Search This Blog

Loading...

Wednesday, February 10, 2010

Seksa jaga, bakar sekolah

RAWANG: Dua pengawal keselamatan dikurung dan diseksa separuh mati menggunakan pelbagai kaedah kejam oleh enam lelaki yang menceroboh sebelum membakar bilik guru serta kabin mencetak kertas soalan peperiksaan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Yuk, Rawang di sini, tengah malam kelmarin.
ANGKARA PEROMPAK...Mohd Zin (kiri) menunjukkan kesan tikaman pada tubuh, manakala Jaginderpall  yang cedera paru-paru diberi rawatan rapi.
ANGKARA PEROMPAK...Mohd Zin (kiri) menunjukkan kesan tikaman pada tubuh, manakala Jaginderpall yang cedera paru-paru diberi rawatan rapi.
HANGUS...keadaan bilik cetak sekolah SJKC San Yuk selepas dibakar enam penceroboh, awal pagi kelmarin.
HANGUS...keadaan bilik cetak sekolah SJKC San Yuk selepas dibakar enam penceroboh, awal pagi kelmarin.
Kedua-dua pengawal keselamatan warga emas itu diseksa kumpulan penjenayah berusia awal 20-an terbabit dengan pelbagai cara termasuk memaksa mereka membuka mulut sebelum disembur racun serangga serta cecair kimia yang diambil dari tiga tong alat pemadam kebakaran.
Seorang daripada mangsa, Mohd Zin Hamat, 59, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam ketika dia bertugas mengawal keselamatan sekolah itu.

Dia ditemui di Hospital Selayang (HS) semalam berkata, ketika kejadian dia sedang berkawal di bahagian belakang sekolah manakala rakan setugasnya, Jaginderpall, 47, di bahagian hadapan.

“Ketika membuat rondaan, saya menghampiri tandas sekolah sebelum ternampak kelibat seorang lelaki yang menceroboh masuk ke kawasan sekolah.

“Berikutan itu, saya segera memeriksa lokasi berkenaan sebelum terserempak sekumpulan lelaki bersenjatakan batang besi yang mengepung saya. Saya kemudian diarahkan jangan melawan sebelum telefon bimbit dan dompet duit saya berisi wang RM200 dirampas,” katanya. Menurutnya, dia kemudian ditarik kumpulan penjenayah terbabit ke satu sudut sunyi dalam bangunan sekolah sebelum dipukul bertalu-talu tanpa belas kasihan menggunakan batang besi dan kayu cota yang dirampas daripadanya.
“Saya turut ditendang selain dahi dan kepala saya berdarah akibat dipukul bertalu-talu dengan besi dan kayu cota,” katanya.

Mohd Zin berkata, rakan setugas yang cuba membantunya turut dibelasah penjenayah yang dipercayai lelaki warga tempatan.

Menurutnya, semua lelaki terbabit kemudian menyoal mereka berhubung lokasi bilik guru, makmal komputer dan bilik menyimpan wang namun dia gagal menjawab berikutan tidak bermaya akibat dibelasah bertalu-talu.

“Tidak cukup dengan seksaan dilakukan itu, saya dan rakan kemudian diseret pula ke bilik stor sebelum mereka sekali lagi menyeksa kami.

“Kali ini mereka menggunakan tong alat pemadam kebakaran yang disimpan dalam stor sebagai senjata untuk menyeksa kami. Mereka sengaja menyembur kami dengan cecair daripada alat pemadam kebakaran itu terutama ke muka dan kepala kami yang terluka,” katanya.

Menurutnya, sebaik isi kandungan tiga tong alat pemadam kebakaran itu habis, penjenayah terbabit mencapai tabung racun serangga lalu menyembur ke muka mereka.

“Ketika itu kami berdua hampir mati lemas akibat tak dapat bernafas kerana disembur bertalu-talu dengan cecair kimia berkenaan. Lebih ganas apabila satu peti televisyen yang ditempatkan dalam bilik stor turut dibaling ke arah kami sehingga pecah.

“Tidak cukup dengan seksaan itu, leher saya kemudian dililit dengan tali sebelum dijerut,” katanya.

Mohd Zin berkata, penderaan sampai kemuncaknya apabila seorang daripada lelaki terbabit yang bersenjatakan pisau menikam bahagian belakang tubuhnya sebanyak tiga kali sebelum meninggalkan mereka tersungkur tidak bermaya dalam bilik stor berkenaan.

“Paling mendukacitakan apabila kumpulan terbabit membakar bilik pejabat sekolah dan kabin kontena yang menempatkan kertas soalan peperiksaan sebelum melarikan diri.
“Apa yang saya ingat, ketika itu Jaginderpall masih mampu bangun dan berjalan untuk meminta bantuan di luar kawasan sekolah sebelum pihak polis dan ambulans tiba dan membawa kami ke hospital,” katanya.

“Kejadian itu menyebabkan saya menerima sembilan jahitan di kepala manakala belakang tubuh saya yang ditikam menerima 10 jahitan,” katanya sambil menunjukkan pergelangan tangan dan kakinya yang lebam teruk kesan dipukul dengan batang besi.

Sementara itu, Jaginderpall berkata, dia cuba menolong Mohd Zin yang dipukul teruk, namun tindakannya itu menimbulkan kemarahan penjenayah terbabit menyebabkan dia turut dibelasah.

“Apa yang saya lakukan itu hanyalah atas dasar perikemanusiaan tanpa mengira bangsa atau agama. Namun tindakan saya mengundang marah penjenayah yang kemudian turut menikam belakang tubuh saya berulang kali.

“Satu daripada tikaman berkenaan tembus hingga mencederakan paru-paru saya. Kecederaan itu menyebabkan saya batuk dan muntah darah,” katanya.

Menurutnya, semua penjenayah terbabit menutup muka menggunakan kain seperti ninja.

“Ini bukan kali pertama sekolah itu dicerobohi penjenayah dan saya yakin ia dilakukan kumpulan penjenayah sama,” katanya selepas menerima kunjungan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak, petang semalam.

Maut selang sehari

GEORGETOWN: “Mak, kakak sejuk,” itu kata-kata terakhir seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun kepada ibunya sejurus sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat demam denggi, Sabtu lalu.

PILU...Nik Shamrul Zaini memangku anak bongsunya, Nik Haikal Haziq yang berusia 25 hari.
PILU...Nik Shamrul Zaini memangku anak bongsunya, Nik Haikal Haziq yang berusia 25 hari.
TINGGAL KENANGAN...basikal milik Nik Hazwani Hawa dan Nik Zawiah Zahida.
TINGGAL KENANGAN...basikal milik Nik Hazwani Hawa dan Nik Zawiah Zahida.
Nik Hazwani Hawa Nik Shamrul Zaini, adalah korban pertama wabak denggi di negeri ini yang meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi di Hospital Lam Wah Ee, Jelutong di sini, selepas dua hari dimasukkan ke wad berikutan demam kuat.
Malah, lebih menyedihkan, adik Nik Hazwani, Nik Zawiah Zahida, 3, menyusul sehari kemudian, juga akibat penyakit sama.

Ibu mangsa, Hayati Abdul Wahab, 30, berkata pada mulanya keadaan Nik Hazwani tidak teruk dan selepas menerima rawatan, dia disahkan menghidap virus Rota dan selepas itu keadaannya berubah lebih teruk.

Hayati berkata, anak sulungnya itu menjadi tidak bermaya selepas muntah dan anggota badannya lemah serta berwarna kebiruan serta menggigil.

“Selepas mukanya pucat dan kebiruan, saya hanya mampu berdoa dan berharap Hazwani beransur pulih tapi keadaannya bertambah teruk biarpun pelbagai usaha dilakukan doktor untuk menyelamatkannya.
“Namun, Allah lebih menyayangi dan menjemputnya lebih awal. Arwah meninggal dunia beberapa minit sebelum masuk waktu Subuh di sisi keluarga dan sukar untuk saya menerima berita kematiannya ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Villa Sri Kenanga, Batu Uban di sini, semalam.

Keluarga berkenaan turut menerima kunjungan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussin serta barisan exco kerajaan negeri.

Ujian lebih hebat menimpa keluarga Hayati apabila anak keduanya, Nik Zawiah dimasukkan ke hospital sama pada 4 Februari lalu dan meninggal dunia pada jam 6 pagi Ahad (7 Februari lalu) iaitu sehari selepas kakaknya meninggal dunia. Hayati berkata, doktor mengesahkan punca kematian Nik Zawiah ialah akibat sindrom kejutan denggi.

Dia yang masih berpantang selepas 25 hari melahirkan anak keempat iaitu bayi lelaki, Nik Haikal Haziq, tidak mampu menyembunyikan perasaan sayu apabila kehilangan kedua-dua anak perempuan yang akrab.

Sementara itu, suami Hayati, Nik Shamrul Zaini Nik Ibrahim, 33, berkata pemergian anaknya sangat dirasai kerana tingkah laku mereka yang manja dan senang didekati semua orang.

“Mereka sering berdua tanpa mengira waktu. Wajah Zawiah saling tidak tumpah seperti wajah kakaknya dan pemergian mereka berdua kehilangan yang besar buat kami.

“Biarpun kami dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan, bohong kalau saya tidak sedih apabila keceriaan dua anak saya itu hanya tinggal kenangan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua anaknya tidak memperlihatkan sebarang tanda pelik pada saat-saat akhir dan paling menyedihkannya apabila Hazwani sempat berseloroh ketika mandi mengatakan dia tidak perlu mandi lagi selepas ini.

“Saya tak sangka dia akan pergi buat selama-lamanya. Saya reda dengan pemergian kedua-dua anak tercinta,” katanya.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gelugor masing- masing pada Sabtu dan Ahad lalu dengan dihadiri sanak-saudara dan jiran terdekat.

Peluang tonton My Name Is Khan

GANDINGAN dua superstar Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan dan Kajol sekali lagi dapat disaksikan menerusi filem terbaru mereka, My Name Is Khan.
Filem arahan Karan Johar itu akan ditayangkan di Malaysia bermula 12 Februari ini.
Filem ini bermula dengan zaman kanak-kanak, Rizwan Khan lakonan Tanay Chheda beragama Islam yang menghidap sejenis penyakit sindrom yang luar biasa. Dia membesar dengan penuh kasih sayang ibunya (Zarina Wahab) di Borivali iaitu di sekitar Mumbai.
Apabila dewasa, Rizwan (diambil alih Shah Rukh Khan) berpindah ke San Francisco dan menetap bersama abang dan kakak iparnya. Di sana dia mula menyulam cinta bersama Mandira (Kajol). Dia kemudiannya berkahwin dan menceburi bidang perniagaan. Selepas beberapa tahun perkahwinan Rizwan dan Mandira berdepan pelbagai cabaran diikuti perpisahan tragik yang dilalui pasangan berkenaan.

Namun dalam usaha memenangi kembali hati bekas isterinya itu, Rizwan terpaksa menempuhi perjalanan yang sukar ke seluruh Amerika Syarikat.

Pada sesi temubual yang berlangsung pada Ogos lalu, Shah Rukh menafikan filem berkenaan berkisar kepada pengganas atau tarikh peristiwa 9/11. Sebaliknya, ia adalah mengenai hubungan membabitkan dua manusia dan kepentingan seseorang dalam melakukan pengorbanan untuk negaranya. Selain itu, ia juga membabitkan kisah cinta, agama dan kesengsaraan hidup. Baru-baru ini, Shah Rukh turut menimbulkan kemarahan pengikut parti pelampau Hindu, Shiv Sena berhubung kenyataannya mengenai Liga Kriket Perdana India (IPL). Pelakon itu yang mempunyai pasukan IPL, Kolkata Knight Riders dikecam oleh parti itu kerana memuji pemain Pakistan. Selama ini parti berkenaan tidak boleh bertolak ansur dengan sesiapa yang memuji kehebatan rakyat Pakistan dan mereka cuba menghalang tayangan filem lakonan Shah Rukh itu di Mumbai.

Kemarahan mereka nyata meluap-luap apabila ada yang mengoyak poster filem itu. My Name Is Khan diterbitkan oleh Hiroo Yash Johar dan Gauri Khan turut menampilkan sentuhan lakon layar daripada Shibani Bathija di bawah kerjasama Dharma Productions dan Red Chillies Entertainment. Ia diedarkan Fox Star Entertaiment. Filem ini menggunakan teknik sinematografi hasil kepakaran Ravi K Chandran dan Shankar Ehsaan Loy sementara koreografi oleh Farah Khan. Skripnya ditulis Niranjan Iyengar manakala teknik kesan khas visual pula oleh Red Chilies. Sementara itu, bagi peminat Shah Rukh dan Kajol, jangan melepaskan peluang untuk menyaksikan filem ini apabila Harian Metro dengan kerjasama Zee Entertainment menawarkan 50 tiket percuma untuk diedarkan.
Pembaca hanya perlu membawa keratan asal akhbar ini (salinan fotokopi tidak diterima) untuk menukarkannya dengan tiket berkenaan. Pembaca boleh membuat penukaran di lobi Anjung Riong, Balai Berita, Jalan Riong, Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi hingga 5 petang pada Jumaat 12 Februari. Seorang pembaca dibenarkan menukarkan sepasang tiket sahaja. Tiket adalah terhad dan berkonsep siapa cepat dia dapat.

'Saya akan nyanyi selagi ada nafas'

PERNAH melalui tempoh jatuh dan bangun sebagai anak seni, selain mengalami masalah peribadi akibat ketagihan dadah yang kronik hingga hampir menghancurkan karier muzik dan kehidupan peribadinya, cukup menjadikan perjalanan hidup penyanyi Jamal Abdillah warna-warni.
Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 50, cukup dikenali dengan lontaran suaranya sehingga mendapat gelaran Raja Pop tanah air. Bakat seninya tiada galang ganti. Tidak dinafikan Jamal antara artis yang berjaya bertahan dalam dunia seni tanah air. Pembabitan lebih 30 tahun dalam dunia seni menunjukkan Jamal antara artis yang mampu memacu kejayaan cemerlang.
Lagu yang dinyanyikan pemuda berasal dari Ipoh, Perak ini antaranya Sepi Seorang Perindu, Takdir Penentu Segala, Kehebatan Cinta, Penghujung Rindu, Keluhan Perantau, Aku Penghibur, Derita Cinta dan Senandung Semalam ternyata mempunyai pengikut tersendiri. Album yang dipasarkan kebanyakannya mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat seperti Perpisahan Tanpa Relaku, Derita Cinta, Hatiku Luka Kembali, Layang-Layang, Sendiri, Mati Hidup Semula, Kekasih Awal dan Akhir, Suratan Kasih, Ghazal Untuk Rabiah, Samrah dan Tak Hilang Cinta. Bakat dalam lakonan juga meninggalkan impak tersendiri apabila Jamal berjaya memainkan peranan berkesan sewaktu melakonkan watak dalam filem Azura, Tuah, Kekasih Awal dan Akhir, Suratan Kasih, Sejati dan Ghazal Untuk Rabiah.

Jamal mula aktif dalam bidang nyanyian apabila muncul juara Bintang RTM 1979. Kejayaan dalam bidang nyanyian dan lakonan membolehkan Jamal menerima Anugerah Khas Pencapaian Abadi (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008). Tawaran mengadakan persembahan di beberapa majlis tertutup dan konsert bagaikan tidak pernah putus buatnya sehingga mendorongnya menubuhkan syarikat sendiri iaitu Bintang Channel dan Pro Channel.

Dia turut berkongsi pengalaman sepanjang terbabit dalam dunia seni bersama peminatnya apabila mengadakan Konsert Muzikal Jamal...Kembara Seniman di Istana Budaya selain melancarkan albumnya yang ke-20, Tak Hilang Cinta. Boleh dikatakan Jamal antara artis yang sentiasa tidak tercicir dalam persembahan korporat. Dia antara sebahagian daripada artis yang menjayakan persembahan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang berlangsung di IB, baru-baru ini.

Ikuti temu bual wartawan Harian Metro, WAN ASRUDI WAN HASAN (wanasr@hmetro.com.my) bersama Jamal mengenai perkembangan terkini kerjaya seninya sekali gus berkongsi suka0duka sebagai anak seni sejak tiga dekad lalu.
SOALAN (S): Apa khabar? Bagaimana kehidupan anda sekarang? JAWAPAN (J): Sihat, Allhamdullilah. Saya berasa tenang dan gembira dengan kehidupan yang saya kecapi sekarang. Saya masih lagi menetap di rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih). Penghuni di rumah Pengasih bagaikan satu keluarga. Mereka sentiasa mengambil berat kebajikan saya sampai sekarang.

S: Bagaimana anda melihat perkembangan industri seni ketika ini? J: Bagus. Pada saya perkembangan seni semakin meriah dengan penganjuran banyak persembahan dan konsert. S: Apakah cabaran paling besar anda hadapi sepanjang bergelar anak seni? J: Bukan mudah mengecapi kejayaan yang dicapai pada hari ini kerana cabarannya cukup besar. Saya pernah mengalami kejatuhan dalam hidup sebelum ini, tapi saya melihatnya sebagai proses perjalanan hidup sebagai manusia biasa. Kehidupan juga memerlukan ketabahan, kesabaran dan sikap tidak kenal erti putus asa. Antara cabaran dihadapi untuk melupakan sejarah hitam dulu yang masih menghantui sampai sekarang. Maklumlah, saya baru mengamalkan cara hidup positif dua tiga tahun lalu kerana selama ini sudah puluhan tahun terbabit dengan gejala negatif (penagihan dadah). S: Bagaimanapun pula pengorbanan yang anda lakukan sehingga mampu berada pada tahap sekarang? J: Anak seni perlu sabar dan reda kerana mereka adalah hak masyarakat. Peminat adalah majikan kita kerana mereka adalah pembeli album. Menyedari diri adalah hak masyarakat, saya sanggup berkongsi apa saja dengan peminat termasuk cerita negatif, positif atau peribadi dari dulu sampai sekarang. S: Kekuatan utama anda sebagai anak seni? J: Kekuatan itu sebenarnya datang dari dalam diri sendiri. Selain itu keinginan, minat serta tidak putus asa dalam hidup. Malah, saya pernah jatuh dulu, tetapi kerana cinta yang mendalam dalam bidang seni, saya bangkit kembali untuk membina hidup baru dan mendapat semula kepercayaan peminat. S: Pernahkah anda terfikir untuk bersara dan memberi laluan kepada muka baru? J: Saya akan terus menyanyi selagi masih bernafas di dunia ini. Saya juga berdoa semoga Tuhan memberikan kesihatan yang baik untuk terus memberi sumbangan kepada bidang seni. S: Apa pandangan anda mengenai kemunculan bakat baru daripada program realiti? J: Kehadiran bakat baru sudah tentu satu perkembangan baik dalam dunia seni tanah air. Mereka sepatutnya pandai memanfaatkan peluang yang terhidang. Jangan mudah berputus asa dan hanya mengharapkan bantuan pihak lain. S: Apa perkembangan terkini kerjaya seni anda sekarang? J: Buat masa ini saya merancang mengadakan persembahan dengan tema legenda di Istana Budaya kemungkinan besar pada awal tahun depan disebabkan kesuntukan masa. Menerusi konsert itu, saya akan menyanyi lagu yang tidak pernah dinyanyikan pada persembahan saya sebelum ini selain mengadakan persembahan tribute untuk legenda. Persembahan ini mungkin dikendalikan syarikat saya sendiri.

S: Bagaimana dengan perkembangan album? Selain perancangan sepanjang 2010? J: Saya mempunyai perancangan untuk menghasilkan album baru iaitu Raja Pop 2 yang mengandungi lagu lama yang peminat tidak tahu dirakamkan semula, di samping album baru yang menghimpunkan lagu-lagu ciptaan Datuk Ahmad Nawab. Semua lagu karya Ahmad Nawab dikumpulkan menerusi album itu. Apa saja lagu yang menarik perhatian saya akan dimuatkan menerusi album itu. Kemungkinan juga saya akan menyelitkan dua lagu baru. S: Mungkin anda terfikir untuk berkahwin lagi selepas bercerai? J: Saya tidak terfikir untuk mencari jodoh untuk masa terdekat ini. Fokus saya kini dalam karier sen

Wang kenduri arwah sendiri


Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
2010/02/10
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MELAKA: “Saya tidak menyangka wang RM1,900 yang diberikan arwah untuk belanja majlis kesyukuran pada Ahad ini bertukar menjadi kenduri arwah buat mereka sekeluarga,” kata Rokiah Md Dros, 61, ibu kepada pengasas Fadhilat Herbs Sdn Bhd, Allahyaryarham Suhaimi Ghazali, 41, semalam.
TERHARU...Ghazali dan Rokiah menatap laporan Harian Metro mengenai tragedi  menimpa anak mereka.
TERHARU...Ghazali dan Rokiah menatap laporan Harian Metro mengenai tragedi menimpa anak mereka.
Rokiah berkata, dia bersama suaminya, Ghazali Johari, 67, merancang mengadakan kenduri kesyukuran pada cuti umum Tahun Baru Cina pada Ahad ini kerana ketika itu semua anak serta sanak-saudaranya bercuti.
Menurutnya, arwah memberikan wang itu kira-kira empat hari sebelumnya.

Katanya, ketika menyerahkan wang itu arwah memberitahu: “Mak jangan susah hati, nak buat belanja ambil duit ini (RM1,900). Bila buat kenduri itu nanti jamu orang dengan kari kepala ikan. Baru dapat buka selera orang nanti.” “Arwah berharap dapat menjamu saudara-mara serta penduduk kampung.

“Bila dikenang kembali detik itu saya sedih kerana tidak menyangka kenduri kesyukuran bakal diadakan rupa-rupanya kenduri arwah untuk mereka sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Pegoh, Telok Mas, dekat sini.

Harian Metro semalam melaporkan dua daripada enam mangsa yang rentung selepas kereta dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 252.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang, Negeri Sembilan, awal pagi kelmarin ditemui berpelukan di tempat duduk penumpang depan.

Kedua-dua mayat dipercayai Nor Fadilah Isnin, 32, bersama bayi lelakinya, Adi Putra, dua tahun ditemui pasukan bomba dan penyelamat.

Turut rentung suami Nor Fadilah, Suhaimi dan tiga lagi anak pasangan itu, Nurul Natashahuda, 11; Mohd Daniel Iskandar, 10, dan Mohd Hanif Iman, enam tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, kereta BMW dipandu Suhaimi dipercayai terbabas lalu melanggar sebuah treler rosak di lorong kecemasan lebuh raya.

Berikutan perlanggaran itu, kereta mangsa terperosok ke bawah treler sebelum terbakar dan semua mangsa terperangkap di dalamnya.

Rokiah berkata, Allahyarham tidak banyak menunjukkan perubahan sebelum dia maut dalam kemalangan itu, kecuali beria-ria mahu membina banglo di hadapan rumahnya.

Ibu kepada enam anak itu berkata, arwah merancang membina rumah dengan harga RM200,000 itu sejak empat bulan lalu, malah difahamkan anak sulungnya itu sudah menyiapkan pelan kediaman barunya.

Katanya, sebelum kejadian, anak ketiganya, Asnawi, 37, pernah menyuarakan kebimbangan mengenai perkara buruk bakal menimpa abangnya itu.

“Dia (Asnawi) pernah memberitahu mendapat alamat menerusi mimpi dan berharap abang serta kakak iparnya itu berhati-hati,” katanya.

Rampas syabu RM3 juta

KUALA LUMPUR: Polis menggagalkan tiga lagi cubaan menyeludup dadah membabitkan tujuh warga Iran berusia 30-an hingga 40-an termasuk seorang wanita, serta merampas syabu kira-kira 12 kilogram bernilai kira-kira RM3 juta.
Menurut sumber Bukit Aman, empat warga Iran bersama seorang wanita ditahan kira-kira jam 3.45 petang kelmarin di lobi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ketika menanti teksi limo untuk membawa mereka ke ibu negara.
Difahamkan, wanita Iran bersama dua lagi rakan mereka menaiki penerbangan yang transit di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di KLIA.

“Sebaik tiba di Balai Ketibaan, mereka disambut seorang rakan lelaki yang juga warga Iran dan siasatan lanjut menemui lima kilogram syabu dalam dua beg pakaian yang dibawa dan disorokkan dalam satu ruang khas,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini, semalam.

Beberapa jam selepas penahanan itu, polis menyerbu sebuah kondominium di Kota Damansara, dekat sini, yang disewa sindiket terbabit dan menemui kira-kira tiga kilogram syabu.

Berdasarkan risikan, polis membuat dua lagi tangkapan berasingan semalam membabitkan tiga lelaki warga Iran di lobi KLIA, penangkapan pertama membabitkan dua lelaki Iran pada kira-kira jam 9.15 pagi dengan merampas dua kilogram syabu.
Tangkapan kedua membabitkan seorang lagi lelaki warga Iran kira-kira jam 2 petang di tempat sama dengan rampasan dua kilogram syabu.

Katanya, semua mereka yang memiliki dokumen perjalanan sah memasuki negara ini melalui pas pelancong dan kini direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. — Bernama “Semua mereka dipercayai ‘keldai dadah’ yang diupah sindiket antarabangsa untuk pasaran serantau”, katanya.

Beliau berkata, siasatan terperinci dijalankan termasuk mengumpul segala maklumat berkaitan dalam usaha memburu saki baki sindiket itu.

“Sindiket dipercayai beroperasi di kondominium mewah dan hotel ternama sekitar ibu negara untuk mengaburi kegiatan haram mereka. Mereka turut menyamar pelancong dan ahli perniagaan bagi memastikan identiti sebenar mereka tidak terbongkar,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman Datuk Zulhasnan Najib Baharudin mendedahkan polis sudah mematahkan sembilan kes penyeludupan dadah dipercayai syabu membabitkan warga Iran dalam tempoh dua bulan ini dengan nilai rampasan kira-kira RM10.5 juta.

Hasil kerjasama dengan agensi risikan antarabangsa, 39 orang ditahan dan 34 orang adalah warga Iran.

Siasatan awal mendapati sindiket terbabit bergerak dalam kumpulan berasingan dengan memboloskan diri ke negara ini menggunakan pelbagai taktik termasuk dengan cara menelan dan menyorokkan dadah dalam beg pakaian. — Bernama

Suspek direman

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang ditahan berhubung kejadian pembunuhan ngeri di Lorong Kopi, Pandamaran, dekat sini, awal pagi kelmarin, direman tujuh hari bermula tarikh dia ditangkap.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata suspek berusia 26 tahun itu dipercayai boleh membantu siasatan dan polis kini mengesan seorang lagi suspek. “Suspek direman bermula semalam (kelmarin) sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Akhbar semalam melaporkan seorang lelaki berusia 28 tahun mati selepas dihentak pasu bunga di kepala sebelum dibakar di Lorong kopi, Pandamaran di sini.

Diskaun 30 sen atau perkosa!



KUALA LUMPUR: Hanya kerana enggan mengurangkan harga rokok, seorang wanita berusia lewat 30-an yang juga peniaga kecil-kecilan di Desa Tasik Sungai Besi di sini, nyaris dirogol dua lelaki warga Bangladesh, kelmarin.
Difahamkan, kedua-dua lelaki berusia lewat 30-an itu mengugut menculik mangsa sebelum dibawa ke rumah mereka di kawasan berhampiran untuk dirogol.




Lebih menghairankan tindakan lelaki terbabit hanya disebabkan keengganan mangsa mengurangkan harga sekotak rokok sebanyak 30 sen.




Difahamkan, harga asal rokok Lussman yang diminta kedua-dua lelaki itu ialah RM2.80 sekotak.




Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa berseorangan sebelum dihampiri dua lelaki warga Bangladesh terbabit sebelum mereka memesan dua kotak rokok.




Mangsa yang enggan dikenali berkata, kedua-dua lelaki terbabit mula bertanyakan harga rokok itu.


“Sebaik saya memberitahu, mereka meminta diskaun 30 sen. Saya menerangkan kepada mereka harga tidak boleh dikurangkan.




“Lagipun, jual rokok bukan sama macam buka restoran...untungnya kecil saja,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.




Menurutnya, kedua-dua mereka kemudian mengugut akan membawanya ke rumah mereka berhampiran kawasan berkenaan dan akan melakukan perkara yang tidak diingini.




“Saya yang tidak faham cuba mendapatkan penjelasan mereka. Seorang daripada mereka mendakwa akan merogol saya sekiranya enggan mengurangkan harga rokok itu,” katanya.




Tersentak dengan itu, mangsa memarahi kedua-dua mereka, namun tidak diendahkan.




Mangsa yang kebuntuan selain bimbang keselamatannya memaklumkan akan membuat laporan polis sekiranya mereka terus mengganggunya.




Difahamkan, ugutan mangsa itu juga tidak memberikan kesan sebaliknya mereka cuba menghampirinya.




Mangsa menjerit menyebabkan kedua-dua mereka melarikan diri tanpa membeli rokok itu sebaik beberapa orang awam di kawasan berkenaan datang untuk menghulurkan bantuan.




Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.




Difahamkan, sehingga kini mangsa masih trauma untuk memulakan perniagaan kerana bimbang kejadian sama berulang.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

13 kematian hari ketiga Ops Sikap ke-21

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kematian dicatat pada hari ketiga Ops Sikap ke-21 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 7 Februari lalu ialah 35 orang.
Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman Supt Rasdi Ramli berkata daripada 13 kematian itu, lapan terdiri daripada pengguna motosikal, tiga pengguna kereta, seorang penunggang basikal dan seorang pejalan kaki.

Jalan bandaran mencatat kemalangan paling tinggi dengan 526 kes, diikuti jalan persekutuan (229 kes), jalan negeri (141 kes), lebuh raya (65 kes) dan jalan-jalan lain (47 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 1,008 kes, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam operasi semalam, sebanyak 10,915 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-21 akan diteruskan sehingga 21 Februari ini, bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Dadah: 17 lelaki asing, 2 tempatan ditahan

SEREMBAN: Tujuh belas lelaki rakyat asing dan dua lelaki tempatan ditahan dalam Ops Nilai bagi membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Operasi enam jam mulai 12 tengah malam tadi oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan dan Jabatan Imigresen negeri itu dijalankan di sekitar Mantin dan Nilai.


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Samad Ibrahim berkata lelaki rakyat asing itu terdiri daripada 14 rakyat Nigeria, dua Bangladesh dan seorang Indonesia.


"Kami turut merampas kira-kira 850 gram ganja termasuk dua ketul ganja mampat, 19 paket kecil plastik ganja dan sembilan tiub kecil syabu. Hasil ujian air kencing mendapati 16 daripada lelaki yang ditahan itu positif dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata tiga lelaki Nigeria terbabit diserah kepada Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.


Seramai 25 orang diperiksa dalam operasi yang membabitkan 100 pegawai AADK dan 29 pegawai Jabatan Imigresen itu.

2 lelaki dtahan, 3.7kg ganja dirampas

2010/02/10




SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki secara berasingan dan merampas ganja seberat 3.7kg serta dua buah kereta yang kesemuanya bernilai RM109,000 di Subang Jaya dan Petaling Jaya dekat sini Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dalam sebuah bilik pangsapuri di Subang Jaya Isnin lalu jam 9.30 malam.


Beliau berkata polis juga menemui lima ketulan mampat, dua paket plastik lutsinar dan sehelai surat khabar yang mengandungi daun kering yang dipercayai dadah jenis ganja seberat 3.7kg.


"Berdasarkan maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor melakukan serbuan di pangsapuri itu," katanya pada persidangan akhbar di sini hari ini.




Polis juga menahan seorang lagi lelaki beberapa jam kemudian pada hari yang sama di Petaling Jaya dan merampas wang tunai bernilai kira-kira RM50,000 dipercayai hasil jualan ganja.

Mayat bayi perempuan di pintu masjid

MELAKA: Mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di hadapan pintu pagar Masjid Permatang Duyong di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu dibaluti dengan kain putih tetapi badannya kemerahan dipercayai digigit semut.

"Mayat bayi berkenaan disedari ditinggalkan di masjid itu oleh jemaah masjid selepas mereka selesai menunaikan sembahyang subuh," katanya ketika dihubungi di
sini.

Salehhudin berkata penemuan mayat bayi itu dilaporkan kepada polis oleh bilal masjid itu, Mohamad Abu.

Beliau berkata mayat bayi itu dihantar ke Hospital Melaka di sini untuk bedah siasat.

Katanya polis sedang mengesan ibu bayi berkenaan dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. - Bernama

Tiga terbunuh di selatan Thai

PATTANI, Thailand: Suspek ahli kumpulan militan menembak mati dua lelaki Islam dan seorang beragama Buddha serta mencederakan dua lagi dalam serangan bersenjata terbaru di kawasan bertelagah di selatan Thailand hari ini.
Mangsa seorang petani Islam berumur 45 tahun meninggal serta merta apabila dua lelaki menunggang motosikal menembak beliau yang juga menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah dari masjid.
Dalam serangan yang seumapamnya di Pattani pula, suspek militan menembak penolong ketua kampung, seorang lelaki Islam berumur 47 tahun yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari pasar.
Sementara seorang sukarelawan berumur 47 tahun ditembak mati oleh dua lelaki berpistol di lokasi pertandingan bunyi burung di Pattani.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya tiga anggota militan dipercayai dari wilayah Yala yang bersembunyi di pinggir jalan, menyerang sebuah kereta yang membawa seorang anggota tentera ketua kampung. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa hanya cedera. - AFP

Blogger hina MB Kelantan serah diri


JOHOR BAHRU 9 Feb. - Seorang lelaki yang dikatakan menghina Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laman blognya, hari ini menyerah diri kepada pihak polis.
Blogger berusia 44 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Permas Jaya di sini selepas dia dikatakan membuat suntingan grafik yang menghina Mursyidul Am Pas itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memberitahu, suspek diserahkan kepada Polis Kelantan untuk tindakan susulan.
"Kita telah menyerahkan lelaki itu kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan untuk siasatan lanjut.
"Kes ini akan disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, beberapa akhbar melaporkan, Dewan Pemuda Pas Kelantan yang diketuai Naib Ketua Pemudanya, Hisham Fauzi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung tindakan blogger tersebut.
Hisham Fauzi berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia jelas mengandungi unsur-unsur provokatif yang boleh menimbulkan ketidakstabilan politik dalam negara ini.
Beliau berkata, tindakan penulis blog itu tidak bertanggungjawab dan pihaknya menuntut polis menjalankan siasatan terhadap pengendali blog tersebut kerana bertindak di luar batasan.
Suspek merupakan blogger kedua yang ditahan gara-gara isu kontroversi melampau selepas Aduka Taruna.
Aduka atau nama sebenarnya Khairul Nizam Abdul Ghani dari Rumah Rakyat Pancor di Paroi, Negeri Sembilan sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 29 Januari lalu kerana menghina kemangkatan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Peniaga dakwa anak lelaki dikasari guru


KOTA BHARU 9 Feb. - Hanya disebabkan gagal menunjukkan buku nota sekembali dari tandas, seorang peniaga mendakwa anak lelakinya cedera selepas dikasari oleh guru kelas baru-baru ini.
Lua Boon Hoe, 40, mendakwa, kejadian berlaku di sebuah sekolah menengah di sini kira-kira pukul 11.50 pagi pada 4 Februari lalu.
Menurut Boon Hoe, anaknya merupakan pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah jenis kebangsaan Cina meminta izin daripada guru kelas untuk ke tandas.
"Sekembalinya dari tandas, guru berkenaan meminta anak saya menunjukkan buku nota. Sebelum sempat anak saya mengeluarkan buku dari beg, dia dirotan di punggung sehingga menyebabkan anak saya terjatuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Boon Hoe, belum sempat anaknya bangun, guru lelaki itu menarik baju, mencekak mulut serta mencekik belakang leher dan merotannya sebanyak dua kali di bahagian belakang.
Dalam laporan itu juga, pelajar itu mendakwa guru tersebut telah menarik bajunya sebelum membawanya ke bilik Guru Besar.
Berikutan kejadian itu, kata Boon Hoe, anaknya mengalami kesakitan di leher selain lebam di bahagian punggung serta takut untuk pergi ke sekolah.
Dia kemudian membawa anaknya membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu di sini pada Sabtu lalu sebelum membawa anaknya menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.
Sehubungan itu, Boon Hoe bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap guru berkenaan yang dianggap di luar batasan dan tidak mahu kejadian yang sama menimpa pelajar lain.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supritendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut.

Bayi ditinggal depan rumah polis


ALOR SETAR 9 Feb. - Kes pembuangan bayi di negara ini bagaikan tiada kesudahan. Jika semalam, mayat seorang bayi perempuan ditemui ditanam di tepi parit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini seorang bayi yang masih hidup ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis.
Bayi perempuan yang masih sihat dan baru dilahirkan itu ditemui di hadapan pagar rumah Ketua Cawangan Khas Polis Daerah Yan, Asisten Supritendan Abdul Rauf Md. Johar di Taman PKNK di sini.
Abdul Rauf terdengar tangisan bayi malang itu kira-kira pukul 6.25 pagi ini sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagi memaklumkan mengenai penemuan berkenaan.
Ketika ditemui, bayi itu lengkap berpakaian dan diselimuti dengan kain lampin berwarna putih.
Utusan Malaysia difahamkan, bayi yang cukup sifat itu mempunyai kesan suntikan BCG di lengan kirinya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, bayi itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut dan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, bayi itu dilahirkan dalam tempoh antara 48 jam hingga 72 jam lalu sebelum ditemui dan mungkin secara kebetulan diletakkan di hadapan rumah Abdul Rauf.
"Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan ibu bapanya termasuk mendapatkan rekod kelahiran daripada hospital dan klinik-klinik kerajaan serta swasta," katanya di sini hari ini.
Abdul Ghafar berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan supaya menghubungi Cawangan Siasatan Jenayah IPD Kota Setar bagi membantu siasatan.

60 individu dakwa rugi RM25j


PULAU PINANG 9 Feb. – Seramai 60 individu mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25 juta sejak tahun lepas selepas terpedaya dengan pulangan keuntungan segera melalui skim pelaburan emas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Penolong Komisioner Roslee Chik berkata, setakat ini polis menerima 30 laporan yang dibuat oleh pelabur yang mendakwa diperdaya sindiket itu.
“Modus operandi syarikat itu adalah menjual jongkong emas seberat sekilogram dengan harga pasaran antara RM135,000 hingga RM150,000.
“Apa yang menarik syarikat itu turut menawarkan pulangan tiga peratus daripada harga emas kepada pembeli bagi setiap bulan dalam tempoh tiga bulan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Roslee berkata, syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang itu membayar dividen tiga peratus berkenaan pada bulan pertama dan kedua sebelum menawarkan untuk membeli semula jongkong emas terbabit pada bulan ketiga.
“Apabila pembeli bersetuju untuk menjual semula dan telah menyerahkan emas berkenaan, wakil syarikat terbabit melarikan diri bersama emas tanpa membuat sebarang bayaran,” katanya.
Roslee berkata, siasatan mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara bagi menguruskan urusan jual beli emas.
Katanya, setakat ini, pihaknya telah menahan tiga lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan dan sedang mengesan 10 lagi bagi membantu siasatan kes itu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Roslee turut mendedahkan seramai 32 orang kerugian RM300,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan melalui panggilan telefon.
“Anggota sindiket berkenaan yang menyamar sebagai pegawai mahkamah, kastam atau polis akan membuat panggilan dan memalsukan identiti nombor telefon bimbit dengan menggunakan satu laman web di internet yang dikenali sebagai Voice Over Internet Protocol (VOIP),” katanya.
Roslee berkata, sindiket itu kemudiannya menawarkan untuk membantu mangsa yang sedang menghadapi kes jenayah dengan mengenakan sejumlah bayaran yang perlu dimasukkan ke dalam akaun bank tertentu.
“Sehingga sekarang kita tidak ada jalan penyelesaian berhubung VOIP dan polis juga tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan ’orang dalam‘ kerana mempunyai maklumat mangsa yang menghadapi kes jenayah,” katanya sambil menambah siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya meneliti sebarang pelaburan dan panggilan telefon bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab.
Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang di talian 04-2221591 bagi sebarang pertanyaan berhubung pelaburan atau panggilan telefon yang mencurigakan. – BERNAMA

Suspek masih di negara ini - Polis


KOTA KINABALU 9 Feb. - Polis percaya kumpulan penjenayah yang merompak dan melarikan dua pekerja pelantar ternakan rumpai laut di Pulau Sebangkat dekat Semporna semalam masih berada di negara ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, adalah mustahil bagi suspek meloloskan diri memandangkan polis sudah meningkatkan kawalan dan pemantauan di setiap kawasan.
"Semua laluan keluar di perairan Semporna telah kita kepung bagi mengelakkan mereka melarikan diri ke negara jiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, dua rakyat tempatan dilaporkan hilang selepas pelantar di pusat pembiakan rumpai laut di Pulau Sebangkat dirompak sekumpulan lelaki bersenjatakan raifal.
Bagaimanapun, polis percaya kejadian itu didalangi penduduk tempatan dan tidak melibatkan jaringan kumpulan pengganas luar negara.
Menurut Noor Rashid, polis turut mendapat bantuan daripada pelbagai agensi penguat kuasa lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk mengesan suspek terbabit.
Sementara itu, Gabenor Tawi-Tawi, Sadikul Sahali berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, masih belum ada tanda-tanda menunjukkan kumpulan tersebut sudah memasuki perairan negara itu.
Katanya, sebaik sahaja menerima laporan daripada polis Malaysia, pasukan penguatkuasa negara itu sudah meningkatkan rondaan di kawasan terbabit.
"Kita juga memeriksa sama ada terdapat kumpuan tertentu sudah mendarat di kampung yang terletak di pulau-pulau berhampiran Sabah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tawi-Tawi merupakan wilayah selatan Filipina yang terletak paling hampir dengan Sabah.

Saiful Bukhari terima ugutan bunuh



Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersama bapanya, Azlan Mohd. Lazim (kiri) dan peguam, Zamri Idrus (kanan) menunjukkan laporan polis berhubung ugutan bunuh di dalam laman sesawang Facebook di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Feb. - Saksi utama perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan hari ini membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh yang diterimanya, dipercayai ada kaitan dengan perbicaraan yang sedang berlangsung.
Bekas pembantu Anwar itu yang ditemani peguam Zamri Idrus serta bapanya, Azlan Mohd. Lazim tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Laporan dibuat terhadap seorang lelaki yang mendaftar dirinya atas nama Anaz Zahari di dalam laman sosial Facebook.
Anaz Zahari didakwa mengeluarkan kenyataan berbunyi ugutan bunuh dalam laman sosial Ketua Pembangkang itu.
Justeru, kata Mohd. Saiful Bukhari, beliau bertindak membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya dan keluarga terancam.
Beliau yang ditemui selepas membuat laporan itu memberitahu ancaman dalam Facebook itu hanya diketahuinya selepas menerima satu kiriman e-mel daripada seorang individu tidak dikenali kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Ketika itu, beliau berada di Mahkamah Jalan Duta bagi menghadiri perbicaraan kes liwatnya.
Dalam pada itu, Mohd. Saiful Bukhari memberitahu, selain ancaman bunuh tersebut, keluarganya turut dikecam dalam beberapa insiden lain.
"Beberapa hari sebelum bermulanya perbicaraan, bapa saya menerima kira-kira 50 SMS (khidmat pesanan ringkas) berbentuk provokasi daripada nombor yang tidak dikenali dan SMS itu diterimanya tiga hari berturut-turut," ujarnya.
Ekoran insiden itu, Mohd. Saiful Bukhari berkata, bapanya membuat laporan di Balai Polis Damansara Utama pada 1 Februari lalu.
Selain itu, beliau berkata, baru-baru ini rumahnya turut menjadi sasaran individu yang tidak bertanggungjawab, membaling buah-buahan seperti perbuatan ilmu hitam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika ditemui mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.
Beliau berkata, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.

Ketua PKPM, dua rakan menipu dihukum penjara


KUALA LUMPUR 9 Feb. - Angkara terbukti melakukan konspirasi menipu orang awam, Ketua Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM), Nor Azami Ahmad Ghazali bersama dua bekas anggota lembaga amanah pasukan itu dihukum penjara antara 12 dan 18 bulan.
Nor Azami, 43, bersama bekas Pengarah Sumber Manusia Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Abdul Rahman Baba, 63; dan ahli perniagaan, Tengku Hamid Tengku Ismail, 77, menerima hukuman masing-masing setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohd. Nasir Nordin memutuskan demikian setelah mendapati Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh selepas mendengar keterangan daripada 27 saksi.
Beliau memerintahkan Nor Azami dan Abdul Rahman masing-masing dihukum penjara 18 bulan, manakala Tengku Hamid dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.
Hukuman tersebut adalah bagi kesalahan terlibat dalam konspirasi menipu orang awam agar mempercayai mereka bertindak mengambil ahli bagi pertubuhan berdaftar, Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM).
Sedangkan sebenarnya ia dilakukan untuk pertubuhan lain yang akan ditubuhkan.
Mereka didapati melakukan kesalahan itu antara 19 September 2002 dan 21 Jun 2003 di premis No. 07-1926, Jalan Besar Taman Bukit Angkasa, Pantai Hill Park di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 120b(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Di samping itu, Abdul Rahman dan Tengku Hamid dihukum penjara enam bulan setelah disabitkan atas kesalahan memalsukan dokumen iaitu surat pasukan PTCM.
Mereka didapati melakukan kesalahan itu pada 17 Oktober 2002 di Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar, Aras 3 Blok C5 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Atas permohonan ketiga-tiga tertuduh, hukuman itu yang berkuat kuasa hari ini bagaimanapun berjaya ditangguhkan pelaksanaannya.
Ini bagi membolehkan mereka mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi setelah tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan.

Penjual besi buruk menangis terlepas tali gantung


KUANTAN 9 Feb. - Biar pun dijatuhi hukuman penjara enam tahun dengan sebatan 10 kali, bukan itu yang menyebabkan seorang penjual besi buruk menangis kehibaan.
Bagi K. Magendran, 26, air matanya itu adalah tanda kesyukuran selepas terlepas daripada hukuman mati di tali gantung setelah mengaku bersalah atas tuduhan pilihan memiliki dadah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Sejak ditangkap dua tahun lalu, dia sentiasa dibayangi maut.
Ini kerana pertuduhan asal mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa hukuman mati.
Langkah pendakwaan meminda pertuduhan kepada Seksyen 12(2) akta tersebut yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama, umpama peluang kedua untuk tertuduh memulakan hidup baru.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya menjatuhkan hukuman ke atas Magendran, sejurus dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki 12.32 gram heroin dan 2.94 gram monoacetylmorphines. Hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkapan.
Magendran mengaku melakukan kesalahan itu pada pukul 9 malam, 2 November 2008 di Lorong Cherating Perdana 10.
Dia yang diwakili peguam M. Stanislaus Vethanayagam memohon diberi peluang sekali lagi untuk memulakan hidup baru bersama keluarga.
Menurut Vethanayagam, anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
"Tertuduh juga perlu membantu keluarganya yang berada di Kangar sebagai anak lelaki tunggal. Saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling minimum," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman.
Katanya, kesalahan yang dilakukan adalah serius dan memberi kesan tidak baik kepada golongan muda.
Mariana dalam penghakimannya mengingatkan tertuduh supaya berubah dan berharap hukuman yang dijatuhkan itu dapat memberikannya kesedaran.
"Kalau tidak mahu mengubah nasib sendiri dan mengulangi kesalahan, apa yang akan terjadi kepada keluarga kamu. Saya berharap kamu dapat berubah," tegasnya.

Janda muda didakwa edar heroin


KUANTAN 9 Feb. – Seorang janda muda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar 30 gram heroin.
Che Rohayu Mat Rahim, 24, dari Kampung Berkat, Maran didakwa mengedar heroin yang diletakkan di dalam bonet kereta Perodua Kancil pada pukul 2 pagi, 30 Januari lalu.
Ketika itu kenderaan tersebut diletakkan di depan sebuah rumah bernombor 14, Lorong Seri Setali 103, Taman Setali di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Di samping itu, Che Rohayu didakwa memiliki 2.4 gram methamphetamine pada masa dan tempat yang sama.
Tertuduh turut didakwa memiliki lima biji pil berwarna kemerahan bertanda “WY” yang mengandungi 0.1 gram methamphetamine dalam kereta pada waktu yang sama.
Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa memiliki 0.1 gram methamphetamine pada pukul 1.30 pagi di dalam bilik di rumah beralamat No. 16, yang terletak di lorong tersebut.
Bagi tiga pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Nordiana Abdul Aziz menetapkan sebutan kes pada 6 April ini sementara menunggu laporan kimia. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohamed Zakaria. Tertuduh tidak diwakili peguam.

Dua beranak mengaku tidak bersalah tipu pelabur RM21j


KUALA LUMPUR 9 Feb. - Dua beranak yang merupakan pengarah syarikat Island Red Cafe Franchise Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini, atas tiga tuduhan melanggar Akta Syarikat 1965 melibatkan kerugian lebih RM21 juta.
Teow Wooi Huat, 44, selaku pengarah eksekutif syarikat tersebut dan anak lelakinya, Teow Chee Chow, 21, sebagai pengarah syarikat masing-masing menghadapi tiga tuduhan yang sama.
Mereka didakwa dengan niat menipu telah memperdayakan 93 individu untuk membuat pelaburan dalam program 'Island Red Cafe' yang menyebabkan wang sejumlah RM1,040,400 dibayar kepada syarikat tersebut.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa telah sengaja melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(d) akta tersebut iaitu mempelawa orang awam untuk mendepositkan wang berjumlah RM21,320,100 ke dalam akaun syarikat itu bagi tujuan memasuki program 'Island Red Cafe' untuk tempoh lima tahun.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 27(8) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta tersebut.
Bagi tuduhan ketiga di bawah Seksyen 363(5) akta sama, mereka didakwa telah menawarkan kepada orang awam untuk membeli saham syarikat melalui program yang dikenali sebagai 'Program Island Red Cafe'.
Walhal sewaktu tawaran itu dibuat ia bukanlah perniagaan biasa yang menjalankan perniagaan jual-beli saham seperti yang dilarang di bawah Seksyen 363(3) akta tersebut.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 1 Januari 2008 dan 28 Februari 2009 di syarikat tersebut yang beralamat di 5M, Jalan Pandan Indah 1/23B, Pandan Indah di sini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif SSM sendiri, Datuk Azmi Ariffin.
Azmi menawarkan jaminan sebanyak RM250,000 terhadap Wooi Huat dengan dua penjamin.
Bagaimanapun, setelah Hakim Noradidah Ahmad mempertimbangkan rayuan tertuduh, beliau menetapkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin.
Sementara itu, bagi Chee Chow yang didakwa bersubahat bersama bapanya dibenarkan ikat jamin RM80,000 dengan dua penjamin.
Ketika rayuan, Chee Chow mendakwa dia masih menuntut di sebuah kolej swasta tempatan dan tidak tahu mengenai pengurusan syarikat yang dikendalikan bapanya itu.
Noradidah turut mengingatkan kedua-dua tertuduh, sekiranya mereka gagal menjelaskan jaminan tersebut hari ini, mereka bakal ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.
Beliau menetapkan 9 Mac ini sebutan semula kes bagi memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam bela.