Search This Blog

Loading...

Friday, February 26, 2010

Australia marah Mossad guna pasportnya


SYDNEY 25 Feb. - Australia hari ini memanggil duta Israel dan memberi amaran keras tentang hubungan dua hala selepas tiga pasport negara ini digunakan oleh suspek pembunuh Mossad yang membunuh komander kanan Hamas.
Perdana Menteri Kevin Rudd berkata, Australia 'tidak akan berdiam diri berhubung masalah ini' selepas seorang wanita dan dua lelaki yang memagang pasport palsu Australia dinamakan sebagai antara 15 suspek pembunuhan gaya Perang Dingin Mahmoud al-Mabhuh.
"Jika pasport Australia digunakan atau dipalsukan oleh mana-mana negara untuk tujuan pembunuhan, ini amat membimbangkan dan kami akan menyiasat sepenuhnya berhubung isu ini.
"Kami tidak akan membiarkan walau seorang pun terlepas," kata Rudd kepada stesen penyiar awam ABC.
Menurut Rudd, pegawai Australia telah bekerja sepanjang malam selepas polis Dubai menamakan pemegang pasport Australia, Britain, Perancis dan Ireland adalah antara kumpulan suspek baru.
Polis Dubai yakin agensi perisikan Israel, Mossad melakukan pembunuhan tersebut di hotel mewah Dubai di mana Mahmoud ditemui mati di biliknya pada 20 Januari lalu.
"Senarai baru suspek ini termasuk mereka yang menawarkan bantuan pengangkutan dan persiapan pembunuh serta mereka yang memainkan peranan penting," menurut polis Emiriyah Arab Bersatu dalam satu kenyataan.
Menteri Luar, Stephen Smith yang memanggil duta Israel, Tuval Rotem untuk memberi penjelasan berkata, siasatan awal menunjukkan pasport Australia mungkin 'dipalsukan atau diubah'.
"Kami belum membuat sebarang kesimpulan, daripada siasatan awal, kelihatan terdapat penyalahgunaan serius ke atas pasport Australia, sama ada melalui pemalsuan atau penipuan identiti.
"Tetapi saya telah membuat penjelasan tegas kepada duta tersebut bahawa jika keputusan siasatan menyebabkan kita membuat kesimpulan penyalahgunaan itu ditaja atau dibiarkan oleh pegawai Israel, Australia tidak menganggapnya itu sebagai satu tindakan yang dilakukan seorang kawan," kata Smith.
Menurutnya, negara ini menjangkakan Israel akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan siasatan yang dijalankan negara ini berhubung insiden tersebut.
Kesatuan Eropah (EU) turut menyuarakan kemarahan berhubung penggunaan pasport palsu tersebut selepas senarai awal seramai 11 orang, termasuk wanita dikeluarkan. Duta Israel di empat negara EU telah dipanggil untuk memberi penjelasan. - AFP

Empat remaja Orang Asli didakwa bunuh penoreh getah


SEREMBAN 25 Feb. - Empat remaja lelaki Orang Asli termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang penoreh getah hujung tahun lalu.
Norman Ajiman, 19; Hijam Waseh, 21; Saipol Jalil, 23; dan adiknya Faizal Jalil, 22, kelihatan sedih dan hanya mengangguk tanda faham pertuduhan yang dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Zamri Selamat, 23, di padang awam hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Sampoo, Bandar Seri Jempol, di sini antara pukul 9 malam, 5 Oktober dan pukul 8.30 pagi, 6 Oktober tahun lalu.
Kesemua tertuduh yang juga bekerja sebagai penoreh getah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin menetapkan 23 Mac ini sebutan semula kes tersebut bagi membolehkan Saipol dan Faizal mendapatkan khidmat peguam bela.
Pada prosiding hari ini, Norman dan Hijam masing-masing diwakili peguam, Muhamad Faiz Fadzil dan Roseli Abdul Ghani.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Permohonan Anifah batal saman Anwar didengar 7 April


KUALA LUMPUR 25 Feb. – Permohonan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman fitnah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumlah RM100 juta akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 7 April ini.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Anisah Normah Muhammad Nor semasa pengurusan kes itu di kamar beliau hari ini.
Menurut peguam Wan Anuar Shaddat yang mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, permohonan tersebut akan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Prasad Sandosham Abraham.
Wan Anuar berkata, pihak defendan memohon untuk membatalkan saman tersebut kerana mendakwa ia adalah cacat dan menyalah guna proses mahkamah.
Dalam saman yang difailkan pada 25 Mei tahun lalu, plaintif menamakan Anifah selaku defendan pertama berdasarkan kedudukannya sebagai seorang individu dan Anggota Parlimen Kimanis.
Beliau turut menamakan Menteri Luar sebagai defendan kedua sementara Kerajaan Malaysia, defendan ketiga.
Anwar menuntut ganti rugi am RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan selain injunksi untuk menegah defendan melafazkan, bercakap atau menulis mahupun menerbitkan perkataan fitnah itu.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa, Anifah telah membuat kenyataan dalam sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada 16 Mei tahun lalu di Jabatan Negara di Washington.
Menurut plaintif, Anifah dalam kenyataannya mendakwa Anwar pernah menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang menubuhkan kerajaan pada 16 September tahun lalu.
Plaintif juga mendakwa, Anifah memfitnahnya dengan membuat kenyataan bahawa Anwar sedang cuba ‘membeli’ Anggota Parlimen dan memburukkan imej negara.
Tegas beliau, Anifah telah mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta menyebarkan sesuatu yang palsu.

2 pelajar perempuan antara ditahan dalam serbuan narkotik


KULIM 25 Feb. - Tiga pelajar sekolah termasuk dua perempuan ditahan dalam serbuan di Taman Rekreasi Tasik Kulim di sini selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah petang kelmarin.
Ketiga-tiga pelajar dari sebuah sekolah menengah di Kulim itu berusia 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Mohd. Salleh berkata, mereka ditahan pada pukul 4 petang oleh sekumpulan polis narkotik selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.
Katanya, ketika ditahan, semua suspek dikesan berada dalam keadaan khayal.
"Ujian lanjut yang dijalankan kemudiannya mendapati dua pelajar perempuan itu positif dadah jenis morfin sementara pelajar lelaki pula menggunakan dadah jenis syabu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran para pegawai dan anggota polis keturunan Cina di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini hari ini.
Menurut Ghuzlan, kesemua suspek ditahan reman selama seminggu sementara menunggu keputusan pendakwaan kes di mahkamah oleh Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kedah.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, polis di sini berjaya memberkas tujuh lelaki termasuk pengedar dan penagih dadah dalam Ops Tapis yang dijalankan di sekitar Mukim Sedim dan Karangan dekat sini petang semalam.
Katanya, dalam operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kulim, Cif Inspektor A. Rajaram bersama 10 anggota itu, polis turut merampas sejumlah 23 gram dadah dipercayai heroin.
"Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang dipercayai pengedar dadah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Tambahnya, sementara enam lagi suspek berusia sekitar 20-an pula ditahan reman di bawah Seksyen 39(A)2, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya serta Seksyen 3 (1) Akta Rawatan dan Pemulihan Dadah 1983.
Beliau juga menasihati orang ramai terutama ibu bapa supaya mengawasi kegiatan anak-anak mereka bagi mengelak daripada terjebak dalam gejala negatif tersebut.
Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu, Abu Bakar Md. Ali ketika dihubungi pemberita berkata, pihaknya memandang serius kegiatan menyalahgunakan dadah di kalangan pelajar sekolah.
Katanya, Pejabat Pelajaran Daerah akan mengambil tindakan segera termasuk meningkatkan pemantauan di sekolah-sekolah yang mungkin terdedah dengan risiko gejala negatif itu dalam tempoh terdekat.
"Gejala penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah tidak boleh dibiarkan memandangkan ia boleh merosakkan masa depan generasi muda," tegasnya.

PDRM tempatkan pegawai di 6 negara 'panas'


KUALA LUMPUR 25 Feb. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan beberapa pegawainya di enam buah kedutaan Malaysia di negara serantau yang dikategorikan sebagai 'panas' dengan aktiviti jenayah pengeluaran dan pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin berkata, langkah itu bertujuan untuk meningkatkan perkongsian dan pengumpulan maklumat berkaitan dadah di negara berkenaan.
Beliau berkata, malah pihaknya percaya dengan penempatan wakil PDRM di negara-negara terlibat, maklumat risikan juga dapat ditingkatkan di sekitar rantau tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut enam negara serantau berkenaan.
"Negara-negara terbabit telah dikenal pasti mempunyai potensi yang tinggi melakukan kegiatan pengeluaran, pengedaran dan penyeludupan dadah ke negara-negara luar.
"Langkah untuk menempatkan pegawai-pegawai PDRM ke negara-negara tersebut dilihat sangat baik dalam mengekang kegiatan penyeludupan dadah masuk ke Malaysia.
"Kita juga mengadakan kerjasama yang baik dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA), Australia Federal Police (AFP) dan Polis Antarabangsa (Interpol)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Ditanya penglibatan kumpulan mafia antarabangsa yang turut mempunyai rangkaian di Iran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab atau transit jenayah dan dadah, beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat berhubung perkara itu.
"Kita akan mengatur perjumpaan dengan Duta Iran dalam tempoh terdekat. Bagaimanapun, siasatan mendapati setakat ini Malaysia bebas daripada mempunyai kaitan dengan kumpulan mafia antarabangsa.
"Kegiatan penyeludupan dadah masuk ke negara ini yang didalangi warga Iran hanya melibatkan kumpulan mafia Iran dan negara-negara lain," katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kumpulan mafia yang terkenal kerana mempunyai organisasi jenayah tersendiri khususnya dalam pengedaran dadah antarabangsa dikesan kini melebarkan sayapnya ke negara ini.
Perkara itu terbongkar apabila polis menahan tiga warganegara Iran di ibu negara baru-baru ini yang bertanggungjawab menyebabkan ramai rakyat negara tersebut ditahan kerana menyeludup sejumlah besar dadah ke negara ini.
Apa yang mengejutkan, siasatan mendapati mereka disyaki turut mempunyai kaitan dengan kumpulan mafia antarabangsa dari negara itu.
Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, ketiga-tiganya diberkas hasil penahanan 41 warga Iran kerana menyeludup dadah ke negara ini sejak awal tahun ini.
Katanya, ketiga-tiga suspek itu akan melatih dan merekrut rakyat Iran sama ada di negara itu atau yang berada di Malaysia untuk menyeludup dadah.