Search This Blog

Loading...

Sunday, January 31, 2010

Barang seludup RM3.7j

JOHOR BAHRU: Rokok dan induk udang antara barangan seludup bernilai lebih RM3.7 juta termasuk cukai yang berjaya dirampas Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor dalam empat serbuan berasingan di negeri ini pada Rabu dan Khamis lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit dalam serbuan pada jam 3.15 petang itu, pihaknya menemui sejumlah 49 kotak mengandungi 630 ekor induk udang yang ditaksirkan bernilai RM100,550 serta 60 kotak minuman keras bernilai RM40,000.

“Namun pemandu lori gagal ditahan. Dia meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan sebelum melarikan diri,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor. di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, induk udang adalah barangan larangan import dan memerlukan permit daripada Jabatan Perikanan manakala minuman keras memerlukan lesen import mengikut Butiran 6, Bahagian II Perintah Kastam 2008.

Dalam kes kedua, Mhd Subre berkata, pihaknya menahan seorang pemandu lori berusia 50 tahun bersama satu kontena berukuran kira-kira 12 meter panjang di Balai Pemeriksaan Rapi, Komplek Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, jam 4.50 pagi, Khamis lalu.
“Dalam tangkapan itu KDRM negeri merampas sejumlah 600 kotak mengandungi enam juta batang rokok putih pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM660,000 membabitkan duti tidak berbayar berjumlah kira-kira RM2.9 juta,” katanya.

Sementara itu, pada jam 10.40 pagi hari sama, KDRM menyerbu sebuah premis di Jalan Pakis, Taman Senai Indah, di sini, selepas disyaki menyimpan barangan larangan import.

“Hasil siasatan kami menemui 10,800 batang rokok dan 92.16 liter minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM2,404.80. Seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan bagi membantu melengkapkan siasatan kes,” katanya.

Mhd Subre berkata, operasi dan serbuan yang dijalankan selama dua hari itu tidak hanya memfokus kepada aduan penyeludupan rokok dan minuman keras, sebaliknya turut memperketatkan penguatkuasaan di semua laluan keluar-masuk utama Johor.

“Pemantauan di Laluan Pemeriksaan Lori Kosong di Wisma Kastam Tanjung Puteri, di sini, membawa penahanan seorang pemandu lori berusia 51 tahun berikutan disyaki cuba menyeludup masuk kepala lori (prime mover) dianggarkan bernilai RM30,000 ,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah penyeludupan supaya menghubungi pejabat Penguatkuasaan Kastam berdekatan atau talian bebas tol di 1 800 88 8855.

“Pihak jabatan memberi jaminan identiti pemberi maklumat bukan saja dirahsiakan, malah akan diberi ganjaran dalam bentuk wang tunai,” katanya.

Polis tahan wanita Sri Lanka cuba ragut


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Polis menahan seorang wanita warga Sri Lanka yang cuba meragut beg tangan seorang pengunjung yang menyambut perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniyar di Batu Caves awal pagi ini.

Suspek yang cuba melakukan jenayah itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi ini, selepas cuba meragut beg tangan mangsa di tangga kuil itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, selain wanita itu, dua lelaki turut ditahan kerana membawa pisau yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

"Kedua-dua mereka ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi oleh anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan kuil itu. Ketika ditahan, suspek cuba membuang senjata itu namun berjaya dikesan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, polis turut menahan seramai 27 lelaki yang cuba mengenakan bayaran di parkir percuma yang dibuka kepada orang ramai.

"Kesemua mereka cuba mengambil kesempatan sempena sambutan Thaipusam dengan mengenakan bayaran parkir antara RM10 hingga RM15 kepada pemilik kenderaan," katanya.

Abdul Rahim berkata, 20 daripada mereka direman sehingga Isnin ini, dan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Dalam pada itu, kata Abdul Rahim, polis turut menerima 11 laporan melibatkan kehilangan pasport dan kad pengenalan sepanjang sambutan perayaan itu.

Sementara itu, beliau berkata polis merampas 2,580 unit bunga api dan mercun seberat 1,430 kilogram dari sebuah lori yang terbabas dan ditinggalkan di tepi jalan di Taman Perindustrian Taman Ehsan awal pagi ini.

"Semasa melakukan rondaan pada pukul 4 pagi, polis ternampak sebuah lori terbabas dan hasil pemeriksaan, kami menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dipercayai diseludup," katanya.

Beliau berkata, polis sedang mengesan pemandu lori berkenaan yang dipercayai tercedera dalam kemalangan itu.

Tempah besi buruk RM840,000 dapat arang, tanah

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian apabila hanya menerima arang dan tanah selepas dia menempah sejumlah besi buruk yang bernilai hampir RM840,000 dari Manila, Filipina baru-baru ini.

Lelaki itu yang menjalankan perniagaan memproses besi buruk di Sungai Besi, datang ke Manila pada 8 Januari lalu untuk membeli besi buruk seberat kira-kira 151,000 kilogram.

Setelah membayar RM837,500 untuk pembelian itu, penghantaran tempahan tersebut yang menggunakan lapan buah kontena, sepatutnya tiba di Pelabuhan Klang kelmarin.

Mangsa dikatakan hanya menyedari dirinya tertipu semalam apabila mendapati dua daripada kontena yang tiba itu bukan berisi besi buruk, sebaliknya penuh dengan muatan arang dan tanah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan semalam dan polis membuka siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.