Search This Blog

Loading...

Friday, January 29, 2010

Dewan Pemuda PAS buat aduan polis penunjuk perasaan menyamar ahli

Dewan Pemuda PAS buat aduan polis penunjuk perasaan menyamar ahli

PETALING JAYA, Dis 28 - Dewan Pemuda PAS Selangor membuat aduan polis berhubung tindakan sekumpulan pemuda yang mendakwa mereka sebagai ahli dan penyokong PAS mendesak ia keluar Pakatan Rakyat (PR), semalam.

Aduan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam pada pukul 11 pagi tadi.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Selangor Khairul Fahmi Matsom ketika dihubungi sebagai berkata kumpulan itu, yang dianggarkan kira-kira 20 orang telah menyamar sebagai ahli dan penyokong PAS sehingga mencalar imej parti tersebut.

“Kami membuat aduan berhubung dua perkara,” kata beliau.
Pertama, menurut beliau membabitkan ketua kumpulan itu Wan Hilman Abdul Rahim yang mendakwa dia sebagai ahli PAS kawasan Gombak.

“Kami buat siasatan di PAS kawasan Gombak dan juga di ibu pejabat mendapati dia (Wan Hilman) bukan merupakan ahli PAS... kami mendapati dia menyamar sebagai ahli PAS,” katanya lagi.

Kedua, kata Khairul Fahmi, pihaknya juga meminta polis agar menyiasat kerana mereka membuat kenyataan berunsur fitnah dengan meminta PAS keluar dari PR.

“Dia membuat satu kenyataan fitnah PAS ... ini kenyataan yang serius, kami memandang berat,” katanya lagi.

Mengenai tindakan susulan, kata Khairul Fahmi, pihaknya akan melihat perkembangan sama ada perlu mengambil tindakan perundangan terhadap Wan Hilman.

“Apa pun tindakan kami akan mengkaji dulu,” katanya.

Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor mendesak parti itu keluar daripada PR negeri dengan segera.

Mereka mahu PAS bertindak demikian ekoran rasa tidak puas hati terhadap pimpinan kerajaan campuran Selangor dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu sebenarnya.

Wan Hilman dipetik berkata pihaknya merasakan rakan sekutu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP cuba membelakangi PAS dalam membuat keputusan walaupun parti itu turut berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Mereka tidak sempat menyerahkan memorandum semalam kerana pejabat ditutup.

Sebaliknya mereka bercadang untuk menyerahkannya Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali pagi ini di pejabatnya di sini.

Bagaimanapun sehingga 3 petang tadi mereka tidak menyerahkan sebarang dokumen.

Ia disahkan oleh Khairul Fahmi dan Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir sendiri.

“Kami belum menerima apa-apa memorandum setakat ini,” kata Roslan Shahir.

Laporan Harakah Daily kelmarin yang memetik kiriman SMS berkata perhimpunan itu akan diadakan di pekarangan pejabat Perhubungan PAS Selangor di Shah Alam semalam.

Sempena perhimpunan itu, menurut SMS tersebut, satu memorandum akan diserahkan, yang bakal diterima sendiri oleh Hasan.

“Perhimpunan mendesak PAS Selangor keluar Pakatan Rakyat. Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...,” tulis SMS itu dipetik portal tersebut.

Harakah Daily mendakwa Umno mahu mengambil peluang dari masalah dalaman yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS ketika wujud spekulasi Umno-BN akan mengambil alih negeri itu bulan depan.

Wan Hilman yang mengaku dirinya ahli PAS dari Bahagian Gombak menafikan dakwaan kononnya kumpulannya didalangi Umno Selangor dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khir fail saman RM10 juta

Khir fail saman RM10 juta

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 28 Jan. – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo telah memfailkan saman RM10 juta terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim berhubung pembelian banglo di Seksyen 7, di sini.

Saman itu difailkan menerusi peguamnya baru-baru ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana mendakwa Suee Lim cuba memburuk-burukkan imejnya menerusi kenyataan yang dibuat mengenai perkara itu termasuk menerusi media.

Selain Suee Lim, turut disaman atas dakwaan tersebut ialah ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

“Saya telah failkan saman RM10 juta kepada Suee Lim dan Weng San kerana cuba memburukkan imej saya.

“Jika Suee Lim mengatakan dia sedia cabar saman saya di mahkamah, saya tak ada masalah, kita jumpa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Suee Lim yang disiarkan melalui portal berita propembangkang, Malaysiakini yang menyatakan bersedia mempertahankan dirinya di mahkamah setelah menerima saman Mohamad Khir atas dakwaan tersebut semalam.

Pada 6 Julai tahun lalu, Suee Lim yang juga ADUN dari DAP itu mendakwa Mohamad Khir membelanjakan kira-kira RM24 juta untuk membeli banglo di Seksyen 7, di sini.

Menurut Suee Lim, jumlah tersebut tidak mungkin mampu dibiayai Mohamad Khir melalui pendapatan sebagai Menteri Besar yang dianggarkan RM576,000 setahun iaitu RM4.6 juta dalam tempoh lapan tahun memegang jawatan tersebut.

Mohamad Khir bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menegaskan banglo miliknya itu hanya berharga RM3.5 juta yang dibuat menerusi pinjaman daripada sebuah bank dalam tempoh 30 tahun.

Kes saman Saiful 27 Mei

Kes saman Saiful 27 Mei
KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kes saman fitnah oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Mei ini.

Timbalan Pendaftar, Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan Ismail Petra menetapkan tarikh tersebut ketika kes itu disebut di kamar beliau hari ini.

Menurut saman yang difailkan pada 30 Jun 2008, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa Mohd. Saiful Bukhari, 25, selaku defendan mempunyai niat jahat ketika membuat laporan palsu menuduh beliau meliwatnya.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, bekas pembantunya itu mempunyai niat tersembunyi bagi memburuk dan merosakkan imej beliau dari segi politik.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mendakwa, perkataan-perkataan dalam laporan yang dibuat oleh defendan membawa maksud dan difahami sebagai beliau terlibat dalam perlakuan seks luar tabii serta seorang homoseksual.

Ekoran laporan tersebut, Anwar mendakwa reputasi beliau telah terjejas dengan serius dan mengalami penderitaan serta malu yang amat sangat.

Oleh yang demikian, Anwar menuntut ganti rugi terhadap penggunaan proses mahkamah yang menyalahi dan menyusahkan, ganti rugi butiran palsu yang berniat jahat, ganti rugi fitnah bertulis, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta kos.

Tiga lelaki mengamuk

Tiga lelaki mengamuk

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA,
OPAT RATTANACHOT
dan ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Tiga kejadian amuk, satu daripadanya mengakibatkan kematian dilaporkan berlaku di Sabah, Kedah dan ibu negara dalam tempoh tidak sampai 24 jam sejak semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Sandakan, Sabah, seorang lelaki mengamuk dan membunuh seorang rakannya, selain mencederakan lima yang lain.

Kejadian berlaku di Ladang Suan Lamba dekat Sandakan petang semalam, dipercayai berpunca daripada perbuatan mengejek.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, suspek yang berusia 29 tahun dikatakan telah diejek oleh rakan-rakannya sebelum dia mengamuk dan menyerang mangsa.

“Suspek dipercayai menyerang beberapa orang pekerja di ladang itu menggunakan sebilah parang. Salah seorang daripada mereka maut selepas dikelar pada leher,” katanya sambil menambah, suspek ditahan polis tidak lama selepas kejadian.

Di Sik, Kedah pula, seorang suami bertindak membakar rumahnya sendiri serta lima buah kereta dan dua motosikal jirannya selepas dikatakan mengalami tekanan emosi.

Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Hujung Bandar, lelaki berusia 60 tahun tersebut turut mengamuk dengan menggunakan parang selain cuba mencederakan dua orang anak perempuannya.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana semasa kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, isterinya, Khatijah Shaari, 56, dan anak-anak pasangan itu sempat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Supritendan Zaidong Mustafa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan menahan suspek kira-kira pukul 4.30 pagi.

“Suspek diserahkan kepada Hospital Sik sebelum dirujuk kepada Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk bertindak di luar kawalan dengan memecahkan cermin 11 buah kenderaan yang diletakkan di Jalan Medan 30, Taman Medan di sini petang ini.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, sembilan buah kereta, sebuah lori dan van dirosakkan lelaki terbabit.

Difahamkan, suspek datang ke rumah saudaranya yang terletak di taman itu sebelum keluar dengan memegang dua bilah parang.

Dia kemudian berjalan kaki hampir 100 meter sambil memecahkan semua kenderaan penduduk yang diletakkan di hadapan rumah mereka.

Keadaan menjadi terkawal apabila polis datang dan menahan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut

Isteri rayu pulangkan anak

Isteri rayu pulangkan anak

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my

RAKAMAN CCTV ini menunjukkan Daanya Hana Leanora telah dibawa lari dari sebuah restoran makanan segera di sebuah stesen minyak di Ampang pada 16 Januari lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

PETALING JAYA 28 Jan. – Seperti wanita lain, Farah Shamsuddin mengidamkan kehidupan bahagia selepas mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan yang dikenalinya sejak di bangku sekolah.

Namun manusia hanya mampu merancang, siapa menyangka mahligai yang dibina atas dasar cinta itu hanya mampu bertahan selama setahun dan kini terpaksa pula berpisah dengan anak kesayangannya yang dilarikan bekas suami.

Kisah ini bermula apabila Farah, 31, seorang penyelidik di Institut Perubatan Malaysia, terpaksa memohon untuk berpisah dengan suaminya, Lenardi Amnisar Yuliawiratman pada April 2008, selepas setahun berkahwin.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Daanya Hana Leanora yang kini berusia setahun lima bulan.

Farah sebelum ini telah mendapat Perintah Perlindungan Interim daripada Mahkamah Majistret Ampang setelah mendakwa pernah dipukul oleh suaminya itu.

Namun, masalah pasangan ini semakin parah apabila Farah mendakwa suaminya itu baru-baru ini pula melarikan anak mereka ketika bertemu di sebuah restoran makanan segera.

Menurut Farah, dia bertemu dengan Lenardi pada 16 Januari lalu di Ampang setelah bersimpati dengan permintaan suaminya itu yang ingin berjumpa anak mereka.

Malah, tiada kebimbangan dalam hatinya untuk bertemu dengan suaminya kerana peguam kedua-dua pihak turut hadir.

“Dalam pertemuan itu, Daanya asyik menangis dan enggan didukung Lenardi, namun dia berkeras ingin mendukung anak saya. Tanpa mengetahui niatnya, saya menyerahkan Daanya untuk didukung.

“Tiba-tiba, Lenardi berlari keluar dari restoran bersama Daanya dan saya mengejarnya. Dia terus memasuki sebuah kereta berwarna biru yang menunggu di luar.

“Ketika itu, ada sekumpulan orang mengerumuni saya dan salah seorang daripada mereka menarik saya dengan kuat (bertujuan menghalangnya),” ceritanya sebak pada sidang akhbar di Pusat Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA) di sini hari ini.

Farah mendakwa, dia percaya kumpulan tersebut mungkin diupah atau berpakat dengan suaminya untuk menjayakan rancangan melarikan anaknya itu. Dia membuat laporan polis sejurus selepas kejadian.

Lima hari kemudian, kesedihan Farah bertambah parah apabila dimaklumkan polis bahawa rekod Jabatan Imigresen mengesahkan Lenardi dan anaknya, Daanya tiba di Batam, Indonesia dengan menaiki feri dari Johor pada 18 Januari.

“Saya hairan mengapa anak saya boleh ada pasport sedangkan sijil kelahirannya yang sah berada dalam tangan saya. Pemeriksaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga mendapati, Lenardi sudah menukar nama Daanya kepada Leanora Daanya Han ketika anak kami baru berusia dua bulan.

“Ini membuktikan Lenardi sudah merancang kejadian ini sejak sekian lama dan akhirnya bertindak pada hari tersebut,” ujarnya.

Selaku seorang wanita lemah, Farah dengan rendah diri merayu supaya Lenardi dan keluarga mertuanya memulangkan semula Daanya kepada pangkuannya.

“Janganlah begitu kejam, pulangkanlah Daanya kepada saya. Ini hal orang dewasa, janganlah libatkan anak kita yang tak berdosa,” rayu Farah.

Kesan darah dalam tandas

Kesan darah dalam tandas
SHAH ALAM 28 Jan. – Beberapa kesan darah ditemui di dalam tandas tempat pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani dikurung selama dua hari dua malam sebelum dia diselamatkan oleh pihak polis.

Juruanalisis Tempat Kejadian Jenayah dari Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Asisten Supritendan (ASP) Zainol Hisham Abu berkata, kesan darah tersebut ditemui semasa pemeriksaan dilakukan di rumah tertuduh, A. Murugan pada 26 Oktober tahun lalu.

‘‘Beberapa tempat dalam bilik air diuji kehadiran darah dengan ujian Hemocut Sensa. Hasil ujian adalah positif pada lubang saluran air keluar dalam tandas tersebut.

‘‘Ujian menggunakan Lighting Luminol juga dilakukan di tandas itu. Beberapa kesan biru bersinar dipercayai darah didapati di lantai di celah jubin, sekitar mangkuk tandas dan sekeliling kerangka pintu,’’ katanya.

Zainol, 39, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dalam kes terhadap penjual air tebu berusia 35 tahun itu yang didakwa membunuh Mantik, 36.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Mantik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 26 Oktober tahun lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Menurut Zainol Hisham, ujian yang sama dilakukan di bilik air dan peralatan berkebun di rumah bekas majikan Mantik, Puah Hooi Sueew pada 28 Oktober 2009.

Namun, jelas beliau, kesemua hasil ujian negatif.

Beliau turut menemui tiga helai rambut dan satu gelang tangan di lantai tandas di rumah Murugan.

Sementara segumpal rambut pula ditemui di dalam tong sampah.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa bersambung esok.

Bas pecut 170 km/j

Bas pecut 170 km/j

SALIM Parlan memeriksa buku log bas semasa menjalankan Operasi Pra-Ops Sikap di Lebuh Raya Utara-Selatan, awal pagi kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kita sering melihat di bahagian belakang badan bas ekspres tertera had kelajuan yang dibenarkan di lebuh raya iaitu 90 kilometer sejam.

Tetapi apa yang disaksikan oleh wartawan Utusan Malaysia ketika menyertai operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lebuh Raya Utara Selatan kelmarin, amat mengejutkan.

Ia kerana dalam operasi itu, JPJ mengesan seorang pemandu 'pelesit' ke Johor Bahru memandu dengan kelajuan 170 kilometer sejam.

Walaupun melakukan kesalahan memandu hampir dua kali ganda daripada had laju 90 kilometer di Kilometer 165.4, berhampiran Henterian Sebelah Tangkak, namun pemandu tersebut terlepas daripada tindakan undang-undang