Search This Blog

Loading...

Tuesday, February 2, 2010

Suami isteri ditahan

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/02/02
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PETALING JAYA: Kematian misteri seorang bayi lelaki berusia lima bulan ketika sedang lena membawa kepada penahanan suami isteri yang disyaki terbabit dalam perbuatan mendera bayi berkenaan sehingga mati mengejut, kelmarin.
Bagaimanapun, ibu bapa mangsa menyangkal bayi mereka itu mati akibat didera sebaliknya mendakwa kesan seperti kecederaan yang terdapat pada mayat anak mereka itu adalah tanda atau parut kekal ketika anak mereka lahir. Sumber polis berkata, berdasarkan siasatan awal, bapa mangsa yang berusia 33 tahun mendakwa anak sulungnya itu berada dalam keadaan sihat tanpa menunjukkan tanda-tanda sakit, sejak kelmarin. Menurutnya, bayi terbabit yang berusia lima bulan didakwa meminum susu, bermain dan ketawa dalam keadaan normal tanpa menunjukkan sebarang keganjilan ketika berada di rumah pasangan itu di Damansara, di sini.

“Oleh itu, bapa mangsa yang bekerja sebagai perunding kewangan dikatakan keluar bekerja seperti biasa selepas mendapati anaknya itu lena atas katil. “Namun, dia terkejut apabila menerima panggilan isterinya yang berusia 19 tahun mendakwa bayi mereka sudah tidak bernafas menyebabkan suaminya bergegas pulang sebelum membawa anak mereka ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan sekitar jam 12 tengah hari kelmarin,” katanya. Menurutnya, sebaik sampai ke hospital, petugas perubatan dan doktor mendapati bayi lelaki terbabit sudah tidak lagi bernyawa. “Pihak hospital yang mengesyaki bayi berkenaan mati akibat didera kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum laporan turut dibuat berhubung kematian bayi berkenaan. “Susulan itu polis menahan pasangan suami isteri terbabit untuk diambil keterangan berhubung punca kejadian terbabit ketika pasangan berkenaan berada di bilik mayat Hospital Sungai Buloh bagi menuntut mayat bayi terbabit,” katanya. Sehingga ini, katanya, pasangan terbabit menafikan melakukan penderaan berikutan bayi lelaki terbabit adalah anak tunggal mereka yang amat disayangi dan diberi perhatian penuh. “Malah, kesan seperti penderaan yang terdapat pada tubuh mangsa didakwa bukan akibat dipukul sebaliknya tanda lahir,” katanya. Namun, katanya, tanda tanya berhubung punca kematian mangsa akan diperoleh selepas bedah siasat dilakukan pihak hospital terhadap bayi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Menurutnya, terlalu awal untuk membuat sebarang andaian sehingga pemeriksaan perubatan dilakukan terhadap mayat bayi terbabit diperoleh.

Tiga tulang kaki kiri kanak-kanak tersepit patah


KUALA LUMPUR: Tiga tulang pergelangan kaki kiri kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun disahkan patah selepas tersepit di tangga bergerak di sebuah pasar raya di Bandar Utama di sini, kelmarin.Berikutan itu, satu pembedahan kecemasan dilakukan di Hospital Pakar Damansara di sini, bagi merawat kecederaan berkenaan selepas mangsa dipindahkan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), petang kelmarin. Difahamkan, kanak-kanak terbabit kini masih diberi rawatan rapi pegawai perubatan di hospital berkenaan, namun dia akan dibenarkan pulang dalam tempoh terdekat sekiranya keadaannya stabil.

Bapa mangsa, Syed Najib Albar, 44, berkata anaknya, Abdullah kini bergantung sepenuhnya kepada ubat penahan sakit disebabkan kecederaan dan pembedahan. “Dia masih trauma kejadian itu dan sering menangis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Menceritakan semula kejadian itu, Najib yang bekerja sebagai Pengarah Eksekutif di sebuah syarikat swasta berkata, ketika kejadian isterinya, Faezah Mohd Amir, 37, pergi ke pasar raya itu untuk menjemput Abdullah dari Kelas Bahasa Jepun di tingkat satu.

“Sebaik menuruni tangga bergerak itu, Abdullah yang berdiri di sebelah kanan ibunya tiba-tiba menjerit selepas kaki kirinya tersepit di tangga berkenaan. “Isteri saya segera menghubungi saya selepas gagal mengeluarkan kaki Abdullah yang tersepit. Saya pun bergegas ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 10 minit selepas kejadian,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak terpaksa menahan sakit hampir sejam selepas kaki kirinya tersepit di tangga bergerak sebuah pasar raya.

Najib berkata, anaknya itu dijangka menjalani rawatan di hospital berkenaan untuk beberapa hari kerana kecederaannya belum pulih selain sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undan

Polis kenal pasti pusat karaoke tawar seks

KUALA LUMPUR: “Kita mengenal pasti premis terbabit dan akan pastikan kelab sebegini dihapuskan dalam sedikit masa lagi,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman.
 Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kegiatan haram pusat karaoke di ibu kota yang menyediakan khidmat pelayan wanita terdiri golongan janda, sejak setahun lalu.
Lebih mengaibkan apabila pusat karaoke terbabit dikatakan ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang kerana keberaniannya menawarkan khidmat seks, walaupun beroperasi berhampiran balai polis. Muhammad Sabtu berkata, pihaknya melakukan siasatan menyeluruh mengenai kegiatan berkenaan sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab. “Kami memandang serius kegiatan haram ini dan memastikan mereka yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.
“Malah, kami meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bekerjasama bagi memastikan premis seumpama itu ditutup.
“Ini kerana PBT mempunyai kuasa menyita dan menarik lesen premis terbabit, sekiranya didapati menyediakan perkhidmatan pelacuran manakala kami (polis) akan fokus kepada kegiatan pelacuran,” katanya ketika sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, semalam. Semalam, Harian Metro melaporkan mengenai kegiatan haram di sebalik pusat karaoke yang diberi jolokan ‘syurga karaoke’ disebabkan kebebasan pelanggan melakukan pelbagai perkara termasuk seks dengan pelayan wanita yang digelar ‘mak jan’. Difahamkan, premis terbabit dikunjungi lelaki warga emas berpoket tebal kerana perkhidmatan disediakan cukup istimewa, selain pekerjanya janda muda yang memiliki tubuh badan menggiurkan. Turut menjadi tarikan pengunjung ketika waktu kemuncak apabila lampu ditutup memberikan isyarat kepada pelanggan bahawa mereka dibenarkan melakukan pelbagai aksi kepada pelayan.

Polis kenal pasti pusat karaoke tawar seks


2010/02/02

KUALA LUMPUR: “Kita mengenal pasti premis terbabit dan akan pastikan kelab sebegini dihapuskan dalam sedikit masa lagi,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kegiatan haram pusat karaoke di ibu kota yang menyediakan khidmat pelayan wanita terdiri golongan janda, sejak setahun lalu.


Lebih mengaibkan apabila pusat karaoke terbabit dikatakan ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang kerana keberaniannya menawarkan khidmat seks, walaupun beroperasi berhampiran balai polis. Muhammad Sabtu berkata, pihaknya melakukan siasatan menyeluruh mengenai kegiatan berkenaan sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab. “Kami memandang serius kegiatan haram ini dan memastikan mereka yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.


“Malah, kami meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bekerjasama bagi memastikan premis seumpama itu ditutup.


“Ini kerana PBT mempunyai kuasa menyita dan menarik lesen premis terbabit, sekiranya didapati menyediakan perkhidmatan pelacuran manakala kami (polis) akan fokus kepada kegiatan pelacuran,” katanya ketika sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, semalam. Semalam, Harian Metro melaporkan mengenai kegiatan haram di sebalik pusat karaoke yang diberi jolokan ‘syurga karaoke’ disebabkan kebebasan pelanggan melakukan pelbagai perkara termasuk seks dengan pelayan wanita yang digelar ‘mak jan’. Difahamkan, premis terbabit dikunjungi lelaki warga emas berpoket tebal kerana perkhidmatan disediakan cukup istimewa, selain pekerjanya janda muda yang memiliki tubuh badan menggiurkan. Turut menjadi tarikan pengunjung ketika waktu kemuncak apabila lampu ditutup memberikan isyarat kepada pelanggan bahawa mereka dibenarkan melakukan pelbagai aksi kepada pelayan.

Lega tiada lagi gangguan


2010/02/02

JITRA: “Saya kini berasa lega apabila tiada lagi gangguan kepada kami sekeluarga selain tidak menerima sebarang khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan sejak kelmarin,” kata Nor Syafawani Zakaria, 18.Dia yang kini menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, dia tidak mahu memikirkan soal cinta kerana mahu menumpukan perhatian dalam pelajaran.

“Jika boleh saya hendak memohon ke kolej kejururawatan tetapi semuanya bergantung kepada keputusan SPM yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Buat sementara ini, saya tak mahu memikirkan soal cinta kerana serik dengan apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Nor Syafawani berkata, dia berharap polis dapat mengambil tindakan segera terhadap suspek yang disyaki melakukan perbuatan melontar dua molotov cocktail di rumahnya di Taman Mutiara Naga, Kepala Batas, Jumaat lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin mengesahkan pihaknya menahan seorang suspek berusia awal 20-an yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Balas dendam


KUALA LUMPUR: Perbuatan membalas dendam atau menyelesaikan masalah melalui tindakan keganasan berpunca daripada kegagalan mengendalikan sesuatu konflik menggunakan kaedah yang betul.Presiden Persatuan Psikiatrik dan Mental Asean, Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata tindak balas keganasan kini menjadi budaya di kalangan masyarakat.

“Budaya ini membuktikan kebenaran andaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan keganasan akan menjadi masalah kesihatan awam.

“Keganasan ini turut membabitkan mangsa yang berumah tangga dan antara kekasih sehingga berani melontar bom yang boleh mengakibatkan kecederaan terhadap individu terbabit dalam konflik berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai remaja lelaki berusia 18 tahun melontar dua molokov cocktail ke rumah bekas teman wanita yang memutuskan hubungan.

Sebelum memutuskan hubungan, suspek pernah menghantar SMS ugutan membakar rumah mangsa namun tidak menyangka bekas teman lelakinya sanggup melakukan perkara itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi, Jumaat lalu menyebabkan kebakaran kecil apabila satu daripada dua botol yang dilontar meletup.

Mohamad Hussain berkata, individu mempunyai pilihan dalam menyelesaikan konflik kerana terdapat pelbagai kaedah yang betul namun ia salah apabila keganasan menjadi keutamaan.

“Faktor yang menyumbang ke arah keganasan ini adalah personaliti individu itu sendiri daripada didikan keluarga sejak kecil terutama ibu bapa.

“Genetik juga menyebabkan mereka bertindak sedemikian dan tekanan persekitaran yang timbul dari segi kewangan, pekerjaan, keluarga dan lain,” katanya.

Katanya, individu yang memilih keganasan sebagai penyelesaian masalah hanya mengundang kepada perkara lebih serius.

Hanya seronok tujuh minit

2010/02/02


KUANTAN: Seorang penganggur kempunan untuk berjoli sakan wang hasil rompakan dianggarkan bernilai RM16,000 apabila dicekup anggota polis selepas tujuh minit merompak sebuah bank di Jalan Bank, di sini, semalam.
PERIKSA...anggota polis buat kawalan di bank, semalam.
PERIKSA...anggota polis buat kawalan di bank, semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, suspek yang juga penganggur berusia lewat 20-an berjaya ditahan anggota polis yang melakukan rutin harian meronda di kawasan berkenaan.

Suspek, seorang warga tempatan dikejar orang ramai yang melihat kejadian itu selepas dia keluar dari bank berkenaan membawa hasil rompakan dengan hanya menggunakan plastik.

Terdahulu, perompak itu memasuki bank berkenaan dan meluru ke arah seorang juruwang wanita berusia 30-an sambil menghunus sebilah pisau ke leher sebelum meminta memasukkan wang ke dalam plastik dibawanya.

Wanita itu yang ketakutan hanya mampu menuruti segala arahan kerana bimbang dicederakan sebelum dia dijadikan tebusan untuk suspek membebaskan diri.

Difahamkan, kakitangan lain termasuk pengawal keselamatan yang berada di dalam bank berkenaan tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang suspek bertindak agresif terhadap wanita itu.

Namun ‘drama’ itu berakhir apabila suspek bertindak membebaskan tebusannya sejurus keluar dari bank berkenaan dan dikejar orang awam yang melihat kejadian terbabit sebelum bertembung anggota polis yang kemudian menahannya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata suspek ditahan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian ketika melarikan diri selepas dikejar orang awam.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek melakukan rompakan itu seorang diri menggunakan sebilah pisau pemotong sayur dan tidak memakai sebarang topeng penutup muka.

“Siasatan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah,” katanya

'Saya masih fobia'


KUALA TERENGGANU: “Maaf...saya masih menggeletar dan fobia dengan apa yang berlaku,” kata jurulatih skuad menembak Terengganu yang menembak mati seorang penjenayah dalam semak di belakang rumahnya, di Kampung Jati, Gong Badak, di sini, petang semalam.
KAWAL...anggota polis mengawal tempat kejadian penjenayah ditembak mati.
KAWAL...anggota polis mengawal tempat kejadian penjenayah ditembak mati.PERIKSA...anggota polis forensik memeriksa mayat lelaki yang ditembak, semalam.
PERIKSA...anggota polis forensik memeriksa mayat lelaki yang ditembak, semalam.
Difahamkan kejadian berlaku apabila bekas anggota tentera dari Pulau Pinang yang identitinya dirahsiakan dikatakan mengejar penjenayah dipercayai seorang lelaki tempatan kerana cuba menceroboh rumahnya kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

Isteri jurulatih itu yang namanya dirahsiakan atas sebab keselamatan berkata, dia berada di rumah sebelum ternampak kelibat manusia di belakang rumahnya dan segera menghubungi suaminya.

Sebaik tiba suaminya bergegas ke belakang rumah dan wanita itu yang ketakutan kemudian bersembunyi dalam bilik serta mendakwa tidak mengetahui sebarang kejadian selepas itu.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas menyedari kehadiran polis di kawasan rumah saya,” katanya.

Orang gaji jirannya, Tupiah Ruju berusia lingkungan 40-an mendakwa mendengar suara orang bertengkar di belakang rumahnya sebelum terdengar bunyi tembakan sebanyak dua kali.

Menurutnya, ketika kejadian anak perempuan majikannya berusia lima tahun turut mendengar tembakan itu sebelum memaklumkan kepada ibunya, Noramalina Abd Kadir, 36.

Bagaimanapun, Noramalina yang bekerja sebagai pendidik tidak mengendahkan kejadian itu kerana menyangkakan orang menembak babi hutan.

Difahamkan kawasan belakang rumah itu yang dipenuhi semak menjadi tempat pemburuan babi hutan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, berkata suspek dipercayai melepaskan tembakan itu selepas berasa dirinya terancam apabila diserang penjenayah yang menggunakan sebilah pisau kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

“Setakat ini, siasatan awal mendapati jurulatih itu melepaskan dua das tembakan di bahagian badan menggunakan senjata pistol jenis Glock 2.2 Kaliber miliknya,” katanya.

Lelaki nafi miliki kanabis

2010/02/02

MELAKA: Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis kanabis dengan berat kasar 152 gram, pertengahan bulan lalu.Tertuduh, Woo Wai Kheong, 27, dari Jalan Lorong 2, Pokok Mangga, dekat sini, bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan mohon dibicarakan.

Berikutan itu, Hakim Al-Baishah Abd Manan menetapkan kes disebut semula pada 8 Mac depan selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar yang memaklumkan laporan kimia berat sebenar dadah belum diperoleh.

Mengikut pertuduhan, Woo dituduh memiliki dadah berkenaan di tempat letak kereta di bawah Blok B, Pangsapuri Kasturi, Jalan Semabok, dekat sini, pada 19 Januari lalu, kira-kira jam 2.50 petang.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama.

Budak 5 tahun dicabul sepupu


KUALA LUMPUR: Musykil dengan keadaan kanak-kanak berusia lima tahun yang disyaki menjadi mangsa rogol, seorang doktor membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit, Khamis lalu.Difahamkan, kanak-kanak itu yang bersekolah di tadika pada mulanya dibawa kakaknya yang berusia 23 tahun untuk menjalani rawatan selepas curiga dengan keadaan adik perempuannya. Menurut sumber, pada mulanya, kakak mangsa yang berkongsi bilik dengan adiknya itu hairan melihat tingkah laku kanak-kanak terbabit yang kerap melondehkan seluar selain tidur dalam keadaan menonggeng. “Sikap pelik adiknya itu menimbulkan keraguan sebelum kakaknya mendesak mangsa menceritakan apa yang berlaku kerana tidak berpuas hati dengan kelakuan adiknya itu. “Selepas beberapa kali didesak, kanak-kanak itu akhirnya memberitahu yang dia pernah beberapa kali menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang juga sepupu mereka,” katanya.

Sumber berkata, terkejut dengan pengakuan itu, kakak mangsa akhirnya nekad membawa kanak-kanak terbabit menjalani pemeriksaan doktor pada keesokannya di sebuah klinik sebelum dinasihatkan ke Hospital Ampang. “Doktor yang memeriksa kanak-kanak terbabit mula curiga dan mengesyaki yang kanak-kanak itu mungkin menjadi mangsa rogol dan membuat laporan polis.

“Berikutan itu, polis menahan seorang remaja berusia 13 tahun tidak lama selepas laporan dibuat sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya. Katanya, hasil siasatan mendapati remaja itu mengaku pernah beberapa kali menggesel kemaluannya pada kemaluan mangsa, namun tidak pernah merogol kanak-kanak terbabit. “Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan sepenuhnya daripada pemeriksaan doktor dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, remaja itu sepupu mangsa dan mereka mendiami kawasan perumahan sama di Projek Perumahan Rakyat di Hiliran Ampang.

Remaja terbabit dikatakan sering mengunjungi rumah berkenaan disebabkan mereka mempunyai pertalian saudara dan mangsa anak keenam daripada tujuh beradik. Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata siasatan lanjut berhubung kes masih dijalankan.

Ibu ingin temui Nurul Shahiedah selepas 24 tahun

2010/02/02
JOHOR BAHRU: Akibat terlalu merindui anak yang terpisah sejak 24 tahun lalu selepas diserahkan kepada abang angkat, seorang ibu kini berusaha menjejaki darah dagingnya itu sekadar mahu bertentang mata.
RINDU...Fazlinda menunjukkan gambar Nurul Shahuedah ketika kecil.
RINDU...Fazlinda menunjukkan gambar Nurul Shahuedah ketika kecil.Ibu berkenaan, Rogayah Ahmad, 47, berkata niat mencari semula anaknya itu hanya disebabkan rindu dan mahu bertanya khabar bukan berhasrat mengambilnya semula daripada ibu bapa angkatnya.

“Saya sekeluarga faham bukan mudah untuk dia dan ibu bapa angkatnya melepaskannya kepada kami, namun bukan itu tujuan kami, sebaliknya saya ingin dia mengenali abang dan dua adik kandungnya,” katanya.

Menurutnya, dia menyerahkan anak kedua daripada empat beradik itu, Nurul Shahiedah Mohd Azman ketika baru berusia beberapa hari selepas dilahirkan pada 23 Mac 1986 kepada abang angkatnya, Ishak Ahmad yang kini berusia 60-an.

Katanya, ketika itu kehidupannya dan suami di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dihimpit kesusahan hingga menyebabkan mereka bertekad menyerahkan Nurul Shahiedah kepada abang angkat dan isterinya, Rokiah Sharif, 50-an yang masih tidak mempunyai cahaya mata walaupun sudah lama berkahwin.

Rogayah berkata, sebelum ini dia pernah menelefon Ishak untuk bertanyakan khabar Nurul Shahiedah dan kali terakhir berbuat demikian pada 2001 ketika Nurul Shahiedah dalam persediaan menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Menurutnya, oleh kerana sering berpindah-randah, dia terputus hubungan dengan Ishak yang juga bekas kakitangan kerajaan kerana tidak mempunyai nombor telefonnya selepas abang angkatnya itu bersara.

Nurul Shahiedah mempunyai seorang abang, Mohd Amir Khairuddeen, 26, serta dua adik, Nurul Fazlinda, 22 dan Nurul Farhani Asyikin, 8 Keluarga Rogayah boleh dihubungi di talian 019-2246794 ataupun 012-7992416 (Amir) dan 019-7178043 ataupun 012-7824783 (Fazlinda).

Dadah 1.6kg dalam alat sulit

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/02/02
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Hanya kerana dijanjikan limpahan hujan duit, beberapa gadis warga asing sanggup menyumbat dan menyembunyikan puluhan bungkusan dadah dalam kemaluan bagi membantu sindiket dadah antarabangsa di Malaysia.Difahamkan, sebelum ini sindiket memaksa gadis menelan dadah heroin untuk disimpan dalam perut tetapi menyembunyikan dadah yang dibungkus kemas dalam kondom dan disembunyikan pada alat sulit wanita dikesan menjadi taktik terbaru sindiket.

Sumber polis berkata, dalam kes terbaru, sindiket dadah yang berpangkalan di Malaysia dikesan menjadikan dua wanita Indonesia sebagai keldai dadah untuk menyeludup dadah heroin ke Macau melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Difahamkan, kedua-dua gadis terbabit gagal melaksanakan tugas apabila ditahan di Lapangan Terbang Macau selepas dikesan cuba menyeludup dadah seberat 1.6 kilogram yang dianggarkan bernilai HK$1.6 juta (RM800,000). Sumber berkata, dalam kes Rabu lalu, kedua-dua wanita Indonesia terbabit tidak mengenali satu sama lain sebelum ditahan polis di lapangan terbang berkenaan.

Katanya, berdasarkan siasatan, suspek dikenali Lilik, 24, dan Mesri, 30, mendakwa dipujuk untuk membawa dadah jenis heroin ke Macau oleh sindiket dadah yang turut didalangi wanita Indonesia. “Suspek mendakwa mereka datang ke Kuala Lumpur pada 20 Januari lalu sebelum diarah menemui ahli sindiket dadah di sebuah hotel terkemuka di ibu kota,” katanya. Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian diarah mengambil bungkusan dadah heroin sebelum diminta menelannya dan menyembunyikannya dengan memasukkan bungkusan kecil dadah berkenaan ke dalam kemaluan masing-masing. “Selepas enam jam, kedua-dua wanita terbabit diberikan tiket penerbangan ke Macau dan diarah mengambil penerbangan pada hari sama bagi mengelakkan jenayah itu terbongkar. “Kedua-duanya mendakwa tidak diberitahu jumlah upah bakal diterima sebaliknya mendakwa bayaran hanya akan dibuat selepas mereka menyeludup dadah dan menyerahkannya kepada ahli sindiket di Macau,” katanya. Menurutnya, polis percaya kedua-dua wanita itu dilatih secara intensif oleh ahli sindiket berkenaan untuk menelan atau menyembunyikan dadah heroin bagi melakukan tugas penyeludupan ke Guangdong dan Hong Kong. “Hasil pemeriksaan, seorang daripada suspek berusia 24 tahun dikesan menelan dan menyembunyikan 61 bungkusan dadah heroin seberat 616 gram. Semua dadah terbabit dikeluarkan dari dalam tubuh mangsa selepas 27 jam mangsa dirawat di hospital.

“Sementara itu, seorang lagi suspek berusia 30 tahun menyembunyikan 31 bungkusan kecil dadah seberat 345.8 gram dalam perut selain 210 gram lagi disembunyikan dalam kemaluannya. Semua dadah terbabit dikesan dibungkus dengan kondom,” katanya. Tangkapan itu adalah kes terbaru selepas seorang wanita warga Indonesia berusia 29 tahun turut ditahan di Macau selepas mengambil penerbangan dari KLIA pada 22 januari lalu. Sementara itu, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata sindiket pengedaran dadah antarabangsa didalangi warga Afrika dikesan tidak lagi berminat dengan gadis tempatan. “Sindiket dikesan mula beralih kepada wanita atau gadis asing termasuk Filipina dan Brunei untuk melakukan tugas berbahaya itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pengarah, bekas tunang selesai cara baik


SHAH ALAM: Pertikaian seorang pengarah urusan sebuah syarikat komunikasi dan teknologi maklumat dengan bekas tunangnya bagi mendapat semula barangan pemberian ketika bertunang bernilai hampir RM1 juta selesai apabila mereka bersetuju untuk menyelesaikan secara baik.
KES SELESAI...Mohamad Fahizul (kanan) dan peguamnya, keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
KES SELESAI...Mohamad Fahizul (kanan) dan peguamnya, keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Azmi Mohd Rais di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, yang mewakili Mohamad Fahizul Khairi, 53, bagi menuntut ganti rugi terhadap bekas tunangnya, seorang pegawai bank, Nor Daliya Mohd Daud, 34.

Pada prosiding semalam, Azmi memberitahu kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu berdasarkan tujuh syarat dipersetujui bersama untuk dijadikan perintah mahkamah.

Menurutnya, Mohd Fahizul selaku plaintif bersetuju menerima RM600,000 sebagai penyelesaian terhadap keseluruhan tuntutan itu.

“Wang itu akan dibayar kepada peguam plaintif sebagai pemegang wang pertaruhan dalam tempoh tujuh hari daripada tempoh penjualan sebuah rumah teres dua setengah tingkat beralamat No 67, Jalan BU 6/13, 47800 Bandar Utama, Petaling Jaya.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju termasuk wakil masing-masing daripada ditegah membuat gangguan antara satu sama lain dan keluarga serta rakan masing-masing,” katanya.

Azmi turut memberitahu anak guamnya akan menarik balik semua perintah tegahan terhadap hartanah itu selepas mahkamah meterai syarat persetujuan bersama berkenaan.

Pasangan diancam pisau Rambo lepas bunyi hon

2010/02/02

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri digertak dengan pisau Rambo hanya kerana membunyikan hon terhadap kenderaan dipercayai dipandu melulu seorang samseng jalanan, dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi semalam.

Samseng berusia 20-an itu didakwa turut mengejar dan mengekori kereta pasangan itu sambil berulang kali menunjukkan pisau Rambo menyebabkan suami isteri terbabit terpaksa melarikan diri ke balai polis untuk mendapatkan perlindungan.


Difahamkan, kejadian berlaku hanya kerana tindakan mangsa yang juga eksekutif sebuah syarikat membunyikan hon terhadap kereta dipandu samseng jalanan terbabit yang memintas kenderaannya secara melulu. Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 31 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang bersama isterinya dengan memandu kereta melalui Jalan Ipoh, di sini. Difahamkan, suami isteri terbabit baru selesai menghadiri majlis keagamaan di Batu Caves, Gombak sebelum memandu ke arah pusat bandar raya. “Berdasarkan maklumat, mangsa yang memandu berhampiran lampu isyarat Jalan Tunku Abdul Rahman bagaimanapun dipintas Perodua Myvi yang dipandu secara laju dan melulu.


“Kejadian itu hampir menyebabkan kemalangan. Akibat terkejut dengan kejadian itu, mangsa bertindak membunyikan hon kenderaan terhadap pemandu Perodua Myvi terbabit,” katanya. Menurutnya, tindakan membunyikan hon kemungkinan menimbulkan rasa marah pemandu Perodua Myvi yang kemudian mengekori dan mengejar kereta mangsa.


“Kereta suspek beberapa kali cuba menghimpit kenderaan mangsa namun berjaya mengelak sebelum berhenti berhampiran lampu isyarat yang ketika itu berwarna merah.


“Suspek yang turut berhenti tidak jauh dari kereta mangsa kemudian keluar dari kenderaan dan meluru ke arah kereta mangsa,” katanya.

Penunggang motor maut


JELEBU: Seorang lelaki terbunuh selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Simpang Pertang-Simpang Durian, malam kelmarin.Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Saifol Mustaza Musa, 33, maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusof, berkata pemandu Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan dengan mangsa, bagaimanapun tidak cedera.

Menurutnya, pemandu kereta itu membuat laporan polis tidak lama selepas kejadian dan diambil keterangan bagi siasatan.

Bantuan tidak cukup


KUALA LUMPUR: “Tidak ada tali yang kukuh untuk dipaut atau bergantung menjadikan ibu tunggal ini mencari rezeki dengan ‘jalan hitam’, menjual maruah semata-mata mendapatkan sesuap nasi,” kata Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rubiah K Hamzah.Menurutnya, kes membabitkan ibu tunggal sanggup bekerja sebagai pelacur atau di tempat maksiat makin melarat apabila masyarakat, malah kerajaan tidak memberi bantuan yang cukup kepada mereka.

Beliau berkata, apa ditawarkan dan disediakan sekarang ini masih tidak mencukupi bagi membantu seluruh ibu tunggal.

“Mereka (ibu tunggal) bukan mahu ditakdirkan mencari rezeki dengan menjual maruah, tapi mereka terpaksa kerana tiada jalan lain mencari rezeki. Mereka bukan saja perlukan bantuan dari segi modal atau peruntukan, malah dorongan mental dan spiritual.

“Persatuan Ibu Tunggal yang ada ketika ini seharusnya dimartabatkan menjadi yayasan supaya mendapat peruntukan lebih besar bagi menampung kehidupan ibu tunggal,” katanya.

Rubiah yang juga pakar motivasi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Harian Metro, semalam, yang mendedahkan ‘mak janda’ yang bekerja di kelab karaoke di ibu kota menawarkan perkhidmatan seks dengan pendapatan mencecah RM15,000 sebulan.

Katanya, kerajaan perlu lebih peka kepada masalah ini kerana membabitkan pembentukan masyarakat lebih-lebih lagi generasi muda yang akan menerajui negara. “Saya nampak ketika ini tiada saluran kukuh untuk mengadu, buat laporan dan sebagainya. Mereka perlu dilindungi, apabila tiada tempat yang kukuh untuk mengadu, golongan ini terdorong mengambil jalan pintas mencari rezeki.

“Dalam isu ini, masyarakat kita yang ‘sakit’ sebenarnya, kerana tidak membantu mereka ini, malah menuding jari serta menyalahkan ibu tunggal. Sedangkan mereka (ibu tunggal) perlu tempat bergantung dan duit menyara anak,” katanya sambil menambah masalah ini turut berpunca daripada peraturan yang terlalu banyak ditetapkan kerajaan dalam memberi bantuan.

“Saya sedih kerana mendapat banyak laporan ibu tunggal yang menyatakan kekesalan kerana susah mendapat modal dari kerajaan bagi memulakan perniagaan, perlukan tanda tangan banyak pihak dan sekiranya kurang mendapat keuntungan, bantuan berkenaan akan ditarik balik,” katanya.

Kepala pecah digilis lori

2010/02/02

AMPANG: Seorang lelaki yang baru sebulan menyambut hari lahir terbunuh apabila kepalanya digilis lori dalam kemalangan berhampiran Kilometer 29, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 arah Cheras berhampiran susur Pandan Jaya, Ampang di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
NGERI...anggota polis trafik memindahkan mayat Zarfhan yang digilis lori kontena, semalam.
NGERI...anggota polis trafik memindahkan mayat Zarfhan yang digilis lori kontena, semalam.umber polis berkata, ketika kejadian, Muhammad Zarfhan Hamdan, 20, dikatakan sedang menunggang motosikal bersendirian antara lori kontena di kirinya dan kereta di kanan. “Bagaimanapun, motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan selepas bergesel dengan kereta di lorong tengah menyebabkan mangsa terjatuh ke arah lori yang sedang bergerak.

“Pemandu lori kontena terbabit terlihat mangsa terjatuh melalui cermin sisinya, tetapi tidak sempat membrek kenderaannya sebelum tayar belakang lori berkenaan menggilis kepala mangsa,” katanya. Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kepala mangsa hampir pecah dan dia mati di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa dari Flet Sri Perlis dan baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-20, pada 1 Januari lalu. “Difahamkan, lori kontena yang melanggar mangsa membawa muatan sayur dan dalam perjalanan dari Selayang ke Cheras untuk menghantar bekalan,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh hampir dua kilometer arah selatan. Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

'Dia beria-ia nak mandi laut'

2010/02/02
KUALA TERENGGANU: “Kami tidak menyangka sikapnya yang beria-ia hendak mandi di pantai petanda kejadian buruk akan berlaku,’’ kata Muhammad Ruzaimi (gambar), 17, rakan kepada Yus Effandi Yusoff, 17, yang dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Pandak, Chendering, petang semalam.Kejadian kira-kira 6.30 petang itu berlaku apabila mangsa keluar bersama empat rakannya untuk mandi di pantai berkenaan sebelum dilaporkan hilang 15 minit kemudian.

Menurutnya, mangsa gagal melawan arus sebelum dibawa ke tengah laut tanpa disedari mereka berempat.
“Menyedari kejadian buruk berlaku kami menghubungi keluarga mangsa,’’ katanya.

Penyelia Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jalan Kota Kuala Terengganu, Ab Halim Adam berkata, mereka menerima panggilan jam 6.42 petang dan tiba 10 minit kemudian.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan polis memantau di sekitar kawasan pantai berkenaan.

Tidak boleh ke luar negara

2010/02/02


PUTRAJAYA: Orang ramai yang disenaraihitamkan beberapa agensi kerajaan akibat pelbagai kesalahan termasuk diisytiharkan bankrap, mempunyai rekod jenayah berat atau tidak membayar hutang tidak akan dibenarkan keluar dari negara ini dari mana-mana pintu keluar.Agensi berkenaan adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Insolvensi, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Perbadanan Tabung Tinggi Pelajaran Malaysia (PTPTN) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana individu ke luar negara, tetapi sekiranya mendapat perintah atau arahan dari agensi terbabit mereka kena akur.

“Mereka yang terbabit dalam kes seumpama ini mesti menerima hakikat, kita (Jabatan Imigresen) tidak berhak membenarkan mereka melepasi sempadan negara sekiranya menerima surat arahan.

“Kita akan menghalang mereka dari ke luar negara sehingga mereka menyelesaikan masalah dihadapi. Jika tidak, kita tidak akan sekali-kali membenarkan mereka melepasi pintu Imigresen,” katanya.

Mayat ditemui

2010/02/02
PELABUHAN KLANG: Mayat kedua-dua mangsa yang hilang selepas tercampak ke laut ditemui di Perairan Bagan Teo Chew, Pulau Ketam, dekat sini, semalam dan operasi mencari dan menyelamat dihentikan sejurus kedua-dua mangsa itu ditemui.Mayat Sahidan Ibrahim, 45, ditemui jam 2.10 petang, disusuli adiknya, Adha, 33, jam 2.40 petang selepas beberapa jam operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam membabitkan Pasukan Gerakan Marin (PGM), Unit Udara Polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), nelayan serta sanak-saudara mangsa.

Difahamkan mayat Sahidan ditemui ahli keluarganya yang terkejut selepas melihat objek terapung di kawasan lumpur manakala mayat Adha ditemui APMM kira-kira 20 meter daripada mayat pertama ditemui.

Bekas jururawat tipu ibu demi kekasih


2010/02/02

JOHOR BAHRU: Akibat mabuk kepayang, seorang bekas jururawat tergamak bersekongkol dengan teman lelaki bagi menipu ibunya, konon mahu menyelenggara dua kereta milik keluarga sebelum mereka menghilangkan diri bersama kedua-dua kenderaan berkenaan.
KECEWA...Ooi (tengah) bersama anaknya, Teng Yee Yang menunjukkan gambar Yee Lee serta teman lelakinya sambil diperhati Tay (kiri).
KECEWA...Ooi (tengah) bersama anaknya, Teng Yee Yang menunjukkan gambar Yee Lee serta teman lelakinya sambil diperhati Tay (kiri).Ibu wanita berkenaan, Ooi Ah Jeow, 50, berkata perkenalan anaknya, Teng Yee Lee, 27, dengan mekanik yang bekerja di Singapura sejak kira-kira enam bulan lalu, membawa bahana apabila anak kedua daripada tiga beradik itu menunjukkan perubahan sikap ketara.

Katanya, pada awalnya, keluarganya tidak merestui hubungan percintaan pasangan itu memandangkan teman lelaki Yee Lee seorang yang boros hingga mengakibatkan anaknya terpaksa mengeluarkan wang simpanan dari bank demi untuk menampung sikap berfoya-foya lelaki berusia 30 tahun itu.

Ooi berkata, pada 19 Januari lalu, anaknya meminta kunci kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dibeli kira-kira tiga tahun lalu dan kereta Perodua Kelisa dengan alasan ingin menyelenggara kenderaan berkenaan sebelum digunakan untuk bercuti ke Pulau Pinang pada bulan ini.

“Selain Toyota Avanza bernombor pendaftaran JJK3563 milik saya, Perodua Kelisa milik anak sulung saya, Teng Yee Yeng, 28, bernombor pendaftaran JGS2385 juga gagal ditemui hingga kini.

“Kami juga mendapati Yee Lee membawa bersama beberapa helai pakaian selain pasport antarabangsa. “Apabila saya menghubungi Yee Lee, dia tidak menjawab panggilan berkenaan, sebaliknya hanya berbalas mesej dengan perkataan kasar menggunakan bahasa Cina biarpun dia tidak tahu menulis mahupun membaca dalam bahasa itu.

“Tidak disangka dia menjadi umpan lelaki terbabit untuk merancang melarikan kenderaan keluarga hingga mengakibatkan kami kerugian kira-kira RM90,000,” katanya ketika mengadu masalah mereka pada Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay di Jalan Maju di sini, semalam.

Dia turut membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi di sini, 25 Januari lalu.

Ooi berkata, lebih membimbangkan, lelaki itu juga mula mengugut ahli keluarganya supaya menyerahkan sejumlah wang sekiranya mahu kenderaan berkenaan dipulangkan.

Menurutnya, biarpun keluarganya memasukkan wang RM500 dalam akaun Yee Lee pada 27 Januari lalu, namun lelaki itu gagal menunaikan janji, selain usaha bagi mengesan mereka di kampung asal mekanik berkenaan di Negeri Sembilan juga buntu apabila difahamkan keluarga itu tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan berkenaan mahupun Yee Lee selain teman lelakinya diminta menghubungi keluarga wanita berkenaan di talian 016- 7346334 atau balai polis berhampiran.

Isteri, anak kapten Chelsea lari ke Dubai



Toni Poole

LONDON: Isteri kapten Chelsea, John Terry, lari ke Dubai bersama anak mereka selepas memberitahunya perkahwinan mereka sudah berakhir, lapor media di sini, semalam.

Toni Poole, 28, mengakui kecewa selepas bintang Chelsea itu mendedahkan menjalin hubungan sulit dengan teman wanita rakan sepasukan England, Wayne Bridge, Vanessa Perroncel.

Poole dilaporkan cuba mencari ketenangan di Dubai dengan membawa anak kembar mereka selepas memberitahu Terry, 29: "Ceraikan saya."
"Dia mahu berfikir mengenai masa depan dan membuat keputusan muktamad selepas pulang. John bersetuju, tetapi dia tiada pilihan kecuali menerima keputusan isterinya," kata sumber itu.

Rakan Poole memberitahu akhbar The Sun, Terry yang menang anugerah 'Bapa Contoh 2009' berasmara dengan Perroncel dua kali seminggu selama empat bulan.

Poole membuat keputusan itu selepas media mendedahkan bahawa Perroncel, model baju dalam wanita, menggugurkan kandungan hasil hubungan dengan Terry.
Beliau kemudian membuat keputusan untuk bercuti di Dubai dengan membawa anak mereka, Georgie John dan Summer Rose serta ibunya, Sue.

Poole juga menimbang untuk mendapatkan khidmat peguam terkenal, Fiona Shackleton untuk mendapatkan sebahagian harta Terry.

Kapten Chelsea itu dipercayai mempunyai pendapatan lebih £8 juta (RM43.2 juta) setahun, termasuk £170,000 (RM918,000) seminggu.

Selain itu, Terry juga mempunyai dua kediaman dan beberapa kenderaan mewah, perjanjian penajaan daripada firma termasuk Umbro, Samsung dan Nationwide. � Agensi

Anwar tiba di mahkamah untuk prosiding kes liwat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kompleks Makhkamah Kuala Lumpur bersama isteri, Datin Seri Wan Azizah Ismail, dua anak perempuan mereka sebentar tadi untuk menghadiri prosiding kes liwatnya.

Ketibaan mereka pada kira-kira jam 8.50 pagi tadi disambut penyokong dan pemimpin pembangkang dengan laungan "Reformasi".

Turut mengiringi mereka, peguam Anwar, Karpal Singh.
Antara pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hadir ialah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Saifuddin Nasution, Elizebeth Wong, Syed Hussin Ali dan Dr Xavier Jayakumar.

Ratusan penyokong Anwar turut berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan yang terletak tidak jauh dari kompleks itu.

Polis mengadakan kawalan ketat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Pada prosiding hari ini, Anwar akan memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya perbicaraan kes liwatnya ditangguhkan.

Sama ada perbicaraan yang beberapa kali tertangguh dan ditunggu-tunggu itu akhirnya akan bermula, bergantung kepada keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Dalam permohonan yang difailkan Khamis lalu, Anwar berkata kes ini perlu ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadapnya.

Mahkamah Rayuan masih belum menetapkan tarikh bagi pendengaran rayuan itu.
Pada 1 Disember tahun lalu, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan Anwar dan menetapkan sebulan daripada 25 Januari bagi perbicaraan.

Perbicaraan itu ditangguhkan kepada 2 Februari oleh Mahkamah Persekutuan sementara menunggu keputusan sama ada membenarkan permohonan Anwar bagi pihak pendakwaan membekalkan dokumen kepadanya bagi membuat persediaan pembelaan.

Namun, Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu menolak permohonan Anwar.

Perbicaraan kes Anwar ditangguh hingga petang ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan ke 2 petang ini untuk mendengar permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat beliau.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh, berkata penangguhan itu diperlukan kerana mereka perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar untuk diberikan akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan untuk tujuan pembelaannya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata jika tiada tarikh ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan itu, Mahkamah Tinggi akan meneruskan prosiding bagi mendengar permohonan penangguhan perbicaraan.
Asalnya, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar hari ini tetapi perlu mendengar terlebih dahulu permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan itu.

Sama ada perbicaraan yang ditunggu-tunggu dan telah berulangkali ditangguhkan itu akan berlangsung bergantung kepada Hakim Mohamad Zabidin yang kini perlu mendengar permohonan penangguhan itu.

Anwar, 63, tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Beliau didakwa mengikut seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 penjara dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah dipenuhi petugas media tempatan dan luar negara, anggota keluarga Anwar dan penyokong serta orang ramai.

Turut hadir ialah bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng.
Peguam Zamri Idrus menjadi peguam pemerhati bagi pihak Saiful.

Petugas media yang menunggu di luar mahkamah sejak 7.30 pagi hanya dibenarkan masuk satu jam kemudian.

Anwar menghujahkan perbicaraan mesti ditangguh sementara menunggu rayuannya kepada Mahkamah Rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi menolak untuk membatalkan tuduhan liwat terhadap beliau.

Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh untuk tujuan itu.

Perbicaraan tuduhan liwat itu pada asalnya ditetapkan pada 25 Januari lalu tetapi ditangguh kepada hari ini sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan Anwar agar diberi akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan bagi tujuan pembelaan beliau.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu menolak permohonan Anwar itu. - Bernama

Kes liwat Anwar: Warga emas buat kecoh di mahkamah

KUALA LUMPUR: Keadaan di lobi Kompleks Mahkamah Persekutuan Jalan Duta, di sini hari ini kecoh seketika apabila seorang lelaki warga emas bertindak menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap petugas media kerana tidak dapat mengikuti perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, lelaki dalam lingkungan lewat 70-an itu tidak dibenarkan memasuki mahkamah kerana pas untuk masuk habis.

Beliau kemudian melepaskan rasa geram kepada petugas media yang memenuhi ruang lobi tersebut sebelum pengsan lima minit selepas itu dan terpaksa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans.
Keadaan yang tenang seketika menjadi kecoh semula apabila polis bertindak menghalau keluar jurugambar dan jurukamera tv serta wartawan dari lobi mahkamah itu bagi mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut.

Kekecohan itu turut diselangi teriakan `reformasi' oleh penyokong Anwar yang telah berkumpul di sekitar pekarangan mahkamah seawal pukul 6 pagi ini.

Anwar yang menghadapi tuduhan liwat keluar dari mahkamah kira-kira jam 10 pagi dan memberitahu penyokongnya bahawa perbicaraan kes beliau ditangguhkan sehingga 2.30 petang ini.
Turut hadir di kompleks mahkamah itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata keadaan di kawasan kompleks mahkamah terkawal.

"Sebarang perbicaran kes berprofil tinggi polis akan mengadakan kawalan keselamatan yang ketat dan kita telah menempatkan anggota yang secukupnya bagi kes ini," katanya kepada Bernama di lobi mahkamah.

Katanya, anggota polis telah ditugaskan berkawal di kompleks mahkamah dari jam 6 pagi ini sehingga perbicaraan kes liwat Anwar selesai.
Zakaria berkata, polis juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba melanggar peraturan mahkamah sehingga menggangu perjalanan perbicaraan kes berkenaan. - Bernama

Maut menjelang Tahun Baru Cina...


ORANG ramai melihat mayat Lim Jien Wei yang terbaring di belakang sebuah bas sekolah yang sebelum itu merempuhnya di Taman Pakatan, Bercham, Ipoh, awal pagi semalam.

TERLALU pilu untuk melihat sekujur tubuh kecil yang tidak lagi bernyawa setelah basikalnya dirempuh oleh sebuah bas sekolah ketika dalam perjalanan ke sekolahnya.

Nahas yang menimpa murid tahun lima itu tentunya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan apalagi masyarakat Tionghua akan menyambut Tahun Baru Cina, beberapa hari lagi.

Shkori didakwa subahat

KOTA BHARU 1 Feb. – Bekas Pegawai Kewangan Kelantan, Datuk Shkori Mohammad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan bersubahat membuat tuntutan palsu membabitkan projek Istana bernilai RM267,960 dua tahun lalu.
Pegawai kanan kerajaan negeri berusia 57 tahun itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Zainal L. Salleh.
Shkori sepatutnya didakwa di mahkamah pada 27 Januari lalu tetapi ditangguhkan apabila dia dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana kerana diserang sakit jantung.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima invois palsu ‘Tuntutan Membekal Bahan dan Kerja-Kerja Membina bagi menyiapkan Rumah Puyuh di Projek Diraja, Banggol’ bertarikh 3 Disember 2008 daripada kontraktor Yusri Che Noh.
Projek dengan keluasan 7,656 kaki persegi itu bernilai RM267,960.
Shkori didakwa bersubahat kerana ketika dokumen tuntutan itu diserahkan kepadanya di pejabat Perbendaharaan Negeri di sini pada Disember 2008, projek Rumah Puyuh itu tidak dilaksanakan.
Tertuduh dilihat tenang ketika dakwaan itu dikemukakan kepadanya mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Zainal membenarkan Shkori diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan sementara menunggu sebutan semula kes pada 2 Mac ini.
Beliau juga membenarkan permohonan pihak pendakwa agar kes itu disebut serentak dengan kes terhadap Yusri, 39, yang menghadapi lima tuduhan pemalsuan invois dan pesanan membabitkan projek Istana dan Kerajaan Negeri pada 13 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Yunn Yiing dan Ezani Wan Ishak.
Shkori diwakili peguam bela, Datuk Abdul Aziz Derashid manakala peguam Datuk Sukri Mohamad hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Istana Kelantan.
Terdahulu, Yunn Yiing menawarkan jaminan RM30,000 terhadap tertuduh sebagai gambaran kepada masyarakat betapa seriusnya gejala rasuah yang berlaku di negara ini.
Bagaimanapun, Abdul Aziz memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan faktor kesihatan tertuduh yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis serta selalu berulang alik ke hospital.
Abdul Aziz juga menyatakan pihaknya akan mengemukakan surat representasi kepada Pejabat Peguam Negara untuk mempertimbangkan agar pertuduhan itu ditarik balik.

Rogol: Lelaki kacak mengaku tak bersalah

MELAKA 1 Feb. - Dengan bermodalkan wajah kacak dan menunggang motosikal, seorang lelaki berjaya memperdaya gadis-gadis sebelum merogol dan menyamun mereka.

Akibat terlalu mengikut hawa nafsu, lelaki itu bukan saja menjadikan remaja perempuan atau wanita dewasa sebagai mangsa tetapi tergamak merogol kanak-kanak berusia tujuh tahun.

Bagaimanapun, kelicikan lelaki tersebut tidak lama apabila dia berjaya ditangkap pihak polis pada 1 Disember tahun lalu.

Hari ini, Rashidi Omar, 28, dari Kampung Beringin, Durian Tunggal, Alor Gajah dihadapkan di dua bilik berasingan di Mahkamah Sesyen di sini atas enam tuduhan rogol, dua tuduhan samun dan satu tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Al-Baishah Abd. Manan dan Hakim Zaharah Hussain.

Rashidi didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun pada pukul 12.30 tengah hari, 24 Mei 2007 di sebuah ladang kelapa sawit di Cheng sebelum mengulanginya terhadap remaja berusia 15 tahun 11 bulan pada pukul 6.30 pagi, 1 April 2008 di ladang yang sama.

Rashidi juga didakwa merogol seorang gadis berusia 19 tahun di ladang kelapa sawit berhampiran Taman Sri Sutera, Alor Gajah pada 31 Mac 2009 manakala seorang lagi wanita berusia 45 tahun dirogol di ladang kelapa sawit di Machap Baru pada 7 Jun 2009.

Pada 7 Oktober tahun lalu, dia didakwa merogol seorang wanita berusia 35 tahun termasuk melakukan seks luar tabii terhadap mangsa di sebuah butik di Tanjung Minyak.

Dia turut didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada pukul 6.30 pagi, 20 Oktober tahun lalu di ladang kelapa sawit di Lendu, Alor Gajah.

Selain merogol, Rashidi turut didakwa merompak barang-barang berharga seperti telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai milik dua daripada mangsa terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahslinda Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Rashidi tidak dibenarkan ikat jamin sementara menunggu kes yang akan mula dibicarakan pada 23 April ini.

Saksi dakwa pegawai SPRM guna gari, pistol

TEMERLOH 1 Feb. - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggunakan kekerasan apabila menakut-nakutkan penduduk Kampung Sembai Chenor, Maran, dekat sini menggunakan gari dan pistol ketika mencari rumahnya untuk mendapatkan keterangan berhubung kes rasuah melibatkan Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Saksi itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Maran, Datuk Khadri Musa, 47, yang menjadi saksi kesembilan pendakwa dalam kes tersebut memberitahu, tindakan pegawai SPRM itu pada 20 Januari lalu, telah dimaklumkan oleh penduduk kepada ketua kampung berkenaan, Nordin Idris yang kemudiannya menghubunginya.

Beliau berkata, ketika menghubunginya, Nordin sebaliknya memberitahu ada pegawai polis daripada Cawangan Khas hendak berjumpanya kerana pegawai SPRM itu tidak memperkenalkan identiti sebenar mereka.

Katanya, beliau hanya mengenali identiti sebenar pegawai SPRM itu apabila mereka menunjukkan kad kuasa sebaik tiba di rumahnya.

"Saya berasa macam ada yang tak kena saya buat, kemungkinan saya ada melakukan kesalahan atau perlakuan jenayah. Saya bertindak padamkan lampu di luar rumah dan tutup nombor plat kereta dengan kain dengan harapan saya tak dapat dikesan," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Azuar Che Yusof di sini, hari ini.

Khadri memberikan keterangan itu ketika menjawab soalan balas peguam bela Mohamad Norza, Datuk Seri Muhammad Shafie Abdullah.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri menerusi Halimi Kamaruzzaman untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama. Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Januari lalu di No. 38, Pinggiran Tasik Taman Bandar Temerloh.

Halimi 47, dari Bandar Indera Mahkota Kuantan pula didakwa atas dua tuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Khadri turut mendakwa, dua daripada tiga orang pegawai SPRM yang menyiasat dan mengambil keterangan daripadanya di pejabat SPRM di sini, bersikap biadab, sementara seorang lagi bagaimanapun bersopan-santun sehingga menyebabkannya bersetuju untuk memberi keterangan yang didakwanya dibuat dalam keadaan tergesa-gesa kerana beliau hendak ke Putrajaya atas urusan perniagaan pada keesokan hari.

Beliau juga mendakwa, proses soal siasat itu dipenuhi dengan suasana tengking-menengking disebabkan beliau membela parti UMNO yang diperjuangkannya dan pegawai SPRM itu pula dikatakan menuduh orang politik rasuah serta salah guna kuasa.

Pada keterangan itu, saksi berkenaan turut mendakwa, tandatangan yang diturunkannya pada kertas kerangan SPRM sebelum itu 'bukan tandatangan yang biasa digunakan' kerana menganggap kerangan tersebut yang didakwa dibuat secara cut and paste menggunakan keterangan yang diberikan oleh saksi lain, Yusof Jamaluddin, adalah tidak tepat dan meragukan.

Perbicaraan bersambung 9.30 pagi esok.

Bedah siasat kedua Beng Hock diketahui 19 Feb.

SHAH ALAM 1 Feb. - Selepas beberapa kali tertangguh, hasil bedah siasat kedua Teoh Beng Hock akan didedahkan di Mahkamah Koroner melalui keterangan oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md. Nor pada 19 Februari ini.

Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan tarikh itu selepas menolak permohonan abang Beng Hock, Teoh Meng Kee agar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani yang membuat laporan polis terhadap Dr. Pornthip Rojanasunand dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Beliau memutuskan demikian sejurus selepas selesai mendengar hujahan lanjut peguam Karpal Singh yang mewakili Meng Kee serta peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berhubung permohonan itu.

Katanya, permohonan agar Raub dikenakan tindakan menghina mahkamah ditolak pada peringkat ini memandangkan pakar patologi dari Thailand itu tidak akan didakwa atas tuduhan mendedahkan hasil bedah siasat kedua.

Menurut Azmil, gangguan terhadap prosiding mahkamah tidak berlaku kerana selain kenyataan Peguam Negara, pihak polis juga memberi jaminan tidak akan menahan Pornthip apabila dia hadir untuk memberi keterangan kelak.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Berikutan keterangan Pornthip bahawa 80 peratus bukti menunjukkan Beng Hock mati dibunuh, mahkamah membenarkan mayat lelaki itu dibedah siasat kali kedua oleh Shahidan pada 22 November tahun lalu.

Proses bedah siasat kedua itu turut dihadiri Pornthip yang mewakili kerajaan negeri Selangor manakala SPRM diwakili Dr. Peter Venezis.

Bagaimanapun sebelum sempat hasil bedah siasat didedahkan di mahkamah, dua pegawai SPRM, Raub dan Hisyam Mohd. Yusoff membuat laporan polis terhadap akhbar Suara Keadilan dan Pornthip di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 1 Januari lalu.

Kedua-dua laporan dibuat berdasarkan artikel bertajuk Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh yang disiarkan dalam akhbar tersebut bertarikh 29 Disember hingga 5 Januari 2010.

Berikutan itu, Meng Kee memfailkan permohonan agar Raub dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana laporan polis tersebut menimbulkan ketakutan terhadap Pornthip yang sepatutnya hadir ke mahkamah memberi keterangan kali kedua.

Jangan peduli sandiwara Anwar di mahkamah

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Rakyat diminta tidak mempedulikan 'babak- babak sandiwara' yang bakal dilakukan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perbicaraan kes liwatnya yang dijangka bermula esok.

Menurut Datuk S. Nallakarupan, kesilapan 10 tahun lalu tidak harus diulangi apabila rakyat terlalu bersimpati gara-gara terpengaruh lakonan hebat Anwar pada perbicaraan kes liwatnya yang pertama.

"Sebagai bekas rakan karib Anwar selama 30 tahun, saya percaya beliau akan sekali lagi cuba menarik perhatian dan simpati rakyat ketika perbicaraan kes liwatnya kali ini.

"Terbaik, jangan pedulikan apa Anwar nak buat. Biar nasib dia ditentukan mahkamah. Itu saja yang perlu, tak payah kita nak tunjuk reaksi lebih-lebih semasa perbicaraannya nanti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perbicaraan kes Anwar di Mahkamah Tinggi dijadualkan bermula esok.

Namun, selepas ditangguhkan beberapa kali, ia berkemungkinan ditangguhkan lagi berikutan Anwar dikatakan akan memfailkan rayuan supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan termasuk spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa, Mohd. Saiful Bukhari Azlan untuk menyediakan pembelaan kes liwatnya.

Bagaimanapun, usahanya menemui jalan buntu setelah Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu membuat keputusan muktamad menolak rayuan terakhir Ketua Pembangkang itu.

Namun Anwar masih mempunyai satu lagi peluang mendapatkan dokumen-dokumen tersebut menggunakan Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui permohonan semakan yang akan difailkan pada Selasa ini.

Ketua Pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Sementara itu, Nallakarupan berharap rakyat dapat bertenang dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan kedudukan Anwar sama ada bersalah atau pun tidak.

Katanya, sebagai rakyat yang patuh kepada undang-undang, perkara itu harus dilakukan mereka demi menjaga keutuhan negara.

"Saya percaya 10 tahun dulu tak sama (masa perbicaraan liwat Anwar yang pertama). Dulu ramai yang marah dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad akibat terpengaruh dengan dakwaan Anwar.

"Tapi kali ini senarionya jelas berbeza. Ramai yang dulunya marah dengan apa yang dilakukan Dr. Mahathir kini tidak lagi menyimpan rasa marah itu sebaliknya mereka faham kenapa bekas Perdana Menteri itu berbuat demikian.

"Jadi selaku bekas rakan karib Anwar yang pernah dipenjara kerana beliau, saya berharap rakyat kali ini akan utamakan kepentingan negara dan jangan mudah terpengaruh dengan sebarang agenda peribadi pihak tertentu," jelasnya.

Ibu dapat hak penjagaan lima anak

Nahas yang menimpa murid tahun lima itu tentunya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan apalagi masyarakat Tionghua akan menyambut Tahun Baru Cina, beberapa hari lagi.



Nahas yang menimpa murid tahun lima itu tentunya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan apalagi masyarakat Tionghua akan menyambut Tahun Baru Cina, beberapa hari lagi.

KOTA BHARU 1 Feb. - Selepas hampir dua tahun berpisah, seorang ibu tidak dapat menahan sebak lalu menangis kegembiraan apabila bertemu semula dengan lima anaknya yang dilarikan oleh bekas suaminya ke Perlis.

Suasana pilu turut menyelubungi pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah di sini apabila lima kanak-kanak itu menangis teresak-esak ketika memeluk erat ibu mereka bagi melepaskan rindu.

Ikatan kasih sayang ibu dan anak-anak yang berusia antara enam dan 14 tahun itu kembali terjalin hari ini apabila mahkamah mengekalkan hak penjagaan (hadanah) sementara kesemua kanak-kanak itu kepada Napisah Sulaiman, 41.

Hakim Syarie, Mohd. Yusof Awang memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan Napisah, seorang kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Kelantan terhadap bekas suaminya, Mohamad Soed Mahamud, 37, yang berasal dari Perlis.

Hak penjagaan sementara telah diberikan kepada Napisah pada 2 Disember tahun lalu.

Menurut perintah tersebut, semua anak pasangan itu akan dipelihara oleh Napisah sewaktu cuti sekolah manakala pada waktu lain diletakkan di bawah jagaan Mohamad Soed.

Pada prosiding hari ini, wanita itu melalui peguam syarie, Mohd. Zaki Zainal Abidin mengemukakan permohonan secara exparte (sebelah pihak) agar perintah itu diteruskan demi kebajikan anak-anak tersebut.

Permohonan tersebut tidak dibantah oleh peguam syarie Suhaila Ibrahim yang mewakili Mohamad Soed selaku responden.

Melalui persetujuan kedua-dua pihak terbabit, hakim membenarkan kanak-kanak itu diserahkan kepada Napisah semasa cuti persekolahan sempena Tahun Baru Cina pada 14 Februari ini.

Bagaimanapun beliau menetapkan 11 April ini untuk sebutan bagi memastikan perintah tersebut dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut Mohd. Zaki, jika perintah tersebut berjalan dengan baik dan kedua-dua pihak memberikan kerjasama iaitu setiap kali cuti sekolah, responden membenarkan anak-anak dijaga oleh pemohon, perintah tersebut akan kekal sampai bila-bila.

''Sebelum ini, mahkamah menetapkan 14 Disember 2009 untuk menyerahkan kelima-lima anaknya kepada ibu mereka di mahkamah.

''Bagaimanapun responden ingkar apabila hanya membawa tiga daripada lima anaknya dan mahkamah menangguhkan perintah penyerahan anak-anak itu ke tarikh hari ini,'' kata Mohd. Zaki.

Responden mematuhi arahan tersebut dengan membawa kelima-lima anaknya, Nurul Nabilah, 14; Muhamad Najib, 12; Nurashikin Aisyah, 10; Muhammad Irfan Fahmi, 8; dan Muhammad Nibil Adib, 6, yang bersekolah serta tinggal dengannya di Perlis menemui Napisah hari ini.

Dalam afidavit sokongannya, Napisah menyatakan telah berkahwin dengan responden pada 8 September 1995 dan bercerai pada 9 Julai 2008 secara tebus talak sebanyak RM5,000 di Mahkamah Rendah Syariah, Tanah Merah di sini.

Pada 6 Februari 2008, dakwa pemohon, responden telah mengambil kelima-lima anak mereka di kampung Bukit Panau, Tanah Merah tanpa menghantar semula kepadanya.

Dakwa Napisah lagi, usaha untuk berkomunikasi dengan anak-anaknya juga gagal semenjak responden melarikan kesemua anak tersebut untuk tinggal bersamanya di Perlis

Kes putus tunang tuntut RM1j selesai

SHAH ALAM 1 Feb. – Kes tuntutan ganti rugi hampir RM1 juta oleh seorang pengarah urusan syarikat komunikasi dan teknologi maklumat terhadap bekas tunangnya berakhir hari ini apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya secara baik.

Peguam syarie, Azmi Rais memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa anak guamnya, Mohamad Fahizul Khairi, 54, bersetuju menerima RM600,000 daripada defendan, Nor Daliya Mohd Daud, 35, sebagai bayaran penyelesaian keseluruhan tuntutan itu.

Selain itu, kata beliau, kedua-dua pihak bersetuju dengan enam lagi terma atau syarat-syarat perjanjian penyelesaian iaitu:

  • Wang RM600,000 akan dibayar kepada firma guaman yang mewakili Mohamad Fahizul, Tetuan Zukifli Yong Azmi & Co. sebagai pemegang wang pertaruhan dalam tempoh tujuh hari selepas rumah teres dua setengah tingkat di alamat No. 67, BU 6/13 Bandar Utama dijual.
  • Kedua-dua pihak termasuk wakil atau ejen masing-masing ditegah daripada membuat gangguan antara satu sama lain, terhadap keluarga atau rakan-rakan sekerja masing-masing selepas ini.
  • Mohamad Fahizul akan menarik balik apa-apa perintah tegahan mahupun kaveat terhadap hartanah tersebut dalam tempoh tiga hari selepas perjanjian penyelesaian dimeterai di mahkamah.
  • Kedua-dua pihak tidak akan memfitnah atau menghasut mana-mana pihak ketiga termasuk Mohamad Fahizul berakujanji tidak akan terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kes tuntutan hak penjagaan anak antara defendan dan bekas suami, Herman Shah Abdul Rahim.
  • Pihak-pihak yang ingkar daripada mematuhi perintah mahkamah ini boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.
  • Kedua-dua pihak tidak akan membuat tuntutan terhadap satu sama lain sama ada di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil selepas ini melainkan berlaku pelanggaran perintah ini.
  • Selepas mendapatkan pengesahan daripada Mohamad Fahizul dan Nor Daliya serta membacakan semula syarat-syarat yang dipersetujui itu, Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain memeterai perjanjian penyelesaian yang sekali gus menjadikan ia sebagai perintah mahkamah.

    Mohamad Fahizul yang hadir bersama Herman Shah hanya melahirkan rasa syukur dan enggan mengulas lanjut berhubung perjanjian penyelesaian itu semasa ditemui di luar mahkamah.

    Sementara Nor Daliya yang ditemani suami, ibu dan beberapa saudara yang lain segera meninggalkan mahkamah tanpa sempat dijejaki media sebaik prosiding berakhir.

    Mohamad Fahizul memfailkan permohonan pada 8 Mei 2009 bagi menuntut ganti rugi kewangan berjumlah RM871,186.67 dan ganti rugi keaiban sebanyak RM100,000 daripada Nor Daliya selepas pertunangan mereka diputuskan.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Fahizul dari Bandar Utama dekat sini mendakwa beliau telah membelikan sebuah rumah teres dua setengah tingkat yang berharga RM770,000 selain membayar dan memasukkan sejumlah wang untuk Nor Daliya dengan kepercayaan bahawa mereka akan berkahwin.

    Nor Daliya yang diwakili peguam syarie Mohamad Isa Abd. Ralip bagaimanapun memfailkan bantahan awal terhadap permohonan itu dengan alasan semua wang dan hadiah diberikan plaintif kepadanya sebelum mereka bertunang iaitu ketika proses ‘pikat-memikat’.

    Kes liwat Anwar ditunda lagi?

    KUALA LUMPUR 1 Feb. - Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya bermula esok mungkin ditunda lagi kerana Mahkamah Tinggi di sini perlu mendengar terlebih dahulu permohonan beliau untuk menangguhkan perbicaraan.

    Meskipun telah berkali-kali tertangguh sejak Julai tahun lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seperti terdesak mahu menangguhkan lagi perbicaraan yang dijadualkan didengar oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah selama sebulan.

    Kali ini Anwar memberi alasan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan liwat itu masih belum didengar oleh Mahkamah Rayuan.

    Mahkamah Rayuan sehingga kini belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan Anwar yang tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonannya untuk membatalkan tuduhan liwat pada 1 Disember tahun lalu.

    Justeru, sebelum saksi-saksi dipanggil memberi keterangan esok, Hakim Mohamad Zabidin perlu mendengar permohonan penangguhan oleh Anwar yang difailkan pada 28 Januari lalu iaitu lima hari sebelum perbicaraan dijadualkan bermula.

    Selepas selesai mendengar permohonan itu, barulah Hakim Mohamad Zabidin boleh memutuskan sama ada perbicaraan akan diteruskan atau ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

    Perbicaraan yang akan menarik perhatian umum itu sebelum ini ditetapkan pada 25 Januari hingga 25 Februari ini tetapi ditangguhkan kepada 2 Februari atas perintah Mahkamah Persekutuan.

    Ia bagi membolehkan mahkamah tertinggi negara itu membuat keputusan pada 29 Januari lalu terhadap rayuan Anwar agar dokumen-dokumen penting pihak pendakwaan dan contoh spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) Mohd. Saiful Bukhari Azlan dibekalkan kepadanya.

    Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya menolak rayuan Anwar dan sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

    Perbicaraan kes liwat itu pada asalnya ditetapkan pada 1 hingga 24 Julai tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan beberapa kali setelah Anwar mengemukakan permohonan demi permohonan.

    Dua permohonan dikemukakan di hadapan Hakim Mohamad Zabidin dan dua lagi permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas).

    Di hadapan Hakim Mohamad Zabidin, Ketua Pembangkang itu mengemukakan permohonan supaya pihak pendakwaan membekalkan dokumen-dokumen penting kepadanya dan permohonan membatalkan pertuduhan liwat.

    Di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pula, Anwar memohon untuk menggugurkan keseluruhan pasukan pendakwaan dan membatalkan kenyataan bertulis pendakwa raya yang menyatakan tidak ada fakta memihak pembelaan.

    Ketiga-tiga permohonan itu turut ditolak di peringkat Mahkamah Tinggi.

    Anwar, 63, menghadapi tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

    Pemimpin pembangkang itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 7 Ogos 2008 selepas bekas pembantunya membuat laporan polis mendakwa Anwar meliwatnya.

    Dua pelajar China jadi mangsa tipu

    KUALA LUMPUR 1 Feb. – Empat pelajar perempuan warga China ingin pulang menyambut Tahun Baru Cina di kampung halaman mereka tidak lama lagi.

    Disebabkan pas lawatan pelajar hampir tamat pada November lalu, mereka masing-masing membayar sebanyak RM9,000 setiap seorang kepada seorang ejen yang dikenali sebagai Uncle Wong.

    Bayaran itu bagi urusan memperbaharui pas lawatan tersebut, selain bayaran insurans dan pengajian mereka di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara.

    Namun, harapan dua daripada mereka untuk pulang ke negara asal Januari lalu, tidak kesampaian apabila ejen terbabit dipercayai melarikan semua wang upah pelajar itu.

    Dua pelajar lain yang bernasib baik, dapat pulang ke China baru-baru ini setelah membayar denda kepada Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, masing-masing sebanyak RM700.

    Salah seorang daripada pelajar itu yang dikenali sebagai He Shen, 23, berkata, dia bersama tiga lagi rakan menyerahkan wang tunai berjumlah RM36,000 kepada Uncle Wong untuk memperbaharui pas lawatan pelajar mereka.

    Menurut pelajar jurusan muzik itu, bagi memudahkan urusan tersebut, mereka terpaksa menyerahkan pasport masing-masing kepada ejen terbabit.

    “Namun, saya dan rakan-rakan menyedari ditipu oleh ejen terbabit apabila dia gagal untuk menyerahkan kembali pasport dan pas lawatan pelajar kami,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

    Lelaki cuba pecah rumah jurulatih mati ditembak

    KUALA TERENGGANU 1 Feb. – Akibat dikatakan cuba memecah masuk rumah seorang jurulatih menembak, seorang lelaki mati ditembak pemilik rumah itu.

    Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ini ketika lelaki itu yang tidak dikenali identitinya cuba mengumpil pintu rumah jurulatih tersebut di Gong Badak di sini.

    Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, lelaki terbabit mati selepas terkena dua das tembakan di dada yang dilepaskan oleh jurulatih itu.

    “Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku di belakang rumah jurulatih berkenaan.

    “Polis merampas senjata api jenis Glock .22 Caliber yang digunakan dalam kejadian itu dan menahan jurulatih berusia 48 tahun terbabit bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

    Sementara itu, menurut seorang saksi, isteri kepada jurulatih itu menghubungi suaminya selepas dia ternampak mangsa mundar mandir di belakang rumah mereka, kira-kira pukul 4 petang ini.

    “Sebaik sahaja jurulatih itu pulang, saya dengar berlaku pertengkaran sebelum dua das tembakan dilepaskan,” kata saksi itu yang enggan dikenali.

    Menurut Zamri, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 304 kerana bunuh tanpa niat.

    Katanya, identiti lelaki yang mati itu belum dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

    Janda proses dadah dalam bilik sewa

    KUANTAN 1 Feb. – Kegiatan seorang janda yang menjadikan sebuah bilik sewa di Taman Setali di sini sebagai tempat pembungkusan dadah terbongkar apabila sepasukan polis menyerbu kediaman wanita itu kelmarin.

    Dalam serbuan pukul 2 pagi itu, polis menahan wanita berusia 24 tahun itu bersama dadah jenis heroin dan syabu masing-masing seberat 30 gram dan 2.4 gram serta lima biji pil kuda dalam bilik tersebut.

    Ketua Polis negeri, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata, pihaknya turut merampas peralatan membungkus dadah seperti peket plastik, alat penimbang dan mesin pelekat plastik.

    “Polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan wang tunai berjumlah RM713.

    “Serbuan dibuat selepas menerima maklumat orang awam berhubung kegiatan wanita itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

    Menurut Robiah, polis percaya suspek menggunakan bilik itu sebagai tempat membungkus dadah sebelum memasarkannya di sekitar bandar ini, Jengka dan Maran sejak tahun lalu.

    Ibu dakwa anak diculik

    JOHOR BAHRU 1 Feb. - Seorang ibu mendakwa, anak perempuannya diculik oleh teman lelaki yang dikenali dalam tempoh enam bulan sebelum menuntut wang tebusan sebanyak RM30,000.

    Ooi Ah Jeow, 52, mendakwa, anak perempuannya itu, Teng Yee Lee, 27, hilang sejak 19 Januari lalu setelah mengikut teman lelakinya yang merupakan seorang penagih dadah yang banyak berhutang dengan ceti haram.

    Menurut Ah Jeow, dia mula mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa anak keduanya itu setelah dia tidak pulang ke rumah bersama kereta Toyota Avanza miliknya.

    "Beberapa hari selepas anak saya tidak pulang, saya cuba menghubunginya pada 22 Januari lalu tetapi panggilan telefon dan mesej yang dihantar tidak dijawab.

    "Dua hari kemudian, saya dapat menghubunginya menerusi telefon bimbit rakan. Yee Lee beritahu dia tinggal di rumah teman lelakinya di Taman Ungku Aminah di Skudai," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pemuda MCA di sini hari ini.

    Ah Jeow berkata, keesokan hari, dia pergi ke alamat tersebut, namun hampa apabila mendapati rumah berkunci tanpa penghuni menyebabkan wanita itu membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi.

    Katanya, anaknya itu kemudian menghubunginya dan meminta wang RM500 dimasukkan ke dalam akaun bank pada 25 Januari lalu.

    "Dua hari selepas wang itu dimasukkan, dia meminta pula wang sebanyak RM30,000, namun kami sekeluarga tidak layan permintaan itu.

    "Bagaimanapun, kami terperanjat menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) yang menyatakan jika tidak bayar, anak saya akan mati," katanya yang bimbang tentang keselamatan anaknya.

    Upah lumayan punca seludup DVD jadi tarikan

    BUKIT KAYU HITAM 1 Feb. – Upah yang lumayan iaitu RM2 sekeping diberikan kepada individu yang menyeludup keluar cakera video digital (DVD) ke negara jiran.

    Tidak hairanlah, kegiatan ini semakin menarik minat segelintir pihak – malah mereka sanggup menunggu seawal pagi, sebelum pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka untuk melakukan kerja penyeludupan itu.

    Bayaran upah yang tinggi itu disebabkan permintaan yang tinggi terhadap DVD tempatan, selain harga DVD yang tinggi iaitu RM10 sekeping di Thailand berbanding RM5 di negara ini.

    Terbaru, seorang lelaki ditahan bersama 7,950 keping DVD yang cuba diseludup keluar melalui pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sini awal pagi ini.

    Lelaki tempatan berusia 31 tahun itu ditahan pukul 5.55 pagi ketika sedang menunggu pintu sempadan itu dibuka pada pukul 6 pagi.

    Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah, Mohd. Noor Idris berkata, lelaki itu ditahan ketika berbaris untuk memasuki negara jiran ketika menaiki sebuah kereta menggunakan nombor pendaftaran Thailand.

    “Hasil pemeriksaan, UPP menemui 7,950 keping DVD cetak rompak daripada 28 judul filem yang disorok dalam ruang khas but kereta itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Mohd. Noor berkata, nilai pasaran tempatan DVD tersebut ialah RM35,000 manakala di Thailand bernilai RM79,500.

    Kesemua DVD itu, kata beliau, dipercayai dihasilkan di Pulau Pinang sebelum diseludup keluar ke negara jiran.

    “Siasatan awal mendapati, suspek pernah terbabit dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel dan beliau mendapat upah RM2 bagi sekeping DVD yang dibawa masuk ke Thailand,” katanya.

    Kes itu, katanya, diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

    Ia disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Hak Cipta Perihal Dagangan 1972 dan boleh didenda RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, kata Mohd Noor.

    Lombong pasir jadi tanda tanya

    JOHOR BAHRU 1 Feb. – Pusat Aduan Rakyat Parlimen Tenggara membuat laporan polis berhubung isu kekeliruan sebuah syarikat diberi konsesi mengusahakan lombong pasir melalui kawasan pegangan bebas.

    Laporan itu dibuat di Balai Polis Central di sini hari ini pada 12.06 tengah hari.

    Penyelia pusat itu, Mazlan Aliman berkata, papan tanda syarikat itu yang dipacak di Ulu Sungai Johor menimbulkan kekeliruan ekoran status pegangan bebas yang dipaparkan.

    “Pada papan tanda itu ditulis status pegangan bebas yang mendapat kelulusan pada 2006, malah siap dengan nombor fail Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

    “Adakah pegangan bebas bermaksud syarikat boleh melombong pasir di situ sampai bila-bila? Apa yang saya tahu, konsesi pasir diberi, tentu ada had masa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

    Mazlan berkata, laporan juga dibuat kerana pihaknya sangsi bagaimana syarikat tersebut boleh mendapat tanah yang sangat luas iaitu 556.5 hektar di kawasan itu.

    “Ini menimbulkan kebimbangan jika berlaku penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa mahupun aktiviti penyeludupan pasir yang merugikan negara,” katanya.

    Mazlan mendakwa, pihaknya mendapat maklumat tentang perkara itu setelah dimaklumkan nelayan-nelayan yang menyatakan berlaku pencemaran sungai sehingga menjejaskan tangkapan mereka akibat operasi lombong pasir di situ.

    Katanya, kebanyakan lombong pasir di Tenggara beroperasi di sepanjang sungai dan menyebabkan pencemaran antaranya kualiti air terjejas serta mendapan pasir yang mengakibatkan sungai menjadi cetek sehingga meningkatkan risiko banjir.

    Sehubungan itu katanya, dalam laporan yang dibuat, pihaknya meminta polis menyiasat mengapa ada syarikat pasir mendapat konsesi melalui kawasan pegangan bebas.