Search This Blog

Wednesday, January 27, 2010

Sindiket guna nama HM tipu syarikat swasta

2010/01/26 KOTA BHARU: Sindiket penipuan menggunakan nama akhbar Harian Metro (HM) didapati terus berusaha memperdayakan syarikat swasta menyerahkan sejumlah wang konon untuk membuat bayaran tertentu.

Menerusi e-mel terbaru bertajuk ‘Kesilapan Cetakan Iklan Dari Sinar Harian Termasuk Dalam Harian Metro’ dihantar kepada seorang mangsa baru-baru ini memberitahu konon terdapat kesilapan menyebabkan iklan mangsa yang sepatutnya disiarkan dalam akhbar lain secara tidak sengaja dicetak dalam HM.


Berikutan kesilapan itu, mangsa mendapat siaran iklan secara percuma dalam HM selama 10 hari berturut-turut bermula 26 Januari ini hingga 5 Februari, namun hanya dikenakan bayaran ‘cukai’ RM2,150.


Sindiket itu menerima pembayaran menerusi akaun bank atas nama Mohd Asri Salleh iaitu nama sama seperti digunakan sindiket penipuan sebelum ini yang meminta wang derma daripada mangsa bagi membiayai kos pembinaan dewan rumah anak yatim di Wilayah Persekutuan bernilai RM250,000.


Seorang pekerja syarikat swasta dikenali Azam, 20-an, berkata pada mulanya dia menerima SMS kelmarin daripada individu tidak dikenali mengatakan terdapat kesilapan pada iklan dibuat syarikatnya dalam akhbar lain.


Katanya, dia tidak memberi maklum balas sebelum sekali lagi menerima SMS sama yang meminta alamat e-mel. “Menerusi SMS itu, dia t memaklumkan sekiranya terdapat sebarang masalah diminta menghubungi Tuan Ghafar sebagai Pengarang Eksekutif Pengiklanan Kumpulan Harian Metro.


“SMS kedua pula meminta saya memberi alamat e-mel sebelum mendapat e-mel itu. “E-mel diterima itu mencurigakan menyebabkan saya menghubungi Pejabat Harian Metro Kota Bharu bagi mengelak ditipu,” katanya. Katanya, dia menyedari e-mel itu tidak masuk akal kerana kesilapan cetakan berlaku dalam dua akhbar berlainan syarikat.


“Dalam e-mel itu menyatakan saya perlu membayar cukai untuk iklan percuma iaitu cukai siar oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sememangnya tidak masuk akal,” katanya.

Pak Arab samseng

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/01/26

KUALA LUMPUR: Tunjuk lagak tidak ubah bagaikan di tanah air sendiri apabila dua kumpulan samseng Timur Tengah cuba mencetuskan pergaduhan ala kongsi gelap dengan bersenjatakan pisau pemotong daging, pisau Rambo dan pistol.

KUALA LUMPUR: Tunjuk lagak tidak ubah bagaikan di tanah air sendiri apabila dua kumpulan samseng Timur Tengah cuba mencetuskan pergaduhan ala kongsi gelap dengan bersenjatakan pisau pemotong daging, pisau Rambo dan pistol.


Kumpulan lebih 30 lelaki warga Timur Tengah terbabit didakwa bertindak ganas dengan cuba mencetuskan huru-hara antara dua kumpulan berasingan di pusat hiburan terkemuka di ibu kota, awal pagi semalam.


Bagaimanapun, tindakan pantas beberapa pengawal keselamatan berjaya menghalang pergaduhan terbabit daripada melarat menjadi kes bunuh.


Sumber polis berkata, pergaduhan antara dua kumpulan warga Timur Tengah itu dikesan berlaku di satu pusat hiburan terkemuka di Jalan Doraisamy lewat pagi semalam.


Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, kedua-dua kumpulan membabitkan lebih 30 pengunjung pusat hiburan terbabit bertengkar selepas dipercayai dalam pengaruh alkohol.


“Keadaan tegang itu menyebabkan pengunjung pusat hiburan berkenaan segera memaklumkan kejadian terbabit kepada pengawal keselamatan yang bertugas di premis itu.


“Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku, beberapa pengawal keselamatan yang juga ‘bouncer’ pusat hiburan terbabit segera masuk campur selepas suspek mula bertumbuk di bahagian atas pusat hiburan berkenaan,” katanya.


Menurutnya, suspek dihalau keluar beberapa pengawal keselamatan dari premis berkenaan selepas bimbang keadaan menjadi tidak terkawal.


“Malangnya, kumpulan samseng warga asing berkenaan yang masih tidak berpuas hati terus menyambung pergaduhan di luar premis hiburan itu.


“Pada masa sama, seorang pengawal keselamatan di pusat hiburan terbabit ternampak seorang daripada kumpulan samseng terbabit mengeluarkan pisau Rambo dari dalam pakaian,” katanya.


Menurutnya, suspek yang sedang bergaduh itu kemudian menikam seorang daripada anggota kumpulan lawan.


“Lebih memburukkan keadaan apabila seorang lagi anggota kumpulan yang ditikam itu mengeluarkan pistol sebelum cuba melepaskan tembakan.


“Berikutan itu, pengawal keselamatan pusat hiburan terbabit sekali lagi masuk campur dan cuba meleraikan pergaduhan berkenaan berikutan bimbang ia bertukar menjadi kes bunuh,” katanya.


Menurutnya, kumpulan samseng berkenaan yang digertak akan dipanggil polis kemudian bertempiaran melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki kereta.


“Bagaimanapun, pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian tidak pasti sama ada seorang lelaki Timur tengah yang ditikam itu cedera parah berikutan mangsa turut hilang bersama rakan lain.


“Susulan kejadian itu, pengawal keselamatan pusat hiburan terbabit yang mengecam nombor pendaftaran kereta seorang suspek membuat laporan di balai polis berhampiran.


Menurutnya, susulan itu polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik kenderaan pacuan empat roda terbabit sebelum mengesyaki ia disewa suspek dari rakyat tempatan.

Dua lelaki tunggang motor lawan arus dicekup

2010/01/26

GOMBAK: Risau dicekup pihak berkuasa, dua lelaki sanggup menggadai nyawa apabila menunggang motosikal secara melawan arus bagi meloloskan diri dari satu sekatan jalan raya di Fasa 9, Taman Seri Gombak di sini, malam kelmarin.

GOMBAK: Risau dicekup pihak berkuasa, dua lelaki sanggup menggadai nyawa apabila menunggang motosikal secara melawan arus bagi meloloskan diri dari satu sekatan jalan raya di Fasa 9, Taman Seri Gombak di sini, malam kelmarin.


Cubaan itu bagaimanapun gagal apabila anggota bertugas menahan kedua-dua mereka yang berusia 20-an untuk pemeriksaan lanjut dan hasil ujian air kencing, seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja dan syabu manakala rakannya negatif.


Difahamkan, ketika kejadian mereka dalam keadaan tergesa-gesa cuba melarikan diri apabila menyedari ada satu sekatan jalan raya dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Gombak, dengan bantuan polis dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di kawasan itu.


Ketua Pegawai AADK Gombak, Halili Busu, berkata dalam operasi hampir empat jam bermula jam 8 malam itu, seramai 87 individu dipercayai di bawah pengaruh dadah ditahan untuk pemeriksaan dan daripada jumlah itu lapan disahkan mengambil dadah dan ditahan reman untuk membantu siasatan.


“Bagaimanapun, enam daripadanya dibebaskan dengan jaminan mahkamah RM5,000 seorang manakala dua lagi dihantar ke penjara Sungai Buloh untuk menjalani tahanan reman 14 hari sementara menunggu keputusan air kencing,” katanya.


Semua kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (B) Akta penagihan Dadah (rawatan dan pemulihan 1993) pindaan 1998 atas kesalahan mengambil dadah.


“Ini kes pertama individu disyaki terbabit dengan penagihan dadah ditahan reman bagi kawasan Gombak berikutan kegagalan waris mereka untuk menjelaskan wang jaminan seperti disyaratkan sebelum dibebaskan,” katanya.

Dewan Pemuda PAS buat aduan polis penunjuk perasaan menyamar ahli

PETALING JAYA, Dis 28 - Dewan Pemuda PAS Selangor membuat aduan polis berhubung tindakan sekumpulan pemuda yang mendakwa mereka sebagai ahli dan penyokong PAS mendesak ia keluar Pakatan Rakyat (PR), semalam.

Aduan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam pada pukul 11 pagi tadi.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Selangor Khairul Fahmi Matsom ketika dihubungi sebagai berkata kumpulan itu, yang dianggarkan kira-kira 20 orang telah menyamar sebagai ahli dan penyokong PAS sehingga mencalar imej parti tersebut.

“Kami membuat aduan berhubung dua perkara,” kata beliau.
Pertama, menurut beliau membabitkan ketua kumpulan itu Wan Hilman Abdul Rahim yang mendakwa dia sebagai ahli PAS kawasan Gombak.

“Kami buat siasatan di PAS kawasan Gombak dan juga di ibu pejabat mendapati dia (Wan Hilman) bukan merupakan ahli PAS... kami mendapati dia menyamar sebagai ahli PAS,” katanya lagi.

Kedua, kata Khairul Fahmi, pihaknya juga meminta polis agar menyiasat kerana mereka membuat kenyataan berunsur fitnah dengan meminta PAS keluar dari PR.

“Dia membuat satu kenyataan fitnah PAS ... ini kenyataan yang serius, kami memandang berat,” katanya lagi.

Mengenai tindakan susulan, kata Khairul Fahmi, pihaknya akan melihat perkembangan sama ada perlu mengambil tindakan perundangan terhadap Wan Hilman.

“Apa pun tindakan kami akan mengkaji dulu,” katanya.

Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor mendesak parti itu keluar daripada PR negeri dengan segera.

Mereka mahu PAS bertindak demikian ekoran rasa tidak puas hati terhadap pimpinan kerajaan campuran Selangor dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu sebenarnya.

Wan Hilman dipetik berkata pihaknya merasakan rakan sekutu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP cuba membelakangi PAS dalam membuat keputusan walaupun parti itu turut berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Mereka tidak sempat menyerahkan memorandum semalam kerana pejabat ditutup.

Sebaliknya mereka bercadang untuk menyerahkannya Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali pagi ini di pejabatnya di sini.

Bagaimanapun sehingga 3 petang tadi mereka tidak menyerahkan sebarang dokumen.

Ia disahkan oleh Khairul Fahmi dan Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir sendiri.

“Kami belum menerima apa-apa memorandum setakat ini,” kata Roslan Shahir.

Laporan Harakah Daily kelmarin yang memetik kiriman SMS berkata perhimpunan itu akan diadakan di pekarangan pejabat Perhubungan PAS Selangor di Shah Alam semalam.

Sempena perhimpunan itu, menurut SMS tersebut, satu memorandum akan diserahkan, yang bakal diterima sendiri oleh Hasan.

“Perhimpunan mendesak PAS Selangor keluar Pakatan Rakyat. Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...,” tulis SMS itu dipetik portal tersebut.

Harakah Daily mendakwa Umno mahu mengambil peluang dari masalah dalaman yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS ketika wujud spekulasi Umno-BN akan mengambil alih negeri itu bulan depan.

Wan Hilman yang mengaku dirinya ahli PAS dari Bahagian Gombak menafikan dakwaan kononnya kumpulannya didalangi Umno Selangor dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pasangan kekasih lepas tuduhan miliki senjata api

2010/01/26 PULAU PINANG: Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan pasangan kekasih daripada tuduhan memiliki senjata api.



Hakim Rosilah Yeop membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan
berjaya mewujudkan keraguan munasabah di pihak pendakwaan berhubung hak milik
eksklusif premis tempat pasangan kekasih itu ditangkap.


Tertuduh, Roziah Daud, 31, dan Roshanjit Singh a/l Ajit Singh, 32, dituduh
melakukan kesalahan itu di bangunan kedai 314, tingkat 2 Jalan Jelutong, jam 6
petang, 19 Mac 2008.

Roziah seorang penganggur menghadapi tuduhan memiliki sepucuk pistol jenis
Walter 7.65mm serta empat butir peluru dan sepucuk pistol Air Rifle model 727
tanpa kebenaran yang sah, dituduh di bawah Seksyen 9 Akta Senjata Api (penalti

lebih berat) 1971.

Roshanjit Singh yang bekerja sebagai pemungut hutang berlesen, menghadapi
empat tuduhan, tuduhan pertama memiliki empat bilah parang dan satu kerambit
tanpa kebenaran dan didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan
Letupan dan Senjata Api Berbahaya 1958.

Tuduhan kedua, memiliki sepucuk pistol jenis Walter 7.65mm dan empat butir
peluru, sepucuk Air Rifle model 727 tanpa kebenaran yang sah, dia dituduh di
bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

Bagi tuduhan ketiga, Roshanjit Singh dituduh memiliki sepucuk pistol tiruan,
didakwa di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan tuduhan keempat memiliki empat
butir peluru hidup jenis RP32 tanpa lesen, didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta
Senjata 1960.

Roziah dan Roshanjit Singh diwakili peguam bela Ranjit Singh Dhillon,
manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya G.Jaya Prem.

Pasangan kekasih itu turut menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta
Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori bagaimanapun kes itu
belum disebut di Mahkamah Tinggi. -Bernama

Kastam Kelantan rampas hampir 2,000 kilogram mercun RM160,000

2010/01/26 KOTA BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan merampas 1,963 kilogram pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM160,000 yang cuba diseludup masuk dan ditinggalkan dalam kawasan semak di Kampung Sungai Bayu, Gua Musang, semalam.


Pengarahnya, Zakaria Yusoff berkata pihaknya percaya dapat menumpaskan
sindiket penyeludupan bahan itu dari negara jiran ke negara ini untuk diedarkan
sempena Tahun Baru Cina tidak lama lagi.


Beliau berkata, rampasan itu dilakukan oleh sepasukan lapan anggotanya yang
diketuai Penolong Pengarah Kastam, Abdul Aziz Omar setelah membuat intipan hasil
maklumat orang ramai sejak tiga hari lepas.

Zakaria berkata, pihaknya juga menahan sebuah lori bernilai RM20,000 yang
dipercayai untuk mengangkut bahan larangan itu.


Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana semasa pasukan itu sampai ke
lokasi itu, penyeludup dipercayai telah melarikan diri, katanya di sini hari
ini.

Zakaria berkata, nilai rampasan barang larangan import itu tidak termasuk
cukai berjumlah RM30,350.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967
dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai barangan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan sehingga Ahad lepas, bahagian
penguatkuasa Kastam Kelantan berjaya mematahkan 35 kes penyeludupan barangan
yang dielak cukai bernilai RM130,500.20 dan mengenakan kompaun sebanyak
RM32,900.

Antara barangan yang dirampas termasuk beras, tepung, pakaian, kain batik
dan buah-buahan. -Bernama

Tengku Abdullah sedia temui Kartika

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bersedia menerima menghadap bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, berhubung isu penangguhan perlaksanaan hukuman sebatnya.

Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), bagaimanapun, bertitah baginda belum menerima permohonan secara rasmi daripada bekas model itu setakat ini.

"Kita tidak mahu isu ini berpanjangan...mungkin ada hikmah bagi kita mencari penyelesaiannya," titah baginda selepas menyampaikan pengurniaan insentif Sukan Sea di sini, hari ini.




Tengku Abdullah bertitah demikian ketika mengulas perlaksanaan hukuman ke atas Kartika, 32, yang belum dilaksanakan selepas dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai tahun lalu.

Kartika mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Tengku Abdullah bertitah, isu itu perlu ditangani secara bijaksana serta penuh keinsafan kerana ia satu isu yang sensitif.


Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah bertitah satu kajian secara menyeluruh akan dibuat sebelum cadangan hukum mengharamkan rokok diwartakan di negeri Pahang.

Titahnya, mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang sebelum ini telah mengeluarkan fatwa pengharaman tabiat merokok kerana ia memudaratkan kesihatan.

"Kita perlu terlebih dahulu memberi pengajaran kepada pihak yang merokok dari segi baik buruknya sebelum diwartakan yang pasti memberi banyak implikasinya, namun kita tidak boleh lari daripada hukum itu, kita kena terima hakikat (fatwa yang dikeluarkan)," titah baginda.

Baginda bertitah, MUIP juga perlu mencari kaedah terbaik dari segi penguatkuasaan jika perkara itu diwartakan. - Bernama



Cetak artikel | Hantar pada kawan

Lelaki Indonesia disembelih angkara dendam

PETALING JAYA: Mayat seorang warga Indonesia yang dalam keadaan ngeri dengan lehernya dikelar dan halkumnya terkeluar ditemui di tapak pembinaan kuarters guru berhampiran Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, di sini hari ini.

Mayat Mohd Said, 34, ditemui adiknya pagi ini setelah mangsa tidak pulang ke rumah sejak semalam dan melaporkan kejadian itu kepada polis.

Ketika polis tiba di tempat kejadian kira-kira 9.50 pagi, mayat itu dalam keadaan keadaan terbaring dan berlumuran darah terutama di bahagian leher.




Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed, percaya mangsa dibunuh di tempat sama malam tadi dan ia bermotifkan dendam.

"Kita tidak menemui unsur pergelutan di tempat kejadian. Tidak ada unsur samun kerana dokumen mangsa tidak hilang," katanya.

Polis juga tidak menemui senjata yang digunakan di tempat kejadian.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama



Cetak artikel | Hantar pada kawan

Polis tetap siasat penulis blog hina Almarhum Sultan Johor

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Siasatan terhadap penulis blog yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail baru-baru ini akan diteruskan meskipun kerajaan tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, ia selaras dengan tugas polis yang bertanggungjawab untuk membuka kertas siasatan dan menyiasat sekiranya terdapat laporan.

Beliau berkata, justeru tidak timbul soal meminta maaf kerana siasatan pihaknya dilakukan berdasarkan laporan yang diterima.

"Kertas siasatan akan disiapkan dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

"Keputusan bergantung kepada DPP untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini bahawa kerajaan tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap penulis blog yang memohon maaf secara terbuka setelah menyedari kesilapan dalam penulisan blog mereka.

Bagaimanapun, katanya, penulis blog yang terbabit dengan sesuatu kesalahan haruslah membuat permohonan maaf secara formal kepada pihak yang berkaitan.

Lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam satu artikel dan disiarkan dalam blognya, adukataruna.blogspot.com baru-baru ini.

Susulan kecaman pelbagai pihak, penulis itu kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog sama.

Dia juga menarik balik artikelnya itu sebagai tanda mengaku salah dan berjanji akan memperbaiki tingkah laku dari semasa ke semasa.

Edar dadah guna kotak limau

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Taktik licik tiga pengedar dadah menggunakan kotak limau Mandarin untuk mengedarkan 'bekalan' kepada pembeli terbongkar apabila polis menahan mereka di hadapan sebuah restoran di ibu negara Jumaat lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, ketika ditahan pada pukul 2.30 petang, mereka yang berusia 31 hingga 41 tahun membawa sekotak limau bertulis 'Jing Xuan Mandarin'.

Namun, katanya, hasil pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi lima bungkusan lutsinar yang dipercayai dadah jenis heroin.

"Kesemua dadah itu seberat 2.3 kilogram dan bernilai kira-kira RM225,000. Sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan Naza Citra serta wang tunai RM1,154 milik suspek turut dirampas.

"Kita percaya suspek-suspek lelaki itu sedang menunggu orang tengah untuk mengedar bekalan dadah itu kepada pembeli," katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Chez Chiang, sekali pandang, kelihatan kesemua suspek seperti hendak memberi hadiah limau kepada seseorang.

Beliau yakin sindiket itu mengambil kesempatan perayaan Tahun Baru Cina ini untuk mengaburi mata polis.

Mengulas lanjut, Chez Chiang berkata, sekiranya dadah itu diproses untuk dipaketkan, ia boleh menghasilkan sehingga 22,500 tiub kecil yang dijual dengan harga RM10 setiap satu tiub.

Pemeriksaan ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif mengambil dadah.

"Kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan menyebabkan kecederaan kepada orang awam," katanya.

Kesemua mereka yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu ditahan reman selama enam hari.

Perompak jongkong emas dipenjara, sebat

PULAU PINANG 26 Jan. – “Dengan adanya orang seperti kamu dalam masyarakat, kehidupan orang awam tidak akan aman dan tenteram. Apa yang kamu berdua lakukan terhadap mangsa juga amat dahsyat sekali. Kamu rompak, larikan barangannya dan turut mencederakannya.

“Semoga hukuman ini dapat menjadi pengajaran buat kamu berdua pada masa depan dan orang di luar sana yang berniat yang sama.”

Begitulah pesanan Hakim Mahkamah Sesyen Hakim Rosilah Yob terhadap Ooi Eng Hiap dan Chua Guan Teik sebelum mereka dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan sebatan kerana kesalahan merompak jongkong emas dan barang kemas bernilai RM1.4 juta, dua tahun lalu.

Turut dirompak dari Kilang Legend Art Gold Smith itu adalah wang tunai, alat perakam dan unit pemprosesan komputer kamera litar tertutup (CCTV).

Mereka berdua juga disabitkan atas kesalahan merompak sepasang subang emas, sebentuk cincin, sebuah kereta Toyota Vios, dua telefon bimbit dan sebuah komputer riba kepunyaan pemilik bersama kilang tersebut Cheah Saw Zhen.

Kesalahan itu dilakukan di kilang tersebut kira-kira pukul 11 malam, 29 Disember 2008 di No. 16, Tingkat 1, Fortune Park di Jalan Perusahaan Jelutong 2 di sini.

Buruh dipenjara, sebat rogol anak tiri

KUANTAN 26 Jan. - Akibat terlalu mengikut nafsu sehingga tergamak merogol dan mencabul kehormatan anak tirinya dua tahun lalu, seorang buruh ladang hari ini menerima pembalasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan sebatan 20 kali.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd. Fadhir Harun menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati lelaki berusia 52 tahun itu bersalah atas dua tuduhan merogol dan satu tuduhan mencabul kehormatan mangsa yang berusia 15 tahun semasa kejadian.

Dia disabitkan dengan dua kesalahan merogol anak tirinya itu dalam kejadian antara Januari dan Julai 2008 di sebuah rumah di Felda Kratong 5, Rompin, dekat sini.

Tertuduh turut disabitkan dengan kesalahan mencabul mangsa di tempat yang sama pada 5 Oktober pada tahun yang sama.

Dakwaan merogol dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Kesalahan mencabul kehormatan pula mengikut Seksyen 354 kanun sama dengan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.

Mohd. Fadhir menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali bagi tuduhan pertama; penjara 18 tahun dan sebatan 10 kali bagi tuduhan kedua dan penjara lima tahun bagi tuduhan ketiga.

Beliau bagaimanapun memerintahkan hukuman bagi ketiga-tiga tuduhan itu berjalan serentak mulai hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat.

Saksi 'paling tadah' disoal balas

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 26 Jan. - Gara-gara saksi 'berpaling tadah' dengan memberi keterangan bercanggah, pihak pendakwaan bagi kes bunuh pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani hari ini menyoal balas saksi mereka sendiri, D. Vanitha pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini.

Saksi pendakwa ke-21 yang juga isteri tertuduh dalam kes tersebut, A, Murugan disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani selepas permohonan mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan dibenarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa.

Pemeriksaan balas sebelum peguam menyoal saksi itu, hanya dibuat berhubung dua isu yang dikatakan bercanggah dengan kenyataan oleh Vanitha kepada pihak polis pada 2 November tahun lalu.

Dalam keterangan di mahkamah hari ini, Vanitha memberitahu, dia mendengar bunyi Murugan dan Mantik tergelincir serta terjatuh ketika kedua-duanya sedang mencuci lantai di depan rumah pada 18 Oktober 2009.

Sementara dalam kenyataan kepada pihak polis, dia mendakwa nampak suaminya dan Mantik sedang mencuci lantai depan rumah dalam keadaan seperti menari-nari. Apabila ditegur, dia disuruh masuk ke dalam rumah.

Katanya, selepas beberapa minit dia terdengar jeritan Mantik dan mendapati wanita itu jatuh terlentang di atas lantai depan rumah manakala suaminya sedang duduk dan mandi di tepinya.

Apabila ditanya, Murugan memberitahu dia telah menendang Mantik sehingga terjatuh kerana Mantik tidak melakukan kerja-kerja yang disuruh.

Berhubung isu luka pada kaki mantik pula, Vanitha dalam keterangan hari ini mendakwa suaminya menanggalkan pancuran mandi untuk dibaiki dan berjalan ke ruang tamu tempat Mantik berada ketika itu.

Semasa berada di dapur, tiba-tiba dia mendengar Mantik menjerit kerana bisul di kakinya pecah menyebabkan darah dan nanah mengalir keluar.

Menurut Vanitha, Murugan memberitahu bisul tersebut pecah kerana pancuran mandi yang dipegangnya terjatuh di atas kaki Mantik.

Sedangkan dalam kenyataan kepada polis sebelum ini, Vanitha memberitahu dia nampak Murugan keluar dari bilik air dengan memegang kepala pancuran mandi untuk dibaiki.

Selepas beberapa minit suaminya masuk ke bilik tidur, Vanitha terdengar Mantik menjerit dan ternampak bisul di kaki pembantu rumah itu berdarah selepas dia bergegas masuk ke bilik tersebut.

Menurut Vanitha, Murugan memberitahu dia memukul Mantik kerana wanita itu tidak membuat kerja seperti yang disuruh.

Bagaimanapun apabila disoal balas, Vanitha tidak bersetuju bahawa keterangannya mengatakan bisul di kaki Mantik pecah kerana dipukul dengan pancuran mandi oleh tertuduh.

Dia juga tidak bersetuju Mantik jatuh terlentang di depan rumah kerana ditendang oleh Murugan sebagaimana kenyataan yang diberikan kepada seorang pegawai polis berbangsa India sebelum ini.

Semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar pula, Vanitha dilihat menangis apabila ditanya sama ada masih sayangkan Murugan dan sengaja mereka-reka cerita untuk menyelamatkan suaminya itu.

Pada prosiding hari ini, Vanitha turut mengaku Murugan ada memberitahu bahawa dia bertindak memukul Mantik pada bahagian muka selepas pembantu rumah itu menolak anaknya sehingga luka di bahagian dahi semasa perayaan Deepavali tahun lalu.

Katanya, apabila pulang ke rumah selepas selesai berniaga, dia melihat muka Mantik bengkak dan memberikan ais kepada wanita itu untuk diletakkan pada bahagian yang bengkak.

Saksi itu juga mendakwa rambut Mantik dibotakkan oleh Murugan dengan kerelaan wanita itu sendiri kerana dia mempunyai banyak kutu kepala.

Bagaimanapun apabila ditanya sama ada dia sendiri sanggup membotakkan kepalanya semata-mata kerana masalah kutu, Vanitha memberitahu dia tidak akan melakukannya.

Dalam kes ini, Murugan, 35, yang juga penjual air tebu didakwa membunuh Mantik, 36, di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ketujuh bersambung esok.