Search This Blog

Saturday, February 13, 2010

Buang bayi boleh dituduh membunuh - polis

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Polis mengingatkan mana-mana pasangan yang membuang bayi bahawa mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, perbuatan tersebut tidak seharusnya dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

Menurut beliau, siasatan di bawah seksyen terbabit akan dilakukan sekiranya bayi yang masih bernyawa dibuang dan menemui ajal akibat perbuatan itu.

"Kita merasa sedih dan kesal dengan sikap segelintir pasangan yang berterusan membuang bayi. Harus diingat hukuman menanti mereka adalah berat.

"Sekiranya bayi yang dibuang itu mati akibat dibuang, kita akan siasat di bawah 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terkejut dan kecewa dengan kes pembuangan bayi yang menjadi-jadi dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

Beliau mengulas mengenai kes pembuangan bayi perempuan yang ditanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Isnin lalu dan diikuti penemuan bayi perempuan yang masih hidup di Alor Setar, Kedah sehari kemudian.

Kelmarin, mayat seorang lagi bayi perempuan yang dihurungi semut ditemui di pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong di Melaka.

Ambil tindakan tegas terhadap blogger fitnah

MUAR 12 Feb. - Pengendali laman blog yang melakukan kecaman berunsur fitnah terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai siapa yang sah menjadi Menteri Besar Perak kelmarin sewajarnya dikenakan tindakan tegas.

Penghakiman yang menzahirkan hak istimewa Sultan Perak melantik Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak itu perlu dihormati semua pihak dan tidak boleh dipertikaikan walaupun dalam laman siber.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, tindak-tanduk laman blog tertentu yang mempertikaikan keputusan mahkamah tersebut mempunyai niat seolah-olah mahu memporak-perandakan masyarakat.

"Saya sendiri membaca sekurang- kurangnya empat blog yang menggunakan bermacam ayat secara sinis dan jelas mempertikaikan keputusan hakim seolah-olah ia dipengaruhi pihak tertentu dalam membuat keputusan.

"Saya meminta kenyataan itu dihentikan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membuat kenyataan menghina mahkamah kerana keputusan mahkamah perlu dihormati," katanya selepas melancarkan program Kelas Tuisyen 1Malaysia Parlimen Muar dan Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina di Pekan Parit Yusof, di sini kelmarin.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Masyarakat, Keluarga dan Kesihatan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Dr. Robia Kosai serta Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah.

Razali turut meminta Majlis Peguam memainkan peranannya sebagai pengamal undang-undang dalam menentukan bagaimana reaksi sewajarnya mengenai keputusan mahkamah persekutuan itu.

"Ini bukan soal politik atau soal orang politik membuat kenyataan kerana Majlis Peguam adalah badan peguam dalam negara yang tahu sistem membabitkan proses pendakwaan dan pembelaan.

"Jika orang tidak percaya dengan sistem kehakiman yang jelas disebut dalam Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang, apa lagi yang tinggal kepada negara kita untuk dipertahankan," katanya.

Beliau berkata, penghinaan mahkamah boleh memberi kesan besar sehingga menjejaskan pentadbiran negara akibat rakyat terpengaruh dengan kenyataan berunsur fitnah.

"Keputusan kes Menteri Besar Perak ini melalui proses kehakiman bermula di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan ia adalah kejayaan dalam sistem kehakiman kerana didengar oleh mereka yang mahir dalam undang-undang," katanya.