Search This Blog

Tuesday, January 26, 2010

Belasah mati: Anak dipenjara, sepupu ke Hospital Bahagia

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Pada saat umat Islam bergembira meraikan Aidilfitri, seorang anak membiarkan kedua ibu bapanya dibelasah sehingga mati oleh sepupunya dalam satu upacara mengubati penyakit, dua tahun lalu.

Dia juga membiarkan ibunya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan tanpa rasa belas simpati untuk membantu wanita yang melahirkannya.

Tidak cukup dengan itu, dia turut berganding bahu dengan dua sepupunya membelasah mayat ibunya dalam usaha yang kononnya mampu menghidupkan semula wanita berkenaan.

Dan sebagaimana dia melakukan kesemua perkara itu tanpa emosi, Muhammad Nizam Mohd. Ibrahim, 22, juga dilihat selamba apabila dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Sepupunya, Muhammad Fauzi Abdul Razak, 24, juga menerima hukuman penjara yang sama setelah mereka didapati bersalah menyebabkan kematian kakitangan teknikal Telekom Malaysia Bhd., Mohd. Ibrahim Kader Mydin, 48, dan isteri, Rosina SM Mydin Pillay, 42.

Turut didapati bersalah ialah abang kepada Muhammad Fauzi, Muhammad Ilyas, 25.

Bagaimanapun disebabkan dia disahkan mengalami penyakit kecelaruan efektif ketika membelasah pasangan suami isteri itu, Muhammad Ilyas diperintahkan ditahan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di 5-7C, Blok A, Flat Sri Sarawak, Jalan Kenanga di sini antara pukul 12 tengah hari dan 8 malam, 1 Oktober 2008.

Polis naik pentas hentikan ceramah Anwar

Abdul Rahim Sabri
Jan 25, 10
6:00am
Siri ceramah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Kerinci malam tadi kecoh ekoran polis bertindak menaiki pentas untuk memberhentikan ceramah tersebut.

Polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid bersama-sama beberapa anggotanya bertindak menaiki pentas ceramah itu di Blok L Flat PKNS Kampung Kerinci meminta ketua pembangkang itu berhenti menyampaikan ceramah.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.35 malam, selepas setengah jam Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh memulakan ceramahnya.

Kejadian tersebut disaksikan kira-kira 500 hadirin yang hadir di situ sejak jam 8.30 malam.

Ketika itu Anwar sedang mengulas mengenai pertuduhan liwat terhadapnya serta usaha beliau mendedahkan isu-isu antaranya seperti pembelian kapal selam, kematian Teoh Beng Hock dan kehilangan enjin Jet.

"Sebab itulah tema ceramah saya bulan ini adalah 'Selamatkan Malaysia'," katanya.

Tiba-tiba beliau terdengar teriakan daripada hadirin "Polis datang", lantas Anwar yang menyedari kehadiran polis berkata: "Tak apa, tak apa serahkan saya."

Selepas itu kelihatan Wan Abdul Bari bersama beberapa anggotanya menaiki pentas meminta Anwar menghentikan ceramahnya menyebabkan para penyokong dan pengawal peribadinya mengerumumi beliau.

Kedengaran juga teriakan daripada hadirin dan penyokong membantah tindakan polis itu.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila Anwar cuba untuk mengakhiri ceramah dengan bacaan doa tetapi tidak dibenarkan oleh polis.

Selepas itu kelihatan Anwar bertegang urat Wan Abdul Bari. Namun tidak dapat dipastikan apa yang diperselisihkan pada waktu tersebut.

Kekecohan itu berlaku selama 10 minit di atas pentas tersebut.

Ekoran itu, majlis tersebut terpaksa dihentikan dan para penyokongnya membawa ketua pembangkang itu ke dalam sebuah rumah yang terletak bersebelahan dengan pentas tersebut.

Kemudiannya para penyokong Pakatan Rakyat pula berteriak dengan menyuruh pihak polis yang masih berada di pentas supaya beredar dari situ.

Pihak urusetia juga bertindak menutup lampu dipentas tersebut, menyebabkan para penyokong bersorak dan melaungkan 'Reformasi' kepada beberapa kali kepada anggota polis yang masih berada di atas pentas.

Sementara itu Wan Abdul Bari ketika ditemui pemberita selepas kejadian tersebut berkata pihaknya terpaksa memberhentikan ceramah tersebut kerana "ucapannya tidak selaras dengan program mesra rakyat".

"Ia adalah program perjumpaan dengan rakyat. Pada peringkat awalnya, okay, tetapi bila beliau (Anwar) hadir, ucapan-ucapannya lebih berunsurkan politik yang tidak selaras dengan program mesra rakyat, jadi kita terpaksa memberhentikannya," katanya.

Sementara itu ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang turut berceramah ditemui pemberita mengecam tindakan polis naik ke atas pentas.

Mahfuz yang juga naib presiden PAS berkata tindakan polis itu pentas adalah "tidak wajar".

Ini kerana katanya tindakan itu "tidak menampakkan profesionalisme" dan "mengundang keadaan yang lebih kecoh".

Bagaimanapun beliau tidak mengetahui apa yang diperselisihkan oleh Anwar dan Wan Abdul Bari kerana pada waktu itu beliau berada jauh dari pentas sewaktu dikerumuni oleh para penyokong bekas timbalan perdana menteri itu.

Manakala ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar turut mengecam polis tindakan polis tersebut.

Nurul Izzah yang juga anak sulung ketua pembangkang itu berkata polis harus menunjukkan profesionalisme mereka, lebih-lebih lagi di hadapan khalayak ramai.

Beliau juga menjelaskan pihak urusetia juga memohon permit untuk mengadakan ceramah tersebut tetapi tidak diberikan.

Beliau juga berkata urusetia turut memohon dewan berdekatan dengan flat tersebut tetapi tidak dibenarkan untuk menggunakannya.

Sebelum itu, sepanjang pemerhatian Malaysiakini, terdapat dua sekatan polis diadakan sebelum majlis ceramah itu bermula.

Sekatan yang pertama dari arah Universiti Malaya (UM) menuju ke tempat ceramah tersebut iaitu betul-betul di hadapan Pangsapuri Vista Angkasa,

Sekatan itu dibuat kira-kira 50 meter dari tempat ceramah itu diadakan, manakala satu lagi sekatan dibuat dari arah Pantai Dalam, kira-kira 400 meter dari tempat ceramah itu diadakan.

Lebih 30 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kelihatan di tempat ceramah tersebut.

Pengharaman buku terbitan Sis dibatal

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Setelah dua tahun sebuah buku terbitan Sisters In Islam (Sis) diharamkan oleh Menteri Dalam Negeri, hari ini Mahkamah Tinggi di sini mendapati keputusan pengharaman itu sebenarnya tidak sah dan tidak munasabah.

Dengan keputusan tersebut, Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof membenarkan permohonan Sis untuk membatalkan pengharaman buku berjudul Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism (Wanita Islam dan cabaran terhadap fahaman Islam melampau) yang dibuat pada 31 Julai 2008.

Dalam penghakimannya, beliau berpendapat bahawa pengedaran buku yang mengandungi 215 muka surat itu tidak mengugat keselamatan negara memandangkan hanya tujuh muka surat daripadanya yang dikatakan melanggar garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau menegaskan, selain daripada melakukan kesilapan dari segi undang-undang, tindakan Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku yang telah berada dalam pasaran selama dua tahun itu juga dilihat tidak rasional dan tidak munasabah.

CEO didakwa kutip deposit tanpa lesen

SEREMBAN 25 Jan. - Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengutip wang deposit tanpa lesen d aripada orang awam membabit lebih RM70 juta antara Februari dan Oktober 2008.

Syed Shareezally Syed Aualadali bersama rakan kongsinya, A. Halim A. Rahman, masing-masing berusia 39 tahun selaku pemilik syarikat Eastana Farm Industries Sdn. Bhd. didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat syarikat itu di alamat 47-1 Jalan TKS 7, Taman Komersial Senawang dekat sini.

A. Halim telah didakwa atas tuduhan sama pada 24 Disember tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Syed Shareezally bersama A. Halim didakwa mengutip wang deposit tanpa lesen yang sah dari Bank Negara Malaysia (BNM) seperti yang termaktub di bawah Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Kes Dr. Asri: Mahkamah tolak bantahan awal

SHAH ALAM 25 Jan. - Cubaan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin untuk membatalkan pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang dihadapinya gagal apabila bantahan awalnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain yang membuat keputusan itu berkata, Mahkamah Syariah Selangor mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes tersebut kerana ia kesalahan membabitkan rukun-rukun agama Islam.

Katanya, pertuduhan terhadap Mohd. Asri mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 juga tidak bercanggah dengan hukum syarak mahupun Perkara 10 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan bercakap dan kebebasan beragama.

Sebaliknya, jelas beliau, seksyen itu digubal bagi mengelakkan wujudnya perkara negatif sehingga merenggangkan hubungan sesama Islam dan bukannya menyekat kebebasan menyebarkan ajaran Islam.

Mohammad Adib turut berpendapat bahawa pertuduhan yang dihadapi Mohd. Asri itu berkaitan dengan akhlak dan wajar diselesaikan di Mahkamah Syariah kerana melibatkan pengajar dan pendengar beragama Islam.

"Allah SWT mengajar peradaban yang tinggi kepada orang Islam dan antaranya masuk ke rumah orang perlu meminta izin dan ia adalah cara dan peraturan yang sopan.

"Peraturan yang dikenakan jabatan agama Islam kepada orang Islam untuk mendapatkan tauliah sebelum boleh mengajar agama adalah untuk kebaikan masyarakat Islam sendiri.

"Seksyen 119(1) itu digubal bagi mengawal ajaran yang bertentangan dengan syariah daripada tersebar di kalangan masyarakat sehingga boleh berlaku perpecahan,'' katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Adib memerintahkan Mohd. Asri memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan pihak pendakwa agar keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menolak kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah disemak semula pada 8 Februari ini.

Beliau turut menetapkan 20 Februari ini untuk pihak pendakwaan menjawab afidavit

Kes Pasir: Sembilan dibebaskan

PUTRAJAYA 25 Jan. – Sembilan orang termasuk seorang pembantu kepada Ahli Exco Selangor yang direman berhubung kes penyeludupan pasir dibebaskan dengan wang jaminan RM1,000 hingga RM10,000 serta seorang penjamin di Mahkamah Majistret Kajang hari ini.

Ini bermakna tinggal 10 orang lagi tahanan direman berhubung kes penyeludupan pasir berbanding 38 orang yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh tiga hari bermula 19 Januari lalu.

Peguam yang mewakili pembantu Exco itu, Rodzim Zaimy Abdul Hamid berkata, SPRM tidak memohon menyambung reman ke atas tahanan tetapi mahu kesemua mereka dibebaskan

Isteri dakwa dipukul suami

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 25 Jan. – Isteri kepada A. Murugan yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani, memberitahu bahawa lelaki itu menjaganya dengan baik sepanjang tempoh sembilan tahun usia perkahwinan mereka.

Namun dalam masa yang sama, D. Vanitha, 29, juga mengaku membuat beberapa laporan polis terhadap Murugan, 35, atas dakwaan sering dipukul dan diugut oleh suaminya itu.

“Suami saya (Murugan) seorang yang baik. Dia menjaga saya dengan baik. Ya, saya pernah buat laporan polis terhadap suami saya tapi saya tidak ingat bila.

“Saya buat laporan polis kerana tidak setuju suami saya ada hubungan sulit dengan wanita warga Indonesia. Saya buat laporan polis untuk keluar dari rumah dan bawa anak saya,’’ katanya.

Vanitha yang merupakan saksi pendakwa ke-21 berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani di Mahkamah Tinggi di sini hari ini semasa perbicaraan terhadap penjual air tebu itu yang didakwa membunuh Mantik, 36.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, empat laporan polis bertarikh 11 Oktober 2007, 27 Jun 2009, 28 Jun 2009 dan 10 Julai 2009 yang dibuat oleh Vanitha dikemukakan kepada mahkamah oleh pihak pendakwaan.

Namun wanita itu hanya mengaku dan mengecam tiga daripada laporan tersebut, manakala laporan bertarikh 11 Oktober 2007 tidak dapat dicam dengan alasan tidak ingat dan tidak pasti.

Mengikut laporan tersebut, saksi itu mendakwa mereka sering bergaduh dan Murugan telah memukulnya di bahagian tangan sehingga lebam dan bengkak serta mencekik lehernya.

Selain itu, dia mendakwa tertuduh mengugut untuk membaling anak mereka, M. Thirukumaran serta menyuruhnya menukar namanya pada surat beranak anak tersebut.

Apabila ditanya oleh pihak pendakwaan berhubung laporan-laporan polis yang dibuatnya, Vanitha akhirnya mengaku mereka pernah bergaduh dan dia pernah dipukul walaupun suaminya sebelum ini dikatakan menjaganya dengan baik.

“Suami saya seorang yang sakit jiwa, kadang-kadang kalau dia tengah marah, kalau saya bercakap dengan dia, dia akan pukul saya.., tapi bukan setiap masa,’’ katanya apabila ditanya mengapa Murugan bertindak memukulnya.

Terdahulu, Vanitha mendakwa Mantik lari daripada majikan lama berbangsa Cina kerana kononnya telah didera dan datang ke rumahnya untuk menumpang selama dua minggu.

Dia juga mendakwa Mantik berada di dalam tandas semasa ditemui oleh pihak polis kerana Murugan meminta pembantu rumah itu membersihkan bisul di kakinya yang sudah pecah, berlubang dan berair.

Sementara itu, seorang lagi saksi yang merupakan jiran tertuduh, R. Hemavithya, 19, mendakwa dia ternampak Mantik sedang merangkak dan meminta pertolongan daripadanya dengan suara perlahan.

Dia melihat keadaan Mantik itu melalui pintu belakang rumah Murugan semasa sedang berjalan ke rumah bapa saudaranya yang terletak bersebelahan dengan rumah tertuduh.

Katanya, sebaik dimaklumkan tentang apa yang dilihat, bapa saudaranya segera menelefon polis untuk melaporkan perkara tersebut.

Namun jelas saksi, polis yang menerima panggilan tersebut memberitahu mereka tidak boleh menerima dua laporan kerana telah ada laporan sebelum ini.

Hemavithya yang berkerja sebagai kerani memberitahu dia pernah melihat Mantik sebanyak lapan kali dengan kali terakhir dia nampak muka wanita itu bengkak dan kepalanya hampir botak.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Yazid Mustafa bersambung esok.

Fahrin tuntut Linda Onn mohon maaf

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Mohon maaf secara terbuka atau jumpa di mahkamah. Itu kata putus yang diberikan oleh aktor popular, Fahrin Ahmad yang sudah tidak mampu lagi membendung kemarahannya terhadap penyampai radio popular, Linda Onn.

Kemuncak kemarahan terhadap bekas kekasihnya itu dizahirkan oleh Fahrin yang turut menitiskan air mata pada sidang akhbar hari ini bagi meminta Linda memohon maaf secara terbuka dan menarik balik pernyataan fitnah yang dibuatnya.

Fahrin, 31, menerusi peguamnya Tengku Naufal Tengku Mansor daripada firma guaman Tetuan Naufal & Co. juga memberi tempoh selama seminggu kepada Linda, 33, untuk berbuat demikian.

Notis tuntutan tersebut telah dikeluarkan oleh Fahrin melalui peguamnya pada 22 Januari lalu.

Menurut Tengku Naufal, selain dua tuntutan berkenaan yang perlu disiarkan di akhbar, Linda turut diminta mengeluarkan surat akujanji secara bertulis untuk tidak lagi mengulangi perbuatannya yang memburukkan imej Fahrin.

Tuntutan itu juga menyebut Fahrin menuntut ganti rugi dan kos atas kenyataan berbau fitnah oleh Linda yang disiarkan dua buah akhbar, masing-masing akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris bertarikh 19 serta 20 Januari lalu.

Linda yang kini bertugas sebagai penyampai radio Suria FM didakwa mengeluarkan kenyataan dalam dua akhbar berkenaan bahawa bekas kekasihnya seorang yang panas baran serta ‘cepat naik tangan’ selain pernah mengasarinya sewaktu mereka bercinta.

Sementara itu, Linda ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, dia menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Selebihnya tiada apa yang mahu saya ulas mengenai tindakan Fahrin terhadap saya,” katanya.

Menurut Linda, dia bersyukur kerana segala tuntutan Fahrin terhadapnya tidak memberi sebarang tekanan kepadanya.

Penyokong dipenjara 3 bulan

KOTA BHARU 25 Jan. – Akibat ingkar dengan larangan membawa mercun, seorang penyokong setia pasukan bola sepak Kelantan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Difahamkan ini merupakan kes pertama yang membabitkan penyokong bola sepak di negara ini dihadapkan ke mahkamah kerana memiliki mercun ketika perlawanan liga tempatan.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut selepas Mohd. Zafizi Mohd. Zawawi, 29, yang merupakan bekas penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah semalam.

Hina sultan: Pemuda serah diri

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Seorang pemuda yang didakwa menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat Jumaat lalu dalam blognya hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan, petang ini.

Lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan menyerah diri kira-kira pukul 4.40 petang selepas artikel yang disiarkan mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak di seluruh negara khususnya rakyat Johor.

Sehingga hari ini, polis Johor menerima 25 laporan terhadap penulis blog berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff menubuhkan satu pasukan khas menyiasat perkara tersebut dan memberi jaminan penulis terbabit akan diheret ke mahkamah.

Sumber memberitahu, lelaki itu akan dibawa ke mahkamah di Kota Bharu pagi esok untuk perintah tahanan reman sebelum dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana petangnya.

"Sehingga malam ini, polis masih merekodkan keterangan lelaki tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lelaki tersebut dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam satu artikel dan disiarkan dalam blognya, adukataruna.blogspot.com baru-baru ini.

Susulan daripada kecaman pelbagai pihak, penulis itu kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog sama, kelmarin.

Dia juga menarik balik artikelnya itu sebagai tanda mengaku salah dan berjanji akan memperbaiki tingkah laku dari semasa ke semasa.

Sumber memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sekiranya terbukti bersalah lelaki berkenaan boleh dihukum penjara tiga hingga tujuh tahun.

Siasatan kes itu difahamkan dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.