Search This Blog

Loading...

Wednesday, February 3, 2010

SPRM tak ambil keterangan dengan tepat - Saksi

TEMERLOH 2 Feb. - Seorang saksi dalam kes rasuah membabitkan bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengambil keterangan dengan tepat apabila banyak kenyataannya tidak dikeluarkan.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) negeri, Yusof Jamaludin selaku saksi ke-10 ketika disoal balas memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, permohonannya meminda rakaman percakapan asal juga tidak dilakukan dengan baik pegawai SPRM.
Yusof yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Maran berkata, beliau meminta pindaan dilakukan ketika disoal siasat di pejabat SPRM Temerloh pada 20 Januari tahun lalu.
Ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza, Yusof berkata, beliau ingin meminda kenyataan yang mengaitkan tertuduh itu dengan sampul surat mengandungi wang tunai berjumlah RM300.
Menurut Yusof, ayat yang terkandung dalam kenyataan tersebut telah ditaip pegawai SPRM bernama Baharuddin.
Saksi itu menambah, walaupun pegawai SPRM berkenaan membuat pindaan namun masih terdapat kenyataan yang tidak dikeluarkan.
Ditanya mengapa beliau tidak berusaha meminta kenyataan itu dikeluarkan, Yusof, 52, memberitahu, beliau terlalu letih selepas keterangannya diambil selama empat jam.
Sementara itu, Yusof ketika disoal peguam Halimi, Jahaberdeen Mohd. Yunoos bagaimana nama Mohamad Norza boleh disebut dalam rakaman percakapan asal itu, saksi mengatakan, beliau tidak tahu.
Terdahulu ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Hairy, Yusof memberitahu, beliau dijemput menghadiri majlis jamuan di rumah Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Mohammad Anuar Yunus pada 20 Januari tahun lalu.
Katanya, majlis itu turut dihadiri Mohamad Norza.
Yusof yang juga Ketua UMNO Cawangan Kampung Luit, Maran menerima satu satu sampul berwarna putih yang diberikan oleh seorang lagi ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Maran, Datuk Khadri Musa pada majlis itu.
Saksi bagaimanapun tidak tahu apakah motif di sebalik pemberian sampul surat tersebut.
Namun setelah ditunjukkan rakaman percakapannya sebelum ini kepada SPRM, Yusof mendakwa, ada pihak yang cuba mempengaruhinya mengundi Mohamad Norza bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan UMNO pada Mac tahun lalu.
Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Azuar Che Yusof bersambung 19 Februari dan 9 Mac ini.

Keputusan kes Empangan Kelau April

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Permohonan 27 Orang Asli untuk mencabar keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang meluluskan Laporan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek pembinaan Empangan Kelau, Raub, Pahang, akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, 14 April ini.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Mohamed Apandi Ali menetapkan tarikh dalam kamar ketika kes disebut pagi ini.
Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi hadir mewakili Ketua Pengarah JAS, kerajaan Pahang dan Malaysia selaku responden.
Manakala pemohon yang terdiri daripada Pendor Anger, 36, dan 26 plaintif lain dari suku kaum Senoi dan Temuan diwakili peguam, Kamarul Hisham Kamaruddin.
Pada 9 Oktober 2007, pemohon telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar keputusan responden menerusi prosiding semakan kehakiman.
Pada 30 Oktober 2009, Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin membenarkan permohonan pemohon untuk menyemak keputusan responden.
Pemohon mendakwa, tanah yang terbabit dalam projek tersebut adalah warisan turun-temurun sejak zaman nenek moyang mereka untuk menyara keluarga.
Mereka mendakwa, laporan EIA tidak menepati Garis Panduan Penilaian Kesan Alam Sekitar Bagi Pembinaan Empangan oleh JAS.
Kesemua pemohon menyatakan, laporan EIA itu diragui kerana ia tidak meliputi kajian terperinci dan berpatutan mengenai kesan ke atas hidupan liar serta gagal memberi data dan penilaian alam sekitar bagi kawasan yang terjejas.
Pemohon juga mendakwa, mereka tidak mengetahui laporan EIA yang diluluskan oleh kerajaan pada 24 April 2001, sehingga dimaklumkan oleh peguam.
Selain itu, mereka turut memohon satu perisytiharan bahawa tindakan responden meluluskan projek empangan tersebut telah mengingkari kewajipan fidusiari bagi melindungi, memajukan dan memelihara kebajikan Orang Asli di negara ini.
Mereka turut menuntut kos dan lain-lain faedah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kematian Dr. Cynthia disebabkan kemalangan

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Mahkamah Koroner di sini hari ini menolak sebarang unsur jenayah dalam kes kematian Dr. Cynthia Joseph sebaliknya mendapati ia adalah kemalangan.
Majistret Tasnim Abu Bakar memutuskan demikian setelah meneliti keterangan saksi-saksi yang menyatakan, tiada sebarang kecederaan dalaman mahupun luaran ditemui pada mayat mendiang.
Ia termasuklah keterangan pakar bedah yang menjalankan bedah siasat tersebut yang tidak dapat menyatakan dengan tepat, kuantiti dadah midazolam yang dijumpai pada hati dan buah pinggang mendiang.
''Saya mengambil kira keterangan pakar bedah siasat, Prof Dr. Shahrom Abd. Wahid yang mendakwa kandungan midazolam itu gagal memberikan jawapan tepat sama ada Cynthia mengambilnya sendiri atau telah diberi dadah secara berlebihan.
''Segala keterangan yang dikemukakan saksi-saksi lain adalah terlalu jauh untuk dikaitkan berlakunya unsur jenayah," katanya.
Tasnim turut menyatakan cara mendiang menemui ajalnya tidak dapat diberikan dengan tepat berdasarkan laporan bedah siasat yang gagal dijalankan secara sempurna memandangkan mayat sudah mereput.
Laporan tersebut menyatakan kandungan dadah tersebut adalah tidak bahaya sehingga boleh menyebabkan kematian, tetapi jumlah itu mampu membuat seseorang berada dalam keadaan yang sangat lemah.
Tasnim juga mengambil kira pendapat kedua dalam keterangan Shahrom yang melampirkan pandangan Ketua Patologi di Victoria Institute of Forensic Medicine, Dr. Matthew Lynch yang turut menyatakan kematian wanita itu tidak dapat dipastikan.
Menjawab mengenai bila dan di mana mendiang menemui ajalnya, Tasnim mendapati siasatan membuktikan wanita itu meninggal dunia pada pukul 11.30 malam, 27 September 2004 di Pusat Perubatan Cheras Pantai.
Kematian Cynthia mendapat perhatian umum pada 2 Disember tahun berkenaan apabila mayatnya digali semula selepas dua bulan dikebumikan.
Ia berikutan laporan polis oleh adik mendiang, Dr. Charlotte Jane yang mendakwa kematian kakaknya disebabkan perbuatan khianat.
Prosiding inkues dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Zulkifli mengikut Seksyen 337 Kanun Prosedur Jenayah.
Suami mendiang, Dr. Retna Rasa diwakili peguam pemerhati, Datuk V. Sithambaram.

Hadapi tiga tuduhan berasingan lakukan khianat dengan api 4 lelaki didakwa bakar gereja


Empat individu yang disyaki terbabit dalam kes cubaan membakar dua gereja dan sebuah sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, semalam.


TAIPING 2 Feb. - Empat lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes cubaan membakar dua gereja dan sebuah sekolah di sini pada 10 Januari lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Andidi Rosidi, 22, Muhammad Azreen Rosli, 18, Abdul Fattah Shaharuddin, 29 dan Muhamad Ab. Wahab, 20, semuanya dari Kamunting dekat sini menghadapi tiga tuduhan berasingan.
Mereka dituduh melakukan khianat dengan api ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, Gereja Katolik St. Louis dan Gereja All Saints pada hari berkenaan.
Andidi didakwa melakukan kesalahan itu di SMK Convent.
Muhammad Azreen pula didakwa melakukan kesalahan serupa di Gereja Katholik St. Louis, kedua-duanya di Jalan Convent, antara pukul 12.01 tengah malam dan 3.30 pagi.
Manakala Abdul Fattah dan Muhamad didakwa melakukan khianat di Gereja All Saints, di Jalan Taming Sari pada masa yang sama.
Keempat-empat mereka itu adalah antara tujuh lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes terbabit.
Mereka yang bekerja sendiri didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Abdul Fattah dan Muhamad turut didakwa mengikut Seksyen 34 kanun yang sama.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan semasa pertuduhan dibacakan ke atas mereka oleh Majistret Sharifah Izura Syed Mashor yang kemudian menetapkan 8 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.
Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada setiap Isnin sehingga hari sebutan kes.
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam gagal membayar wang jaminan.
Sehubungan itu, tertuduh yang berumur di bawah 20 tahun dihantar ke Penjara Sungai Petani manakala melebihi 20 tahun dihantar ke Penjara Taiping sehingga hari sebutan kes.
Sementara itu, difahamkan, tiga lagi lelaki yang ditahan polis pada 22 Januari lalu akan dibebaskan dengan bon jaminan polis dan bakal menjadi saksi pendakwaan kes berkenaan.

Pengendali portal berita Sabahkini.net mungkin disiasat

KOTA KINABALU 2 Feb. - Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil pengendali portal berita Sabahkini.net kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah dan tidak berasas termasuk mengaibkan tugas polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pada masa ini siasatan terhadap portal berita itu masih di peringkat awal.
"Kemungkinan memanggil mereka itu ada tetapi pengendali berkenaan tidak perlu risau jika mereka menyiarkan berita yang betul," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sebanyak dua laporan polis oleh orang awam telah diterima berhubung penyiaran portal berita itu.
Dalam portal itu, polis didakwa lambat bertindak menyelesaikan kes jenayah di ladang kelapa sawit Tingkayu di Kunak, Lahad Datu tahun lalu.
Menurut Noor Rashid, siasatan terhadap agensi portal berita itu dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, Noor Rashid menasihatkan pengendali portal berita dan laman-laman web di negeri ini supaya lebih bertanggungjawab dengan menyebarkan maklumat yang tepat dan tidak berunsur fitnah.
Tegas beliau, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap portal berita dan laman web yang menabur fitnah.

Polis tumpaskan judi Internet

NIBONG TEBAL 2 Feb. - Polis berjaya membongkar kegiatan tiga sindiket perjudian Internet yang beroperasi secara haram di beberapa premis kosong dalam serbuan di sekitar daerah ini, kelmarin.
Dalam serbuan serentak di tiga lokasi kira-kira pukul 5 petang kelmarin, polis menahan tiga lelaki berusia antara 25 tahun dan 35 tahun dan merampas pelbagai peralatan perjudian Internet bernilai lebih RM20,000.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, ketiga-tiga premis berkenaan menjalankan operasi perjudian ber-Internet di premis-premis kosong tanpa sebarang papan tanda.
"Hasil siasatan awal, kita percaya sindiket terbabit sengaja menggunakan modus operandi seperti ini untuk mengaburi pihak berkuasa di sebalik kegiatan haram mereka.
"Malah mereka juga memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem keselamatan pada pintu bagi mengelakkan kegiatan dihidu pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, siasatan juga mendapati premis berkenaan yang dipercayai baru beroperasi sejak seminggu lalu, turut menganjurkan aktiviti perjudian sampingan sesama pengunjung premis berkenaan.
"Bagaimanapun, kita masih belum mengetahui jumlah pertaruhan yang digunakan untuk setiap kali perjudian kerana premis berkenaan tiada pelanggan ketika serbuan dilakukan," jelasnya.
Tambah beliau, polis masih menyiasat sama ada ketiga-tiga sindiket berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain dan sedang mengesan pemilik premis judi tersebut.

Jurulatih menembak direman

KUALA TERENGGANU 2 Feb. - Seorang jurulatih menembak ditahan reman bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki yang ditembak ketika cuba memecah masuk rumahnya di Gong Badak di sini semalam.
Jurulatih berusia 48 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, lelaki terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.
"Siasatan terhadap jurulatih itu meliputi justifikasi tembakan sama ada ia mengikut undang-undang atau sebaliknya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

lelaki Iran seludup syabu ditahan

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Dua lelaki Iran mungkin beranggapan mereka cukup bijak apabila gagal dikesan selepas berjaya menyeludup dadah ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.
Mereka yang memasuki negara ini kononnya sebagai pelancong, meloloskan diri ketika pemeriksaan pihak berkuasa dengan menelan dadah tersebut.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitu juga dengan nasib dua lelaki berkenaan.
Kedua-dua mereka yang berusia 24 dan 30 tahun akhirnya diberkas polis dua hari kemudian di sebuah hotel mewah di Jalan Changkat Bukit Bintang di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, polis bertindak menyerbu bilik hotel suspek pada Sabtu lalu, selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Beliau berkata, dalam serbuan pukul 5 petang itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 363 gram bernilai kira-kira RM144,000.
Katanya, turut ditemui ialah sejumlah sarung kapsul dipercayai digunakan oleh suspek untuk mengisi syabu sebelum ditelan.