Search This Blog

Thursday, February 18, 2010

4 ditahan seludup warga asing

JOHOR BAHRU 17 Feb. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2 hari ini menahan empat lelaki tempatan yang cuba menyeludup masuk tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini di perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi.

Timbalan Komander Markas tersebut, Supritendan N. Kalai Chelvan berkata, kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 pagi tadi ketika cuba memasuki perairan negara ini.

Katanya, semasa menjalankan operasi 'Ops Octopus', pihaknya mengesan kehadiran dua bot pancung dalam keadaan mencurigakan di perairan itu. Ketika cuba dihampiri, kedua-dua bot tersebut memecut laju untuk melarikan diri.

"Selepas dikejar selama 10 minit, kami berjaya menahan kedua-dua bot itu.

"Hasil pemeriksaan, salah satu daripada bot itu membawa tiga pendatang asing bersama dua tekong tempatan manakala sebuah lagi bot dinaiki dua lelaki tempatan.

"Siasatan awal mendapati, salah seorang daripada pendatang asing yang ditahan itu disyaki terlibat dengan kes curi motosikal di Taman Universiti baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kalai Chelvan, kedua- dua bot yang dirampas kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan susulan.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/1957 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menggunakan pangkalan yang tidak diwartakan untuk tujuan penyeludupan PATI secara haram," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PGM mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai untuk sama-sama membanteras kegiatan penyeludupan PATI ke negara ini.

ADUN Sekinchan boleh didakwa cuai - Polis

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim yang terlibat dalam kemalangan dengan seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam pada 7 Februari lalu boleh didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara cuai dan tidak cermat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, ketika ini, kertas siasatan berhubung kes kemalangan itu telah disiapkan dan sudah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Katanya, dalam kertas siasatan kemalangan itu, pihaknya telah mencadangkan agar Suee Lim dituduh mengikut seksyen terbabit.

"Kita masih menunggu arahan daripada DPP untuk pertuduhan. Bagaimanapun, kertas siasatan telah kita hantar kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pondok Polis Taman Ampang Utama, Ampang di sini hari ini.

Pada majlis itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sumbangan pondok polis bit tersebut daripada penduduk perumahan itu yang terdiri daripada warga Korea bagi memastikan keselamatan kawasan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam pada 7 Februari lalu, Mohd. Bakri Mohd. Bazli, 23, cedera parah di kepala setelah terlibat dalam kemalangan dengan kereta yang dipandu oleh Suee Lim di Seksyen 7, Shah Alam.

Berikutan kejadian itu, penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Wilayah itu terpaksa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa Suee Lim cuba memberi sogokan kepada saksi kemalangan itu, Khalid menjelaskan setakat ini pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan tersebut.

Katanya, jika dakwaan demikian benar, saksi boleh membuat laporan polis.

Tiada wang tebusan dituntut

KOTA KINABALU 17 Feb. - Polis hari ini menafikan khabar angin bahawa kumpulan yang merompak dan melarikan dua pekerja pusat ternakan rumpai laut di Pulau Sebangkat, Semporna pada 8 Februari lalu, menuntut wang tebusan.

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, khabar angin itu adalah tidak berasas dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kita tidak dengar perkara ini (tuntutan wang tebusan), malah setakat ini tidak ada perkembangan terbaru berhubung kes ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Noor Rashid mengulas khabar angin kononnya penjenayah yang melarikan dua pekerja tersebut meminta wang tebusan sebanyak 1 juta tetapi tidak dinyatakan matawang negara mana.

Khabar angin lain yang tersebar kononnya wang tebusan itu dituntut oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf dari selatan Filipina iaitu kumpulan yang sama melakukan penculikan di Pulau Sipadan, Semporna, pada April tahun 2000.

Polis bagaimanapun sebelum ini telah menafikan penculikan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut tetapi ia berkemungkinan dilakukan oleh warga tempatan.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi pada 8 Februari lalu, dua lelaki berusia 25 dan 40 tahun itu hilang dilarikan lima lelaki bersenjata raifal yang merompak pusat ternakan rumpai laut seluas 20 hektar itu.

Noor Rashid berkata, sehingga kini, keluarga mangsa tidak memaklumkan apa-apa mengenai perkara itu dan polis percaya ia merupakan khabar angin yang disebar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Jelas beliau, ketika ini, ramai pihak membuat pelbagai cerita dan dakwaan tidak benar selain menyebarkan khabar angin berhubung kejadian itu.

"Polis juga ada menerima pelbagai cerita dan khabar angin termasuk ada yang ingin menjadi orang tengah dan bermacam-macam lagi. Ini semua perbuatan yang tidak bertanggungjawab," tegasnya.

4 ditahan seludup warga asing

JOHOR BAHRU 17 Feb. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2 hari ini menahan empat lelaki tempatan yang cuba menyeludup masuk tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini di perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi.

Timbalan Komander Markas tersebut, Supritendan N. Kalai Chelvan berkata, kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 pagi tadi ketika cuba memasuki perairan negara ini.

Katanya, semasa menjalankan operasi 'Ops Octopus', pihaknya mengesan kehadiran dua bot pancung dalam keadaan mencurigakan di perairan itu. Ketika cuba dihampiri, kedua-dua bot tersebut memecut laju untuk melarikan diri.

"Selepas dikejar selama 10 minit, kami berjaya menahan kedua-dua bot itu.

"Hasil pemeriksaan, salah satu daripada bot itu membawa tiga pendatang asing bersama dua tekong tempatan manakala sebuah lagi bot dinaiki dua lelaki tempatan.

"Siasatan awal mendapati, salah seorang daripada pendatang asing yang ditahan itu disyaki terlibat dengan kes curi motosikal di Taman Universiti baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kalai Chelvan, kedua- dua bot yang dirampas kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan susulan.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/1957 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menggunakan pangkalan yang tidak diwartakan untuk tujuan penyeludupan PATI secara haram," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PGM mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai untuk sama-sama membanteras kegiatan penyeludupan PATI ke negara ini.

Pencuri bisu akhirnya tertangkap

MELAKA 17 Feb. - Sikap seorang lelaki bisu yang merendah diri dan berkelakuan baik di kampungnya membuatkan penduduk di Selandar, Jasin dekat sini bersimpati dengan kecacatan yang dialaminya.

Kekurangan yang ada pada pemuda berusia 24 tahun itu sedikitpun tidak menyebabkan penduduk di situ memandang serong, apatah lagi untuk menyisihkannya.

Setiap kali solat lima waktu, pemuda itu tidak pernah terkecuali bersembahyang bersama jemaah lain. Itu sudah membayangkan peribadinya yang baik pada mata kasar penduduk di situ.

Namun agak mengejutkan apabila pemuda bisu itu yang sering mendapat simpati daripada penduduk Selandar rupa-rupanya seorang pencuri yang cukup licik.

Dia bijak menggunakan peluang yang ada untuk mencuri wang daripada tabung kutipan jemaah di tiga buah masjid di Jasin sejak awal bulan ini.

Bagaimanapun, kelicikan lelaki tersebut terbongkar apabila dia diberkas oleh seorang anggota polis di Masjid At-Taqwa di Kampung Rim, kira-kira pukul 7.45 pagi kelmarin.

Sebaik sahaja diberkas, polis dan jemaah masjid terkejut apabila mendapati pemuda yang ditahan itu adalah seorang pemuda bisu yang sering menunaikan solat di masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika ditahan, polis menemui alat pemotong kunci yang disimpan dalam beg galas dan wang berjumlah RM600 yang disembunyikan dalam seluar dalam suspek.

"Polis turut menemui empat telefon bimbit yang dipercayai dicuri dalam beg galas suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, polis bertindak memburu penjenayah itu selepas menerima tiga laporan mengenai kecurian duit tabung di tiga masjid di daerah ini.

"Kita membuat intipan di beberapa buah masjid lain di daerah ini apabila kejadian ketiga dilaporkan berlaku pada 29 Januari lalu di Kampung Rim," katanya.

Menurut Che Suza, pemuda itu diberkas oleh seorang anggota polis yang sedang menyiasat kes itu yang secara kebetulan berada di Masjid Kampung Rim.

Katanya, anggota polis terbabit mengesyaki sesuatu apabila ternampak kelibat seorang lelaki berlari dalam keadaan tergopoh-gapah.

"Menyedari sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu, anggota polis tersebut terus bertindak menahannya. Selepas diperiksa, polis menemui alat pemotong kunci, sejumlah wang dan telefon bimbit.

"Malah wang tunai RM600 yang ditemui itu dipercayai dicuri dari tabung masjid tersebut," katanya.

Berdasarkan siasatan awal polis, katanya, suspek dikatakan terlibat dalam beberapa kejadian kecurian yang dilaporkan di beberapa buah masjid sebelum ini.

Berikutan itu, kata Che Suza, suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sindiket edar DVD haram terbesar tumpas

PULAU PINANG 17 Feb. - Satu sindiket pengedaran cakera video digital (DVD) cetak rompak dan lucah terbesar di negeri ini tumpas selepas polis merampas pelbagai jenis peralatan untuk memproses cakera optik itu bernilai lebih RM10 juta di sini hari ini.

Kejayaan dicapai selepas polis menyerbu sebuah premis di Lebuh Macallum kira-kira pukul 3 petang ini, hasil risikan sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri di kedai terbabit selama tiga hari.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, dalam serbuan itu, tujuh individu iaitu tiga lelaki Myanmar dan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dipercayai pekerja premis itu turut ditahan.

Menurutnya, polis merampas sebuah mesin pencetak khas yang dipercayai diimport dan mampu menghasilkan 6,000 keping DVD dalam tempoh sejam.

"Sebanyak 10 buah pembuat salinan DVD yang mempunyai 120 dek dan mampu menghasilkan 10,000 keping DVD dalam tempoh sejam dan pelbagai perkakasan lain turut dirampas.

"Dalam serbuan itu, kita turut merampas sebanyak 200,000 keping DVD yang siap dicetak dan dipercayai untuk edaran di kawasan utara," katanya kepada pemberita di premis yang diserbu itu di sini hari ini.

Tambahnya, semasa serbuan dilakukan, kesemua pekerja sedang leka dengan tugas masing-masing di premis itu.

Kata beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi di premis itu sejak dua bulan lalu.

"Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan. Polis akan menggiatkan usaha untuk mencari saki baki ahli sindiket terbabit termasuk memburu ketuanya," katanya.

Menurut Ayub, kes itu disiasat mengikut Seksyen 18(4) Akta Hak Cipta 1987 dan Seksyen 41(D) Akta Hak Cipta 1987.

Warga asing seludup dadah RM1.5j

Oleh nor sedek ismail


Nordin Kadir (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis heroin dan syabu yang berjaya dirampas di KLIA sewaktu sidang media di IPK Selangor, semalam.

SHAH ALAM 17 Feb. - Belum reda isu penyeludupan dadah membabitkan warga Iran, Polis Selangor hari ini mengumumkan kejayaan terbaru menahan tiga warga asing termasuk seorang dari negara tersebut bersama 10 kilogram dadah bernilai RM1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Ketiga-tiga mereka termasuk dua warga Pakistan ditahan secara berasingan hasil pemeriksaan di KLIA sejak 11 Februari lalu sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, selain dadah, turut ditemui wang asing berjumlah AS$1,589 (RM5,443.69) dan RM1,900 daripada mereka yang ditahan.

Untuk kes lelaki Iran terbaru yang ditahan, dia tiba ke KLIA dari Dubai pada 12 Februari lalu dan ketika diperiksa, polis menemui dadah jenis syabu seberat empat kilogram bernilai RM1 juta dalam bagasi dan jaket yang dipakainya.

"Sementara kes dua warga Pakistan itu pula, lelaki pertama berusia 30 tahun tiba dari Doha, Qatar pada 11 Februari lalu bersama dua kilogram heroin bernilai RM160,000.

"Lelaki kedua yang berusia 36 tahun pula datang ke negara ini semalam dengan membawa empat kilogram heroin bernilai RM320,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kumpulan mafia yang terkenal kerana mempunyai organisasi jenayah tersendiri khususnya dalam pengedaran dadah antarabangsa kini dikesan cuba melebarkan sayapnya ke negara ini.

Perkara itu terbongkar apabila polis menahan tiga warga Iran di ibu negara baru-baru ini yang bertanggungjawab menyebabkan ramai rakyat negara tersebut ditahan kerana menyeludup sejumlah besar dadah ke Malaysia.

Apa yang mengejutkan, siasatan mendapati mereka disyaki turut mempunyai kaitan dengan kumpulan mafia antarabangsa dari negara itu.

Nordin memberitahu, ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 25 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Polis, menurut beliau, tidak menolak kegiatan penyeludupan dadah itu didalangi sindiket antarabangsa berikutan lebih 40 individu dari Iran ditahan menyeludup dadah ke Malaysia sejak awal tahun ini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kes terbaru ini turut melibatkan sindiket yang sama.

"Kita juga akan terus mengadakan kawalan dan pemeriksaan ketat di pintu-pintu masuk utama negara dan tumpuan sudah pasti akan diberikan terhadap mereka yang datang dari negara Timur Tengah," tegas beliau.