Search This Blog

Loading...

Tuesday, February 23, 2010

Isteri ADUN Pelabuhan Klang tuntut fasakh


KLANG 22 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah (gambar) yang sebelum ini keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghadapi tuntutan cerai secara fasakh daripada isterinya, Ramizah Mazlan di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Dalam prosiding sebutan kali pertama di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh hari ini, ahli politik berusia 50 tahun itu memaklumkan beliau telah menerima salinan tuntutan yang difailkan oleh Ramizah pada 13 Februari lalu.
Beliau yang tidak diwakili peguam turut memberitahu tidak bersetuju dengan 19 daripada 24 perkara yang dinyatakan oleh Ramizah dalam permohonan cerai itu.
Abdul Malik kemudiannya memerintahkan Badrul Hisham memfailkan pembelaan terhadap permohonan cerai tersebut serta melantik peguam bagi mewakilinya.
Beliau turut menetapkan 21 April ini untuk sebutan semula kes tersebut.
Ramizah, 39, yang hadir diwakili peguam syarie Norrasyada Osman dan ditemani seorang anaknya, memfailkan tuntutan cerai secara fasakh di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 4 Februari lalu.
Permohonan suri rumah itu dibuat mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 atas tiga alasan yang tidak didedahkan kepada media.
Pasangan itu berkahwin pada 31 Julai 1993 dan mempunyai lima cahaya mata.
Sebelum itu, keadaan di luar mahkamah agak tegang apabila Badrul Hisham tiba-tiba memberi amaran untuk membuat laporan polis selepas salah seorang jurugambar media merakamkan gambar tanpa izinnya.
Beliau yang ketika itu sedang menuruni tangga turut memarahi seorang wartawan yang bertanya tentang kesnya serta terus berpatah balik ke bilik bicara.
Sebaik prosiding selesai, beliau sekali lagi memarahi jurugambar dan wartawan yang menunggu di luar serta mencabar agar mereka turut merakam gambar isterinya yang ketika itu masih berada di pekarangan bilik bicara.
Apabila cabaran itu tidak dihiraukan, Badrul Hisham bertindak merakamkan gambar jurugambar dan wartawan yang sedang menjalankan tugas masing-masing.
Seorang wanita yang agak berusia serta hadir menemani Badrul Hisham turut memarahi dan menghalang media daripada merakamkan gambar ahli politik itu.
Pada 29 Oktober tahun lalu, Badrul Hisham mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR berkuat kuasa serta-merta dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, keputusannya keluar daripada PKR itu disebabkan sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti berkenaan.

Dipenjara 9 tahun sebabkan kematian kekasih isteri


MUAR 22 Feb. - Empat tahun lalu, seorang kerani bank bertindak membunuh seorang lelaki yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya selepas berlaku satu pergaduhan.
Hari ini, lelaki itu bukan sahaja kehilangan isterinya yang gagal dikesan sehingga kini malahan turut dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh tanpa niat.
Mohamad Faizul Md. Said, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku salah menyebabkan kematian Shahril Abdul Satar, 26, di sebuah rumah di Taman Sri Penggeram, Batu Pahat antara pukul 9.30 malam, 24 Jun dan pukul 3.15 petang, 25 Jun 2006.
Selain Mohamad Faizul, tiga lagi lelaki yang terlibat sama dalam pergaduhan itu masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.
Ketiga-tiga mereka yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Mohamad Faizul terdiri daripada Sharun Adnan, 25, dan Hamizullah Abdullah, 26 serta seorang remaja yang kini berusia 19 tahun.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmadi Asnawi berkata, hukuman tersebut adalah sebagai pengajaran agar tiada pihak mengambil tindakan melampaui batas undang-undang.
''Perbuatan keempat-empat tertuduh ini perlu dihukum sebagai pengajaran. Sebenarnya, masalah yang timbul boleh diselesaikan tanpa pembunuhan tetapi anda memilih untuk membunuh tanpa niat.
''Anda bernasib baik kerana Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk meminda pertuduhan namun kalau anda jumpa saya lagi, saya akan menjatuhkan hukuman gantung,'' katanya.
Ahmadi memerintahkan supaya hukuman penjara terhadap kesemua tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 6 Julai 2006.
Keempat-empat tertuduh sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Pertuduhan asal terhadap mereka adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azeezi Nordin. Sharun dan remaja terbabit diwakili peguam bela Sukhdev Singh sementara Mohamad Faizul dan Hamizullah masing-masing diwakili oleh S. Vijaya serta Siti Farha Garieb.
Berdasarkan fakta kes, mayat Shahril ditemui terapung di Sungai Tempayan, Pekan Nanas, Pontian pada 25 Jun 2006 dan pemeriksaan perubatan mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan cekikan di leher.
Mayat mangsa telah dicampak ke sungai berkenaan selepas dia mati dalam pergaduhan dengan keempat-empat tertuduh yang berpunca daripada hubungan sulitnya dengan isteri Mohamad Faizul.

Nakhaie saman fitnah Dr. Asri, Sinar Harian RM1.5 juta


KUALA LUMPUR 22 Feb. - Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad memfailkan saman fitnah RM1.5 juta terhadap bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berhubung kenyataan membabitkan penyelewengan yayasan tersebut.
Nakhaie, 67, selaku plaintif turut menamakan penerbit akhbar Sinar Harian, Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. (Karangkraf) dan enam yang lain daripada akhbar tersebut sebagai defendan.
Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan Ibrahim & Fuaddah di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada pukul 11.22 pagi.
Selain Mohd. Asri sebagai defendan pertama, plaintif menamakan Karangkraf, pencetak, Akhbar Cabaran Sdn. Bhd.; Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub; Sri Diah, Azmi Tarmizi, Lailatun Khalilah Nasir dan Siti Azila Alis sebagai defendan kedua hingga kelapan.
Sri Diah, Azmi dan Lailatun Khalilah adalah editor akhbar tersebut manakala Siti Azila merupakan wartawannya.
Nakhaie dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Asri telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnahnya dalam satu persidangan media pada 1 November tahun lalu dan dua artikel yang diterbitkan Sinar Harian pada 2 dan 5 November tahun tersebut.
Plaintif turut mendakwa kenyataan tersebut telah menyebabkan kewibawaan dan reputasinya kian merosot di mata masyarakat selain beliau merasa tersinggung dan terhina.
Nakhaie juga mendakwa, kenyataan fitnah itu memberi gambaran bahawa beliau seorang yang gila jawatan, memegang jawatan di Yadim untuk mendapatkan keuntungan peribadi dan bukannya atas kepentingan agama serta rakyat.
Selain ganti rugi am RM1.5 juta, plaintif menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi punitif, faedah pada kadar lapan peratus, kos dan relif-relif lain.

Tiga lelaki Aceh dihukum mati


SHAH ALAM 22 Feb. – Tiga lelaki Aceh dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar kanabis seberat 18,216 gram tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Umi Kalthum Abdul Majid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Nasir Muhamad, 30, Abdullah Cut Ali, 37, dan Jamaluddin Ishak, 30, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes tersebut.
Katanya, keterangan pembelaan yang diberikan oleh ketiga-tiga warganegara Indonesia itu ditolak oleh mahkamah kerana ia hanya rekaan dan penafian semata-mata serta tidak berasas.
‘‘Saya dapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah,’’ katanya.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang merupakan pekerja kedai jamu, konduktor bas dan pembuat gril didakwa mengedar kanabis seberat 18,216 gram di Jalan PJS 8/6, Dataran Mentari, Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini pada pukul 10.45 malam, 25 September 2007.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili peguam bela Jagdish Kaur dan dua lagi.
Sebanyak lapan saksi pendakwa tampil memberi keterangan manakala ketiga-tiga tertuduh membela diri secara bersumpah dari kandang saksi.
Mengikut fakta kes, seorang pegawai polis yang menyamar melihat ketiga-tiga tertuduh tiba di hadapan kedai makan Mentari Seri Harmoni Maju dengan sebuah teksi dan sebuah kereta Proton Iswara pada hari kejadian.
Pegawai polis itu kemudian diperkenalkan kepada ketiga-tiga tertuduh sebagai tauke yang ingin membeli ganja sebelum mereka kemudiannya tawar-menawar untuk urusan jual beli dadah tersebut.
Selepas berpuas hati dengan duit yang dibawa, tertuduh dan pegawai polis itu berjalan ke belakang but kereta Iswara dan melihat dua guni bertulis CLS di dalamnya.
Apabila tali guni itu dibuka, beberapa ketulan ganja berbalut kertas timah dengan plastik lutsinar terdapat di dalamnya.
Sebaik sahaja guni itu dipegang untuk dikeluarkan oleh tertuduh, pasukan polis yang sedia menunggu di kawasan berhampiran telah menyerbu dan menahan ketiga-tiga tertuduh.

Lelaki cuba bunuh diri berjaya diselamatkan


KOTA KINABALU 22 Feb. - Akibat tekanan hidup seorang lelaki berusia 50 tahun nekad untuk terjun dari tingkat 11 Menara Jubili di sini hari ini.
Bagaimanapun tindakannya itu gagal selepas berjaya diselamatkan oleh pihak bomba dan seorang pemandu di Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Menceritakan detik cemas itu, pemandu STB tersebut, Yahya Salim, 30, berkata, dia ternampak lelaki berkenaan keluar dari tingkap di tingkat 11 bangunan itu ketika sedang berehat di bawah.
"Saya terus bergegas ke atas dan mendapati dia sudah mengeluarkan seluruh badannya dan bersedia untuk terjun.
''Selain saya, beberapa orang yang datang cuba memujuk termasuk pengurus bangunan yang cuba untuk memberi angpau kepada lelaki berkenaan tetapi tidak diendahkan.
''Setelah hampir sejam memujuknya, salah seorang anggota bomba memecahkan tingkap bersebelahan lelaki tersebut dan dengan pantas menyambar lelaki berkenaan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Niam Hing Ming, berkata, sepasukan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke bangunan berkenaan selepas menerima laporan kecemasan pukul 4.10 petang.
''Walaupun dipujuk beberapa kali, lelaki tersebut nekad hendak terjun dari bangunan tersebut.
''Bagaimanapun selepas melihat dia sedikit leka, anggota bomba dengan bantuan pemandu STB itu terus menggunakan peluang menangkap dan seterusnya menyelamatkan lelaki berkenaan," katanya.

Bapa mahu pihak berkuasa siasat kematian anak


MELAKA 22 Feb. - Bapa kepada pemandu Konsulat Malaysia yang mati ditikam di Sydney awal pagi tadi, mahu pihak berkuasa di negara itu menyiasat punca sebenar kematian anaknya.
Seamin Mongin, 70, pada masa yang sama juga berharap kedutaan Australia di Malaysia dapat menjelaskan bagaimana kejadian itu boleh berlaku.
Menurutnya, ini kerana dia hanya dimaklumkan oleh Kedutaan Malaysia di Australia yang anaknya itu, Mohd. Shah, 43, meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Sydney.
"Kira-kira pukul 3 pagi tadi, seorang kenalan arwah di Sydney, menghubungi saya dan memaklumkan arwah terlibat dalam kemalangan. Lima jam selepas itu, seorang pegawai daripada kedutaan kita juga memaklumkan perkara sama.
"Mereka mengucapkan takziah dan bertanya sama ada mahu jenazah dikebumikan di sana (Australia) atau di Malaysia. Saya cakap mahu dikebumikan di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Haji Ibrahim, Kampung Tambak Paya, di sini hari ini.
Bernama hari ini melaporkan mangsa yang telah mendapat kerakyatan Australia dan tinggal di Sydney sejak kira-kira tiga tahun lalu mati ditikam dan dihentak menggunakan tukul.
Kejadian dipercayai dilakukan oleh pembuli jalanan ketika mangsa tiba di rumahnya di Marion Street yang terletak di pinggir bandar sebelah barat Leichhardt.
Menurut Seamin, dia hanya mengetahui kisah sebenar menimpa anak kedua dari lima beradik itu apabila diberitahu oleh anak saudaranya yang terbaca mengenai berita kematian tersebut di Internet tengah hari ini.
"Saya berharap pihak berkuasa di sana dapat menyiasat dan mencari pembunuhnya," katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.
Tambahnya, anaknya itu telah menetap di Australia sejak hampir 17 tahun lalu dan pernah bekerja di rumah kebajikan sebelum menjadi pemandu konsulat sejak kira-kira lima tahun lalu.
"Arwah merupakan seorang anak yang baik, penyayang dan sentiasa telefon dan bertanyakan khabar kami di sini.
"Kali terakhir kami sekeluarga berjumpa dengannya adalah pada Aidilfitri tiga tahun lepas," katanya sambil menambah arwah telah berkahwin dengan wanita Australia sejak 17 tahun lalu tetapi telah lama berpisah dan tidak mempunyai anak.
Sementara itu, Kementerian Luar akan berkerjasama dengan kerajaan Australia untuk membawa pulang jenazah Allahyarham Mohd. Shah secepat mungkin sekiranya keluarganya berhasrat berbuat demikian.
Timbalan Menterinya, A. Kohilan Pillay ketika dihubungi hari ini berkata, malah wakil kementerian itu telah dihantar ke lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai berita tersebut.
Ditanya mengenai siasatan awal kes tersebut, beliau berkata, kementeriannya menyerahkannya kepada polis negara itu untuk tindakan lanjut.

Pembunuhan pemandu pejabat konsul malaysia diselubungi misteri

MELBOURNE 22 Feb. - Kematian pemandu di Jabatan Penuntut Malaysia akibat ditikam dan dibelasah dengan tukul di Sydney, masih diselubungi mistri.

Polis berkata, ada kemungkinan, Mohd. Shah Saemin, 43, menjadi mangsa pergaduhan di jalan raya pada pagi Isnin.

Saksi berkata, mereka melihat dua lelaki mengejar Mohd. Shah di seberang sebatang jalan raya, sebaik saja mangsa sampai di rumahnya di Leichhardt, sejurus selepas tengah malam Isnin.

"Kami percaya telah berlaku satu kemalangan jalan raya...sejurus sebelum serangan itu berlaku," kata Pemangku Supritendan Shayne Woolbank seperti yang dipetik agensi berita Australian Associated Press.

Ditanya sama ada serangan itu berpunca daripada pergaduhan di jalan raya, Woolbank berkata: "Ini antara kemungkinannya". Penyerang terbabit kali terakhir dilihat meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta sedan berwarna hitam dan polis mengesahkan seorang daripada mereka berambut kerinting.

Imej tentang pembunuhan itu, yang disiarkan di televisyen Australia dan akhbar Sydney hari ini, menunjukkan seorang petugas wanita di pejabat konsul Malaysia, menjerit dan menangis.

Anggota pasukan bantuan kecemasan dipanggil membantu mangsa, yang akhirnya meninggal dunia walaupun para pegawai polis memberi bantuan pernafasan menggunakan kaedah CPR kepadanya.

"Pada peringkat ini, kami percaya dia cedera akibat beberapa kesan tikaman serta luka dan calar," kata Woolbank.

Beliau juga mengesahkan tukul mungkin digunakan dalam serangan itu.

"Tidak syak lagi, ini satu serangan ganas," katanya.

Mohd. Shah kini adalah warganegara Australia dan tinggal di Sydney sejak kira-kira tiga tahun lepas.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Pejabat Konsul Malaysia di Australia, Dr. Mohd Nasir Abu Hassan berkata, petugas di pejabat itu terkejut dengan kejadian berkenaan.

"Dia sangat baik dan tidak banyak cakap. Dia seorang yang sangat tenang dan amat patuh pada arahan," katanya.

Dr. Mohd. Nasir berkata, persiapan sedang dibuat bagi menghantar pulang mayat mangsa kepada keluarganya di Malaysia.

Beliau berkata, Mohd. Shah telah menetap di Australia selama 10 tahun dan bertugas dengan pejabat berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dalam kenyataannya hari ini, berkata kementerian berkenaan telah dimaklumkan tentang kematian Mohd. Shah, yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada keluarga dan waris mangsa.

"Mereka memohon agar mayat Mohd. Shah dibawa pulang untuk dikebumikan di Melaka," kata beliau.

Anifah berkata, Mohd. Shah telah melepaskan taraf warganegara Malaysianya pada 2004 dan menjadi warganegara Australia serta tinggal di Sydney sejak kira-kira tiga tahun lepas.

"Kementerian ini mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd. Shah atas pemergian Allahyarham dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya melalui pejabat Suruhanjaya Tinggi kita di Australia," katanya.

"Saya menggesa polis Australia dan pihak berkuasa berkenaan di negara itu supaya menjalankan penyiasatan penuh terhadap kes ini bagi memastikan sama ada kejadian berkenaan merupakan kes samseng jalanan, bukan jenayah disebabkan kebencian terhadap kaum," katanya. - Bernama

Pemandu Konsulat kita dibunuh di Australia


MELBOURNE 22 Feb. - Seorang pemandu konsulat Malaysia di Australia mati akibat ditikam dan dipukul dengan tukul besi di Sydney malam tadi.
Keganasan jalan raya mungkin menjadi motif pembunuhan lelaki berusia 43 tahun yang telah mendapat kerakyatan Australia dan menetap di Sydney kira-kira tiga tahun lalu.
Saksi berkata, mangsa dilihat dikejar dua orang lelaki ketika tiba di kediamannya di Marion Street, bandar kecil Leichhardt, sebelah barat Sydney selepas tengah malam tadi.
"Kami percaya mungkin berlaku kemalangan jalan raya tidak lama sebelum serangan berlaku," kata Pemangku Supritendan Shayne Woolbank yang dipetik akhbar The Daily Telegraph pagi ini.
Penyerang dilihat meninggalkan kawasan itu dengan sebuah kereta sedan berwarna hitam.
Pasukan kecemasan yang dihubungi gagal menyelamatkan lelaki berketurunan Melayu itu, walaupun selepas polis memberi bantuan pernafasan.
Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia di Australia, Dr. Mohd Nasir Abu Hassan menggambarkan mangsa sebagai 'kawan yang sangat akrab' dan tidak mungkin terlibat dengan pergaduhan.
Nama mangsa, bagaimanapun masih belum disiarkan. - BERNAMA