Search This Blog

Loading...

Monday, February 15, 2010

VCD liwat: Pemuda UMNO lapor polis

PULAU PINANG 14 Feb. - Pergerakan Pemuda UMNO negeri hari ini membuat laporan polis terhadap pakatan pembangkang kerana mempromosi satu cakera padat video (VCD) mengandungi kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicara di mahkamah.

VCD tersebut yang bertajuk Konspirasi 2, Fitnah Adalah Dosa Besar mengandungi kenyataan seorang doktor berhubung kes liwat tersebut.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Bayan Baru, Muhammad Razil Abdul Rahim di Balai Polis Sungai Nibong di sini pada pukul 11.50 pagi ini.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan dan sekumpulan Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang.

Muhammad Razil berkata, VCD selama 16 minit itu dijual pada harga RM2 semasa ceramah perdana Tolak Fitnah, Selamatkan Pulau Pinang yang diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong, kelmarin.

Menurutnya, kulit VCD berkenaan turut memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan.

"Kita telah menonton VCD itu dan terkejut kerana di dalamnya mengandungi kenyataan bahawa Anwar tidak bersalah dengan bukti pengakuan seorang doktor di Hospital Pusrawi.

"Ia tidak sepatutnya terjadi kerana boleh mendatangkan prasangka buruk masyarakat terhadap kes yang sedang didengar di mahkamah.

"Penjualan VCD ini dikhuatiri boleh menghasut pemikiran rakyat membenci kuasa mahkamah amnya dan juga Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Muhammad Razil berkata, tindakan penganjur ceramah tersebut mempromosi serta menjual VCD itu secara terbuka adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

Sementara itu, Norman mengingatkan kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab supaya tidak membuat fitnah dan mempolitikkan kes yang sedang berjalan di mahkamah.

"Mereka semua patut tahu, malah ahli mereka juga ramai di kalangan peguam. Saya berharap polis akan menjalankan siasatan terperinci terhadap laporan itu dan bertindak ke atas bukti yang kami sudah serahkan," tegasnya.

Anggota tentera 'sawan' kena cekup

KUANTAN 14 Feb. - Seorang anggota tentera sanggup 'berlakon' diserang sawan hingga keluar air liur ketika dicekup berkhalwat dengan isteri orang dalam Ops Valentine oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sebuah hotel di sini awal pagi ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6 pagi itu, anggota tentera berusia 28 tahun itu ditemui terbaring dan menggelupur di atas lantai seperti terkena sawan sebaik pintu bilik hotel yang disewa bersama seorang wanita diumpil polis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIP, Ahmad Rafflie Ab. Malik berkata, ketika serbuan, pasangan kekasih itu enggan bekerjasama membuka pintu bilik.

Selepas hampir sejam pintu diketuk, kata beliau, JAIP terpaksa meminta bantuan polis untuk mengopak pintu bilik berkenaan.

''Setelah mencuba beberapa kali, akhirnya polis berjaya mengopak pintu terbabit dengan menggunakan beberapa peralatan termasuk kuku kambing," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Rafflie, tindakan lelaki terbabit yang berlakon seperti diserang sawan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa, manakala pasangannya yang berumur 30 tahun, menyorok di bawah katil sambil menangis.

Ahmad Rafflie memberitahu, siasatan awal mendapati pasangan khalwat itu masing-masing masih mempunyai isteri dan suami.

Sementara itu, ketika di pejabat JAIP, difahamkan suami wanita terbabit mengamuk dan menerajang isterinya berikutan kejadian khalwat itu.

Terdahulu dalam serbuan tiga jam bermula pukul 6 pagi di beberapa hotel di sini, Ahmad Rafflie memberitahu, sebanyak 46 tangkapan dilakukan melibatkan khalwat, minum arak dan mendedahkan anggota tubuh di khalayak dalam operasi melibatkan 44 pegawai penguat kuasa JAIP.

Menurutnya, kebanyakan yang ditangkap berumur antara 16 dan 40 tahun.

Tambahnya, semua yang ditahan berkhalwat akan didakwa mengikut Seksyen 145(1) dan (2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987) dan sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Awas! e-mel minta maklumat peribadi

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Cybersecurity Malaysia mengingatkan pengguna Internet supaya berwaspada apabila menerima e-mel daripada institusi bank dengan meminta mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan khianat oleh pihak tertentu.

E-mel itu meminta mengemaskinikan butiran peribadi, mengaktifkan semula akaun perbankan dalam talian atau menyertai dalam kaji selidik yang menawarkan ganjaran RM200.

Mereka yang menerima emel dengan pesanan seperti itu dinasihatkan supaya memadamkannya kerana dengan menjawab soalan itu mereka mungkin menjadi mangsa penipuan penjenayah siber yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri berkata, menjawab pesanan itu dengan memasukkan butiran peribadi seperti nama akaun perbankan dalam talian dan kata laluan merupakan percubaan untuk mencuri wang dalam akaun pemegang.

Oleh kerana laman web palsu itu menyerupai laman web bank yang sah, maka pelanggan terpedaya dengan memasukkan butiran peribadi sulit dan dengan itu nama dan kata laluan pemegang akaun dapati dicuri tanpa disyaki," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, tahun lepas, Pusat Bantuan Cyber999 telah menerima sebanyak 3,564 aduan mengenai insiden penipuan dalam Internet iaitu meningkat 68 peratus aduan berbanding tahun sebelumnya.

Husin berkata, laman web palsu dibangunkan sama seperti laman web bank terkenal tempatan dan penghantaran emel dengan menggunakan soalan yang meyakinkan untuk pelanggan membuka hubungan kepada laman web palsu itu.

"Bank tidak pernah tanya pelanggannya khususnya pengguna e-perbankan untuk mengemaskinikan akaun, mengubah semula kata laluan atau butiran peribadi menerusi emel," katanya.

Husin berkata pihaknya, sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, kini mengawasi keadaan itu dan bekerja rapat dengan Polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan menyediakan sokong teknikal cara mengatasi ancaman siber ini.

Katanya, kegiatan penipuan siber semakin menonjol setiap tahun dan dianggap salah satu ancaman besar dalam negara dan kerajaan mengambil langkah untuk memerangi jenayah siber dengan menubuhkan CyberSecurity Malaysia dan penggubalan Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP).

Katanya, dalam usaha mendidik masyarakat dan meningkatkan tahap kesedaran keselamatan internet, CyberSecurity telah membangunkan program 'CyberSAFE' yang mana orang awam boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan internet dalam portal di alamat www.cybersafe.my.

Pengguna internet yang ingin mendapatkan nasihat dan sokongan teknikal boleh menghubungi CyberSecurity di Pusat Bantuan Cyber999 di alamat emel cyber999@cybersecurity.my. - Bernama

Lagi kes kahwin lari ke Indonesia

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@uusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Kisah beberapa gadis Malaysia yang menderita selepas lari mengikut kekasihnya ke Indonesia seperti disiarkan media sebelum ini, nampaknya masih gagal memberi pengajaran kepada rakyat di negara ini.

Ini terbukti apabila masih ada golongan itu yang sanggup meninggalkan keluarga tercinta di sini hanya semata-mata untuk kahwin lari di negara jiran tersebut.

Terbaru, seorang gadis berusia 19 tahun dari Kampung Setia Jaya, Setapak di sini melarikan diri untuk memenuhi impiannya berkahwin dengan lelaki berasal dari Jawa Timur yang dikenalinya sejak enam tahun lalu.

Malah Noorlaili Hafizah Omar sempat menitipkan nota kepada bapanya, Omar Mahmud, 56, dan memaklumkan tujuannya melarikan diri ke Indonesia, Jumaat lalu.

Antara bunyi nota yang ditulis ialah : "Abah mula ari nie Pijah tak balik rumah sebab Pijah ikut Abang Jo pergi Indonesia, kita kawin kat sana.

"Abah, abah kita mintak maaf atas perbuatan jahat kita abah, kita sedih sangat abah, tapi kita suka kat Abang Jo. Dia baik abah, kalau tak buat cara ni abah tak mungkin bagi kita kawin ngan Abang Jo sebab abah tak suka ngan orang Indonesia, sebab tu kita buat."

Omar ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini hari ini memberitahu, hatinya luluh apabila mengetahui anak kesayangannya itu telah melarikan diri mengikut teman lelakinya ke Indonesia.

"Kehilangan Noorlaili Hafizah atau mesra dipanggil Pijah oleh kami sekeluarga hanya disedari apabila dia tidak pulang ke rumah pada malam Jumaat lalu.

"Kira-kira pukul 11 pagi, dia ada memberitahu mahu keluar menemui sahabat karibnya yang berniaga makanan di Taman Permata, Hulu Kelang," katanya.

Namun, kata Omar, dia mula bimbang apabila anak keempatnya itu tidak pulang ke rumah sehingga malam, manakala rakannya yang dihubungi memaklumkan Noorlaili Hafizah tidak datang menemuinya.

Katanya, kehilangan anaknya itu kemudian dilaporkan di Balai Polis Taman Melawati.

"Kami kemudian mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada kakaknya, Siti Norlaila, 24, dan memaklumkan mengenai pemergiannya melalui sekeping nota yang ditinggalkan dalam laci dapur," katanya.

Omar berkata, Noorlaili Hafizah juga sempat menghantar beberapa SMS memberitahu dia sudah berada di Johor menunggu untuk bertolak ke Jawa Timur.

Dia yang bekerja sebagai pemandu peribadi memberitahu, dia bukan sahaja bimbangkan keselamatan Noorlaili Hafizah tetapi juga sedih mengenangkan isterinya, Rokiah Putih, 50, yang sakit dan rindukan anaknya itu.

Menurut Omar, sejak isterinya mengalami masalah mental kira-kira dua tahun lalu, anaknya itu yang paling rapat dengannya.

"Selama isteri saya sakit, dia yang menjaga makan minum dan memandikan ibunya setiap hari, malah anak saya itu tidak pernah berpisah dengan keluarga kecuali semasa mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Benum Hill Resort, Raub, Pahang pada tahun lalu.

"Hubungan kami juga rapat dan tidak pernah berselisih faham, malah kami sekeluarga langsung tidak mengetahui dia bercinta dengan Sarjo atau mesra dipanggil Abang Jo olehnya.

"Daripada kawan-kawan Noorlaili Hafizah, kami mendapat tahu dia mula bercinta dengan Sarjo sejak 2005 iaitu semasa pemuda itu bekerja membina kondominium di tepi rumah kami," katanya yang berharap sangat anaknya kembali ke pangkuan keluarga.

Sehubungan itu, Omar merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Noorlaili Hafizah supaya menghubunginya untuk membantu mengesan anaknya itu.

Omar boleh dihubungi melalui talian 017-3107234 atau anak sulungnya, Mustafa Kamal (016-2690277).