Search This Blog

Loading...

Wednesday, February 24, 2010

38 maut, 58 cedera dalam tragedi bas bertembung di Trujillo, Peru



PASUKAN penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas di Trujillo, kira-kira 485 kilometer dari Lima, Peru, kelmarin. Kedua-dua bas bertembung pada waktu subuh mengakibatkan sekurang-kurangnya 38 orang penumpang dilaporkan maut dan 58 orang lagi cedera. - AP


LIMA, Peru 23 Feb. - Dua buah bas yang bertembung di sebuah lebuh raya di timur laut Peru hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dan mencederakan 58 yang lain.Polis dan bomba menggunakan peralatan memotong untuk mengeluarkan mangsa yang cedera dari kedua-dua buah bas yang remuk selepas kemalangan berlaku sebelum subuh di Lebuh Raya Panamerican antara Rio Hondo dan Viru, 485 kilometer di timur laut Peru.
Tiada punca kemalangan rasmi dinyatakan namun akhbar El Comercio menyiarkan gambar yang menunjukkan lebuh raya lokasi kemalangan itu kelihatan tidak mempunyai garisan putih yang cukup jelas bagi memisahkan lorong bertentangan.
"Setakat tengah hari semalam, bilangan mereka yang terbunuh meningkat kepada 38 orang dengan 58 yang lain cedera," kata ketua polis lebuh raya kawasan, Jeneral Eduardo Arteta.
Katanya, tiada pelancong asing yang maut atau cedera dalam kemalangan melibatkan bas ekspres Crisolito dan America Express itu.
Kemalangan di lebuh raya kerap terjadi di Peru kerana keadaan jalan yang teruk, pemandu yang cuai dan kurangnya penguatkuasaan dalam sektor pengangkutan. Angka rasmi menunjukkan kira-kira 3,500 orang terbunuh setiap tahun akibat nahas jalan raya. - AP

Penyelia dipenjara 15 tahun, 10 sebatan


SHAH ALAM 23 Feb. - Akibat terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah, seorang penyelia operasi pasar borong bukan sahaja kehilangan pekerjaan, malah dia turut dihukum penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Siti Mariah Ahmad memerintahkan hukuman penjara terhadap Ahmad Saifudin Abd. Rahman, 34, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 14 Januari tahun lalu selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 61.8 gram methamphetamin (syabu).
Dalam penghakimannya, beliau mengambil kira kesan penggunaan dadah itu di kalangan anak muda walaupun ia kesalahan pertama selain pengakuan tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Siti Mariah sempat bertanya tujuan Ahmad Saifudin terlibat dalam aktiviti penjualan dadah sama ada tertuduh semata-mata mahu mencari duit lebih.
Pertanyaan itu hanya dijawab: ''Kerana desakan hidup''.
Beliau kemudiannya menegur tindakan tertuduh yang bukan sahaja mengakibatkan dia tidak lagi dapat menyumbang wang kepada ibu bapa dan anaknya, malah menyusahkan diri sendiri serta keluarganya.
Ahmad Saifuddin yang juga penagih dadah sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Dia bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pilihan iaitu memiliki 61.8 gram methamphetamin di hadapan lif Hotel Holiday Inn Glenmarie-Kuala Lumpur, Jalan Usahawan U1/8, Seksyen U1, di sini pada pukul 6.15 petang, 14 Januari 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Ghee Phaik manakala tertuduh diwakili peguam Suzana Ismail.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang cuba melarikan diri bersama seorang lagi suspek berjaya ditahan di hadapan lif pada hari kejadian.
Apabila pemeriksaan badan dibuat, polis menjumpai dua bungkusan yang dibalut dengan akhbar di dalam poket kiri seluar yang dipakai tertuduh.
Setiap bungkusan tersebut mengandungi plastik lut sinar berisi serbuk putih yang kemudiannya disahkan syabu.
Terdahulu, Ghee Phaik memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana dadah tersebut mampu merosakkan kehidupan terutamanya di kalangan anak muda yang kerap terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira kesan buruk akibat pengambilan syabu dengan mengemukakan keratan akbar yang memuatkan rencana tentang fakta-fakta mengenai perkara tersebut.
Sementara Suzana pula memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana jumlah dadah yang dimiliki adalah sedikit selain tiada rekod kesalahan lampau serta pengakuan salah sebaik pertuduhan alternatif ditawarkan kepadanya.

Anak sulung Allahyarham Syed Kechik mohon saman dibatalkan


KUALA LUMPUR 23 Feb. - Permohonan anak sulung Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed bagi membatalkan saman yang dikemukakan oleh dua adik perempuannya akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 19 April ini.
Tarikh berkenaan ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Anantham Kasinather ketika kes itu disebut di kamar beliau hari ini.
Pada 24 November tahun lalu, Syed Gamal Syed Kechik Al-Bukhary, 45, selaku defendan telah memfailkan permohonan melalui peguamnya, Atan Mustaffa Yussof Ahmad untuk membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh ketiga-tiga plaintif.
Mereka ialah syarikat Syed Kechik Holdings Sdn. Bhd., Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing selaku plaintif pertama, kedua dan ketiga.
Menurut Atan Mustaffa, permohonan tersebut dikemukakan memandangkan Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada 11 November 2009, telah mengekalkan perintah injunksi bagi melarang harta pusaka yang diwarisi oleh Syed Gamal daripada dijual atau dicairkan.
Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan demikian selepas menolak permohonan dua anak perempuan hasil perkahwinan Syed Kechik dengan isteri barunya, Puan Seri Sofiah Moo Abdullah untuk mengetepikan perintah injunksi tersebut.
Syed Gamal yang juga ahli perniagaan sebelum ini memperoleh perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) pada 14 September 2009 di Mahkamah Tinggi Syariah bagi menghalang penjualan atau pencairan 44 peratus saham miliknya dalam syarikat Syed Kechik Holdings dan harta-harta syarikat yang lain.
Sharifah Zarah dan Sharifah Munirah bagaimanapun telah membawa perkara tersebut ke Mahkamah Tinggi Sivil di sini untuk mendapatkan perintah injunksi sementara.
Sehubungan itu Atan Mustaffa menjelaskan, mahkamah pada tarikh tersebut akan memutuskan isu sama ada anak guamnya mempunyai kepentingan dalam syarikat peninggalan Allahyarham Syed Kechik sementara menunggu penyelesaian kes.
Dalam prosiding pada 15 Januari lalu, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira yang diwakili peguam Datuk Vijay Kumar memperoleh perintah injunksi interim (sementara) bagi menghalang abang sulung mereka daripada mengganggu dan mencampuri urusan pentabdiran syarikat Syed Kechik Holdings.
Pada 9 November tahun lalu, pihak plaintif mengemukakan saman untuk memohon perisytiharan bahawa Syed Gamal tidak mempunyai sebarang hak atau kepentingan dalam syarikat itu sehingga selesai pentadbiran serta pembahagian harta pusaka bapa mereka.
Syed Gamal merupakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama allahyarham dengan bekas isterinya, Zainab @ Eshah Abdullah.

Ketua Imam saman RM5j pengerusi penduduk



MOHAMAD Afandi Che Harun bersama peguamnya, Yumawati Ab IIah (kiri) dan Nur Azlin @Azliana Arifin semasa mengemukakan saman terhadap Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Kerinchi di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/ZAINI HUSIN


KUALA LUMPUR 23 Feb. - Ketua Imam Masjid Bukit Kerinchi hari ini mengemukakan saman RM5 juta terhadap seorang pengerusi persatuan penduduk yang didakwa telah memfitnahnya melalui surat kepada pemimpin dan penduduk di kawasan tersebut.
Ketua Imam 1 Masjid Al-Ikhlasiah Bukit Kerinchi, Mohamad Afandi Che Harun, 33, memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Yusma Azlin & Co. di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini kira-kira pukul 3 petang ini.
Mohamad Afandi selaku plaintif menamakan Mohd. Anuar Idris dan Persatuan Penduduk Taman Desa Kerinchi sebagai defendan pertama dan kedua.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah berkhidmat di masjid tersebut sejak 1 Februari tahun lalu.
Pada 5 Januari lalu, dakwa plaintif, dia telah menerima satu salinan surat tanpa tarikh yang ditulis dan ditandatangani oleh Mohd. Anuar serta dialamatkan kepada Pengarah Jawi.
Surat yang sama turut dihantar kepada Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan penduduk taman itu, pemimpin masyarakat dan ahli kariah Masjid Al-Ikhlasiah Kampung Kerinchi.
Plaintif mendakwa, keesokan harinya dia telah menghubungi defendan pertama untuk berjumpa bagi membincangkan mengenai surat yang berbaur fitnah itu.
Dalam pertemuan itu, Mohd. Anuar didakwa telah mengakui menulis dan menghantar surat tersebut serta enggan menarik balik surat berkenaan.
Selain ganti rugi RM5 juta, plaintif menuntut perintah mahkamah agar kedua-dua defendan membuat permohonan maaf secara terbuka terhadapnya secara bertulis.
Turut dipohon ialah faedah sebanyak lapan peratus terhadap penghakiman, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Mohamad Afandi yang hadir memberitahu, sejak surat fitnah itu tersebar, maruah dan nama baiknya telah tercemar.
''Ia juga menyebabkan ada individu dalam masyarakat yang mula memandang serong kepada saya,'' katanya yang pernah berkhidmat di Masjid Saidina Omar, Bandar Tun Razak selama tujuh tahun.
Surat itu juga telah menyebabkan dirinya mengalami tekanan dan gangguan dalam menjalankan tugasnya.
Menyatakan bahawa saman ini tidak melibatkan mana-mana jabatan, Mohamad Afandi memberitahu, dia ingin mendapatkan pembelaan dan sebagai peringatan kepada orang lain agar tidak mudah menabur fitnah.

Rahsia bengkel akhirnya terbongkar



Junaidi Mohamed melihat lapan buah motosikal curi yang ditemui setelah polis berjaya menahan dua mekanik di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 23 Feb. - Sambutan luar biasa perniagaan sebuah bengkel motosikal diusahakan tiga sahabat menimbulkan rasa curiga penduduk di Taman Medan di sini.Ini kerana rumah yang dijadikan bengkel itu menawarkan alat-alat ganti motosikal dengan harga amat murah.
Namun segala-galanya terbongkar apabila sebenarnya ketiga-tiga 'mekanik' itu adalah pencuri motosikal.
Kejayaan itu diperoleh setelah sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini membuat serbuan di bengkel tersebut kira-kira pukul 8 malam Sabtu lalu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang awam melalui laporan polis.
Katanya, hasilnya, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan yang bertanggungjawab terhadap banyak kehilangan motosikal di taman perumahan itu.
"Siasatan mendapati suspek bersama dua rakannya terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.
"Motosikal itu kemudian dibuka untuk diambil alat gantinya. Ia akan dijual semula kepada pelanggan dengan harga jauh lebih murah," katanya pada sidang akhbar di IPD Petaling Jaya di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, Arjunaidi berkata, polis turut merampas lapan motosikal jenis Yamaha RXZ dan Honda EX5 yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Beliau berkata, polis juga menemui sejumlah alat ganti dipercayai hasil daripada kegiatan mencuri motosikal.
"Kita percaya ketiga-tiga suspek terbabit menjalankan kegiatan haram itu sejak setahun lalu," ujar beliau
Arjunaidi berkata, polis kini sedang mencari dua rakan suspek yang boleh membantu siasatan berhubung kes itu.
Mereka ialah Mazwan Mazlan (gambar), 20, berasal dari Taman Medan dan Shahrul Md. Yusof, 25, dari Kuala Lumpur.
"Sesiapa mempunyai maklumat atau mengenali kedua-dua suspek boleh menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli alat ganti motosikal yang dijual pada harga murah kerana berkemungkinan ia barangan curi.

Kokain: Peniaga Iran ditahan


SHAH ALAM 23 Feb. - Satu lagi cubaan menyeludup masuk dadah ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang didalangi warga Iran berjaya digagalkan oleh Polis Selangor.
Jika sebelum ini, 26 cubaan menyeludup masuk melibatkan dadah jenis syabu, namun tangkapan terbaru kelmarin melibatkan seorang peniaga Iran yang membawa empat kilogram kokain bernilai RM800,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, tangkapan itu dibuat di kawasan tuntutan bagasi KLIA kira-kira pukul 3.45 petang.
Beliau berkata, ketika ditahan, lelaki berusia 35 tahun yang datang dengan penerbangan dari Dubai sedang menarik bagasi miliknya untuk keluar dari terminal dalam keadaan mencurigakan.
"Kita menahan lelaki itu dan selepas bagasi itu diperiksa, kita temui satu ruang khas mengandungi satu bungkusan besar plastik lutsinar yang terbahagi kepada empat bahagian.
"Setiap bahagian mengandungi serbuk disyaki kokain," kata beliau kepada pemberita di pejabat JSJN Selangor di sini hari ini.
Menurut Nordin, siasatan awal pihaknya percaya kokain tersebut bukan untuk pasaran tempatan dan berkemungkinan mahu dihantar ke negara lain.
Beliau tidak menolak kemungkinan dadah itu dibawa masuk ke negara ini kerana boleh dijual dengan harga sekali ganda kepada pengedar dadah antarabangsa iaitu RM250,000 setiap kilogram berbanding jika dipasarkan di Iran.
Tambah beliau, warga Iran yang ditahan reman sehingga 28 Februari itu dipercayai bertindak sebagai kurier dan baru pertama kali datang ke negara ini.
Dalam satu kes berasingan, Nordin berkata, dua lelaki Nigeria yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta di Petaling Jaya dekat sini diberkas kerana memiliki 0.49 kilogram ganja pada Sabtu lalu.
Jelas beliau, lelaki pertama berusia 25 tahun ditahan di sekitar kawasan apartmen Bandar Puteri, Puchong selepas dua bungkusan dadah tersebut ditemui bersamanya.
Seorang lagi yang berusia 24 tahun, tambah beliau, ditahan di apartmen yang merupakan kediaman suspek pertama.
"Kita sedang menyiasat sejauh mana kegiatan kedua-dua pelajar asing itu dan siapakah sasaran pasaran mereka," ujar beliau sambil memberitahu kedua-dua suspek kini direman sehingga Sabtu depan.