Search This Blog

Thursday, January 28, 2010

Nirmala fail saman ganti rugi terhadap bekas majikan






28/01/2010 1:26pm


KUALA LUMPUR 28 Jan. – Bekas pembantu rumah, Nirmala Bonat memfailkan saman ganti rugi terhadap kedua-dua bekas majikannya, Yim Pek Ha dan Hii Ik Ting bagi kesakitan dan penderitaan yang ditanggungnya sepanjang bekerja dengan pasangan tersebut.

Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Disember lalu mengurangkan hukuman penjara daripada 18 tahun kepada 12 tahun ke atas Pek Ha yang disabitkan atas tiga tuduhan mencederakan Nirmala hampir enam tahun lalu.

Pek Ha sebelum ini didakwa atas tiga tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala menggunakan seterika dan air panas pada Januari, Mac dan April 2004 di rumahnya di 22B-25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini. – Utusan

10 ditahan ISA
Oleh Sazarina Shahrim dan Mohd Iskandar Ibrahim
bhnews@bharian.com.my

Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Sembilan rakyat asing, seorang warga tempatan dipercayai terbabit kumpulan pengganas

PUTRAJAYA: Seramai 10 individu, termasuk sembilan rakyat asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa, ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kumpulan itu yang ditahan, baru-baru ini, dipercayai merancang melakukan serangan dan Malaysia sedang bekerjasama dengan agensi di luar negara berhubung kes itu.

Beliau enggan mengulas sama ada Malaysia menjadi sasaran serangan itu, tetapi

menjelaskan kumpulan terbabit ditahan kerana memberi ancaman serius kepada negara.

"Ini soal keganasan. Kita tidak berkompromi dan sangat serius menangani isu keganasan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Hishammuddin bagaimanapun enggan memberi sebarang maklumat mengenai 10 individu terbabit termasuk kewarganegaraan sembilan rakyat asing berkenaan yang dikatakan baru memasuki negara ini.

Beliau turut menafikan laporan portal berita kononnya 50 orang ditangkap mengikut ISA.

Sementara itu, menurut sumber, kumpulan itu dipercayai mempunyai hubungan dengan pelajar Nigeria, Umar Farouk Abdul Mutallab, yang ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana cuba meletupkan pesawat Northwest Airlines ketika menghampiri Lapangan Terbang Detroit, Michigan, pada Krismas lalu.

Umar Farouk, 24, yang dikatakan sebagai ejen al-Qaeda, kini menghadapi enam tuduhan termasuk cubaan membunuh 290 penumpang dan cuba menggunakan senjata pemusnah.

Sumber itu berkata, siasatan masih dilakukan termasuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai tujuan sembilan warga asing berusia lingkungan 20-an itu memasuki negara ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kumpulan itu cuba mempengaruhi serta merekrut ahli baru.

Terdahulu, Hishammuddin menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara kementeriannya dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia untuk melaksanakan pengambilan anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai pengawal keselamatan.

Mengenai desakan supaya Jabatan Imigresen menangguhkan operasi besar-besaran menahan pendatang tanpa izin, Hishammuddin berkata: "Kita akan pertimbangkan sekiranya mereka jujur dan komited untuk bersama menangani masalah ini."

Jabatan Imigresen sebelum ini dilaporkan akan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara mulai 15 Februari ini bagi menangkap dan mengusir pendatang tanpa izin.

Mengulas penahanan penulis blog Aduka Taruna, bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri, Hishammuddin berkata, pihaknya sedang menyiasat dan mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kita akan memastikan mereka yang melakukan perbuatan seperti ini tidak terlepas walaupun mereka sudah memohon maaf," katanya.

Kes saman fitnah RM2j bapa Nurin Jazlin dibicara 10 November

28/01/2010 2:01pm

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Kes saman fitnah RM2 juta oleh bapa Nurin Jazlin terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan dua lagi, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini, 10 November ini.

Timbalan Pendaftar K.Pavani menetapkan tarikh perbicaraan itu semasa pengurusan kes tersebut hari ini.

Pada 21 Ogos 2008, Jazimin Abdul Jalil, bapa Nurin, kanak-kanak berumur lapan tahun yang dibunuh dengan kejam tiga tahun lalu menamakan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar; Ketua Polis Negara; dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam samannya berhubung pernyataan fitnah kononnya dia kehilangan Nurin kerana terlibat dengan “ah long”.

Jazimin berkata, pernyataan seorang defendan dalam artikel di sebuah surat khabar tempatan yang bertajuk “Siasat ah long larikan Nurin”, mencemarkan nama baik serta reputasinya, apabila ia membawa maksud beliau (Jazimin) meminjam wang dengan ah long dan membahayakan keselamatan keluarganya kerana berurusan dengan ah long.

Nurin didapati hilang semasa keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, pada 20 Ogos 2007 sebelum mayatnya dijumpai pada 17 September, iaitu 27 hari selepas kehilangannya. – Bernama

Rumah urut berleluasa - Dasar libreal kerajaan negeri rancakan maksiat



SEORANG pelanggan sedang diurut di sebuah pusat urut di Puchong.

--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA - Kemunculan pusat urut di merata kawasan di Selangor terutama sejak dua tahun lalu yang mengeksploitasi ramai wanita warga asing mengundang persoalan mengenai apa yang sedang berlaku di negeri itu yang sudah mencapai status negeri maju.

Jumlah pusat urut begitu banyak sehingga menyebabkan ada pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri tidak tahu jumlah sebenar pusat urut di kawasan masing-masing.

Realitinya hanya tiga PBT iaitu Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang sanggup mendedahkan jumlah sebenar rumah urut berlesen di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, ketika diminta mendedahkan jumlah rumah urut haram, pegawai MPSp dan MPAJ enggan memberikan sebarang butiran.

Itu belum dikira lagi pendedahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai kewujudan kira-kira 4,000 pusat hiburan di Selangor yang ada di antaranya menawarkan khidmat urut.

Banyak pihak percaya dasar liberal kerajaan negeri dalam pengeluaran lesen pusat urut menjadi punca kegiatan tersebut berleluasa berbanding sebelum ini.

Tinjauan wartawan Kosmo! di beberapa lokasi seperti Kota Damansara, Petaling Jaya, Kajang, Ampang, Selayang, Subang dan Puchong mendapati kelemahan penguatkuasaan sebagai punca utama kewujudan pusat-pusat urut baru.

Jangan terkejut jika ada pusat urut di Selangor ketika ini beroperasi seawal pukul 10 pagi dan masih menerima pelanggan sehingga pukul 12 tengah malam.

Malah tinjauan di Bandar Sunway mendapati terdapat beberapa premis beroperasi sehingga pukul 3 dan 4 pagi sama seperti operasi kelab malam dan karaoke.

Lebih mengejutkan, terdapat juga rumah urut yang beroperasi tanpa papan tanda, malah cara perkhidmatannya tidak ubah seperti rumah pelacuran.

Tertuduh diserang sakit jantung

KOTA BHARU 27 Jan. – Seorang pegawai kanan kerajaan negeri terlepas ‘sementara’ daripada didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Perdana akibat diserang sakit jantung awal pagi tadi.

Utusan Malaysia difahamkan pegawai berusia 57 tahun yang bergelar ‘Datuk’ itu sepatutnya didakwa di mahkamah pagi ini atas dakwaan bersubahat membuat tuntutan palsu bersama seorang kontraktor membabitkan projek istana dan kerajaan negeri.

Bagaimanapun peguam pegawai kanan itu, Datuk Ab. Aziz Derashid memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu telah dimasukkan ke hospital tersebut untuk mendapatkan rawatan pada pukul 1 pagi ini.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Izani Wan Ishak yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya prosiding dijalankan di hospital tetapi ditolak oleh mahkamah.

Ketika ditemui wartawan di ruang legar Hospital Pakar Perdana, Izani memberitahu, kes tersebut akan diteruskan selepas pihak mahkamah menerima laporan perubatan dari hospital.

“Kita masih menunggu laporan perubatan kerana tindakan selanjutnya bergantung kepada laporan tersebut bagi menentukan masa dan tarikh pendakwaan yang baru,” katanya.

Jamal lepas tuduhan ugut isteri


SHAH ALAM 27 Jan. – Penyanyi terkenal, Jamal Abdillah hari ini dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan mengugut Fatimatu Zahra Samad berikutan bekas isterinya itu gagal hadir untuk memberi keterangan di Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Norkamilah Aziz memutuskan demikian selepas menerima permohonan peguam yang mewakili Jamal, Ahmad Fariz Mohamed agar anak guamnya dilepaskan dengan alasan Fatimatu Zahra yang merupakan pengadu dalam kes itu tidak berminat untuk memberi keterangan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim memaklumkan Fatimatu Zahra telah menghantar surat representasi kedua kepada Peguam Negara pada 20 Disember tahun lalu agar tuduhan terhadap Jamal ditarik balik.

Namun katanya, beliau menerima arahan daripada Ketua Unit Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara supaya pertuduhan terhadap penyanyi itu diteruskan dengan memanggil saksi lain memberi keterangan.

Kadar Shah bantah tuntutan

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Setelah gagal hadir beberapa kali dalam kes tuntutan mutaah berjumlah RM5 juta oleh bekas isterinya, hari ini Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah (gambar) tampil di Mahkamah Rayuan Syariah di sini.

Kadar Shah, 63, yang diwakili peguam syarie, Sulaiman Abdullah hadir bagi mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak bantahannya terhadap tuntutan oleh Datin Fauziah Haron, 53.

Hakim Syarie Datuk Mohd. Asri Abdullah yang mendengar rayuan tersebut menetapkan 24 Mac ini untuk menyampaikan keputusannya.

2 bekas pegawai PUNB bebas

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Terselamat dek warkah buat Perdana Menteri.

Walaupun agak pelik didengar tetapi itu realitinya apabila dua bekas pegawai kanan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memalsukan sijil bon perbadanan tersebut bernilai RM19 bilion, 10 tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, S.M. Komathy Suppiah ketika menyampaikan keputusannya hari ini menyatakan, surat daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 69, kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertarikh 11 Disember 2000 menjelaskan tindakannya mengeluar bon tersebut.

Ujarnya, isi kandungan surat tersebut menunjukkan rasa kecewa yang teramat sangat tertuduh pertama itu terhadap Ahli Lembaga Pengarah PUNB yang didakwa “tua, terlalu birokratik, mudah berpuas hati dan cara pemikiran yang tidak relevan”.

Ini mendorongnya untuk mengeluarkan bon tersebut tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah dan berusaha mendapatkan sokongan daripada Dr. Mahathir terlebih dahulu.

Salah satu ayat yang terkandung dalam surat tersebut turut menyokong keterangan Ahmadi bahawa dia sudah membuat temu janji untuk berjumpa dengan Dr. Mahathir pada 29 Disember tahun yang sama bagi memaklumkan pengeluaran bon berkenaan.

“Adalah mustahil untuk tertuduh membuat temu janji tersebut sekiranya bon yang dikeluarkan bukan untuk kebaikan PUNB sendiri.

“Tertuduh kedua (Mohamad Aminuddin Md. Zain) pula menandatangani bon kerana percaya Ahmadi mampu mendapatkan kelulusan daripada Dr. Mahathir.

“Berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan, saya mendapati tindakan kedua-dua tertuduh dalam mengeluarkan bon tersebut tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah adalah bodoh dan satu penyalahgunaan kuasa tetapi bukan satu jenayah,” kata hakim itu.

Menurut keterangan Ahmadi, dia bertindak mendapatkan sokongan daripada Dr. Mahathir yang ketika itu Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera.

Dia bagaimanapun tidak sempat bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu kerana telah ditahan polis pada 22 Disember 2000.

Ahmadi diwakili peguam bela, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Goik Kenzu manakala Mohamad Aminuddin diwakili peguam bela, T. Suresh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Sophian Zakaria.

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh melakukan pemalsuan ke atas dokumen yang merupakan satu cagaran berharga iaitu sijil bon PUNB bernilai AS$5 bilion (RM19 bilion).

Mastura sah cerai fasakh

KUALA LUMPUR 27 Jan. – ‘‘Gembira dan sedih bercampur baur.’’

Begitulah luahan hati Mastura Bakar selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan cerai fasakh yang dikemukakan terhadap suaminya, Datuk Muhamad Mustaffa Idrus.

Ketetapan tersebut diputuskan oleh Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin berdasarkan alasan yang dikemukakan oleh Mastura selaku plaintif pada perbicaraan permohonan itu yang dibuat secara sebelah pihak.

‘‘Mahkamah berpuas hati selepas meneliti keterangan plaintif dan saksi-saksi serta hujahan penggulungan bertulis oleh peguam syarie.

‘‘Mahkamah juga telah merujuk kepada hukum syarak dan dengan itu, cerai fasakh ke atas kamu berkuatkuasa hari ini,’’ katanya.

Ako diarah jawab hujah pendakwa

SHAH ALAM 27 Jan. – Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menetapkan 31 Mac ini untuk pelakon, Ako Mustafa (gambar) memfailkan jawapan terhadap hujahan balas pihak pendakwaan dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara dan denda atas kesalahan khalwat.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad turut menetapkan tarikh itu untuk sebutan selepas peguam syarie yang mewakili Ako, Akbardin Abdul Kader memohon tempoh yang panjang kerana pihaknya hanya menerima hujahan balas daripada pendakwaan pagi semalam.

Ketua Pendakwa Syarie, Abd Shukor Abdul Halim tidak membantah permohonan itu serta mengakui salinan hujahan balasan baru diserahkan semalam.

Kes pecat Tengku Muhammad Fakhry ditentukan Jumaat

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Keputusan sama ada tindakan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra melucutkan adindanya, Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada senarai bakal pewaris takhta boleh diadili atau tidak, akan ditentukan pada Jumaat ini.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Mohamad Ariff Md. Yusof menetapkan demikian selepas mendengar hujahan berhubung sama ada mahkamah itu forum yang sesuai untuk mendengar dan layak mengadili atau memutuskan isu-isu berkaitan Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

Pada 16 September tahun lalu, Tengku Muhammad Faris Petra melucutkan keanggotaan Tengku Muhammad Fakhry yang memakai gelaran Tengku Temenggong Kelantan daripada senarai bakal pewaris takhta.

Tengku Muhammad Fakhry kemudiannya memfailkan permohonan pada 1 Disember tahun lalu bagi mendapatkan kebenaran untuk mencabar keputusan kekandanya itu menerusi prosiding semakan kehakiman.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, memohon perisytiharan bahawa keputusan Tengku Muhammad Faris yang melucutkan keanggotaannya daripada Majlis Perajaan adalah bercanggah dengan Perkara 7 Perlembagaan Kelantan.

Pada prosiding hari ini, peguam K. Shanmuga yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry berpendapat, mahkamah boleh mengadili permohonan anak guamnya itu kerana ia membabitkan isu perlembagaan iaitu Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan.

Bagaimanapun Shanmuga menegaskan pihaknya tidak berniat langsung untuk mencabar Majlis Perajaan.

‘‘Kami menghujahkan bahawa responden atas kapasiti Pemangku Raja sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk mengubah atau meminda keanggotaan Majlis Perajaan.

‘‘Sekiranya Raja Kelantan sendiri yang memutuskan untuk melucutkan keanggotaan Tengku Muhammad Fakhry maka pemohon tidak akan mempersoalkannya memandangkan baginda layak berbuat demikian,’’ jelas Shanmuga.

Saksi lihat Mantik dipukul

SHAH ALAM 27 Jan. – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia melihat pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani dipukul beberapa kali oleh majikannya, A. Murugan dengan sebatang penyapu panjang, sekitar Oktober tahun lalu.

Pembantu rumah warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Suryanti dan berusia 22 tahun itu mendakwa turut mendengar Mantik menjerit semasa dipukul dalam kejadian yang berlaku di bahagian hadapan rumah majikan mangsa.

Katanya, dia kemudiannya nampak Murugan mengangkat Mantik masuk ke dalam rumah dan sejak itu, dia tidak pernah melihat wanita itu lagi.

“Semasa Mantik dipukul, ibu majikannya itu berada di dalam rumah. Kemudian saya nampak dia keluar tapi dia tak buat apa-apa,’’ katanya.

Suryanti yang bekerja dengan majikan di rumah bertentangan dengan rumah Murugan berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani dalam kes terhadap penjual air tebu, A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Mantik, 36.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Suryanti yang berkerja dengan majikannya sejak 2006 turut menggambarkan Mantik berkepala botak dengan mukanya yang lebam serta berjalan terhencut-hencut semasa dilihat pada kali terakhir.

Selain mengecam penyapu yang didakwa digunakan oleh Murugan, saksi pendakwa ke-23 itu turut menunjukkan cara Murugan memukul Mantik kepada mahkamah sebanyak dua kali.

Sepanjang memberi keterangan hari ini, Suryanti dilihat agak gelisah dan takut-takut sehingga Idham terpaksa mententeramkannya agar tidak merasa takut kerana ramai yang berada di mahkamah.

Saksi itu juga kerap berkata “ulang tanya’’ apabila tidak memahami soalan yang ditujukan kepadanya serta meminta maaf berkali-kali apabila tersilap atau mahu membetulkan ayat yang digunakan.

Jangan terpengaruh khabar angin

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM dan HATA WAHARI
pengarang@utusan.com.my


ATAS: Hishammuddin Tun Hussein diberi penerangan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed ketika melawat kawasan dilempar dengan objek disyaki kepala babi hutan di Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun, semalam.

PUTRAJAYA 27 Jan. - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas yang sama ke atas pihak yang terlibat melempar kepala babi di dua masjid awal pagi ini sebagaimana kes serangan ke atas rumah ibadat sebelum ini.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberikan amaran agar tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas kejadian itu kerana ia melibatkan keselamatan negara.

Tegas beliau, orang ramai juga diingatkan agar tidak terpengaruh dengan khabar-khabar angin yang disebarkan ekoran kejadian tersebut.

"Saya cukup marah perkara ini berlaku dan kita perlu berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mencari dalang yang terlibat.

"Ini kerana perbuatan mereka itu bertujuan untuk menghuru-harakan negara selain menimbulkan kemarahan dan pertembungan antara kaum," katanya.

Awal pagi ini, Masjid Imam At-Tirmizi di Sri Sentosa dan Masjid Jumhuriah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya dilempar dengan objek dipercayai kepala babi hutan.

Objek yang dibungkus dengan plastik putih beserta wang tunai sebanyak RM35 itu ditemui jemaah masjid selepas selesai menunaikan solat subuh.

Hishammuddin menambah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan diberi tanggungjawab bagi menyelesaikan dan memantau sendiri siasatan kes tersebut.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas melawat Masjid Jumhuriah, Hishammuddin meminta rakyat bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk menyelesaikan kes itu.

Beliau memberitahu, kerajaan tidak boleh menerima tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab ini dan melihat ia cubaan untuk membangkitkan kemarahan rakyat agar berlaku pergaduhan kaum.

Katanya, paling penting sekarang ialah untuk memastikan masyarakat atau anak-anak kariah kedua-dua masjid tidak terikut-ikut dengan provokasi yang dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab tersebut.

''Saya sendiri bertanya kenapa memilih masjid di Taman Datuk Harun dan sebuah lagi masjid yang juga berhampiran dengan kawasan ini, saya percaya mereka cuba mencetuskan pergaduhan kaum di kalangan rakyat negara ini.

''Kerajaan bangga dengan masyarakat di kawasan Taman Datuk Harun dan Sri Sentosa serta kawasan-kawasan lain seperti di Taman Melawati, Muar dan Taiping kerana berjaya mengawal emosi, sabar dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan kes tersebut,'' katanya.

Sementara itu, Musa yang turun meninjau kedua-dua masjid terlibat kira-kira pukul 10.40 pagi ini meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

"Biar polis jalankan siasatan. Orang ramai jangan bimbang. Saya telah arahkan semua Ketua Polis Daerah di seluruh negara supaya meningkatkan rondaan di rumah-rumah ibadat di kawasan masing-masing.

"Amaran saya kepada mereka yang melakukan perkara ini (lempar ke pala babi), jangan bermain dengan api kerana polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang cuba menggugat keselamatan negara," tegas beliau.

Musa memberitahu, polis juga akan mengenal pasti dari mana kepala babi hutan tersebut diperoleh kerana ia berkemungkinan datangnya daripada restoran yang menghidangkan haiwan eksotik.

Sehubungan itu, Musa meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil membantu polis dalam usaha pihaknya mengenal pasti dan memburu mereka yang bertanggungjawab.

Ditanya sekiranya siasatan polis akan dipengaruhi tekanan politik, beliau menolak andaian itu kerana polis sentiasa bertindak adil dan tidak memilih bulu.

"Kejayaan polis baru-baru ini dalam menyelesaikan beberapa kejadian vandalisme rumah ibadat mem buktikan keupayaan sebenar kami," jelas beliau.
Add to Google

Operasi besar-besaran buru PATI

PUTRAJAYA 27 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia memberi tambahan masa kepada pihak majikan industri untuk tampil berterus terang sekiranya didapati menggajikan pekerja asing secara haram.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, segelintir pihak tersebut sudah mengadakan pertemuan dengannya dan meminta supaya operasi besar-besaran memburu pekerja di kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangguhkan.

"Kita bersedia mempertimbangkan permintaan mereka sekiranya mereka bekerjasama dalam hal ini, jika tidak sudah tiba masanya kita memburu mereka (majikan yang menggajikan PATI).

"Jika mereka jujur serta mendedahkan berapa ramai pekerja asing haram terlibat dalam industri mereka, kita akan pertimbangkan," katanya.

Hishammuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara KDN dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Jabatan Imigresen sebelum ini dilaporkan akan mengadakan operasi besar-besaran bagi memburu pekerja asing haram pada 15 Februari ini, namun beberapa pihak meminta ia ditangguhkan.

Kata Hishammuddin, sokongan daripada pihak industri amat diperlukan memandangkan kebanjiran PATI di negara ini amat membimbangkan.

"Tindakan ini bukan bertujuan untuk menghukum, tetapi adalah sesuatu yang perlu dilakukan dan mendapat sokongan pihak industri," katanya

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pengambilan ahli-ahli Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai pengawal keselamatan diyakini mampu mengurangkan penggantungan terhadap pekerja asing.

''Jika ada kerjasama antara Rela dan JPAM, Kementerian mungkin akan mewajibkan syarikat keselamatan untuk menggajikan di kalangan anggota itu sebagai pengawal keselamatan," katanya.

Sindiket edar dadah tumpas

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 27 Jan. - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah ke Singapura selepas menahan 12 individu termasuk tiga lelaki warga republik itu dalam empat serbuan di sini, semalam.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dan harta hasil kegiatan haram itu yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM630,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, penahanan kesemua suspek termasuk dua wanita tempatan berusia antara 22 hingga 50 tahun itu adalah hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Bukit Aman dan pihak berkuasa Singapura.

Beliau berkata, suspek ditahan antara pukul 5 pagi hingga 6 petang di empat lokasi berasingan di sini dan sekitar daerah Seri Alam.

"Siasatan mendapati, sindiket itu mula beroperasi sejak dua bulan lalu. Modus operandi sindiket ini ialah mengedar dadah ke Singapura dengan menggunakan orang perantaraan atau kurier.

"Dua daripada suspek warga Singapura yang ditahan merupakan individu paling dikehendaki oleh pihak berkuasa negara itu berhubung kes jenayah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurut Mohd. Mokhtar, antara yang dirampas adalah 339.4 gram syabu, 36 biji pil Eramin 5 dan 64 gram dadah ketamin yang kesemuanya bernilai RM100,000.