Search This Blog

Loading...

Monday, February 22, 2010

Penolong Penguasa SPRM didakwa setuju terima rasuah RM250,000

Penolong Penguasa SPRM didakwa setuju terima rasuah RM250,000


M.MOHAN (kiri) menutup mukanya ketika berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam, selepas dituduh meminta dan bersetuju menerima suapan RM250,000.


SHAH ALAM 19 Feb. - Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta dan bersetuju menerima suapan RM250,000 daripada suspek yang disiasatnya pada Oktober tahun lalu.
M. Mohan, 37, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Tertuduh yang merupakan Penolong Penguasa SPRM Selangor didakwa meminta rasuah sebanyak RM250,000 daripada A. Sinnaiah serta bersetuju menerima RM200,000 daripada lelaki tersebut.
Wang suapan itu sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap Sinnaiah yang disyaki memberi rasuah kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat SPRM, Tingkat 14, Plaza Masalam, Jalan Tengku Ampuan Zabedah E9/E, Seksyen 9 di sini antara pukul 11 pagi dan 1 tengahari, 22 Oktober tahun lalu.
Bagi pertuduhan meminta rasuah, Mohan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 17(a) akta yang sama bagi perbuatan bersetuju untuk menerima rasuah.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd. Asnawi Abu Hanipah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Ratha Krishnan yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh berkerjasama dengan SPRM sepanjang dia disiasat.
Kata beliau, anak guamnya yang telah berkhidmat selama 15 tahun dengan SPRM juga membiayai rawatan ibu bapanya di Institut Jantung Negara (IJN) selain menyara abang yang buta dan terencat akal.
Azhaniz Teh membenarkan Mohan dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000 beserta seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya sebagai syarat jaminan.
Beliau turut menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 23 Ogos ini.

Peralatan kilang mayonis dicuri


MELAKA 21 Feb. - Belum pun sempat beroperasi, sebuah kilang menghasilkan mayonis dari Jepun kerugian hampir RM100,000 apabila pelbagai peralatan dan mesin dari kilang itu dicuri di Kawasan Perindustrian Serkam Fasa 11 Halal Hub Serkam (Serkam Hab Halal), Jasin.
Kehilangan 22 jenis peralatan dan mesin termasuk tujuh unit pendingin hawa itu disedari penolong pengurus syarikat dari Jepun yang melawat kilang itu kira-kira pukul 8.30 pagi Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, pihaknya percaya kecurian itu berlaku antara 12 hingga 18 Februari lalu semasa cuti sempena sambutan Tahun Baru Cina.
"Ketika melawat kilang tersebut, pengurus lelaki berusia 45 tahun itu terkejut apabila mendapati kesemua mesin dan peralatan yang belum dipasang di kilang itu lesap.
"Kesemua barangan yang dicuri itu dianggarkan bernilai RM100,000," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan awal polis mendapati, rompakan itu mungkin didalangi orang dalam kerana tiada kesan pecah masuk di bangunan kilang itu.
Che Suza berkata, polis telah menahan tiga suspek lelaki berusia antara 20 dan 50 tahun yang bekerja dengan syarikat keselamatan di situ tidak lama selepas pihaknya menerima laporan.
Selain itu, katanya, pihaknya turut memburu seorang lagi pekerja syarikat keselamatan itu iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun.
Keempat-empat mereka baru bekerja di kawasan perindustrian itu sejak awal bulan ini.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tujuh tahun penjara dan denda.
Sementara itu, Pengarah Urusan kilang berkenaan, Daisaburo Asada, 44, berkata, kecurian mesin itu menjejaskan perancangan pengeluaran syarikatnya.
Kejadian itu turut mengundang kemarahan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang turut melakukan lawatan mengejut ke kilang berkenaan.

KDRM tumpaskan cubaan seludup dadah

Mohd Isa Endot (tengah) menunjukkan mesin pemanas air yang diisi dadah jenis ketamin disembunyikan oleh seorang rakyat Thailand pada sidang akhbar di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Padang Besar, semalam. - UTUSAN/Faizal Abu Hassan




PADANG BESAR 21 Feb. - Cubaan menyeludup 28.8 kilogram dadah jenis ketamin bernilai hampir RM0.5 juta berjaya ditumpaskan oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di pintu masuk sempadan Thailand-Malaysia di sini semalam.

Penjenayah, seorang lelaki warga Thailand cuba menyeludup dadah dalam bentuk serbuk itu dengan memasukkannya ke dalam sebuah mesin pemanas air dan satu bekas air keluli.

Pengarah KDRM negeri, Mohd. Isa Endot berkata, penyeludup berusia lingkungan 50-an itu melarikan diri ketika kereta Toyota Corona yang dipandunya ditahan untuk pemeriksaan.

"Sewaktu pemeriksaan dibuat kira-kira pukul 3.50 petang, lelaki tersebut mendakwa mesin pemanas air dan bekas air keluli itu milik rakannya dan dia akan membawa rakannya itu ke pusat pemeriksaan tersebut secepat mungkin untuk pengesahan.

"Setelah menunggu kira-kira setengah jam, lelaki itu tidak juga muncul, kami terus membuat ujian imbasan terhadap dua alat tersebut dan menjumpai 25.8 kilogram ketamin bernilai kira-kira RM464,0000," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari in

Warga emas maut dibelasah

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my

JELI 21 Feb. - Seorang warga emas meninggal dunia kira-kira empat jam selepas dibelasah oleh penduduk kampung yang berang dengan tindakannya membawa seorang gadis ke kawasan perkelahan Lata Renyok dekat sini malam tadi.

Yusoff Che Mahmud, peniaga yang berusia 63 tahun sebelum itu dikatakan telah membawa seorang pelajar perempuan tingkatan empat membeli-belah di bandar Tanah Merah pada sebelah petang.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Supritendan Mohd. Hanifah Abd. Malik berkata, tindakan lelaki itu bagaimanapun dilihat oleh salah seorang rakan pelajar terbabit yang kemudian memaklumkannya kepada penduduk kampung.

Menurutnya, selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, beberapa penduduk kampung telah mengekori pergerakan mangsa dan gadis itu sehingga ke tempat perkelahan Lata Renyok di Jalan Kuala Balah kira-kira pukul 9 malam.

"Mangsa yang menyedari diekori sekumpulan lelaki menggunakan beberapa buah kenderaan, cuba berpatah balik namun van yang dinaikinya telah dihalang.

"Dia kemudian ditarik keluar sebelum dibelasah kumpulan tersebut. Selepas mengalami kecederaan teruk, lelaki itu dihantar pulang ke rumah isterinya di Kampung Lakota.

"Mangsa kemudian dibawa ke hospital Jeli namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 pagi akibat kecederaan teruk yang dialaminya," katanya.

Menurut Mohd. Hanifah, berikutan kejadian itu, polis menahan seramai 15 individu yang disyaki terlibat dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali memberitahu, mangsa merupakan seorang pesara tentera yang berasal dari Kampung Lubok Bongor di sini dan kini menetap di Kampung Lakota.

Gadis dibelasah, 'diculik' 11 jam

Oleh SHAMARUDDIN SAIDIN
pengarang@utusan.com.my


Nor menunjukkan salinan laporan polis dalam keadaan matanya yang masih lebam, di Seremban, semalam.

SEREMBAN 21 Feb. - Akibat kecewa cintanya ditolak, seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu pejabat sanggup membelasah kerani wanita di tempat kerjanya selain melarikan mangsa selama 11 jam dari rumah sewanya di Paroi Jaya, di sini baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku pada 16 Februari lalu itu mengakibatkan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nor, 21, lebam di bahagian muka dan kepala selain terpaksa menerima rawatan di hospital.

Mangsa mendakwa, dia turut mengalami trauma selepas kejadian itu apabila dibelasah tanpa henti oleh lelaki itu, sepanjang dibawa menaiki kereta dari rumah sewanya ke kampung pembantu pejabat berkenaan di Tampin.

Nor yang bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan di sini menceritakan pengalaman ngeri itu ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, insiden tersebut bermula apabila lelaki itu yang berusia 27 tahun datang ke rumah sewanya di Paroi Jaya kira-kira pukul 11.30 malam pada 16 Februari lalu menaiki sebuah kereta Proton Wira.

"Saya keluar untuk berjumpa dengannya yang ketika itu berdiri di luar pintu pagar. Tiba-tiba, dia terus menumbuk muka saya sehingga menyebabkan saya terjatuh.

"Selepas itu, saya cuba bangun dan sambil menangis bertanyakan kenapa dia memukul saya," katanya.

Menurut Nor, lelaki itu terus memarahinya kerana mendakwa dia telah menolak cinta lelaki itu sambil terus menumbuk mukanya beberapa kali lagi.

Dia berkata, dalam keadaan muka berlumuran darah, lelaki itu kemudian menarik dan menolaknya masuk ke dalam kereta sebelum dipaksa duduk di tempat letak kaki sebelah pemandu.

"Lelaki itu terus memecut keretanya ke lokasi yang saya tidak ketahui dan terus memarahi saya kerana menolak cintanya.

"Sambil menangis, saya merayu supaya dilepaskan tetapi tanpa sebarang belas kasihan lelaki itu terus menumbuk kepala saya bertubi-tubi sehingga tangan kanannya patah," ujarnya.

Kerana panik melihat mangsa yang semakin tidak bermaya, suspek kemudian membawa mangsa ke rumah keluarganya di Tampin kira-kira 80 kilometer dari sini.

Tambah Nor, apabila sampai ke rumah keluarga lelaki itu, suspek mengugut supaya dia memberitahu ibunya bahawa kecederaan yang dialami itu akibat kemalangan motosikal.

"Lelaki itu kemudian meminta saya masuk ke dalam sebuah bilik dan menyuruh saya berehat sementara dia tidur di ruang tamu.

"Pada pagi keesokan, ketika lelaki itu pergi ke hospital untuk merawat tangannya yang patah, saya terus melarikan diri dari rumah berkenaan," ujarnya.

Menurutnya, dia terpaksa bersembunyi di sebalik tembok yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah itu sebelum menghubungi rakannya untuk meminta bantuan.

"Kira-kira sejam kemudian, rakan saya datang menyelamatkan saya dan terus ke balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin yang mengesahkan kejadian itu memberitahu bahawa suspek sudah ditahan kelmarin.

Menurutnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.