Search This Blog

Loading...

Saturday, February 27, 2010

Detik parang diacu sukar dilupakan

Ratnawati Jamil menerangkan kepada pemberita kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya di Jalan Pegaga, Kota Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA 26 Feb. - Seorang penulis kanan di sebuah anak syarikat Kumpulan Media Prima, Ratnawati Jamil tidak dapat melupakan detik-detik cemas apabila sebilah parang diacu pada leher anak bongsunya, ketika rumah mereka dipecah masuk tiga penjenayah kelmarin.

Ratnawati yang bertugas di syarikat Primework Studios memberitahu, ketika itu, penjenayah tersebut meletakkan parang pada leher anaknya yang berusia tujuh tahun sambil meminta dia menyerahkan semua barangan berharga.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya berserah kepada Tuhan. Semasa itu, saya hanya fikir nyawa anak saya hampir melayang.

"Sehingga kini, saya masih tidak dapat melupakan insiden itu. Setiap kali saya cuba melelapkan mata, saya masih terbayang kejadian itu," kata wanita berusia 47 tahun ini menceritakan kejadian di rumahnya di Seksyen 8, Kota Damansara kelmarin.

Dalam kejadian itu, Ratnawati kerugian kira-kira RM40,000 selepas rumahnya dimasuki tiga penjenayah bersenjatakan parang.

Beliau yang merupakan bekas Editor Majalah MASSA terbitan Utusan Melayu (M) Berhad ditemui pada majlis Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed bersama penduduk Kota Damansara di sini hari ini.

Menurut Ratnawati, kejadian itu akan dijadikan sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang masa.

"Saya tetap akan tinggal rumah ini walaupun saya dan keluarga trauma selepas diserang penjenayah tersebut. Namun, saya meminta penjenayah itu tidak menyimpan dendam terhadap saya dan keluarga," katanya.

Sementara itu Arjunaidi berkata, setakat hari ini polis belum melakukan sebarang tangkapan berhubung kes tersebut.

Katanya, polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh sebulan, empat kejadian samun dilaporkan berlaku di kawasan perumahan ini.

"Berdasarkan siasatan awal, modus operandi keempat-empat kes ini hampir sama dan kejadian berlaku sebelum pukul 10 malam.

"Bagaimanapun ini tidak bermakna kesemua kejadian itu dilakukan kumpulan sama," jelasnya.

Tambah beliau, pengawal keselamatan di kawasan itu hanya akan bertugas dari pukul 11 malam hingga 7 pagi.

Kanak-kanak tiga tahun mati didera teman lelaki ibu

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Sungguh tergamak hati segelintir manusia untuk berlaku kejam dan menyiksa kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun sehingga mati.

Apalah kanak-kanak malang itu tahu, sehingga menyebabkan dia dipukul dan diseksa sehingga menemui ajal.

Tanpa rasa kasih sayang, kanak-kanak perempuan ini, Syafia Humairah Sahari mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali malam tadi.

Difahamkan, terdapat kesan luka dan lebam pada tubuh kanak-kanak perempuan itu termasuk di bahagian dagu, perut dan bawah telinga.

Kanak-kanak itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam tadi oleh teman lelaki ibunya, yang merupakan seorang pemandu teksi.

Pemandu teksi itu yang ditemani rakannya di hospital mendakwa kanak-kanak itu cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Jururawat yang memeriksa mangsa mencurigai sesuatu apabila lelaki tersebut seolah-olah resah dan tidak mahu memberi sebarang keterangan berhubung kemalangan itu.

Sebaliknya, dia mendakwa perlu meninggalkan kanak-kanak itu di hospital untuk bergegas ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kemalangan itu.

Bagaimanapun, perkara itu terbongkar apabila pihak hospital menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk mengetahui status kemalangan itu dan mendapati tiada sebarang laporan kemalangan jalan raya dibuat di mana-mana balai di kawasan tersebut.

Doktor yang mengesyaki kanak- kanak itu menjadi mangsa dera kemudiannya bertindak membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, berikutan laporan itu, polis menahan teman lelaki ibu mangsa, berusia 28 tahun kira-kira pukul 3 pagi ini bagi membantu siasatan.

"Selepas disoal siasat, suspek mengaku memukul serta menampar mangsa sebelum dia rebah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ibu kepada kanak-kanak itu dikatakan pengsan selepas mendengar anaknya itu mati dan kini sedang dirawat di hospital yang sama.

Difahamkan, wanita yang berstatus ibu tunggal berusia 25 tahun itu mempunyai hubungan intim dengan suspek sejak enam tahun lalu dan hasil perhubungan itu juga, mereka mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan.

Menurut Norel Azmi, polis turut mengambil keterangan daripada ibu kanak-kanak terbabit petang ini di bilik mayat hospital.

"Siasatan awal mendapati, suspek mengaku mendera kanak-kanak itu bersama teman wanitanya menggunakan objek tajam," katanya.

Sementara itu, bapa kandung kanak-kanak malang terbabit ketika ditemui di rumahnya dekat sini hari ini bagaimanapun enggan ditemuramah kerana masih dalam keadaan trauma.