Search This Blog

Loading...

Thursday, February 25, 2010

70 dikhuatiri masih tertimbus

ANGGOTA penyelamat memindahkan mayat mangsa dari lokasi tanah runtuh di daerah Ciwidey di Bandung, Jawa Barat, semalam. – AP

CIWIDEY Indonesia 24 Feb. – Pasukan penyelamat menggunakan jentera pengorek berat hari ini, bagi membersihkan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang dan menimbus 70 yang lain di pulau Jawa, Indonesia, semalam.

Hujan berhari-hari mengakibatkan tanah runtuh tengah hari semalam di sebuah ladang teh dekat kawasan pergunungan berhampiran kampung Tenjoljaya di daerah Ciwidey, Bandung, wilayah Jawa Barat, yang turut memusnahkan banyak kediaman.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Priyadi Kardono berkata, berpuluh-puluh askar dan pegawai polis bersama-sama dua jentera pengorek, menggiatkan usaha mencari hari ini setelah 15 mayat ditemui daripada timbunan lumpur.

Katanya, insiden itu turut menyebabkan 15 yang lain cedera dengan dua daripada mereka telah dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.

Priyadi berkata, jalan berliku-liku di kawasan pergunungan itu ditambah dengan keadaan yang berlumpur dan lecak, menyukarkan usaha membawa kelengkapan dan anggota penyelamat ke kawasan kejadian, selain kemungkinan berlaku lagi tanah runtuh.

Kata beliau, kira-kira 600 penduduk kampung di kawasan sekitar telah dipindahkan ke kawasan penempatan sementara yang selamat.

Kebanyakan yang dipindahkan, katanya, terdiri daripada penduduk kampung berhampiran yang tidak terlibat tetapi berada di kawasan yang terdedah kepada kemungkinan berlaku tanah runtuh.

Priyadi berkata, 25 orang dipercayai maut di kilang dan pejabat ladang teh tersebut.

“Selain menggunakan jentera berat, kami juga terpaksa mengeluarkan mayat menggunakan tangan.

“Runtuhan tanah yang berlaku juga sangat dalam. Pada peringkat ini, peluang untuk mengeluarkan mangsa hidup-hidup amat tipis,” kata jurucakap polis Jawa Barat, Dade Ahmad.

Di tempat kejadian, penduduk kampung tergamam dan suasana sepi ketika mayat-mayat ditarik keluar daripada timbunan lumpur yang turut merobohkan rumah-rumah, pejabat dan loji pemprosesan teh di ladang berkenaan.

Mangsa yang terselamat berkata, tanah runtuh itu berlaku diiringi bunyi letupan yang kuat tanpa memberi sebarang amaran kepada pekerja-pekerja ladang dan keluarga mereka.

Saksi kejadian berkata, tanah runtuh yang membawa bersama lumpur itu, menggelongsor dari bukit berhampiran dalam bentuk ‘S’ gergasi selepas hujan semalaman, kelmarin. – AGENSI
Add to Google

Warga Sydney suspek bunuh

MELBOURNE 24 Feb. - Seorang lelaki warga Sydney berusia 55 tahun menghadapi pertuduhan memukul hingga mati pemandu di pejabat Konsul Malaysia, Mohd. Shah Saemin, di Leichardt, pinggir bandar Sydney, Ahad lepas.

Polis berkata, lelaki itu ditahan malam tadi oleh detektif dari Skuad Homisid dan polis Leichhardt di sebuah rumah di Brighton Street, Croydon.

Dia dituduh membunuh Mohd. Shah, 43, dan tidak dibenarkan ikat jamin sebelum kes itu disebut di Mahkamah Tempatan Burwood lewat hari ini.

Siasatan kes pembunuhan itu masih diteruskan, menurut laporan Sydney Morning Herald.

Mohd. Shah dikatakan diserang dengan tukul besi dan ditikam oleh dua lelaki di luar unit kediamannya di Marion Street, Leichhardt, kira-kira tengah malam Ahad.

Seorang wanita yang mendakwa menyaksikan serangan itu dan cuba meleraikannya, menjadi pujian kerana usahanya itu.

Berasal dari Melaka, Mohd. Shah yang tinggal di Australia sejak beberapa tahun lepas, kini menjadi warga Australia dan bekerja sebagai pemandu di pejabat Konsul Malaysia di Sydney.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, mayat Mohd. Shah akan tiba di Kuala Lumpur sama ada pada Khamis atau Jumaat.

Polis meminta sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau unit Pembanteras Jenayah di talian 1800 333 000. - Bernama

Keluarga mangsa culik Pulau Sebangkat rayu kesan mangsa

KOTA KINABALU 24 Feb. - Keluarga dua lelaki yang menjadi mangsa culik di Pulau Sebangkat, Semporna merayu semua pihak membantu mengesan dan memastikan kedua-dua mereka selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Chong Man Tung, 45, berkata, sejak kejadian pada 8 Februari lalu itu, dia dan keluarga masih tidak mengetahui nasib adik iparnya, Tsen Vui Chung, 41, dan sepupunya Lai Wing Chau, 26.

''Kami tidak mendengar apa-apa berita sekalipun. Apa yang kami boleh lakukan adalah berdoa agar penculik itu akan membebaskan mereka dengan selamat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Vui Chung yang bertugas sebagai Pengurus Pusat Pembiakan Rumpai Laut, Pulau Sebangkat dan Wing Chau yang bertugas sebagai penyelia dilaporkan hilang selepas sekumpulan lima lelaki merompak pusat berkenaan pada 8 Februari lalu.

Bagaimanapun polis percaya kejadian pada pukul 1.30 pagi itu didalangi penduduk tempatan dan tidak melibatkan jaringan kumpulan pengganas luar negara.

Sehingga kini, polis yakin kedua-dua mangsa masih berada di dalam negara dan tidak dilarikan ke negara jiran.

Man Tung berkata, mereka sekeluarga amat bimbang keselamatan Vui Chung dan Wing Chau kerana tidak mendapat apa-apa berita walaupun peristiwa itu sudah tiga minggu berlalu.

Katanya, sehingga kini pihak polis juga tidak memberikan mereka sebarang petunjuk di mana kedua-dua mangsa itu dijangka ditahan .

''Kalau kami sendiri sudah bimbang, apa lagi isteri dan anak Vui Chung," katanya yang mengharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akan campur tangan membantu mengesan kedua-dua mangsa culik itu.

Man Tung turut mengesahkan sehingga kini, beliau dan keluarganya belum menerima sebarang panggilan telefon atau surat ugutan meminta wang tebusan.

Sindiket antarabangsa perdaya wanita untuk jadi 'keldai dadah'

NEW DELHI 24 Feb. - Sebuah badan pemantauan narkotik antarabangsa hari ini memberi amaran mengenai kumpulan penjenayah antarabangsa yang kini giat menggunakan laman web sosial untuk memperdaya wanita untuk menjadi 'keldai dadah' di Asia.

Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB), sebuah badan bebas pemantauan kuasi undang-undang, dalam laporannya baru-baru ini mendedahkan, lebih ramai wanita muda di Asia kini menjadi mangsa sindiket antarabangsa berkenaan.

"Pengedar dadah kini giat menggunakan laman web sosial untuk menarik perhatian wanita di Asia Tenggara untuk bekerja sebagai 'keldai dadah' di negara-negara di Timur dan Asia Tenggara termasuk Singapura.

"Pengedar dadah berkenaan dipercayai mensasarkan wanita bujang berumur antara 20 hingga 30 tahun yang tidak mempunyai rekod jenayah dan menganggur atau bekerja dalam bidang perkeranian, jualan dan perkhidmatan," menurut laporan INCB 2009 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Dalam laporan itu, dikatakan rantau Asia Selatan telah mencatatkan sedikit kejayaan dalam usaha mengurangkan penanaman pokok popi untuk opium namun keadaan itu tidak kekal lama apabila peratusan penanamannya meningkat sebanyak 3.3 peratus pada 2008, berbanding tahun sebelumnya.

Di samping itu, terdapat peningkatan ketara dalam pengedaran methamphetamine (MDMA) dan pengeluaran MDMA yang juga dikenali sebagai pil ecstasy dan penyeludupan ketamin, satu lagi pil khayal di Asia.

"Di China, 44 makmal terlibat dalam pembuatan ketamin secara haram dan dirobohkan pada 2007," menurut laporan itu.

Kelab malam, disko, bar dan festival muzik menjadi lokasi utama bagi kegiatan penyalahgunaan dadah dan tempat berkenaan boleh digunakan untuk menyebarkan mesej mengenai penyalahgunaan dadah, menurut INCB. - BERNAMA

Cubaan penyamun larikan jongkong tin gagal

Jongkong tin bernilai RM1.3 juta yang dirampas dari sebuah gudang simpanan di Pelabuhan Johor di Pasir Gudang, awal bulan ini. - BERNAMA

JOHOR BAHRU 24 Feb. - Sekumpulan enam penyamun terpaksa berputih mata kerana bukan sahaja gagal melarikan 850 jongkong logam tin bernilai RM1.3 juta malah turut diberkas polis pada 6 Februari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 30 tahun itu ditahan dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam.

Beliau berkata, pada mulanya polis menahan seorang suspek bersama sebuah lori treler yang sarat muatan jongkong curi di sebuah gudang simpanan milik sebuah syarikat Singapura di Setia Alam, Pasir Gudang di sini.

Katanya, susulan penahanan suspek pertama, polis menahan lima lagi termasuk dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes curi kenderaan dan rogol.

"Kesemua tangkapan telah dibawa kepada pertuduhan di mana empat suspek dituduh di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan manakala seorang di bawah Seksyen 109/380 Kanun Keseksaan kerana bersubahat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ekoran itu, Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya kini memburu ketua kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Kamaruzaman Mohamed, bernombor kad pengenalan 770331-08- 6509 dan beralamat terakhir di nombor 1, tingkat 1, blok Gergaru D, Taman Rinting, Masai.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pihaknya berjaya mematahkan cubaan sekumpulan penyamun melarikan empat buah forklift yang disamun di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kota Puteri, Bandar Seri Alam pada 8 Februari lalu.

Katanya, dalam kejadian pukul 9.55 malam itu, 10 lelaki bersenjatakan parang masuk ke dalam kilang sebelum cuba melarikan forklift tersebut dengan menggunakan sebuah treler.

"Bagaimanapun, hasil kepantasan polis, tiga buah kereta peronda yang bergegas ke tempat berkenaan lima minit kemudian dan menahan dua suspek manakala selebihnya berjaya melarikan diri.

"Kita kini masih mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dan menyiasat kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan," katanya.

Sindiket palsu pasport dibongkar

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my


Abdul Jalil Hassan (kiri) melihat cara bagaimana suspek yang kudung sebelah tangan meletak lapisan keselamatan pada pasport warga Indonesia ketika pasukan polis Ampang melakukan serbuan di Ampang Mewah, semalam.

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Hanya dengan bayaran RM150 untuk setiap pasport dan RM25 bagi kad pekerja, seorang lelaki warga Indonesia mengaut keuntungan lumayan apabila menghasilkan ribuan dokumen palsu untuk dijual kepada rakyat negara jiran itu.

Malah kelicikan suspek yang kudung tangan kirinya, berjaya menjalankan aktiviti terbabit sejak setahun lalu tanpa disedari pihak berkuasa dengan keupayaan menghasilkan empat hingga lima dokumen itu sehari.

Namun kegiatan suspek berusia 40-an itu di sebuah rumah kedai empat tingkat di Ampang Mewah di sini, akhirnya terbongkar setelah diserbu sepasukan polis, kira-kira pukul 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, serbuan dilakukan setelah pihaknya menerima maklumat daripada orang awam dan intipan selama empat jam.

Katanya, turut dirampas sejumlah pasport dan kad pekerja asing Indonesia yang telah siap diproses.

"Siasatan mendapati, kesemua proses membuat dokumen perjalanan dan kad pekerja warga Indonesia tersebut dilakukan oleh suspek sendirian.

"Dianggarkan, suspek telah memalsukan kira-kira 1,500 pasport serta kad pekerja sejak setahun lalu," katanya ketika ditemui selepas serbuan di sini malam tadi.

Tambah Abdul Jalil, selain dokumen telah siap, pihaknya turut merampas komputer, mesin pengimbas dan alat pelekat untuk memproses pasport serta kad pekerja terbabit.

Katanya, pelanggan sindiket itu terdiri daripada warga Indonesia yang berhasrat memperbaharui atau membuat dokumen perjalanan dan kad pekerja yang baru.

"Suspek dan rakannya juga akan berkumpul di kawasan yang terdapat ramai warga Indonesia bermasalah dengan dokumen perjalanan dan kad pekerja," katanya.

Beliau memberitahu, terdapat beberapa lagi rakan suspek masih bebas dan dipercayai menjadi orang tengah untuk mencari mana-mana individu yang ingin menggunakan perkhidmatan haram mereka.

Selain itu, jelas beliau, pihaknya akan menghantar pasport milik suspek ke Jabatan Imigresen untuk siasatan bagi memastikan kesahihan dokumen perjalanan tersebut.

Katanya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen, Seksyen 12 Akta Pasport dan Seksyen 473 Kanun Keseksaan.

Eksekutif telekomunikasi ditahan

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Rahsia di sebalik gaya hidup mewah seorang eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi terbongkar tengah malam tadi, apabila dia ditahan polis kerana disyaki menjalankan kegiatan terlarang.

Siasatan awal mendapati suspek berusia 34 tahun itu menjadi dalang di sebalik penjualan klip video lucah kepada pelanggan syarikat itu melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

Seorang pegawai polis yang enggan dikenali mengesahkan suspek memiliki sebuah kereta Porsche dan sebuah BMW serta meraih pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan.

Pegawai itu berkata, setakat ini, lelaki berkenaan telah mengaut pendapatan hampir RM11 juta.

Suspek ditahan para pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman di rumahnya di Putra Heights berhampiran Subang Jaya berikutan satu laporan polis oleh syarikat berkenaan minggu lepas.

Polis memperoleh perintah mahkamah hari ini bagi menahan reman lelaki terbabit selama tiga hari bagi memudahkan penyiasatan.

Penyiasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian telekomunikasi dengan cara yang tidak dibenarkan.

Syarikat telekomunikasi terbabit dikatakan menggantung tugas lelaki berkenaan sementara menunggu hasil penyiasatan lanjut tentang kegiatannya itu. - Bernama

Bapa lega pembunuh diberkas

MELAKA 24 Feb. - Bapa Mohd. Shah, Saemin Mongjin, 70, melahirkan rasa lega dengan penangkapan pembunuh anaknya yang mati ditikam dan dihentak menggunakan tukul di Leichardt, Sydney, Australia, Ahad lalu.

Beliau turut memuji kecekapan polis negara itu yang melakukan siasatan sehingga berjaya menangkap pembunuh anaknya dalam tempoh yang singkat.

''Saya puas hati apabila diberitahu pembunuh anak saya telah ditangkap oleh polis di Australia.

''Saya difahamkan anak saya dibunuh oleh dua lelaki tetapi seorang yang ditangkap dan saya amat berharap polis Australia akan dapat menangkap seorang lagi pembunuh anak saya," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai penangkapan seorang lelaki berusia 55 tahun warga Australia yang menghadapi pertuduhan memukul hingga mati Mohd. Shah, 43, yang juga pemandu di Pejabat Konsul Malaysia di Sydney.

Saemin yang masih tidak dapat menerima hakikat mengenai kematian Mohd. Shah bagaimanapun reda dengan kejadian yang berlaku di luar dugaan itu.

''Sekurang-kurangnya apabila pembunuh Mohd. Shah di tangkap, saya cukup lega dan tahu siapa pembunuhnya," katanya.

Mengenai jenazah anaknya, Saemin berkata, dia telah dimaklumkan jenazah dijangka tiba di Melaka selewat-lewatnya malam ini atau esok.

Upah lumayan, hidup susah faktor warga Iran seludup dadah

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Pendapatan sebagai petani dan guru yang diibaratkan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dikenal pasti punca menyebabkan ramai warga Iran sanggup menjadi 'kurier' untuk membawa dadah ke Malaysia.

Meskipun menyedari risiko boleh dihukum gantung sampai mati jika ditangkap pihak berkuasa negara ini, tetapi upah dijanjikan menyebabkan mereka terpengaruh.

Siasatan mendapati upah lumayan itu adalah di antara AS$1,500 dolar (RM5,100) dan AS$2,000 dolar (RM6,800) bagi setiap penghantaran.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, siasatan mendapati kebanyakan mereka yang ditahan adalah petani dan guru di negara asal.

"Mereka bukan hanya diberi upah lumayan bagi menyeludup syabu dalam bagasi tetapi dadah yang ditelan.

"Setiap bungkusan kecil dadah ditelan akan dibayar AS$20 dolar (RM68) dan purata seorang mampu menelan antara 80 hingga 100 bungkusan kecil dadah dalam perut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Othman, lambakan dadah jenis syabu dari luar negara ke pasaran tempatan ketika ini dipercayai mempunyai kaitan dengan peningkatan permintaan di negara ini.

Beliau berkata, ia juga dipengaruhi oleh kejayaan polis melumpuhkan makmal pemprosesan dadah dan sindiket pengedaran dadah dari semasa ke semasa.

"Kebanyakan makmal dadah sedia ada di Malaysia sudah diserbu oleh polis menyebabkan timbul masalah kekurangan bekalan syabu di kalangan pengedar dan penagih tempatan.

"Ini terbukti apabila Mei lalu, polis merampas lebih 978 kilogram (kg) syabu yang cuba dipasarkan oleh sindiket tempatan di Rompin, Pahang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Othman berkata, kekurangan bekalan dadah, menyebabkan sindiket dadah dari Iran mengambil kesempatan untuk menyeludup syabu ke Malaysia melalui penerbangan.

Beliau berkata, selain itu, ia juga didorong oleh harga dadah tersebut yang kini meningkat berlipat kali ganda.

Menurutnya, harga pasaran syabu mencecah sehingga RM250,000 sekilogram sebelum ini tetapi sindiket dadah Iran mampu menawarkan harga serendah RM100,000 hingga RM175,000.

"Sindiket dadah Iran boleh menawarkan harga syabu lebih murah berkemungkinan disebabkan kos penghasilan dadah itu yang rendah di negara berkenaan," katanya.

Othman memberitahu, ujian makmal mendapati kebanyakan syabu dirampas daripada pengedar warga Iran mempunyai kualiti hampir sama sekali gus menunjukkan ia diperoleh melalui satu sumber.

Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pihak berkuasa Iran sedang bekerjasama erat untuk menjejaki serta memerangi sindiket yang mendalangi aktiviti penyeludupan syabu ke negara ini.

Dalam tempoh dua bulan, katanya, lebih 45 lelaki Iran berusia 22 hingga 58 tahun diberkas polis terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika cuba menyeludup dadah ke Malaysia.

"Sehingga kini, lebih 90kg syabu dengan harga pasaran mencecah RM22.5 juta dirampas dari penyeludup dari Iran.

"Namun, tidak semua dadah yang dirampas itu untuk pasaran tempatan kerana ada antaranya dalam proses dihantar ke China, Filipina dan lain-lain negara," katanya.