Search This Blog

Sunday, February 7, 2010

'Bukan untuk dijual'- Amir







PERJALANAN dari Kuala Lumpur ke Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor pagi itu berjalan lancar. Hanya mengambil masa 45 minit. Tiada kesesakan yang dialami sekali gus membuatkan penulis sampai ke destinasi yang dituju tepat pada masanya sekitar pukul 11.30 pagi.
Panduan yang diberikan oleh pemilik Teratak Klasik, Mohd. Amir Ahmad, 50, ternyata mudah diikuti. Sebaik sampai, kami disambut dengan senyuman lebar oleh penghuni rumah istimewa itu.
"Terima kasih kerana sudi datang. Macam mana susah ke nak cari rumah saya?," terkeluar pertanyaan daripada mulut Mohd. Amir yang kemudian menjemput penulis bersama jurugambar, Asmaruddin Jamaluddin dan pemandu syarikat, Mohd. Hasbullah masuk.


CONGKAK kayu yang berusia ratusan tahun.



Sejurus melabuhkan punggung di atas kerusi, sekali lagi persoalan dilontarkan Mohd. Amir: "Tengoklah dulu koleksi barang-barang antik yang saya ada ini."
Tanpa menunggu lebih lama, Mohd. Amir mengeluarkan beberapa koleksi peribadi peninggalan arwah bapanya, Ahmad Ali yang meninggal dunia pada usia 87 tahun, sembilan tahun lalu.
Salah satu koleksi barang antik yang istimewa ialah pisau cukur lama yang berusia hampir seratus tahun. Ini berdasarkan tarikh yang terukir di pisau cukur itu menunjukkan 1912. Menariknya ia masih elok dan berfungsi dengan baik.


PISAU cukur yang dibuat di England dan berusia 88 tahun ini masih dalam keadaan baik dan boleh berfungsi.



Koleksi kesayangan
Menurut Mohd.Amir, pisau cukur itu merupakan antara koleksi barang paling lama yang dimiliki oleh arwah bapanya. Sehubungan itu, ia turut menjadi antara koleksi kesayangan beliau yang harus dipelihara dengan baik.
Mohd. Amir memberitahu, dia berasa amat bertuah kerana mewarisi minat arwah bapanya yang gemar mengumpul barang-barang lama untuk kepuasan diri. Jika tidak, mungkin semua barangan tersebut sudah pun dijual kepada mereka yang obses terhadap koleksi barang antik itu.


MOHD. AMIR (kiri) dan ibunya, Yan memeriksa barang kemas yang masih elok.



Sehingga kini, Teratak Klasik telah menjadi 'tempat perlindungan' bagi ribuan barang antik yang tidak terhitung nilainya. Daripada sekecil-kecil barang hinggalah yang paling besar semuanya ada.
Berdasarkan senarai yang berjaya penulis catatkan antara barang antik yang terdapat di Teratak Klasik termasuklah lampu suluh 1923, tembikar China yang diwarisi daripada lima keturunan, gobek api, koleksi seterika lama, piring hitam dan botol susu era 40-an.
Selain itu tali pinggang lama, jam dinding, himpunan duit kertas dari dalam dan luar negara, lembing, tombak, radio zaman Jepun, dulang bijih, pengisar tepung lama, papan congkak berusia lebih seratus tahun yang diperbuat daripada kayu dan banyak lagi.


GOBEK sirih yang diwarisi turun temurun.



Tidak ketinggalan, busana perkahwinan ibu Mohd. Amir, Yan Ali bersama bapanya yang berusia hampir 70 tahun masih elok tersimpan di dalam salah satu peti lama yang ada di ruang tamu rumah tersebut.
Ternyata baju kebaya merah jambu itu tidak lusuh ditelan masa. Menurut Yan, 81, fabriknya masih tetap sama seperti mula-mula dipakai ketika berkahwin dahulu.
"Teringat lagi masa kahwin dulu, nenek berusia 12 tahun ketika itu. Tak sangka sampai sekarang baju ini boleh lagi ditatap oleh cucu cicit nenek," ujar Yan sambil menunjukkan baju tersebut kepada cucunya, Muhammad Aifat Mohd. Amir.


ANAK kunci yang juga menjadi sebahagian daripada koleksi barang antik Teratak Klasik.



Menurut Yan, arwah suaminya memang suka menyimpan barang antik. Sama ada arwah membelinya atau dihadiahkan oleh rakan, semua koleksi itu tidak pernah dijualnya.
Justeru, beliau bersyukur kerana hobi arwah suaminya mengalir dalam darah anak bongsunya, Mohd. Amir.
"Sekarang Amirlah yang menjaga harta peninggalan arwah ayahnya ini. Alhamdulillah, dia mampu melakukan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna," jelas Yan yang masih sihat walaupun usianya sudah lanjut.


MASIH baik. Kebaya merah jambu inilah yang dipakai oleh Yan ketika melangsungkan perkahwinannya dengan Ahmad.



Di samping itu, Mohd. Amir turut menyimpan koleksi barang kemas milik ibunya yang mencecah usia puluhan tahun. Malah, cucuk sanggul yang dipakai ibunya ketika berkahwin juga masih terjaga dengan baik.
Paling istimewa, buku-buku pelajaran arwah ayahnya yang kebanyakan ditulis dalam bahasa Jawi sewaktu bersekolah juga masih ada sehingga sekarang. Walaupun tulisannya sedikit kabur, namun ia masih boleh dibaca.
Niat serong


TERATAK Klasik menjadi pelindung kepada barang-barang antik yang diwarisi oleh Mohd. Amir daripada bapanya, Ahmad.



Secara tidak langsung dengan adanya buku-buku tersebut, anak-anaknya dapat mengetahui bentuk pembelajaran pada era lampau.
Bagi Muhammad Aifat, 18, dia mengakui teruja apabila melihat aneka barangan antik yang dimiliki oleh bapanya. Meskipun pada awalnya, dia sendiri kurang berminat untuk mengambil tahu tentang barangan tersebut, namun situasi mula berubah sejak empat tahun lalu.
"Ketika saya dalam tingkatan dua, tiba-tiba minat saya terhadap barang antik mula timbul. Mungkin disebabkan darah ayah yang mengalir dalam diri membuatkan ia meresap terus ke jiwa saya.


ZAINOL ABIDIN menunjukkan seterika (kanan) yang seakan-akan penyeduk air.



"Sekarang, saya selalu membantu ayah membersihkan koleksi barang antik dan menjaganya dengan baik," tutur Muhammad Aifat.
Sementara itu, abang Mohd. Amir, Mohd. Khadri Ahmad, 54, tidak menafikan ramai individu datang berjumpa adiknya dengan niat-niat tertentu.
Jelasnya, mereka bukan setakat untuk melihat atau mahu membeli koleksi antik tersebut. Sebaliknya datang dengan niat yang tidak baik.
"Pernah ada orang yang datang mahu meminjam sebuah periuk tembaga bersaiz besar semata-mata untuk melakukan kerja menarik duit yang bertentangan dengan agama Islam.





"Bukan itu sahaja, koleksi jam kuda terbang beliau turut menarik perhatian kaki judi untuk digunakan bagi meramal nombor ekor yang akan menang keesokan harinya," terang Mohd. Khadri sambil menggelengkan kepala mengenangkan peristiwa tersebut.
Tetapi, Mohd. Amir mempunyai pendirian tersendiri. Dia tidak mahu bersubahat dengan perkara syirik itu.
Sambil melawak Mohd. Amir berkata: "Nanti kalau duit tak dapat, periuk saya pula yang menjadi mangsa. Manalah tahu mereka akan menyepak atau membuangnya kerana geram apa yang diinginkan tidak tertunai. Saya juga yang rugi." Bagi yang menggemari barangan antik, mereka pasti akan berusaha dengan apa cara sekali pun untuk mendapatkan koleksi yang diingini.
Begitu juga dengan Mohd. Amir. Tetapi, apabila sesuatu barang itu sudah dimiliki, maka anda jangan berharap akan dapat memujuknya untuk menjual koleksi yang ada.
"Semua barangan antik saya bukan untuk dijual. Letaklah berapa harga sekali pun, saya tidak akan sesekali melepaskannya. Ia mempunyai nilai tersendiri.
"Bagi saya, kepuasan amat dirasai apabila berjaya mendapatkan barang yang disukai. Justeru, saya akan menjaganya dengan baik seperti menjaga nyawa sendiri," ujar Mohd. Amir.
Sementara itu, kepada mereka yang berminat mendapatkan barang-barang antik anda boleh melawat Pasar Anika atau lebih dikenali sebagai Rope Walk di Taman Selat, Butterworth, Pulau Pinang.
Pasar itu menjual pelbagai jenis barangan termasuk barangan antik yang jarang ditemui.
Menurut pengumpul dan penjual barang-barang antik, Zainol Abidin, 68, memberitahu seterika yang seakan-akan penyeduk air dan seterika antik yang dijual di pasar itu pada harga di antara RM65 hingga RM90 mengikut saiz, bentuk dan berat seterika berkenaan.
"Seterika antik seakan-akan penyeduk air yang menggunakan arang batu ini berusia lebih 100 tahun. Seterika buatan China ini dijual pada harga RM200," katanya.

Sungai suci yang toksik


Sungai Gangga yang dipercayai mampu membasuh dosa penganut agama Hindu kini dicemari dengan sisa industri dan bahan buangan penduduk di tebingnya.



BAGI penganut agama Hindu di India, Sungai Gangga yang dianggap suci sentiasa bebas daripada sebarang kekotoran. Namun hakikatnya ia kini sedang berdepan dengan krisis pencemaran paling menakutkan.
Hakikatnya, Sungai Gangga dicemari sisa toksik, air kumbahan manusia, sampah sarap dan bahan buangan kilang.
Kepercayaan bahawa sungai tersebut mampu membersihkan dosa membuatkan jutaan orang datang berpusu-pusu melalui pekan Haridwar untuk sampai ke tebing sungai itu, seterusnya melangkah ke dalam airnya.
Setiap tahun, jutaan penganut Hindu itu tidak mahu melepaskan peluang menyertai festival mandi Kumbh Mela yang berlangsung selama tiga bulan.
Di sebalik keghairahan yang didorong oleh ritual kepercayaan tersebut, kebimbangan terhadap pencemaran di sungai sepanjang 2,500 kilometer (km) itu semakin teruk.
Malah, bandar Kanpur yang terletak 800 km ke hilir Haridwar kini merupakan salah sebuah tapak yang paling dahsyat terjejas akibat pencemaran yang semakin berleluasa.
Hampir setiap hari, kilang-kilang yang beroperasi di bandar industri itu mengeluarkan berjuta-juta liter sisa kumbahan yang menyebabkan air sungai hilang nilai semula jadinya.
"Situasi itu sekarang amat teruk dan kritikal," kata D.K. Sundd, Pengarah Eksekutif Yayasan Sankat Mochan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berperanan membersihkan sungai tersebut.
"Masalah paling teruk berlaku di Kanpur. Penduduk di sana menghasilkan hampir setengah daripada jumlah sisa kumbahan dan bahan buangan industri jika dibandingkan dengan aliran air segar di Sungai Gangga," jelasnya lagi.

DI sebalik pencemaran Sungai Gangga jutaan penganut agama Hindu tetap mandi di sungai itu setiap tahun untuk menyucikan diri daripada dosa.


Tambahnya, kebanyakan penduduk yang tinggal berhampiran sungai dari pergunungan Himalaya hingga ke Teluk Bengal di Bangladesh, berhadapan dengan masalah kemudahan rawatan sisa kumbahan.
"Keadaan itu menyebabkan fungsi Sungai Gangga disalah guna sebagai tempat membuang sisa bahan mentah sejak bertahun yang lalu," kata Sundd.
Berhampiran dengan salah satu kuil Hindu di Kanpur, sisa kumbahan air tempatan melimpah keluar dari luar longkang besar, bercampur dengan buih-buih putih dan mengalir ke dalam sungai sekali gus memburukkan lagi keadaan.
Sejak berabad lalu, air Sungai Gangga begitu tinggi disanjung lantaran dipercayai dapat menghapus dosa penganut agama Hindu. Kewujudannya melengkapkan ritual wajib bagi agama itu.
Daripada saat kelahiran seseorang sehingga berlakunya kematian, air sungai itulah yang digunakan. Contohnya setelah seseorang penganut Hindu meninggal dunia, abu mayat mereka yang dibakar akan dibuang ke dalam sungai tersebut.
Penganut yang taat seperti Ram Sharma yang sering berendam di dalam sungai pada awal pagi menjadi bukti bahawa ramai rakyat India berpegang teguh kepada kepercayaan berbanding sains.
"Bagaimana anda boleh mengatakan bahawa air sungai ini kotor?" bentak Sharma dalam nada tegas.
"Bagi kami air sungai ini sangat suci," tambahnya sambil meraup air berwarna kehitaman itu dengan tangan lantas dihirup dengan pantas.

WALAUPUN warna air Sungai Gangga keruh atau kehitaman, lelaki ini yakin meminumnya.


Tidak jauh dari tebing sungai pula, Mahinder Pal Singh menanggalkan seluarnya dan berlutut di dalam air sambil berdoa.
"Anda tidak akan dapat berjumpa dengan air yang mampu memberi ketenangan di mana-mana pun di atas sana," ujarnya dengan bangga.
Di Kanpur, salah satu cabaran mengancam sungai itu ialah industri berasaskan kulit. Kilang-kilangnya menggaji sekitar 50,000 pekerja dengan lebih 400 tan bahan kimia digunakan seperti sebatian toksik kromium.
Walaupun pihak pengurusan kilang perlu merawat sisa buangan dan kumbahan air sebelum memindahkannya ke loji rawatan, aktivis alam sekitar tetap menuduh mereka menyalurkan sisa tersebut terus ke dalam Sungai Gangga.
Pengarah Super Tannery Ltd., Imran Siddiqiu berkata tidak adil jika perniagaan berasaskan kulit sahaja dituduh kerana ia merupakan pendapatan utama dan menguntungkan bandar itu.
"Orang hanya tahu menyalahkan kami walaupun ia tidak benar sama sekali. Hanya dua peratus daripada jumlah keseluruhan sisa buangan datang dari industri ini," ujar Imran.

SISA toksik dari kilang-kilang berdekatan seperti kilang memproses produk berasaskan kulit dibuang terus ke dalam Sungai Gangga.


Kemudahan rawatan bahan cecair buangan di Jajmau dan hab perniagaan kulit di Kanpur mempunyai kapasiti untuk merawat sembilan juta liter air sehari bagi industri sisa kumbahan.
"Tiada siapa yang tahu berapa banyak sisa kumbahan air yang dihasilkan tetapi semua orang menerima bahawa industri kulit menghasilkan lebih daripada sembilan juta liter sehari. Mungkin antara 20 hingga 30 juta liter," kata Ajay Kanujia, pegawai kimia di loji rawatan Jajmau.
Kerajaan telah membelanjakan lebih daripada AS$160 juta (RM546 juta) untuk membersihkan sungai sejak memulakan Pelan Bertindak Gangga pada 1985, namun tahap bakteria yang terdapat di dalam air masih lagi tinggi.
Pada Februari tahun lalu, pihak kerajaan bertindak menubuhkan National Ganga River Basin Authority untuk mengawal usaha pemuliharaan dan Disember lalu, Bank Dunia mengumumkan pinjaman AS$1 juta bilion (RM3.41 bilion) untuk menyokong usaha membersihkan sungai tersebut. - AFP

Gergasi laut yang dizalimi


Nasib paus tiada penyudahnya. Keengganan Jepun menghentikan tradisi makanan berasaskan daging mamalia laut terbesar itu seumpama mementingkan diri sendiri.



KEDENGARAN jeritan dan sorakan di tengah lautan. Keterujaan itu seiring dengan kegigihan kumpulan anak kapal yang sedang berusaha menarik seekor paus sepanjang hampir 20 meter naik ke atas kapal.
Darah merah lantas mencemarkan kebiruan air laut di situ. Semakin banyak ia mencurah saat paus itu meronta-ronta minta dilepaskan. Namun, kuasa tombak yang dibedil dari atas kapal gergasi itu jauh tertusuk lalu menembusi tulang-temulangnya.
Setelah berjaya dinaikkan, paus itu menghadap seksaan paling kejam. Ia ditembak berkali-kali untuk memastikan hayatnya benar-benar sudah berakhir. Hanya selepas itu, proses melapah pun bermula.
Kalau membayangkan siri perbuatan itu, ia seolah-olah meletakkan manusia sebagai makhluk yang paling kejam.
Walaupun menerima persepsi sedemikian, bagi pemburu-pemburu paus dari Jepun itu, ia bukanlah satu kekejaman. Sebaliknya, ia suatu proses yang biasa dilakukan para pelaut tersebut untuk mencari sumber makanan bagi mengisi perut yang kosong.

PAUS kelabu seperti ini sentiasa terancam saat ia muncul di permukaan laut untuk mengambil nafas atau bermain dalam kelompoknya.


"Paus ditangkap kerana kami menghargainya. Secara fitrah, ikan paus yang dilahirkan di laut adalah untuk kami memburunya. Kami rasa paus berasa 'gembira' untuk dimakan.
"Saya tidak pernah mendengar sesiapa pun yang mengeluh kesal. Kanak-kanak di sini pun tidak bersedih kerana paus yang mati. Paling nyata, mereka mungkin berkata tangkapan hari ini nampak sedap," kata salah seorang bekas pemburu Yuichi Kimura yang berasal dari Ayukawa, Jepun.
Di restoran-restoran Negara Matahari Terbit itu, hidangan daging paus bukanlah sesuatu yang asing. Makanan eksotik itu menjadi kegemaran malah merupakan sebahagian daripada makanan wajib penduduknya.

KEHADIRAN kapal besar yang dilengkapi tempuling seperti Yushin Maru ini adalah ancaman menakutkan buat paus dan kumpulan pergerakan antipemburuan.


Walaupun menyedari haiwan tersebut sudah semakin pupus, Jepun masih enggan membuang tabiat itu kerana ia telah menjadi tradisi mereka sejak ratusan tahun dahulu.
Menurut kajian, tradisi memakan daging paus dan pemburuannya telah wujud sejak abad ke-12 di Jepun. Tetapi selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, permintaan terhadapnya semakin tinggi lantaran selera terhadap mamalia laut itu semakin meningkat.
Tradisi dan kontroversi
Di negara yang mengalami kekurangan sumber makanan yang serius itu, paus bukan sahaja diambil dagingnya untuk memenuhi selera di meja makan. Bahagian-bahagian paus yang lain turut dijadikan sumber minyak bagi lampu, sabun, baja dan sebagainya.
Kata Yuichi, tradisi atas kapal Jepun tidak seperti amalan anak kapal pemburu paus di Amerika Syarikat. Kalau kapal Amerika membuang daging mamalia tersebut setelah mengambil bahagian tertentu yang boleh dijadikan minyak, pelaut Jepun pula memanfaatkan setiap inci paus yang ditangkap.

DEMONSTRASI yang mengecam kegiatan memburu paus sering dijalankan namun sejauh manakah gesaan itu diberi perhatian?


Isu pemburuan paus dan kerisauan terhadap kepupusannya telah mula dibangkitkan sejak 1925 dan telah dibawa ke Persidangan Geneva. Undang-Undang Pemburuan Paus telah digubal pada 1931 dan mula dikuatkuasakan pada 1934, namun Jepun dan Jerman tidak menghiraukannya.
Begitupun pada 1947, daging paus telah menguasai pasaran Jepun sebanyak 50 peratus berbanding daging-daging lain. Malah pada sekitar 1954 pula, satu Akta Pemakanan Sekolah telah menyenaraikan daging paus dalam program pemakanan di sekolah kerana mereka percaya ia dapat meningkatkan nutrisi kanak-kanak Jepun.
Tanpa terkesan terhadap tekanan gerakan kumpulan pencinta haiwan dan pelbagai pertubuhan global lain yang mewakili survival haiwan itu, daging paus terus menjadi sebahagian daripada makanan mereka kerana ia dipercayai berkhasiat dan rendah lemak.

KAPAL ini sedang menarik masuk seekor paus minke bersama anaknya di Lautan Antartik. Jepun mendakwa penangkapan paus adalah untuk tujuan ‘penyelidikan’.


Bagaimanapun, selepas ekonomi negara tersebut pulih, permintaan terhadap daging ikan paus sedikit menurun selepas daging-daging lain menjadi popular di pasaran menjelang 1970.
Kerajaan negara tersebut walau bagaimanapun terus berusaha meningkatkan semula permintaan dan minat terhadap daging paus.
Sebuah syarikat telah ditubuhkan dan bertanggungjawab menghantar daging paus ke sekolah, hospital dan restoran. Walaupun pengedarannya percuma, penjualannya tetap dikawal bagi memastikan harganya berada di tahap yang memuaskan.
Pengharaman
Selaras dengan larangan oleh Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa (IWC), misi pemburuan paus di Lautan Antartik bagaimanapun telah dihentikan oleh Jepun pada 1986-1987. Ini berikutan langkah negara-negara Barat yang melobi pengharaman tersebut atas hujah bahawa haiwan itu diburu secara melampau sehingga membawa kepada kepupusan.
Walaupun berat menerima penguatkuasaan itu, Jepun terpaksa akur menghentikan aktiviti memburu paus minke di kawasan pesisiran pantai sejak tahun 1988.

DAGING paus menjadi kegilaan diet rakyat Jepun kerana mempercayai nilai khasiatnya yang tinggi.


Namun, kontroversi itu tidak tamat begitu sahaja. Jepun sebenarnya masih meneruskan aktiviti yang membunuh beratus-ratus ekor paus setahun. Cuma mereka memberi alasan pemburuan dan pembunuhan itu atas nama 'penyelidikan'.
Alasan tersebut telah menerima kritikan daripada negara-negara antipemburuan paus seperti Amerika Syarikat dan Australia yang melihatnya sebagai pemburuan komersial. Umum tahu, paus akan tetap berakhir di atas pinggan sebagai hidangan di restoran dan dapur rumah mereka.
Sepanjang tahun 2009 yang mempunyai 10 musim memburu paus, Jepun yang memiliki sebuah kapal industri, empat kapal tempuling dan dua kapal patrol telah membunuh 935 ekor paus minke, 50 ekor paus fin dan 50 spesies humpback setiap musim.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Paus Antarabangsa (IWC), tangkapan paus dengan permit oleh Jepun dari 1988 hingga 2008 di Pasifik Utara dan Hemisfera Selatan adalah sebanyak 11,368 ekor.
Ekoran ia berhampiran perairan Australia, kerajaan negara kanggaru tersebut lantang memberi komen mengenai kegiatan tersebut.
Pada tahun 1994, Australia mengumumkan bahawa kawasan sejauh 200 batu nautika (370 km) yang mengelilingi Wilayah Antartik Australia sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). Zon itu termasuk dalam bahagian selatan kawasan Tempat Perlindungan Paus Laut Selatan yang telah diisytihar IWC.
Pada Disember 2007, kerajaan Australia mengumumkan rancangan untuk mengawasi pemburu paus Jepun yang memasuki perairan mereka. Perdana Menteri, Kevin Rudd, turut membuat bantahan rasmi terhadap aktiviti pemburuan paus oleh Jepun dan mengancam untuk mengambil tindakan melalui mahkamah antarabangsa.
"Jika kita tidak boleh menyelesaikan masalah ini secara diplomatik kami tidak akan menunggu lama untuk mengambil tindakan undang-undang.
"Kami serius dalam hal ini. Saya lebih suka menyelesaikannya secara diplomatik tetapi jika gagal, pasti ada jalan alternatif untuk menyelesaikannya," kata Kevin.
Jepun telah mengundang masalah yang lebih besar apabila kapal milik mereka, Shonan Maru 2, telah melanggar bot canggih milik kumpulan antipenangkapan paus Persatuan Pemuliharaan Sea Shepherd 6 Januari lalu.

BOT canggih Ady Gil ini musnah di bahagian hadapannya kerana mendakwa kapal Jepun, Shonan Maru 2, melanggarnya ketika melakukan aktiviti pemburuan paus.


Muncung bot bernama Ady Gil itu telah patah akibat dirempuh Shonan Maru 2, dan akibatnya kedua-dua belah pihak saling menyalahkan kedudukan dan peranan masing-masing.
Sea Shepherd dalam satu kenyataan memberitahu, kapal The Shonan Maru 2 tiba-tiba menghidupkan enjin dan melanggar Ady Gil sehingga bahagian depan bot itu putus.
Institut Penyelidikan Cetacean (ICR) Jepun pula mendakwa lima warga New Zealand dan seorang rakyat Belanda dalam bot canggih itu cuba merosakkan kemudi dan kipas dengan menggunakan tali selain menembak 'cahaya laser' kepada anak kapalnya dan melontarkan bom busuk.
"Mereka telah membuktikan bahawa mereka tidak mengendahkan undang-undang dan nyawa manusia, sama seperti nyawa paus. Enam anggota kami boleh terbunuh dalam kejadian itu," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sea Shepherd, Chuck Swift.
Jurucakap bagi ICR, Glenn Inwood, pula membalas dengan menyifatkan tindakan Sea Shepherd itu sebagai usaha meraih publisiti semata-mata.
Hakikatnya, selagi ada permintaan dalam pasaran daging paus di Jepun, selagi itulah pemburuan terhadapnya tidak akan berakhir.
Walaupun kesedaran masyarakat Jepun terhadap isu kepupusan paus sudah menampakkan sedikit peningkatan, ia masih belum cukup untuk menghalang kegilaan aktiviti pemburuannya. Tradisi tersebut terlalu kuat untuk dikatakan salah, apatah lagi untuk dihentikan.

Malang Janda Narko



KEMISKINAN telah mendorong anak muda Mexico mengambil jalan mudah untuk terlibat dalam perdagangan dadah.


JAUH di barat Mexico, matahari menyinari tanaman ganja di kawasan berbukit di mana lokasi geng-geng dadah melepak. Norma Bello bersama lima anaknya tinggal di sebuah gudang usang sejak suaminya ditikam sehingga mati, malah anak sulungnya dipenjara kerana terlibat dalam pembunuhan berkaitan dengan kes dadah.
Di kota sepi Arteaga yang berada di bawah bayangan tuan ladang dadah tersohor di Michoacan, Bello tidur dalam keadaan gelisah apabila mengimbas semula kejadian ketika polis yang lengkap bersenjata menendang pintu rumahnya kemudian mengoyakkan karung gandum untuk mencari kokain.
Di bandar Ciudad Juarez, seorang wanita, Isandra, 45, berjuang untuk membina kehidupan anak-anaknya dengan menjauhi dunia dadah yang telah mengubah suaminya kepada kaki dadah yang gila perempuan.
Di sebalik kemusnahan harian kerana pembunuhan akibat perdagangan dadah, ribuan janda narkotik atau digelar Janda Narko di Mexico bersama dengan saudara perempuan dan anak-anak terpaksa membayar dengan nilai yang terlalu mahal untuk perniagaan yang sudah membunuh 17,000 orang dalam tempoh tiga tahun.
"Kami adalah orang yang menderita," kata Bello, 38. Anak lelakinya dituduh bekerja dengan kumpulan La Familia dan terlibat membunuh 12 pegawai polis yang diikat dan dibogelkan. Mayat polis itu kemudian dibuang di sebatang jalan yang berlumuran darah pada tahun 2009.
Di Michoacan, candu dan ganja telah ditanam sejak puluhan tahun dengan bekas kerajaan korup telah membiarkan penyeludupan berleluasa.
Kemiskinan mendorong kaum muda untuk bekerja sebagai pengintip, pemberi maklumat dan orang suruhan. Bilangannya meningkat sehingga ramai yang mati atau dipenjara.
Bagi setiap berita mengerikan beserta gambar mayat digantung atau dipenggal kepalanya, pasti ada mangsa melibatkan kaum wanita. Sesetengah wanita cantik yang memasuki dunia dadah hanya dijadikan penarik kepada pihak yang terlibat.
Tindakan keras telah menempatkan kira-kira 80,000 orang yang dipercayai ahli geng dadah dalam penjara tetapi kebanyakan daripadanya akan dipukul sehingga membuat pengakuan.
Anak lelaki Bello yang dipenjara, Evaristo, 20, merupakan pencari nafkah utama sejak suaminya dibunuh dan mayatnya dibuang di atas rel kereta api beberapa tahun lalu.
"Tetapi kini saya bersendirian dan ketakutan walaupun untuk tidur. Tetapi pada siapa hendak saya mengadu," ujar Bello.
Dilema Janda Narko
Sejak Presiden Felipe Calderon mengarahkan tentera kebangsaan melancarkan tindakan tegas terhadap pengeluar dadah pada akhir tahun 2006, perang antara geng-geng dadah tercetus sehingga membimbangkan kerajaan Amerika Syarikat (AS), pelabur asing dan pelancong.
Selepas satu pembunuhan di Michoacan baru-baru ini, ibu kepada dua orang mangsa bergegas ke tempat kejadian dan mengangkat semua sembilan mayat ke dalam van untuk dikebumikan tanpa menunggu pihak berkuasa mengemukakan laporan.
Para isteri atau teman wanita kepada pedagang dadah harus memilih sama ada hidup di bawah kawalan pedagang dadah tetapi menikmati kemewahan hasil daripada jualan dadah atau melarikan diri namun hidup dalam kesederhanaan.
Paling beruntung ialah mereka yang mewarisi harta, kereta, barang kemas atau akaun bank milik bekas pasangan mereka yang disimpan atas nama mereka. Kebanyakan mereka akan melarikan diri ke AS dan Peru.

SEORANG Janda Narko bersama empat orang anaknya hidup dalam kedaifan di bandar Arteaga.


"Kami menderita akibat perbuatan kaum lelaki yang terjebak dalam kancah ini," kata Isandra yang berpakaian seksi dengan renungan sepasang mata hitam yang menawan.
Suaminya terlibat dalam perdagangan dadah pada tahun 1990-an. Dia terbang dari Michoacan ke Ciudad Juarez di sempadan AS dengan bantuan pegawai kastam Mexico yang korup.
Isandra berkahwin dengan suaminya pada usia 16 tahun tetapi meninggalkannya pada usia 32 tahun.
Isandra bekerja sebagai pengasuh dan pelayan bar untuk menyara anak-anaknya ke sekolah dan mendapat pendidikan yang tinggi ketika suaminya tenggelam dalam kehidupan dadahnya. Ketagihan suaminya terhadap kokain dan minuman keras akhirnya merosakkan organ dalaman lelaki itu.
Isandra jarang menghubungi suaminya dan ketika menerima panggilan telefon, Isandra diberitahu bahawa suaminya telah meninggal dunia dan mayatnya sedang diterbangkan ke rumah keluarganya di bandar Guadalajara.
"Dunia dadah menyebabkan lelaki begitu ego dan pentingkan diri. Suami saya menghabiskan semua wangnya untuk perempuan lain, sedangkan saya harus menyara diri sendiri," katanya.
La Familia, seorang pengedar dadah terbesar yang melarang anggotanya mengambil dadah dan alkohol menyifatkan adalah luar biasa membayar gaji bulanan kepada janda yang menjadi mangsa keganasan dadah.
Oleh yang demikian, pengeluar dadah secara rasmi menggaji beberapa wanita yang bekerja sebagai pemberi maklumat yang bekerja di 4,000 buah makmal methamphetamine di Michoacan manakala janda yang lain bergantung kepada mentua atau bertukar kekasih di kawasan yang sama.
"Mereka berkahwin pada usia yang sangat muda dan sudah terbiasa dengan kehidupan yang senang dan mewah sehingga sukar untuk meninggalkannya.
"Tetapi mereka menderita kerananya. Mereka dilayan dengan buruk dan menjadi pemuas nafsu lelaki," kata Penasihat Ekonomi kepada kerajaan Michoacan, Ana Maria Perez.
Salah seorang Janda Narko yang terkenal di Mexico ialah Sandra Avila yang digelar Ratu Pasifik. Dilahirkan dalam sebuah keluarga penyeludup, sudah dua kali Avila menjanda.
Avila yang memiliki rambut hitam yang cantik sebelum ini mempunyai restoran terbaik di bandar raya Mexico, beberapa buah kereta mewah, peti simpanan yang dipenuhi permata dan kondominium di tepi laut.
Kini, Avila menjadi penghuni penjara yang hapak di mana dia mengeluh tentang makanan yang tidak sedap, basi dan banyak lipas.

Dibelai disayang, digigit jua!





RENUNGAN matanya sahaja sudah menimbulkan rasa terancam dan gerun. Itu belum lagi mendengar ngaumannya. Peluang mendekatinya, walau dihalang tabir besi, masih boleh membuatkan seseorang menghela nafas sesak dan jantung berdegup kencang.
Dikhabarkan, setiap langkah dan gerak geri diatur makhluk ini diiringi kepekaan deria yang tiada bandingan. Kalau begitu, bukankah ia mendengar rentak jantung kita yang berasa takut akan kehadirannya?
Namun, sifat itu tidak sepenuhnya diwakili spesies harimau Siberia (Panthera tigris altaica) yang berada dalam jagaan di Tiger Valley, Lost World of Tambun, Ipoh, Perak ini. Di sebalik karektor ganas lima ekor harimau itu, ia menyembunyikan sifat yang bertentangan.
"Subspesies harimau paling besar ini sebenarnya mudah tersinggung apabila tidak dibelai dengan penuh kasih sayang. Ia amat manja," kata penjaga harimau terbabit, S. Kamalanathan, 38.
Sebagai penjaga, kesemua harimau yang terdapat di Tiger Valley itu sudah Kamalanathan anggap seperti anak sendiri. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengamalkan sikap pilih kasih dalam penjagaan, sekurang-kurangnya tidak ditunjukkan di hadapan 'kucing-kucing besar' itu.
"Harimau merupakan haiwan yang amat sensitif dan mempunyai sifat cemburu serta mudah merajuk apabila tidak diberi perhatian," katanya yang mesra dengan panggilan Nathan.
Manja, sensitif, cemburu, dahagakan kasih sayang dan mudah tersinggung? Apakah benar semua yang dicakapkan itu berkenaan harimau? Memang suatu ironi.

KESIHATAN harimau adalah salah satu aspek dalam rutin penjagaan Nathan.


Nathan memberitahu, Tiger Valley memiliki tiga ekor harimau Siberia jantan manakala selebihnya adalah harimau betina. Masing-masing mempunyai nama tersendiri iaitu Sultan berusia 16 tahun seberat 320 kilogram (kg); Putera (enam tahun, 280 kg); dan Jazz (empat tahun, 300 kg).
Dua ekor lagi ialah Azian yang berusia enam tahun dan seberat 280 kg, manakala Raima, 14 tahun, 260 kg. Mamalia bereputasi ganas itu dilatih Nathan mengikut karektor masing-masing.
Sultan misalnya, merupakan harimau dominan dan bertindak sebagai 'bapa' kepada yang lain. Ia kelihatan seperti mengasari harimau lain walhal ia sebenarnya mengajar cara mempertahankan diri.
Putera pula mempunyai keegoan yang tinggi disebabkan ia merupakan anak harimau pertama yang dilahirkan di Tiger Valley sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia. Ia bersikap manja dan gemar mengusik Nathan. Kalau tiba waktu tidur pula, Putera suka meragam.
"Jazz pula dianggap macam cahaya mata sendiri kerana saya yang menjaganya sejak ia dilahirkan. Memandangkan usianya, ia lebih aktif dan suka berlari berbanding yang lain," kata lelaki bujang ini.
Melihat gelagat Azian yang bersahaja dan tidak segan di hadapan lensa kamera, seseorang pengunjung akan segera melabelnya persis bintang popular. Ya, memang hakikatnya, harimau itulah yang telah 'berlakon' sebagai harimau jelmaan dalam filem Waris Jari Hantu sedikit masa lalu.
Perhatian kepada Azian itu mungkin membuatkan si Raima berasa cemburu. Dengan badan yang besar, Raima tidak mahu kalah menonjolkan diri sebagai harimau betina yang aktif dan pintar menunjukkan pelbagai kemahiran dalam pertunjukan.
Melatih 'anak'
Nathan mula diperkenalkan dengan ilmu penjagaan harimau sejak tahun 2006 secara sambilan. Tanpa disangka, dia semakin berminat untuk memahami naluri haiwan karnivor itu lantaran sudah biasa mendekatinya setiap hari.
Walaupun pernah terpaksa melupakan 'teman-teman' sepermainannya itu buat seketika kerana mengejar tugas sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta, Nathan telah dipanggil semula oleh majikan lamanya pada 2008 untuk menjadi penjaga harimau sepenuh masa.
"Secara amnya, saya perlu memastikan harimau-harimau berada dalam keadaan sihat, cergas dan selesa. Semuanya perlu dibelai kasih sayang selain dilatih agar berdisiplin," ujarnya yang banyak menimba ilmu melalui Internet dan daripada penjaga harimau Zoo Negara dan Zoo Taiping, Perak.
Bagi pelatih harimau sepertinya, tiada kepuasan dapat digambarkan apabila anak didiknya itu mempercayainya lalu patuh kepada arahan asas seperti duduk, melompat, dan tidak bercakaran antara satu sama lain.
"Harimau kalau berada di hutan, ia mengetahui cara menjaga diri sendiri tetapi apabila ia tidak tinggal di habitat asalnya, kita yang perlu menjaganya dengan baik," terangnya yang senang menyentuh, mengusap dan mencium haiwan itu.
Bercakap soal diet, setiap harimau di Tiger Valley mempunyai sukatan makanan sendiri mengikut berat badan. Sebanyak empat hingga enam kilogram daging segar pelbagai jenis perlu disediakan sehari bagi setiap harimau.

MANJA yang ditunjukkan kepada seorang 'ayah'.


"Pemberian daging lembu, ayam atau kambing perlu mengikut jadual tetapi akan berlaku perubahan jika haiwan tersebut sakit," jelas Nathan.
Bagi bekalan daging beku pula, dia perlu menunggu selama enam jam supaya ia lembut dan darah dapat mengalir sebelum dicampakkan sebagai habuan perut kelima-lima harimau tersebut.
"Darah akan membekalkan vitamin. Sama juga pentingnya dengan pemberian makanan lain seperti satu sudu vitamin tambahan, protein, telur serta minyak kod," katanya yang menerima kedatangan pihak Jabatan Haiwan Perak setiap tiga bulan untuk membuat pemeriksaan kesihatan terhadap harimau jagaannya.
Pernah digigit
Memang banyak memori yang Nathan bina bersama lima sang belang kesayangannya itu. Daripada situasi memujuk waktu dimandikan, meredakan harimau yang agresif, hinggalah kepada pengalaman bermalam di sebelah kandang untuk menjaga perkembangan harimau yang sedang sakit.
Namun, ada satu peristiwa yang hampir-hampir membuatkan Nathan berfikir semula sama ada benar itu adalah skop kerjanya. Bukan kisah terkena cakar atau digigit manja, tetapi kakinya pernah disalah erti sebagai makanan lazat.
"Pengalaman itu masih segar dalam ingatan. Semasa kejadian, saya baru lepas memotong daging untuk diberikan kepada harimau-harimau itu. Atas kelalaian sendiri, saya tidak sedar terdapat secebis daging yang terlekat pada betis.
"Umum tahu betapa haiwan ini mempunyai deria hidu yang hebat. Pada masa itu, ada seekor harimau sedang sakit dan saya perlu membawanya ke bilik rawatan. Ketika mengiringinya, saya mendapati ia mengekori rapat. Tanpa diduga, ia menerkam dan membaham betis saya," imbasnya.
Selama satu setengah bulan, Nathan berehat untuk membolehkan kecederaan kakinya pulih. Gigitan harimau itu sangat kuat hinggakan giginya menembusi isi daging betisnya. Meskipun sepanjang tempoh itu dia menanggung sakit, lelaki ini tidak pernah berputus asa atau lemah semangat.

EMPAT hingga enam kilogram daging diperlukan dalam diet harimau setiap hari.


Kini, sudah empat tahun Nathan setia pada tugasnya. Dalam banyak-banyak perkara, isu paling utama baginya adalah aspek keselamatan. Bukan sahaja untuk dirinya, malah untuk setiap pengunjung yang melawat ke tempat itu.
"Satu-satunya ketakutan saya adalah kalau saya terlupa untuk mengunci kandang dengan baik. Bayangkanlah kalau itu terjadi. Saya bukan melepaskan bulldozer, tetapi haiwan liar yang mengancam nyawa!" Katanya berseloroh.
Kalau harimau-harimau itu berjaya dilatih untuk menjadi bintang di mata pengunjung, Nathan juga menerima banyak pengajaran bernilai. Daripada haiwan itu, dia telah belajar tentang keyakinan diri untuk mengendalikan perasaan takut dan was-was.
"Pengalaman menjaga harimau ini juga telah menjadikan saya seorang yang sabar, berdisiplin dan pengasih selain membuatkan saya lebih bersedia menghadapi masalah dan mencari penyelesaiannya," jelas Nathan bangga.

103 tahun 'roti cerut'


Peminat roti sandwic keluaran Federal Bakery yang telah berusia lebih 100 tahun bukan sahaja terdiri daripada orang kebanyakan bahkan kerabat diraja.

SEMASA Peristiwa 13 Mei 1969, Federal Bakery menjadi salah satu kilang yang menyalurkan sumber makanan kepada penduduk sekitar Kuala Lumpur.


SEJARAH Kuala Lumpur bermula pada tahun 1857 apabila bijih timah ditemui Raja Abdullah di kawasan Ampang. Hasil penemuan sumber alam itu menarik minat peniaga untuk menjual barangan keperluan kepada pelombong-pelombong bijih.
Mereka mendirikan kedai-kedai di pertemuan Sungai Klang dan Gombak sehinggalah pada tahun 1880 apabila Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Selangor.
Perkembangan itu menyaksikan semakin banyak bangunan dibina manakala jumlah penduduk semakin bertambah. Situasi itu mendorong seorang lelaki membuka sebuah kilang roti.
Kilang itu ialah The Federal Bakery yang dibuka pada tahun 1906 dan masih kukuh bertapak di ibu negara walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.
Diasaskan oleh Mohd. Yusof Ahmad Shah, kisah perniagaan Federal Bakery bukan mudah.
Bersama 11 orang rakan, Yusof menjual roti menggunakan sampan dan basikal.
Potong kepala
“Keuntungan yang diperoleh seharian digunakan bagi membeli bahan mentah untuk jualan keesokan harinya dan proses itu berterusan.
“Terdapat 11 orang lagi yang turut menjual roti namun hanya datuk saya yang mengambil keputusan membina kilang roti.
“Tidak lama kemudian kilang ini diwariskan kepada bapa saya, Abdul Wahab, ketika dia berusia 18

MASHOOD ABDUL WAHAB


tahun.
“Saya pula mengambil alih daripada bapa pada tahun 1976 walaupun pada mulanya berasa kekok untuk menceburi bidang pembuatan roti.
“Malah hanya saya seorang daripada lapan adik-beradik yang meneruskan perniagaan ini,” kata pemilik Federal Bakery kini, Mashood Abdul Wahab ketika ditemui di pejabatnya di Bulatan Loke Yew, Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya lagi, Federal Bakery sebenarnya telah melalui pelbagai peristiwa suka dan duka untuk terus bertahan.
“Semasa British menjajah negara, kebanyakan kilang roti yang beroperasi menamatkan perniagaan mereka kerana kesukaran mendapatkan bekalan.
“Bagaimanapun, bapa saya mengadakan kerjasama dengan kerajaan British dengan menawarkan sumber makanan kepada mereka dan pihak British pula menyalurkan bahan mentah kepadanya,” katanya.
Semasa pemerintahan Jepun dan Darurat, kesukaran lain pula melanda.
“Pihak tentera Jepun pernah mengugut untuk memotong kepala bapa saya jika dia memberikan makanan kepada British. Tetapi bapa saya membuat perkara yang serupa seperti datuk dengan membekalkan makanan kepada pihak Jepun pula.
“Semasa Peristiwa 13 Mei 1969, Federal Bakery merupakan salah satu kilang yang menyalurkan sumber makanan kepada penduduk di sekitar Kuala Lumpur.
“Malah kawasan kilang dikawal tentera 24 jam sehari dan segala urusan keluar masuk perlu melalui proses yang ketat,” katanya yang tidak dapat melupakan peristiwa itu.
Resipi rahsia

PENGGUNAAN teknologi moden membolehkan penghasilan roti keluaran Federal Bakery lebih pantas berbanding dahulu.


Walaupun terpaksa bersaing dengan kilang-kilang roti yang lebih besar, Federal Bakery tidak pernah gentar.
Rahsianya, kata Mashood ialah resipi asal milik datuknya yang masih digunakan sehingga kini.
“Bukan kaum wanita sahaja suka mengumpul dan menyimpan resipi masakan, saya juga menyimpan dan mereka cipta resipi-resipi baru khususnya dalam pembuatan roti.
“Buku yang berusia lebih 100 tahun ini masih elok dalam simpanan saya dan akan menjadi rujukan anak-anak saya kelak apabila mereka mewarisi perniagaan turun-temurun ini.
“Malah pelanggan yang sudah biasa dengan resipi lama sering memberi ingatan supaya tidak menukar kepada ramuan baru sehingga ada yang sanggup datang ke kilang,” katanya ketawa.
Mashood memberitahu, pembuatan roti pada masa dahulu lebih sukar berbanding sekarang yang menggunakan teknologi moden.
“Bapa sering menceritakan kepada saya betapa susahnya untuk membuat sebuku roti berbanding sekarang yang mempunyai pelbagai peralatan canggih yang mempercepatkan prosesnya.
“Ini kerana pada zaman dahulu proses membuat roti mengambil masa selama sembilan jam berbanding tiga jam sahaja kini kerana pada waktu itu yis yang membolehkan tepung cepat kembang belum digunakan.
“Sebaliknya mereka pakai sejenis bunga yang membolehkan tepung kembang tetapi ia tidak secepat yis. Tambahan pula, mereka membakar roti menggunakan arang dan kayu api sahaja,” katanya lagi.

15 jam
Uniknya, bagi mengetahui sama ada roti itu sudah masak atau belum, mereka mengukurnya dengan menghisap cerut.
Sekiranya cerut yang dihisap telah habis, roti yang dibakar sudah boleh dikeluarkan daripada ketuhar. Masa yang diambil ialah sembilan jam dan keseluruhan masa proses sebelum roti siap diedar ialah 15 jam.
Kini, pekerja hanya memutar tombol penentu masa pada ketuhar dan hanya menunggu roti tersebut masak dalam jangka masa kurang dua jam.
Federal Bakery merupakan syarikat pemilik beragama Islam tertua di Malaysia dan kini mempunyai 40 orang pekerja.
“Kami turut menghasilkan roti sandwic berharga RM1.60 sebanyak 40,000 sehari dan bagi roti berkrim pula sebanyak 100,000 biji.
“Pasaran pula ialah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Pahang yang mewakili lima peratus industri roti di negara ini dengan kekuatan 45 buah lori dan 250 orang vendor yang dilantik,” katanya yakin.
Bicaranya, antara pelanggan roti keluaran syarikatnya ialah keluarga diraja Kelantan dan Perlis. Malah bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak adalah antara pelanggan utamanya dahulu.
“Bagi keluarga diraja, pemandu mereka akan datang ke kilang di Sungai Besi seminggu sekali untuk mengambil stok. Mungkin kerana roti sandwic yang Federal Bakery hasilkan lebih lembut berbanding pengeluar roti lain.
“Federal Bakery juga menghasilkan roti Perancis yang jarang syarikat roti buat kerana prosesnya yang sukar dan kini kilang ini telah menghasilkan 30 jenis roti seperti roti sandwic, ban berperisa ban kelapa,” ujarnya.

Bahana ketagihan seks





WALAUPUN hatinya remuk setelah skandal seks suaminya, bintang golf No. 1 dunia, Tiger Woods, 34, terdedah, Elin Nordegren, 30, masih mahu menyelamatkan perkahwinan mereka demi anak-anak, Sam, 2 tahun dan Charlie, 11 bulan.
Namun, kesediaan bekas model Sweden itu menerima semula Woods adalah bersyarat termasuk Woods mesti berjumpa pakar untuk menghentikan ketagihan seksnya.
Bintang sukan kelahiran Cypress, California, Amerika Syarikat itu tidak mampu menutup kisahnya yang obses seks lantaran 19 wanita termasuk pelayan kelab malam dan pelakon porno mula mengakui pernah menjalin hubungan intim bersama Woods November lalu.
Menurut Perunding Terapi Ketagihan, Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur, Chris Sekar, seseorang yang dikenal pasti mengalami ketagihan terhadap sesuatu seperti seks akan bersikap untuk menafikan tabiatnya itu.
"Daripada laporan media, kemungkinan besar Woods mengalami masalah ketagihan seks kerana dia
sanggup melakukan sesuatu yang luar biasa hanya untuk memenuhi kepuasan seksualnya namun dia enggan mengakuinya.

IMEJ bersih Woods tercalar gara-gara skandal seksnya terbongkar.


"Ketagihan mempunyai pelbagai cabang rangsangan. Antaranya ketagihan perlakuan seperti ketagih seks, ketagihan kimia seperti dadah dan ketagihan tersembunyi seperti membeli-belah serta terlalu kuat bekerja.
"Walaupun ketagihan ini berbeza namun simptomnya adalah sama. Penagih akan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sesuatu yang diingini dan sekiranya wujud halangan, mereka akan mencari jalan keluar walau apa pun cara sekali pun," ujar Chris.
Meneliti kes profil Woods, beliau tidak menolak wujud toleransi dalam diri jaguh sukan golf itu untuk memuaskan nafsu seksnya.
"Woods pada awalnya mungkin mengadakan hubungan intim dengan seorang wanita. Atas dorongan dan rangsangan yang mungkin didapati daripada filem porno atau imaginasinya, Woods gemar untuk menukar selera dengan beraksi bersama lebih daripada seorang wanita dalam satu masa.
Cabang seks
"Dia juga pernah dilaporkan gian dan sangat teruja untuk melakukan seks bersama dua wanita dalam satu masa. Ia adalah unsur-unsur ketagihan seks yang boleh dilihat ada pada Woods.
"Tidak mustahil dia mengeluarkan AS$60,000 (RM204,800) seperti dilaporkan hanya untuk menganjurkan parti seks bersama beberapa pelacur berprofil tinggi," jelas Chris.
Merungkai gejala ketagihan seks di kalangan lelaki, Perunding Klinikal Andrologis, Hospital Damai Service, Kuala Lumpur, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Thambi berkata, ia bukan semata-mata melakukan hubungan seks dengan pasangan.
"Ketagihan seks mempunyai banyak cabang. Dalam kes Tiger Woods, mungkin dia berminat dengan perempuan namun skop ketagihan yang sebenar adalah lebih daripada itu.
"Tidak semua lelaki mendambakan sentuhan di ranjang. Ada lelaki merasa terangsang apabila melihat gambar lucah, mendengar suara erotis, merakamkan figura berbogel dalam posisi tertentu, melayari web porno, perbualan telefon lucah dan sebagainya.
"Ada juga sesetengah lelaki boleh melakukan ejakulasi tidak hanya kerana hubungan seks sebaliknya nafsu mereka memuncak apabila melihat sebahagian anggota badan seperti kaki, haiwan ataupun objek.

SESETENGAH lelaki ketagih bekerja hingga melupakan soal teman hidup. - Gambar hiasan.


"Tidak mustahil golongan ini akan rasa puas apabila dapat membelai secara ghairah dan melakukan hubungan atau menggunakan objek tersebut untuk mendorong mereka memuaskan nafsu," jelas beliau.
Tidak mengaku
Walaupun manusia normal akan menganggap perilaku seks yang dinyatakan di atas sebagai pelik, namun menurut Ismail, lelaki ketagih seks tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa malah mendakwa ia adalah cara mereka.
"Penagih seks sanggup melakukan sesuatu yang luar biasa bagi memenuhi nafsu mereka.
"Biarpun orang yang rapat dengannya seperti isteri memberitahu tentang tabiat berlebihan atau aneh itu, mereka akan tetap menganggapnya sebagai sesuatu yang normal kerana fantasi seks mereka adalah sebegitu," katanya.
Bagi yang obses yang melampau terhadap seks, istilah muak bagaikan tidak wujud. Ismail menambah, penagih hanya akan berhenti daripada memikirkannya ketika letih dan tidur.
"Malah bagi yang begitu ekstrem, mereka akan melakukannya secara berterusan dan tanpa batasan. Bila letih, mereka akan tidur dan bila bangun mereka akan mahukan seks semula.
"Ia bukan soal puas atau tidak. Ada lelaki boleh puas dengan melakukan hubungan seks dengan seorang wanita namun keinginannya untuk meniduri ramai wanita bagi mencari kelainan dan cabaran mampu mengundang ketagihan.
"Selain itu, mereka juga terdedah dengan perubahan emosi mendadak, sama ada melonjak secara tiba-tiba atau menurun tanpa punca yang jelas.
"Bila saat ingin memuaskan nafsu, penagih akan berasa sangat ghairah namun apabila tidak mahu, naluri seks mereka juga akan dingin. Semuanya bergantung kepada keadaan emosi mereka," katanya.
Menurut beliau lagi, dalam satu kajian di Barat, ketagihan seks boleh bermula seawal remaja malah ada kes kanak-kanak lelaki berusia dua setengah tahun didapati mempunyai perilaku ketagihan seks.
"Mungkin kita pernah melihat kanak-kanak suka memegang kemaluan, menyelak kain dan menyentuh payu dara ibunya.
"Dalam sesetengah kes, mungkin ia akan nampak normal tetapi pada satu tahap ia akan menjadi tabiat yang boleh mengundang ketagihan seks seiring dengan pembesaran dan pendedahan yang diterimanya," katanya.
Bipolar

SESETENGAH lelaki mudah terangsang hanya dengan melihat sebahagian tubuh wanita.


Walaupun punca ketagihan seks ini masih belum dapat dijelaskan, Ismail tidak menolak ia ada kaitan dengan penyakit mental iaitu gangguan bipolar.
"Keghairahan seks boleh terjadi apabila ada bahagian otak yang terangsang akibat daripada pengambilan ubat dan penyakit bipolar.
"Sesetengah ubat seperti ubat darah tinggi mampu mencetuskan rangsangan berlebihan di beberapa bahagian otak termasuk bahagian yang mengawal syahwat. Jika bahagian ini terangsang, tidak mustahil pola seks seseorang itu akan turut menjadi aktif," katanya.
Sungguhpun cerita mengenai seks lebih terbuka dibincangkan di Barat, tidak bermakna ketagihan itu hanya berlaku di sana. Hakikatnya, masalah tersebut boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit mahupun latar belakang agama.
Cuma jika di Malaysia, perbincangan mengenainya lebih tertutup malah masih ramai menganggapnya sebagai tabu untuk diceritakan pada khalayak umum.

Gambar eksklusif Monroe dilelong



ANTARA gambar eksklusif yang dirakamkan oleh Steckler menunjukkan Monroe melawat seorang rakannya, Carl Sandburg.


PEMINAT Marilyn Monroe berpeluang memiliki koleksi gambar eksklusif aktres legenda berkenaan yang dijual kepada orang ramai mulai kelmarin.
Gambar-gambar itu dirakamkan sembilan bulan sebelum Monroe meninggal dunia pada Ogos 1962 dan belum pernah disiarkan dalam mana-mana akhbar atau pameran sebelum ini.
Ia dirakam ketika Monroe berusia 35 tahun dan berada dalam simpanan seorang jurugambar, Len Steckler, 80, sejak lebih 45 tahun lalu.
Koleksi berharga antara AS$1,999 (RM6,885) hingga AS$3,999 (RM13,774) dijual melalui laman web www.thevisitseries.com itu menunjukkan Monroe dalam keadaan santai ketika melawat rakannya di sebuah apartmen di sini.
Monroe atau nama sebenarnya Norma Jeane Baker, popular menerusi beberapa filem komedi seperti Gentlemen Prefer Blondes, How to Marry a Millionaire, Some Like It Hot dan The Seven Year Itch. - Agensi

Disaman kerana slogan tiru tajuk filem



PURCELL (kanan) dan Dunne terkejut slogan syarikat mereka didakwa sebagai meniru tajuk sebuah filem.


SEBUAH syarikat pemasangan peti sejuk dan pendingin hawa di Britain menerima padah gara-gara cuba menggunakan slogan perniagaan yang mirip satu tajuk filem James Bond, lapor sebuah akhbar semalam.
Disebabkan slogan Licence to Chill yang hampir menyerupai tajuk filem Licence to Kill, pengeluar sekuel James Bond iaitu MGM mengancam menyaman syarikat 007 Refrigeration & Air Conditioning yang telah beroperasi sejak enam tahun lalu.
Mereka terpaksa menukar nama kepada 700 Refrigeration & Air Conditioning setelah menerima surat peguam MGM pada 11 Januari lepas dan diberi tempoh 14 hari untuk berbuat demikian.
Pengarah syarikat itu Mick Purcell, 36, dan rakan kongsinya Robert Dunne, 37, terkejut dan marah dengan tindakan MGM yang dianggap sebagai membuli syarikat-syarikat kecil.
“Mereka (MGM) menganggap seolah-olah kami cuba menyamar sebagai James Bond, walhal semua orang pun tahu Bond bukan pakar pendingin hawa,” kata Purcell.
– Agensi

Hitler ketagih Viagra kuno



gambar fail Hitler bersama Braun.


Diktator rejim Nazi, Adolf Hitler ketagih ubat perangsang seks yang bertindak seperti Viagra untuk memuaskan kekasihnya, Eva Braun, dakwa pengarang sebuah buku mengenai keadaan kesihatan pemerintah berkenaan.
Dalam buku bertajuk Was Hitler Ill? yang ditulis oleh dua ahli sejarah, Henrik Eberle dan Hans-Joachim Neumann, mereka menyatakan bahawa Hitler mengambil 82 jenis ubat berlainan sepanjang 12 tahun memerintah Jerman, jauh lebih banyak daripada Raja Pop, Michael Jackson.
Semua ubat itu diberikan oleh doktor peribadinya, Theodor Morrell yang dilabel doktor palsu oleh pegawai-pegawai kanan Nazi tetapi mendapat kepercayaan penuh Hitler.
Antara ubat kegemaran pemimpin itu ialah kombinasi suntikan hormon testosteron dan koktel daripada campuran air mani serta cecair kelenjar prostat lembu jantan pada tahun 1944.
Hitler yang ketika itu berusia 55 tahun, mengambil suntikan Viagra kuno itu setiap kali sebelum dia menggauli kekasihnya, Braun, 32.
Sepanjang pemerintahannya dari tahun 1933 sehingga dia membunuh diri pada 1945, Hitler fobia terhadap penyakit dan pernah mengambil 28 jenis ubat dalam sehari bagi menguatkan sistem imunisasi badannya. - Agensi

Nilai tanah Kampung Baru RM20b - Penduduk ada hak tentukan corak pembangunan semula



pemandangan dari atas penempatan tapak pasar minggu Kampung Baru yang akan dimodenkan.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru di sini yang antara lain akan memastikan penduduk serta pemilik tanah tidak perlu berpindah ke tempat lain.
Perdana Menteri berkata, di bawah kaedah pembangunan itu, yang akan dicadangkan untuk persetujuan pemilik tanah dan penduduk, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan baru itu selepas mendapat persetujuan mereka.
Menurut beliau, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan sebuah badan khas dikelolakan oleh badan amanah kerajaan tanpa penyertaan swasta supaya penduduk Kampung Baru yakin dengan pembangunan itu yang dijalankan demi kepentingan mereka.
"Saya harap bila kita sudah buat cadangan yang mantap, penduduk di sini ada peluang teliti cadangan serta konsep yang akan digunakan. Saya harap selepas itu penduduk terutama pemilik tanah di sini boleh menerima dan memberi persetujuan kepada cadangan kerajaan ini," katanya.

Harga naik sampai 140 peratus


PULAU PINANG - Tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati harga beberapa barangan, antaranya kacang dal malavi, kacang hijau, bawang putih dan gula perang telah naik antara 50 hingga 140 peratus sejak empat bulan lepas.
Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata, bawang putih menunjukkan kenaikan harga paling tinggi sejak November lepas iaitu dari RM2.50 sekilogram menjadi RM6 bagi kuantiti yang sama.
"Selain itu, hasil tinjauan juga mendapati kacang dal malavi yang sebelum ini hanya RM4 sekilogram meningkat sehingga RM8, kacang hijau pula daripada RM3 sekilogram menjadi RM5 dan gula perang RM2 sekilogram naik RM1,'' katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, beberapa peruncit juga turut mengadu bahawa pengedar dan pemborong telah memaklumkan kepada mereka bahawa beberapa barangan lain seperti milo, susu pekat masin dan rempah ratus mungkin naik antara lima hingga 10 peratus dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Nenek rayu 'Azhar' pulangkan cucu - Bapa ‘jual’ tiga anak akibat kesempitan hidup



KIRI :Arash. TENGAH : Nur Laila Isabella , KANAN : Nur Laila MALISSA


KLANG - Akibat kesempitan hidup, seorang bapa tergamak menyerahkan tiga anaknya termasuk satu pasangan kembar yang masih kecil berusia antara satu hingga tiga tahun kepada seorang lelaki yang baru sehari dikenalinya bernama Azhar pada Disember tahun lalu.
Mohd. Khairi Md. Idris berkata, tindakannya itu akibat desakan hidup serta terlalu percayakan Azhar yang mendakwa dia seorang anggota polis di Bukit Aman sehingga tidak berfikir panjang untuk menyerahkan Arash Muhammad, 3, serta pasangan kembar, Nur Laila Isabella Sofia, dan Nur Laila Malissa Sofia, 1.
Malah, Mohd. Khairi yang tidak bekerja mendakwa dia bersama isterinya, Junaidah Saduddin, 25, tinggal di bawah tangga di satu bangunan di Lorong Cungah, Pelabuhan Klang, dekat sini turut menyerahkan MyKid ketiga-tiga anaknya itu kepada Azhar.

Mengurat guna Internet

KUALA LUMPUR: Umurnya menjangkau setengah abad, tapi usia dianggap matang itu belum mampu melepaskan seorang lelaki daripada perangkap penyalahgunaan Internet.
BERFOYA-FOYA... lelaki gemar menghabiskan wang kerana wanita.
BERFOYA-FOYA... lelaki gemar menghabiskan wang kerana wanita.

Komputer dan Internet langsung tidak memajukan perniagaannya, tetapi menjadi saluran untuk dia memikat wanita yang sanggup melakukan apa saja demi wang.

Sepanjang lima tahun, Jaafar ibarat ‘playboy tua’ apabila berpuluh-puluh wanita terkulai di ribaannya, namun kegembiraannya tidak lama kerana selepas itu satu demi satu ‘bala’ menimpa sehingga segala kekayaannya lenyap. Ikuti luahan Jaafar.

“SEBENARNYA saya bukan jenis ‘kaki betina’ atau ‘kaki enjoy’ hinggalah saya mula menaruh minat kepada Internet.

Tujuan asal saya mahu menceburi cabang perniagaan baru, termasuk mencuba pelbagai jenis skim pelaburan Internet, tetapi memandangkan saya suka ‘meneroka’, saya cuba mencari pelbagai maklumat.

Sebelum itu saya dengar ramai kawan dapat kenalan di Internet, malah ada yang ‘simpan perempuan’ selepas berhubung di Internet.
Saya cuba melayari laman web mencari kenalan dan tak sangka pula ada yang secara terang-terangan mencari ‘sugar daddy’.

Saya mencubanya dan tak sangka menerima respons baik. Wang bukan menjadi masalah bagi saya dan disebabkan itu saya tidak kisah mendepositkan wang jika diminta wanita yang berjaya saya hubungi menerusi telefon.

Pada mulanya tidak banyak, setakat RM200 hingga RM300. Saya umpan dengan wang lebih banyak jika sanggup berjumpa dan memenuhi apa saja kehendak saya. Tak sangka pula ada yang sanggup.

Seingat saya, wanita pertama yang berjaya saya takluki bekerja sebagai jurujual. Dia mendakwa sentiasa berdepan masalah kewangan dan memang mahukan sesiapa yang boleh memberinya kekayaan ‘membelanya’. Kali pertama berjumpa, terus ‘dapat’.

Saya mula berasa seronok. Setakat beri wang RM2,000 hingga RM5,000 sebulan bukan menjadi masalah kepada saya. Setakat membayar sewa kondominium mewah dan kereta, saya tidak kisah.

Saya mula sedar, wang boleh membeli segala-galanya dan saya cari lagi wanita yang boleh dibela menerusi laman web yang mengiklan tawaran mencari ‘sugar daddy’.

Saya dapat yang baru dan yang lama pula saya tinggalkan begitu saja bila sudah bosan.

Semakin lama saya berasa kian seronok. Seorang demi seorang wanita, tidak kira yang bekerja atau masih menuntut, berjaya saya pikat.

Namun, saya akui tidak terlepas ditipu beberapa kali. Disebabkan yakin mangsa akan terikat dengan saya apabila saya mendepositkan wang, lebur juga ribuan ringgit. Selepas masukkan wang, ‘sasaran’ hilang begitu saja, tetapi saya tidak kisah.

Saya terus ‘aktif’ melakukan perbuatan terkutuk itu. Untuk mengelak ahli keluarga, terutama isteri, mengesan aktiviti itu, saya merancangnya dengan teliti. Jika mahu berjumpa mangsa, saya memilih melakukannya di hotel bertaraf lima bintang.

Soal keluar masuk wang, saya tidak bimbang kerana isteri dan anak tidak ambil tahu. Saya berikan kemewahan kepada mereka.

Pada masa sama, tumpuan saya bukan hanya kepada laman web berkenaan kerana saya mula ‘meneroka’ laman web mencari kenalan lain seperti ‘myspace’, ‘friendster’ dan ‘facebook’. Hasilnya, semakin ramai yang berjaya saya takluki.

Umpannya mudah, iaitu wang. Saya sanggup bela mereka asalkan mereka beri apa yang saya mahu. Bagaimanapun, saya tidak mahu terikat. Jika sudah bosan, saya tinggalkan.

Tahun ketiga melakukan perbuatan terkutuk itu, entah mengapa perniagaan mula merosot. Tender tak dapat dan ada projek tertentu tidak dapat saya siapkan. Ada juga beberapa pelaburan menerusi Internet yang saya masuk lebur begitu saja.

Saya masih mampu bertahan dan tetap melakukan perbuatan itu. Saya jual kereta untuk dapat wang hinggalah semua kereta saya jual.

Kononnya nak buat modal berniaga, tetapi entah bagaimana wang habis begitu saja. Fikiran benar-benar berserabut. Jumpa salah kawan pula.

Kawan kata main judi mesin slot di kelab judi eksklusif boleh kaya jika modal besar, tetapi apa yang saya lakukan tidak menjadi. Banyak kalah daripada menang.

Sehingga pada tahun kelima, saya benar-benar terduduk. Kereta hanya tinggal kereta buruk, nasib baik saya tak jual rumah.

Wanita yang saya bela semuanya lari kerana saya tidak lagi mampu memberi kemewahan dan wang setiap bulan. Keluarga juga yang menjadi mangsa.

Mujur dulu isteri pandai berjimat, adalah sedikit wang simpanan. Bagaimanapun, apabila sudah lama hidup senang, sukar untuk mengubah gaya hidup. Wang yang ada kian surut dan sejak itu baru saya cuba ubah gaya hidup.

Sekarang saya berniaga kecil-kecilan, ambil kontrak daripada orang lain. Kadangkala jual insurans. Menyesal tak sudah!

Sepatutnya saya hidup senang hari ini, tetapi kerana balasan Tuhan, saya hidup susah. Kini, baru saya kembali mencari keberkatan hidup, meninggalkan apa yang dilarang dan melakukan apa yang disuruh.

Dua beg dadah

SEREMBAN: Cubaan nekad tiga warga Iran, termasuk dua wanita, yang baru pertama kali memasuki negara ini untuk menyeludup puluhan kilogram (kg) dadah mengundang padah apabila dicekup Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini, kelmarin.
RAMPAS... Zainul (tengah) menunjukkan dadah di dalam beg bagasi dirampas pihaknya, kelmarin.
RAMPAS... Zainul (tengah) menunjukkan dadah di dalam beg bagasi dirampas pihaknya, kelmarin.

Pengarah Siasatan KDRM, Datuk Zainul Abidin Taib, berkata hasil maklumat awam dan risikan pihaknya mengesan kelakuan mencurigakan suspek itu yang baru tiba dari penerbangan Dubai sebelum pegawai kastam Cawangan Narkotik menjalankan pemeriksaan terhadap beg mereka, kira-kira jam 10 malam.

“Pemeriksaan lanjut dalam beg pertama menjumpai beberapa bungkusan berisi serbuk kristal, dipercayai syabu seberat 27.39 kg, manakala beg kedua turut mengandungi dadah jenis sama seberat 27.15 kg, yang mana satu daripadanya turut berisi pakaian.

“ Mengikut harga pasaran, dadah berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM13.6 juta iaitu RM250,000 bagi satu kilogram dan siasatan mendapati semua suspek yang pertama kali datang ke Malaysia itu dijadualkan berada dalam negara selama 34 hari,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Cawangan Narkotik di Kampung Jijan, di sini, semalam.

Menurut Zainul, ketiga-tiga warga Iran itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

“Kita (KDRM) kini menyiasat sama ada mereka mempunyai saki baki pengikut, termasuk mengenal pasti tujuan sebenar penyeludupan dadah berkenaan iaitu untuk pasaran domestik atau dibekalkan ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata, penelitian pihaknya melalui empat kes membabitkan penahanan 10 suspek warga Iran dalam tempoh tiga tahun lalu mendapati mereka sering mengubah taktik bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Kegiatan seumpama ini dianggap petanda yang tidak baik dan kita mahu menepis tanggapan bahawa lapangan terbang dijadikan sebagai pintu masuk utama penyeludupan dadah.

“Berikutan itu, selain mengarah pegawai mengetatkan kawalan, kita mengeluarkan surat atau notis hebahan di setiap pintu masuk di seluruh negara bagi memastikan aktiviti berkenaan dapat dibanteras,” katanya.

Orang ramai yang ada maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dadah diminta menghubungi talian bebas tol KDRM di 1-800-88-8855 atau talian terus ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat 06-7917792/7587 atau pejabat kastam berdekatan di seluruh negeri.

Penyamun hotel bajet tumpas

NIBONG TEBAL: Tindakan seorang remaja berusia 17 tahun bersama tiga rakannya menyamun hotel bajet sekitar negeri ini membawa padah apabila ditahan kira-kira 10 minit selepas melakukan rompakan di salah satu hotel bajet di Sungai Bakap di sini, Khamis lalu.

Lelaki rentung kereta t erbakar dalam kemalangan dekat Rompin

KUANTAN: Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar selepas merempuh sebuah kereta lain di Kilometer 139.9 Jalan Kuantan-Seremban dekat Rompin, semalam.
Beliau berkata, mangsa gagal mengawal kereta jenis Mazda sebelum dia bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

"Pertembungan itu dipercayai menyebabkan kereta yang dipandu mangsa meletup dan terbakar dan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri itu kemudiannya ditemui dalam keadaan rentung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat sementara pemandu kereta Proton Wira yang berusia 22 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di hospital sama.

Kes itu akan disiasat di bawah Seksyan 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah Rompin di talian 09-4145222 untuk membantu siasatan.-Bernama

Punca kafe siber disalah guna

AIR HITAM: Ketiadaan garis panduan jelas dikenal pasti menjadi satu daripada punca kafe siber disalah guna menjadi lokasi tumpuan pelajar ponteng sekolah kerana tindakan tidak dapat diambil terhadap pengusaha kafe siber terbabit.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata masalah itu bagaimanapun boleh diatasi dengan berkesan, melalui tindakan penguatkuasaan secara bersepadu membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta polis.

“Kecenderungan beberapa pengusaha kafe siber enggan mematuhi peraturan perniagaan ditetapkan seperti beroperasi di luar waktu dibenarkan, antara kesalahan sering dilakukan mereka,” katanya.

Polis tahan 3 lelaki cuba curi tranformer TNB




2010/02/07
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
IPOH: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki cuba melarikan sebuah pengubah (transformer) bernilai RM100,000 milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari sebuah pencawang di Kawasan Perindustrian Tekah, Simpang Pulai di sini, hari ini.
Beliau berkata, tiga lelaki itu berada dalam sebuah lori yang membawa pengubah berkenaan semasa ditahan tidak jauh dari kawasan perindustrian itu. Azisman berkata, ketiga lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu mendakwa mereka hanya diupah untuk membawa alat berkenaan ke Kuala Lumpur.

Katanya, tiga lelaki itu telah dihubungi oleh seseorang untuk mengambil alat itu dan menghantarnya ke sebuah tempat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

"Ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi. - Bernama

26 ditahan minum arak dan khalwat dalam Ops Taubat di Kuantan

KUANTAN: Seramai 26 pengunjung pusat hiburan termasuk dua wanita ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam Ops Taubat, awal pagi tadi.

"Ketika serbuan dibuat, rata-rata mereka sedang khayal dan rancak menari diiringi muzik keras sambil berpelukan bersama pasangan masing-masing dengan botol arak di tangan, perbuatan mereka ini memang keterlaluan dan melampau," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Raffli berkata, ada di antara pengunjung terbabit memberi alasan tidak meminum arak, namun gagal membuktikannya selepas diperiksa alat pengesan alkohol.

Kesemua yang ditahan bagi kesalahan meminum arak akan didakwa di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 136, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara dan enam sebatan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan berkhalwat, katanya mereka didakwa mengikut Seksyen 145 (1) dan (2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) dan sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.-Bernama

Tentera AS tahan timbalan ketua Polis di Afghanistan

KABUL: Angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) menahan pegawai kanan polis di timur laut Afghanistan kerana didakwa terbabit dalam rasuah dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak.


Pihak berkuasa Afghanistan dan Nato, berkata Timbalan Ketua Polis wilayah Kapisa, Atahullah Wahaab, ditahan angkatan tentera AS, Jumaat lalu.

“Komander polis itu ditahan Anggota Keselamatan Kebangsaan Afghan (ANSF) dan angkatan bersekutu kerana terbabit dengan aktiviti haram dan rasuah,” kata tentera AS di bawah operasi Anggota Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) Nato, dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, Wahaab adalah pemudah cara bagi peranti letupan yang diubahsuai dan terbabit dalam penyimpanan, pengedaran dan pemasangan IED di jalan-jalan di Kapisa. - AFP

Lelaki rentung kereta terbakar dalam kemalangan dekat Rompin

KUANTAN: Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar selepas merempuh sebuah kereta lain di Kilometer 139.9 Jalan Kuantan-Seremban dekat Rompin, semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata ketika kejadian, mangsa Mohd Amirudin Abd Rahman, 31, dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Seremban kira-kira 7.50 malam.
Beliau berkata, mangsa gagal mengawal kereta jenis Mazda sebelum dia bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.
"Pertembungan itu dipercayai menyebabkan kereta yang dipandu mangsa meletup dan terbakar dan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri, yang kemudiannya ditemui dalam keadaan rentung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.
Manakala, pemandu kereta Proton Wira yang berusia 22 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di hospital sama.
Kes tersebut, katanya, akan disiasat di bawah Seksyan 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah Rompin di talian 09-4145222 untuk membantu siasatan. - Bernama

TIDAK DILUPAKAN



NOORAINEE Abdul Rahman (kiri) menyampaikan sumbangan peribadi kepada Mohammad Alif Iskandar semasa melawat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Al-Najah, Ayer Hitam, Kedah, semalam. – MINGGUAN/KAMAL BASIR


ISTERI Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman semalam meluangkan masa untuk melawat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Al-Najah, Ayer Hitam dekat Jerlun, Kedah.
Beliau turut berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan peribadi kepada 47 kanak-kanak istimewa yang belajar di pusat tersebut.
Selain menyampaikan sumbangan peribadi, Noorainee turut beramah mesra dengan ibu bapa dan waris kanak-kanak istimewa di pusat itu.
Seorang ibu yang menerima sumbangan tersebut, Che Norlia Medah, 47, berkata, dia amat berterima kasih dan terharu kerana Noorainee sudi membantu meringankan beban keluarganya.
Jelasnya, sumbangan yang diberi akan digunakan untuk membeli barang-barang keperluan anak bongsunya, Abdul Halim Shafie, 14, yang cacat sejak lahir.

Tiada dua harga berbeza



ISMAIL Sabri Yaakob bersama Dr. Nik Mustapha R. Abdullah (tiga dari kiri) melawat pameran selepas merasmikan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula peringkat institusi pengajian tinggi di Universiti Putra Malaysia, Serdang, semalam.


KUALA LUMPUR 6 Feb. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak bercadang memperkenalkan sistem dua harga untuk pembelian gula bagi industri dan isi rumah.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya harga jualan gula dinaikkan untuk industri, beliau bimbang akan berlakunya penyelewengan oleh pemborong yang tidak bertanggungjawab.
"Pemborong-pemborong 'nakal' yang mahukan keuntungan lebih akan mengambil kuota yang disediakan kepada rakyat untuk dijual kepada pihak industri.
"Jika ini berlaku, ia sekali gus memberi kesan kepada pengguna apabila bekalan gula terjejas di pasaran," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) di Universiti Putra Malaysia (UPM) dekat sini hari ini.
Kempen seumpama itu yang pertama kalinya diadakan akan diperluaskan ke seluruh IPT termasuk ke sekolah menengah tidak lama lagi.
Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom dan Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya menggalakkan penubuhan lebih banyak Kelab Pengguna IPT memandangkan hanya terdapat 29 buah yang telah ditubuhkan berbanding 56 IPT di negara ini.
Beliau berkata, kementerian memberikan wang sumbangan pentadbiran bernilai RM1,000 bagi setiap Kelab Pengguna IPT yang ditubuhkan.
Selain itu, katanya, Kelab Pengguna IPT boleh menggunakan modul yang sedang dirangka Persatuan Ekonomi Keluarga dan Pengguna (Macfea) bagi melatih mahasiswa dalam aktiviti bercorak kepenggunaan.

Perhimpunan lebih besar di Pulau Pinang


PULAU PINANG 6 Feb. - Berikutan keengganan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertemu para peserta Perhimpunan Sedaq bagi menerima memorandum tuntutan semalam, satu demonstrasi yang lebih besar akan diadakan pada 16 Februari ini di sini.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abd. Karim berkata, ia dinamakan Perhimpunan Bangkit dan akan melibatkan lebih daripada 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam.
"Kerajaan negeri dengan sengaja tidak mempedulikan nasib orang Melayu dan kami pernah memberi amaran akan bangun lagi dengan Perhimpunan Bangkit jika protes yang dilakukan tidak diendahkan.
"Justeru kami telah bersetuju untuk menganjurkan Perhimpunan Bangkit pada cuti Tahun Baru Cina iaitu 16 Februari ini," katanya dalam kenyataan yang dikirimkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
Semalam, lebih 3,000 peserta Perhimpunan Sedaq anjuran 30 NGO berkumpul di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan pejabat Ketua Menteri untuk menyerahkan memorandum kepada Guan Eng.
Bagaimanapun, Guan Eng enggan melayan permintaan mereka dan hanya menghantar pembantu khasnya untuk menerima memorandum berkenaan.
Disebabkan kecewa dengan sikap Ketua Menteri itu, mereka bertindak membakar memorandum tersebut dan patung Guan Eng.
Jais juga melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan dan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow bahawa kerajaan negeri sedang mengkaji kemungkinan untuk meluluskan undang-undang bagi merobohkan gerai-gerai haram dalam tempoh 24 jam.
Menurutnya, kenyataan tersebut memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab dan bertujuan jahat membuat provokasi kepada orang Melayu yang amat terluka dengan tindakan kerajaan negeri sebelum ini.
"Kami juga menyelar dan mempertikai sikap berat sebelah kerajaan negeri untuk 'menghalalkan' peniaga di Batu Feringghi yang 99 peratus daripada mereka berketurunan Cina.
"Tindakan ini membuktikan niat sebenar kerajaan negeri yang memang mahu melebihkan peniaga Cina dan menindas peniaga Melayu," ujarnya.
Beliau menambah, ia merupakan antara contoh sikap cauvinis yang semakin menonjol dan gagal dilihat oleh pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang.

Jual manusia: Imigresen nafi


KUALA LUMPUR 6 Feb. - Jabatan Imigresen menafikan dakwaan bahawa wanita China yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di negara ini meloloskan diri dengan mudah di pintu masuk kawalan keselamatan negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, kebanyakan warga China yang masuk ke negara ini akan menggunakan visa pelawat.
Namun, menurutnya, ada di kalangan rakyat negara terbabit yang masuk dengan cara yang salah termasuk dokumen perjalanan mereka sudah tamat tempoh.
"Tidak timbul soal pintu masuk negara tidak dikawal kerana kesemua warga China yang datang ke negara ini menggunakan pas pelawat.
"Kemungkinan terdapat kesalahan lain yang dilakukan oleh ahli sindiket atau mangsa seperti pas pelawat yang telah tamat tempoh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia menyiarkan kisah seorang wanita China yang tiba di negara ini Mac tahun lalu setelah mendapat tawaran pekerjaan sebagai pakar kecantikan ditipu oleh lima rakan senegaranya.
Mangsa dikurung di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama selama 10 bulan sebelum meloloskan diri dengan bantuan seorang lelaki tempatan.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur menyerbu kediaman mangsa dan berjaya menahan lima suspek.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya percaya tujuan suspek lelaki membawa masuk wanita China itu ke negara ini untuk menjalankan kegiatan pelacuran.
"Selain wanita yang mendakwa dikurung 10 bulan itu, empat lagi wanita yang ditahan juga dipercayai antara mangsa yang dibawa masuk suspek lelaki terbabit.
"Namun kita tidak mengetahui siapa di antara mereka yang masuk secara rela atau secara paksa," katanya ketika ditemui di perasmian Kempen Pencegahan Jenayah 'Balik Kampung' sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.
Tambah Chin Wah, polis kini sedang mengesan 11 pemilik pasport antarabangsa yang dimiliki kesemuanya wanita warga China itu.

Bangunan kedai berusia lebih 100 tahun musnah dalam kebakaran


KUCHING 6 Feb. - Sebanyak empat unit deretan bangunan kedai lama dua tingkat yang dipercayai berusia lebih 100 tahun di Jalan Wayang, bersebelahan Jalan Main Bazar di sini musnah dalam kebakaran pada malam ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 10 malam itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Kejadian tersebut merupakan kejadian kedua membabitkan bangunan warisan serta bersejarah di bandar raya ini selepas kejadian pertama membabitkan tujuh deretan bangunan kedai dua tingkat di Jalan Gambier pada 21 Disember lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Abdul Fathul Muen berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.35 malam sebelum jentera pertama tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran membabitkan bangunan kedai yang tiada penghuni dan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira satu jam.
''Sebanyak empat balai bomba terbabit dalam operasi memadam kebakaran iaitu dari Balai Bomba Padungan, Batu Lintang, Tabuan Jaya dan Petra Jaya.
''Kekuatan anggota pula sebanyak 41 pegawai dan anggota," katanya kepada pemberita di sini malam ini. Abdul Fathul berkata, operasi memadam kebakaran tidak mengalami sebarang masalah memandangkan tekanan air dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya masih melakukan siasatan terhadap punca kejadian manakala jumlah kerugian masih belum diketahui.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam turut melawat ke tempat kejadian pada malam ini.
Beliau yang ditemui pemberita memberitahu, beliau mahu para peniaga di kawasan tersebut dan pihak bomba berbincang bagaimana mengatasi masalah bagi mengelak kebakaran daripada berulang.
''Ia termasuk bekerjasama dengan Sesco bagi melihat pendawaian elektrik di bangunan kedai lama di situ," ujarnya.

Cedera diterkam harimau



Yok Meneh yang cedera diserang harimau di Kampung Ras, Sungkai, Perak, kelmarin.


TELUK INTAN 6 Feb. - Seorang lelaki Orang Asli nyaris maut apabila dia diterkam seekor harimau ketika sedang mencari petai di kawasan hutan berhampiran Kampung Ras, Sungkai petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, Yok Meneh, 47, terpaksa bergelut dengan haiwan berkenaan yang secara tiba-tiba menyerangnya dari arah belakang.
"Terkejut besar saya apabila harimau sebesar orang dewasa itu menerkam belakang saya.
"Dalam pergelutan itu, badan, kaki dan tangan saya cedera teruk namun saya terus melawan. Ketika itu saya hanya memikirkan untuk selamatkan diri," katanya menceritakan detik-detik cemas kejadian itu ketika ditemui di Hospital Teluk Intan di sini.
Katanya, serangan harimau itu menyebabkan bahagian belakang badannya terkoyak dan berdarah teruk, selain mencederakan bahagian rusuk.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menyifatkan ia sebagai kes terpencil kerana Yok merupakan individu pertama diserang harimau di kawasan hutan berkenaan.