Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 10 Feb. - Pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani mendakwa dia bukan sahaja dipukul, ditendang dan ditumbuk, tetapi turut disimbah dengan air panas oleh majikannya, A. Murugan (
gambar).
Pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), Dr. R. Shujahtha berkata, Mantik memaklumkan perkara itu semasa dia sedang diperiksa dan dirawat pada 20 Oktober tahun lalu.
Beliau merupakan individu keempat yang mendengar pengakuan wanita itu bahawa dia didera oleh Murugan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 26 Oktober 2009.
Sebelum ini, peguam Gerard Lazarus, pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Azan Radzali dan pembantu pegawai perubatan, Muhamad Sahid Abdul Karim memberitahu mahkamah bahawa Mantik mendakwa didera oleh Murugan.
''Apabila ditanya apa berlaku, Mantik mengatakan majikan lelaki India (Murugan) telah memukulnya berulang kali dengan kayu, tumbuk dan tendang di bahagian perut, belakang serta mukanya.
''Dia mengatakan majikan lelaki telah memukul kakinya dengan besi dan disimbah air panas, dikurung dalam tandas serta tidak diberi makan selama dua hari.
''Dia juga memberitahu dua bulan dia tinggal dengan majikan baru itu dia dipukul dan kepalanya juga telah dibotakkan oleh lelaki itu,'' katanya.
Shujahtha, 33, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada perbicaraan kes penjual air tebu, Murugan, 35, yang didakwa membunuh Mantik, 36.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober 2009.
Mantik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober tahun lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.
Menurut Shujahtha, Mantik yang berada dalam keadaan sedar dan dapat menjawab soalan dengan baik turut mengesahkan dia tidak dirogol oleh tertuduh.
Jelas beliau, mangsa dalam keadaan lemah dengan kedua belah kakinya tidak boleh digerakkan selain kesan luka, bengkak serta lebam pada hampir seluruh badan.
Beliau bersama pakar rawatan kecemasan, Dr. Che Ros Abdullah telah memeriksa dan merawat Mantik sebaik wanita itu dimasukkan ke wad kecemasan.
''Antara rawatan yang diberi ialah pernafasan oksigen, ubat tahan sakit, antibiotik, tiub kencing dan titisan air. Imbasan badan juga dibuat sementara tulang belakang, tangan, kaki, dada, pelvis dan kepala Mantik di X-ray.
''Pesakit turut segera dirujuk kepada Jabatan Otopedik, Pembedahan dan Mata sebelum dirujuk ke Jabatan Forensik,'' jelasnya.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa bersambung esok.