Search This Blog

Loading...

Saturday, February 20, 2010

Bomoh didakwa rogol anak tiri depan ibu

IPOH 19 Feb. - Atas alasan ingin menurunkan ilmu yang diamalkannya, seorang bomoh didakwa telah merogol anak tirinya yang berusia 24 tahun.

Lebih menjijikkan, perbuatan sumbang mahram itu dipertontonkan di depan ibu mangsa.

Tidak tahan dengan perbuatan tersebut dan ugutan tertuduh untuk membunuh ibunya, mangsa membuat laporan polis pada 13 Februari lalu menyebabkan bapa tirinya hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini.

Warga emas berusia 70 tahun itu didakwa melakukan perbuatan sumbang mahram ke atas anak tirinya itu pada pukul 1 pagi 2 Februari lalu di rumahnya di Kampung Changkat Tin, Tanjung Tualang, Batu Gajah di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berbadan kurus bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Noor Hayati Haji Mat selepas pertuduhan dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izalina Rajaai yang mengendalikan pendakwaan pada mulanya tidak menawarkan jaminan atas alasan tertuduh mungkin mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, katanya, jika mahkamah cenderung untuk berbuat demikian, beliau memohon tertuduh dikenakan jaminan RM15,000.

Tertuduh yang memakai baju biru dan berseluar panjang coklat memohon jumlah tersebut diringankan atas alasan faktor usia dan tidak sihat.

Noor Hayati membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 berserta seorang penjamin dan mengarahkan lelaki itu tinggal di rumah berasingan serta dilarang mengganggu mangsa.

Beliau juga menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Dua saksi dakwa terima wang bukan pelik

TEMERLOH 19 Feb. - Dua saksi dalam kes rasuah membabitkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa penerimaan wang tunai dalam satu majlis yang dihadiri mereka bukan sesuatu yang pelik dan menghairankan.

Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Maran, Nasaruddin Abdullah, 47, berkata beliau tidak berasa pelik selepas menerima wang daripada seorang lagi AJK UMNO Bahagian itu, Datuk Khadri Musa pada satu majlis di rumah Naib Ketua UMNO Temerloh, Mohammad Anuar Yunus pada 20 Januari tahun lalu yang turut dihadiri Mohamad Norza.

Ketika disoal balas peguam Halimi, Jahaberdeen Mohd. Yunoos mengenai alasan kenyataannya itu, Nasaruddin yang merupakan saksi pendakwaan ke-12 berkata, mereka berdua sering berbalas memberikan wang.

Jahaberdeen: Bila Datuk Khadri bagi (wang), adakah kamu rasa pelik?

Nasaruddin: Biasa saja, sebab biasa jumpa, dia (Khadri) bagi duit, kadang-kadang saya bagi duit kat dia...kami sama-sama kontraktor.

Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Hairy, saksi itu berkata, beliau ada menerima wang berjumlah RM300 dan telah membelanjakannya.

Ditanya sama ada beliau mengetahui siapa yang sebenarnya memberikan wang itu, Nasaruddin berkata, beliau tidak mengetahuinya.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri menerusi ejennya, Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung UMNO Mac tahun lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Januari tahun lalu di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan pula didakwa atas dua tuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Sementara itu, seorang lagi saksi, pegawai seranta Felda, Shaiful Azman Mohtar Afendi, 46, juga menyatakan beliau tidak hairan dengan pemberian wang oleh Khadri pada majlis itu kerana telah mengenali individu tersebut sejak kecil lagi.

Katanya, Khadri kadang-kadang meminta wang daripadanya selain beliau sendiri ada meminta wang daripada kawannya itu.

Malah Shaiful Azman yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Maran berkata, ketika menghadiri majlis tersebut, Khadri mengetahui beliau baru sahaja pulang daripada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu dan mungkin memerlukan wang.

Jahaberdeen: Jadi dalam minda, kamu rasa pemberian duit ini, kawan yang bagi sebab dia prihatin?

Shaiful Azman: Ya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azuar Che Yusof bersambung pada 2 April depan. - BERNAM

Penolong Penguasa SPRM didakwa setuju terima rasuah RM250,000

M.MOHAN (kiri) menutup mukanya ketika berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam, selepas dituduh meminta dan bersetuju menerima suapan RM250,000.

SHAH ALAM 19 Feb. - Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta dan bersetuju menerima suapan RM250,000 daripada suspek yang disiasatnya pada Oktober tahun lalu.

M. Mohan, 37, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Tertuduh yang merupakan Penolong Penguasa SPRM Selangor didakwa meminta rasuah sebanyak RM250,000 daripada A. Sinnaiah serta bersetuju menerima RM200,000 daripada lelaki tersebut.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap Sinnaiah yang disyaki memberi rasuah kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat SPRM, Tingkat 14, Plaza Masalam, Jalan Tengku Ampuan Zabedah E9/E, Seksyen 9 di sini antara pukul 11 pagi dan 1 tengahari, 22 Oktober tahun lalu.

Bagi pertuduhan meminta rasuah, Mohan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 17(a) akta yang sama bagi perbuatan bersetuju untuk menerima rasuah.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd. Asnawi Abu Hanipah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Ratha Krishnan yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh berkerjasama dengan SPRM sepanjang dia disiasat.

Kata beliau, anak guamnya yang telah berkhidmat selama 15 tahun dengan SPRM juga membiayai rawatan ibu bapanya di Institut Jantung Negara (IJN) selain menyara abang yang buta dan terencat akal.

Azhaniz Teh membenarkan Mohan dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000 beserta seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya sebagai syarat jaminan.

Beliau turut menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 23 Ogos ini.

5 ditahan proses dadah dalam pondok

TAIPING 19 Feb. - Sepasang suami isteri adalah antara lima ditahan dalam serbuan di sebuah pondok yang dijadikan pusat memproses dadah di Taman Tekah Permai, Aulong di sini Ahad lalu.

Dalam serbuan pukul 1.50 pagi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM93,750 selain menemui wang tunai berjumlah RM16,723.

Turut dirampas, empat buah kereta jenis Toyota Hilux, Honda Stream, Mini Cooper dan Perodua MyVi serta sebuah motosikal Yamaha 125S.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, sindiket ini berselindung di sebalik pondok aktiviti riadah yang dibina tiga bulan lalu untuk memproses dadah.

"Ketika serbuan, kita menahan peniaga berusia 44 tahun bersama seorang warga Thailand berumur 28 tahun.

"Hasil siasatan lanjut, polis kemudian menahan isteri peniaga terbabit yang berusia 34 tahun, seorang wanita berumur 31 tahun dan seorang lelaki yang memandu kereta kepunyaan peniaga itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Suspek tipu 29 mangsa ditahan

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Hanya menggunakan kemahiran menyamar sebagai pengusaha kantin dan restoran, sepasang lelaki dan wanita mampu memperdayakan 29 mangsa di sekitar Lembah Klang.

Malah, mereka bermaharajalela dengan menjalankan kegiatan menipu itu selama lapan tahun hasil kecekapan dan kelicikan mereka.

Namun, perbuatan jahat mereka itu berakhir apabila ditahan pada 10 Februari lalu ketika hampir memperdaya seorang lagi mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, modus operandi digunakan ialah dengan mengunjungi taman perumahan kononnya untuk mencari pembantu.

Katanya, pembantu itu dikehendaki bagi menjaga premis perniagaan mereka.

"Mereka yang berminat akan dibawa ke hospital atau pusat perubatan berhampiran dengan alasan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Namun, ketika ujian x-ray, pasangan itu akan menawarkan diri menjaga barangan mangsa sebelum melarikannya," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, dalam kejadian terbaru, mangsa yang menyedari kejadian itu bertindak pantas menghubungi polis sebelum kedua-dua suspek berkenaan berjaya diberkas.

Katanya, suspek wanita berusia 42 tahun dan temannya yang berusia 45 tahun ditahan pada pukul 5 petang di perkarangan sebuah hospital di ibu negara ketika cuba memperdaya seorang mangsa.

"Polis telah merampas wang RM450, dua buah telefon bimbit dan pelbagai dokumen dipercayai milik mangsa daripada pasangan itu," katanya.

Tambahnya, di kawasan Cheras, polis menerima sebanyak 12 laporan berhubung modus operandi yang sama.

"Siasatan mendapati suspek wanita tersebut memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes curi, menculik dan curi kenderaan," katanya.

Pusat judi terbesar di Perak diserbu

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my


Beberapa anggota polis mengangkut sebahagian daripada 65 mesin slot judi dari sebuah premis yang diserbua di Mambang Di Awan di sini kelmarin.

KAMPAR 19 Feb. - Walaupun baru seminggu beroperasi, sebuah pusat judi haram yang terletak di Mambang Di Awan di sini begitu cepat 'menempah nama' sehingga dianggap sebagai yang terbesar di negeri ini.

Berbekalkan 64 buah mesin slot judi yang kesemuanya bernilai kira-kira RM256,000, pusat judi ini pada asalnya dibuka sebagai pusat hiburan keluarga, menjalankan kegiatan pertaruhan haram di ruang belakang premis.

Namun, kegiatan berani pengusaha sindiket itu tidak bertahan lama apabila premis itu diserbu sepasukan anggota polis, petang semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 3.30 petang itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,800.

Turut ditahan, seramai 37 kaki judi yang sedang leka bertaruh dan tiga pengendali premis berkenaan.

Serbuan dilakukan oleh 16 anggota polis yang diketuai Asisten Supritendan Nur Ashyikin Abdullah dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, pusat hiburan keluarga itu pada asalnya menempatkan mesin permainan biasa, tetapi ia kemudian menambah ruangan di bahagian belakang bagi menempatkan mesin-mesin judi.

"Kejayaan ini adalah hasil maklumat awam serta risikan pihak polis dan ini adalah serbuan yang terbesar di Kampar dan Perak pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di premis itu mendapati, serbuan tersebut menarik perhatian ratusan penduduk di sekitar pekan Mambang Di Awan yang mengerumuni premis itu untuk melihat apa yang terjadi.

Ini kerana kaki-kaki judi yang ditahan adalah penduduk tempatan dan mereka saling mengenali antara satu sama lain.

Abdul Aziz berkata, semua kaki judi yang ditahan adalah lelaki yang berusia antara 20 tahun hingga 65 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk diambil keterangan.

"Tiga pengendali premis tersebut pula ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953," katanya.