentiasa diambil berat oleh pihaknya.

Katanya, 14 keluarga berkenaan didapati tercicir daripada senarai penerima PPR kerana ada antara mereka difahamkan sudah membeli rumah, berpindah ke kediaman ahli keluarga atau gagal menghantar surat permohonan.

“Mereka masih boleh memohon rumah PPR dan dapatkan bantuan kami jika menghadapi kesulitan. Mengenai banjir kilat, kerja meluaskan Sungai Tampoi supaya mampu menampung air ketika hujan lebat juga akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kejar babi tapi jumpa bom


Oleh ZAINUDDIN ZAIN
zainuddin@hmetro.com.my
2010/02/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PENDANG: Sekumpulan pemuda berbangsa Siam yang ghairah mengejar seekor babi hutan sesat ke kampung mereka di Kampung Wat, Paya Mat Inson, di sini, petang semalam, terkejut apabila menemui sebutir bom dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua.
Penduduk, Boon Sis Densing, 40-an, berkata tertera perkataan MK-15 pada bom itu yang berkemungkinan nama letupan berkenaan yang ditemui kira-kira jam 2 petang semalam.

Menurutnya, bom itu dipercayai digugurkan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua tetapi tidak meletup.

“Kami kemudian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang kemudian meminta bantuan Balai Polis Bukit Jenun yang terletak berhampiran.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa meminta penduduk tidak bertindak sebarangan apabila ada yang secara sukarela ingin membawa bom itu dengan motosikal ke balai polis kerana bimbang bom berkenaan masih hidup.
“Sehubungan itu, bom berkenaan diletakkan di kawasan ia ditemui sehingga dua anggota polis daripada Bukit Jenun tiba kira-kira jam 3.30 petang tadi (semalam),” katanya.

Difahamkan, Unit Pemusnah Bom dihubungi berhubung penemuan itu dan tindakan susulan, termasuk keputusan sama ada untuk meletup atau tindakan lain, akan diambil selepas unit berkenaan meneliti bom itu.

Empat ditahan


Oleh SITI FATIMAH HASSAN
sfhassan@hmetro.com.my
2010/02/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KOTA BHARU: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai suspek dalam kes amuk menyerang seorang suri rumah tanpa belas kasihan di Kampung Katib Ali, dekat sini, 24 Februari lalu.
Katanya, sehingga kini polis masih menjalankan siasatan berhubung kes terbabit mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Kita masih menyiasat dan tidak dapat memastikan tempoh tahanan reman yang akan dikenakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa, Zarina Ismail, 45, bersama suaminya, Mohd Rawi Yusof, 62, datang ke rumah sewa milik adiknya untuk memulangkan enjin pengepam air kepada penyewanya.

Akibat salah faham selepas dituduh menyerang anak penyewa terbabit yang berusia 20-an, penyewanya yang juga seorang penghulu tanpa usul periksa menumbuk mulut mangsa.
Situasi mencemaskan itu menyebabkan mangsa hampir tersembam ke lantai rumah terbabit, manakala kesan tumbukan dilakukan penyewa itu mengakibatkan giginya berdarah dan bergoyang.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan pergi ke arah motosikalnya sebelum mengambil topi keledar dan menghayunkannya ke arah telinga kiri mangsa, menyebabkan mangsa jatuh dan tersembam kali kedua.

Lelaki tidak berhati perut itu kemudian didakwa sekali lagi memijak belakang suri rumah berkenaan sebelum seorang anak lelakinya bertindak menarik rambut serta menonyoh muka mangsa ke lantai simen.

Mereka kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu dan diarah membuat pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Pangsapuri pusat cetak rompak DVD




2010/02/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GEORGETOWN: Kegiatan menghasilkan cakera padat video digital (DVD) cetak rompak yang berselindung di sebalik pangsapuri mewah yang disewa sejak dua bulan lalu di Relau, di sini, berjaya dihidu Jabatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, semalam.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Pulau Pinang, M Gunaselan, berkata pihaknya merampas lebih 30,000 keping DVD cetak rompak pelbagai tajuk dan juga mesin penyalin DVD yang bernilai hampir RM3 juta dalam serbuan itu.

Katanya, serbuan dilakukan selepas intipan dua bulan ke atas sebuah rumah di tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Relau yang digunakan untuk memproses dan mengedar DVD cetak rompak di sekitar negeri itu.

“Ketika pemeriksaan di rumah berkenaan, tiga lelaki berusia dalam lingkungan 40-an leka melakukan kerja penyalinan dan membungkus DVD cetak rompak dan mereka dipercayai diupah sindiket tertentu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Kempen kurang gula


Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my
2010/02/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesyorkan kedai makan, warung mahupun restoran menyediakan gula berasingan bersama minuman yang dihidangkan kepada pelanggan sebagai langkah mengurangkan jumlah pesakit kencing manis di negara ini.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Kuala Lumpur, Abu Samah Shabudin, berkata langkah itu berikutan peningkatan 600,000 jumlah pesakit setiap tahun dan bilangan itu bertambah dari semasa ke semasa.

“Apabila pelanggan dihidangkan air yang dipesan bersama gula berasingan, mereka dapat mengagak kadar gula yang digunakan. Kita mencuba kaedah ini di beberapa kedai dan mendapati ia praktikal dan berkesan mengurangkan kadar pengambilan gula.

“Ada kira-kira 1.2 juta pesakit kencing manis di negara ini dan kadar itu di tahap membimbangkan. Rakyat perlu mengawal pemakanan, terutama yang mengandungi gula berlebihan.

“Ini satu cara mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam memilih jenis makanan,” katanya selepas merasmikan kempen kurangkan pengambilan gula bersama komuniti cina Bandar Tun Razak, di sini, semalam.
Kempen ke-10 itu adalah kesinambungan kempen sebelumnya yang pernah diadakan di sekitar Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, peserta, Chai Ah Fah, 54, berkata kempen ini sebagai jalan terbaik untuk mendidik masyarakat supaya lebih berwaspada dalam menu pemakanan seharian mereka.

“Saya selalu terlepas pandang dan menganggap ia hanya ringan. Hingga tanpa disedari sudah terlalu berlebihan kadar gula yang diambil,” katanya.

Dalam program itu, peserta turut diberi penerangan mengenai pemakanan sihat oleh wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai bahaya gula berlebihan dalam produk makanan dan minuman.

Pemborong ikan boikot




2010/02/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JOHOR BAHRU: Mulai esok, pemborong ikan tempatan mungkin tidak membekalkan ikan yang diimport dari Indonesia dan Thailand kepada pembeli sebagai membantah tindakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang bertegas mahu menguatkuasakan penggunaan kotak ikan berinsulasi.
Menurutnya, pemborong ikan dari kedua-dua negara berkenaan juga dimaklumkan untuk menghentikan penghantaran ikan ke negara ini jika arahan penggunaan kotak ikan berinsulasi tidak ditarik balik.

“Pengimport juga menolak cadangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar yang menyatakan kerajaan akan turut mengenakan subsidi kepada bilangan kotak ikan berinsulasi secara terhad pada mesyuarat yang diadakan Khamis lalu itu.