Search This Blog

Loading...

Saturday, January 30, 2010

Diperkosa 20 kali

Diperkosa 20 kali
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/01/29 KUALA LUMPUR: Dia dirogol hampir 20 kali oleh teman lelaki kakak angkatnya sebaik melarikan diri dari rumah.

Sepanjang tempoh itu, dia dijadikan tempat pemuas nafsu lelaki yang berusia lewat 20-an yang bagaikan mendapat kerelaan daripada kakak angkat mangsa sendiri. Malah, setiap kali mangsa dinodai lelaki durjana itu, wanita berkenaan yang juga kekasihnya turut berada di lokasi sama. Itulah nasib malang terpaksa dilalui seorang remaja berusia 14 tahun akibat melarikan diri dari rumahnya selepas diperangkap pasangan kekasih itu. Semuanya bermula kira-kira enam bulan lalu, apabila remaja terbabit yang tinggal di Tapah, Perak melarikan diri ke ibu kota selepas diperdaya pasangan kekasih itu. Difahamkan, pasangan kekasih itu hanya mengambil masa sebulan untuk memerangkap remaja mentah terbabit mengikut mereka dengan mengumpan kebebasan hidup di ibu kota. Sumber berkata, sejak melarikan diri, mangsa tinggal bersama pasangan itu di sebuah rumah kedai di Ampang. “Selepas beberapa hari mendiami rumah berkenaan, lelaki terbabit mula menunjukkan belang dengan merogol mangsa. “Lebih menghairankan apabila kakak angkat yang juga kekasih lelaki terbabit bagaikan merelakan perbuatan itu. “Malah, wanita berkenaan mampu tersenyum setiap kali menyaksikan kekasihnya itu merogol mangsa,” katanya. Akibat tidak tahan dengan perbuatan keji itu, mangsa menghubungi ahli keluarganya sebelum dijemput pulang ke kampung halaman. Namun, belum sempat sebulan remaja itu tinggal di rumahnya, pasangan kekasih itu datang sebelum melarikan mangsa ke ibu kota. Sumber berkata, sebaik ke ibu kota, pasangan itu ‘menyembunyikan’ mangsa di sebuah rumah di kawasan Puchong di sini, bagi mengelak ahli keluarga mangsa datang menjemputnya semula. “Mangsa diperlakukan seperti sebelumnya.

Dia terus dinodai berulang kali oleh lelaki terbabit,” katanya. Akibat tidak tahan dengan perbuatan itu, mangsa menghubungi pihak berkuasa sebelum melaporkan kejadian berkenaan. Mangsa diselamatkan beberapa anggota dari Balai Polis Puchong sebelum dia dihantar ke Balai Polis Tapah, untuk tindakan dan siasatan lanjut. Difahamkan, ahli keluarga mangsa bergegas ke balai polis berkenaan sebaik dimaklumkan dan ketika itulah remaja malang itu memberikan keterangan kepada pihak berkuasa. Sehubungan itu, kes berkenaan dirujukkan semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk siasatan dan tindakan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Lelaki menyamar ditahan

Lelaki menyamar ditahan
ALOR SETAR 29 Jan. – Berbekalkan kata-kata konon dirinya berketurunan kerabat Diraja Kedah, seorang lelaki berjaya memperdaya mangsa hingga mengakibatkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Malah suspek turut bijak dalam sandiwaranya dengan mendakwa kononnya dia boleh menawarkan projek mewah kepada mangsa berdasarkan status dirinya itu.

Bagaimanapun, suspek yang merupakan orang yang amat dikehendaki polis kerana melakukan penipuan itu sejak tahun lalu, akhirnya diberkas di sebuah rumah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika mengesahkan perkara itu berkata, suspek yang berusia 30-an dikehendaki polis kerana menipu orang ramai.

“Kami menerima beberapa laporan mengenai suspek yang menyamar sebagai anak kerabat Diraja Kedah,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

'Mat rempit' dipenjara 2 tahun, denda RM7,000

'Mat rempit' dipenjara 2 tahun, denda RM7,000
SEREMBAN 29 Jan. - Seorang pekerja kontrak sebuah syarikat landskap dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah terbabit dalam kegiatan lumba haram, hampir empat tahun lalu.

Majistret Marsilawati Mohamad Shah yang membacakan keputusan yang dibuat oleh Majistret Mohd. Aizuddin Zolkefly turut memerintahkan lesen memandu Saiful Irwan Rubu, 23, digantung selama dua tahun.

Pemuda itu juga diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Saiful disabitkan atas kesalahan terlibat dalam aktiviti lumba haram dengan menunggang motosikal nombor pendaftaran JBU 4840 dari lampu isyarat, Taman Mentari Heights hingga lampu isyarat Taman Seri Pagi di sini pada pukul 6.35 petang, 12 Februari 2006.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Mohd. Aizuddin menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Terdahulu, pegawai pendakwa, Cif Inspektor M. Shanmugavel memohon agar hukuman berat dikenakan berikutan kesalahan itu adalah serius dan aktiviti lumba haram kerap berlaku di kawasan berkenaan walaupun berulang kali operasi polis dijalankan.

Peguam Bakhtiar Hamdan yang mewakili Saiful pula memohon pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Marsilawati membenarkan permohonan itu dan menambah jumlah ikat jamin tertuduh kepada RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tentera Indonesia terbabit

Tentera Indonesia terbabit
JAKARTA 29 Jan. – Tentera Indonesia didakwa mempunyai pembabitan besar dalam perdagangan pembalakan haram yang memusnahkan hutan hijau negara ini yang seterusnya menyumbang kepada masalah pemanasan global.

Laporan oleh sekumpulan penyelidik itu dikeluarkan beberapa hari selepas kerajaan menyatakan rancangan untuk meminta kerajaan-kerajaan asing untuk menyalurkan AS$1 bilion (RM3.4 bilion) dalam ‘dana pelaburan hijau’ untuk membantu mengurangkan gas hijau melalui projek infrastruktur mapan.

Penyokong alam sekitar mempersoalkan, kerajaan akan dapat mencapai sasaran mengurangkan pencemaran sebanyak 26 peratus dari paras tahun 2005 menjelang 2020 dengan menghentikan pembalakan haram yang berleluasa.

Namun kajian terbaru oleh Pusat Kerjasama Kajian Asia Timur (CEACoS) di Universiti Indonesia mendedahkan ia adalah perkara yang sukar dilaksanakan kerana pembabitan pihak tentera dalam perdagangan balak haram.

Pengarah Eksekutif CEACoS, Tirta N. Mursitama yang mengetuai projek tersebut menyatakan, pihak tentera bertindak sebagai pengendali, pelabur, pelancar kerja dan orang tengah kepada pembalak haram di hutan bersempadan dengan Malaysia.

“Anggota tentera dari prebet hinggalah komander kawasan terlibat dalam pembalakan haram kawasan sempadan,” katanya kepada pemberita.

Kajian itu meliputi tempoh masa dari 1999 hingga 2006 di Kalimantan Timur, kawasan Indonesia di Kepulauan Borneo yang hutannya diratakan untuk produk balak dan penanaman kelapa sawit, kehilangan kawasan hijau yang paling cepat di dunia.

Mursitama berkata, pegawai tinggi tentera menerima hasil daripada orang bawahan yang terlibat dalam pembalakan haram, sementara sebilangan lagi mempunyai hubungan rapat dengan ‘cukong’ atau ketua sindiket pembalakan haram.

Penglibatan lain termasuk pelaburan dalam syarikat balak dan menerima rasuah untuk menguruskan permit pembalakan dari Kementerian Perhutanan.

Seorang jurucakap tentera berkata, dia tidak melihat laporan itu dan tidak dapat mengulas mengenainya namun berjanji membuat tindakan susulan mengenainya. – AFP

Hubungan sulit isteri orang, buruh dibunuh

Hubungan sulit isteri orang, buruh dibunuh
KOTA KINABALU 29 Jan. - Akibat menjalin hubungan sulit dengan isteri orang, seorang buruh binaan mati dibunuh sebelum mayatnya ditanam di belakang sebuah rumah kongsi di Taman Cerah di Menggatal, dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, mayat mangsa, Alfon Ali, 31, ditemui dalam keadaan reput di sebuah kawasan semak berhampiran rumah kongsi terbabit.

Katanya, berikutan penemuan mayat itu, polis yang melancarkan gerakan memburu suspek berjaya menahannya di pekan Menggatal, dua jam selepas itu.

Katanya lagi, suspek yang merupakan warganegara Filipina itu ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pada masa ini siasatan polis masih mengenal pasti senjata tajam digunakan suspek," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan awal mendapati kes tersebut bermotifkan cemburu.

"Suspek dikatakan marah selepas mengetahui isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain, lalu pergi mencari mangsa di sebuah rumah kongsi.

"Suspek kemudian terus menikam mangsa di leher sebelum menanam mayat mangsa di kawasan belukar berhampiran rumah kongsi itu," ujarnya.

Juruteknik sambilan didakwa hina kesultanan Johor

Juruteknik sambilan didakwa hina kesultanan Johor
SEREMBAN 29 Jan. - Seorang juruteknik komputer sambilan yang bakal melangsungkan perkahwinan esok, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghina institusi kesultanan Johor dan rakyat menerusi penulisannya dalam laman blog adukataruna.blogspot.com.my.

Khairulizam Abdul Ghani, 29, membuat pengakuan tersebut hari ini selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zambri Abu Bakar.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No. 297 Rumah Rakyat Panchor di sini antara pukul 7.25 malam dan 9.05 malam, 22 Januari lalu

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport antarabangsanya.

Peguam Mohd. Radzlan Jalaludin yang mewakili Khairulizam pula memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan tertuduh bakal melangsungkan perkahwinannya esok.

Zambri kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Hakim turut menetapkan 31 Mac ini bagi sebutan semula kes itu.

Mengikut laporan akhbar, Khairulizam menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 4.40 petang, 26 Januari lalu.

Dia dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam satu artikel dan disiarkan dalam blog berkenaan.

Dua anggota Kastam, seorang kakitangan PTG didakwa rasuah

Dua anggota Kastam, seorang kakitangan PTG didakwa rasuah


Dari kiri: Penguasa Kastam, Kamarudin Ismail, Pembantu Penguasa Kastam, Syahrol Md.Zain dan pekerja rendah awam gred R1, Johairi Ahmad mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah berhubung kegiatan penyeludupan pasir ke Singapura.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 29 Jan. – Dua anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan seorang kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah berhubung kegiatan penyeludupan pasir ke Singapura, tahun lalu.

Penguasa Kamarudin Ismail, 49; Pembantu Penguasa Syahrol Md. Zain, 31, dan pekerja rendah am di Pejabat Pengarah PTG, Johairi Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan masing-masing ketika dihadapkan ke tiga mahka mah berasingan .

Kamarudin dari Bahagian Perkhidmatan Teknik, Menara Kastam Johor menghadapi tiga tuduhan menerima suapan daripada Zacharias Kho bagi mempercepat, melulus dan memudahkan permohonan penjenisan barangan yang dikemukakan ke bahagian tersebut.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menerima wang tunai RM500 kira-kira pukul 6 petang, 23 Julai tahun lalu di Restoran Bindu Curry House manakala tuduhan kedua, didakwa menerima RM500 lagi kira-kira pukul 7 malam, 14 Ogos tahun lalu di restoran yang sama.

Tuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima wang tunai RM2,500 di bilik 1302, Hotel Grand Blue Wave, di sini kira-kira pukul 8 malam, 7 September tahun lalu.

Kamarudin yang diwakili peguam Khairul Aswat dibenarkan diikat jamin RM5,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan. Hakim Salawati Djambari menetapkan perbicaraan bermula 10 Mei tahun depan.

Syahrol daripada Bahagian Pencegahan pula menghadapi dua tuduhan rasuah daripada Sendry Anak Ugi atau Ah Sim, 33, sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap tujuh buah lori yang menyeludup pasir ke Singapura.

Dia didakwa menerima suapan wang tunai RM2,400 di bilik 1252, Hotel The Zon di sini kira-kira pukul 1.15 tengah hari, 10 Julai 2009 dan pada pukul 7.37 petang, 5 Ogos 2009 di Bar Trevi Lounge, Hotel Grand Blue Wave, di sini.

Hakim Muhamad Jamil Hussin menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 terhadap Syahrol sementara menunggu sebutan semula pada 9 Mac depan.

Sementara itu, Johairi dituduh menerima suapan wang tunai RM800 daripada Sendry di bilik 1005, Hotel Grand Blue Wave di sini pada pukul 4.09 petang, 6 Ogos tahun lalu.

Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas empat buah lori yang menyeludup pasir ke Singapura.

Hakim Aliman Musri membenarkan Johairi diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 26 Mac depan.

Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurfazlin Hamdan

3 warga Iran seludup dadah RM500,000 diberkas

3 warga Iran seludup dadah RM500,000 diberkas
SHAH ALAM 29 Jan. - Tiga warga Iran ditahan setelah cuba menyeludup 266 biji kapsul dadah dipercayai syabu bernilai RM500,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.

Lebih memeranjatkan, mereka sanggup menelan semua dadah itu dan juga berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan pihak Kastam dan Imigresen di pintu keluar KLIA.

Mereka bagaimanapun ditahan polis di kaunter teksi lapangan terbang itu setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu masing-masing menelan 100 biji, 60 biji dan 106 biji kapsul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, semua kapsul tersebut dipercayai ditelan dalam tempoh lebih daripada 24 jam sebelum mereka ditahan.

Katanya, polis terpaksa mengambil masa selama empat hari untuk mengeluarkan semua kapsul itu daripada tubuh suspek-suspek dengan bantuan pengamal perubatan di Hospital Serdang.

Beliau berkata, berat keseluruhan kapsul-kapsul dadah bersaiz sebesar belimbing buluh itu ialah 1.9 kilogram.

"Suspek-suspek ini tiba ke negara ini dari Dubai, Isnin lalu pada pukul 6 petang dan berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA.

"Bagaimanapun, setelah mendapati keadaan suspek mencurigakan, mereka dibawa ke hospital untuk menjalani ujian X-ray dan kita mendapati terdapat objek pelik di dalam badan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Nordin, penahanan tiga suspek berkenaan adalah antara kejayaan pihak keselamatan negara dalam menghalang penyeludupan dadah antarabangsa menggunakan kaedah 'kurier manusia.'

"Selain dadah, kita turut menemui wang tunai RM1,250, 81,000 riyal Iran (RM28) dan AS$785 (RM2,681) bersama-sama mereka," jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, dadah itu dihasilkan di sebuah makmal haram di Afghanistan atau Pakistan untuk diseludup masuk bagi pasaran di negara ini.

Malah tambah beliau, siasatan turut merangkumi pihak yang akan ditemui oleh suspek-suspek di Kuala Lumpur untuk menyerahkan kapsul syabu tersebut.

Nordin berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga Isnin depan untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Nordin memberitahu Jabatan Narkotik Selangor telah mencatatkan 14,096 kes tangkapan dan seramai 18,077 orang ditahan atas kesalahan dadah sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding pada 2008 iaitu 11,907 kes tangkapan dengan 15,084 orang yang ditahan.

"Tahun lalu juga menyaksikan sebanyak 502.25 kilogram dadah dirampas berbanding rampasan pada tahun sebelumnya 23.52 kilogram.

"Jenis dadah yang paling banyak dirampas ialah ganja. Kesemua dadah yang dirampas pada tahun lalu bernilai sebanyak RM20 juta," ujarnya.

Dadah menerusi Internet berbahaya

Dadah menerusi Internet berbahaya
PUTRAJAYA 29 Jan. – Buat dadah menerusi Internet? Realitinya, penagihan dadah sintetik itu dipercayai lebih bahaya kerana ia mampu mengubah seseorang menjadi lebih agresif, berani serta boleh bertindak di luar batas kemanusiaan.

Itulah yang menjadi kebimbangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang percaya trend penagihan dadah semakin beralih daripada memperoleh bahan itu menerusi pembekal kepada mencipta formula daripada Internet.

Mendedahkan demikian, Ketua Pengarah AADK, Datuk Abd. Bakir Zin percaya penagih ketika ini lebih canggih dan licik mencipta sendiri dadah menggunakan formula yang diperoleh daripada Internet.

‘‘Mungkin mereka berasa susah untuk mendapatkan bekalan disebabkan adanya penguatkuasaan, jadi mereka berusaha mencipta dadah sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas trend terkini memproses sendiri dadah.

Baru-baru ini, polis Negeri Sembilan berjaya membongkar kegiatan memproses dadah sintetik jenis ‘amphetamine’ (ATS) selepas menyerbu sebuah rumah pangsa di Taman Bukit Delima di negeri itu.

Abd. Bakir berkata, kewujudan dadah sintetik buatan sendiri itu merupakan antara faktor kepada peningkatan jumlah penagih dalam negara setiap tahun.

Menurut beliau, kira-kira seramai 75,247 penagih dikesan tahun lalu iaitu membabitkan sebanyak 17,500 penagih yang berdaftar di bawah AADK pada tahun lalu berbanding 12,500 pada tahun 2008.

‘‘Seramai 7,000 penagih pula sedang dirawat dalam Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) manakala 35,000 dalam komuniti.

‘‘Seramai 22,747 penagih telah diserahkan kepada pihak AADK untuk tujuan pemulihan,” katanya.

Abd. Bakir berkata, 70 peratus daripada penagih yang dikesan adalah dari kalangan kaum Melayu, Cina (20 peratus) manakala India (10 peratus).

‘‘Kebanyakan mereka yang terlibat adalah dari golongan berpendapatan rendah seperti buruh, nelayan dan pekerja kilang yang dikesan lebih terdedah dengan pengaruh luar.

‘‘Mungkin disebabkan oleh desakan dan tekanan hidup menjadi punca mereka terjebak dalam gejala itu,” katanya.