Search This Blog

Friday, February 19, 2010

21 warga Afghanistan cuba seludup keluar ke Australia ditahan polis

SHAH ALAM 18 Feb. - Polis menahan 21 lelaki warga Afghanistan serta seorang tekong bot tempatan berusia 43 tahun dipercayai cuba memboloskan diri ke Indonesia sebelum diseludup masuk ke Australia.

Kesemua mereka ditahan dalam satu serbuan ketika kesemua warga asing berkenaan berkumpul menunggu sebuah bot di kawasan Muara Sungai Changkat di Sungai Haji Dorani, di sini, kira-kira jam 10.15 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, tangkapan itu dibuat hasil bantuan daripada orang ramai dan tindakan pantas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut membuat intipan sebelum serbuan itu dilakukan.

Katanya, hasil pemeriksaan, kesemua warga Afghanistan berusia 20 hingga 30 tahun itu masuk ke negara dipercayai sejak 7 dan 8 Februari lalu.

Jelasnya, ada di antara warga asing itu masuk ke negara ini melalui penerbangan dari Dubai dengan menggunakan pas pelancong manakala sebahagian lagi menerusi secara haram mengikut jalan darat dari Thailand sebelum menjadikan negara ini sebagai transit.

''Hasil siasatan awal mendapati semua mangsa terbabit diarahkan berkumpul di ibu negara, sebelum berjumpa dengan 'seseorang' di kawasan Sekinchan, di sini pada 15 Februari lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Noor Mushar, kesemua warga asing itu telah dihantar ke Depot Jabatan Imigresen di Sepang untuk tindakan selanjutnya bagi disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Katanya, kesemua 21 mereka cuba diseludup masuk dari negara asal untuk diperdagangkan ke negara luar.

''Kita sedang mengesan dalang atau individu yang terbabit dalam sindiket ini. Kita juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi warga asing terlepas dalam operasi semalam dan gerakan mengesan mereka telah dilancarkan," jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mendapat perintah mahkamah bagi menahan tekong bot tersebut selama seminggu kerana suspek dipercayai bertanggungjawab dalam urusan membawa kesemua warga asing itu keluar dari negara ini.