Search This Blog

Loading...

Tuesday, February 16, 2010

14 maut dalam nahas jalan raya semalam

KUALA LUMPUR: Hari kesembilan Ops Sikap ke-21 semalam mencatatkan 14 lagi kematian dengan penunggang dan pembonceng motosikal mangsa korban teramai apabila menyumbang kepada 11 kes di seluruh negara.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman Supt Rasdi Ramli berkata, tiga kematian lagi membabitkan pengguna kereta dan jumlah keseluruhan mangsa korban sepanjang Ops Sikap kini meningkat kepada 136 orang.

"Lima kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, empat di jalan negeri, tiga di jalan bandaran dan satu di lebuh raya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 302 kes diikuti jalan persekutuan (294 kes), jalan negeri (170 kes), lebuh raya (71 kes) dan jalan-jalan lain (48 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 885 kes.

Katanya, dalam operasi semalam, sebanyak 13,014 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-21 yang bermula Ahad lalu sempena Tahun Baru Cina akan berakhir pada 21 Februari depan. - Bernama

Zulkifli dakwa ada unsur sabotaj dalam tindakan lembaga disiplin PKR

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin, mendakwa ada unsur sabotaj apabila lembaga disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menetapkan Khamis ini sebagai tarikh bersidang kes beliau.

Beliau berkata, ini kerana pada waktu itu beliau akan berada di Korea Selatan untuk menghadiri persidangan kepimpinan bersama 11 lagi Ahli Parlimen Pembangkang sehingga 25 Februari.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tindakan itu sebagai satu hukuman awal parti terhadapnya.

AS sahkan tangkap 'orang kuat' nombor dua Taliban

ISLAMABAD: Amerika Syarikat (AS) sebentar tadi mengesahkan komander tentera Taliban ditangkap di Pakistan dalam satu operasi bersama antara perisik AS dan Pakistan.

Pegawai kanan AS yang enggan namanya disiarkan berkata, Mullah Abdul Ghani Baradar, orang kanan kepada pemimpin Taliban, Mullah Muhammad Omar kini ditahan untuk siasatan sejak beberapa hari lalu.

Pegawai perisikan pula Pakistan berkata, Baradar ditahan di ibu kota Karachi 'kira-kira 10 hari lalu'.

Akhbar The New York Times yang pertama melaporkan penahanan Baradar dalam edisi laman web beritanya, awal hari ini. - AP

15 deret rumah kedai hangus terbakar di Yan

YAN: Sebanyak 15 deretan rumah kedai, termasuk dua kedai emas musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Limau Dalam, di sini, tengah hari tadi.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kebakaran itu dan pihak berkuasa masih mengenal pasti punca kebakaran.

Pasangan suami isteri ditahan bersama 4.5kg dadah

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah serta dua beradik lelaki ditahan ketika sedang melakukan urusan jual beli dadah di Plaza Tol Bandar Baharu, Lebuhraya Utara Selatan, Rabu lalu.

Pasangan berusia 24 tahun itu serta pelangan mereka, iaitu dua beradik lelaki berusia 27 dan 19 tahun ditahan polis di tempat parkir plaza tol berkenaan kira-kira jam 11.15 malam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata dalam serbuan yang dilakukan anggota dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim/Bandar Baharu itu berjaya merampas 10 paket dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram bernilai RM100,000 yang diletakkan di dalam kereta Proton Iswara milik pasangan terbabit.

"Siasatan mendapati pasangan suami isteri itu adalah pengedar dadah dan ia dipercayai mahu menjual dadah kepada dua beradik lelaki itu yang juga rakan mereka.

"Kita juga percaya bekalan itu diperoleh dari Pulau Pinang dan polis masih menyiasat sama ada pasangan itu terbabit dengan mana-mana sindiket dadah," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Syed Ismail berkata, ketika ditahan, pasangan suami isteri itu turut membawa seorang kanak-kanak perempuan berusia dua setengah tahun dipercayai anak mereka di dalam kenderaan terbabit.

Suami tikam isteri minta cerai sebelum tikam diri

MUAR: Persis drama televisyen, orang ramai yang berada di sekitar sebuah stesen minyak di pekan Pagoh dekat sini malam semalam, menyaksikan seorang lelaki mengejar seorang wanita yang meluru keluar dari sebuah kereta sebelum menikamnya.


Dalam kejadian 11.40 malam itu, lelaki berkenaan kemudian bertindak menikam perutnya sendiri selepas melihat wanita tersebut rebah dan berlumuran darah.


Ketua Polis Daerah Muar ACP, Mohammed Nasir Ramli, ketika memberitahu pemberita mengenai kejadian itu hari ini berkata, kedua-dua mereka adalah pasangan suami isteri yang dipercayai bertengkar di dalam kereta sebelum insiden itu.


"Dipercayai lelaki warga Indonesia bertaraf penduduk tetap berusia 41 tahun itu berang apabila isterinya seorang rakyat tempatan meminta cerai," katanya.


Mohamed Nasir berkata, siasatan awal juga mendapati lelaki yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Pagoh itu berada di bawah pengaruh alkohol.


Dalam insiden itu, wanita berusia 37 tahun tersebut yang juga ibu kepada tiga anak berusia lima dan 18 tahun cedera di bahagian kanan dada, sementara suaminya parah dengan kesan tikaman di perut.


Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kecederaan parah dengan senjata tajam. - Bernama

Penipuan e-Perbankan kini makin serius

ORANG ramai dinasihatkan tidak menyerahkan maklumat diri kepada pihak ketiga. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kes penipuan siber e-Perbankan kini terbukti semakin serius apabila Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendedahkan mereka menerima lebih 100 aduan dalam tempoh dua bulan tahun ini berbanding 200 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.


Setiausaha Agung FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah berkata, selain kes penipuan melibatkan e-Perbankan, terdapat juga aduan yang diterima mengenai usaha mencuri identiti pengguna untuk digunakan dalam perlakuan jenayah siber lain.


"Kes ini semakin meluas dan masalah ini berlaku kerana pengguna kurang mengetahui mengenai perkara ini.


"Sebagai pengguna, kita harus ingat bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat identiti diri sama ada kata laluan atau sebagainya kepada pihak kedua," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Amukan suami dari Madura

BEBERAPA anggota polis menjalankan siasatan di lokasi berlakunya pembunuhan Mat Aspain di Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.




KUALA LUMPUR - Sikap cemburu meluap-luap seorang suami selepas mendapati seorang lelaki cuba memikat isterinya mendorongnya bertindak di luar batasan apabila dia dipercayai membunuh lelaki itu semalam.


Kejadian pukul 2 petang di sebuah tapak projek perumahan di Batu 5, Jalan Ipoh di sini itu berlaku apabila suspek dari Madura, Indonesia yang berusia dalam lingkungan 30-an bertindak menyerang mangsa dengan mengelar leher dan perutnya.


Ketika ditemui, mayat Mat Aspain, 33, dari Jawa Timur berada dalam keadaan mengerikan dengan lehernya hampir putus manakala isi perutnya terburai dikelar dengan senjata tajam.


Sebaik membunuh mangsa, suspek bertindak melarikan diri bersama isterinya yang berusia dalam lingkungan 30-an dengan ditemani beberapa rakan.


Difahamkan, mangsa baru sahaja dalam proses hendak memikat isteri suspek dan belum pernah mengadakan hubungan seks atau keluar bersama.

52 orang Islam ditahan sempena Hari Valentine

Operasi mencegah maksiat yang dijalankan oleh Jawi sekitar hotel dan rumah tumpangan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.




KUALA LUMPUR 15 Feb. – “Jangan ambil gambar, nanti isteri tahu, saya datang sini kerana dia (teman wanita) mahu beri hadiah Hari Valentine.”


Begitulah reaksi seorang lelaki berusia 30-an ketika gambarnya bersama kekasihnya dirakam pihak media dalam satu operasi malam semalam.


Lelaki itu dicekup bersama pasangannya kerana berdua-duaan di tempat sunyi di Tasik Titiwangsa, dalam satu operasi cegah maksiat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang bermula pukul 10 malam.


Operasi selama lima jam itu berjaya menahan 52 orang Islam kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Wilayah Persekutuan, Zainul Abidin Mat Nor berkata, operasi turut dijalankan di lapan buah hotel bajet di sekitar ibu negara.


Katanya, daripada jumlah itu, lapan individu ditahan mengikut Seksyen 27 kerana berkhalwat, manakala 44 lagi individu ditahan mengikut Seksyen 29 kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.


“Kesemua yang ditahan sudah bekerja dan masih belajar, berusia antara 16 dan 30 tahun.


“Sementara itu, di Wilayah Persekutuan Labuan, empat individu ditahan kerana minum arak dan dua pasangan remaja dicekup kerana berkhalwat,” katanya di pejabat Jawi di sini semalam.


Operasi itu melibatkan 50 anggota penguatkuasa Jawi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Utusan Malaysia yang turut menyertai operasi terbabit mengesan pelbagai gelagat dan alasan diberi oleh pasangan-pasangan terbabit ketika ditahan pihak penguat kuasa.


Kebanyakan mereka memberi alasan dalam perancangan berkahwin, terpaksa menginap di hotel selepas penat bersiar-siar dan tidak sempat membeli tiket bas pulang ke kampung halaman.


Malah, ada juga gadis berusia 16 tahun yang ditahan bersama abang angkat serta seorang lagi lelaki lain di dalam sebuah bilik sama.


Gadis itu mendakwa lari dari rumah dan mendapatkan perlindungan daripada abang angkatnya kerana malu gambar bogelnya disebar oleh bekas teman lelakinya sebelum ini.


Turut ditahan ialah seorang wanita berusia 24 tahun yang hanya memakai coli dan seluar dalam di sebuah bilik hotel.

Cegah maksiat: Pondan mengaku guru antara yang diberkas

MELAKA 15 Feb. - Seorang pondan yang mendakwa dirinya guru di sebuah sekolah di sini diberkas dalam satu operasi bersepadu mencegah maksiat di sini awal pagi ini.


Ketika diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), lelaki berperwatakan wanita berumur 40 tahun itu sedang berdua-duaan dengan pasangannya di dalam sebuah kereta Proton Gen2 di lorong belakang Medan Selera Samudera di sini.


Bagaimanapun, pasangannya sempat melarikan diri meninggalkan 'kekasihnya' itu yang berjaya diberkas tiga penguat kuasa JAIM yang terpaksa bergelut selama kira-kira dua minit sebelum menangkapnya.


Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rahimin Bani, pondan yang memakai gaun pendek dan berselipar labuci itu mendakwa dirinya seorang guru sebuah sekolah di sini.


"Tolonglah lepaskan saya. Saya baru saja sampai di sini," kata lelaki berbadan gempal dan berambut pendek itu.


Menurut Rahimin, pondan tersebut ditahan di bawah Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah negeri 1991 kerana kesalahan lelaki berpakaian seperti wanita.


Selain lokasi tumpuan pondan, operasi selama tiga jam bermula pukul 2 pagi itu turut menyasarkan kawasan pasangan berdua-duaan di dalam kereta dan pusat-pusat hiburan yang beroperasi lebih masa sekitar Taman Merdeka, Bukit Rambai, Pantai Klebang, Bachang, Bukit Beruang dan pusat bandar.


Dalam operasi itu, JAIM turut menahan dua pasangan yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidur di dalam kereta.


Kedua-dua pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 53 enakmen sama kerana berkurung sehingga mendatangkan syak.


Operasi diketuai Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah MBMB, Mohd. Derus Tompang itu berakhir pada pukul 5 pagi.

Lima perancang keganasan di Australia dipenjara

SYDNEY 15 Feb. - Lima lelaki yang dituduh merancang satu serangan menggunakan senjata dan bahan letupan untuk membantah penglibatan Australia dalam 'perang keganasan' dijatuhkan hukuman penjara antara 23 tahun hingga 28 tahun, selepas perbicaraan paling lama di negara itu berakhir hari ini.


Kesemua lelaki tersebut, yang nama mereka tidak dibenar disiarkan, didakwa di mahkamah pada Oktober lalu kerana memiliki senjata api, bahan-bahan kimia dan arahan pembikinan bom, bersama-sama dengan propaganda untuk melancarkan serangan ke atas sasaran yang tidak dikenal pasti.


Hakim Anthony Whealy yang menjatuhkan hukuman berkata, rancangan jahat itu sering 'mempunyai kelemahan di dalam kebijaksanaan', namun berjaya ditangani apabila kelima-lima mereka di tahan pada tahun 2005.


"Tiada sebarang alasan untuk meragui perkara tersebut, tiada gangguan daripada pihak berkuasa, rancangan itu mungkin akan dilaksanakan pada awal tahun 2006 atau sekitar tahun itu," kata Whealy dalam satu sesi pendengaran di Mahkamah Agung New South Wales.


Kesemua lelaki daripada Sydney itu, warga Lubnan, Libya dan Bangladesh yang mendapat taraf kerakyatan Australia dijatuhkan hukuman penjara maksimum 23 hingga 28 tahun, dengan ketiadaan parol dalam tempoh singkat 17 tahun dan tiga bulan.


Kelima-lima mereka yang berusia antara 25 hingga 44 tahun, menunjukkan sedikit reaksi dan segelintir daripada mereka tersenyum sesama sendiri semasa Whealy meninggalkan mahkamah.


"Itu merupakan satu hukuman yang besar, pembunuh pun tidak dijatuhkan hukuman sedemikian," menurut kakak seorang lelaki terbabit.


"23 tahun, itu separuh daripada hidupnya. Ia tidak adil kepadanya, masyarakat kami dan agama kami," katanya.


Menurut hakim, terdapat bukti di mana kesemua mereka mahu mewujudkan kemusnahan harta benda yang serius, dan menyebabkan risiko yang tinggi terhadap orang awam, meskipun niat mereka untuk membunuh tidak begitu jelas. - AFP

Kereta api bertembung, 20 maut

KAWASAN kejadian dua kereta api yang bertembung di Buizingen dekat Halle, Belgium semalam, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 penumpang. - AP/ REUTERS






BRUSSELS 15 Feb. - Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan ramai lagi cedera parah apabila dua kereta api komuter yang penuh sesak bertembung secara berdepan pada waktu puncak di luar ibu negara Belgium ini hari ini.


Kejadian itu berlaku dalam cuaca bersalji dekat pekan Halle, 15 kilometer ke barat daya Brussels sekitar 8.30 pagi (3.30 petang waktu Malaysia).


"Maklumat terbaru yang kami terima ialah 20 orang maut," kata Datuk Bandar, Dirk Pieters kepada Radio Belgium.


Syarikat kereta api kebangsaan, SNC dan operator landasan Infrabel belum dapat mengesahkan jumlah korban.


"Polis bagaimanapun menganggarkan sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam kemalangan itu," kata jurucakap Infrabel, Fanny Charpentier, dengan menambah dua kereta api pada mulanya terlibat dalam pertembungan itu.


"Rempuhan itu begitu kuat, kereta api tidak sempat membrek, banyak gerabak terbalik dan ramai penumpang dalam keadaan terkejut," kata seorang penumpang menurut laman web RTL TV.


Kemalangan yang berlaku pada waktu puncak itu turut melibatkan tren ketiga dan menyebabkan gangguan besar pada lalu lintas kereta api.

Perkhidmatan kereta api laju Thalys dan Eurostar keluar masuk Brussels teruk terjejas, menurut kedua-dua operator.


Thalys melaporkan tiga tren terlibat dan menasihatkan penumpang mengubah jadual perjalanan mereka.


Eurostar memberi amaran 'perkhidmatan mungkin digantung sepanjang hari ini'. - AFP

Empat wanita ditembak mati di selatan Thai



SEORANG wanita dipercayai ibu mangsa diiringi ahli keluarganya melihat mayat anak perempuannya yang dipercayai dibunuh oleh puak pemisah di Narathiwat, selatan Thailand, semalam. - AFP

NARATHIWAT 15 Feb. - Empat orang ditembak mati dalam dua insiden di selatan Thailand sejak dua hari lalu, kedua-duanya melibatkan seorang wanita dan anak perempuannya.

Seorang wanita Islam dan anak perempuannya ditembak mati di sebuah kebun getah di wilayah Narathiwat hari ini, kata pegawai polis, Kapten Heraman Jaedee.

Katanya, wanita berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa keselamatan dan mungkin dibunuh untuk menghalangnya daripada menyalurkan maklumat kepada mereka.

Dalam insiden semalam, seorang wanita beragama Buddha dan anak perempuannya berusia 14 tahun ditembak mati oleh penyerang berkenderaan ketika mereka menaiki motosikal untuk pulang ke rumah di wilayah Pattani, kata Kolonel Polis, Naraecha Suwanlapa.

Lebih 3,900 orang terbunuh dalam pergolakan di selatan Thai sejak enam tahun lalu.

Keganasan itu termasuk tembakan dari kenderaan, serangan bom dan kepala mangsa dipenggal.

Mangsa serangan selalunya terdiri daripada penduduk beragama Buddha dan Islam yang ada kaitan dengan kerajaan Thai, seperti anggota polis, askar, pegawai kerajaan dan guru.

Penempatan puluhan ribu anggota polis dan askar di bawah undang-undang keselamatan yang ketat belum dapat membendung keganasan tersebut.

Wilayah-wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat adalah sebahagian daripada sebuah kesultanan Melayu sebelum ditawan oleh Thailand seabad yang lalu. - Reuters

Polis minta suami mangsa ah long tampil

Anggota bomba cuba memadam kereta seorang wanita yang dibakar ah long di Taman Sri Rampai, Setapak, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Polis meminta suami kepada wanita yang dipercayai menjadi mangsa tindakan ah long yang membakar kereta isterinya di Setapak, awal pagi semalam, tampil membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, wanita itu menyatakan pernah didatangi oleh individu tidak dikenali dan menuntut hutang suaminya.


Katanya, selain itu, suami mangsa juga sudah lima bulan meninggalkan keluarganya serta tidak dapat dihubungi.


“Kita tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh ah long,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.


Menurut Zakaria, siasatan mendapati lelaki itu telah membuat pinjaman wang daripada beberapa orang dan rumah mangsa juga sebelum ini pernah disimbah cat.


Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun bersama dua anaknya berusia tiga dan lima tahun singgah di rumah ibu mertuanya di Taman Sri Rampai, Setapak di sini, selepas selesai membeli-belah untuk persiapan menyambut Tahun Baru Cina.


Bagaimanapun, kereta jenis Hyundai yang diletakkan di luar rumah itu dibakar dua lelaki tidak dikenali menyebabkan kereta itu dan juga pakaian baru keluarganya untuk menyambut Tahun Baru Cina hangus terbakar.


Sehubungan itu, Zakaria turut meminta bantuan orang ramai yang melihat kejadian tersebut agar menghubungi mana-mana balai berdekatan bagi membantu siasatan.

Kanak-kanak main tali mati tergantung

BATU PAHAT 15 Feb. – Tempoh 15 minit bukanlah lama, namun apa yang berlaku terhadap keluarga ini pasti akan disesali seumur hidup.


Ini kerana dalam tempoh itu,


seorang ibu telah meninggalkan dua anaknya berusia lima dan 12 tahun di rumah tanpa penjagaan.


Detik itu juga telah meragut nyawa salah seorang anaknya yang bermain tali dan tanpa disengajakan


menjerut leher mangsa.


Kejadian berlaku kira-kira pukul


3 petang ketika Nurul Azila Aziz, 5, dan Mohd. Ikhman, 12, bermain di ruang dapur rumahnya di Kampung Parit Sempadan di sini, pada 2


Februari lalu.


Ibu mereka, Hamizah Jamari, 37, pula keluar untuk menghantar


anaknya, Nurul Arisa, 7, ke Sekolah Agama Gambut yang terletak


berdekatan.