Search This Blog

Loading...

Sunday, February 28, 2010

Anak Raja Petra mengaku cederakan diri sendiri: Suhakam

Anak Raja Petra mengaku cederakan diri sendiri: Suhakam: KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia M... http://bit.ly/c5TAub

'Kekasih' biaya penghantaran jenazah Mohd Shah

'Kekasih' biaya penghantaran jenazah Mohd Shah: MELBOURNE: Mahkamah Newton di Sydney diberitahu seorang wanita yan... http://bit.ly/cqjN9D

3 warga Thai didakwa jual bom, peluru:

3 warga Thai didakwa jual bom, peluru: PASIR MAS: Tiga lelaki warga Thailand, yang pernah dikaitkan dengan rangkai... http://bit.ly/agcEaB

Wanita dibunuh, rakan serumah hilang

Wanita dibunuh, rakan serumah hilang: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam bilik tidur di rumah sewan... http://bit.ly/dcLEHD

Pesakit kecewa maut terjun bangunan HPP

Pesakit kecewa maut terjun bangunan HPP: GEORGETOWN: Kecewa kerana tiada ahli keluarga sudi menjaganya di hospital... http://bit.ly/aLNwiX

Mati rempuh belakang lor

Mati rempuh belakang lori: BENTONG: Seorang lelaki mati tersepit apabila kereta Perodua Kelisa dipandunya merempuh... http://bit.ly/bYq0xC

Gempa bumi berhampiran Sabah


Satu gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 skala Richter berlaku di Banda Sea pada jam 11.58 pagi tadi.
Laporan itu dikeluarkan Jabatan Meterologi Malaysia yang berpengkalan di Jalan Sultan, Petaling Jaya.

Gempa bumi sederahana di Laut Banda, Indoensia


KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.0 pada skala Richter berlaku di Laut Banda, Indonesia pada jam 11.58 pagi ini.
Tiada ancaman tsunami akibat gegaran itu. Laut Banda ialah laut di Selatan Kepulauan Maluku yang mempunyai kira-kira 150 pulau. -Bernama

GRO biadap


GEORGETOWN: Berang dengan kehadiran sekumpulan jurugambar, seorang wanita warga China yang dipercayai pelayan pelanggan (GRO) mengeluarkan kata-kata kesat ketika cuba menghalang gambarnya dirakam apabila dicekup polis di sebuah pusat karaoke di Persiaran Gurney, di sini, awal pagi semalam.
BERKAS... sebahagian daripada sembilan wanita warga asing yang ditahan selepas disyaki bekerja sebagai GRO.
BERKAS... sebahagian daripada sembilan wanita warga asing yang ditahan selepas disyaki bekerja sebagai GRO.
Bagaimanapun, tindakan agresif wanita itu yang menghalang jurugambar menjalankan tugas berjaya dikawal anggota polis.

Wanita itu antara 13 wanita warga China dan seorang wanita warga Uzbekistan bersama 20 pelanggan lelaki berusia antara 20 hingga 30-an yang ditahan kira-kira jam 12.15 tengah malam semalam oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang.

Operasi itu turut disertai 17 pegawai dan anggota Bahagian Penguat kuasa dan Pelesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang diketuai Pengarah Pelesenan, Rafiah Mohd Radzi manakala polis pula diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh.

Mohd Nasir berkata, operasi dijalankan selepas mendapat maklumat awam bahawa sebuah premis hiburan menjalankan operasi tanpa lesen dan menyalahgunakan syarat lesen dengan menggajikan wanita warga asing sebagai GRO.
“Sumber juga memaklumkan, kegiatan tidak bermoral dan penyalahgunaan dadah dijalankan di dalam pusat karaoke yang diserbu dan hasil pemeriksaan di premis itu kami menemui beberapa pil khayal jenis Eramin 5 dan ecstasy bertaburan di lantai beberapa bilik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, ketika pemeriksaan, semua GRO di dalam premis dan seorang daripada mereka pernah ditahan di lokasi sama tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya memantau premis itu selama tiga hari sebelum menyerbu dan berjaya membongkar kegiatan GRO membabitkan warga China yang berselindung di sebalik sebuah pusat karaoke.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati semua wanita warga asing itu mempunyai pasport sah tetapi menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Katanya, hasil saringan air kencing ke atas 20 pelanggan lelaki, empat didapati positif dadah dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk dibuat laporan tangkapan dan keterangan diri.

“Berdasarkan siasatan, premis ini membuat permohonan mendapatkan lesen dan diluluskan MPPP tetapi tidak diserahkan lagi kepada pemilik, namun mereka menjalankan perniagaan sejak Disember tahun lalu.

“Semua wanita warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1959/1963 atas kesalahan melanggar syarat pas dan permit.
“Pengusahanya turut didakwa kerana menggajikan pekerja warga asing mengikut Seksyen 55B Peraturan Imigresen 1959/1963 manakala empat lelaki tempatan yang ditahan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Suami isteri bersama ke liang lahat

KUALA ROMPIN: Allahyarham Bilal Mahmud, 29, sangat gembira apabila isterinya, Siti Khatijah Ismail, 27, dapat bertukar ke sini awal bulan depan tetapi hasrat mereka untuk tinggal serumah tidak termakbul, sebaliknya dikebumikan dalam satu liang lahad.

 TERKOPAK... kereta  Perodua Myvi merempuh belakang sebuah lori di kilometer  63.8 Jalan Ibam - Rompin berdekatan Kampung Bangkung kelmarin.
TERKOPAK... kereta Perodua Myvi merempuh belakang sebuah lori di kilometer 63.8 Jalan Ibam - Rompin berdekatan Kampung Bangkung kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke Kampung Jenglau Empat, di sini, selepas menjemput isterinya di Alor Gajah, Melaka.

Difahamkan, ibu dan isteri Bilal meninggal dunia di tempat kejadian manakala dia mati ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Rompin.

Abang sulung Bilal, Sa’aid Mahmud, 40, berkata adiknya terpaksa berulang-alik dari rumahnya ke Melaka setiap hujung minggu untuk mengambil isteri yang bekerja sebagai pensyarah di Kolej Komuniti Alor Gajah, Melaka.

“Dia sering berulang ke sana menjemput isterinya untuk pulang ke sini atau ke rumah mentuanya di Pengkalan Chepa, Kelantan sejak setahun mereka berkahwin,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di kampung berkenaan di sini, semalam.
Menurutnya, Khatijah yang mengandung empat bulan anak sulung dijadualkan mula bertugas di Kolej Komuniti Kuala Rompin pada 1 Mac ini dan pada hari kejadian Bilal menjemputnya pulang ke kampung.

Arwah anak keenam daripada tujuh beradik dan lebih mesra dipanggil Ateh di kalangan ahli keluarga terdekat.

“Sebelum ini dia hanya tinggal berdua bersama ibu di rumah pusaka peninggalan arwah ayah selain isterinya yang pulang sekali-sekala pada hujung minggu.

“Namun apabila isterinya dapat bertukar ke sini, arwah sangat seronok dan gembira, tambahan pula bakal menerima anak pertama pada tahun ini,” katanya.

Sa’aid berkata, dia tidak menyangka tragedi ini akan berlaku memandangkan arwah sempat menghubunginya sebelum kejadian kira-kira jam 3.40 pagi dan berhasrat untuk berjumpa apabila sampai di kampung.

“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang bercuti ke kampung manakala arwah masih di Alor Gajah dan sebelum arwah bertolak pulang, dia sempat menghubungi isteri saya dan memberitahu akan berjumpa kami keesokannya (hari kejadian).

“Sebelum itu saya hairan apabila arwah yang boleh dikatakan kelakar tapi lembut membahasakan dirinya ‘aku’ ketika bercakap melalui telefon dengan saya, sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian sebelum ini, namun saya menganggap ia hanya gurauan semata-mata dan tidak terlalu memikirkannya.
“Ketika sampai di kampung kira-kira jam 6.30 pagi saya sempat berehat dan hanya mengetahui berita sedih itu kira-kira jam 9 pagi selepas diberitahu adik,” katanya yang tinggal di Kota Damansara, Kuala Lumpur.

Menurut Sa’aid, lima kali solat jenazah diadakan berikutan terlalu ramai kenalan menziarahi mangsa sebelum ketiga-tiga jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jenglau Empat, di sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Dia pasrah dan reda dengan kejadian yang meragut nyawa tiga ahli keluarganya dan menganggap kejadian itu adalah ketentuan Allah.

Kisah dua remaja di dalam tandas


SELEPAS menjamu selera di Sundanese Restaurant KLCC, saya bersama seorang rakan dan seseorang yang sangat istimewa meluangkan masa window shopping sambil menyambung perbualan yang sememangnya tidak pernah habis.
Tiba-tiba tetamu istimewa yang sentiasa mendapat perhatian ramai itu menyuarakan hasrat ingin ke tandas.
Maklumlah, katanya dah berusia, kerap ke tandas adalah perkara biasa. Kami menunggu sambil mencuci mata lagi. Suasana di KLCC sesak dengan orang ramai. Kebiasaan waktu makan tengah hari agaknya. Lagi pun ekonomi Malaysia memang makmur. Biar pun ada unsur-unsur gawat, namun melihat kedai-kedai dan restoran mewah di sana-sini penuh dengan manusia, sukar nak terima hakikat kegawatan itu.
Atau mungkin yang gawat hanya ekonomi orang berpendapatan rendah. Mungkin juga di kampung-kampung. Sebab di kampung barangan yang dijual berkali ganda dari di bandar. Alasan kos pengangkutan dan seribu macam alasan lagi. Jadi orang kampung yang kecil pendapatan dan hidup sederhana terpaksa membayar lebih untuk meneruskan kelangsungan hidup. Agaknya begitulah.
Selepas beberapa minit menunggu, tetamu istimewa itu keluar dari tandas RM2. Mulutnya terkumat-kamit. Wajahnya mencuka. Alamak mesti ada yang tak kena. Mengenali wanita berhati waja itu, mesti ada yang tak berkenan di mata dan di hatinya menyebabkan beliau membebel.
Sebaik bertemu, sambil berjalan dia rancak bercerita. Tak sabar-sabar mahu berkongsi pengalaman di dalam tandas itu. Apa agaknya. Takkan tandas yang mengorbankan RM2 itu tidak bersih, itu memang mustahil. Takkan pula ada sistem yang tak betul. Tengok pada penampilannya masih anggun - tiada basah akibat percikan air. Tiada juga yang merosakkan rambutnya.
''Saya geram sangat. Ada dua budak perempuan buat kerja kat sebelah tandas yang saya gunakan.''
Lontaran kata-kata itu pantas mendapat respons kami. ''Kerja apa,'' soalan yang tak diketahui cerdik atau bodoh. Sebab mengetahui keadaan dalam tandas, hanya ada kerja-kerja yang perlu disempurnakan oleh cleaner. Kerja-kerja lain tidak terlintas pula di fikiran. Apatah lagi melibatkan dua budak perempuan.
''Saya sedang buang air, tiba-tiba dengar bunyi lain macam dari tandas sebelah. Saya mengintai dari bawah pintu tandas nampak perlakuan tak senonoh. Yang seorang kaki terangkat, yang seorang lagi duduk.
''Budak-budak tu paling-paling pun baru darjah enam atau tingkatan satu dah pandai buat macam-macam benda tak senonoh,'' bebelnya lagi.
Dia menyambung hikayat. Tidak senang dengan keadaan dua budak perempuan itu, dia segera keluar dari tandas dan mengetuk tandas tersebut. Dua orang budak perempuan tidak mengendahkan ketukan bertalu-talu, agaknya terlalu asyik. Mungkin juga takut mendengar suara makcik atau nenek membebel.
Diganggu
Tak puas hati, wanita itu memanggil tukang bersih tandas supaya mengetuk pintu dan memanggil keluar pasangan cilik itu. Agaknya tak tahan 'diganggu', dua budak perempuan itu keluar.
''Selamba ja muka dia orang. Ya Allah apalah nak jadi dunia ni. Mesti dia orang ni biasa tengok video lucah dan biasa buat benda-benda ni,'' katanya.
Mata wanita itu liar mencari pasangan darjah enam tadi. Mahu menunjukkan kepada kami anak-anak mentah yang telah pandai meneroka perlakuan sumbang orang dewasa.
Tiba-tiba kami tersentak. ''Ha itu dia orang,'' katanya sambil menuding jari dan memuncungkan bibir ke arah dua gadis yang sememangnya terlalu muda. Mereka erat berpegang tangan dan bersilih ganti saling merangkul pinggang. Seorang bertudung manakala pasangannya berlagak ala lelaki.
Saya mengimbau riwayat hidup ketika berada pada usia itu. Apa aktiviti saya semasa darjah enam atau tingkatan satu. Saya masih bermain kejar-kejar, galah panjang atau membaling tin dan selipar.
Saya masih galak memanjat pokok. Tiang-tiang di sekolah menjadi mangsa tempat kami memanjat.
Soal seks apatah lagi melibatkan pasangan sejenis sememangnya di luar kotak pengetahuan. Begitu juga yang menyanggah hukum alam. Kejahilan itu berlarutan sampai ke sekolah menengah. Jika mahu dikatakan saya tidak terdedah kepada bahan tontonan atau bacaan cinta, tidak juga. Pertengahan 70-an kami sudah mempunyai televisyen. Pada usia itu, saya menemani kakak menonton siri Peyton Place. Aksi romantik Ryan O'Neil (watak Rodney), Mia Ferrow (Allison) menjadi tontonan. Begitu juga cerita Kantonis bersiri yang menjadi kegilaan. Antaranya The Fate yang membariskan Chow Yuen Fatt dan Do Do Cheng. Ada kisah cinta di situ, ada adegan bercium. Begitu juga siri Man On The Net.
Bahan bacaan juga begitu. Saya membaca Badai Semalam, Sami Mekong (yang memaparkan adegan seks) dan pelbagai bahan bacaan lain.
Tetapi kesemua itu tidak mendorong saya untuk mengetahui lebih lanjut jauh sekali mencuba. Maklumat yang dipindahkan dari bahan tontonan dan bacaan ke sel-sel otak tersimpan di situ.
kawalan
Saya teringat membuat liputan di mahkamah juvenil. Seorang remaja berusia 13 tahun merogol adiknya yang baru mencecah sembilan tahun. Gara-gara keterlaluan menonton video lucah manakala ibu yang memenuhi tuntutan hidup bekerja kilang terpaksa meninggalkan anak-anak tanpa kawalan. Siapa yang mahu disalahkan?
Saya cuba membuat kesimpulan. Apa bezanya zaman saya dengan zaman teknologi maklumat yang menghambat dua anak gadis seusia anak teruna saya. Adakah keterujaan melampau mendorong mereka mencuba. Atau akibat kurang pengawasan ibu bapa.
Mungkinkah pengaruh rakan-rakan sebaya. Agaknya limpahan maklumat yang tidak terkawal menyebabkan sel-sel otak terpaksa memindahkannya kepada nafsu. Mungkin menjadikan otak tidak seimbang sehingga timbul perlakuan songsang.
Saya tidak dapat menyimpulkan kesemuanya. Tidak ada satu jawapan yang jitu. Mungkin ibu bapa tegas, tetapi pengaruh luar menjadi punca. Sebab itu apabila kecoh perihal gadis terlanjur membuang bayi, sukar untuk mencari salah siapa.
Remaja yang tidak cukup akal mengikut nafsu akhir menutup akal membuang bayi tersebut. Mustahil tidak ada belas atau ihsan biarpun belum bercambah rasa sayang, tetapi ada sesuatu yang membutakan hati dan perasaan menghalalkan perlakuan sedemikian.
Yang pasti ada sesuatu yang tidak kena pada sistem masyrakat dan kehidupan pada zaman melepasi alaf baru ini. Ada sesuatu yang kurang sehingga mencacatkan pembentukan masyarakat dan merosakkan usaha membanteras jenayah sosial.
Selepas 10 tahun melepasi cabaran pepijat alaf baru, dunia semakin dihantui 'pepijat-pepijat' yang menggigit secara halus tetapi meninggalkan kesan amat besar. Proses pembentukan masyarakat menjadi semakin songsang. Dan tanggungjawab kita untuk mencari kekurangan itu serta membetulkan masyarakat yang semakin menyimpang.
Dan apabila keadaaan seperti ini gagal diperbetulkan maka muncullah ideologi menyanjung pelakuan terlampau. Ketika mana pemimpin atau ketua yang rendah moralnya menjadi sanjungan. Segala perbuatan menjadi halal atas nama hak asasi yang hakikatnya tiada batasan.

Kisah gay di Malaysia


Kemelut seks abnormal makin mengancam dunia. Gejala homoseksual mempunyai sejarah tersendiri. Manusia pernah ditimpa musibah besar angkara gejala itu sebagaimana peristiwa Nabi Luth dan apa yang berlaku di bandar Pompei, Itali.
Namun manusia kembali leka. Hari ini, gejala tersebut begitu berleluasa. Ia bukan lagi tertumpu di negara sekular malah merebak ke negara-negara Islam. Saiz komuniti homoseksual sama ada gay mahu pun lesbian kian membesar di seluruh dunia, menjadi satu angkatan yang seakan tidak terhalang ledakannya.
Walaupun tergolong sebagai manusia bermoral rendah, celaru dan gagal memahami fungsi seksual diri sendiri, makin ramai daripada pengamal homoseksual diangkat menjadi pemimpin.
Meskipun agama tidak membenarkan dan majoriti masyarakat menolak golongan itu menjadi pemimpin, namun di Barat, ramai daripada mereka sudah ke persada kuasa. Jumlah yang menjadi Datuk Bandar, Senator, Gabenor, Menteri malah Perdana Menteri, bertambah dengan agak mendadak. Itu belum menyentuh kelompok lain terutama personaliti dunia hiburan Barat, yang jauh menonjol. (Kebanyakan mereka pada mulanya menafikan terlibat, namun akhirnya membuat pengakuan sebagai gay atau lesbian.)
Perkahwinan sejenis bukan lagi sesuatu yang janggal. Perjuangan bagi menuntut hak untuk golongan tersebut, menampakkan banyak peningkatan. Di sebahagian negara Asia, memperjuangkan kepentingan golongan tersebut bukan lagi sesuatu yang tabu.
Jika gejala ini tidak mampu dibendung, apa akan jadi dengan masyarakat dunia pada 10, 25 tahun dan 50 tahun lagi? Tidakkah persekitaran dunia homoseksual ini akan membawa mudarat besar buat generasi anak dan cucu kita?
Awang lontarkan pertanyaan ini kerana sesungguhnya terlalu banyak persoalan yang berlegar berhubung isu ancaman homoseksual kepada umat manusia termasuk di negara ini.
Di Malaysia, Awang difahamkan, ramai anak muda sudah terjebak dengan gejala itu. Kelab-kelab, spa dan rumah urut gay beroperasi secara tertutup dalam apa yang dianggap sebagai gerakan gay underground.
Internet turut menjadi senjata bagi golongan gay untuk mempromosi kegiatan dan budaya golongan tersebut menerusi laman web tertentu. Awang tidak pasti sejauh manakah pihak berkuasa memantau hal ini. Tetapi berdasarkan laman web itu dan banyak petunjuk lagi, boleh dirumuskan bahawa pasangan gay dan lesbian makin bebas melakukan aktiviti seks luar tabii. Sedangkan tindakan penguatkuasaan amat terhad malah cukup kompleks untuk menanganinya. Kalau dahulu lelaki dan wanita boleh ditangkap kerana bersekududukan tetapi apa tindakan pihak berkuasa agama jika sesama lelaki bersekedudukan?
Sama ada disedari atau tidak, di Malaysia, golongan tersebut semakin berpengaruh. Pengamal homoseksual yang kononnya punya merit, akan diangkat sebagai hero. Berdasarkan kajian tertentu, golongan berkenaan sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kehidupan homoseksual termasuk sesiapa yang menjadi ikon mereka.
Awang sudah tidak larat mendengus dan menggeleng kepala apabila mendengar 1001 cerita tentang gejala tersebut di tanah air ini. Kalau dibongkar habis-habisan, pasti ia lebih menggerunkan. Mungkin sama dahsyat dengan keadaan di Uganda. Cabarannya, berapa banyak lagi yang kita tidak tahu tentang gejala tersebut. Lebih mengganggu fikiran Awang ialah musibah apa yang bakal menanti kita jika fenomena homoseksual ini sudah tidak terbendung?

Terlupa beli makanan punca cerai?


KUALA LUMPUR 27 Feb. – Suami terlupa membeli makanan yang dipesan oleh isteri adalah antara lebih 200 alasan remeh yang menjadi punca penceraian pasangan Islam di negara ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan berkata, alasan remeh lain ialah isteri lambat menyediakan makanan, pasangan bangun tidur lewat, balik lambat dan kurang berkomunikasi.
‘‘Penceraian seumpama ini penyumbang terbesar peningkatan kes-kes penceraian di negara ini,’’ katanya ketika ditemui, di sini.
Beliau berkata, statistik penceraian seluruh negara pada 2008 meningkat kepada 22,289 berbanding 21,051 kes pada tahun 2007.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, purata 35 peratus kes adalah pasangan yang tempoh perkahwinan mereka tidak sampai lima tahun.
Zawiah berkata, ada isteri yang baru tiga hari berkahwin meminta cerai kerana suami lupa membeli makanan yang dipesan.
‘‘Si suami pula ada yang menceraikan isteri gara-gara isteri lewat menyediakan minuman.
‘‘Fenomena seperti ini sangat membimbangkan kerana sifat sabar dalam kalangan pasangan muda makin tipis,’’ katanya.
Menurut Zawiah, kadar penceraian yang meningkat akan mendatangkan masalah sosial, kesan psikologi serta membantutkan perkembangan kehidupan berkeluarga.
Laporan lanjut mengenai isu ini disiarkan dalam Utusan Melayu Mingguan Isnin ini. Banyak lagi isu-isu menarik dalam akhbar jawi tersebut yang kini berwajah baru dengan kandungan yang lebih padat dan segar.

Masalah keruntuhan sistem keluarga punca gejala bunuh bayi - Shahrizat



NAJIB Tun Razak menghulurkan sumbangan kepada pesakit-pesakit yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Hemodialisis di Hospital Pekan, Pahang, semalam. - MINGGUAN/RUSHDI SALLEH


KUALA LUMPUR 27 Feb. - Masalah rumah tangga dan keluarga dikenal pasti sebagai salah satu faktor penyebab kepada kes pembunuhan serta pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan kes-kes bunuh dan buang bayi tersebut bukan disebabkan oleh kelemahan undang-undang tetapi kegoyahan institusi kekeluargaan.
"Kita tidak boleh pandang ringan kes-kes seperti ini. Saya semakin khuatir kerana keruntuhan institusi keluarga boleh menjadi penyebab kepada masalah ini.
"Definisi keluarga itu tidak semestinya hanya keluarga terdekat tetapi turut merujuk kepada sanak-saudara, jiran tetangga serta masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Program Juara Rakyat Peringkat Parlimen Seputeh di sini hari ini.
Selepas beberapa kes buang bayi, negara sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Syafia Humairah Sahari.
Kanak-kanak malang itu dipercayai mati akibat didera oleh teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.
Difahamkan, terdapat kesan luka dan lebam pada tubuh kanak-kanak perempuan itu termasuk di bahagian dagu, perut dan bawah telinga.
Isnin lalu, seorang wanita berusia 21 tahun disyaki membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya dengan melemaskan anaknya itu dalam pam tandas sebuah sekolah memandu di Segamat.
Mayat anaknya itu kemudian disumbat dalam tangki pam tandas berkenaan sehingga menyebabkan tubuh kecil itu remuk dan berkecai.
Perbuatan itu dilakukan oleh wanita muda tersebut bagi mengelakkan rahsia hubungannya dengan dengan dua lelaki terbongkar.
Shahrizat berkata, setiap anggota masyarakat tidak boleh melihat permasalahan yang berlaku secara sambil lewa sebaliknya perlu memikul tanggungjawab itu bersama-sama.
Tambah beliau lagi, kesibukan hidup merupakan antara punca keruntuhan institusi keluarga.
"Ketika ini kita seolah-olah tiada masa untuk memupuk dan memberi nilai kasih sayang kekeluargaan kepada ahli keluarga sedangkan ia adalah satu keperluan," ujar beliau.
Sementara itu, beliau juga menyarankan agar pendidikan seks dan kekeluargaan diteruskan dalam kurikulum pembelajaran bagi memastikan gejala seumpama ini dapat diatasi.

Jenazah Syafiah selamat dikebumi



SITI Norhanim Aziz menyiram air mawar ke atas pusara anaknya, Syafiah Humaira di Tanah Perkuburan Islam Batu 17, Kuang, Selangor, semalam. Turut kelihatan datuk dan nenek mangsa, Aziz Shahar (dua dari kanan) dan Nor Azizah Boden (kiri) serta abang mangsa, Mohd. Syafiq Sahari (menabur bunga).


HULU SELANGOR 27 Feb. - Jenazah kanak-kanak malang, Syafiah Humairah Sahari yang mati didera oleh teman lelaki ibunya kelmarin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17 Kuang, hari ini.
Sebelum itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu, sebaik sahaja jenazah kanak-kanak berusia tiga tahun itu dituntut oleh datuknya, Aziz Shahar, 50, kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Jenazah Allahyarham Syafiah Humairah kemudian dibawa pulang ke rumah Aziz di Kampung Batu 16, Sungai Plong.
Suasana pilu semakin terasa sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikafankan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17, Kuang pukul 4 petang.
Kelmarin, Syafiah Humairah mati akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.
Kanak-kanak malang itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam oleh lelaki berkenaan yang mendakwa Syafiah Humairah terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.
Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun kemudian ditahan pukul 3 pagi semalam bagi membantu siasatan.
Sementara itu, ketika proses bedah siasat sedang dijalankan, berlaku kekecohan di luar bilik mayat apabila keluarga suspek datang untuk menziarahi mangsa.
Saudara dan kenalan keluarga ibu mangsa yang tidak dapat menahan kemarahan cuba menyerang keluarga suspek.
Keadaan itu bagaimanapun kembali terkawal apabila keluarga suspek mendengar arahan supaya mereka meninggalkan hospital tersebut secepat mungkin.

Takut setiap kali lihat suspek - Datuk


HULU SELANGOR 27 Feb. - Kanak-kanak mangsa penderaan teman lelaki ibunya yang meninggal dunia dalam keadaan sadis kelmarin, Syafiah Humairah Sahari sering ketakutan setiap kali melihat atau bertembung dengan suspek.
Kanak-kanak tiga tahun itu sanggup bersembunyi di kawasan semak di sekitar rumahnya bagi mengelak daripada ditemui oleh lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu teksi.
Perkara itu didedahkan oleh datuk mangsa, Aziz Shahar, 50, yang memberitahu, sejak menyedari tingkah laku aneh cucunya itu, dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena.
Dalam nada sebak, Aziz yang ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini berkata, dia begitu sedih dengan kejadian yang menimpa cucunya itu.
"Saya pernah melihat kesan parut dan luka seperti dicucuh dengan puntung rokok di kaki dan bawah dagu cucu saya.
"Namun, setiap kali saya bertanya, Syafiah Humairah hanya mendiamkan diri," katanya.
Menurut Aziz, dia tidak dapat memaafkan sesiapa juga suspek yang terlibat dalam pembunuhan cucunya itu, termasuklah jika anak perempuannya sendiri terbabit.
"Saya tidak akan maafkan mereka, walaupun jika dia itu anak saya sendiri," katanya sambil menangis teresak-esak.
Aziz memberitahu, Syafiah Humairah dan abangnya, Mohd. Syafiq Sahari, 7, tinggal secara bergilir-gilir di rumahnya dan kekasih ibunya sejak tahun lalu.
Sementara itu, ibu Allahyarham Syafiah Humairah, Siti Norhanim, 25, ketika ditemui mendakwa, dia tiada di rumah ketika kejadian itu berlaku.
"Saya keluar bekerja sejak Rabu lalu dan tidur di rumah rakan di Cheras. Dia (teman lelakinya) menghubungi saya malam Khamis lalu memberitahu Syafiah mati akibat terjatuh motosikal," katanya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di ibu negara.

Saksi lihat Syafiah dicampak, dipijak


HULU SELANGOR 27 Feb. - Seorang saksi mendakwa, dia ternampak Syafiah Humairah Sahari disepak seperti bola selain dicampak dan dipijak oleh teman lelaki ibu kanak-kanak itu.
Kejadian itu, menurut Ahmad Fikri Khalis Zakaria, 19, berlaku di sebuah padang bola di Kampung Batu 30, Batang Kali di sini kira-kira pukul 6 petang Khamis lalu.
Ahmad Fikri Khalis berkata, pada masa itu dia ternampak kanak-kanak berusia tiga tahun tersebut sedang bermain bola di tepi padang berkenaan.
Katanya, suspek yang dipanggil Abang Mat tiba-tiba datang dengan memakai kasut but bola dan memarahi mangsa.
"Abang Mat kemudian menyepak mangsa seperti bola, selepas itu dia mengangkat Syafiah Humairah menggunakan sebelah tangan sebelum mencampakkan kanak-kanak itu ke atas padang.
"Tidak cukup dengan itu, suspek memijak perut mangsa dengan kasut bola dan menyepak beberapa kali bahagian belakang budak tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.
Kematian Allahyarham Syafiah Humairah mengundang rasa marah semua pihak kerana dia dibunuh teman lelaki ibunya secara kejam, kelmarin.
Akibat rasa marah dengan kejadian itu, penduduk setempat turut menconteng dinding hadapan rumah suspek dengan perkataan 'pembunuh' menggunakan cat merah.
Tambah Ahmad Fikri, mangsa yang tidak menangis ketika itu cuba berdiri tetapi jatuh semula kerana kecederaan yang dialaminya.
Seorang lagi saksi, Faleeq Hakim Zazali, 16, berkata, dia dan Ahmad Fikri cuba membantu mangsa namun dihalang suspek.
"Untuk memastikan Abang Mat tidak terus memukul mangsa, kami hanya mampu mengangkat kanak-kanak itu dan memasukkannya ke dalam teksi suspek.
"Namun, pada sebelah malam, kami dengar berita kanak-kanak itu telah meninggal dunia di hospital," ujarnya.

Syafiah alami kecederaan parah


HULU SELANGOR 27 Feb. - Betapa berat seksaan yang dihadapi oleh Allahyarham Syafiah Humairah Sahari sebelum dia menemui ajal, kelmarin.
Selain dipukul dan ditampar, kanak- kanak malang itu turut dipijak dan ditendang oleh teman lelaki ibunya tanpa belas kasihan, hanya disebabkan oleh kesalahan kecil yang dilakukannya.
Kanak-kanak berusia tiga tahun itu disahkan meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek yang tidak berhati perut.
Hari ini, bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat kanak-kanak itu di Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati, kematian Syafiah Humairah akibat kecederaan serius termasuk kulit kepalanya terkoyak kerana dipijak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, bedah siasat mendapati, mangsa mengalami penderaan berterusan dan ia boleh dilihat berdasarkan kepada kecederaan yang terdapat pada tubuhnya.
"Terdapat kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dipercayai akibat dipukul dengan objek keras pada tubuh mangsa.
"Kesan lebam turut dikesan di bahagian belakang tubuh mangsa selain di leher, pipi dan bahunya," katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital itu di sini hari ini.
Kelmarin, Syafiah Humairah mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.
Kanak-kanak malang itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam oleh teman lelaki ibunya, mendakwa dia terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.
Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun kemudian ditahan pukul 3 pagi semalam bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, kematian Syafiah Humairah yang begitu kejam turut membongkar rahsia perhubungan haram antara ibu kanak-kanak itu dan teman lelakinya sejak enam tahun lalu.
Ibu kanak-kanak itu yang masih bersuami, disangkakan telah berkahwin dengan suspek kerana mereka memiliki seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan, malah, wanita itu kini sedang hamil empat bulan.
Namun, rahsia perhubungan mereka yang hanya menyamar sebagai suami isteri itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati pasangan itu tidak boleh berkahwin kerana wanita itu masih mempunyai suami.
Difahamkan, bapa kanak-kanak malang itu yang hanya dikenali sebagai Sahari ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana didakwa terbabit dalam kes bunuh sejak tahun 2006.
Selain berhadapan tuduhan bunuh, suspek yang ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang syariah kerana bersekedudukan sehingga melahirkan anak luar nikah.

Warga emas mati ditikam

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Seorang warga emas ditemui mati dengan kesan tikaman, dipercayai selepas disamun di sebuah rumah di Bandar Baru Sungai Buaya, Hulu Selangor dekat sini malam ini.

Letupan berani mati, 17 maut


KABUL 26 Feb. - Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di pusat bandar ini hari ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh, korban terbesar dalam tempoh beberapa bulan serangan di ibu negara Afghanistan ini dan yang pertama sejak tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baru ke atas Taliban.
Menurut seorang pegawai kanan polis, beberapa orang rakyat asing turut terkorban dalam serangan itu.
"Seramai 17 orang, termasuk rakyat Afghanistan dan India serta polis telah terbunuh, manakala 32 yang lain cedera, " kata Sayed Abdul Ghafar Sayedzada, ketua polis jenayah Kabul.
Kumpulan militan yang melancarkan pemberontakan hebat terhadap kerajaan Afghanistan yang disokong oleh Barat dan lebih 121,000 tentera asing yang berpengkalan di negara ini, menghubungi AFP mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Satu letupan besar dan sekurang- kurangnya terdapat dua letupan kecil menggegarkan sekitar kompleks membeli-belah dan hotel Safi Landmark sejurus selepas subuh, hari cuti bagi umat Islam dan hari paling senyap berbanding kebiasaan di ibu negara Afghanistan.
Menurut pegawai Afghanistan, seorang pengebom berani mati telah mencetuskan serangan tersebut manakala dua yang lain mungkin dilakukan oleh penyerang yang telah ditembak mati oleh pihak polis.
Beberapa bunyi tembakan menggegarkan sekitar kawasan tersebut ketika ambulans tiba di tempat kejadian dan asap hitam kelihatan berkepul- kepul naik ke udara.
Menurut saksi, mangsa yang masih memakai pijama telah dibawa keluar dari rumah tumpangan di kawasan tersebut menaiki ambulans.
Kawalan di bandar Kabul yang diperketat semakin tenang sejak 18 Januari lalu apabila anggota bersenjata Taliban menyerang pusat komersial di bandar itu, mengambil alih semua bangunan selain menyebabkan lima orang terbunuh akibat pengebom berani mati yang meletupkan diri.
Serpihan kaca betaburan di jalan raya di luar Hotel Park Residence, sebuah rumah tumpangan yang sering dikunjungi pelancong asing di tengah bandar ini.
Seorang pemberita AFP berkata, terdapat kawah yang besar di jalan raya tersebut kesan letupan itu.
Sementara itu, presiden Hamid Karzai mengutuk serangan berani mati tersebut yang disifatkan tidak akan mengancam hubungan antara Afghanistan dan India. - AFP

Wang ihsan: Surat pelantikan wakil negeri 2 minggu lagi


27/02/2010 7:38pm

PASIR PUTEH 27 Feb. – Surat pelantikan dua orang wakil dari kerajaan negeri Kelantan untuk menduduki jawatankuasa pengagihan wang ihsan akan dihantar kepada mereka selewat-lewatnya dalam masa dua minggu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang baru dilantik oleh Kabinet Rabu lepas, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan bulan depan tanpa mengira sekiranya kedua-dua wakil itu menerima atau menolak perlantikan itu.
"Kami jangka pengagihan wang itu akan dapat diselesaikan pada bulan April,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Kebajikan Rakyat UMNO Bahagian Pasir Puteh di sini, hari ini.
Dr. Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, anggota-anggota lain jawatankuasa itu termasuk dari Petronas dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), selain jabatan-jabatan yang berkaitan dengannya yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.
Khamis lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Pusat tetap mahu memberi wang ihsan kepada Kelantan kerana yakin ada rakyatnya yang mahu menerima pemberian berkenaan dan pihaknya akan memastikan bantuan itu dibuat secara telus kepada golongan yang layak menerimanya.
Agihan wang ihsan RM20 juta itu dijangka akan disampaikan kepada rakyat Kelantan pada bulan April nanti. – Bernama

Lelaki maut kereta dipandu bertembung van anak saudara


27/02/2010 3:47pm

IPOH 27 Feb. - Seorang lelaki terbunuh apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan van yang dipandu anak saudaranya dalam kejadian kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut dekat Kledang Utara di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 8.55 malam tadi dikenali sebagai Chow Yat Meng, 41, berasal dari Kampung Pisang, Pusing.
Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.
Azisman berkata, pemandu van, Chow Hon Win, 19, berasal dari Taman Pinggiran Saujana, Batu Gajah, yang mengalami cedera parah di kepala dan seorang lagi penumpang van, Fong Wai Heng, 22, berasal dari Taman Seri Wangsa, Batu Gajah juga mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di hospital tersebut.
Kejadian berlaku apabila van jenis Perodua Rusa yang dipandu Wai Heng dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya tetapi gagal lalu bertembung dengan kereta jenis Honda Accord yang dipandu bapa saudaranya.
Azisman berkata, akibat kejadian itu kedua-dua pemandu terbabit tersepit dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa.
Bapa Wai Heng yang dihubungi mengenai kejadian itu bergegas ke tempat tersebut dan terkejut apabila mendapati anaknya terbabit dalam kemalangan dengan adiknya. - Bernama

Kartun hina Islam: Akhbar Denmark mohon maaf


27/02/2010 5:09am

COPENHAGEN 27 Feb. - Akhbar harian Denmark, Politiken semalam memohon maaf kepada umat Islam kerana menyinggung perasaan mereka berhubung kartun Nabi Muhammad yang disiarkannya pada 2008.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak menyesal atas tindakannya menyiarkan gambar kartun itu.
“Kami memohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan tindakan kami mencetak semula gambar kartun itu,” ujar akhbar berkenaan dalam satu kenyataan.
Politiken adalah akhbar pertama Denmark yang bertindak memohon maaf secara formal kepada mana-mana pihak yang marah berhubung penyiaran kartun itu.
Dalam permohonan maafnya, Politiken berkata, ia menyesal jika gambar kartun itu menghina agama Islam, namun mengatakan tidak menyesal menyiarkannya.
Ketua Pengarang akhbar itu, Toeger Seindenfaden, berkata, dia gembira dengan keputusan itu.
“Kami kesal kerana menyebabkan umat Islam tersinggung walaupun ia bukan niat kami untuk berbuat demikian,” tambahnya.
Persetujuan itu dibuat ekoran permohonan dikemukakan seorang peguam Arab Saudi, Faisal Ahmed Zaki Yamani terhadap 11 akhbar Denmark.
Dia menggesa semua akhbar berkenaan memohon maaf, berjanji tidak akan menyiarkan lagi gambar sama dan membuang kartun yang menimbulkan kontroversi itu dari laman Web mereka.
Permohonan maaf dibuat Politiken itu dikutuk sekerasnya ahli-ahli Parlimen di Denmark yang menuduh akhbar itu tunduk kepada tekanan dan mengorbankan kebebasan bersuara yang dianggap asas demokrasi Denmark.
Beberapa akhbar Denmark yang lain turut mengutuk permohonan maaf itu namun mengatakan mereka tidak akan menyiarkan semula gambar kartun berkenaan.
Sementara itu, Perdana Menteri Denmark, Lars Loekke Rasmussen berkata, beliau menolak untuk mencampurinya namun pada masa sama dipetik memuji kebebasan bersuara dan menghormati keputusan pengarang. - AFP

Ledakan kuat di Denpasar hancurkan kedai, rumah


27/02/2010 1:53pm




DENPASAR, Bali 27 Feb. - Satu ledakan kuat terjadi di Jalan Sesetan, Denpasar, Bali kira-kira pukul 11.30 waktu tempatan menghancurkan dua kedai serta sebuah rumah.
Seorang saksi, Taib dipetik Kompas.com berkata, ledakan kuat menyebabkan asap berkepul ke udara.
Sementara itu Ketua Polis Denpasar Selatan, Asisten Komisioner Gede Ganefo berkata, siasatan masih dijalankan dan belum diketahui punca letupan tersebut. - Utusan

Cubaan seludup keluar arak RM1.3 juta tumpas


27/02/2010 7:01pm

PELABUHAN KLANG 27 Feb. - Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang mematahkan satu cubaan menyeludup keluar 10,586 botol pelbagai jenis minuman keras bernilai RM1.3 juta ke Indonesia, petang semalam.
Pegawai Pemerintahnya, Deputi Supritenden Norzaid Muhammad Said dalam satu sidang media di sini hari ini berkata, pihaknya menahan bot barter trade dari Indonesia itu semasa melakukan rondaan di perairan Pelabuhan Selatan di sini pada pukul 5.30 petang semalam.
Hasil pemeriksaan rapi, anggotanya menemui 423 kotak berisi minuman keras yang disorokkan di bawah guni berisi pakaian terpakai di dalam bot itu yang menuju ke Dumai, Indonesia, katanya.
Norzaid berkata, pihaknya juga menahan reman tekong berusia 38 tahun dan dua awak-awak masing-masing berusia 31 dan 26 tahun kesemuanya warga Indonesia yang mempunyai dokumen perjalanan sah.
Mereka ditahan reman mulai hari ini hingga 3 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana tidak mengisytiharkan mereka membawa minuman keras itu.
Norzaid berkata, arak di dalam bot itu itu dibawa masuk dari Singapura untuk dihantar ke sini berdasarkan dokumen pelepasan kastam di Johor Baharu. - Bernama
Add to Google  

Bukan sahaja berdepan kes bunuh, tetapi bersekedudukan


27/02/2010 7:25pm

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Pemandu teksi, yang berdepan dengan tuduhan membunuh kerana dipercayai mendera sehingga mati anak perempuan teman wanitanya, juga bakal dihadapkan ke mahkamah syariah kerana bersekedudukan dengan ibu mangsa sehingga melahirkan seorang anak luar nikah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Bakhtiar Rashid berkata, polis akan merujuk lelaki berumur 28 tahun itu dan ibu mangsa, 25, ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tindakan lanjut setelah didapati tidak berkahwin tetapi hidup bersama sehingga mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan hasil perhubungan selama enam tahun.
"Ibu mangsa masih belum bercerai dengan suaminya, tetapi berlagak seperti sepasang suami isteri dengan suspek,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, kanak-kanak perempuan, Syafia Humairah Sahari, 3, dilaporkan mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali dekat ini, pada Khamis lepas.
Bakhtiar berkata, suspek itu kini ditahan reman tujuh hari sehingga 4 Mac ini di lokap Balai Polis Kuala Kubu Baru bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, polis akan memohon untuk melanjutkan reman sehingga 14 hari terhadap suspek bagi menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Selain itu, katanya, suspek juga positif dadah setelah ujian air kencing diambil semasa dalam tahanan.
Bakhtiar berkata, polis juga akan menahan enam individu termasuk ibu mangsa dan saksi di tempat kejadian yang mempunyai kaitan dengan kes kematian kanak-kanak perempuan itu.
"Kita akan membuat tangkapan secara menyeluruh termasuk kemungkinan menahan emak (ibu mangsa) yang melakukan perbuatan sama mendera anaknya itu.
“Saksi akan turut diambil keterangan berikutan ada beberapa orang yang melihat kejadian berlaku tetapi tidak melaporkan kepada polis,” katanya.
Selain itu, katanya, polis akan mengambil keterangan bapa mangsa yang kini ditahan reman tanpa boleh dijamin di Penjara Sungai Buloh sejak 2006.
Bakhtiar berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat Syafia Humairah di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) pada 10.30 pagi ini mendapati kematian kanak-kanak itu adalah akibat kecederaan serius berikutan terdapat pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan juga mendapati terdapat penderaan berterusan pada badan mangsa. Ada kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dilakukan dipercayai dipukul oleh benda keras.
"Pada bahagian belakang tubuh badan mangsa pula terdapat lebam selain leher, pipi dan bahunya,” katanya.
Menurutnya, keluarga ibu mangsa telah menuntut mayat kanak-kanak itu dari Bilik Mayat HKKB pada kira-kira 1.30 petang tadi dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Sungai Buloh petang ini. – Bernama

Pulau Robinson Crusoe dilanda tsunami selepas gempa di Chile


27/02/2010 8:51pm

SANTIAGO 27 Feb. - Pulau Robinson Crusoe yang kedudukannya jauh dari Chile telah dilanda ombak besar selepas gempa bumi kuat mengoncang negara dan kapal membawa bantuan menyelamat telah dihantar, kata Presiden Michelle Bachelet.
Pulau tersebut yang merupakan sebahagian daripada gugusan pulau-pulau Juan Fernandez, berada 700 kilometer dari tanah besar Chile di tengah Lautan Pasifik. - AFP
Add to Google  

Tsunami ancam kepulauan Hawaii


27/02/2010 9:03pm

WASHINGTON 27 Feb. - Tsunami yang berlaku hari ini dijangka akan menyebabkan berlaku kemusnahan di sepanjang pantai di semua pulau di kepulauan Hawaii, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik.
"Tindakan segera perlu dilakukan untuk melindungi penduduk dan harta benda," kata pusat itu dalam satu buletin. "Semua pantai berhadapan risiko ini tanpa mengira arah mana mereka berdepan."
Sebelum agensi itu mengeluarkan amaran berlaku tsunami di lautan luas Pasifik termasuk Hawaii dan merebak merentasi lautan dari Amerika Selatan hingga ke lingkaran Pasifik.
Dijangkakan tsunami pertama akan membadai Hawaii pada pukul 11.19 pagi ini waktu tempatan (4.19 pagi Ahad waktu Malaysia). - Reuters

85 terkorban akibat gempa bumi di Chile


27/02/2010 10:53pm


SANTIAGO 27 Feb. - Gempa bumi dengan kekuatan 8.8 pada skala Richter yang melanda bahagian selatan tengah Chile awal pagi ini telah mengorbankan 85 orang, meruntuhkan bangunan, kediaman dan hospital serta berlakunya tsunami.
Televisyen tempatan TV Chile melaporkan sebuah bangunan 15 tingkat runtuh di Concepcion, iaitu bandar paling teruk terjejas di mana rekahan besar dapat dilihat di jalan-jalan.
Bangunan-bangunan dijilat api, jambatan runtuh dan bangunan kediaman bertaburan dijalanan yang penuh dengan batu-batu dan kaca dari rumah-rumah yang rosak. Ramai yang gerun dengan gegaran kuat dan serentak itu cuba memanggil rakan-rakan dan keluarga mereka.
Presiden Michelle Bachelet berkata, lebih daripada 85 orang terbunuh di wilayah Maule sahaja dan jumlah tersebut dijangka meningkat. Talian telefon dan bekalan elektrik terputus menyebabkan usaha untuk memasuki kawasan kejadian sukar. - Reuters
Add to Google